Selasa, 21 Mei 2013

BOLEH KE...KITA MENDAKWA ORANG YANG SEDANG BERKUASA...MUNGKIN BOLEH TAPI SUKAR SIKIT KOD

Himpunan Black505 Kedah bertukar ke kompleks PAS

Anis Nazri, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Himpunan Black505, peringkat negeri Kedah yang pada awalnya dijadualkan di Stadium Sultan Abdul Halim esok dipindahkan ke Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Himpunan yang diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap tahap demokrasi di Malaysia yang tercalar itu, akan dihadiri pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata himpunan itu akan disertai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tambah beliau, himpunan itu bermula dengan solat maghrib berjamaah yang kemudiannya disusuli solat hajat.

"Kita bermula dengan solat maghrib. Kemudian solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keamanan negara yang muktahir ini cenderung dengan isu perkauman.

"Ia juga bagi memohon kesejahteraan bagi bekas Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak yang kini masih di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang," tegas Naib Presiden PAS itu.

Sejurus solat hajat, kata Mahfuz tepat jam 9 malam, kesemua adun dan ahli parlimen Kedah akan berucap pada malam itu, sebelum ucapan utama oleh Mohamad Sabu dan Anwar.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang berkelapangan untuk turut serta pada himpunan Black 505 malam esok.

6 petualang punca Umno kalah di Alor Limbat?

Harakahdaily, 20 Mei 2013

(Kain rentang yang dinaikkan oleh pihak yang tidak berpuashati dengan kekalahan Umno di Alor Limbat)

MARANG: Selepas calon Umno, Alias Abdullah tewas di DUN Alor Limbat, tuduh menuduh mula menular di kalangan ahli Umno bahagian Marang.

Beberapa pihak dalam Umno bahagian itu telah dituduh bertanggung jawab sehingga calon BN tewas dalam pilihan raya baru-baru ini.

Bukan setakat perbualan di kedai kopi dan di tepi padang futsal sahaja, mereka sudah memasang kain rentang mempertikaikan peranan sesetengah pihak sehingga membawa kepada kekalahan calon BN itu.

Menurut kain rentang yang di pasang itu, mereka menujukan punca kekalahan ini kepada enam tokoh Umno tempatan.

Antaranya bekas MP Marang yang bercita-cita mahu bertanding di kerusi itu, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Turut dituduh adalah Saiful Bahari Baharudin, Ketua Pemuda Umno Terengganu yang sebelum ini turut disebut bakal bertanding kerusi itu.

Selain itu nama bekas Adun Alor Limbat (Sebelum ini Serada), Yusof Musa juga disebut sebagai antara yang menyebabkan kekalahan calon Umno.

Turut dituduh adalah Mat Samy Vellu dan Badrul Hisyam.

Calon PAS Ariffin Deraman (gambar atas kanan) telah menang DUN Alor Limbat dengan majoriti 645 undi dalam pilihan raya baru-baru ini mengalahkan calon BN, Alias Abdullah dan seorang calon bebas.

Beliau mendapat 10,844 undi sedangkan calon Umno Alias Abdullah mendapat 10,199 undi.

Pada PRU 12 2008 yang lalu calon BN yang sama telah menang dengan majoriti 799 undi.

Lebih 2,000 kumpul di Balai Polis Jinjang

Harakahdaily, 20 Mei 2013

(Aruchelvan berucap kepada orang ramai yang berkumpul di depan Balai Polis Jinjang..Pic Omak Kau)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak dari pelbagai kaum dan keturunan berhimpun di depan Balai Polis Jinjang malam ini bagi membantah penahanan Adam Adli.

Mereka berkumpul secara aman sambil menyalakan lilin tanda sokongan moral untuk aktivis pelajar yang ditahan di Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan itu.

Tidak kurang 2,500 rakyat dari pelbagai keturunan, tua dan muda serta lelaki dan wanita telah berkampung  sebagai menunjukkan sokongan padu kepada beliau yang dikini sedang ditahan di lokap Balai Polis Jinjang setelah mendapat perintah reman selama 5 hari.

Kebanyakan mereka memakai baju hitam lambang sokongan kepada perjuangan Black 505 iaitu hari hitam pilihan raya Malaysia.

Antara yang kelihatan adalah Nurul Izzah, Datuk Ambiga Srevanasan serta kedua ibu bapa Adam Adli sendiri.

Penahanan Adam Adli Abdul Halim mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan dikecam Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan sebelum ini.

Beliau menyifatkan tindakan menahan Adam sebagai lambang ketakutan pemerintah dan mempertikaikan apa salah Adam yang ingin menyuarakan keinginan rakyat Malaysia kepada pemerintah.

"Saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia, mendoakan agar Adam Adli tidak patah semangat mendepani ujian getir perjuangan ini.

"Serentak itu kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas saudara Adam Adli," katanya pada satu kenyataan media.

Pada 18 Mei lalu, Adam Adli dilaporkan ditahan di lokap Balai Polis Jinjang bersabit dengan satu siatan di bawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, pada jam 3.15 petang Sabtu lalu.

Berikutan itu, semalam dipetik daripada satu portal berita, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh mengesahkan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditahan reman sehingga Khamis ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan seorang Majistret di Balai Polis Jinjang, tengah hari semalam.

“Adam Adli ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang menghasut orang ramai menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan yang dibuatnya baru-baru ini," katanya.

Dalam pada itu, Nasrudin yang merupakan Ahli Parlimen Temerloh berkata ramai pemimpin politik daripada BN dan akhbar yang pro-kerajaan turut mengeluarkan kenyataan secara terang-terangan berbaur hasutan namun tidak diambil tindakan.

Dakwa Zahid Hamidi di bawah akta hasutan

Mohd Sabri Said, 20 Mei 2013
GEORGETOWN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan jika beliau tidak mengendahkan seruan ramai pihak supaya menarik balik kenyataan yang berbaur perkauman kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).

Mengulas tindakan yang sama dikenakan pada aktivis mahasiswa, Saudara Adam Adli beberapa hari sudah, beliau membidas itulah sikap berat sebelah Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap ikan jerung dan ikan bilis di Malaysia.

"Ikan Jerung tidak langsung ditegur walaupun kenyataan berapi-api menghina kaum lain di Malaysia tetapi ikan bilis ditahan dilokap, dipenjarakan dan didenda," tegasnya ketika ditemui di Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 di aras 52 Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR) tengahari tadi.

Ujar beliau lagi, jika didapati bersalah mereka yang dikenakan  kanun keseksaan 124B, iaitu Akta Hasutan 4(1)(b) boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun.

Undang-undang terbabit tambahnya, diluluskan oleh Parlimen dan sepatutnya Zahid wajar menghormati apa yang telah diputuskan.

"Zahid Hamidi nyata telah melanggar Akta Hasutan 4(1)(b) apabila bertindak mengeluarkan kenyataan sesiapa yang enggan menerima sistem pilihanraya di Malaysia boleh meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan Pilihanraya mengikut kehendak yang digemari," katanya.

Apa yang dilaksanakan kepada Adam Adli sambungnya, tiada lain hanya dendam politik setelah tidak dapat mengawal kemaraan golongan muda serta mahasiswa terhadap keputusan Pilihanraya Umum Ke 13 lalu.

Bila Kerajaan BN menghalang dengan menggunakan undang-undang tersebut secara jelas itu bermakna Kerajaan BN tidak menghormati demokrasi berpalimen.

Hari ini Zahid Hamidi dalam kenyataanya enggan menarik balik kenyataan 'rasis' yang boleh menyumbangkan kepada perkelahian kaum sebaliknya bersedia berhadapan dengan Ahli Parlimen semasa persidangan Parlimen pertama penggal 2013 nanti.

Umno Selangor bertambah buruk

Subky Latif, 20 Mei 2013

SEKALIPUN SPR berjaya membantu BN mengumumkan menang lagi Pilihan Raya Umum tetapi kemenangan yang pertikai itu adalah lebih buruk dari di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi dulu.

Gara-gara PRU13 pimpinan Najib dalam UMNO dan BN menghadapi dua kecederaan.

Pertama pimpinannya di pusat dia diselamatkan oleh perlembagaan yang menolak kemenangan undi popular. Perlembagaan mengakui kelebihan kerusi, bukan kelebihan undi yang menyeluruh. Pimpinan Najib gagal mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen seperti yang diwar-war sebelum PRU, bahkan kerusinya merosot dari 2008 dulu.

Kedua, Najib adalah pengerusi UMNO dan BN  Selangor. Dia ambil pimpinan UMNO negeri dari Tan Sri Mohamad  Taib sebagai usaha merampas kerajaan Selangor di luar pilihan raya seperti yang dilakukannya di Perak. BN bukan saja hancur di Selangor, bahkan UMNO mengalami kecederaan parah.

Najib dalam jelajah pilihan rayanya minta maaf kepada rakyat dan pengundi di Selangor atas kegagalan pimpinan Abdullah Badawi – Khir Toyo hingga menyebabkan rakyat Selangor menolak BN. Rakyat Selangor tidak memaafkannya. Bukan saja kerajaan Pakatan tidak dapat ditumbangkan sebelum pilihan raya, bahkan Pakatan mencapai kemenangan lebih besar  di Selangor.

Najib berjaya menjadikan UMNO Selangor ranggi di bawah pimpinannya. Dikutuknya kerajaan dan Menteri Bbesar Selangor hampir setiap hari. Tan Sri Khalid Ibrahim dijadikannya seperti cacing kepanasan, seolah-olah menunggu pilihan raya, lepas itu hilanglah dia.

Orang kuat Najib, Noh Omar dan Mohd Zin seolah-olah pemerintah Selangor. Mereka seolah-olah lebih berkuasa dari Menteri.

Walaupun UMNO Selangor ranggi tetapi ia gagal menamakan calon Menteri Besarnya. Setelah Najib mengumumkan nama calon, masih belum berani menamakan seorang calon MB. Dibarangkannya empat calon. Mengapa tidak  satu nama   saja? Mengapa empat? Orang pun tidak peduli sangat siapa antara empat itu tidak kalah?

Bila keputusaan PRU  diumumkan Pakatan Selangor menang lebih besar  dari PRU 2008. Paling menjolok mata orang kuat UMNO, Dato Mohd Zain kalah di kampung halamannya.  Dia kalah dengan calon luar dan bukan anak Selangor. Hanipa Maidin yang mengalahkan Mohd Zain itu rupanya pun bukan macam orang Melayu. Kalau orang tidak tahu dia adalah Jawatankuasa PAS Pusat, jika dia datang ke kawasan mengundi, nescaya orang kata dia pengundi hantu dari Bangladesh.

Noh Omar terselamat.  Selepas UMNO dan BN kalah teruk di Selangor Noh tak berapa bercakap lagi. Saya dengar satu keterangan saja daripadanya kepada media. Dia menyebal kerana Cina dikatakan tidak mengundi BN.

10 hari selepas UMNO  kalah, UMNO Selangor ditimpa tangga pula. Noh tak termasuk dalam senarai kabinet baru. Sudahlah UMNO Selangor tidak banyak menang baik Parlimen mahupun DUN, orang kuatnya boleh tak terpillih jadi menteri.

Noh adalah orang UMNO paling kanan di Selangor selepas Najib. Orang kuat UMNO boleh Najib ketepikan. Hanya Najib yang tahu mengapa Noh dibuang. Najib hanya pilih seorang wanta UMNO yang belum terkenal untuk jadi timbalan menteri.

Adakah UMNO Selangor  sudah begitu teruk? Ketua UMNO negeri pun terpaksa orang luar Selangor pegang iaitu Najib sendiri. Tak ada orang UMNO yang hendak diketengahkan. Empat tahun Najib jadi ketua UMNO Selagor dia gagal membentuk pemimpin UMNO bagi penggantinya.

Bukan saja Najib gagal mencari orang tempatan menjadi pemimpin UMNO negeri, malah UMNO Seangor hancur di bawah pimpinannya.

Tiada ulasan: