Isnin, 27 Mei 2013

YANG HARAM ITU JELAS...YANG HALAL JUGA JELAS...JIKA TIDAK SYUBAHAT NAMANYA..ADA JUGA YANG HARAM TERASA DOSA BILA DIBUAT..TAPI BUAT JUGA ....AKHIRNYA SEBAB DAH BIASA....MAKA DAH TAK TERASA HARAMNYA

Zahid, Khalid heret negara ke zaman gelap

Abdul Aziz Mustafa, 27 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan ditulis dalam sejarah sebagai dua watak yang mengheret Malaysia kembali ke zaman gelap di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Ketika (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) di kenang sebagai Perdana Menteri kerajaan minoriti yang pertama dalam sejarah negara ini, Zahid dan Khalid pula akan dikenang sebagai dua watak yang mengheret Malaysia kembali ke zaman gelap Dr Mahathir," katanya.

Beliau mempertikaikan tindakan polis menangkap para pemimpin dan aktivis seperti Adam Adli, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Datuk Tamrin Tun Ghafar dan Haris Ibrahim yang hanya menguntungkan kepentingan Umno BN.

"Rabu lalu, ketika berucap kepada rakyat yang berhimpun menyokong Adam Adli berdekatan Lokap Berpusat Jinjang, saya memberitahu tidak sepatutnya Adam ditangkap.

"Dia tidak bersenjata, dia tidak menghasut orang membawa senjata, membakar rumah atau melakukan apa-apa perbuatan yang memudaratkan keselamatan awam.

"Begitu juga Tamrin, Tian Chua dan Haris. Mereka tidak pernah menghasut sesiapa pun mencetuskan penentangan bersenjata," kata beliau.

Serentak itu, Salahuddin juga menyokong ikrar DAP untuk mempersoalkan keghairahan Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar memangsakan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat.

"Ketika rumah kakaknya sendiri di Mantin di rompak dan rumah adik Timbalan Perdana Menteri di Petaling Jaya juga dirompak, Khalid sepatutnya menumpukan tugasnya membenteras jenayah dan bukannya melakukan tugas lain untuk menyenangkan hati para pembesar-pembebsar Umno," kata Salahuddin.

Salahuddin hairan mengapa Khalid dan pasukan polis lebih takutkan nyalaan lilin dan perkataan 'spring' berbanding kadar jenayah yang semakin membimbangkan rakyat.
Salahuddin mengingatkan, hakikat bahawa negara ini yang tidak selamat dari jenayah turut diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low apabila beliau berkata, para menteri akan terancam keselamatan mereka jika mengisytiharkan harta.

Kelantan terus usaha untuk dapatkan royalti - MB

Rizal Tahir, 27 Mei 2013

(MB Kelantan maraikan Persatuan Anak Kelantan Darulnaim Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) di pejabatnya semalam)


KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan terus berusaha mencari jalan,  selagi ianya tidak bercanggah dengan undang-undang, untuk mendapatkan royalti untuk negeri itu.

Inilah jaminan yang diberikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap di majlis meraikan anak Kelantan di perantauan.

Beliau meraikan rombongan Persatuan Anak Kelantan Darulnaim Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) di pejabatnya semalam.

Menurutnya, anak Kelantan juga wajar memperjuangkan hak itu di tempat masing-masing.

Dalam ucapan itu, beliau berkata, anak Kelantan di Perantauan akan berhadapan dengan cabaran yang penuh mencabar pada PRU-14, kerana cabarannya akan bertambah sengit.

Ahmad berkata, kempen PRU-14 telah bermula dari sekarang dan anak Perantau termasuk golongan muda perlu mempersiapkan diri yang lebih mantap untuk ke arah itu.

Jelasnya, dalam pilhan raya lalu, Pakatan Rakyat hampir ke Putrajaya.

“Kita belum diberi keizinan oleh Allah untuk menawan Putrajaya, tentu ada sebabnya yang perlu kita ketahui dan perbaiki,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur di atas pengorbanan anak Kelantan yang pulang untuk mempertahankan kemenangan kerajaan negeri baru-baru ini.

Menurutnya, pengorbanan itu selari dengan kehendak syariat kerana kepulangan untuk mempertahankan kemenangan kerajaan yang mendaulatkan syariat Islam.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassurudin Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Ngo negeri, Dr Ramli Mamat.

Sementara itu, Nassurudin mengingatkan anak Kelantan supaya mempamerkan identiti negeri itu di tempat masing-masing.

Menurutnya, mereka adalah duta kerajaan negeri di tempat yang mereka tinggal.

“Walau di mana kita berada, walau apa jua jawatan yang kita sandang, jangan lupa asal usul tempat kita,”ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Presidennya, Ali Hanafiah Muhammad.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Naib Presiden Persada Bustaman Hassan dan Setiausahanya, Razali Ismail.

Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya

Hambali Akram,
Saya melihat suasana politik akhir-akhir ini berlangsung dalam suasana amat tidak sihat. Walaupun ketidakadilan ini memang sudah wujud sejak sekian lama, namun kali ini suara rakyat lebih kuat dan menyeluruh. Sebelum ini, kaum Cina dan India agak pasif dan lebih suka bertindak secara senyap. Namun kali ini mereka bersama-sama orang Melayu telah bangkit menyuarakan suara hati mereka.

Dalam hal ini, Umno-BN bahawa janganlah menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan pada masa yang sama diri sendiri berjalan mengiring! Contohnya, dalam isu hasut-menghasut, beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat telah direman kerana didakwa mengeluarkan ucapan yang berbaur perkauman dan menghasut. Namun, pada masa yang sama tiada pula tangkapan dilakukan kepada mana-mana individu atau pemimpin Umno-BN yang bercakap tentang perkara yang sama. Malah media pro Umno-BN dengan terang-terang cuba menyiarkan berita yang boleh menggugat kerharmonian antara kaum.

Dalam hal ini, telah ramai rakyat Malaysia yang celik maklumat dan pemikiran serta berani menentang ketidakadilan. Oleh itu, jika Umno-BN mahu rakyat mematuhi undang-undang negara, mereka juga mesti mematuhinya. Ketahuilah bahawa sifat semulajadi rakyat ialah semakin kuat ditekan semakin kuat mereka melawan.

Jika pemerintah melayan rakyat dengan adil dan saksama, maka ruang untuk mereka menentang semakin sempit dan pemerintah tidaklah perlu bersusah payah saban hari melawn kebangkitan rakyat.

Marilah kita bersama-sama menjunjunglah prinsip keluhuran perlembagaan – dan Umno-BN lah yang mesti memulakannya kerana mereka memegang tampuk pemerintahan. Jika tidak, Umno-BN akan perlahan-lahan reput ditelan oleh arus kebangkitan rakyat.

PKR dedah laporan polis black-out masa kira undi

Harakahdaily, 27 Mei 2013


KUALA LUMPUR: PKR kesal dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang memperlekehkan aduan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik semasa pengiraan undi (black-out).

“Beliau juga mempersendakan aduan-aduan ini, kononnya dilakonkan terlebih dahulu dan mencabar sekiranya benar ada kejadian begini berlaku agar laporan polis dikemukakan kepada SPR,” kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.

Semalam, katanya wakil rakyat Sri Serdang Puan Noor Hanim Ismail telah tampil menjelaskan bahawa gambar di internet yang berlegar benar-benar berlaku di dalam kawasan yang beliau tandingi.

Dengan kenyataan balas Noor Hanim Ismail itu, ujarnya Wan Ahmad wajarlah mengemukakan asas bagaimana beliau boleh mempersendakan satu aduan serius yang dibuat mengenai kepincangan perjalanan pilihanraya, tanpa usul periksa terlebih dahulu.

“Hari ini, saya tampilkan satu lagi bukti untuk menunjukkan bahawa Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak pernah ikhlas untuk menangani aduan kepincangan perjalanan pilihanraya secara ikhlas,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berkata, Wan Ahmad mencabar agar ditunjukkan laporan polis sekiranya benar berlaku black-out di mana-mana tempat pengiraan undi dalam PRU13.

Jelasnya, pihak #siasatpru13 berjaya menjejaki satu lagi insiden black-out di Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disertakan dengan laporan polis.

Laporan menyebut:
“Pada 5/5/2013 jam lebih kurang 0715 malam bekalan letrik terputus di dalam kawasan Sekolah Sri Lindungan Raja, Sedim, Karangan, Kedah. Saya sebagai ketua unit peti undi Kampung Tebuan, Sedim bagi PRU13 N35, P18 dan sebagai agen wakil calon PKR ditempat kiraan undi di sekolah tersebut. Kejadian ini mendatangkan kecurigaan kepada pihak saya berdasarkan perkara ini saya mendapat maklumat daripada pihak TNB dan tiada sebarang bekalan elektrik terputus di kawasan Sedim. Perkara ini disahkan oleh pihak TNB. Pada 5/5/2013 jam 0725 malam bekalan elektrik pulih semula berdasarkan perkara ini juga pihak saya merasakan terdapat unsur penyelewengan. Kejadian ini berlaku hanya pada bangunan sekolah sahaja sedangkan saksi-saksi bagi pihak saya melihat kawasan di luar sekolah tiada terputus bekalan elektrik. Sekian repot saya.”

“Dengan adanya saksi dan laporan polis sebegini, secara langsung menjawab cabaran  Wan Ahmad yang mahu melihat laporan polis yang dibuat,” ujarnya.

Kini, kata Rafizi menjadi tanggungjawab Wan Ahmad untuk menerangkan bagaimana kejadian terputus bekalan elektrik hanya di tempat mengira undi pada ketika undi sedang dikira boleh berlaku, sedangkan TNB menyatakan bahawa tiada sebarang gangguan bekalan eletrik.

Sebelum 1990 kedai Toto boleh dilihat di Kelantan

Aslani M, 27 Mei 2013
KUALA KRAI: Sebelum 1990 di bandar-bandar besar di Kelantan kita boleh lihat ada kedai menjual Toto dan Loteri Kebajikan Masyarakat.

Begitu juga di Bandar Kuala Krai boleh dilihat pelanggan keluar masuk kedai Toto. Ia menjadi pemandangan biasa ketika itu.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, lebih malang lagi anak-anak penduduk tempatan juga bekerja di premis itu sebagai kerani.

“Bagi mereka yang berusia sekitar 40-an ke atas tentunya masih ingat lagi ada kedai menjual Toto ada di bandar Kuala Krai.

“Lebih malang lagi anak-anak kita juga yang bekerja sebagai kerani di premis berkenaan,” katanya pada ceramah kesyukuran anjuran seorang aktivis PAS di Dataran Hijau Kampung Laloh malam semalam.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Mumtaz Mohd Nawi dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Seekor kerbau dikorbankan bagi jamuan orang ramai yang datang mengikuti program berkenaan. Jamuan bermula pada sebelah petang.

Program ceramah bermula agak lewat bagi memberi laluan orang ramai yang hadir menonton perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dan Terengganu melalui skrin besar yang disediakan.

Hanya setelah Kelantan menang 4-1 ke atas Terengganu barulah program ceramah dimulakan.

Mohd Fauzi juga berkata, biar pun kerajaan BN membina beberapa prasarana sebagai menunaikan janji pilihan raya kecil Dun Manek Urai, namun undi diperolehi pada pilihan raya umum 5 Mei lalu meningkat berpuluh kali kali ganda iaitu daripada 65 kepada 1,633 undi.

“Biar pun BN membesar jambatan menghubungkan Kampung Manek Urai baru dan lama serta membina beberapa prasarana lain namun undi yang diperolehi calon PAS bertambah besar.

“Malah saya difahamkan ada pihak membahagikan duit kepada pengundi bagi memenangkan calon BN, namun parti itu ditolak majoriti rakyat,” katanya.

Premis kedai Toto diharamkan di Kelantan selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah mengambil alih pentadbiran negeri pada akhir 1990 daripada kerajaan BN.

Esok tarikh roboh rumah Kg Serai Wangi, Desa Pengasih

Anis Nazri, 27 Mei 2013

(Esok rumah-rumah di kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih bakal dirobohkan...siapakah pembela mereka)

SHAH ALAM: Penduduk Kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih, Jeram kini berada dalam keadaan bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang tindakan pengusiran dan perobohan kampung halaman mereka yang telah diterokai sekian lama.

Ini kerana, tempoh akhir untuk 36 keluarga mengosongkan kawasan tersebut berakhir tengah malam ini, apabila tarikh berinjak ke 28 Mei seperti notis yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada mereka sebelum ini.

Seorang penduduk kampung tersebut, Norizan Ni'mat, berkata pagi esok merupakan penentu nasib mereka yang telah membangunkan kampung tersebut sejak 1986, sebelum tanah tersebut dibeli oleh TM Facilities pada 2004, di zaman pentadbiran BN di bawah Datuk Seri Dr. Khir Toyo.

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily, berkata penduduk kampung telah mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Adun Jeram, Datuk Amiruddin Sitro bagi menyuarakan kesulitan dan tuntutan mereka selama ini sebelum meninggalkan kawasan tersebut.

"Hasil dari pertemuan itu, esok pagi akan ada satu lagi pertemuan di antara pihak TM Facilities dan penduduk kampung yang diwakili kedua-dua ahli parlimen dan Adun bagi mencapai kata putus berhubung isu ini," tegas beliau.

Katanya, berdasarkan perbincangan awal, Datuk Amiruddin melarang pihak TM Facilities membuat sebarang pembayaran pampasan yang dikatakan hanya diberikan kepada 12 penduduk terpilih sahaja.

Sebaliknya, wang tersebut perlu diberikan kepada semua penduduk kampung yang terlibat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak.

Tambah Norizan, pada pertemuan antara pihak TM Facilities dan penduduk kampung esok, keputusan berhubung permintaan penduduk untuk menangguhkan perintah pengosongan kawasan itu juga akan dibincangkan.

"Selain berbincang soal pampasan yang hanya diberikan kepada 12 penduduk terpilih, pertemuan esok juga akan memutuskan soal hak dan pengorbanan kami selama meneroka tanah ini.  Adakah kami terpaksa mengosongkan tanah ini dan rumah kami dirobohkan? Esok jugalah jawapannya," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau masih mengharapkan pertemuan esok dapat memberikan pengharapan yang positif kepada penduduk untuk kekal di situ sementara mendapat kawasan penempatan baru.

Harakahdaily, sebelum ini melaporkan penduduk kedua-dua kampung tersebut memohon untuk menangguhkan kerja-kerja perobohan rumah mereka, bagi memohon jasa baik kerajaan negeri untuk menyediakan satu kawasan penempatan yang baru untuk mereka.

Rata-rata penduduk kampung yang ditemui Harakahdaily, sebelum ini mengakui mereka tidak menolak sebarang pembangunan, namun memohon mana-mana pihak untuk menyediakan tempat untuk mereka berteduh.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzwan menyerahkan perkara tersebut kepada Pemuda PAS Kuala Selangor untuk tindakan susulan.

"Mengambil maklum perkara tersebut, isu ini diserahkan kepada Pemuda PAS Kuala Selangor bagi meneliti dan memperhalusi segala perkara berbangkit berkaitan kes penduduk Kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Penduduk kampung itu mula menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan itu pada 2012, dan pihak Telekom mula memfailkan saman pemula ke atas penduduk pada 14 Mei 2013 lalu melalui Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis itu mengatakan semua penduduk kampung terbabit perlu mengosongkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 28 Mei ini.

Bagaimanapun, para penduduk memohon untuk menangguhkan pengosongan tersebut dengan meminta jasa baik pihak berkenaan untuk menyediakan satu penempatan bagi mereka, selain menuntut pampasan berhubung hasil tanaman yang diusahakan mereka selama mendiami tanah tersebut.

Menurut perbincangan dengan pihak Telekom, Harakahdaily dimaklumkan Telekom menawarkan sejumlah RM7500 untuk setiap 36 keluarga sebagai kos pemindahan.

Harakahdaily difahamkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas menteri besar, Tan Sri Muhammad Mohd Taib pada 8 September 1992.

Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh TM Facilities.

Permohonan itu kemudiannya diluluskan Khir Toyo, bagi tujuan membina Universiti Telekom.

Bagaimanapun ia tidak diteruskan apabila ia kemudiannya dibina di Melaka.

Harakahdaily juga dimaklumkan, status tanah itu masih kekal sebagai tanah pertanian, biarpun penduduk kampung dimaklumkan kawasan itu akan dibangunkan untuk pembinaan kuarters kakitangan Telekom dan mungkin juga menjadi pembangunan komersial.

Tiada ulasan: