Khamis, 23 Mei 2013

INSYAALLAH SATU HARI NANTI AKAN TERSERLAH KEBENARAN...SAMA2 KITA TUNGGU TANPA MEMBERHENTIKAN DOA DAN USAHA...PASTU TAWAKAL KEPADA ALLAH SWT

Tamrin juga kena tahan

Harakahdaily, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Polis menahan Tamrin Tun Ghafar sekejap tadi di sebuah restoran dekat Bangsar dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

"Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar," kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya.

Dengan penangkapan Tamrin, polis kini telah menahan empat orang iaitu aktivis pelajar Adam Adli, anggota Parlimen Batu Tian Chua dan akhtivis Asal Bukan Umno, peguam Haris Ibrahim.

Laporan lanjut menyusul.

Zahid, Noh disaran ambil cuti pergi belajar

Harakahdaily, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar diseru bercuti dan mendalamkan pengetahuan mereka mengenai sistem pilihanraya ‘first-past-the-post’ sebelum menyuruh rakyat keluar dari negara ini atau tinggal di hutan.


(Ong Kian Ming cadang Zahid dan Noh pergi belajar semula)

Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata walaupun Zahid betul ketika menyatakan bahawa sistem pilihanraya Malaysia diwarisi daripada United Kingdom sejurus selepas mencapai kemerdekaan, tapi beliau terlupa beberapa perkara penting.

Antaranya ialah cadangan Suruhanjaya Reid untuk mengehad perbezaan jumlah pengundi antara kawasan kepada 15 peratus dan kurang daripada purata mengundi setiap kawasan dalam negara.
“Jurang maksimum untuk kawasan pedalaman yang dibenarkan ialah 2 kepada 1 – yang bermaksud saiz pengundi kawasan terbesar hanya boleh dua kali lebih besar daripada saiz kawasan terkecil,” kata Ong.

Tapi di Malaysia, beliau berkata perkara ini tidak berlaku di mana parlimen Kapar mempunyai jumlah pengundi seramai 144,369, sembilan kali lebih banyak daripada parlimen terkecil iaitu Putrajaya yang hanya mempunyai 15,798 undi.

Pada 2011, kata Ong, UK telah meluluskan satu undang-undang untuk mengehadkan perbezaan itu kepada 5 peratus, di Australia pula dihadkan kepada 10 peratus manakala Kanada berada di 25 peratus.

Proses pensempadanan semua di Australia, kata Ong, pula terpaksa mematuhi had 3.5 peratus perbezaan jurang pengundi antara kawasan.

“Jika Australia, yang kawasannya sebegitu luas, boleh mengikuti sistem satu rakyat satu undi, tiada sebab Malaysia tidak boleh mengikutnya,” kata Ong.

Zahid dan Noh kini dikecam pelbagai lapisan masyarakat selepas menyeru rakyat yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihanraya di negara ini untuk berhijrah ke negara lain atau tinggal di hutan.

BN memenangi pilihanraya di pilihanraya umum ke 13 dengan majoriti 34 kerusi parlimen meskipun tewas undi popular sebanyak 4 peratus di tangan Pakatan Rakyat dengan memenangi majoriti kerusinya di kawasan parlimen yang jumlah pengundinya rendah dan di kawasan pendalaman.

Dakwa Umno sebar video lucah: Mustafa dan 2 lagi fail pembelaan

Muhammad Faizal, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, peguam Asmuni Awi dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong  memfailkan pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung saman Umno terhadap mereka ekoran isu penyebaran video lucah menjelang pilihan raya lalu.

Peguam Zulhazmi Sharif hari ini memfailkan pembelaan itu di Mahkamah bagi pihak ketiga-tiga defendan itu.

Zulhazmi yang ditemui di lobi Mahkamah memberitahu pihaknya telah menerima saman dari Umno yang meletakkan Datuk Ab. Rauf Yusoh sebagai plaintif berhubung dengan berita mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS.

Jelasnya lagi, pengurusan kes akan diadakan pada 16 Jun di Mahkamah NCVC 1.

Tetuan Mumtaz Md Nawi & Co mewakili Zulkifli Sulong (Defenden ketiga), manakala Tetuan Awi & Co bertindak sebagai peguamcara bagi Mustafa dan Asmuni (Defendan Pertama dan kedua).

Sebelum itu Umno pada 23 April lepas telah menfailkan saman fitnah terhadap Datuk Mustafa Ali, peguamnya dan HarakahDaily kerana didakwa mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS terbabit.

Saman tersebut dikemukakan oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh selaku pegawai awam Umno melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Tuntutan saman itu melibatkan lima artikel yang disiarkan oleh beberapa media termasuk Harakahdaily setelah Mustafa didakwa membuat kenyataan bahawa Umno terlibat dalam penyebaran video itu.

Laporan itu disiarkan pada 12 dan 13 April lalu apabila video lucah seorang lelaki menyerupainya tersebar di laman sesawang sejak 11 April lalu.

Ekoran penyebaran video itu, Mustafa dalam ceramahnya di Dungun mendakwa Umno terbabit dalam penyebaran video itu. Mustafa juga menafikan beliau meletakkan jawatan ekoran tuduhan itu dan menyifatkan ianya satu pembohongan.

Berita itu dibuat oleh Bernama dan disiarkan oleh Malaysiakini. Harakahdaily pula memetik berita itu.
Asmuni pula yang dilantik Mustafa sebagai peguamnya menafikan tuduhan itu dan turut  mendakwa Umno terlibat dalam penyebaran video lucah itu.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan partinya terlibat dalam penyebaran video lucah itu dan selepas itu menghantar notis saman kepada ketiga-tiganya iaitu Mustafa, Asmuni dan Zulkifli.

Tian Chua, Haris Ibrahim ditahan

Harakahdaily, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Tian Chua serta aktivis NGO Asal Bukan Umno (ABU) Haris M Ibrahim hari ini ditahan polis dipercayai ada kaitan dengan program himpunan SuaraRakyat505 Sabtu ini.

Pembantu Tian, Rozan Azin Mat Rasip ketika dihubungi Harakahdaily berkata, bosnya itu ditahan di lapangan terbang LCCT tengahari ini sebelum melepasi pemeriksaan keselamatan untuk ke Kelantan.

"20 minit lalu saya menelefonnya dan beliau memaklumkan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

"Mungkin ada kaitan sama ada dengan ucapan pada forum 13 Mei di Dewan Himpunan Cina sebelum ini atau himpunan Black505," katanya.

Tian melalui Twitternya dalam pada itu turut menyebut polis menahannya berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan.

Sementara itu, setiausaha agung PSM S Arutchelvan dalam satu tulisan di Facebook pula berkata Haris, yang mengetuai NGO Asalkan Bukan Umno, ditahan oleh lima orang anggota polis ketika sedang makan tengahari di Segambut.

Haris pagi ini hadir di bangunan kompleks mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan ke atas aktivis siswa Adam Adli yang dituduh mengikut Akta Hasutan hari ini.

KDN rampas Harakah di beberapa negeri pagi ini

Salmiyah Harun, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini bertindak merampas akhbar lidah rasmi PAS, Harakah di beberapa buah negeri di seluruh negara.

Antara negeri yang dilaporkan berlaku rampasan itu termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perak.

Menurut Pengurus Pemasaran Harakah, Ahmad Faisal Tawang, pagi ini beliau menerima pangggilan telefon daripada pengedar-pengedar yang memaklumkan pihak KDN menjalankan operasi merampas Harakah.

Katanya, KDN bukan sahaja merampas Harakah di kedai-kedai malah turut menyerbu premis pengedar.

Jelasnya, di Melaka dianggarkan lebih 500 naskah Harakah dirampas manakala di Alor Setar Kedah pula dilaporkan sebanyak 1,000 naskah.


"Di Seremban Negeri Sembilan pejabat pengedar turut diserbu oleh KDN. Tetapi di Kedah pihak KDN tidak menunjukkan kad penguatkuasa dan surat dari KDN yang sah sebelum bertindak," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan beliau turut mendapat maklumat, di Alor Setar KDN menggunakan lima van kementerian itu untuk merampas Harakah.

Harakah yang dirampas adalah Edisi Jumaat 24-26 Mei yang memaparkan tajuk muka depan "GST hadiah BN untuk rakyat".

Kes Sosilawati: 4 tertuduh dihukum mati

Harakahdaily, 23 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya tiga tahun lalu.

(Gambar: Mursyidul Am PAS TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disambut bekas suami Sosilawati, Bukhairi Mohamed (kiri) ketika menziarahi keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak tiga tahun lalu)

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 julai 2011.

Katanya sebagaimana dipetik Sinar Harian online, pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melangkaui kerugian munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Pathmanabhan, 44; T Thilaiyagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010.

Pada 12 Sept 2010 polis mengesahkan jutawan kosmetik itudan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting.

Tiga lagi ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

BN Sabah hilang majoriti 2/3 jika ‘1 orang, 1 undi’

Harakahdaily, 23 Mei 2013
KOTA KINABALU: Barisan Nasional sudah tentu hilang majoriti dua pertiga di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah pada PRU13 baru-baru ini sekiranya benar-benar wujud sistem ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata dengan 55.78 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk 60 kerusi Dun Sabah, iaitu 427,890 undi, BN sepatutnya hanya berjaya mendapat 34 kerusi Dun bukan 48 kerusi, iaitu 80% kerusi Dun.

Katanya, ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS yang bertanding di kesemua 60 kerusi Dun mendapat 248,185 undi atau 32.36% daripada jumlah undi keseluruhan, dan sepatutnya memenangi 20 kerusi bukannya 11, iaitu 18.33% daripada 60 kerusi.

Menurutnya, Star yang meletakkan 47 calon Dun, memenangi satu kerusi, dengan 5.63% daripada jumlah undi keseluruhan sementara SAPP bertanding di 41 kerusi mendapat 28,305 undi atau 3.69% daripada jumlah undi keseluruhan, tidak memenangi sebarang kerusi.

Beliau berkata, sekalipun oposisi yang kuat dan bersemangat sudah dipulihkan di Dun Sabah selepas dua dekad ketiadaannya, dengan 11 Adun Pakatan Rakyat iaitu 4 daripada DAP dan PKR (7) dan satu dari Star, pilihan raya umum pada 5 Mei merupakan pengajaran berharga buat oposisi di Sabah, yakni BN sudah tentu kalah lagi empat kerusi parlimen dan lapan kerusi Dun jika tidak kerana undi pecah di kalangan calon oposisi.

Empat kawasan Parlimen itu, katanya adalah Keningau, Kota Marudu, Pensiangan dan Tenon sementara lapan kerusi Dewan Undangan Negeri adalah Elopura, Melalap, Kundasang, Liawan, Paginatan, Kiulu, Nabawan dan Tambunan.

“Pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat sedang menganalisa keputusan pilihan raya umum Sabah untuk merangka pelan tindakan bagi memulakan kempen susulan bagi memenangi hati majoriti rakyat Sabah, kerana pilihan raya seterusnya akan menjadi dua perjuangan untuk ‘Ubah – di Putrajaya’ dan juga kerajaan negeri Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluakan di sini, hari ini.

Kes Adam disebut semula 2 Julai, ikat jamin RM5,000

Muhammad Faizal, 23 Mei 2013


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini membebaskan Adam Adli Abdul Halim dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian setelah aktivis mahasiswa itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui ucapannya pada 13 Mei lalu.

Mahkamah juga membuat keputusan kes tersebut akan disebut semula pada 2 Julai depan.

Adam, 24, dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Beliau yang diwakili peguam S Ambiga sebelum ini ditahan selama lima hari di lokap Balai Polis Jinjang.

Pagi tadi, lebih 50 orang penyokong aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim hadir di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, pagi ini bagi memberi sokongan kepada Adam yang akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Adam telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) C Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu berhubung ucapan beliau pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor 13 Mei lalu.

Adam, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.

Turut hadir peguam N. Surendran, S Ambiga dan juga bapa Adam, Abdul Halim Abdul Hamid.

Pada awalnya keadaan menjadi sedikit kecoh apabila pihak polis tidak membenarkan penyokong Adam Adli memasuki pekarangan lobi mahkamah.

Namun keadaan kembali reda apabila perbincangan dilakukan antara penyokong dengan pihak polis.


Tiada ulasan: