Selasa, 28 Mei 2013

TABUR JANJI MUDAH NAK TUNAI TU PAYAH ATAU SAMPAI KESUDAH TAK TUNAI2

Menunaikan janji sekolah anak-anak mangsa ISA

Catatan Perjalanan Ahmad Lutfi Othman, 28 Mei 2013


(Isteri mangsa ISA, Norhata menyambut Ahmad Lutfi dan isteri dalam kunjungan 19 Mei lalu)


Pagi Ahad, 19 Mei, pesawat Air Asia mendarat  di lapangan terbang Sandakan, tepat pada masanya. Ia kali ketiga saya meneruskan misi bantuan kepada keluarga tahanan ISA. Memang sebahagian besar mangsa kezaliman tahanan tanpa bicara itu telah dibebaskan, tetapi bahananya belum berakhir, terutama Jamal Azahari yang dipindahkan ke penjara di Manila.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah menyambut kami -- saya, isteri Siti Hawa dan seorang rakan. Dari jauh saya perhatikan bekas calon PAS Batu Sapi dalam PRU13 ini agak gelisah.


(Gembira melihat anak-anak Jamal Azahari menjamah ayam goreng.)

"Ingatkan anta disekat dari masuk Sabah?" kata Hamzah, sambil pantas mengambil beg pakaian dari tangan saya. Sebenarnya saya bersembang panjang dengan seorang kenalan baru semasa menunggu bagasi. Bersama keluarga, dia mahu meneroka keindahan di sekitar Sandakan, khususnya pulau-pulau cantik.

"BN memang penipu, kita takkan boleh menang jika biarkan saja penipuan ini," Hamzah terus mengomel panjang. Suasana dingin pagi itu seperti tidak dapat menyejukkan perasaannya. Sambil memandu, bersemangat sekali dia meluahkan rasa tidak puas terhadap pengendalian PRU13.


Hamzah mengajak saya mengikutnya ke majlis jamuan kesyukuran kepada petugas PAS di Batu Sapi tengahari isu. Hasrat hati memang mahu bersama meraikan tetapi kaki saya agak kejang. Apatah memikirkan jadual saya -- untuk tiga hari di Sandakan -- agak padat untuk menziarahi bekas tahanan ISA.

Lebih penting, saya harus menunaikan janji buat Jamal Azahari, untuk menyekolahkan anak-anaknya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal. Segera tergambar rumah usang yang didiami lapan beranak, dengan lantai hampir reput dan pintu yang mudah ditolak begitu sahaja.

Tentunya saya juga ghairah mahu menelusuri situasi politik Sabah pasca PRU13. "Di sini, politik wang lumrah. Duit diagihkan di tengahari buta, diangkut penuh kereta," cerita seorang aktivis muda PAS ketika kami bersambung sembang di sebuah restoran selepas saya diminta Hamzah berkongsi idea tentang keputusan PRU13.

"Kenapa tak ambik gambar, boleh buat bahan bukti," tanya saya, lurus. "Kita tak ramai, silap-silap bukan dikerjakan petugas BN tapi orang ramai yang rasa kita halang mereka dari dapat duit. Di rumah atas air, Kg Bahagia, yang anta pergi semalam tu, pengundi tak kisah isu mansuh tol, PTPTN, minyak turun, mereka mahu duit untuk belanja esok harinya," jelasnya panjang lebar.


(Suasana gelap tidak bercahaya, dulunya ruang tamu rumah Norhatta, sekarang bertukar dapur.)

Bicara politik saya tangguhkan. Saya berkejar untuk mendaftar empat anak Jamal Azahari dan Norhatta Paraji  di Madrasah Nurul Ihsan, sebuah sekolah agama rakyat. Kemudiannya membeli keperluan asrama dan sekolah mereka. Nampak anak-anak yang tidak pernah bersekolah ini agak kekok untuk melalui dunia baru. Seterusnya berbincang dengan peneman setia kami sepanjang di Sandakan, Suaidah, adik Aiman Athirah, tentang ubahsuai rumah buruk Norhatta.

Ada waktu terluang saya sempat menjenguk empat keluarga bekas tahanan ISA. Saya terpaksa meminta dua darinya turun ke bawah; kaki tak mampu menapak ke tingkat empat PPR. Untuk hari pertama, saya masih ada kudrat untuk menziarahi perkampungan atas air di Jalan Batu Sapi, perlahan-lahan mengatur langkah di atas pelantar kayu yang uzur, tetapi pada hari terakhir, dua jam sebelum bertolak ke airport, saya hanya mampu bertanya khabar mereka di bahu jalan. Dalam keadaan tergesa-gesa, memang tidak selesa untuk bertongkat bertamu di rumah keluarga tahanan, walaupun maklum mereka amat mengharap dapat mengirup secangkir kopi panas.

Kemiskinan dan kemelaratan adalah pemandangan biasa di Sabah, apatah lagi membabitkan kawasan penempatan pendatang asing. Tidaklah saya sampai bermimpi  untuk mengubah senario suram itu, tetapi cukuplah jika kami dapat membantu keluarga teraniaya, seperti Jamal-Norhatta membina kehidupan baru, dengan anak-anak dapat bersekolah dan berteduh di rumah yang agak sempurna, khususnya menjelang Aidil Fitri akan datang.

Terima kasih atas bantuan ikhlas anda, terutama buat pembaca Harakahdaily yang banyak menyumbang, menyambut rayuan awal saya sebelum bertolak ke Sandakan tempohari. Sokongan anda telah saya salurkan kepada mereka yang amat memerlukan. Jika anda bersedia untuk terus membantu, terutama bagi melancarkan proses ubahsuai rumah Norhatta, saya cukup berbesar hati. Salurkan  terus kepada akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM, no 5640 7000 0336.

Pasar Payang: Rakyat terus bantah perobohan

Harakahdaily, 28 Mei 2013
KUALA TERENGGANU: PAS akan memperkasa usaha mengekalkan warisan di negeri Terengganu, termasuk kempen memulihara dan mengekalkan Pasar Besar Kedai Payang dekat sini.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu Dr Alias Razak (gambar kanan bawah) berkata, PAS seiring dengan kehendak rakyat mendesak kerajaan negeri membatalkan rancangan meroboh Pasar bersejarah tersebut.

Katanya, melalui Lujnah Hal Ehwal Dun, PAS telah menugaskan Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah supaya meningkatka usaha mempertahankan pasar itu, lapor Buletinonline.

"Dalam mesyuarat Lujnah hal Ehwal Dun pada Khamis kita telah menugaskan secara rasmi, Raja Datuk Kamarul Bahrin bagi meningkatkan usaha memulihara warisan di negeri Terengganu, khususnya Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi fokus ramai pihak sekarang,"ujarnya ketika dihubungi.

Menurutnya, tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini cuba mengalihkan tumpuan aktitiviti perniagaan dari Pasar Kedai Payang kepada Bazar Warisan yang dibina dengan dengan kos RM17 juta telah gagal.



Robohkan Pasar Payang


Sementara itu, Persatuan Pelancongan Terengganu menyarankan kerajaan negeri Terengganu mempertimbang semula rancangan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel.

Pengerusinya Wan Supian Wan Ishak berkata ini kerana Pasar Besar Kedai Payang merupakan bangunan ikon dan warisan negeri.

"Kalau kerajaan negeri roboh bangunan itu, bermakna hilanglah sebuah bangunan warisan. Kerajaan tidak perlu roboh Pasar Payang.

"Kerajaan mempunyai banyak lagi pilihan seperti kawasan tambakan di Kampung Seberang Takir seluas 140 hektar di mana kerajaan boleh bina hotel bertingkat-tingkat di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung kali ke-24/2013 Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu di sini baru-baru ini, yang disempurnakan Pengarah Pelancongan Terengganu Mohd Sabri Zakaria.

Wan Supian berkata adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengeluarkan peruntukan membaiki atau membaikpulih ikon negeri itu tanpa menjejaskan konsep asal.

Pasar Payang merupakan satu daripada destinasi yang mendapat perhatian pelancong yang berkunjung ke negeri ini, katanya.

Beliau berkata keadaan fikizal Pasar Payang pada umumnya masih lagi baik dan tahan, kecuali struktur di bahagian menjual ikan yang didapati tidak selamat dan perlu diperbaiki.

"Kami berpendapat kawasan itu boleh dibaiki atau dibuat tapak baharu supaya selamat," katanya di petik agensi Bernama.

PRU13 terbit wajah hodoh kuasawan Melayu Umno

Harakahdaily, 28 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Hasil Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini sesungguhnya menerbitkan warna-warna hodoh yang tersembunyi selama ini di dalam benak kalangan pemimpin dan kuasawan Melayu Umno.
"Begitu jelaslah mereka ini menganggap mereka sahajalah yang layak memerintah negara ini. Pada zahirnya, mereka ini seolah-olah mahu akan demokrasi tetapi batinnya tidak  demikian," ujar Ketua Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), Dr. Shaharir Mohamad Zain (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, sekalipun pilihan Raya Umum (PRU) diadakan hampir setiap 5 tahun, namun pada masa yang sama mereka ini, sang “politikus” ini, akan melakukan apa sahaja cara di luar kerukunan demokrasi itu sendiri seperti menjadikan media sebagai alat propaganda politik berat sebelah, menyalah-gunakan konsep menanam budi di musim pilihan raya,  sehingga boleh ditafsir sebagai usaha merasuah secara halus, dan menggerrimander (melakukan persempadanan pengundian secara tidak adil) dan menyunglap atau bermain silap mata dengan kaedah PRU bagi memastikan kemenangannya.

Dalam keadaan apapun, ujar beliau mereka yang berjaya mengalahkannya atau menyebabkan kurang undi kemenangannya akan dicap dengan label-label buruk, didenda atau dicerca dengan pelbagai kaedah, secara langsung atau tidak langsung.

Justeru, tambahnya negeri yang diperintah oleh parti lawannya akan didera dengan pelbagai caranya, dan mereka yang dikenal pasti telah tidak memilihnya di mana jua pun akan diberi layanan yang tidak sama dengan mereka yang diketahui telah menyokongnya.

Nampaknya, kata beliau budaya dendam kesumat ini sudah semakin berkuku dalam sistem politik tanah air.

"Hal keadaan sebegini kelihatan sangat menjolok sekali berlaku dengan jeleknya dan kejinya selepas PRU13 kerana sokongan yang diraih oleh parti yang selama ini begitu angkuh jelas begitu merosot pencapaiannya sehingga tinggal hanya sekitar 47% sahaja rakyat yang menyokong parti pemerintah Pusat, Barisan Nasional (BN); bahkan ada pula negeri yang diperintah oleh parti sang kuasawan itu  memperoleh undi hanya sekitar 44% sahaja," ujarnya lagi.

Baginya, jelaslah sang kuasawan itu langsung tidak boleh mengakui atau tidak mahu menerima hakikat bahawa rakyat sudah tidak mahu lagi diperintah oleh parti yang hilang kredibiliti walaupun telah memerintah sejak 50-an tahun dahulu.

Menurut beliau lagi, pemimpin-pemimpin parti yang kehilangan integriti ini tidak boleh dan tidak mahu menerima kuasa rakyat dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Oleh kerana itulah, kata beliau hasil pilihan raya PRU13 telah ditafsirkannya sebagai mengikut kehendak gelagat  hawa nafsu cauvinis sempit Melayu yang mudah melemparkan tohmah dengan menghina, memperbodoh, dan mempersalahkan kalangan rakyat yang selama ini dianggapnya wajib menyokongnya walaupun atas sebab-sebab yang juga menjurus kepada perkauman.

"Dengan melihat apa yang telah dan sedang berlaku di tanah air, Gatera berasa terpanggil untuk menyedarkan para pemimpin besar atau kecil itu agar menginsafi persoalan, apakah rasionalnya kita menghabiskan tenaga secara besar-besaran dan wang beratus juta ringgit untuk mengadakan pilihan raya jikalau para “politikus” yang berkuasa itu terus-menerus berpendirian tidak mahu atau tidak redha bila-bila masa pun untuk rakyat memilih calon pemimpin yang lebih bersih, lebih berintegriti dan yang peka terhadap keperluan rakyat dan kepentingan negara melalui saluran demokrasi yang ada menerusi pilihan raya yang bebas?” kata beliau.

Beliau berkata, Gatera dengan ini ingin mengajak rakyat semua kaum di Malaysia ini supaya bertindak waras dengan tidak mengikuti atau terperangkap dalam gejolak serakah para pemimpin politik, institusi, atau BBK yang telah berseronok-seronok dalam syurga-loka nafsu kekuasaannya selama ini.

Kini, ujarnya mereka yang setelah diuji oleh badai kebangkitan kesedaran rakyat, wajiblah insaf bahawa demi kepentingan negara dan bangsa Malaysia, mereka haruslah berubah untuk memperbaiki diri agar keunggulan akhlak yang bersih, kesungguhan mengamalkan keadilan dan sifat amanah, adalah tanggungjawab yang utama kepada rakyat, dan bahawa kuasa yang dipegang itu adalah dari rakyat dan untuk rakyat.

"Gatera berasa lebih-lebih terpanggil lagi untuk menyatakan kerusuhan hati  terhadap mereka yang mencipta pelbagai ungkapan perkauman yang akan memperburuk lagi suasana hubungan kaum dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia yang memerlukan pemupukan dan galakan pada setiap masa demi mewujudkan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia," katanya.

Hujah badminton Zul Noordin sudah lama di'smash'

Harakahdaily, 28 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Semalam calon BN yang 110% yakin untuk menumbangkan Khalid Samad di parlimen Shah Alam, Datuk Zulkifli Noordin menggunakan analogi badminton untuk berhujah mempertahankan sistem pilihanraya negara.


(Ciuman maut untuk Zul Nordin)

Zulkifli membayangkan tiga set badminton antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak di mana kesudahannya Najib menang 21-19, 3-12 dan 21-9.

"Apabila pengadil mengumumkan Najib menang dengan 2-1, Anwar tiba-tiba bangkit melalak mendakwa dia patut menang kerana mendapat 59 poin atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan point pertandingan (sebanyak 104) sedangkan Najib hanya mendapat 45 point atau 43% daripada keseluruhan point pertandingan!

"Saya cukup pasti kalau Anwar mendakwa sedemikian, penonton sama ada akan berkata dia sakit otak, atau tidak ada otak langsung! Kerana apa? Kerana kita semua tahu dalam pertandingan badminton, penentuan juara ditentukan melalui jumlah set yang dimenangi, bukan jumlah point yang dikutip!" kata Zulkifli.

Sebenarnya, hujah Zulkifli sudahpun lapuk.

Ia telah dijawab Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hampir dua minggu yang lalu dengan menggunakan analogi badminton yang sama untuk berhujah dengan cerita yang sedikit kelainan.

Ketika itu, cerita yang disebar ialah:

“BN lawan badminton dengan PR. BN menang 21-19, 15-21, 21-19. PR protes kata dia patut menang kerana dapat 59 mata (19+21+19), BN pula dapat 57 mata (21+15+21). PR protes seluruh negara kata perlawanan tak adil dan dia yang menang. Siapa nak percaya kalau orang faham sistem?”

Berikut pula ialah jawapan yang diberi Tuan Ibrahim:

“Isu sebenarnya ialah bantahan terhadap kerusi-kerusi yang kalah, dan bukan undi popular. Undi popular cuma membuktikan majoriti rakyat menyokong PR walaupun tewas dalam pilihanraya. Takda siapa suruh PR diumum pemenang kerana undi popular.  Menggunakan analogi badminton tadi ialah PR mempertikaikan 2 set yang dimenangi BN kerana ada pengadil dan penjaga garisan yang main tipu, bola IN kata OUT.  Ada saja yang sengaja tak nak faham dan takut undi popular dijadikan isu,” jawabnya di dalam satu poster.

Tidak cukup dengan itu, semalam Tuan Ibrahim sekali lagi menggunakan analogi badminton untuk menggambarkan situasi dalam sistem pilihanraya negara tanpa merujuk kepada kenyataan Zulkifli yang dilaporkan di media.

“Kalau satu pihak hanya perlu 21 mata untuk memenangi satu set, satu pihak lagi perlu 63 mata baru boleh menang satu set di dalam satu pertandingan badminton, dan pengadil pula kata adil sistem begini, ada sesiapa yang nak main?

"Kalau semua set setara 21 markah, sudah pasti yang tewas tidak merungut, kerana setiap set adalah setara markahnya. Jumlah mata setiap set tidak menjadi pertikaian kerana perlawanannya ialah mencapai 21 mata dulu.

Ini cerita badminton. Yang terfikir pasal lain, tanyalah diri mengapa ya. Senyum,” tulis beliau di Facebook.

Rasanya cukuplah dua hujah Ketua Penerangan PAS ini sebagai smash balas yang tak terbalas kepada Zulkifli walaupun kedua-dua hujah ini dibuat tanpa merujuk kepada analogi lapuk Zulkifli yang dimainkan media Umno semalam.

Rombak SPR ekoran kegagalan kendali PRU13

Harakah, 28 Mei 2013



(Laporan Harakah untuk edisi Jumaat ini)

KUALA LUMPUR: Akhbar Harakah menggesa agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dirombak ekoran kegagalannya mengendalikan pilihan raya dengan adil dan telus.

Akhbar itu menjadikan puluhan ribu yang menyertai himpunan Suara Rakyat di Padang Timur berhampiran Amcorp Mall sebagai gambar utamanya dalam laporan kali ini.


Dapatkan Harakah edisi Jumaat akan mula diedarkan esok.

Bila harga kereta akan diturunkan - Mahfuz

Muhammad Faizal, 28 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS meminta agar kerajaan menjelaskan kepada rakyat bila harga kereta akan diturunkan sepertimana janji yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika mengulas kenyataan JF Apex Securities yang disiarkan dalam akhbar.

JF Apex dalam kenyataannya memberitahu kerajaan mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta memandangkan langkah itu boleh menjejaskan penguasaan pasaran Proton.

"Sebagai sebuah kerajaan yang telah berjanji sebelum pilihanraya umum yang lepas jadi kita ingin tahu bila kerajaan ingin menurunkan harga kereta.

"Kita tidak mahu janji tersebut hanya janji pilihanraya, rakyat menanti penurunan harga kereta bagi menampung keperluan hari mereka," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mereka perlu memastikan segala janji manifesto dapat ditunaikan dengan segera.

"Sepertimana yang dilaungkan oleh BN iaitu janji ditepati, maka seeloknya kerajaan menyatakan bila mereka akan menurunkan harga kereta.

"Kita tidak mahu apabila BN menang pilihanraya maka banyak dolak dalih dalam soal penurunan harga kereta apa yang pasti janji tetap janji dan jangan sampai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru ingin dilaksanakan," sambungnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz memberitahu, Pakatan Rakyat yang sebelum ini turut berjanji untuk menurunkan harga kereta mengikut segala langkah yang telah dikenal pasti bagi mengimbangi ekonomi.

Beliau juga berharap BN turut mempunyai langkah-langkah yang telah dikenalpasti sebelum janji penurunan harga kereta dilakukan dan bukannya menciplak idea daripada Pakatan Rakyat untuk mendapat sokongan pengundi.

BN di dalam manifesto PRU13 telah berjanji menurunkan harga kereta antara 20 peratus hingga 30 peratus.

Tiada ulasan: