Isnin, 20 Mei 2013

SEBENARNYA DENGAN PATUH UNDANG2 ISLAM JUGA NEGARA....INSYAALLAH AMAN...JUJUR TAK TIPU...ADIL TAK PILIH KASIH...AMANAH TAK MEROMPAK...YANG BERSALAH DIHUKUM TAK KIRA BULU...DAN KIAS YANG LAIN2...SEBENAR PUNCANYA TAK ADIL...TAK SATU KEPALA... NI PUNCA2 KEBENCIAN

Penganalisis: Ada cara halang 'ombak' kebencian
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
20 Mei 2013
PASCA PRU
PASCA PRU
PETALING JAYA - Sistem pendidikan negara mampu menjadi pendamai dalam meredakan ketengangan dalam masyarakat yang berlaku hari ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, pendidikan mampu berperanan menyatupadukan kaum melalui pandangan yang seimbang dan waras.

"Situasi semasa memerlukan kita untuk memperkasakan sistem pendidikan sedia ada bagi meredakan alunan ombak kebencian yang timbul selepas negara melalui proses demokrasi.

"Proses demokrasi sepatutnya ada had tetapi kadang-kadang had itu dilanggari.

"Oleh itu, pendidikan adalah cara terbaik dalam mententeramkan jiwa yang tidak damai sekarang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan, Kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi dan Kesejahteraan Sosial: Merealisasikan Transformasi ke Arah Masyarakat Sejahtera.

Konvensyen di bawah kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Akept, Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan 48 pembentang.
Pas sedia bantu polis siasat konspirasi gulingkan kerajaan
MURNI ABDUL RASHID
20 Mei 2013
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM – Pas dan DAP menolak usaha pihak - pihak tertentu termasuklah kumpulan propembangkang yang mahu menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan polis sekiranya diminta membantu dalam siasatan berhubung dakwaan konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Menurutnya, Pas mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak menyokong mana-mana pihak yang mahu menggunakan kekerasan dalam perjuangan kerana ia boleh menimbulkan
huru-hara dan ketidakstabilan kepada negara.

Katanya, Pas akan terus menegakkan keadilan, tetapi dengan cara demokratik mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan.

“Pas sama sekali menolak pendekatan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan kerana pendekatan itu amat serius. Malah kita sedia memberikan kerjasama dengan pihak polis.

"Perjuangan dalam Pas tiada keganasan sebab itu kita tolak sekeras-kerasnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengasas Asal Bukan Umno (ABU) baru-baru ini yang mahu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan kekerasan atas alasan proses PRU13 baru-baru ini tidak telus.

Sementara itu, Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata, parti itu sentiasa mengamalkan cara keamanan dan tidak akan terlibat dan menyokong usaha mencetuskan huru-hara.
Pas layak jawatan Speaker
Wartawan Sinar Harian
20 Mei 2013
PASCA PRU
PASCA PRU
SHAH ALAM – Pas di Selangor layak menerima empat atau lebih kerusi exco berbanding dua lagi parti komponen PR iaitu DAP dan PKR.

Penganalisis politik, Prof Mohd Mustamam Abd Karim berkata, Pas bukan sahaja layak kerana memenangi 15 kerusi Dun pada PRU13 malah pencapaian parti itu yang semakin baik sepanjang lima tahun memerintah negeri ini boleh dipertimbangkan.

“Melalui pemerhatian saya, Pas selama lima tahun ini telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan mempunyai prinsip sendiri biarpun berganding sama dengan DAP dan PKR memerintah negeri ini.

“Pembahagian kerusi exco yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu memang baik tetapi lebih bagus sekiranya Pas dapat lebih lagi, mungkin jawatan Speaker negeri boleh beri kepada Pas sebagai tanda penghargaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, Pas kini lebih terbuka dalam perjuangan parti bukan hanya membawa pendekatan kerohanian malah pencapaian ekonomi diutamakan dalam masa sama mementingkan sentuhan terus kepada rakyat.

“Pendapat saya, wakil rakyat Pas khususnya di Selangor ini mudah kelihatan berdamping dengan rakyat dan mereka ini melaksanakan pendekatan turun padang tanpa mengambil kira kaum dan agama.

“Malah, kenduri kahwin pelbagai bangsa pun mereka hadiri, rakyat suka pemimpin begini kerana tugas sebagai wakil rakyat ini perlu tahu hal pentadbiran dan menjadi perantaraan antara golongan profesional (pentadbir negara) dan rakyat,” katanya.

Abdul Khalid sebelum ini mengesahkan barisan Exco Selangor nanti akan diwakili empat calon daripada Pas dan masing-masing tiga daripada PKR dan DAP.
Pas Selangor: Tony Pua lupa keputusan yang dibincangkan
JAMILAH HAMZAH
20 Mei 2013
Khalid Abdul Samad
Khalid Samad
SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua sebagai salah faham berhubung isu senarai Exco yang diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengikut nisbah 4-3-3.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, dalam mesyuarat yang telah diadakan pada Khamis lalu Pakatan Rakyat (PR) Selangor telah membuat dua opsyen mengenai senarai nama Exco untuk dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, salah satu opsyen itu menyenaraikan lima Exco daripada calon Melayu dan lima daripada bukan Melayu.

Beliau turut menjelaskan opsyen menjadi pilihan baginda mungkin daripada enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu di mana Pas mendapat empat tempat di dalam Exco Selangor.

"Saya rasa Tony Pua lupa dengan keputusan yang kita buat dalam mesyuarat itu.

"Kita tidak mahu gaduh dengan perkara yang telah diputuskan oleh Sultan Selangor," katanya kepada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Barisan Exco Selangor akan diwakili empat calon daripada Pas dan masing-masing tiga daripada PKR dan DAP.

Beliau turut memaklumkan akan mengguna pakai formula 3:3:4 (PKR: DAP: Pas) sekaligus mengesahkan cakap-cakap akan berlaku perubahan dalam agihan perwakilan dalam barisan exco berikutan penguasaan Pas serta DAP yang masing-masing dengan 15
kerusi di Dun berbanding 14 kerusi oleh PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.

Sementara itu, Sinar Harian Online difahamkan, mesyuarat yang diadakan oleh PR negeri Selangor telah memutuskan dua plan atau opsyen untuk pelantikan barisan Exco negeri itu.

Antaranya lima calon Melayu dan lima calon bukan Melayu di mana tiga tempat calon Melayu adalah daripada Pas, dua tempat daripada calon Melayu PKR, empat tempat akan dimiliki oleh DAP bagi calon bukan Melayu dan satu tempat untuk PKR.

Manakala plan yang kedua nisbah calon Melayu, enam nisbah empat calon bukan Melayu, di mana empat tempat calon Melayu dimiliki oleh Pas, dua daripada PKR untuk tempat calon Melayu, tiga DAP untuk tempat calon bukan Melayu dan satu daripada PKR.

Sebelum ini, Pua yang dipetik dari portal The Malaysian Insider mendakwa, parti itu seharusnya mendapat empat kerusi Exco berbanding tiga yang diumumkan Abdul Khalid dan jawatan speker Dun.

“Semalam (kelmarin) kami dapati senarai nama yang lain.

“Kami mahu tahu mengapa... tiada masalah pada Khamis. Ia adalah mesyuarat sekejap setengah jam,” katanya

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Pas juga tidak mengetahui apa yang dibincangkan di antara Sultan Selangor dan Abdul Khalid mengenai perkara tersebut.

"Itu semua keputusan yang dibuat melalui perbincangan Tan Sri (Abdul Khalid) dengan baginda.

"Kita kena hormatlah keputusan itu, lagipun baginda ada kuasa sama ada untuk perkenan atau tidak," katanya lagi.

Isu Exco Selangor: DAP akan bincang semula
RUWAIDA MD ZAIN
20 Mei 2013
Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
Teresa Kok
SHAH ALAM – DAP Selangor akan mengadakan perbincangan semula berhubung jumlah komposisi barisan Exco Selangor penggal ini yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam kelmarin.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok ketika dihubungi enggan mengulas mengenai formula 4:3:3 (Pas:DAP:PKR) yang memberikan kelebihan kepada Pas berbanding partinya dan PKR.
“Kita akan bincang semula dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (berhubung perkara ini),” katanya semalam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, parti itu memang meminta empat kerusi namun memberikan senarai nama calon melebihi empat orang.

Beliau berkata, senarai calon yang dicadangkan tidak bertentangan dengan mesyuarat di peringkat negeri malah ia mendapat persetujuan semua pihak.

“Semua parti bagi lebih daripada empat nama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan memilih calon yang layak.

“Saya suka melihat jawatan itu diberikan kepada individu yang betul-betul layak. Kita tidak mahu bagi kepada yang tidak buat kerja,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin kanan PKR Selangor gagal dihubungi ketika Sinar Harian cuba mendapatkan komen sama.

Terdahulu, Abdul Khalid memberitahu pemberita ketika Majlis Kesyukuran Dun Pelabuhan Klang di Pandamaran bahawa Exco Selangor akan diwakili empat calon Pas dan masing-masing tiga daripada PKR dan DAP.

Menurutnya, senarai nama calon tersebut sudah diserahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Jumaat lepas termasuk senarai calon alternatif.

“Saya sudah berikan senarai kepada baginda termasuklah beberapa nama alternatif bagi memberi peluang kepada baginda untuk melihat dan membuat pilihan. Jika ada sebarang perubahan baginda akan memanggil saya untuk diadakan perbincangan,” katanya.

Katanya, upacara mengangkat sumpah akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi.
Pas tolak kekerasan
SAPINAH AB GHANI
20 Mei 2013
Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
KOTA BHARU - Pas Kelantan selari dengan pendirian pimpinan parti itu di peringkat pusat yang tidak akan menyokong sebarang bentuk kekerasan jalanan untuk menjatuhkan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sejak dulu hingga sekarang Pas sentiasa memilih jalan demokrasi kerana berpendirian itu pendekatan terbaik untuk menukar kerajaan sedia ada ke arah lebih baik.

“Dalam hal ini, saya teguh bersama kepimpinan Pas Pusat yang menegaskan bahawa dari dulu hingga sekarang sentiasa memilih jalan demokrasi berasaskan kepada pendirian bahawa itulah jalan terbaik setakat ini untuk menukar kerajaan yang sedia ada di Malaysia kepada kerajaan yang lebih baik.

“Bermakna saya juga tidak bersetuju dengan jalan kekerasan untuk menjatuhkan kerajaan dan juga memohon agar proses pilihan raya dihormati,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau juga menggesa pihak- pihak yang mendesak agar pilihan rakyat dihormati turut menghormati pilihan rakyat Kelantan.

“Jika pilihan rakyat Kelantan tidak dihormati, bagaimana pilihan rakyat di tempat lain akan dihormati,” katanya.

Menurutnya, ini kerana situasi semasa menyaksikan pelbagai hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan disekat.

“Saya mengambil contoh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan yang tidak wujud di negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN), tidakkah ini menunjukkan bahawa pilihan rakyat tidak dihormati sehingga mewujudkan kerajaan dalam kerajaan,” katanya sambil mengingatkan ini masa untuk bekerja demi kebaikan rakyat.
Lebihkan anak tiri, derhakakah ibu bapa?
Wartawan Sinar Harian
20 Mei 2013
Lebihkan anak tiri, derhakakah ibu bapa?
Perasaan cemburu anak boleh menjadi dendam yang menjurus kebarangkalian menjadi anak derhaka. Sumber foto: Internet
Memandang wajah ibu ayah dengan penuh kasih sayang pun ALLAH SWT beri ganjaran pahala apatah lagi berbakti kepada mereka. Sesungguhnya janji ALLAH itu nyata dan ALLAH tidak pernah berbohong.

Setiap ganjaran pahala yang dikatakan akan diberikan adalah nyata. Begitulah juga halnya dengan balasan dosa. Antara dosa yang ALLAH bayar tunai di dunia ini adalah dosa menderhaka ibu bapa.

Tetapi dalam soal hati ia juga anugerah ALLAH. Tidak dinafikan, terdapat anak sukar atau mati rasa kasih sayang kepada ibu bapa akibat perbuatan ibu bapa sendiri.

Melihatkan hal ini apakah telah berlaku satu dosa? Apa yang pasti keadaan anak menderhaka tanpa rela ini terjadi, kerana rasa kasih, sayang, dan cinta itu tidak boleh dipaksa, ia berlaku dengan sendiri. Wallahualam...

Tak sayang tapi tak nak derhaka

"KAMI ini anak kandung abah tapi abah lebihkan anak tiri dia. Sampaikan kami empat beradik selalu makan hati. Kalau dah hari-hari asyik makan hati, lama-lama rasa kasih pada abah makin tipis dan pudar terus hilang," kata Karim memulakan bicara.

Mengimbas kenangan 20 tahun lampau ternyata menyentuh hatinya. Karim (bukan nama sebenar) adalah rakan sepermainan penulis sewaktu alam kanak-kanak.

Teringat suatu petang ketika bermain konda-kondi bersama Karim, dua adiknya, dan empat rakan lain tiba-tiba abah Karim, melintas kawasan permainan kami dan di tangannya ada sebungkus plastik penuh dengan makanan ringan.

Melihatkan abahnya, Karim adik-beradik mengejar mendapatkan abahnya. Namun, selang beberapa ketika mereka kembali dengan muka masam mencuka. Di tangan Karim cuma ada sebungkus jajan.

"Huh satu je, kedekut betul abah ni. Abah bawa banyak, tapi bagi satu jer suruh kita kongsi. Dahlah, nah ambil ni pergi kongsi, abang tak nak," rajuknya sambil memberikan jajan kepada dua adiknya.

Sudah pasti jajan selebihnya diberikan kepada adik-beradik tiri Karim. Bukan setakat cerita jajan, banyak lagi cerita lain. Kadang-kadang Karim dan adik-adik di kunci di luar rumah atas alasan didenda kerana degil.

"Aku dengan adik-macam sampah dibuatnya, kau pun tahu kan? Mengemis kasih abah sendiri. Hari-hari kami berdoa agar disayangi abah," lirih suara Karim menyambung cerita sekali gus mematikan kenangan lampau penulis.

"Sekarang ni abah kau dekat mana?" tanya penulis.

"Ada kat rumah orang tua. Kami adik-beradik hantar. Aku tanya adik siapa sanggup bela abah, semua diam. Aku pula, memang sah tak mahu bela. Entahlah, setiap kali tengok muka abah aku jadi marah, sedih, dendam dan berdosa," katanya.

"Tinggal abah kau di sana, tidak pernah jenguk. Berapa lama dah?" penulis bertanya lanjut.

"Eh, kami jenguk... dekat lima tahun abah kat sana. Waktu mak meninggal, abah datang melawat jenazah. Lepas pada tu dia langsung tak pergi mana-mana, duduk kat rumah mak tu.

"Kami pun syak abah ni dah berlaku sesuatu pada dia. Bila ditanya tak nak cakap. Bila tanya banyak sikit bergenang air mata. Bukan tak kasihan, kasihan. Abah sendiri siapa tidak rasa sakit dalam hati jika lihat dia berduka macam tu. Tapi, bila diingatkan balik perbuatan dia pada kami adik-beradik, pada arwah mak, pedih hati. Rasa tak nak tengok langsung abah tu.

"Tapi bila kenangkan pesan arwah, 'jangan buang abah. Kena jaga abah. Ingat dosa' kami terpujuk hati. Tapi itulah, jujurnya aku tak boleh paksa hati aku ni sayang dan kasih pada abah. Aku rasa adik-adik aku pun sama, kalau tidak tak adalah masing-masing diam masa aku cadangkan hantar abah ke rumah orang tua," katanya.

Karim memberitahu walaupun dihantar ke rumah orang tua kebajikan abahnya tidak pernah diabaikan. Bila jauh, hatinya rasa sayu dalam hati, simpati dengan dia. Tapi bila jumpa, tengok wajah abah terus perasaan jadi masam macam jeruk kelubi," katanya sempat berseloroh.

"Entahlah, aku tahu seorang anak bila pandang wajah ibu bapanya dengan kasih-sayang ALLAH bagi banyak ganjaran pahala.

"Tapi aku tak boleh paksa hati aku, perasaan aku yang dah lama tercalar. Aku tak mahu cerita lebih-lebih, apa-apa pun dia abah aku, terpalit busuk pada dia, aku juga terima tempias baunya.

"Cuma aku boleh cakap, aku takut jadi anak derhaka tapi dalam masa sama aku tak boleh terima sebab tiada sayang dalam hati cuma belas kasihan. Moga ALLAH tolong aku dan adik-adik supaya memiliki hati yang baik, Insya-ALLAH kerana aku takut jadi anak derhaka," doanya dan disambut dengan "amin..." oleh penulis.

Di mata Karim, penulis perasan bergenang air mata yang cuba ditahan.
Sikap ibu bapa punca anak derhaka
Wartawan Sinar Harian
20 Mei 2013
Sikap ibu bapa punca anak derhaka
Setiap anak dilahirkan fitrah, bersih, dan suci. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu dan ayah mendidiknya.
"SIAPA kata tiada istilah ibu ayah menderhaka kepada anak? Memang wujud dan berlaku keadaan di mana seorang ibu atau ayah itu menderhaka kepada anaknya," kata Mohd Ashrof Zaki.

Memetik satu kisah berlaku pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA, Mohd Ashrof Zaki berkata, seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab RA mengadukan hal kederhakaan anaknya.

Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak bapanya. Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”

Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapak u tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam.

Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anak mu, walhal kamulah yang telah menderhakainya.

Kamulah yang telah berlaku buruk dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadap mu.” Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.

Mohd Ashrof berkata, kisah ini jelas menunjukkan ibu bapa yang inginkan anaknya tidak menderhakai mereka perlu terlebih dahulu menunaikan hak anak. Ibu bapa harus mempersiapkan diri supaya menjadi baik jika mahu anak baik.

Kadang-kala berlaku keadaan di mana si anak menengking atau meninggikan suara kepada ibu bapa, jika dilihat balik barangkali ibu atau ayahnya juga sering meninggikan suara atau menengkingnya.

Menurutnya, walaupun, hendak memarahi anak perlu dilakukan mengikut saranan Nabi SAW.

"Marah dan tegurlah dengan iman dan hemah, bukannya marah mengikut cara yang tidak diajar dalam Islam.

"Jika berlaku anak menderhaka, ibu bapa harus periksa kembali di mana silapnya dalam mendidik. Namun, setelah berusaha melakukan semua yang baik seperti yang disuruh dalam Islam tetapi masih berlaku anak menderhaka, maka janganlah berputus asa, kerana sesungguhnya ia adalah ujian ALLAH," kata Mohd Ashrof.

Tiada ulasan: