Rabu, 22 Mei 2013

SIMISKIN DITIPU OLEH SIKAYA...SIBODOH DITIPU OLEH SICERDIK...SIBODOH EKONOMI DITIPU SIBIJAK EKONOMI...RAKYAT MUNGKIN DITIPU OLEH SIPEMIMPIN...KITA NAK...AMBIK KAU

GST: Rakyat miskin pun kena bayar cukai

Dr Rosli Yaakop, 22 Mei 2013
Kumpulan Kewangan Antarabangsa (IMF) mahu semua negara di dunia melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP - Goods and Services Tax) dengan alasan supaya sistem pencukaian menjadi seragam di seluruh dunia  “to create a more level playing field amongst trading nations.” IMF mendakwa bahawa sistem cukai langsung yang masih diamalkan oleh banyak negara sedang membangun telah digunakan untuk “menyorokkan” dasar perlindungan perdagangan yang mereka amalkan. Ia memberi contoh cukai yang tinggi dikenakan oleh sesetengah negara sedang membangun ke atas otomobil import telah menghalang pertandingan sihat di dalam industri otomobil dunia dan memaksa penduduk sesebuah negara sedang membangun menggunakan kereta keluaran dalam negara sendiri yang bermutu rendah berbanding kereta import dari negara maju. IMF berpendirian bahawa CBP pro-perdagangan bebas dan setiap negara – miskin atau kaya -  hendaklah melaksanakannya. Penulis menghidu maksud tersirat dari dasar ini tidak lain ialah untuk mengekalkan penguasaan blok Barat ke atas ekonomi dunia.

IMF sudah menggesa Malaysia supaya segera melaksanakan CBP dan kerajaan sudah bersedia untuk tunduk kepada gesaan itu seawal tahun 2005 lagi.

Ketika membentang Belanjawan 2005, Menteri Kewangan mengumumkan CBP bakal dilaksanakan di Malaysia berkuatkuasa 1 Januari 2007, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Walau bagaimanapun, berikutan penentangan kuat rakyat, maka pada 22 Februari 2006, kerajaan mengumumkan penangguhan.

Selepas lebih tiga tahun dibekukan, kerajaan menghidupkan semula rancangan untuk melaksanakan CBP bila mana pada Disember 2009, Bil CBP dibentangkan untuk pembacaan kali pertama di parlimen diikuti pembacaan kali kedua pada April 2010. Namun, sehingga sekarang ia belum dilaksanakan, mungkin kerana kerajaan kurang yakin pelaksanaannya akan diterima baik oleh rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke tiga belas yang berlangsung pada 5 Mei 2013, sudah ada bayangan bahawa CBP bakal dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini kerana dengan berbekalkan 133 kerusi parlimen yang dimenangi, kerajaan merasa cukup yakin bahawa ia sudah mendapat sokongan rakyat terbanyak untuk melaksanakannya. Sebelum PRU13, kerajaan ini tidak berani untuk melaksanakan CBP kerana penentangan kuat rakyat boleh diterjemahkan kepada kekalahan pilihan raya.

Seperti yang bayangkan oleh Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdan Menteri (lihat Business Times, 18 Mei 2013 – “GST can generate RM27b in revenue”), kadar CBP bakal ditetapkan pada 7 peratus, iaitu, 3 poin peratusan lebih tinggi dari kadar yang pernah disebut  sebelum ini.  Pada kadar 7 peratus, dianggarkan Malaysia akan menjana hasil tambahan sebanyak RM27 bilion.  Pernah disebut oleh Perdana Menteri bahawa hasil yang dijana dari pelaksanaan CBP akan digunakan untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan membina infrastruktur.

Di bawah sistem CBP semua rakyat - ada pendapatan mahupun tiada pendapatan - kena membayar cukai, tiada kecuali, kerana tiada siapa pun di dalam sesebuah ekonomi yang tidak menggunakan barangan dan perkhidmatan. Orang termiskin di dalam ekonomi membayar cukai ke atas barangan yang mereka gunakan sama seperti orang yang terkaya kerana tiada siapa pun yang terlepas dari menggunakan sesuatu di dalam sesebuah ekonomi.

Dalam sistem pencukaian yang diamalkan sekarang, hanya individu yang pendapatannya melebihi “threshold income” yang ditentukan yang membayar cukai. Atas asas ini dikatakan hanya 1.5 rakyat Malaysia yang membayar cukai kerana berpendapatan melebihi “threshold income” yang ditentukan.  Di bawah CBP, tiada “threshold income” bermakna, 29 juta rakyat Malaysia kena menanggung beban cukai. Lagipun, cukai korporat dan cukai pendapatan individu akan di kurangkan bermakna beban golongan yang membayar cukai selama ini akan menjadi ringan. Beban itu dipindahkan kepada rakyat Malaysia yang selama ini tidak pernah membayar cukai.

Golongan yang tidak membayar cukai sekarang akan membayar cukai bila CBP dilaksanakan. Kira-kira 32 peratus dari jumlah isi rumah (household) di Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan yang tidak membayar cukai pendapatan. Mereka ini akan menjadi pembayar cukai apabila CBP dilaksanakan.  Mereka membayar cukai atas barang yang tiada dalam senarai barang dikecualikan di bawah CBP seperti pakaian,  permainan kanak-kanak, makanan yang diproses, makanan dalam tin dan sebagainya yang mereka gunakkan.  Ini bermakna, golongan berpendapatan rendah dan golongan yang “economically vulnerable” dalam masyarakat terpaksa menanggung beban cukai. 

Ahli ekonomi dan pencukaian mengakui bahawa CBP adalah satu sistem pencukaian yang  “regressive” yang bermakna ia tidak adil. Semakin rendah pendapatan seseorang maka semakin besarlah bahagian pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai. Atau kebalikannya: semakin tinggi pendapatan seseorang maka semakin kecillah bahagian daripada pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai. Jelas, CBP membebankan golongan berpendapatan rendah dan miskin dalam masyarakat. Hal ini bertentangan dengan ciri sistem pencukaian yang adil, iaitu, sesuatu sistem cukai yang hendak dilaksanakan perlu memiliki sifat  “progressive.”

IMF mengakui sifat regresif pada CBP ini dan mencadangkan supaya diwujudkan senarai barangan dan perkhidmatan bagi menangani kelemahan ini. Secara amnya, barang makanan asas dan keperluan-keperluan asasi dikeluarkan daripada senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai di bawah CBP. Ini masih tidak memadai untuk mengurangkan sifat regresif itu kerana di bawah CBP, orang kaya dan orang miskin membayar cukai yang sama kadarnya. Seorang peminta sedekah apabila membeli sebotol minuman ringan membayar cukai yang sama seperti yang dibayar oleh seorang taukeh judi yang kaya raya apabila membeli sebotol minuman ringan yang sama.

Di bawah CBP, semua orang membayar cukai pada kadar yang sama, tidak kira kaya atau miskin, walhal sistem pencukaian yang adil menghendakki orang kaya dan orang yang mampu membayar cukai (berpendapatan melebihi “threshold income” yang ditentukan) dikenakan cukai supaya hasil cukai dapat dijadikan alat fiskal yang berkesan untuk mencapai agihan pendapatan dan kekayaan negara yang lebih merata, adil dan saksama. Sistem cukai yang progresif juga menjamain bahawa semakin tinggi pendapatan seseorang, maka semakin tinggilah beban cukai yang ditanggungnya. Oleh itu, CBP yang bersifat regresif ini hanya akan membebankan rakyat terbanyak dan melebarkan lagi jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin.

Memang diakui oleh ahli ekonomi dan pakar pencukaian bahawa CBP adalah “inflationary.” CBP ialah “consumption tax”  dikenakan ke atas kesemua (kecuali barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan) barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di dalam negera mahupun yang diimport. Juga, ia adalah “multi-tier stages of tax“ dikenakan ke atas setiap peringkat pengeluaran sesuatu produk daripada bahan mentah sehinggalah ke produk siap (finished products). Walau wujud “credit offset mechanism” di bawah CBP, namun, pada perkiraan mutakhirnya, penggunalah yang menanggung beban cukai. Misalnya, apabila cukai 7 peratus dikenakan ke atas perkhidmatan pengangkutan, kos pengangkutan akan naik dan ini akan membawa kenaikan kepada harga seluruh barangan dan perkhidmatan di dalam ekonomi termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai. Akhir, rakyat terbanyak akan menanggung beban kembar “kena bayar cukai dan kena tanggung inflasi.” Lagi sekali, beban ini mengena lebih teruk kepada golongan miskin berbanding golongan kaya.

Memang, dari sudut hasil kerajaan, CPB ada kebaikannya, misalnya, ia mengurangkan kebergantungan besar ke atas cukai langsung dan cukai petroleum, menjamin sumber hasil yang lebih stabil bagi kerajaan berbanding cukai pendapatan dan oleh kerana CBP berasaskan kepada penggunaan, hasil kurang terjejas oleh kemelesetan ekonomi kerana apabila ekonomi meleset, penggunaan biasanya mampu bertahan.

Benar, tetapi di bawah kerajaan yang korup, manfaat ini tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat terbanyak. Apakah gunanya hasil yang tinggi jika sebatang screw driver yang harganya RM25 dibeli melalui tender pada harga RM200? Apakah manfaatnya kepada rakyat apabila membeli kapal selam pada harga berkali-kali ganda lebih mahal kerena menteri mahukan komisyen? Apakah gunanya membina stadium yang mahal tetapi runtuh atapnya? Perkara yang meruncing di dalam ekonomi Malaysia sekarang ia menghasilkan pulangan maksimum ke atas setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan, bukan memaksa rakyat yang tidak mampu membayar cukai untuk membayar cukai. Sesungguhnya, CBP adalah cukai yang menzalimi rakyat berpendapatan rendah dan miskin. Yang beruntung besar adalah orang kaya dan syarikat multinasional kerana cukai korporat dan cukai pendapatan direndahkan.

Hayati titah ucapan Pemangku Raja Perak

Nasrudin Hassan, 22 Mei 2013
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjunjung tinggi titah ucapan Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah yang menekankan bahawa isu integriti amat penting penting dalam mencorak kepimpinan dan pemerintahan negara.
DPPM merasakan inti ucapan Dr Raja Nazrin amat relevan dan sesuai untuk dihayati oleh semua pihak terutama pemerintah sekarang.

Isu integriti memainkan peranan memastikan kerajaan BN terus relevan atau ditolak oleh rakyat.

BN mencipta kejayaan cemerlang ketika di era Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 kerana Tun Abdullah berjaya memberi suatu keyakinan rakyat untuk meningkatkan integriti, antaranya dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM), menubuhkan suruhanjaya diraja bagi penambahbaikan perjalanan dan pengurusan polis dan lain-lain lagi.

Namun demikian, menjelang PRU ke-12 pada 2008, kerajaan gagal memenuhi harapan tinggi rakyat dan mereka merasakan kata tidak di kota menyebabkan penolakan rakyat menjadi ketara.

Pada PRU14, BN terus mencatat kemeruduman prestasi ekoran kegagalan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat integriti pentadbirannya sehingga ditolak oleh rakyat.

Terbukti apabila kerajaan BN menjadi semakin tidak popular dengan hanya meraih 46% undi popular dalam PRU13.

Ini menandakan rakyat sudah tidak meyakini BN sebagai sebuah parti serta kerajaan yang mempunyai integriti yang tinggi.

Ia bertitik tolak dari sikap acuh tidak acuh Perdana Menteri dalam menangani rasuah.

Rakyat merasa sangsi dengan tindakan Perdana Menteri mengheret ‘jerung-jerung besar’ yang dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan, termasuk dirinya sendiri.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, siapakah nama besar yang mempunyai profil tinggi negara yang berjaya diheret oleh PM kerana pelbagai dakwaan rasuah?

PM hanya bertindak terhadap pemimpin bawahannya yang bermasalah apabila ada pendedahan sensasi oleh individu  tertentu. Itupun pada pemimpin yang benar-benar bermasalah kepada politik PM, kerana selebihnya ramai lagi  pemimpin kanan yang mempunyai fail bertimbun namun disimpan malah diangkat menjadi menteri kabinet serta orang kepercayaan beliau.

PM juga telah gagal meletakkan kepercayaan rakyat terhadap tahap integriti jabatan kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan lain-lain lagi sehingga menjadi bahan cemuhan rakyat.

Apakah namanya integriti sekiranya setiap tindakan jabatan tersebut dipertikaikan kerana bersifat berat sebelah, tidak adil serta hanya menurut telunjuk pemimpin tertentu?

Justeru, bagi DPPM, untuk kembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat, kerajaan perlu kembali menghayati semangat dari titah ucapan Dr Raja Nazrin iaitu kembalikan integriti pada kerajaan serta pemimpin yang diangkat.

Setiap pemimpin perlu bersih dan dilihat bersih dari sebarang dakwaan rasuah. PM tidak perlu menunggu pendedahan demi pendedahan kerana ia membuktikan kelemahannya mentadbir.

Selain itu, jabatan-jabatan penting kerajaan perlu ‘dipulihkan’ dari kongkongan politik dengan menjadikan kesemua agensi kerajaan memiliki tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi.

Titah ucapan Dr Raja Nazri memberi makna kepemimpinan Perdana Menteri perlu berubah dengan segera. Bukan sekadar menyelamatkan masa depan BN, lebih dari itu, masa depan rakyat dan negara akan terletak kepada sikap PM.

Negara akan musnah sekiranya perkara besar seperti integriti diabaikan dan diletakkan di sisi.

BR1M RM1,200 setahun, GST dapat balik RM5,000

Harakahdaily, 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: BN boleh memberikan RM1,200 untuk BR1M setahun kerana mendapat balik daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang akan membebankan setiap keluarga RM5,000 setahun.

Demikian dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala baru-baru ini  bahawa kerajaan pusat akan menjana pendapatan RM27 bilion setahun dengan kadar GST sebanyak 7% membongkarkan satu penipuan besar BN kepada rakyat.

“Cukai GST 7% ini akan menaikkan kadar inflasi tetapi impak paling buruk adalah kepada golongan berpendapatan rendah kerana cukai GST merangkumi semua barangan yang dibeli dan dijual,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Menurutnya, dengan kos tambahan ke atas rakyat Malaysia sebanyak RM27 bilion setahun, maka setiap rakyat Malaysia tanpa mengira dewasa atau kanak-kanak akan dibebankan sebanyak RM1,000 seorang setiap tahun.

Dengan kata lain, jelasnya sebuah keluarga 5 orang terpaksa membayar RM5,000 setahun.

Itulah, kata beliau sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu yakin dapat membayar BR1M sebanyak RM1,200 setahun kepada setiap keluarga kerana telah mendapat balik RM5,000 setahun daripada mereka menerusi cukai GST.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menambah, sememangnya BN akan untung banyak sedangkan rakyat Malaysia, khususnya yang berpendapatan rendah, akan rugi besar.

Justeru, beliau menegaskan, Pakatan Rakyat secara prinsip menolak sistem cukai penggunaan ini atau consumption tax kerana rakyat teramai belum lagi mempunyai pendapatan yang munasabah bagi mampu menjalani kehidupan yang bermaruah dan mapan.

“Macam mana boleh hidup lebih bermaruah bila hanya 60 peratus dari isirumah mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan?” katanya.

Katanya, menurut Laporan Tahunan Bank Negara 2012, Malaysia merupakan negara yang banyak berhutang dengan hutang peribadi setiap keluarga adalah RM 755 billion or 81% GDP (gross domestic product).

Menurut Lim lagi, pertumbuhan hutang keluarga adalah 11%, yang lebih tinggi daripada pertumbuhan GDP sebanyak 7.8%.

“Kita tidak boleh persalahkan rakyat berhutang bila kerajaan Malaysia berhutang sampai RM502 bilion pada akhir 2012, hamper 55% GDP,” katanya.

Lagipun, ujarnya keluarga Malaysia membayar 50% daripada pendapatan untuk membayar balik hutang.

“Dengan kata lain selepas membayar hutang, mana cukup untuk perbelanjaan makanan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan asas lain?” kata beliau.

Sehubungan itu, tetgasnya PR akan melawan cadangan cukai GST 7% di Parlimen dengan mengingatkan BN bahawa sebagai sebuah kerajaan minoriti dengan undi popular 47% sahaja, ia tidak berhak mengenakan cukai GST ke atas majoriti rakyat.

Himpunan Kesyukuran Pakatan Rakyat, esok

Harakahdaily, 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan teruskan bantahan terhadap PRU13 yang tidak bersih dan adil, kata Ahli Parlimen Petang Jaya Utara, Tony Pua.

“Pada masa yang sama, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana telah memberikan sokongan yang cukup hebat kepada Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya mempertahankan kuasa di Selangor, DAP telah meningkatkan jumlah kerusi dan juga majoriti yang diperolehi oleh calon-calon mereka.

Sehubungan itu, ujarnya DAP Wilayah Persekutuan dan Selangor akan menganjurkan satu Himpunan Kesyukuran Pakatan Rakyat pada 23 Mei (esok), jam 7 malam di Padang Timur, Petaling Jaya (hadapan Amcorp Mall).

Beliau berkata, antara penceramah pada himpunan itu termasuklah Lim Kit Siang, Nurul Izzah Anwar, Khalid Samad, Zaid Ibrahim, Tamrin Ghafar, Teresa Kok, Teng Chang Khim dan Tan Kok Wai.

Tony menambah, pihaknya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pihak Polis Diraja Malaysia kerana telah memberikan kerjasama untuk menjalankan himpunan secara lancar.

Menurutnya, pihak polis akan membantu mengawal trafik dan telah mencadangkan supaya para hadirin menggunakan tempat letak kereta yang sedia ada.

“Untuk mengurangkan kesesakan jalanraya lagi, kami menggalakkan para hadirin menggunakan sistem LRT Taman Jaya,” ujarnya.

Tak perlu JK khas, SPR sendiri perlu disiasat

Salmiyah Harun, 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu menubuhkan pasukan khas untuk mengenal pasti punca menyebabkan dakwat tidak kekal sebaliknya badan itu perlu disisasat pihak berkuasa kerana ternyata wujudnya penyelewengan.

Demikian tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli hari ini.

Menurut Hatta, dari awal lagi SPR telah menyatakan pihaknya sudah mendapat penjelasan daripada jabatan kimia, Jakim dan kementerian kesihatan berhubung penggunaan dakwat kekal yang akan digunakan dalam PRU13.

Sebaliknya, kata beliau, hari ini SPR baru hendak tubuhkan pasukan antara lain akan mengkaji aspek ramuan, syarat Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal dan kaedah calitan dakwat kekal di jari.

"Apa sebenarnya yang telah berlaku? Adakah mereka tidak kisah membeli dakwat kekal atau ambil sahaja asalkan dakwat yang ada?

"Apabila timbul bukti-buti dakwat kekal yang tidak kekal baru hendak tubuh pasukan mahu kaji balik. SPR buat kerja yang betul-betul tidak profesional!," tegas Hatta kepada Harakahdaily.

Tindakan SPR hari ini, katanya ternyata badan itu telah menipu rakyat dengan menggunakan dakwat kekal kononya sebagai cara untuk mengawal undi lebih dari satu malangnya ia meleset sama sekali.

"Kita sudah lama nyatakan kebimbangan terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan PRU, akhirnya ia berlaku apabila SPR sendiri mahu tubuhkan pasukan mengkaji punca dakwat tidak kekal," katanya

Justeru, tegas Hatta, SPR telah melakukan kesalahan besar dalam PRU13 baru-baru ini dan badan itu harus bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang berlaku.

"Saya minta Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof letak jawatan," katanya.

PRU13 merupakan kali pertama SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal, malangnya dakwat yang didakwa kekal sebaliknya terus hilang sebaik dibasuh menggunakan sabun.

Ekoran itu, ramai di kalangan rakyat negara ini memuat naik video dan gambar bukti dakwat yang boleh luntur begitu mudah di dalam laman Facebook, malah ada yang turut mencemuh ketelusan SPR.

Semalam,  Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memutuskan untuk menubuhkan 'Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU Ke-13' untuk meneliti hal-hal berkaitan dakwat kekal itu.

Abdul Aziz berkata pasukan khas itu dijangka menyiapkan penyiasatan dalam tempoh sebulan dan ia diharap dapat membantu SPR mengenal pasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari selepas dicalit.

Umno amal dasar politik munafik - Anwar

Harakahdaily, 22 Mei 2013
ALOR SETAR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Umno yang diterajui Datuk Seri Najib Razak mengamalkan politik munafik apabila melantik pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy dalam senarai kabinet mereka.

Menurut Anwar, semua maklum bahawa Waytha Moorthy adalah individu yang secara terang-terangan menyuarakan agar hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan dihapuskan.

Individu itu juga kata Anwar telah menyaman kerajaan Britishdan kerajaan Malaysia kerana tidak melayan orang India dengan baik.

"Dulu dia (Umno) kata kita ni tak Melayu, Abg Mat (Mohamad Sabu) ni semua pencacai Cina, nak gadai negeri, nak gadai Melayu.

"Sekarang dia lantik Waytha Moorthy. Siapa dia? Dia nak saman kerajaan British dan kerajaan Malaysia tuntut ganti rugi puluhan bilion ringgit kerana tidak layan India. Dalam carta piagam dia, dia kata dia tolak hak keistimewaan orang Melayu.

"Mana dia Perkasa, mana dia Pemuda Umno? Bangkit lah. Ada ke satu suara pemuda Umno Perkasa pertikai perlantikan ini?

"Ini dia politik kemunafikan, kepura-puraan Umno," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 orang yang hadir pada Himpunan Black505 peringkat negeri Kedah malam tadi.

Program yang berlangsung di Kompleks PAS Kota Sarang Semut itu juga turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli serta Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Jika di negara lain, pasti pilhan raya semula

Harakahdaily, 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Jika di negara lain, mungkin pilihan raya terpaksa diadakan semula di seluruh negara bagi mengatasi kelemahan dan kepincangan yang berlaku dengan jawatankuasa SPR lain yang dilantik.

"Sudah pasti SPR di negara tersebut telah dipertanggungjawabkan dengan pengerusi serta seluruh ahli jawatankuasa mereka akan meletak jawatan serta merta," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau itu merujuk kes seorang pemuda, Mohd Fadhli Khaharruddin dengan jujur dan berani tampil mengaku dan mendedahkan telah mengundi dua kali di lokasi yang sama tetapi pada waktu yang berlainan iaitu di saluran 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Isap, Kuantan.

Katanya, kenyataan pemuda itu amat menggemparkan negara kerana ia mencabar secara terus kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengadil Pilihan raya Umum ke-13.

"Bagi saya, pemuda ini layak dipuji dan diberi anugerah khas atas keberanian dan kejujurannya," ujarnya lagi.

Katanya, keberanian pemuda ini membuka mata masyarakat dunia betapa rendahnya nilai SPR pada pandangan rakyat sehingga sistem daftar pemilih yang dibekalkan tidak mampu mengesan beliau ini sudah mengundi sebelum ini di tempat yang sama.

Pemuda itu, ujar beliau telah membuktikan bahawa daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR tidak bersih dan mudah dibocori oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Beliau juga membuktikan bahawa dakwat kekal yang dibekalkan oleh SPR tidak kekal dan boleh diambil kesempatan oleh sesiapa sahaja.

"Apakah ianya hanya satu-satunya kes yang berlaku, terpencil dan tidak boleh berlaku di mana-mana tempat lain?" tanya beliau.

Seharusnya, kata Riduan tidak berbangkit persoalan bahawa ia kes terpencil kerana hanya ia berlaku terhadap seorang sahaja sedangkan jutaan pengundi lain tiada masalah.

Yang pentingnya, ujar beliau adalah kes ini telah berlaku maka tidak mustahil boleh juga berlaku dimana-mana kawasan lain kerana modus operandinya amat mudah, apatah lagi sekiranya ratusan individu melakukan perkara yang sama kerana diupah oleh pihak tertentu.

"Mungkin kita tidak berkesempatan menemui ada insan lain sejujur pemuda ini yang sanggup tampil ke depan bagi mengakui tindakannya itu.

"Selain beliau, lapan kes pengundi yang dinafikan hak mengundi seperti yang didedahkan oleh Rafizi Ramli di lapan Parlimen mewakili sejumlah rakyat yang dinafikan hak kerana telah dicuri oleh pengundi hantu," katanya.

Sekali lagi, katanya bukan lapan orang yang perlu dibangkitkan tetapi nilai ketelusan pihak berwajib kerana kad pengenalan mereka telah ‘dicuri’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ini, ujar beliau mewujudkan persepsi bahawa adanya sindiket haram mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada individu tertentu sehingga mereka sanggup dan berani turun mengundi dalam PRU13.

"Bayangkan jika kes ini berlaku di mana-mana negara maju dan negara demokrasi kelas dunia, mungkin pilihanraya terpaksa diadakan semula di seluruh negara," ujarnya lagi.

Beliau berkata, begitulah teliti dan telusnya negara-negara lain supaya demokrasi benar-benar dijunjung tetapi malangnya di negara sendiri rakyat dipaksa menelan hidup-hidup demokrasi yang terang-terang menipu.

Perlantikan 5 anggota kabinet tidak sah - MPN

Muhammad Faizal, 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pelantikan lima senator yang belum mengangkat sumpah sebagi anggota kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sesi 2013 adalah tidak sah dan boleh dicabar.

Pandangan itu dikemukakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak yang dipetik Sinar Harian Online.

Mohamed Mustafa berkata, dalam Perlembagaan Negara, melalui Perkara 43, anggota kabinet hanya boleh dipilih mana-mana Majlis Parlimen iaitu Dewan rakyat ataupun Dewan Negara.

Beliau merujuk kepada perlantikan dua menteri dan tiga timbalan menteri iaitu berstatus senator yang belum mengangkat sumpah.

Mereka adalah Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul low Sengg Kwan (Kedua-duanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri) serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorty (Pemimpin Hindraf), Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Kementerian Perdagangan dalan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Loga Bala Mohan Jaganathan juga Timbalan Menteri dari Kementerian Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut beliau berkata lantikan hanya berjalan apabila Menteri atau Timbalan Menteri dilantik mengangkat sumpah sebagai Senator dan ia jelas tertulis di dalam Perkara 43(1)(b) dalam kes Menteri dan Perkara 43A(1) dalam kes Timbalan Menteri.

"Jika dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri itu tidak mengangkat sumpah sebagai Senator, ini bermakna pelantikan mereka tidak sah dan boleh dicabar.

"Perkara ini amat jelas dan terkandung di dalam Perlembagaan Negara melalui Perkara 43 iaitu lantikan hanya berjalan apabila Menteri atau Timbalan Menteri dilantik mengangkat sumpah sebagai Senator," jelas beliau.

Banyak ‘runtuh’ selepas Masjid Bujal diroboh 2005

Buletin Online, 22 Mei 2013


KUALA TERENGGANU: Sejak peristiwa perobohan Masjid Bujal, Kemaman pada 26 Mei 2005, banyak binaan dan bangunan terutamanya yang dibina oleh kerajaan Umno BN Terengganu, khususnya dibina sewaktu zaman Idris Jusoh telah rosak, roboh dan runtuh.

'Badi' keruntuhan tersebut yang tidak henti-henti sehingga runtuhnya bumbung beranda Masjid Binjai Kertas, Hulu Terengganu kelmarin, seolah-olah menjadi 'siri' runtuhan yang menyebabkan negeri Terengganu Darul Iman digelar sebagai 'Darul Runtuh'.

Ada binaan yang sudah disiapkan, tetapi tidak lama selepas itu telah runtuh dan rosak binasa seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Manakala ada yang runtuh sebahagiannya, setelah siap dibina seperti Masjid Kampung Lingai di Batu Rakit, Masjid Kampung Batu Putih di Kemasik dan yang terbaru, Masjid Kampung Binjai Kertas di Kuala Berang.
Ada binaan awam yang sudah siap, tetapi tidak dapat digunakan kerana 'takdir Allah', walau pun segala kepakaran yang ada pada manusia, bangunan tersebut yang dibina begitu baik, tiba-tiba tanahnya mendap dan bangunannya rosak seperti Pasar Baru Kampung Binjai Kemaman, Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Limbat dan Masjid al-Redha di Kampung Manir.

Ada bangunan yang belum pun siap, tetapi telah runtuh semasa pembinaannya seperti bangunan Universiti Malaysia Terengganu dan pentas astaka di bandar Jertih, Besut.

Dan banyak lagi bangunan-bangunan yang terdapat 'cacat cela' yang kesemuanya itu, menyebabkan kerajaan terutamannya rakyat Terengganu telah mengalami kerugian ratusan juta ringgit.

Berikut dilampirkan senara terbaru binaan atau bangunan yang runtuh sejak tahun 2008:

1. Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai, Marang
Tarikh: 12 April 2008
Harga: RM2 juta

2. Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak
Tarikh: 2 Jun 2008
Harga: RM292 juta
Punca: “Semua buat silap” – Ahmad Said

3. Kolam Renang Batu Burok bocor
Tarikh: 5 Jun 2008
Harga:  RM18 juta

4. Siling bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tanggal
Tarikh: 29 Jun 2008
Harga: (terminal ) RM123 juta

5.  Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman
Maklumat – runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan.
Tarikh: 15 Mac 2009

6. Menara komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut.
Maklumat – tumbang.
Tarikh:  6 Ogos 2009
Harga: RM15 juta

7.  Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman
Tarikh: 3 Oktober 2009
Harga: RM2.1 juta

8.  Bumbung kaca Terminal Bas Kuala Berang
Tarikh : 21 Disember 2009
Harga : sekitar RM700,000  (RM4.2 juta kos keseluruhan projek)
Punca : Tiada pemantauan semasa

9. Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu
Maklumat – runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan.
Tarikh: 29 Mac 2010

10. Pondok rehat di kawasan lanskap Pasar Besar Kedai Payang
Tarikh: 9 Januari 2011
Rekod bangunan paling cepat runtuh setelah siap dibina.

10. Astaka dalam pembinaan di Besut
Tarikh: 21 Jun 2012

11. Papan tanda atau sign board gergasi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang
Tarikh: 19 Julai 2012

12.Tangki air Sekolah Menengah Paka
Tarikh: 24 Julai 2012

13. Sengkuap bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai
Tarikh: 30 Disember 2012

14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa dibaik pulih
Tarikh: 20 Februari 2013

14. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang
Tarikh: 20 Mei, 2013
Harga: RM1.4 juta

Lain-lain senarai binaan yang rosak adalah:

1. Binjai Souq
2. Bazaar Warisan
2. Masjid Kristal (22 November 2008)
3. Masjid Kampung Lingai (4 November 2009 - harga RM3 juta)
4. Taman Tamadun Islam – stor dewan runtuh pada Julai 2010
5. Masjid An Naim, Dungun
6. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat, siap dibina pada 2010, harga RM19 juta. Di Parlimen Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi mengesahkan, sebanyak RM15 juta diperlukan untuk membaik pulihnya.
7. Masjid al-Redha, Kampung Manir, seluruh binaan mendap, harga RM1.2 juta
7. Pasar baru Kedai Buluh
8. Pasar baru Manir
9.  Dewan serbaguna dan masjid di Ketengah
10. Taman Panorama Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu

Tiada ulasan: