Jumaat, 10 Mei 2013

SEDARLAH KITA SEBENARNYA SEMAKIN PARAH...KANSER YANG SUSAH NAK DIUBAT LAGI....INGAT! RAKYAT SEKARANG DAH TAHU SAPE MUSUH DAN SAPE KAWAN

Rakyat tolak kepimpinan Najib dan ketuanan Umno

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Fakta PRU13 membuktikan bahawa majoriti rakyat telah menolak kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta ketuanan Umno BN di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor berkata, hakikatnya Umno hanya memenangi kerusi yang mempunyai seribu satu kontroversi dan misteri tetapi gagal menambat hati rakyat keseluruhannya.

“PR pula sebenarnya telah berjaya memenangi hati rakyat meskipun tidak berjaya membentuk kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Sentimen api perkauman yang cuba ditiup oleh Perdana Menteri dan Umno serta ditambah oleh media milik mereka usai PRU13 amat membahayakan perpaduan rakyat di negara ini.

Kenyataan pendek ‘Tsunami Cina’ yang dicetus oleh PM serta kenyataan daripada lidah rasmi kerajaan, Utusan Malaysia yang menulis ‘Apa lagi orang Cina mahu’ jelas mempunyai mesej yang cuba memporak perandakan keharmonian kaum di negara ini.

PM dan UMNO seperti tidak menerima kenyataan bahawa mereka telah ditolak oleh golongan kaum Tionghua dalam PRU13. PM seperti hilang akal apabila memikirkan mereka telah menghabiskan beratus juta ringgit dengan menggunakan pelbagai instrumen kerajaan termasuk media hanya memenangi 133 buah kerusi parlimen berbanding 89 Pakatan Rakyat sementara mereka hanya memenangi 275 kerusi DUN berbanding 229 yang dimenangi oleh PR. Jelaslah prestasi BN merudum teruk dengan kehilangan 7 kerusi parlimen serta hilang 71 kerusi DUN seluruh negara.

PM tidak wajar menyalahkan kaum Cina atas dasar penolakan mereka terhadap UMNO-BN. Ini kerana mereka yang selama ini memainkan sentimen perkauman dengan membakar api permusuhan terhadap bangsa lain. Antara tindakannya ialah membiarkan NGO seperti Perkasa dan Jati meniupkan semangat perkauman yang menebal selama ini. Sekarang ini, setelah tamat PRU13, mengapa pula UMNO mahu memusuhi kaum Cina?

Kenyataan PM jelas melanggar dasar dan prinsip perjuangan UMNO-BN yang mereka laungkan. Slogan 1Malaysia dijaja dengan pelbagai sepanduk bertebaran di merata tempat di seluruh negara.

Apakah PM akan menukar slogan baharu setelah tamat kempen PRU ke 13 daripada 1Malaysia yang berteraskan perpaduan kaum kepada agenda lain? Apakah juga ia bermaksud kempen 1Malaysia Datuk Seri Najib yang menelan berjuta ringgit telah gagal?

Sebenarnya, bukan setakat pengundi Tionghua, malah PM dan UMNO telah ditolak oleh pengundi Melayu bandar, terutama golongan muda. Ini menandakan golongan cerdik pandai terutama golongan profesional serta celik maklumat menolak kepemimpinan UMNO-BN di negara ini.

Dari segi poluariti pula, BN hanya memperolehi 5,237,699 berbeza dengan PR yang mendapat 5,623,984. Dari segi peratusnya adalah PR meraih 49.96% berbanding 46.53% yang diraih BN. Ini bererti BN sebenarnya sudah tidak popular malah kempen mempopularkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menelan belanja berjuta ringgit  juga telah gagal.

Fakta PRU13 membuktikan bahawa majoriti rakyat telah menolak kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta ketuanan UMNO-BN di negara ini.

Hakikatnya UMNO hanya memenangi kerusi (yang mempunyai seribu satu kontroversi dan misteri) tetapi gagal menambat hati rakyat keseluruhannya. PR pula sebenarnya telah berjaya memenangi hati rakyat meskipun tidak berjaya membentuk kerajaan.

Adalah lebih baik PM dan UMNO menyelidiki kelemahan diri daripada menuding jari kepada komuniti lain terhadap kegagalan mereka. Sebaiknya, PM menginsafi diri dengan meletak jawatan dan memberikan laluan kepada muka baru mengemudi negara.

Rakyat lebih berpuas hati dengan PM baharu yang akan memberikan komitmen baharu daripada PM lama yang menyalahkan kaum lain atas kegagalan mereka serta  ditolak oleh rakyatnya sendiri!

Sebar mesej perkauman: Mohamad Sabu pula jadi mangsa

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Musuh PAS dilihat sangat terdesak apabila terpaksa menggunakan nombor telefon para pemimpin PAS untuk menyebarkan sentimen perkauman di negara ini.

Hari ini Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) pula menjadi mangsa 'hack' nombor telefon selepas Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menghadapi masalah yang sama semalam.

"Hari ini saya diberitahu saya hantar mesej perkauman merata-rata," kata Haji Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.

Antara mesej yang dihantar adalah, "Mampus Melayu..Hidup cina..." yang dihantar menggunakan nombor telefon beliau.

"Saya akan membuat laporan polis segera," kata beliau kesal dengan tindakan terdesak musuh politik PAS itu.

Bagi Mohamad, ia adalah usaha untuk meniup api perkauman di kalangan orang Melayu agar membenci kaum Cina.

Sebelum ini, akhbar Umno Utusan Malaysia telah membuat laporan muka depan dengan berita bertajuk, "Apa lagi yang Cina mahu."

Laporan ini dibuat selepas kenyataan Presiden Umno yang sedang luka, Datuk Seri Najib Razak, 'Ini tsunami Cina'.

Najib pula ketika ditanya wartawan tentang laporan muka depan Utusan itu mempertahankannya dengan berkata, "Apa kurangnya akhbar Cina."

Ekoran itu, pelbagai pihak membuat kenyataan menyelesalinya dan pihak polis mula membuat siasatan mengenainya.

Semalam nombor telefon Salahudin Ayub di'hack' oleh pihak yang bertanggungjawab dan menghantar mesej perkauman kepada orang ramai atas nama beliau.

Salahudin akan membuat sidang media mengenainya hari ini.

Presiden PAS hantar surat sokong Khalid sebagai MB

Harakahdaily, 10 Mei 2013
SHAH ALAM: Selepas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu beliau telah menandatangani surat menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, PAS Selangor pula mengesahkan penerimaannya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dalam ucapannya malam tadi berkata, PAS Selangor telah menerima surat dari Presiden PAS itu.

"Surat itu ditujukan kepada Tuanku Sultan dan akan disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani kepada Tuanku Sultan," beritahu Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam malam tadi.

Khalid berkata, surat itu diterima oleh PAS Selangor dua hari lalu (7 Mei) yang menyokong Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Khalid memberitahu hal ini ketika berucap dalam majlis kesyukuran Pakatan Rakyat Selangor, di Dataran Shah Alam.

Majlis yang bermula dengan solat Maghrib berjamaah itu diikuti dengan majlis jamuan kesyukuran dan diikuti dengan ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat Selangor yang diketuai Khalid Ibrahim.

Semasa berucap di Rusila, Marang Rabu lepas, Tuan Guru  Abdul Hadi memaklumkan beliau telah menandatangani surat kepada Tuanku Sultan Selangor menyokong perlantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Nik Nazmi dipanggil polis berkait himpunan 8 Mei

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dipanggil hadir memberi keterangan berhubung himpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Stadium Kelana Jaya kelmarin.

Beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya jam 3 petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Biro Komunikasi PKR dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

"Beliau akan hadir bersama peguamnya Eric Paulsen," kenyataan itu dipetik.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata penganjur himpunan Suara Rakyat Suara Keramat itu akan dipanggil membantu siasatan.

Selain itu polis juga katanya akan mendapatkan keterangan daripada para pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada perhimpunan itu.

Menurutnya 28 daripada 33 pemimpin pakatan yang berucap pada perhimpunan itu didapati memberi ucapan berbau hasutan, yang menyalahi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Pada himpunan itu kelmarin, lebih 120,000 rakyat Malaysia berbilang kaum hadir bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan PRU13 lalu.

Rata-rata mereka berpakaian hitam sebagai lambang berkuburnya demokrasi Malaysia ekoran berlakunya penipuan dalam pilihan raya.

Pimpinan utama Pakatan Rakyat turut hadir pada himpunan itu termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sistem ‘pecah dan perintah’ yang hampir-hampir terkubur

A. Faizal Rahman , 10 Mei 2013
‘Tsunami Cina’ dan tindak balas susulan

Kemerosotan sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 amatlah ketara. Di bandar-bandar besar, sokongan mereka merosot serendah 10%. Akibatnya, walaupun berjaya mengekalkan kuasa di peringkat pusat, prestasi BN kali ini lebih teruk dari prestasi terburuknya sebelum ini (2008). Jika pencapaian buruk PRU12 dijelaskan dengan ‘tsunami politik’, kemerosotan pencapaian BN PRU-13 dikaitkan dengan ‘tsunami Cina’.

Biarpun ungkapan ‘tsunami Cina’ benar dari segi statistik, olahan media perdana bersifat reaktif dan emosional. Ungkapan tersebut diolah bagi menegaskan rasa kecewa terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong BN. Contohnya, tajuk-tajuk utama akhbar harian seperti , ‘Apa lagi Cina mahu?’, dan juga berita television yang dipenuhi dengan luahan kecewa pemimpin BN kepada masyarakat Cina.

Selaku kerajaan, tindakan menyalahkan segmen masyarakat yang tidak memberikan kemenangan yang diingini, menonjolkan ketidakmatangan kepimpinan (apatah lagi jika disusuli dengan penindasan seperti yang dilakukan kepada rakyat Kelantan selama ini). Ia juga menyerlahkan hipokrasi slogan 1Malaysia. Adakah polisi ‘segalanya’ 1Malaysia itu hanya untuk meraih undi? Dan, tidakkah ia hipokrit apabila undi yang diraih tidak ’1Malaysia’, semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan hilang entah ke mana?

Pengolahan ungkapan ‘tsunami Cina’ juga bersifat provokatif. Ia membakar sentimen perkauman; menakut-nakutkan masyarakat Cina dan menaikkan kemarahan masyarakat Melayu. Bukankah ini tindakan provokasi yang mengancam ketenteraman awam? Bukankah kerajaan BN dahulu yang memberi jaminan keamaan semasa dan selepas proses pilihan raya?

Pelik jika diteliti perilaku pemimpin-pemimpun BN. Sikap mereka dilihat sama-sekali tidak konsisten, sebelum dan selepas PRU. Puncanya – tidak lain, tidak bukan, hanyalah kerana sistem ‘pecah dan perintah’ tinggalan penjajah yang diwarisi dan diguna pakai kerajaan selama ini, hampir-hampir digagalkan pada PRU13.

Persepsi salah mengenai aktivis Cina
Penulis berpeluang berkerjasama dengan aktivis-aktivis Cina sepanjang tempoh kempen PRU-13. Apa yang penulis saksikan, pergerakan aktivis Cina ini cukup berbeza dari persepsi orang Melayu tentang mereka.

Dari sudut demografi, aktivis Cina ini adalah dari golongan pertengahan dan majoritinya dari golongan muda. Mereka terdiri daripada pemilik perniagaan kecil seperti pengusaha kedai komputer dan butik pakaian, dan juga mahasiswa. Mereka adalah golongan majoriti Cina yang rata-rata berfikiran sederhana dan tradisional. Mereka bertutur dalam bahasa Cina sesama sendiri, tetapi memilih untuk menggunakan bahasa Melayu apabila bergaul dengan orang Melayu.

Mereka bukanlah tauke-tauke kapitalis yang licik menipu orang Melayu. Perlakuan dan karakter mereka tidak ubah seperti mana-mana kelas pertengahan; tidak kiralah orang Melayu, atau orang putih, mahupun orang Afrika – ‘simple-minded’, rajin bekerja dan suka berjenaka. Walaupun penguasaan bahasa Melayu mereka ditahap sederhana sesetengahnya (selaku rakyat Malaysia), usaha bertutur dalam bahasa Melayu, lebih-lebih lagi golongan muda, boleh diberi pujian. Yang pastinya, mereka bukanlah golongan Cina yang berbahasa Inggeris pelat Cina.

Dasar perjuangan mereka bersifat sejagat - menegakkan keadilan, kebebasan bersuara, menentang kezaliman dan menyokong usaha meningkatkan kualiti kehidupan. Mereka tidak berhajat mengambil alih tampuk kepimpinan negara atau ingin menjadikan negara ini, negara komunis. Besar kemungkinan, falsafah komunisme itu pun mereka tidak tahu. Mereka menghormati konsep demokrasi raja berpelembagaan dan tidak berhajat untuk menukarkan negara ini kepada negara republik seperti Singapura. Melalui pengamatan penulis, tiada bau-bau  fahaman komunis ataupun republikan dalam kalangan mereka.

Persamaan status ekonomi, karakter dan dasar perjuangan membuatkan aktivis Cina ini diterima baik oleh kelompok-kelompok pro-perubahan kaum-kaum lain, terutamanya Melayu. Solidariti antara dua kaum terbesar ini cukup sihat, bukan sahaja pada peringkat kepimpinan, malah di peringkat akar umbi. Jika dahulu ceramah-ceramah politik tertumpu kepada kaum-kaum tertentu, kini ceramah-ceramah politik melibatkan penyertaan pelbagai kaum. Isu-isu yang dibincangkan merentasi sempadan perkauman dan bersifat sejagat, tidak hanya menyentuh hal-hal perkauman yang sempit. Kini, bukanlah sesuatu yang aneh apabila seorang Cina berpelukan dengan seorang Tok Guru, dan seorang lebai makan semeja dengan amoi Cina.

Perpaduan antara kaum inilah yang hampir-hampir meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ yang selama ini diguna pakai BN untuk mengekalkan kuasa.


Keramat's photo.
Huraian Pengundi Mengikut Parti
Huraian Pengundi Mengikut Parti


Menolak kekuasaan mutlak

Hasan Husaini,
Saya menolak konsep Absolute Power kerana ia akan menyumbang kepada Absolute Corrupt dan menghampiri kediktatoran. Beberapa Sarjana Islam, seperti Ibn Taimiah (726H) menegaskan terma seperti di atas. Profesor Abd Rahman Al-Bar juga mengulangi frasa berikut dan menegaskannya. Begitu juga dengan beberapa sarjana barat.

Konsep Absolute Power diguna dalam kerajaan BN. Pengerusi Umno akan menduduki kerusi Pengerusi BN dan seterusnya kerusi Perdana Menteri.

Siapa yang boleh menyemak DS Najib? Ahli Umno? Ahli BN? Atau Kabinet? Maka, kebarangkalian untuk DS Najib bertindak tanpa kawalan adalah sangat besar dan telah pun berlaku. Lihatlah hutang negara dan perbelanjaan boros di kabinet dan rumah PM. Lihatlah juga projek mega yang diluluskan tanpa perbahasan yang mendalam, kemudiannya dikurniakan kepada kroni dan kerabat.

Selangor menjadi contoh yang baik. Kerusi MB Selangor tidak diperuntukkan kepada Pengerusi PKR Selangor.

Perak juga begitu. Kerusi MB Perak tidak diperuntukkan kepada Pesuruhjaya PAS Perak.

Ia juga berlaku di Pulau Pinang. Kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang tidak diperuntukkan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Semak Imbang : Pentingkah?

Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri adalah ketua kerajaan dan ketua kepada semua rakyat . Maka, apabila PM, KM dan MB tidak memegang jawatan eksekutif di dalam organisasi parti negeri atau nasional, mereka boleh mengurus dengan lebih baik tanpa dikuasai oleh sentimen parti yang diwakili.

Selain itu, MB dan KM tersebut juga boleh disemak oleh badan parti di peringkat negeri.

Tan Sri Khalid boleh disemak oleh Pengerusi dan AJK PKR Selangor.

Lim Guang Eng disemak oleh Pengerusi dan AJK DAP Penang.

DS Nizar boleh disemak oleh Pesuruhjaya dan AJK PAS Perak.

Di peringkat antarabangsa, Dr Morsi meletakkan jawatan Presiden FJP tatkala menjadi calon pilihan raya Presiden Mesir. Syeikh Rached Ghanouchi selaku Ketua Parti Pemerintah Tunisia (EnNahda) tidak menduduki kerusi Perdana Menteri Tunisia.

Dalam sejarah, tatkala Saidina Abu Bakar radhiallahu 'anhu dilantik menggantikan Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam, beliau telah melantik majlis penasihat dan membenarkan rakyat jelata bertugas sebagai penyemak kepada tindak-tanduknya dalam hal ehwal pemerintahan.

“Jika aku berlaku adil, bantulah aku. Dan jika aku berkelakuan buruk, perbetulkan aku.”

Begitulah juga perihalnya para khalifah selepas itu. Badan penasihat dilantik untuk menyemak tindakan mereka agar tidak terpesong daripada peranan sebenar selaku ketua ummah. Bahkan, Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam  sendiri sentiasa disemak keputusan dan tindakannya oleh para sahabat. Khubbab Ibn Munzir, Umar Al-Khattab dan beberapa sahabat lain adalah tokoh penyemak Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam.

Maka, saya berhasrat untuk melihat pembaharuan di Kelantan agar MB Kelantan yang baharu tidak dilantik ke kerusi Pesuruhjaya PAS Kelantan. Semoga negeri kesayangan itu lebih maju dan bermutu. Cadangan ini saya kira cukup menepati semangat PAS sendiri apabila menubuhkan Majlis Syura Ulama sebagai badan penyemak kepada Dewan Harian dan AJK PAS Pusat seperti yang terkandung dalam perlembagaan PAS, fasal 8, ceraian 1 (B). Kesibukan Majlis Syura PAS di peringkat nasional mutakhir ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada pengurusan peringkat negeri. Maka, tiba masanya urusan pentadbiran negeri disemak oleh Badan Perhubungan Negeri bersama rakan PR yang lain.

Inilah warna yang saya pilih. Warna anda, mungkin berbeza.

Hasan Husaini,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Cina tolak BN, mahu pemimpin lebih baik

Jofri Jaraiee, 10 Mei 2013
BN menyalahkan pengundi Cina sebab banyak kawasan BN di bandar tumbang dalam Pilihanraya Umum ke13 tahun ini.

Walaupun BN memainkan isu Hudud tetapi pengundi Cina mempunyai matlamat hendak menukar kerajaan sekarang sebab itulah mereka bertekad untuk mengundi semua calon PR (Pakatan Rakyat) tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebagai contoh, majoriti pengundi Cina memberi sokongan padu kepada calon PAS di Sibuti tetapi kawasan Bumiputera masih lagi tetap setia dengan BN kecuali kawasan Dayak yang memang ada masalah tanah.

Antara faktor lain kekalahan calon PAS adalah pengundi kawasan pedalaman telah disogok dengan duit oleh pihak tertentu. Ada juga diantara mereka yang takut keluar mengundi calon PR sebab mereka takut dipulaukan oleh penduduk kampung yang kuat menyokong BN.

Selain dari isu-isu tersebut, ada sesetengah rumah panjang dan kampung melarang PR berkempen dalam kawasan mereka. Walaupun laporan polis dibuat tetapi mereka macam tidak ambil peduli akan tindakan yang akan diambil keatas mereka. Media massa seperti TV, Radio dan surat khabar semuanya berkempen untuk BN siang dan malam tanpa henti sehingga hari pengundian.

Risalah-risalah yang memburukkan dan memfitnah PAS disaat akhir juga bertebaran ke seluruh pelusuk kampung sehingga ada sesetengah penduduk terpengaruh dengan fitnah tersebut.
PR langsung tidak diberi peluang untuk memperjelaskan atau menerangkan hal sebenar kepada pengundi melalui TV, Radio dan surat khabar kecuali suratkhabar Cina yang lebih terbuka tetapi tidak dibaca atau difahami oleh masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Surat khabar Cina lebih terbuka dari surat khabar Melayu yang langsung berkempen untuk BN sehingga orang Melayu dan Bumiputera tidak tahu menilai sesuatu berita sebab laporan yang berat sebelah. Kebanyakan pengundi Melayu lebih percaya kepada laporan berita dalam TV dan Radio  dari mendengar sendiri penjelasan dari pihak PR.

Oleh kerana orang Melayu dan Bumiputera yang kurang maklumat dan selalu disogok dengan berita yang berat sebelah setiap hari maka mereka tidak dapat menilai sesuatu berita dengan baik.

Apabila PR hendak mengadakan ceramah di kawasan penduduk Melayu ada pihak-pihak tertentu yang menyekat supaya orang Melayu jangan mendengar penjelasan dari pihak PR dan mereka lebih suka orang Melayu hidup di alam fantasi tanpa ilmu pengetahuan.

Kemenangan PR banyak mendapat sokongan dari masyarakat Cina yang banyak membaca perkembangan semasa tanpa sebarang sekatan. Orang Melayu dan Bumiputera banyak disogok dengan berita yang mengampu BN sehingga mereka tidak dapat menilai kebenaran berita yang mereka terima terkecuali orang Melayu yang terpelajar dan mereka yang menerima berita dari sumber lain seperti internet dan sebagainya.

Orang Cina yang banyak membaca isu-isu dan perkembangan semasa menyebabkan mereka berpengetahuan dan bijak memilih pemimpin untuk masa depan negara. Selagi orang Melayu dan Bumiputera bergantung hayat dengan subsidi kerajaan BN, selagi itulah BN akan terus memperhambakan bangsa Melayu dan Bumiputera.

Pertandingan yang tidak adil dan berat sebelah dalam Pilihanraya Umum di Malaysia boleh menghalang atau memandulkan demokrasi dalam negara ini.

Pihak pembangkang langsung tidak diberi ruang yang sama rata dengan BN di mana segala jentera kerajaan digunakan sesuka hati oleh pihak BN tanpa sebarang sekatan. Walaupun PR dapat membentuk kerajaan tetapi mereka berjuang bersama rakyat bukan dengan jentera kerajaan.

Inilah antara faktor-faktor yang menyebabkan BN terus berkuasa sebab BN menggunakan duit untuk membeli undi di saat akhir hari pengundian.

Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli, penyokong dan pengundi PR dalam PRU13 ini yang banyak berkorban masa, tenaga dan membantu PAS sehingga ada diantara mereka yang menjadi mangsa kezaliman pihak tertentu kerana menyokong kita.

Kita akan pastikan agar segala janji-janji BN untuk rakyat ditepati dan jangan dikhianati. Pemimpin BN wajib menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Walaupun kita belum menang kali ini tetapi kita berkempen secara bermaruah tidak merasuah dan tidak mengugut pengundi untuk menyokong kita. Sepandai-pandai BN menipu rakyat, suatu hari nanti pasti akan jatuh juga ditangan rakyat.


*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak

PAS ucap takziah buat keluarga adik Nur Amyliana

Salmiyah Harun, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Belum pun reda demam PRU13, hari ini negara dikejutkan dengan penemuan mayat adik Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, yang menjadi mangsa bunuh dan rogol.

Melihat kejadian yang menyayat hati ini, Dewam Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan khususnya pihak berkuasa agar memperketatkan operasi keselamatan terutamannya melibatkan kanak-kanak.

Ketuanya Siti Zailah Mohd Yusof berkata, peristiwa ngeri seperti yang terjadi kepada adik Nur Amyliana ini bukanlah kali pertama, kerana sebelum ini sudah beratus-ratus kejadian yang sama berlaku.

Tegasnya, kejadian bunuh dan rogol sering kedengaran dan ini memberi gambaran masyarakat negara ini ternyata berada di dalam persekitaran yang belum selamat.

"Budaya menzalimi, menganiaya kanak-kanak semakin berleluasa pada hari ini. Kejadian ini melibatkan nyawa dan maruah.

"Sudah tiba masanya kerajaan perlu merangka sesuatu tindakan yang boleh membanteras budaya menzalimi kanak-kanak ini," katanya kepada Harakahdaily.

Malah, Zailah turut menasihatkan para ibu bapa agar peka dan mengawasi pergerakan anak-anak kerana suasana hari ini tidak boleh dijangka dan macam-macam boleh berlaku.

"Sebab itulah polis harus mengambil isu keselamatan awam ini satu isu besar. Selasai PRU jangan duduk jaga orang politik tetapi keselamnatan rakyat perlu dijaga. Apa erti negara maju rakyat tidak selamat,"katanya.

Nur Amyliana atau nama manjanya Cinang ditemui mati dipercayai dirogol sebelum dibunuh di sebuah padang di Jalan Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, kelmarin.

Mayat kanak-kanak itu ditemui seorang wanita yang melalui kawasan padang berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam. Mangsa ditemui terbaring berhampiran tempat parkir bas kilang di sini.

Sebelum itu, mangsa keluar rumahnya di Lorong Batu Nilam 1E, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

‘Tsunami Cina’ untuk tutup kegagalan besar Najib

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Sumber Umno muncul kembali memberitahu Harakahdaily bahawa rakyat dan ahli Umno terlupa mengenai kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terbesar pada Pilihan raya Umum ke-13.
“Najib adalah Pengerusi BN Selangor. Negeri yang mencapai pencapaian terburuk untuk Umno dan BN ialah Selangor. Ramai terlupa hakikat ini setelah Najib main isu ‘Tsunami Cina’. Ini perkara sebenar yang ingin ditutup daripada ahli-ahli Umno dan rakyat,” kata sumber Umno itu.

Di PRU13, Pakatan Rakyat berjaya mendapat 44 daripada 56 kerusi Dun di Selangor, meningkat 10 kerusi berbanding 2008.

Najib sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga kali mewar-warkan bahawa beliau akan berjaya memimpin BN menawan Selangor.

“Dulu saya dah bagitahu syarat untuk Najib kekal sebagai Presiden Umno. Satu BN dapat kembali 2/3 majoriti di parlimen. Kedua, BN gagal dapat 2/3 kerusi tapi Najib selaku pengerusi BN Selangor berjaya merampas kembali Selangor. Sekarang kedua-dua syarat ini gagal dicapai. Najib gagal syarat yang ditentukan Tun Mahathir,” kata sumber Umno itu.

Beliau turut memberitahu ‘Tsunami Cina’ – ungkapan yang dikeluarkan dari mulut Najib adalah strategi pertama untuk mempertahankan kerusi Presiden Umno.

“Najib mudah ditumbangkan. Yang susah ialah Rosmah. Tun paling pening mengenai hal ini. Dah lama Tun cuba turunkan Rosmah, tapi tak berjaya. Nantikan pemilihan parti Umno, ia akan jauh lebih menarik daripada PRU13,” kata sumber Umno itu.

Harakahdaily juga sempat bertanya apakah keputusan PRU13 kali ini, Umno telah membuat sesuatu untuk mengekalkan kemenangan.

“Semua orang yang nak tewas mesti akan lakukan sesuatu drastik. Di Malaysia, permainannya ialah mendapat kerusi terbanyak. Nak menang dalam PRU, kamu semua kena jaga proses pilihanraya sehinggalah keputusan diumumkan. Fikirlah di mana proses pilihanraya yang kamu semua tak jaga dengan baik selepas keluarnya Borang 14. Nasihat saya, latihlah polling agent mulai sekarang. Jangan last minute baru nak latih. Polling agent cekap boleh menjamin keputusan awal sama dengan keputusan akhir,” kata beliau sebelum telefon terputus.

Saya kalah dengan kad pengenalan palsu - Mohamad Sabu

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: "Bayangkan ada saluran dalam kawasan pilihan raya saya, orang keluar mengundi 99 peratus," kata Haji Mohamad Sabu menceritakan bagaimana beliau boleh kalah dalam pilihan raya ini.

(Mohamad Sabu yang memperjuangkan pilihan raya yang bersih...inilah yang beliau bimbangi selama ini dan beliau menjadi salah satu mangsanya.)

Ekoran itu, beliau yakin, modus operandi Terengganu 2004 digunakan untuk mengalahkan beliau dalam pilihan raya kali ini.

Dalam pilihan raya 2004, kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS berjaya dijatuhkan selepas satu penggal memerintah.

Puncanya adalah kenaikan mendadak peratusan keluar mengundi sehingga 90 peratus untuk sesetengah DUN dan kawasan Parlimen.

Mohamad Sabu berkata, beliau kalah dengan besar di DUN Sungai Tiang iaitu di kawasan orang Thai.

"Saya kalah dengan undi orang Thai kali ini. Saya mengesyaki mereka diberikan kad pengenalan untuk mengundi atau penggunaan kad pengenalan palsu. Sebab itulah jumlah keluar mengundi di kawasan mereka meningkat kepada 99 peratus," kata Mohamad.

Dalam pilihan raya ini, Mohamad kalah di Parlimen Pendang dengan majoriti 2,638 undi. Beliau tewas di tangan calon BN Datuk Othman Abdul.

Walaupun menang di DUN Tokai dengan majoriti 5,833 undi, calon PAS tewas dengan majoriti 6, 994 undi di DUN Sungai Tiang.

Di Sungai Tiang, ramai pengundi Siam yang tinggal dan mengundi di sini.

Mohamad yakin, banyak kad pengenalan palsu di keluarkan untuk mengalahkan beliau kali ini.

Peratusan keluar mengundi di Sungai Tiang adalah 89.31 peratus, satu angka yang sangat besar dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini.

Pecah dan perintah

Hampir seluruh rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan menengah (sekolah menengah) memahami konsep ‘pecah dan perintah’ penjajah British. Ramai juga kalangan masyarakat yang sedar akan penggunaan dasar yang sama oleh kerajaan BN selama ini. Banyak penulisan dan komentari yang menerangkan bagaimana kerajaan memecahbelahkan masyarakat dengan isu-isu perkauman untuk kekal berkuasa, hinggakan pakcik-pakcik di kedai kopi mampu membuat analisa tepat mengenai pendekatan tersebut. Namun, disebabkan serangan sentimen agama dan perkauman yang bertalu-talu menjelang PRU13 yang lepas, ahli-ahli fikir dan masyarakat keseluruhannya, bagaikan leka dengan apa yang dilakukan kerajaan. Secara terang-terangan kerajaan sekali lagi, tanpa sebarang pengubahsuaian, menggunakan pedekatan ‘pecah dan perintah’. Oleh itu, ada baiknya kita mengulang kaji secara ringkas konsep ini.

Semasa menjajah Tanah Melayu, British memecahkan kosentrasi kuasa politik dan ekonomi penduduk Tanah Melayu mengikut kaum. Raja-raja dijadikan simbol dan kuasa mereka dibataskan kepada adat istiadat dan hal ehwal agama. Orang Melayu dibiarkan menjalani kehidupan tradisional di kampung-kampung. Kaum-kaum pendatang Cina dikerah berkerja di lombong-lombong bijih timah, India di estet-estet ataupun pegawai kerajaan, dan Nepal (Gurkha) sebagai pegawai keselamatan. Kaum peniaga Cina ditempatkan di bandar-bandar untuk menjalankan kegiatan ekonomi.  Masyarakat dipecah-pecahkan supaya konsentrasi kuasa politik dan ekonomi berpecah kepada poket-poket kecil mengikut kaum. Oleh sebab kuasa politik dan ekonomi tidak lagi tertumpu, upaya dan sumber untuk menentang penjajahan dilemahkan. Ini memudahkan pihak penjajah memerintah dan mengaut segala hasil negara. Inilah ‘pecah dan perintah’ ala British.

Setelah Merdeka, perpecahan masyarakat dibiarkan pemerintah negara yang mewarisi kuasa dari British. Pegawai tadbir Melayu asuhan British mewarisi kuasa politik dan kapitalis Cina menguasai ekonomi. Mereka membentuk golongan elit negara. Hubungan antara mereka amatlah erat. Bagi mengekalkan kuasa dan kekayaan dikalangan kelompok mereka, dasar ‘pecah dan perintah’ penjajah, bukan sahaja dibiarkan berterusan, tetapi disuburkan lagi, hingga ke hari ini. Apabila rakyat berpecah-pecah, tumpuan bagi menidakkan pembolotan kekayaan negara (oleh golongan elit) dilemahkan. Bagi memecah-belahkan rakyat, sentimen perkauman disemat kepada pemikiran rakyat biasa. Cina akan digambarkan sebagai ‘penipu’, ‘perompak hak Melayu’, ‘komunis’, ‘cuba memurtadkan Melayu’ oleh pemimpin Melayu kepada bangsanya. Manakala, Melayu digambarkan sebagai ‘malas’, ‘ekstrem beragama’, ‘ingin potong tangan’ dan ‘rogol wanita Cina yang tidak menutup aurat’ oleh pemimpin Cina kepada bangsanya. Tidak hairanlah jika kelas pertengahan dan bawahan Melayu dan Cina saling curiga-mencurigai dan tidak pernah bersatu (hinggalah baru-baru ini). Ini memudahkan golongan elit membolot kekayaan negara. Ini semua ‘pecah dan perintah’ ala BN. Dulu British, kini BN.

Walau bagaimanpun, strategi ini sudah basi. Masyarakat dari golongan pertengahan, terutamanya masyarakat Cina sudah celik. Kesedaran masyarakat dijelmakan dalam trend mengundi yang beralih kepada Pakatan Rakyat (PR). Pemimpin BN yang hanya tahu memerintah dengan kaedah ‘pecah dan perintah’ mula terdesak. Hasilnya – reaksi tidak bertanggungjawab seperti yang dibincangkan di awal penulisan.

Kedudukan Islam

Masyarakat Cina bangkit sejak 2008 lagi. Kebangkitan mereka bersebab, bukannya secara tiba-tiba atau spontan. Mereka merasakan yang mereka dizalimi, suara mereka tidak didengari dan kehidupan mereka semakin menekan.

Sebagai kaum Muslimin, pendekatan Islamik adalah dengan menjadi pembela kepada golongan yang merasakan diri mereka teraniaya. Renungkan penyebaran Islam di zaman sahabat. Mereka menakluki wilayah dari Parsi hingga ke Mesir. Ini dikecapi dalam tempoh satu generasi sahaja. Asas perjuangan mereka bukanlah bermotifkan politik, emperialisme ataupun ekonomi, tetapi untuk membebaskan penduduk setempat dari kezaliman Kisra Parsi dan Maharaja Rom dan menegakkan keadilan Islam. Inilah konsep dakwah yang paling efektif – menegakkan keadilan. Kita, selaku Muslimin, harus mencontohi para sahabat – dalam konteks negara ini; membela nasib orang Melayu, Cina, India, Bangla dan sesiapa sahaja yang dizalimi, ‘tanpa mengira bulu’. Manakala,  prejudis dan penindasan terhadap masyarakat bukan Melayu sama-sekali tidak Islamik dan counter-productive kepada penyebaran Islam.

Malangnya, pertubuhan-pertubuhan yang menonjolkan diri sebagai pembela agama seperti Perkasa, ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) dan Jati (NGO Hassan Ali) dilihat keliru dan gagal menghayati konsep Islam ini. Mereka masih terjerat dalam permainan ‘pecah dan perintah’ kerajaan. Secara sedar atau tidak, mereka menjadi ejen atau ‘tali barut’ kerajaan dalam menakut-nakutkan umat Islam yang susah dan miskin. Kata pertubuhan-pertubuhan ini, ‘Cina akan mengambil alih kerajaan’, ‘negara ini akan menjadi negara Kristian’ dan sebagainya. Racun-racun pemikiran begini membuatkan umat Islam yang mundur terus mundur dan ketakutan, curiga terhadap perubahan dan prejudis terhadap kaum lain. Kesannya, orang-orang kampung, golongan miskin dan tua mengundi secara defensif kepada BN, walhal, merekalah golongan yang paling beruntung jika perubahan berjaya dilakukan pada PRU-13. Usaha untuk meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ secara mutlak terbantut – semuanya angkara kebodohan dan kemunafikkan pertubuhan-pertubuhan ‘pembela agama’ tersebut.

Projeksi

Arus perubahan ini tidak boleh disekat lagi. Masyarakat Cina sudah bangkit secara total. Masyarakat Melayu (Islam) pula tidak mungkin diperbodohkan selama-lamanya. Sedikit masa lagi akan sedarlah orang Melayu keseluruhannya. PRU14 mungkin melihatkan penolakkan mutlak rakyat kepada BN, jika isu-isu perkauman dan agama terus dipermainkan.

Jadi, bagi pemimpin BN – usahlah marah kepada rakyat yang sudah muak dengan sistem ‘pecah dan perintah’ itu. Tidak perlu  menuding jari kepada masyarakat Cina atau Melayu yang tidak menyokong BN. Bertindaklah secara waras dan pimpinlah secara ikhlas. Buang sahaja slogan-slogan hiprokrit 1Malaysia dan Transformasi itu dan ini. Transformasi yang lebih utama adalah transformasi pendekatan pemerintahan kepada yang adil dan saksama. Jika ia terlalu sukar, ada baiknya di-’tranformasikan’ sahaja tompok kepimpinan BN. Jika tidak juga, rakyat pasti akan menolak BN secara mutlak di PRU akan datang. Ketika itu, rakyat akan menyambut kemenangan mereka sebagai ‘Merdeka semula’, dan BN akan disamakan dengan penjajah – perompak khazanah negara, didalam catatan sejarah.

Tiada ulasan: