Rabu, 22 Mei 2013

SEDARLAH BAHAWA KITA DAH TAK POPULAR ...DAH TAK NAK LAGI...ELOKLAH KITA SEDAR DIRI


GST: Kerajaan Najib tamatkan tempoh berpantang mereka

Harakahdaily, 21 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Nampaknya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menamatkan tempoh berpantang mereka dengan cara menggasak rakyat dengan cukai GST yang bakal diperkenalkan,  kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagi beliau, kerajaan BN yang baru dibentuk  Najib ini tidak sabar-sabar untuk membalas dendam mereka kepada rakyat yang banyak menolak mereka.

"Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan ‘Tsunami Cina’ dan pelbagai kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri di jabatan perdana menteri pula untuk ‘mendera’ rakyat dengan pengumuman sistem cukai baru," tulis beliau.


Ikuti tulisan beliau sepenuhnya di bawah ini.



GST dulu ke atau Gaji Minima dulu Najib?!


Oleh Dr Dzulkefly Ahmad


Telah berakhir tempoh PM Datuk Seri Najib Razak dan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (UBN) untuk ‘berpantang’ menahan nafsu amarah mereka untuk ‘menggasak’ rakyat negara ini.

2. Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan ‘Tsunami Cina’ dan pelbagai kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri di jabatan perdana menteri pula untuk ‘mendera’ rakyat dengan pengumuman sistem cukai baru.

3. Setelah memenangi kembali Putrajaya, dengan pilihanraya yang sangat dipertikaikan pelbagai pihak kerana sarat dengan penipuan, Najib sudah tidak segan-silu lagi untuk melakukan apa yang dianggapnya ‘agenda tertangguhnya’.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan oleh kerajaan Najib dalam tahun 2013 ini dan telah diwar-war oleh Datuk Seri Idris Jala kononnya akan menjana pendapatan RM27 bilion setahun. Apa tidaknya kalau mereka sanggup mencekik rakyat dengan kadar 7% cukai!

5. Najib dan Idris Jala juga perlu terangkan kepada rakyat kerana yang akan membayar cukai ini adalah rakyat bahkan semua lapisan rakyat termasuk yang kaya dan juga yang miskin atau berpendapatan rendah. Apabila mereka membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut selagi barangan itu bukan dalam kategori ‘sifar cukai’ atau ‘zero-rated’, bermaksud GST tetap dikenakan.

6. Kadar GST sebanyak 7% adalah sangat tinggi dan ini jelasnya adalah ‘janji Najib yang tidak ditepati’ kerana kadar 4% adalah angka yang disebut-sebut sejak awal GST diperkenalkan. Mungkin Najib telah kemaruk kerana baru sedar hutang kerajaan pusat dah terlalu membengkak hampir 55% KDNK kerana dirinya sendiri.

7. Ataukah Najib mahu sahaja ‘mendera’ rakyat yang tidak mengizinkannya untuk mendapat 2/3 majoriti di parlimen dan menawan kembali Selangor, negeri terkaya di Persekutuan Malaysia?

8. Singapura, yang rakyatnya mempunyai pendapatan per kapita hampir dua kali ganda dari kita pun memulakan kadar GST mereka pada kadar 3%. Kerana kos perlaksanaan cukai baru ini adalah sangat tinggi, yang dianggarkan berbilion RM. Contohnya Australia A$ 4 bilion ketika memperkenalkan GST di negara itu, maka tekanan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yakni inflasi, adalah tidak dapat dielakkan ekoran sebab faktor kos permulaan sistem GST.

9. Singapura, contohnya mengalami inflasi sebanyak 3% untuk selama 3 tahun akibat dari perlaksanaan GST dan begitu juga di kesemua negara-negara yang melaksanakannya juga turut mengalami tekanan inflasi untuk beberapa tahun.

10. Pakatan Rakyat secara prinsip tidak menolak sistem cukai penggunaan ini atau ‘consumption tax’ tetapi mahukan beberapa syarat penting mesti dilaksanakan oleh kerajaan terlebih dahulu. Pakatan Rakyat mahukan rakyat teramai mempunyai pendapatan yang menasabah bagi mampu menjalani kehidupan yang lebih bermaruah  atau ‘a dignified life’.

11. Bank Dunia sendiri telah mengisytiharkan bahawa gaji sebenar (real wage) rakyat Malaysia dengan mengambil kira faktor inflasi, hanya naik 2.8% dalam satu dekad yang lalu.

12. Gaji minima adalah satu kaedah memecah hambatan atau ‘bottleneck’ peningkatan pendapatan rakyat. Sudah terlalu lama perlaksanaan ‘Gaji Minima’ ditangguhkan Najib. Ini satu pengkhianatan! Najib masih berdolak-dalik seperti dulu juga. Memang Najib tak ada tulang belakang atau ‘spineless’ dalam banyak hal.

13. Pakatan Rakyat menuntut supaya dengan pembenterasan amalan rasuah, kronisme dan sesetengah jenis monopoli, oligopoli dan kartel, negara akan dapat meningkatkan pendapatan dari sumber penjimatan.

14. Sekaligus kos saraan hidup rakyat akan dapat dikawal dan diperturunkan serentak mengizinkan rakyat meningkatan pendapatan dan ‘pendapatan boleh berbelanja’ (disposable income).

15. Pakatan Rakyat bercadang GST hanya dilaksanakan ketika pedapatan rakyat adalah pada paras yang lebih munasabah dan tidak seperti hari ini di mana 60% dari isirumah mempunyai pendapatan kurang dari RM3000 sebulan. Hari ini hanya 10% sahaja mereka yang dalam pasaran kerja yang dikenakan cukai pendapatan kerana pendapatan yang rendah-sederhana.

16.   Kerajaan Najib juga mestilah mendidik rakyat tentang konsep dan perlaksanaan GST ini kerana sememangnya sistem cukai ini rumit dan tidak mudah difahami. Ada yang menganggap bahawa rakyat atau pengguna akan dikenakan cukai sebanyak 28% kalau kita mula dengan pengenalan 7%, kerana cukai yang dibayar pengimpot, pengilang, pemborong dan peruncit akhirnya akan dibebankan kepada pengguna.

17. Fahaman ini adalah silap kerana GST adalah menggunakan sistem nilai-tambah atau ‘Value-Added Tax’ ( VAT) seperti digunakan di beberapa negara seperti United Kingdom. Rakyat keliru bahkan ada akauntan juga tidak faham. Rakyat perlu difahamkan dengan betul.

18. Meskipun GST, sebagai sistem cukai baru yang bakal menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% itu adalah satu sistem yang lebih efisien dari segi pungutannya serta dapat mengurangkan ‘pengelakan cukai’ (tax evasion),  namun ianya perlu mengambil kira syarat-syarat yang lain termasuk menurunkan cukai pendapatan dan cukai korporat supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat dan lebih menasabah.

19. Terpaling penting ialah GST ini tidak dilaksanakan selagi sumber-sumber kebocoran dan pembaziran yang menelan berbilion RM setahun tidak ditangani.

20. Tegasnya, Kerajaan Najib jangan paksa dan dera rakyat dengan GST setelah rakyat ditipu untuk memberikan mereka kelebihan kerusi diparlimen sekali lagi dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

21. PM Najib, kalau anda mahu madunya, jangan jolok sarangnya ya!




Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Jika setakat itu popular, Umno gagal – TG Nik Aziz

Harakahdaily, 21 Mei 2013
KUALA LUMPUR: “Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini yang melaporkan Kajian Pasca PRU13 yang menunjukkan bahawa Umno paling popular termasuklah di Kelantan,” tulis Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi facebook beliau. Justeru, bagi bekas Menteri Besar Kelantan itu, popular atau tidak, itu bukan soal utama.

Beliau menegaskan, kebenaran tidak semestinya popular.

Bahkan, jelas beliau lagi, Rasulullah SAW di Mekah tidak popular tetapi setibanya di Madinah, baginda terus menjadi popular.

“Dengan seluruh jentera kerajaan digunakan untuk mempromosi Umno dan Barisan Nasional, siang malam televisyen tidak henti-henti menyiarkan propaganda, jika hanya setakat itu sahaja Umno popular, saya kira ini masih satu kegagalan buat Umno,” ujar beliau lagi.

Hanifa sekali lagi dilantik Exco selepas 31 tahun

Aslani M, 21 Mei 2013
KOTA BHARU: Selepas 31 tahun Hanifa Ahmad kini kembali semula ke jawatan lamanya sebagai anggota Exco kerajaan negeri. Pada 1978-1982 beliau menerajui portfolio Perancangan Ekonomi dan Kewangan.

Ketika itu Kelantan ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai Tan Sri Mohamad Yaakob. Hanifa mewakili Berjasa ketika itu.

Biar pun kekal sebagai ahli PAS sejak 1964, Adun Pengkalan Pasir tersebut berada dalam kerajaan gabungan Berjasa-BN.

Dan hari ini beliau muncul semula sebagai anggota Exco dengan mempengerusikan Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat.

Beliau menang bagi penggal kedua di Dun Pengkalan Pasir dengan pertambahan majoriti kepada 4,715 berbanding 2,348 undi pada PRU 2008.

Sebelum terbabit sepenuh masa sebagai ahli politik beliau berkhidmat dengan kerajaan persekutuan sebagai Penolong Pegawai Daerah di Temerloh, Pegawai Pembangunan di Negeri Sembilan dan Penolong Pengarah di Jabatan Perdana Menteri.

Lima tahun dalam perkhidmatan awam, selepas itu berjinak perniagaan sendiri. Pada 1991 dilantik pula sebagai Pengurus Besar Kelantan Baja Corporation, kemudian Pengurus Besar Damai dan jawatan akhir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

Ditanya perancangannya bagi mengemudikan masalah air dan infrastruktur yang menjadi hambatan di Kelantan, Hanifa berkata, usaha itu perlu mendapat sokongan semua pihak.

Katanya, pelan migrasi antara Air Kelantan Sdn Bhd dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dijangka memberi pulangan dalam bentuk bantuan kewangan.

(Ikuti maklumat lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Dakwat kekal konspirasi halus penipuan PRU13

Salmiyah Harun, 21 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Penggunaan dakwat kekal yang diperkenalkan dalam PRU13 baru-baru ini didakwa sebagai satu elemen untuk menimbulkan konspirasi yang dibuat secara halus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi tertentu termasuklah BN.

Dakwaan itu terbukti apabila seorang pemuda, Mohd Fadhli Khaharruddin berasal dari Kuantan mengakui telah mengundi dua kali.

Tindakannya itu menguatkan lagi dakwaan bahawa wujud ruang manipulasi yang mendorong kepada penipuan pada PRU13 lalu.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan isu dakwat kekal adalah isu pokok bagi sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

"Untuk memastikan pilihan raya bersih dakwat mesti kekal, tempoh kekal dakwat itu sebagaimana dijamin oleh SPR iaitu kekal sehingga lima hari, maka tidak akan berlaku penggundian dua kali sepertimana yang berlaku pada anak muda di Kuantan hari ini,"katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, hari ini sudah terbukti jika dakwat betul-betul kekal, maka tidak timbul pengundian dua kali.

Malangnya kata beliau, apabila Pakatan Rakyat membangkitkan perkara ini di dalam siri himpunan Black505, SPR mula mengeluarkan hujah lapuk dengan mengatakan Pakatan Rakyat kalah dalam PRU13 terus menuduh SPR tidak bersih.

Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah terus mengajak seluruh rakyat negeri itu berhimpun pada malam ini di Kompleks PAS Kota Sarang Semut untuk terus menyatakan bantahan terhadap ketidaktelusan SPR dalam PRU13 lalu.

"Di dalam himpunan Black505 pada malam ini peringkat negeri Kedah, kita akan terus persoal tindakan SPR yang gagal menjadikan PRU13 sebagai pilihan raya yang bersih dan adil," katanya.

Terdahulu, Fadhli Khaharruddin mengaku keluar mengundi dua kali kerana mahu membuktikan sistem pilihan raya menggunakan dakwat kekal masih boleh dipertikaikan.

“Saya mengundi kali pertama jam 10.30 pagi di saluran 4, peti undi Sekolah Kebangsaan Sungai Isap dan kemudian undi kali kedua pada jam 1.15 petang di lokasi yang sama,” katanya dipetik akhbar bahasa Melayu versi online itu.

“Dengan cara mengundi sebanyak dua kali maka saya boleh membuktikan bahawa sistem pilihan raya masih boleh dipertikaikan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: