Ahad, 26 Mei 2013

KATALAH...CAKAPLAH...SUMPAHLAH....BUATLAH APA NAK BUAT...TAPI ALLAH TAHU SAPE PEMBOHONG BESAR DAN KAKI TIPU....KAKI KENCING...KAKI MAKSIAT DAN KAKI DOUBLE STANDARD...SATU KETIKA MEREKA NI AKAN ALLAH HUKUM JUA

BN tak curi kemenangan dalam PRU13
Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2013
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) tidak pernah mencuri kemenangan daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti termaktub dalam perlembagaan negara dan BN memenangi pilihan raya berdasarkan kelebihan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan dan bukan berdasarkan undi popular seperti sistem presiden yang diamalkan di Amerika Syarikat (AS).

"Dakwaan kita mencuri kemenangan parti pembangkang adalah satu kepalsuan sebab kita tidak melakukan penipuan dalam PRU13.

"Tunjukkan kepada saya di mana mat Bangla yang menjadi pengundi? Mereka (pembangkang) mendakwa 40,000 mat Bangla turun lapangan terbang, tunjukkan lapangan terbang mana? Jangan heret orang kerana rupa gelap sikit itu mat Bangla," katanya pada majlis pelancaran Festival Belia 2013, di sini, semalam.

Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
MB Selangor terima kritikan 'kedekut'
NURULFATIHA MUAH
26 Mei 2013
MB Selangor terima kritikan 'kedekut'
Abdul Khalid semasa sesi penggulungan dan ucapan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-9, semalam.
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima kritikan menyatakan beliau kedekut dalam menggunakan dana negeri dan berjanji memperbaiki kelemahan itu.

“Anda kata saya kedekut, saya terima sebab itu bukan duit saya. Saya terima konsep bahawa duit itu sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih baik, kenapa simpan begitu banyak? Saya terima.

“Saya akan mulakan dengan kampung luar bandar yang kita akan majukan melalui beberapa usaha supaya mereka melihat peningkatan pendapatan yang jelas dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam sesi penggulungan dan ucapan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-9, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang berjanji meningkatkan lagi simpanan negeri pada penggal ini untuk kegunaan rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mendapatkan pihak terlibat yang didapati menyalahgunakan duit rakyat supaya ia dapat dimanfaatkan mereka.

“Saya akan cari semua mereka yang salah guna duit dan akan masukkan duit itu dalam akaun kerajaan negeri supaya ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

Pada penggal lalu, kerajaan negeri PR berjaya mengumpul rizab sejumlah RM2.6 bilion.

Selain itu, bagi memperkasa pentadbirannya untuk penggal kedua ini, Abdul Khalid akan menubuhkan political liaison di pejabatnya.

Beliau berkata, penubuhan political liaison itu dibuat bagi menterjemahkan asas perjuangan parti dalam bentuk pelaksanaan politik yang tidak terlalu rigid.

“Ada rakan beritahu saya, saya tidak reti permainan politik. Untuk itu saya terima asas perjuangan parti mesti diterjemahkan kerana ia beri peluang untuk lakukan perubahan.

“Perubahan itu akan membawa kepercayaan bahawa kita boleh gerak ke hadapan. Sebab itu saya terima,” katanya

Menurutnya,  political liaison tersebut akan menguruskan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang akan dilantik  terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.

“Ia adalah sebuah pejabat yang akan menempatkan mereka yang benar-benar tahu tentang usaha-usaha perkembangan politik dalam negeri,”  katanya.
Pas Selangor sokong dedah salah guna kuasa
Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2013
Abdul Rani Osman
Abdul Rani Osman
KLANG - Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengalu-alukan pendedahan salah laku dan penyelewengan yang melibatkan pimpinan PR di Selangor terutamanya pemimpin Pas.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang salah guna kuasa mereka diminta tampil ke hadapan dan mendedahkannya.

“Pimpinan PR sekeras-kerasnya menolak segala penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pemimpinnya dan hukuman pasti akan dijatuhkan kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah,” katanya.

Menurutnya, PR sentiasa bersikap terbuka dan sedia menyingkirkan sesiapa sahaja yang benar-benar didapati bersalah.

“Walaupun sehari mempunyai 24 jam, kami membuka sehingga 26 jam untuk sesiapa sahaja membuat aduan dan menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Sama ada individu yang bersalah itu masih bertanding pada PRU13 lepas ataupun dia tidak lagi dicalonkan, setiap yang bersalah pasti akan dikenakan tindakan,” katanya.

Semalam, Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) menggesa agar kerajaan negeri membuat siasatan berhubung seorang Adun yang juga Exco Selangor yang didakwa membuka 21 klinik dan mempunyai wang simpanan kira-kira RM65 juta dalam tempoh lima tahun pentadbiran PR di Selangor.

Sebelum itu, beliau menyatakan pendirian Pas Selangor menyokong cadangan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie untuk memperkasakan ahli PR dengan melibatkan mereka dalam pentadbiran anak syarikat kerajaan negeri (GLC) di bawah negeri yang ditadbir PR.
Peserta langgar Akta Himpunan Aman 2012
NIZAM ZAIN
26 Mei 2013
505
Degil.... Masih ada peserta himpunan yang membawa anak kecil dalam himpunan malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
PETALING JAYA - Himpunan Suara Rakyat 505 yang berlangsung di padang timur, Amcorp Mall malam tadi menyaksikan ramai peserta khususnya ibu bapa secara terang-terangan melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dengan membawa anak-anak mereka.

Tinjauan Sinar Harian Online sejak tengah hari semalam mendapati kebanyakan ibu bapa yang ditemui rata-ratanya membawa kanak-kanak di bawah umur 21 tahun.

Menurut akta tersebut, seseorang melakukan suatu kesalahan jika kanak-kanak menyertai perhimpunan selain suatu perhimpunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

Dalam akta itu turut menyebut jika seseorang melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan (2)(a),(b),(c) atau (e) boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM10,000.

Manakala seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan (2)(f) pula, ia boleh apabila atau disabitkan didenda tidak melebihi RM20,000.

Sementara itu, pihak penganjur tidak menyediakan kemudahan khas kepada golongan orang kurang upaya (OKU) kerana menyukarkan mereka untuk bergerak bebas seperti menunaikan solat.

Selain itu, peserta himpunan yang juga disertai golongan OKU ini turut berhadapan kesukaran menggunakan tandas mesra OKU di bangunan berdekatan.

Mengikut APA 2012, pihak penganjur hendaklah memastikan sesuatu perhimpunan itu tidak akan membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta atau alam sekitar.
Tiada bukti dakwa penyandang Exco PR Selangor buka 21 klinik
Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2013
Rodziah
Rodziah
PETALING JAYA - Dakwaan seorang penyandang Exco kerajaan Selangor membuka 21 klinik dan mempunyai wang simpanan kira-kira RM65 juta dalam tempoh lima tahun pentadbiran PR Selangor belum dapat dipastikan.

Penyandang Exco yang juga Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, beliau tidak pasti tentang perkara tersebut kerana seperti umum maklum selaku Exco, individu berkenaan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan.

"Syarat untuk menjadi Exco adalah tidak menjalankan perniagaan malahan ini termasuk perniagaan dalam negeri. Bukan itu sahaja keluarga juga tidak dibenarkan.

“Jadi sekiranya sebelum ini beliau (Exco) seorang peniaga atau usahawan dia kena isytihar bahawa telah memiliki harta berkenaan sebelum dilantik menjadi Adun atau Exco,” katanya kepada Sinar Harian di Kongres Nasional Keadilan ke-9, di sini, semalam.

Kelmarin Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) menggesa kerajaan negeri menyiasat seorang penyandang Exconya yang didakwa membuka 21 klinik dan memiliki wang simpanan kira-kira RM65 juta dalam simpanan dalam tempoh lima tahun pentadbiran PR di Selangor.

Menurut Presiden PKIM, A Prakash, dengan hanya mengumpulkan pendapatan bulanan sebagai seorang Exco dan juga Adun, individu itu tidak akan mampu membuka klinik dan mempunyai baki tersimpan sebanyak itu.

Mengulas dakwaan itu, Rodziah berkata, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya mendakwa seseorang pemimpin itu melakukan korupsi.

“Kalau harta atau wang yang dimiliki sebelum beliau menjadi seorang Adun atau Exco tidak ada salahnya.

“Tetapi saya yakin di Selangor polisi kerajaan telah menggariskan seseorang Exco dan Adun tidak boleh berurusan di luar portfolionya kerana bimbang berlakunya conflict of interest,” katanya.

Menurutnya, pengisytiharan harta adalah perkara wajar dan Selangor telah memulakannya untuk memastikan tiada Adun atau Exco yang mengambil kesempatan.

“Pendekatan ini juga turut dilaksanakan negeri-negeri yang dikuasai PR untuk mencerminkan tiada amalan korupsi dan salah guna kuasa.

“Kita harap dengan adanya pendekatan ini memudahkan proses ‘check and balance’ membuatkan rakyat selesa apabila mengetahui status ketelusan wakil rakyat yang dipilih mereka,” katanya.

Rodziah berkata, beliau turut menyambut baik cadangan BN untuk melaksanakan pendekatan ini (isytihar harta) dan diharapkan berterusan bukan sekadar cakap manis.

“Di Selangor kita boleh tengok di laman web harta-harta yang dimiliki pimpinan PR agar memudahkan rakyat menyemaknya,” katanya.
Nik Aziz : BN di 'jalan mati'
Wartawan Sinar Harian
25 Mei 2013
Nik Aziz
Nik Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal menandakan parti itu kini sudah berada di ‘jalan mati’.

Nik Abdul Aziz berkata, cadangan itu juga jadi petanda bahawa BN sudah mula sedar perjuangan berasaskan bangsa tidak lagi relevan di negara ini.

“Sekalipun BN menang di banyak kerusi, kemerosotan parti itu di Parlimen membuktikan BN hanya disokong orang Melayu di luar bandar,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, Pas sejak dahulu lagi menegaskan perjuangan berasaskan bangsa tidak akan ke mana dan sampai satu tahap, akan tiba di penghujungnya menyebabkan BN perlu berpatah balik.

“Saya bukan anti Melayu, tetapi saya anti perjuangan hipokrit BN yang banyak menipu. Nampak macam bersungguh bela Melayu sedangkan orang Melayu Kelantan ditindas lebih 20 tahun hanya kerana pilih Pas dalam pilihan raya.

“Hak (royalti) orang Melayu Kelantan dinafikan, projek lebuh raya dicabut, peruntukan perumahan entah ke mana dan banyak lagi kezaliman Barisan (BN) kepada Melayu Kelantan,” katanya.
Kerjasama polis pastikan Himpunan Suara Rakyat 505 aman
Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2013
505
Kelihatan anggota polis trafik berkawal di beberapa kawasan di padang timur Amcorp Mall. - Foto Sinar Harian Nizam Zain
PETALING JAYA - Kerjasama daripada pihak polis turut memainkan peranan  besar dalam memastikan Himpunan Suara Rakyat 505 di padang timur Amcorp Mall  malam tadi berlangsung dalam keadaan aman.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati pihak polis menjalankan tugas dengan baik sekali termasuk mengawal keadaan lalu-lintas dan memastikan lokasi himpunan berada dalam keadaan aman dan tenang.

Kejayaan ini dapat dilihat apabila tidak berlaku sebarang provokasi yang membabitkan peserta mahupun para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dengan pihak polis sepanjang himpunan berlangsung.

Polis dilihat sentiasa bersedia menjaga keadaan himpunan sejak petang lagi sehingga himpunan tersebut berakhir.
Himpunan Suara Rakyat 505 berlangsung aman
MUHAMMAD SHAMSUl ABD GHANI
25 Mei 2013
505
Sebahagian peserta Himpunan Suara Rakyat 505. Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
PETALING JAYA - Keadaan di lokasi Himpunan Suara Rakyat 505 di padang timur pada malam ini berlangsung dalam keadaan aman.

Suasana mulai sesak bermula jam 7:00 petang apabila peserta himpunan mula membanjiri di padang timur Amcorp Mall, dekat sini.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati kebanyakan himpunan memakai t- shirt berwarna hitam tanda menyokong himpunan ini.

Walaupun cuaca hujan peserta tetap tidak berganjak daripada padang lokasi himpunan dan menunggu para pemimpin Pakatan Rakyat (PR)  untuk memberi ceramah.

Di samping itu, para peniaga juga mengambil kesempatan dengan menjual pelbagai barangan seperti t-shirt, makanan, minuman, topeng dan vevezuala (hon).

Selain itu, para peserta juga turut membawa sepanduk dan turut dipasang ditepi jalan menuju ke lokasi himpunan.
'Lampu padam bukan lakonan'
NUR FARHANA ABDUL MANAN
26 Mei 2013
 'Lampu padam bukan lakonan'
Noor Hanim (kanan) menunjukkan logo SPR pada kotak kiraan undi dalam gambar yang tersebar di internet.
PUCHONG – Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa kejadian lampu padam di pusat pengiraan undi sebagaimana disebarkan menerusi internet adalah fitnah dan lakonan.

Noor Hanim berkata, gambar itu sebaliknya dirakam seorang petugasnya di bilik pengiraan undi Saluran 3  Sekolah Kebangsaan Serdang pada jam 7.32 malam 5 Mei lalu.

Beliau menafikan ia dirakam sebelum PRU13 seperti didakwa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurutnya, hasil siasatan, pihaknya mendapati pengurusan SPR dilihat sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihan raya sedia ada.

Noor Hanim berkata, beliau hairan bagaimana Wan Ahmad sendiri seolah-olah tidak tahu pakaian rasmi petugas SPR yang memakai baju T kelabu pada hari berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, wakilnya berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik pengiraan undi terbabit bagi memastikan proses kiraan berjalan lancar.

Beliau turut menafikan terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada di lokasi hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, wakil calon dan anggota polis bertugas.

“Saya minta SPR terutama Wan Ahmad memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian mendalam dan mengambil ringan isu dibangkitkan rakyat,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, sekolah itu mempunyai empat saluran mengundi, namun saluran satu, dua dan empat, kiraan undi tamat lebih awal dan tiada gambar di ketiga-tiga saluran itu dirakamkan.

Hanya gambar di saluran tiga sempat dirakam kerana kiraan undi lewat tamat dan hanya siap jam 8 malam.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Puchong, Mohd Soffiean Ismail meminta SPR lebih teliti dalam membuat siasatan dan mahu tuduhan dibuat diperbetulkan.

Beliau berkata, pihaknya akan pertimbang untuk buat laporan polis selepas mendapat nasihat guaman.

Semalam, akhbar melaporkan, SPR mendakwa insiden lampu padam semasa pengiraan undi PRU13,  5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.

Wan Ahmad dalam kenyataannya berkata, kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
PR akan turun ke Dataran Merdeka
JAMILAH HAMZAH
26 Mei 2013
Badrul Hisham Shahrin
Badrul Hisham Shahrin
PETALING JAYA - "Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membisu, rakyat habis membeku, kita akan turun ke Dataran Merdeka," demikian kata Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham pada himpunan Blackout 505 di Petaling Jaya, semalam.

Beliau turut mendakwa, selagi kedua-dua pentadbir SPR tidak meletak jawatan, rakyat akan terus bersama PR membuat tuntutan tersebut melalui himpunan.

Pada 7 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, keputusan pilihan raya umum  sepatutnya menyebelahi PR tetapi "telah dirompak."

Anwar mendakwa, PR sebenarnya adalah pemenang PRU13 namun berlaku unsur penipuan dengan kerjasama SPR sehingga menyumbang kepada kekalahan perikatan itu.

"Kita sudah menang tetapi kemenangan itu dirompak oleh BN...," katanya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkag itu turut menyatakan akan membuat satu laporan polis mengenai dakwat kekal.

"Esok (Hari ini) saya juga akan buat laporan polis mengenai dakwat kekal ini," katanya.

Tiada ulasan: