Isnin, 27 Mei 2013

MALAYSIA TANAH AIR KU...ALLAH SAJA MAMPU MENTAKDIRKAN SESUATU....MAKA BERIMAN DAN BERTAQWALAH...JANGAN SEKALI2 MELAKUKAN KROSAKKAN...MAKA JIKA BUAT MAKA SENDIRI TANGGUNG

NGO: Himpunan 'Black 505' hanya permulaan
5:30PM Mei 27 2013  
Satu gabungan NGO mengancam untuk membuat perarakan besar sekiranya para pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya masih tidak meletak jawatan atau dipecat dari jawatan tersebut.
Penganjur berkenaan, termasuk NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyebut, sembilan perhimpunan yang diadakan selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu hanyalah satu permulaan.

“Amaran terakhir dari rakyat bahawa mereka berani untuk berarak secara aman sekiranya SPR masih tidak dipecat atau meletak jawatan. Rakyat sudah bersedia ke jalan raya demi demokrasi yang telah digelapkan, bila-bila masa dari sekarang.

“Gabungan 'Suara Rakyat 505' tegas dan tetap dengan pendirian bahawa hanya ada satu jawapan terhadap segala penipuan yang telah berlaku dalam pilihanraya 5 Mei lalu iaitu (pemimpin) SPR harus letak jawatan, sebelum langkah seterusnya mengembalikan demokrasi dan juga sebelum mana-mana pilihanraya semula yang bakal berlangsung,” kata gabungan NGO tersebut dalam satu kenyatan.

Gabungan NGO berkenaan, yang menggunakan nama 'Suara Rakyat 505' merancang untuk menghimpunkan 500,000 orang bagi tujuan tersebut.

Perhimpunan terakhir pada hari Sabtu lalu menyaksikan kira-kira 70,000 orang hadir bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam kenyataan hari ini juga, Suara Rakyat 505 menyebut bahawa pemimpin SAMM Badrul Hisham Shaharin menerima notis dari pasukan polis supaya hadir ke balai polis daerah Seremban.
Mary Yap: Tak jadi masalah tak pandai bahasa Cina
 
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata tidak menjadi masalah baginya untuk menangani isu pendidikan Cina walaupun beliau tidak fasih berbahasa Cina.

Menurutnya, walaupun tidak pandai membaca dan bertutur dalam bahasa tersebut, beliau kini dibantu seorang pegawai yang akan memberitahu apa yang dilaporkan dalam akhbar bahasa Cina.

"Itu bukan isu. Saya pandai berbahasa Melayu dan Inggeris. Saya boleh baca dan bercakap dalam dua bahasa ini.

"Saya juga ada pegawai untuk bantu saya yang akan beri nasihat dan bacakan surat khabar Cina dan beritahu apa yang dilaporkan.

"Ada ramai pemimpin di dunia yang tak fasih berbahasa Inggeris tapi disebabkan ada pasukan yang kuat, mereka boleh bimbing negara dengan begitu berkesan," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Digital Asia di ibu negara hari ini, Yap turut ditanya sama ada beliau dilantik untuk mewakili kaum Cina dalam jemaah menteri.
MP Tawau itu berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia.
"Saya telah bekerja di bawah kementerian pelajaran hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum, guru, pengetua dan sebagainya.

"Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah unjuran daripada 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya," katanya lagi.

Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini menimbulkan mengenai komposisi dalam senarai anggota kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina dalam untuk menyelesaikan masalah mereka.

Persatuan itu juga membangkitkan mengenai menteri yang mewakili kaum tersebut tetapi tidak dapat bertutur dengan bahasa Cina dengan baik.
Warga Pakistan dakwa pernah mengundi dua kali
 
Seorang warga Pakitstan yang memperolehi kad pengenalan Malaysia dengan cara yang diragui mendakwa beliau pernah mengundi sebanyak dua kali dalam pilihan raya umum dan namanya masih kekal dalam daftar pemilih.
Abdul Latif Jumaani, yang menerima kad pengenalan pada 1992 di sebuah restoran di Kota Kinabalu, mendakwa beliau pernah mengundi pada kali pertama di Ampang, Selangor dan kemudiannya di Bahau, Negeri Sembilan.

“Saya mahu mengundi sekali lagi dalam pilihan raya umum (ke-13) memandangkan nama saya masih wujud dalam daftar pemilih, namun saya tiada dokumen untuk pergi ke semenanjung,” katanya dalam siasatan suruhanjaya diraja mengenai pendatang asing Sabah.

Katanya, beliau dimaklumkan “empat atau lima bulan lalu” oleh Jabatan Pendaftaran Negara bahawa kad pengenalannya telah dibatalkan.
Penguatkuasa takut ancaman pendatang asing Sabah
 
Seorang pegawai penguatkuasa dari Majlis Daerah Kunak berkata pasukannya amat gerun untuk memasuki sesetengah kawasan kampung setinggan, termasuk yang dibina di atas air, kerana sering menerima ancaman ke atas keselamatan diri mereka.
Menurut Salim Silin, yang mengetuai jabatan setinggan di majlis tersebut, empat pegawai penguatkuasanya pernah “diancam dengan pisau, dan diekori” ketika bertugas, oleh sebahagian daripada kira-kira 6,000 orang yang tinggal di kawasan tersebut.

Sesetengah kawasan itu juga sukar dimasuki kerana dihubungkan dengan jambatan yang rosak dan laluan sempit.

Selain itu, keselamatan mereka diancam sehingga mereka tidak berani masuk ke kawasan berkenaan, katanya lagi.

Beliau juga mengakui perkara itu merupakan halangan paling besar dalam menjalankan tugasnya, apabila ditanya oleh pegawai pengendali RCI berhubung isu pendatang asing Saba Jamil Aripin.

Tambahnya, pendatang asing tersebut – termasuk yang memiliki dokumen dan tanpa dokumen – kebanyakannnya merupakan keturunan Suluk dan Bugis yang membentuk lebih 70 peratus dariapda penduduk di lapan kawasan setinggan di daerah tersebut.

Salim juga berkata, seramai kira-kira 1,000 orang keturunan Bajau Laut yang tidak memiliki dokumen tinggal di satu kampung air setinggan, Kampung Kunak 3.
Adam Azfar meninggal dunia
1:36PM Mei 27 2013  
Adam Azfar Mohd Jimadie Shah - anak sulung kepada penolong pengarang meja bahasa Melayu Malaysiakini - meninggal dunia pada jam 10.11 pagi ini di rumahnya di Puchong.
Anak kecil berusia enam tahun itu kembali ke rahmatullah selepas tujuh bulan bertarung melawan barah 'Pontine Glioma' yang tumbuh betul-betul di bahagian tengah otaknya.

NONE“Adam akan dikebumikan di sini petang ini. Kawan-kawan ramai yang hadir ke rumah pada ketika ini,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi pagi ini.

Adam Azfar menjalani 30 sesi radioterapi dan dibekalkan dengan ubat-ubatan sejak ketumbuhan tersebut dikesan pada awal November lalu.

Pada awal bulan itu, Adam dimasukkan ke Hospital Serdang selepas mengalami muntah-muntah dan sukar berjalan.

Allahyarham kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan mengidap ketumbuhan sepanjang 2.5cm itu.

Jenazah Adam Azfar disembahyangkan di Masjid Al-Syakirin, Puchong Utama dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu 14 Puchong pada kira-kira jam 4.35 petang ini.
Warga Sabah tunggu 28 tahun untuk dapat IC
 
RCI Sabah Seorang rakyat Malaysia yang dilahirkan oleh ibu bapa dari kaum Orang Asal Rungus di Sabah terpaksa menunggu hampir tiga dekad sebelum mendapat kad pengenalan.

Charles Magadap berkata hal ini berlaku kerana ibu bapanya tidak mahu berjalan selama 12 jam dari Kampung Sampil di Matunggong, Kota Marudu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bandar sewaktu dia dilahirkan pada 1964.

"Tidak ada jalan raya ketika itu dan kami tidak mempunyai kenderaan," katanya memberi keterangan dalam sesi pendengaran suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang tanpa izin di Sabah.

Sebagai saksi ke-93, Magadap berkata dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan menggunakan resit permohonan kad pengenalan sementara yang diterimanya sewaktu memohon untuk mendapatkan kad pengenalan pada 1976, ketika usianya 12 tahun.

Menurut Magadap, dia memohon kad pengenalan menggunakan sijil status yang disahkan oleh pegawai daerah dan menunggu sehingga tahun 1985.

Pada 1985, katanya, dia memeriksa di JPN Kota Marudu dan diberitahu bahawa sijil status itu tidak lagi diiktiraf dan dia terpaksa mendapatkan sijil pendaftaran kelahiran terkini.
Yazid Sufaat, pembantu didakwa anggotai Al-Qaeda
 
Selepas dibebaskan Isnin lepas, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi Hasim sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, kali ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dicatat dan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan kes.

Sejurus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, Yazid mempertikai pertuduhan terhadapnya yang disifatkan 'pendakwaan dua kali' bagi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membantah tindakan Yazid namun peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya mempunyai hak untuk bersuara.

Mohamad Hanafiah kemudian memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh dua minggu.

Amer Hamzah, yang turut mewakili Muhammad Hilmi, pula memaklumkan terdapat pertindihan berhubung tarikh dan tempat dalam pertuduhan terhadap kedua-dua anak guamnya sebelum ini.

"Segala bantahan akan dikemukakan selepas kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Yazid dan Muhammad Hilmi serta Halimah Hussein daripada pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpuas hati terdapat merit dalam hujahan peguam berhubung isu pertuduhan dan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

-Bernama
Dr Subra bakal cabar Palanivel bagi jawatan tertinggi MIC
 
Selepas kira-kira 20 tahun "tiada pertandingan' bagi jawatan presiden MIC, penyandang Datuk Seri G Palanivel dijangka menghadapi cabaran sukar untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijadual dalam tempoh lapan atau sembilan bulan lagi.

Kali terakhir parti berusia 67 tahun tersebut mengadakan pemilihan jawatan presiden ialah pada 1993, apabila Presiden MIC ketika itu Datuk Seri S Samy Vellu dicabar S Subramaniam yang lebih dikenali sebagai 'Jumbo Maniam'. Samy Vellu bagaimanapun menang.

Seorang veteran MIC yang tidak mahu identitinya didedahkan, berkata Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S Subramaniam dilihat merancang untuk menandingi jawatan itu.

Dikenali sebagai Dr Subra dalam kalangan anggota MIC, beliau mempunyai masa yang suntuk bagi meraih sokongan pengerusi cawangan kerana pada masa yang sama perlu melaksanakan tugas barunya sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau baru-baru ini membayangkan hasratnya untuk menandingi jawatan itu kepada Samy Vellu bagi mendapat restu bekas pemimpin MIC berkenaan.

"Beliau (Samy Vellu) telah beri lampu hijau," kata sumber itu kepada Bernama sambil menyatakan hasrat Dr Subramaniam selari dengan perlembagaan parti yang demokratik.

Sebagai pemimpin paling lama dalam MIC sehinggalah beliau melepaskan jawatan itu pada 2010, Samy Vellu dikatakan masih "mengawal" lebih 45 peratus daripada 3,700 pengerusi cawangan yang bertanggungjawab memilih memilih presiden baharu.

Dr Subramaniam, 60, merupakan pakar dermatologi dan menjadi anggota Parlimen Segamat sejak 2004. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2004 hingga 2008 sebelum dilantik Menteri Sumber Manusia selepas pilihan raya umum ke-12.

Palanivel, 64 merupakan bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dan pernah menjadi pembantu Samy Vellu pada satu ketika.

Kali terakhir pemilihan presiden diadakan ialah pada Mac 2009 untuk penggal selama tiga tahun dan Samy Vellu menang tanpa ditandingi.

Samy Vellu menyerahkan jawatan berkenaan kepada Palanivel yang merupakan timbalannya pada masa itu.

Pemilihan MIC pada semua peringkat akan diadakan pada suku pertama tahun depan, demikian putus jawatankuasa kerja pusat (CWC) baru-baru ini.

Pemilihan presiden akan diadakan tiga bulan sebelum pemilihan untuk jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

Memandangkan Dr Subramaniam sudah menyatakan hasrat untuk menandingi jawatan presiden, soalan seterusnya ialah siapa yang mahu mengisi kerusi timbalan presiden.

Sumber dalaman memberitahu Bernama, Naib Presiden Datuk M Saravanan dilihat berminat untuk menandingi jawatan nombor dua parti itu dan dipercayai mengadakan perbincangan dengan Palanivel serta Dr Subramaniam bagi menentukan dengan siapa beliau patut bekerjasama.

Saravanan yang dikenali sebagai pemimpin muda dan berkebolehan, mahu memanfaatkan gelombang kebangkitan generasi teknologi baharu dalam kepimpinan MIC.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu dipercayai tidak akan menghadapi masalah mendapat restu Samy Vellu memandangkan beliau penyokong setia bekas pemimpin berusia 77 tahun terbabit yang jelas masih berpengaruh dalam parti.

-Bernama
Tukang cuci jumpa revolver di tandas hospital
 
Seorang tukang cuci sebuah hospital swasta di Sungai Petani terkejut apabila terjumpa sepucuk revolver jenis Smith & Wesson .38 special mengandungi enam butir peluru dalam tandas hospital itu, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata pistol berkenaan dipercayai milik seorang pesakit lelaki yang dimasukkan ke wad hospital itu untuk rawatan demam denggi pada kira-kira 2 pagi hari sama.

Beliau berkata penemuan oleh tukang cuci wanita berusia 40 tahun itu berlaku selepas seorang pesakit mengadu tidak dapat mengepam tandas pada kira-kira 8 pagi.

"Tukang cuci itu cuba mengepam tandas beberapa kali tetapi gagal lalu membuka penutup tangki air dan terkejut apabila mendapati sepucuk pistol tersangkut pada penarik pam air," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Abdul Ghafar berkata tukang cuci itu memaklumkan penemuan pistol berkenaan kepada pihak pengurusan hospital, yang kemudian menghubungi polis.

Beliau berkata seorang lelaki yang dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira enam jam sebelum itu didapati menghilangkan diri selepas pistol itu ditemui.

Siasatan polis mendapati lelaki itu terbabit dalam satu kes cubaan membunuh dan melepaskan tembakan pada tahun lepas, selain memiliki sembilan rekod jenayah membabitkan kesalahan samun, dadah, memiliki senjata api, pecah rumah dan ekor haram, katanya.

Abdul Ghafar berkata sehubungan itu, polis menjejaki Yeoh Choon Wah, 35, nombor kad pengenalan 780902-07-5221 dan alamat terakhirnya ialah Nombor 21, Lorong Beringin 1, Taman Beringin, Sungai Petani.

Beliau berkata mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Tay Boon Keong di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 012-3284 837 atau mana-mana balai polis terdekat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Berat) 1971.

- Bernama

Tiada ulasan: