Rabu, 29 Mei 2013

UNTUNG LAGI BERSUAMI USTAZ....ADA MASALAH BOLEH BERTANYA TERUS...BERSUAMI ORANG SOLEH PULA...IA BIMBIMG JADI SOLEHAH...INSYAALLAH...CAKAP KENA BERLAPIK

Nasrudin ke Tanah Suci membawa doa TGNA

Harakahdaily, 29 Mei 2013

(Nasrudin bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz di Kota Bharu semalam)


TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan merangkap Ahli Parlimen Temerloh akan pergi berumrah hari ini dan membawa bersamanya doa Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Makkah.

Minggu lalu, Nasrudin  telah sempat bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz di Kota Bharu.

“Sejurus sampai ke Makkah al Mukarramah nanti anta nak doa apa?” tanya Tuan Guru Nik Aziz  kepada Nasrudin.

Lalu Nasrudin membalas, "Ayah Ziq nak suruh ambo berdoa lagu mana?”

Jawab Tuan Guru Nik Aziz, "Kalau ana, ana nak anta doa supaya Allah swt buka pintu hati semua pemimpin negara ini kembali kepada Islam dan mentaati syariah Allah swt..."

Selain itu, Nasrudin berkata beliau juga akan berdoa untuk seluruh warga Temerloh kepada agar dikurniakan kesejahteraan, kebahagiaan dan ketenangan di dunia dan akhirat kelak.

“Jua bebaskan seluruh warga Temerloh dari pelbagai musibah atau ujian yang tidak mampu dihadapi. Doa saya jua bersama seluruh warga Dewan Pemuda PAS agar terus thabat dan istiqamah bersama prinsip ilmu dan amal Islami mendepani cabaran perjuangan getir ini,” kata beliau.

Nasrudin akan berumrah bersama tetamu kekolaan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Dewan Pemuda PAS Malaysia di bawah syarikat pelancongan An Nuur Travel.

Dakwat tanggal: Pengundi 6 Dun lapor polis

Harakah, 29 Mei 2013
ALOR SETAR: Para pengundi dari enam Dewan Un­dangan Negeri (Dun) di negeri ini telah berkumpul beramai-ramai membuat laporan polis ber­hubung penipuan dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 3.00 petang kelmarin bersama-sama para pemimpin Pakatan Rakyat.

Antara yang hadir bersa­ma ratusan pengundi terse­but ialah Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah (PAS), Adun Kubang Rotan, Nasir Mustafa (PAS), Adun Bukit Pinang, Wan Romaini (PAS) dan Adun Kota Da­rul Aman, Teoh Boon Kok (DAP).

Amiruddin ketika sidang media di hadapan IPD Kota Setar menjelaskan laporan polis itu dibuat ekoran dak­wat kekal yang dicalit pada kuku jari telunjuk itu hilang dalam tempoh yang singkat sedangkan SPR memberi jaminan ianya kekal selama tujuh hari.

“Awal dulu mereka kata (dakwat mudah hilang kerana) tak goncang dulu, kemudian pada hari mengundi berlaku juga. Implikasinya seorang pengundi boleh mengundi lebih daripada sekali.

“Ini terbukti dalam kes di Kubang Rotan apabila seorang nyonya (Cina) tidak dapat mengundi kerana orang lain telah mengundi bagi pi­hak dirinya,” ujar beliau.

[Laporan lanjut dalam Harakah edisi Jumaat, 21 Mei -2 Jun]

Mukhriz bercuti ke London?

Harakah, 29 Mei 2013
ALOR SETAR: Selepas 17 hari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan bercuti ke luar negara.

Beliau yang mengang­kat sumpah Menteri Be­sar 6 Mei lalu di hadapan Pengerusi Jemaah Pemang­ku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit telah berlepas ke London pada 22 Mei lalu.

Menurut sumber, Mukhriz ke London atas urusan peribadi dan majlis angkat sumpah di sidang Dun Ke­dah yang dijadualkan pada 3 Jun depan terpaksa di­tangguhkan ke 23 Jun.

[Laporan lanjut dalam Harakah edisi Jumaat, 21 Mei -2 Jun]

Hasutan: 4 tertuduh mengaku tidak bersalah

Harakahdaily, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kesemua empat individu yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 berkait ucapan dalam satu forum di Dewan Himpunan Cina pada 13 Mei lalu hari ini mengaku tidak bersalah.

Kesemua mereka iaitu Ahli Parlimen Batu Tian Chua, aktivis mahasiswa Safwan Anang, aktivis ABU Haris Ibrahim dan aktivis PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar membuat pengakuan itu dihadapan hakim Mahkamah Majistret 1 Norsharidah Awang hari ini.

Kesemua mereka semalam ditangkap dan hari ini dituduh di mahkamah di bawah Seksyen  4 (1) (b).

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 kecuali Safwan. Hakim Norsharidah Awang menetapkan 2 Julai 2013 sebagai tarikh perbicaraan.

Tidak logik lagi doktor lelaki sambut bayi

Mohd Sabri Said, 29 Mei 2013
KEPALA BATAS: Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (gambar) menyarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya mengasingkan tugasan perbidanan kepada golongan wanita sahaja.
Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ubat-ubatan Dan Vaksin Yang Tidak Halal: Perbincangan Serta Fatwa Ulama Dalam Penggunaan Dan Pengurusannya' di Konvensyen Perubatan Islam dan isu Fiqh Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Perbadanan Produktiviti Negara, di sini pagi tadi.

Kata beliau, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan agar wanita yang bersalin disambut oleh doktor wanita sahaja bukan lelaki seperti yang berlaku di sesetengah hospital hari ini.

"Saya sarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya buat perubahan besar dalam kaedah perbidanan agar tidak membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi sebaliknya ianya diuruskan oleh doktor wanita," ujarnya.

Beliau yang sering bersiaran di TV Hijrah turut bertanya kepada peserta konvensyen adakah tuan tidak rasa malu tubuh badan isteri anda dilihat oleh 8 orang doktor dan pembantu doktor dalam bilik bersalin.

Katanya lagi, tidak wajar kemajuan negara yang semakin canggih masalah tersebut tidak boleh diatasi lagi.

Lagipun sekarang ini, ujarnya tidak logik sebuah negara yang sudah lama merdeka tidak boleh mengubah perkara sedemikian kerana ia tidak memerlukan akta.

"Masa kini tidak logik lagi sekiranya masalah sambut bayi tidak boleh diberikan tugasan kepada doktor wanita sepenuhnya sebab doktor wanita dah ramai di bahagian perbidanan," tegasnya.

Program anjuran Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara dan International Muslim Aid Malaysia (IMAM ) itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sabri Osman.

Najib cuma layak pimpin ‘Kerajaan 2T’

Harakah, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno ­BN bukan sahaja kerajaan minoriti tetapi ke­rajaan 2T iaitu kerajaan tiru dan tipu, kata Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar.

“Sebelum pilihan raya, tanpa rasa malu sedikit pun, BN meniru manifesto Pakat­an Rakyat semata­ mata ke­rana hendak menipu rakyat supaya menyokong parti itu.

“Dalam pilihan raya pu­la, laporan demi laporan polis dikemukakan men­dedahkan penipuan dalam pilihan raya yang mem­berikan kerusi yang lebih banyak kepada kerajaan minoriti Umno­BN itu.

“Sebab itulah kerajaan pimpinan (Dato’ Seri) Najib (Tun Razak) adalah ke­rajaan 2T,” katanya.

Mahfuz yakin, imej ke­rajaan tipu pilihan raya tidak akan lekang dari kerajaan Umno­BN yang hanya men­dapat kira­kira 47 peratus undi popular sahaja.

“Imej kerajaan tipu pi­lihan raya bukan sahaja akan terus melekat kepada kerajaan 47 peratus pimpin­an Presiden Umno, tetapi tanggapan tipu pilihan raya itu akan semakin tersebar sehingga tertanam dalam pemikiran semua rakyat.

“Bila sebut kerajaan Umno­BN, bila sebut ke­rajaan Najib, majoriti rakyat akan terus kata ‘oh, keraja­an tipu pilihan raya’,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

[Laporan lanjut dalam Harakah edisi Jumaat, 21 Mei -2 Jun]

PAS Sarawak harap ada jalan darat yang baik

Hazayani Zakaria, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak meminta tindakan setimpal dikenakan ke atas pengusaha bot yang gagal mematuhi peraturan dengan membawa lebihan muatan.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid (gambar) berkata, pihak pengusaha bot harus bertanggungjawab atas insiden bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, semalam.

"Bot yang karam itu membawa lebihan penumpang dan muatan hingga ada yang duduk atas bumbung bot.

"Pihak pengusaha bot seharusnya mengutamakan keselamatan penumpang, bukan mengutamakan keuntungan tapi akhirnya kemalangan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Adam juga berkata, kerajaan juga harus memberi perhatian kepada kemudahan asas penduduk Sarawak agar kejadian sebegini tidak berulang.

"PAS mengharapkan ada jalan darat yang baik untuk penduduk Sarawak dan  pengangkutan air perlu ditingkatkan tahap keselamatan operasinya memandangkan ini adalah jalan utama penduduk di sini.

"Memang menjelang Hari Gawai ramai penduduk yang akan pulang ke kawasan pedalaman dan mengambil masa yang lama dan tidak selamat," katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tersebut.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, bot ekspres tersebut karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu.

Siasatan awal menunjukkan bahawa bot ekspres tersebut melebihi kapasiti 67 tempat duduk dan dipercayai terlebih muatan dengan 200 penumpang pulang dari pesta Gawai Dayak, kemudian menghadapi masalah enjin gagal berfungsi sebelum merempuh batu dan karam.

Permata: Beruntungnya Rosmah bersuamikan PM

Harakahdaily, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuji isterinya sendiri dalam suatu program rasmi kerana beliau mengusahakan kerja-kerja kebajikan termasuk projek pendidikan awal kanak-kanak iaitu Permata.
“Terlalu besar jasa Datin Seri Rosmah pada pandangan PM sehingga beliau hanya nampak isterinya sahaja yang berjasa kepada negara yang tidak mampu ditandingi oleh rakyat lainnya,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya, umum mengetahui projek Permata, iaitu pendidikan awal kanak-kanak adalah usaha Rosmah dan ia di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Peliknya, ujar beliau kerana projek tersebut diberikan kepada isteri PM sendiri dan bukannya Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kemajuan Masyarakat.

Menurutnya, mungkin Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak layak menjalankan projek ini sehingga isteri PM terpaksa menggalas tugas projek kerajaan.

Beliau berkata, pujian PM menonjolkan satu lagi projek kronisme apabila memberikan imbuhan projek kepada isterinya dengan peruntukan yang besar.

“Beratus juta dibelanjakan hanya untuk projek Permata sedangkan banyak lagi institusi pendidikan yang jauh lebih penting tidak dibantu seserius Permata,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam keadaan demikian, tanya beliau apakah Permata telah mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan membanggakan atau sekadar ianya projek syok sendiri.

Riduan menambah, yang hanya diketahui Permata hanya bermanfaat untuk segelintir kanak-kanak, seperti golongan elit sedangkan jutaan lagi kanak-kanak terutama di kawasan pedalaman tidak mendapat apa-apa manfaat daripada Permata.

“Dalam keadaan begitu, beliau masih diangkat dan dipuji oleh PM yang juga suaminya sendiri.

“Beruntungnya Datin Seri Rosmah bersuamikan PM yang terlalu sayangkannya. Sayangkan isteri, puji isteri di khalayak atas jasa-jasanya dan beri isteri projek kerajaan yang menguntungkan.

“Inilah pasangan suami-isteri ‘mithali’ menjadi teladan bagi seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

IPCMC: Tamatkan kematian dalam tahanan polis

Harakahdaily, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pengumuman oleh Pengarah Pengurusan Bukit Aman Mortadza Nazarene bahawa pihak polis akan menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membendung insiden melibatkan kematian di dalam lokap polis amat tidak memuaskan dan tidak boleh diterima.

Lim Kit Siang (gambar) berkata, ini memandangkan apa yang rakyat Malaysia mahukan adalah Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti mana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin pada 2005 lalu bagi menamatkan terus insiden kematian dalam tahanan polis yang memalukan dan tidak berkesudahan.

Katanya, rakyat Malaysia tidak yakin terhadap KPN atau mana-mana jawatankuasa khas polis sekalipun diketuai KPN untuk menamatkan insiden kematian dalam tahanan polis.

Ini, katanya kerana selepas menunjukkan dirinya sebagai KPN paling ‘bersifat politik’ dalam sejarah pada minggu pertama dengan meletakkan keutamaan tertinggi adalah untuk melindungi rejim berbanding keselamatan rakyat daripada jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah dan tidak begitu mengambil kira hak asasi kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman oleh rakyat.

“Khalid telah menjadi timbalan KPN sejak April 2011 dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang telah dia lakukan sepanjang dua tahun lalu sebagai orang No.2 di dalam pasukan polis dalam menamatkan insiden kematian dalam tahanan polis, satu perkara keji dan memalukan yang ditonjolkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin lama dahulu pada tahun 2005?” kata Lim dalam satu kenyataan.

Malah sekarang, ujarnya meskipun berlaku dua lagi kematian di dalam lokap polis, N. Dharmendran, 32, di ibu pejabat polis KL pada 21 Mei dan R. Jamesh Ramesh, 40, di ibu pejabat polis Pulau Pinang pada 26 Mei, pengumuman pihak polis sekadar berbentuk amalan perhubungan awam, kerana penubuhan jawatankuasa khas polis belum lagi dilaksanakan dan masih dalam perancangan.

“Berapa banyak kematian dalam tahanan polis telah berlaku sepanjang lapan tahun lalu sejak laporan dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin pada 2005?” tanya Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Justeru, beliau bertanya apakah pihak polis bersedia untuk mendedahkan kepada umum senarai kematian dalam tahanan polis sepanjang lapan tahun lalu sejak RCI Polis Dzaiddin, menyatakan tindakan yang telah diambil pada setiap kes, termasuk hukuman ke atas anggota polis yang ingkar.

Menurutnya Mortadza bercakap tentang polis membenarkan lawatan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memantau insiden kematian dalam tahanan polis.

“Itu tidak mempunyai apa-apa makna apabila sudah lebih dari sebulan tiada seorang pun Pesuruhjaya Suhakam sejak tamat tempoh pelantikan kumpulan Pesuruhjaya Suhakam yang lalu,” ujarnya yang juga Penasihat DAP.

Tiada ulasan: