SPR tolak debat berhubung dakwaan penipuan PRU13
Harakahdaily, | 24 Mei 2013 |
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilapor berkata, SPR tiada keperluan untuk berdebat kerana sebarang rasa tidak puas hati tentang keputusan PRU13 lalu boleh dibuat melalui memfailkan petisyen.
"Sebenarnya kami tidak takut untuk berdebat dengan sesiapa kerana kami melaksanakan kerja bersandarkan pada undang-undang dan peraturan tetapi untuk apa SPR perlu bagi publisiti murahan kepada mereka?
"Pembangkang hendak sangat tunjukkan pada penyokong mereka kononnya mereka menang debat...dia berdebat nak cari publisiti, nak hujahkan perkara yang dia duk debat di jalan raya tu, walhal sekarang ini waktu petisyen pilihan raya, kita kena hormat undang-undang," katanya dipetik Bernama.
Terlepas pandang
Sementara itu, Wan Ahmad juga dilaporkan mengakui pihaknya terlepas pandang soal teknikal seperti teknik menggunakan dakwat kekal yang perlu digoncang setiap dua jam untuk memastikan keberkesanannya.
"Insiden dakwat telah berlaku jadi kami belajar dari kesilapan...kami terlalu fokus kepada menyimpan dakwat di lokasi selamat iaitu di lokap polis dan merahsiakan warna dakwat kerana hendak mengelakkan sabotaj pilihan raya hingga terlupa hendak baca dengan teliti cara penggunaan dakwat itu," katanya kepada agensi berita itu.
SPR: Gambar 'Black Out' hari mengundi fitnah dan lakonan
24 Mei 2013
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
"Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
"Pada gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata bukti paling nyata apabila gambar tersebut menunjukkan terdapat ramai pemberita dan jurugambar berada di dalam tempat pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada sesiapa yang boleh berada di tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen calon.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti yang ditunjukkan oleh gambar itu langsung tidak betul... mereka sudah terlupa, hendak menipu tetapi tidak faham tatacara kerja dan tidak matang.
"Malah dulang yang digunakan untuk meletak kertas undi juga bukan dulang SPR, bahan dan saiznya berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak ikut SOP SPR," katanya.
Wan Ahmad berkata sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berkaitan dakwaan lampu padam dan itu membuktikan bahawa ia ternyata fitnah pembohongan yang direka-reka dan tidak berasas.
"Kalau ada lampu padam, tentulah ada ejen-ejen parti membuat laporan polis, mereka mewakili calon, mereka ada di tempat mengira undi, jika lampu padam dia yang akan mula-mula sekali berlari buat laporan polis, tetapi tidak.
"Malah pada malam pengiraan undi itu juga, saya apabila mendapat 'tweet' mengatakan lampu padam oleh 'cybertrooper' yang tidak bertanggungjawab, kita terus semak kawasan mana, kita semak dengan pengarah negeri kita, Pegawai Pengurus dan saluran sekolah yang dituduh tetapi ternyata tdak ada apa-apa," katanya.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan sebuah akhbar pembangkang bahawa 24 petugas SPR di Besut, Terengganu telah dikurung bagi memangkah kertas undi, Wan Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Beliau berkata namun kesemua mereka dipercayai masuk ke satu bilik itu untuk memangkah kertas undi masing-masing memandangkan kesemua mereka mengundi secara pos kerana bertugas pada PRU13.
"Salah seorang daripada mereka didapati telah membuat laporan polis... itu keputusan yang bagus dan betul agar polis dapat membuka kertas siasatan.
"Namun dipercayai mereka mendapat sampul surat yang berisi kertas undi untuk mengundi cara pos dan itu hak mereka untuk pangkah di mana-mana lokasi termasuk di dalam bilik yang dikatakan itu.. namun apa yang sebenarnya berlaku kita tidak tahu," katanya.
Katanya, masyarakat tidak harus membuat andaian dan rumusan sendiri dengan hanya membaca melalui media pembangkang sedangkan semua yang dilaporkan berkaitan SPR adalah buruk dan berbaur fitnah.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata cadangan pembangkang agar Tribunal Rakyat ditubuhkan adalah amat berbahaya kerana ia membelakangkan perlembagaan dan undang-undang negara.
"Siapa yang akan mewakili Tribunal Rakyat itu? Orang-orang mereka, pemimpin NGO yang selama ini yang menentang sistem dan dasar pilihan raya? Mereka yang menyemai budaya tidak baik dan tidak sopan pada anak muda?," katanya. - Bernama
Tangkapan untuk alih perhatian penipuan PRU13
Muhammad Faizal, | 24 Mei 2013 |
Beliau memberitahu, budaya takut ini ditimbulkan apabila terdapat banyak pendedahan yang telah dikeluarkan sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan hasrat rakyat tidak tampil menuntut keadilan.
"Apabila terlalu banyak pendedahan penipuan pada PRU13 dapat dibuktikan, kerajaan telah mewujudkan satu budaya takut kepada rakyat agar mereka tidak bangkit menuntut keadilan.
"Rakyat telah terdedah dengan pelbagai maklumat apa yang berlaku sepanjang pilihanraya yang lepas, sebagai kerajaan bagi mestikan tidak ada kebangkitan maka mereka telah mengalihkan isu kepada penangkapan supaya rakyat tidak berani menuntut kebenaran," jelas beliau.
Menurut Idris, sebagai sebuah parti politik memerintah sebuah negara merupakan satu matlamat dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kuasa.
Atas sebab itu apabila sesebuah parti mempunyai kuasa mutlak walaupun wujud penipuan dalam pemilihan, mereka merasakan rakyat tidak akan berani untuk tampil menuntut keadilan jika kekerasan digunakan sepertimana melakukan penangkapan terhadap mereka yang lantang bersuara.
Undang-undang terpilih
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang menegaskan apa yang berlaku hari ini telah menunjukkan wajah sebenar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Malah katanya lagi, tindakan rampasan yang dilakukan terhadap akhbar rasmi PAS, Harakah adalah satu lagi usaha untuk menutup segala bentuk penyelewengan dan pembohongan mereka.
"Kita harapkan bertindak secara adil diambil oleh kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Kenapa tidak ada tindakan diambil oleh mereka yang mengeluarkan kenyataan rasis ataupun media yang secara jelas rasis dalam tajuk penyiaran mereka. Undang-undang mengatakan yang salah tetap salah bukannya undang-undang mengikut pilihan," katanya.
Tangkap, rampas akhbar: Cukuplah tindas rakyat
Harakahdaily, | 24 Mei 2013 |
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan menangkap pemimpin politik dan aktivis rakyat, serta merampas akhbar parti dalam Pakatan Rakyat adalah tindakan tidak wajar sekalipun tidak berpuas hati dengan kemerosotan BN pada PRU13 lalu.
Zahid juga katanya tidak wajar untuk menggunakan pihak polis di bawak kementeriannya untuk berdepan dengan rakyat yang dianggap musuh politik BN.
"Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak segala tindakan zalim ini dihentikan serta merta.
"PDRM di bawah teraju Ketua Polis Negara yang baru tidak seharusnya menjadi perkakas politik Umno BN," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangkapan empat orang aktivis rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk terbaru semalam di bawah akta hasutan.
Mereka termasuk aktivis pelajar Adam Adli , aktivis PAS Tamrin Ghafar, Naib Presiden PKR Tian Chua dan penggerak Asalkan Bukan Umnu (ABU) Haris Ibrahim.
Semalam juga menyaksikan ketiga-tiga akhbar milik parti PAS, PKR dan DAP iaitu Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket, dirampas oleh KDN di beberapa buah negeri.
"Tugas kerajaan dan polis adalah melindungi dan menghormati rakyat, bukannya menindas seteru politik untuk menutup kepincangan yang dilakukan Umno BN," kata Mahfuz lagi.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga, BN terus berselindung disebalik undang-undang malah menyalahgunakan akta hasutan dijanjikan akan dimansuhkan sebagai senjata untuk menakutkan rakyat.
Sedangkan pada masa yang sama katanya, perbuatan jenayah mengapikan-apikan isu perkauman dan tindakan-tindakan berbaur ugutan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan akhbar Utusan Malaysia terus didiamkan tanpa sebarang tindakan diambil.
"Janji Perdana Menteri untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional selepas BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah pilihanraya terbukti palsu dan tak lebih dari sekadar kata-kata yang dilafazkan oleh orang yang sedang mabuk," katanya.
PAS sertai himpunan aman “SuaraRakyat 505” esok
Harakahdaily, | 24 Mei 2013 |
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, ianya sebagai menifestasi membantah segala penipuan yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
“PAS akan diwakili Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Himpunan anjuran gabungan labih 50 NGO itu dijadul berlangsung di Padang Timur (Amcorp Mall) bermula jam 5 petang sehingga ke sebelah malam.
Difahamkan himpunan itu juga bakal menampilkan individu-individu yang mengalami sendiri penipuan pada PRU13 lalu untuk menceritakan pengalaman masing-masing.
Semalam penggerak utama kepada himpunan itu, Solidariti Anak Muda Malayisa (SAMM) menegaskan, mereka tetap bertekad untuk memastikan himpunan mencapai matlamat, walaupun terpaksa berdepan dengan penangkapan.
Mereka mengulas beberapa pemimpin serta aktivis rakyat yang ditahan sejak bebarapa hari lalu di bawah akta hasutan.
Ianya termasuk aktivis pelajar Adam Adli , aktivis PAS Tamrin Ghafar, Naib Presiden PKR Tian Chua dan penggerak ABU Haris Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah turut memaklumkan bahawa PAS Kedah juga turut akan turun menyertai himpunan itu esok.
"Saya harap pihak polis dapat memberi kerjasama untuk mengawal himpunan itu esok dan tidak menggunakan kekasaran yang boleh mengeruhkan suasana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan