Isnin, 20 Mei 2013

TAKDIR DAN SEGALANYA DALAM KEKUASAN ALLAH TERMASUK KEMATIAN ATAU SAKIT SERTA KEMALANGAN MAUT SESEORANG...ALLAH JUGA TAK TARIK BALIK SESUATU YANG TELAH DITETAPKAN...UBAH ATAU TAK TU HAK ALLAH...OLEH ITU MAKHLUK JANGAN BERLAGAKLAH

Kes Adam Adli: Pembesar dibela, rakyat ditindas

Harakahdaily, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kenapa Adam Adli menjadi mangsa? Kenapa Adam Adli ditangkap? Kelihatan Umno dan BN sangat takut kepada Adam Adli? Mengapa Adam Adli disoal siasat?
Demikian pertanyaan yang dilontar Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

“Jelas tindakan pihak berkuasa hanya membela pembesar sebaliknya menindas rakyat serta seorang anak muda yang bersuara agar suara keinginannya didengari oleh pemerintah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Beliau juga mempersoalkan sewaktu Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan perkauman jijik dan penuh hasutan "Apa lagi orang cina mahu?", kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas untuk menahan editornya, membatalkan permit penerbitannya serta mereka yang bertanggungjawab mengungkapkan kenyataan tersebut.

Begitu juga, ujarnya semasa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan melampau berbau hasutan apabila beliau mendesak pihak yang menentang penyelewengan dan penipuan dalam pilihanraya, keluar dari negara ini di mana pihak berkuasa dan kenapa tidak tahan dan soal siasat pemimpin yang dangkal itu.

“Tatkala Menteri Besar Negeri Terengganu mengeluarkan kenyataan penuh emosi, berdendam dengan rakyat dan jelas menghasut serta mencetus kebencian di kalangan rakyat apabila menteri besar cap ayam ini mengatakan mana-mana kawasan yang sokong pembangkang atau tidak sokong BN tidak akan diberi bantuan.

“Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak? Mengapa mereka tidak menangkap menteri besar yang tidak ada kelas ini?” tanya beliau lagi.

Bagi beliau, itulah wajah sebenar pemerintah negara ini, menjadi pemangsa ke atas rakyat sendiri.

Katanya, bukan sahaja suara rakyat tidak didengari malah rakyat pula dibelasah hanya kerana mereka berkuasa dan terus mahu kekal berkuasa.

Justeru, beliau mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia mendoakan agar Adam Adli tidak patah semangat mendepani ujian getir perjuangan ini.
“Serentak itu kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas saudara Adam Adli.

“Saya juga menyeru agar anak muda bangkit menolak kerajaan yang rakus dan zalim ini,” tegasnya.

Hijrah: Zahid berkeras, tak akan tarik balik kenyataan

Harakahdaily, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang menggesa rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya Malaysia supaya berhijrah keluar dari negara ini.

Zahid juga dilaporkan berkata, beliau bersedia berdepan dengan usul mengecamnya berhubung kenyataannya itu yang akan dibawa ke Dewan Rakyat yang akan bersidang nanti.

Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan akan membawa usul di Dewan Rakyat bagi mengecam Zahid yang mengeluarkan kenyataan yang didakwa tidak wajar itu.

Zahid mengejutkan banyak pihak apabila mengeluarkan kenyataan meminta rakyat yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara lain ketika beliau baru sahaja dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Kenyataannya itu menimbulkan pelbagai bantahan bukan sahaja dari ahli politik malah termasuk juga ahli akademik dan penganalisis politik.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam reaksinya mempersoal kenyataan Zahid itu yang disifatkannya bercanggah perlembagaan.

Beliau mempersoalkan apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada dan apakah perlembagaan negara kita menghalangnya.

“Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan.

“Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur,” ujarnya.

Sebagai menteri, kata Mohammad Agus, Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbezaan politik dengan parti kerajaan.

“Saya mohon kita semua hentikan kenyataan sebegini hanya kerana kita mempunyai perbezaan politik. Ini adalah tanah air kita bersama.

“Saya yakin, sebagai rakyat, kita semua mahu terus menyumbang bakti kepada negara kita ini mengikut keupayaan masing-masing, biarpun dalam bentuk yang berbeza. Malaysia adalah negara kita bersama,” katanya.

Blackout 505: Lagi wakil PKR dipanggil polis

Harakahdaily, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ketua AMK Negeri Sembilan Mohd Nazree Mohd Yunus menjadi orang kedua dipanggil pihak polis berhubung isu himpunan Suara Rakyat Suara Keramat atau 'Blackout 505'.

Beliau kali ini dipanggil berikutan himpunan itu yang diadakan di Seremban, 17 Mei lalu.

Sebelum ini, Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad juga dipanggil polis berikutan himpunan serupa di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu.

Nazree yang dipetik Keadilandaily berkata, beliau didatangi sepasukan polis di rumahnya sehari selepas himpunan tersebut dan memintanya hadir ke balai polis Seremban untuk memberi keterangan.

“Saya meminta agar ditangguhkan ke hari Isnin. Namun pegawai polis bertegas kena hadir hari ini (semalam) dengan alasan kertas siasatan mengenai kes ini akan dihantar ke Bukit Aman pada 20 Mei ini,” katanya.

Nazree juga memberitahu, beliau ditanya beberapa soalan berkaitan himpunan itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011 selama lebih dua jam.

“Saya tegaskan akan hanya menjawab di mahkamah. Mereka terus mencuba bertanya. Jawapan sama saya berikan,

“Selepas lebih dua jam di soal siasat, saya dibebaskan,” katanya ditemani, Naib Ketua AMK negeri, Ramlan Roes dan 15 aktivis muda Pakatan Rakyat.

Gangguan bekalan: Air S'gor perlu distruktur semula

Harakahdaily, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang mengakui bekalan air bersih tidak mencukupi mengesahkan kenyataan awal kerajaan Selangor sebelum ini bahawa keutamaan perlu diberikan kepada bekalan air terawat bukan air mentah.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kekurangan bekalan air terawat adalah kerana kelemahan penyelenggaraan loji-loji rawatan air, keadaan paip air yang kurang memuaskan serta kegagalan Syabas mengadakan sistem logistik yang berkesan dalam menyalurkan air kepada pengguna.

Menurutnya, ini ditambah dengan kegagalan SYABAS menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada 15 peratus pada 2012 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian perswastaan.

"Ia juga merupakan sebab yang sama mengapa Langat 2 bukan penyelesaian kepada masalah air. Penyelesaian yang lebih berkesan adalah dengan memastikan operator air cekap dan berkesan," katanya.

"Kerajaan Selangor menyeru Kerajaan Pusat supaya memberi keutamaan kepada menyelesaikan penstrukturan semula industri air bagi membolehkan kerajaan negeri memulihkan keadaan perkhidmatan pembekalan air yang tidak terurus sepanjang di bawah Syabas," katanya.

Syabas dalam satu kenyataan semalam mengumumkan sejumlah 13,500 pengguna di Gombak dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, termasuk tekanan rendah, ekoran penurunan paras air di kolam utama syarikat itu sejak kelmarin.

Syarikat konsesi itu menyebut kawasan yang terlibat di Gombak adalah Lembah Jaya Utara, Desa Lembah Permai, Kampung Muhibbah, Kampung Tasek Permai, Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasik Tambahan, Taman Sri Baru dan Taman Dagang Jaya.

Di Kuala Lumpur pula Bandar Seri Permaisuri, Taman Shamelin, Jalan Ikan Emas dan Jalan Yaakob Latif manakala kawasan lain termasuk rumah pangsa lima tingkat di Desa Pandan, Taman Dagang dan Taman Nirwanasa Maju.

Kenyataan itu juga menyebut gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah yang berlaku adalah disebabkan pengurangan pengoperasian di Rumah Pam Wangsa Maju sehingga menyebabkan penurunan paras yang kritikal di kolam utama Syabas sejak semalam.

Alkisah sebiji burger…

Tuan Ibrahim Tuan Man, 20 Mei 2013
Malam itu, Kak Fidah bertengkar dengan emaknya lalu melarikan diri dari rumah. Semasa dalam perjalanan, Kak Fidah teringat bahawa dompetnya tertinggal dan dia tiada sebarang duit bersamanya.

Tiada syiling pun menelefon rumah untuk meminta pertolongan.

Pada masa yang sama, perutnya berbunyi kelaparan. Kak Fidah tiba di satu gerai burger ramli, yang baunya mengancam, kelaparannya bertambah.

Kak Fidah harapkan dapat satu burger ayam, tapi dia tiada duit.

Penjual burger yang sedar dengan kehadiran Kak Fidah melihat dia sedang mengigil ketakutan lalu bertanya…

“Adik dah makan belum? Kalau nak, ambil burger ayam ini untuk makan dulu,” kata penjual burger itu.

“Tapi saya tiada duit pakcik,” kata Kak Fidah dengan sipu-sipu.

“Tak apa, pakcik belanja. Mai, duduk sini makan,” kata penjual burger itu sambil membuat satu Milo panas untuk Kak Fidah.

Beberapa minit kemudian, Kak Fidah mengalirkan air mata…

“Mengapa sayang?” tanya penjual burger.

“Tiada apa. Cuma terharu dengan hati baik pakcik,” kata Kak Fidah sambil melapkan air matanya.

“Orang asing macam pakcik boleh bagi burger makan kat Fidah, tapi mak saya, lepas bertengkar dengan saya, dia halau saya keluar rumah. Kejam betul mak saya!” tambah Kak Fidah lagi.

Mendengar kata-kata Kak Fidah, penjual burger mengeluh.

“Adik, mengapa adik fikir begitu? Renungkan semula. Pakcik hanya beri adik satu burger, adik dah rasa terharu dan terhutang. Ibu adik membesarkan adik sejak kecil, mengapa adik tak pula rasa syukur malah bertengkar dengan ibu adik?” kata penjual burger itu.

Kak Fidah amat terkejut dengan jawapan itu, dan selepas berterima kasih dengan pakcik burger, dia terus berjalan menuju ke rumahnya.

Dalam perjalanan Kak Fidah asyik terfikir…

“Mengapa selama ini saya tidak terfikir perkara itu? Satu burger daripada seorang yang asing boleh membuat saya rasa terhutang, tapi mak saya yang membesarkan saya sejak kecil dan saya tidak berasa sedemikian, walaupun sikit.”

Kak Fidah memikirkan apa yang perlu dikatakan kepada emaknya apabila dia tiba di rumah… “Maafkan saya mak. Semua salah Fidah… maafkan saya mak.”

Sejurus tiba di rumah, Kak Fidah melihat wajah maknya yang penuh kebimbangan bertukar menjadi lega melihat kepulangannya setelah puas mencari…

“Fidah masuk. Mungkin dah lapar. Mak dah masak, jom makan,” kata maknya.

Fidah terus menangis di tangan maknya…

Di dalam kehidupan, kita mudah menghargai perkara-perkara kecil yang dilakukan orang sekeliling kita, tapi untuk ahli keluarga kita sering merasakan apa yang dikorbankan mereka adalah normal dan patut dilakukan tanpa sebarang penghargaan.

Kasih sayang ibu-bapa dan keprihatinan mereka kepada kita adalah perkara paling berharga kurniaan Allah pada kita sejak dilahirkan. Ibubapa tidak pernah mengharap anak-anaknya membayar kembali kos membesarkan mereka… tapi pernahkah kita menghargai dan bersyukur dengan pengorbanan tanpa syarat ibubapa kita?

Minggu depan cuti sekolah. Baliklah berjumpa ibu-bapa ya.

Senyum

Analisis awal Jabatan Pilihanraya PAS Johor PRU13

http://www.nusajayakini.com, 19 Mei 2013

Dun Sg Abong PAS (Dr Syeikh Ibrahim Salleh) 14084 BN 10271 Menang majoriti 3813
Dun Puteri Wangsa PAS(Ustaz Abdullah Husin) 20357 BN 16888 Menang majoriti 3469
Dun Maharani PAS (Dr Mohamad Taslim) 12731 BN 9595 Menang majoriti 3136
Dun Pt Yaani PAS (Hj Aminolhuda Hassan) 11278 BN 10090 Menang majoriti 1188

Dun Gambir PAS (Dato' Dr Mahfodz Mohamed) 8395 BN 8705 Kalah majoriti 310
Dun Mahkota PAS (Khairulfaizi Ahmad Kamal) 18323 BN 19431 Kalah majoriti 1108
Dun Pemanis PAS (Normala Sudirman) 8976 BN 10305 Kalah majoriti 1329
Dun Tenang PAS (Md Zin Johar) 6335 BN 7921 Kalah majoriti 1586
Dun Sg Balang PAS (Malik Mohd Diah) 8081 BN 9716 Kalah majoriti 1635
Dun Senggarang PAS (Dr Ramli Md Kari) 9285 BN 11368 Kalah majoriti 2083
Dun Nusajaya PAS (Salahudin Ayub) 20965 BN 23166 Kalah majoriti 2201
Dun Serom PAS(Azmi Ahmad) 9354 BN 11618 Kalah majoriti 2264
Dun Endau PAS(Ust Azam Abd Razak) 6073 BN 9183 Kalah majoriti 3110
Dun Bkt Permai PAS( Mazlan Aliman) 7867 BN 11236 Kalah majoriti 3369
Dun Buloh Kasap PAS(Firdaus Mas'od) 6078 BN 9448 Kalah majoriti 3370
Dun Pulai Sebatang PAS(Ungku Mohd Noor Mahmod) 10142 BN 13554 Kalah majoriti 3412

Terdapat 12 Dun yang PAS tandingi di Johor kali ini kalah dengan majoriti tipis dan memperolehi lebih 40% undi. Dun Bkt Permai adalah Dun yang peratusan keluar mengundi paling tinggi di Johor iaitu 90.10%.

Sejumlah 292,588 pengundi telah mengundi PAS berbanding 408,776 pengundi mengundi BN. Jumlah ini adalah merangkumi 40.76% keseluruhan pengundi di DUN PAS bertanding. Ini adalah peningkatan sejumlah 7.9% berbanding PRU 12.

Isu perkauman yang dieksploitasi secara terancang dikenalpasti antara punca utama undi melayu menyokong BN.

Menurut Mazlan Aliman, Tn. Hj. Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor telah diamanahkan mengetuai Jawatankuasa Postmortem PAS Johor bersama pasukannya akan membentangkan hasil bedah siasat dalam tempoh 1-2 bulan lagi.

Tiada ulasan: