Jumaat, 31 Mei 2013

KITA JAGA AGAMA ALLAH...ALLAH AKAN JAGA KITA...JANGAN CAKAP AJE...BANYAKKAN MAJLIS ILMU...KITA SENDIRI HADIR...UMUR KITA TAK TAHU BILA TAMAT...HUDUD CAMMANA...TANYA MUFTI DAN US.SALLEHIN MUKHYI

Khalid janji bangunkan luar bandar, jaga agama Islam

Harakahdaily, 30 Mei 2013


(Khalid membuat ucapan di depan Tuanku Sultan Selangor sempena perlantikan Exco hari ini)

KLANG: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi berjanji akan meningkatkan pendapatan rakyat khasnya di luar dan pinggir bandar di samping menjaga kesucian agama Islam.

Ia bertujuan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang “serba ada” seiring dengan keadaan kehidupan penduduk di bandar-bandar.

"Tiada gunanya jika negeri Selangor bergelar negeri maju sedangkan sebilangan penduduk, terutama penduduk luar bandar masih tercicir dalam hal menikmati kemajuan di negeri ini," kata Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian di majlis angkat sumpah dan simpan rahsia ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor hari ini.

Janji itu dibuat di depan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

10 anggota Exco Selangor mengangkat sumpah sebagai ahli MMK hari ini iaitu empat dari PAS, tiga PKR dan tiga DAP.

Mereka adalah Iskandar Abdul Samad (Cempaka), Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Dr. Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) dari PAS.

Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Ganapathi Rao a/l Veraman (Kota Alam Shah) dan Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang) dari DAP.

Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr. Daroyah Alwi (Sementa) dan Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dari PKR.

Dalam pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat kalah lima Parlimen yang terletak di kawasan luar bandar dan utara Selangor iaitu Kuala Selangor, Tanjung Karang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Di kawasan ini, penduduknya terdiri dari petani dan nelayan di samping kawasan pembangunannya yang terbantut atau terbiar.


Jaga agama Islam



Dalam ucapannya, Khalid juga berjanji akan berusaha bagi memastikan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat Selangor terus dipelihara dengan baik, adil dan saksama.

"Patik tekad berusaha gigih untuk mengekalkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama para pelabur dari dalam negara mahupun dari luar negara," katanya.

Beliau juga bertekad untuk meneruskan kecemerlangan Selangor selaku penyumbang utama terhadap pembangunan dan pendapatan negara Malaysia.

"Hanya dengan kedudukan dan tahap pencapaian sedemikian, maka seluruh rakyat Tuanku dapat sama menikmati limpahan pembangunan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka," katanya.

Beliau juga berjanji akan berusaha memastikan kesucian agama Islam sentiasa dilindungi dan dengan sedaya upaya menghalang mana-mana pihak yang berhasrat mencemari kesucian agama Islam, agama rasmi di negeri tercinta ini.

"Patik hamba tua juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di negeri ini seperti yang termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan,  sentiasa terjamin dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana individu, kumpulan mahupun puak sama ada dari dalam ataupun dari luar.

"Pada masa yang sama patik berusaha untuk melindungi hak dan kepentingan yang di miliki kaum-kaum lain di negeri ini agar negeri Selangor menjadi negeri yang harmoni diduduki oleh semua kaum," katanya.

BN ganti Umno, cantik tapi mustahil

Subky Latif, 30 Mei 2013
Tidak bijak bagi pembesar-pembesar Umno menolak berterangan terhadap lontaran mentransformasikan parti-parti dalam gabungan Barisan Nasional sebagai sebuah parti besar bagi menggantikan semua anak-anak partinya.

Umno adalah anak parti utama yang perlu ditanya kesediaannya dibubarkan bagi menjadi sebahagian dari parti besar Barisan Nasional itu. Atas persetujuannya barulah lain-lain parti seperti MCA, MIC, SUPP dan lain-lain mengambil langkah yang sama.

Apabila ditanya, tokoh Umno seperti Tan Sri Muhyidin Yassin dan Shahidan Kassim mesti menggunakan bahasa diplomasi, sedia menimbangkan dan mengkajinya.

Menolak mentah-mentah lontaran adalah sama dengan mempersenda transformasi politik dan menjadikan slogan 1Malaysia satu semboyan yang tidak berharga. Transformasi politik dan 1Malaysia adalah gagasan yang perlu berjalan selari bagi mengikis saki-daki-dan-baki perkauman yang tidak dapat dilenyapkan oleh pemerintahan BN daripada kehidupan Malaysia sejak lebih separuh kurun berkuasa.

Segala daki dan baki perkauman itu menjadi zat dan roh semua parti yang bergabung dalam BN. Maka semua tidak hidup tanpa roh. Roh seperti itulah yang menghidupkan BN serta anak-anak partinya seperti Umno, Gerakan, MIC dan MCA dan lain-lain.

Dalam pelaksanaan transformasi di luar kotak BN dan anak-anak partinya, semua parti seperti PAS, PKR dan DAP yang menjiwai zat dan roh bebas rasis bagi Pakatan Rakyat, sudah dillihat keluar daripada kepompong perkauman hingga mencetuskan tsunami politik dalam dua PRU sebelum ini – PRU12  dan PRU13.

Roh bebas perkauman yang dijelmakan dalam dua PRU itu sudahpun menjadikan MCA dan Gerakan serta SUPP tinggal nyawa ikan atau nazak. Ini menjadi isyarat kepada parti lain seperti Umno bila-bila masa boleh diserang angin ahmar.

Pencegahan yang dapat difikirkan pada ancaman angin ahmar pollitik itu ialah semua komponan parti perkauman dalam BN keluar segera daripada alam  bahaya itu menggantikan BN sebagai parti tunggal untuk semua, meninggalkan alam rasis yang bahaya itu.

Tidak menunjukkan bijaksana jika Najib dan Muhyiddin menolak berterangan idea menjadikan BN parti tunggal untuk semua kaum, sama seperti PAS untuk semua.

Ia satu cetusan fikiran yang indah, tetapi ia adalah suatu yang mustahil untuk diterima oleh Umno. Umno boleh menukar namanya kepada apa-apa nama jua seperti Tun Razak tidak kisah menukar nama Perikatan kepada Barisan Nasional.  Tetapi nama baru Umno itu BN atau S46 atau Perkasa, tetapi ia tetap mahu jadi parti orang Melayu yang presiden dan timbalan presidennya mesti Melayu.

Tidak sempurna transformasi politik BN ssebagai parti tunggal jika ahlinya ada kelas. Jika Cina, Kadazan dan India ditutup peluang untuk menjadi Presiden, maka ini menjadikan mereka anggota BN kelas dua.

Tidak berbangkit BN baru itu dipimpin oleh orang bukan Melayu selagi generasi Najib mengisi ruang pimpinan. Tetapi sesudah generasi  selepas Muhyidin, Zahid dan Khairy Jamaluddin nanti tentu ada Cina dan  India merasa mereka juga boleh jadi presiden.

Pemimpin Umno tidak mahu transformasi  dan wasatiyah seperti itu. Ia membuka laluan bagi ahlinya mengisi PAS. Seindah-indah BN baginya tidak sama dengan Umno sekali pun ia tidak  lagi relevan perubahan dan pembaharuan generasi baru Malaysia separuh abad setelah merdeka. Mustahil BN boleh menggantikan Umno.

SMM terus bersolidariti untuk Safwan Anang

Hazayani Zakaria, 30 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan meneruskan solidariti untuk Safwan Anang di hadapan Penjara Sungai Buloh malam ini.

Sekretariat SMM, Bukhairy Sofian yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, solidariti itu mesti diteruskan sebagai tanda sokongan kepada Safwan yang enggan diikat jamin sebaliknya memilih untuk dipenjarakan.

"Mahasiswa dan anak muda perlu bangkit, kita teruskan solidariti di Penjara Sungai Buloh untuk nyatakan sokongan kepada Safwan yang berani membuat keputusan demikian sebagai mempertahankan prinsip keadilan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Hari ini merupakan hari kedua Safwan di Penjara Sungai Buloh selepas enggan diikat jamin sebanyak RM5,000 semalam.

Safwan ditahan kelmarin untuk siasatan dibawah Akta Hasutan berhubung dakwaan ucapannya pada program Malam Anak Bangsa Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu berbaur hasutan.

Sementara itu, wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Ahmad Syukri Razab ketika dihubungi petang ini memberitahu, isteri Safwan, Masturah Abu Bakar sedang bertemu Safwan.

"Masturah baru sahaja masuk menemui Safwan. Jadi kami menunggu apa sahaja keputusan dari Safwan tapi setakat ini Safwan memang memilih untuk dipenjarakan sehingga sebutan kes pada 2 Julai nanti," katanya.

Beliau turut menyeru anak muda turun bersolidariti malam ini sebagai tanda sokongan.

"Kami akan terus bersolidariti sebagai sokongan kepada Safwan," katanya.

Tiga lagi aktivis yang ditahan kelmarin ialah Nab Presiden PKR Tian Chua, pemimpin NGO Asal Bukan Umno (ABU)  Haris Ibrahim dan bekas Ahli Parlimen Batu Berendam Mohd Tamrin Abdul Ghafar.

Peguam-peguam Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS akan mewakili Safwan dan Tamrin.

Peguam  Juham juga akan memfailkan permohonan untuk batalkan bawah Akta Hasutan yang dikenakan ke atas Safwan dan Tamrin.

50 tahun BN gagal bina jalan raya di Sarawak

Harakahdaily, 30 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pertanyaan yang sepatutnya bermain di kotak fikiran rakyat ketika kaum Dayak menyambut Gawai ialah sama ada musibah bot Belaga pada Selasa lalu, dengan 179 yang terselamat dan 11 yang lain hilang, menjadi salah satu agenda Kabinet Persekutuan semalam.
Lim Kit Siang berkata, soalan kedua ialah adakah Kabinet telah memutuskan untuk memperbetul kegagalan 50 tahun pembangunan saksama di Sarawak dengan memastikan wujudnya akses jalan raya ke Kapit dan Belaga.

“Sekiranya jawapannya tidak pada salah satu atau kedua-duanya, soalan ketiga ialah apa perbezaan yang dilakukan kepada teras sosio-ekonomi nasional dan pembangunan infrastruktur juga keadilan sosio ekonomi yang terlewat kepada penduduk pedalaman Sarawak melalui perlantikan tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sarawak menyertai Kabinet Persekutuan?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Malah, kata beliau sekiranya musibah bot Belaga yang tragis itu berlaku sebelum 5 Mei yakni hari pengundian PRU13, sama ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri tentu telah melawat Belaga dalam tempoh 24 jam untuk menyampaikan ucapan takziah Kerajaan Persekutuan secara peribadi, dibandingkan dengan sikap berbeza mereka sekarang, yang tidak mengucapkan sepatah pun tentang musibah bot Belaga sejak dua hari lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambaha, amat menyayat hati apabila sekalipun tragedi bot ekspres berlaku di tengah-tengah Sungai Balui yang dikhuatiri telah meragut 11 nyawa, jeti Kapit semalam penuh sesak seperti biasa dengan ramai orang terdesak mahu pulang ke rumah untuk festival menuai Gawai Dayak hujung minggu ini.

Beliau berkata, bot yang menuju ke kawasan Belaga amat terhad dan kebanyakan orang tidak mampu untuk tinggal satu malam di Kapit sehingga tiket boleh didapati.

“Setiap orang takut menggunakan bot ekspres kerana arus sungai tidak boleh dijangka tetapi mereka tiada pilihan memandangkan mereka tidak boleh menggunakan pengangkutan darat,” ujarnya yang juga Penasihat DAP Kebangsaan.

Katanya, dijangkakan terdapat lebih kurang 100,000 orang tinggal di kawasan Kapit dan Persekutuan serta kerajaan negeri tidak boleh berterusan meninggalkan tanggungjawab mereka untuk memastikan wujudnya akses jalanraya ke Kapit dan Belaga.

“Apakah suara orang pedalaman di Sarawak, terutamanya di Kapit dan Belaga berkenaan musibah bot Belaga yang baru berlaku pada Gawai Dayak tahun ini, akan didengari dan diambil tindakan oleh Kabinet Persekutuan baru memandangkan kini ada tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sarawak selepas PRU13?” tanya beliau lagi.

Beliau juga bertanya apakah akan wujud rancangan khas untuk memastikan akses jalanraya ke Kapit dan Belaga di dalam ucapan dasar pertama Kerajaan Najib pasca PRU13 apabila Yang di-Pertuan Agong secara rasminya membuka Parlimen ke-13 pada 25 Jun depan.

Petronas: Jangan tunggu kemarahan rakyat

-, 30 Mei 2013


Petroliam Nasional atau Petronas adalah syarikat minyak negara yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA, 1974), sebagai perusahaan kepunyaan negeri (State Owned Enterprise) yang mempunyai hak eksklusif pemilikan, penerokaan dan pengeluaran.

Petronas adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan bertanggungjawab bagi perancangan, pelaburan dan kawal selia bagi semua aktiviti huluan atau upstream serta perlantikan Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan ahli Lembaga Pengarahnya.

Petronas merupakan penyumbang terbesar hasil kewangan kerajaan. Ketidakcekapan dan kepicangan tadbir-urusnya boleh menimbulkan risiko krisis kewangan kerajaan. Sejak tahun 2008, Petronas telah menyumbang secara konsisten sebanyak RM 70 bilion setahun, di mana RM 30 bilion dalam bentuk dividen tetap (fixed dividend), dan bakinya dalam bentuk cukai hasil, cukai petroleum, duti, royalti dan sebagainya.

Revenue Watch Institute (RWI), sebuah institut kajian dasar yang mempromosikan tata-kelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggung jawab dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) (http://www.revenuewatch.org/rgi ) bagi tahun 2013 telah meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46% dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara. Petronas gagal dalam kriteria-kriteria penting dalam tata-kelola (governance) khususnya ketidaktelusan dan ketiadaan pemantauan (oversight) dari pihak legislatif (parlimen).

Kedudukan ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara tetangga kita seperti Timor Leste (no 13), Filipina (no 23) dan Indonesia (no 14). Malah, Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi di tempat ke 26. Pada tahun 2010, Malaysia telah memperolehi markah sebanyak 48.4% dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparecy International (TI).

Tatakelola serta pengurusan sumber minyak dan gas di Malaysia dikategorikan oleh RWI sebagai lemah dan kurang telus. Petronas beroperasi dalam suasana yang penuh dengan kerahsiaan.

Maklumat berkenaan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperolehi serta tidak jelas. Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petronas membelanjakan kira-kira RM 35-40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya. Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan. Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Maklumat tentang kriteria-kriteria yang digunapakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas. Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulitkan jelas memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini. Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas.

Yang sering kedengaran, kontrak-kontrak Petronas sering berlegar di kalangan syarikat-syarikat kroni seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi, sekadar menyebut beberapa contoh. Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula, kontrak-kontrak sering dibolot oleh syarikat-syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean; kesemuanya diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas, sehinggakan dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan, sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Dato’ Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini.

Mutakhir ini, Petronas telah memperkenalkan suatu konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil (marginal field) yang dipanggil Risk Service Contract (RSC). Sekali lagi pemenang-pemenang kontrak-kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat-syarikat yang sama – SapuraKencana, Dialog , Petra dan sebagainya. Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenangnya kurang jelas.

PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyak Bubu di perairan Terengganu, dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat-syarikat kroni yang dinamakan di atas. Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding-terus.

Petronas sekarang tidak mempunyai halatuju yang jelas terutamanya dalam industri huluan (upstream) yang menjadi nadi penting ekonomi negara.

Namun, Petronas sedang mengalami simptom-simptom yang sama seperti yang pernah dialami oleh syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina, di zaman Suharto. Di zaman Suharto, Pertamina telah disalahgunakan semahu-mahunya oleh diktator berkenaan serta kroni-kroninya hinggakan syarikat tersebut hampir lumpuh.

Ironinya kita memandang sinis Pertamina hingga sekarang, tetapi hakikatnya syarikat minyak kita sendiri sedang berhadapan dengan liku-liku rumit yang pernah ditempuhi Pertamina 15-20 tahun yang lalu. Akibat campur tangan politik peringkat tertinggi serta ketiadaan pengurusan tertinggi yang berwibawa, Petronas kini seolah-olah kehilangan arah, dan menuju ke situasi yang pernah ditempuhi oleh Pertamina dahulu.

PAS dengan ini mencadangkan agar disegerakan suatu audit menyeluruh terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus-tadbir. Satu kajian semula dengan objektif untuk meminimakan birokrasi dan proses dalaman Petronas juga perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera untuk meningkatkan semula daya-saing Petronas serta kepercayaan rakyat kepada syarikat minyak negara ini.

Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda dan kuasa mutlak yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk menentukan halatuju dan urus tadbir Petronas perlu dipindahkan kepada Badan Legislatif. Biar Parlimen yang menentukan perjalanan Petronas secara kolektif dan konsensus.

Kerajaan BN pimpinan Dato’Seri Najib dingatkan minyak dan gas anugerah Allah SWT kepada bumi Malaysia dan setiap rakyat negara ini mempunyai hak untuk mendapat maklumat penting tentang tatakelola dan pengurusan sumber berharga negara ini.



* Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Pusat.

Tiada ulasan: