Jumaat, 24 Mei 2013

FITNAH NI NAFILAH....DENGAN ALLAH DIAKHIRAT NANTI.... SEGALA KEJAHATAN YANG KITA BUAT DIDUNIA ....TAK BOLEH NAFIKAN......KERANA SEGALA ANGGOTA BADAN JADI SAKSI....DAN BOLEH BERKATA2.

MB hargai jasa anak Kelantan perantauan

Muhammad Yusri Amin, 24 Mei 2013


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan anak-anak Kelantan di perantauan termasuk di luar negara yang telah banyak menyumbang kepada kerajaan negeri.

Katanya ia termasuk sumbangan dalam bentuk sokongan yang mahu melihat kerajaan Islam terus kekal memerintah negeri ini.

Sehubungan itu ujarnya, kerajaan negeri perlu memikirkan langkah bagaimana untuk mereka mendapat manfaat daripada prinsip pentadbiran kerajaan negeri, serta mengeratkan kebersamaan mereka dengan Kerajaan Negeri.

“Bahkan mereka juga baru-baru ini difahamkan balik menunaikan kewajipan sebagai pengundi di negeri Kelantan, dalam jumlah begitu ramai.

“Semestinya mereka memberi sumbangan besar kepada kekalnya kita memerintah di Kelantan.

beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Besar bersama warga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) di Balai Islam, Lundang semalam.

Justeru, kata Ahmad Yakob, semestinya sesuatu dilakukan dengan memikirkan ruang sumbangan untuk mereka sebagai menghargai peranan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan itu.

“Kita mengharapakan rakyat kita yang berada di luar negara merasa ‘terbela’ berada di bawah pemerintahan Kerajaan Kelantan yang ada sekarang.

“Sesuatu yang dapat kita ’panjangkan’ kepada mereka,” kata Menteri Besar.

Pada masa sama beiau mahu kemudahan IT dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menjayakan usaha ke arah itu.

Dengan demikian, kata Ahmad Yakob,  konsep  UMI iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang direalisasikan di negeri ini dapat dihayati bersama

NGO tetap teruskan himpunan esok

Harakahdaily, 24 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO  "Suara Rakyat 505" akan tetap meneruskan himpunanmereka esok biarpun ramai pimpinan Pakatan Rakyat mula ditangkap sejak semalam.

Penggerak utama himpunan itu, Solidariti Anak Muda Malayisa (SAMM) menegaskan, mereka tetap bertekad untuk memastikan himpunan mencapai matlamat, walaupun terpaksa berdepan dengan penangkapan.

Koordinator NGO itu, Badrul Hisham Shaharin berkata, siri penangkapan terbaru tiga pemimpin dan aktivis rakyat dan seorang aktivis mahasiswa merupakan tindakan terdesak untuk menutup suara rakyat.

"Negara seolah-olah berada dalam keadaan 'belum merdeka' ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan ke dalam lokap seterusnya didakwa atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan.

"Ini bukti kegagalan transformasi Najib, ketika kerajaan yang ada hari ini tidak punya sokongan majoriti," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, peristiwa penangkapan hari ini mengingatkankepada bagaimana penceroboh Sulu contohnya, diberi layanan dan masa yang selesa tetapi rakyat sendiri dilayan umpama penjenayah besar.

"Sesungguhnya rakyat tidak sedia ditipu lagi dalam 5 tahun akan datang, tetapi rakyat sedia untuk memperjuangkan tuntutan demokrasi bila-bila masa dari sekarang," katanya sambil menyeru rakyat hadir 25 Mei ini.

Himpunan tersebut dijadual berlangsung di Padang Timur (Amcorp Mall) bermula jam 5 petang sehingga malam.
TPM: Cadangan BN jadi parti tunggal adalah rasional

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata cadangan besar dan penting bagi memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh setiap parti komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
  
“Selepas mengambil kira apa yang berlaku dalam PRU lepas kalangan pimpinan BN melontarkan pandangan apakah wajar BN dilihat semula kerana kerjasama yang wujud sekarang ialah penggabungan 13 parti yang menjadi komponen BN dengan setiap parti mempunyai perlembagaan sendiri dan cuma bergabung atas nama BN.
  
“Ada yang berpendapat mungkinkah sudah sampai masa bahawa penggabungan itu dapat dibentuk dalam satu situasi yang lebih mantap iaitu BN sebagai sebuah parti politik, bukan lagi gabungan pelbagai parti politik,” katanya mengulas cadangan parti Gerakan yang mahu BN bersifat parti tunggal sepertimana yang dinyatakan pemangku presidennya Datuk Chang Ko Youn dua hari lepas.
  
Bercakap kepada pemberita di Phuket, Muhyiddin berkata cadangan itu mempunyai asas tetapi menuntut setiap parti melakukan kajian mendalam dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan anggota parti masing-masing kerana ia melibatkan soal organisasi dan struktur penubuhannya.
  
Beliau berkata walaupun cadangan itu mungkin berdepan tentangan tetapi yang penting setiap anggota parti perlu melihat ke depan dan jika merasakan ia wajar dilakukan, satu mekanisme pelaksanaan yang boleh diterima semua anggota parti yang bergabung dalam BN perlu dikemukakan segera.
  
"Ini adalah lebih dari soal bermuhasabah, kita kena lihat sendiri struktur BN yang sedia ada bahawa apakah sudah sampai ketikanya sebuah parti yang dinamakan BN dibentuk, bukan lagi dalam bentuk gabungan parti-parti komponen BN tetapi BN sebagai sebuah parti politik," katanya.
  
Sehubungan itu beliau mencadangkan sebuah makmal politik diadakan bagi mencerna idea tentang format baru BN seperti yang dicadangkan di mana semua pihak, termasuk kalangan bukan anggota parti yang mengambil berat mengenai masa depan negara dan ingin memberi sumbangan turut dilibatkan.
  
“Bagi saya itu sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat ia penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh kekalkan kedudukan sebegini untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi yang pasti persoalan ini perlu dijawab dalam tempoh yang terdekat dan kalau ia wajar, bagaimana hal itu hendak dilaksanakan.
  
“Ini perlu difikirkan untuk tempoh beberapa bulan dan setahun ke hadapan, kalau sudah dianggap boleh selepas makmal itu dibuat mungkin boleh panggil satu konvensyen maka pemimpin BN boleh duduk bersama bagi membincangkan hala tuju dan survival parti di masa depan,” katanya.
  
Ditanya apakah beliau akan membawa cadangan penubuhan makmal itu ke peringkat lebih tinggi, Muhyiddin berkata: “di peringkat BN saya pun telah beritahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin satu daripada perkara yang kita akan teliti ialah struktur BN itu sendiri, bukan lagi sekadar kosmetik tetapi secara serius bagaimana ia harus berubah dari yang lama kepada struktur baru yang lebih ke hadapan.
  
Beliau berkata cadangan itu mengambil kira perubahan pemikiran masyarakat, pengundi dan generasi muda yang sebahagiannya tidak mahu melihat parti yang dikatakan dibentuk berasaskan kaum.
  
Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri berkata bedah siasat BN berhubung keputusan pilihan raya umum yang sedang dilakukan oleh sebuah badan yang dilantik khas boleh diketahui selewat-lewatnya Julai ini.
  
Muhyiddin berkata bagi memastikan analisis yang tepat, bebas dan telus pasukan itu dibentuk dari kalangan mereka daripada luar parti bagi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk mengemukakan pandangan asalkan berasas.
  
“Kita tidak mahu berselindung, kita hendak tahu apakah sebab kita menang atau kalah, apa faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan, dan lebih lanjut daripada itu adalah perakuan-perakuan yang kita akan buat untuk menentukan supaya BN terus relevan dan bagaimana kita menangani tempoh lima tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
  
- Bernama
Mahfuz: PAS Kedah galak ahli hadir himpunan esok

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar menggalakkan ahli parti khususnya di negeri itu menghadiri perhimpunan mempertikai keputusan pilihan raya esok, sekalipun Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dilapor menyarankan sebaliknya.

Enggan mengulas sama ada ia pandangan peribadi Harun, Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata setahunya parti tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan 'Blackout 505'.

NONEAhli parlimen Pokok Sena itu juga berpandangan penyertaan ahli PAS dalam perhimpunan itu, tidak menghalang usaha PAS untuk menambah ahli baru.

"Boleh tambah ahli, kalau yang bukan ahli parti, mereka melihat usaha ahli PAS yang mendekati anak muda. Saya rasa ini (sertai perhimpunan) adalah usaha berterusan untuk memperkasakan oraganisasi.

"Usaha ini, (tambah ahli) diperluaskan, perlu dilakukan dengan menyertai perhimpunan Blackout," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Mahfuz mengulas kenyataan Harun hari ini yang dilapor mempertahankan pandangannya sebelum ini yang tidak menyokong perhimpunan itu dan menerima keputusan pilihan raya umum lalu dengan hati terbuka.

Laporan Berita Harian hari ini memetik Harun sebagai berkata adalah lebih baik ahli PAS memberi tumpuan kepada usaha gerak kerja untuk memperkasakan parti dan meraih sokongan baru rakyat daripada menyertai perhimpunan yang tidak akan memberi keuntungan kepada parti itu.

NONEBagaimanapun semalam, penggerak utama himpunan yang dinamakan 'SuaraRakyat 505', Badrul Hisham Shaharin berkata perhimpunan itu tetap diteruskan sekalipun tangkapan beberapa pemimpin pembangkang dan NGO telah dibuat atau beliau sendiri mungkin ditahan.

Mengulas lanjut, Mahfuz percaya penahanan pemimpin politik dan NGO oleh polis dan rampas akhbar ketiga-tiga parti semalam menyebabkan perhimpunan itu menjadi tumpuan.

"Saya percaya dengan tangkapan (pemimpin politik dan NGO) oleh polis, rampasan Harakah, Suara keadilan telah mengingatkan ahli, penyokong dan pendokong PAS, PKR dan DAP (bahawa perhatian) akan tertumpu di Amcorp Mall," katanya.
Beliau yang kini berada di Sarawak bagaimanapun tidak dapat hadir ke perhimpunan itu kerana menghadiri urusan perkahwinan anak saudaranya di Kuching.
Kenapa orang Cina sokong Adam Adli?

ULASAN Dalam tempoh lapan tahun saya bekerja sebagai seorang wartawan, cuma dua kali sahaja saya perhatikan orang Cina keluar beramai-ramai untuk menyokong aktivis Melayu yang ditahan.

Kes yang pertama berlaku pada tahun 2008 apabila penulis blog politik termasyhur waktu itu, Raja Petra Kamarudin, ditahan bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) selama sebulan.

raja petra court case 060508 petra arrestedWaktu itu, Raja Petra (kiri) dianggap sebagai "hero" oleh pembaca blognya, yang kebanyakan orang Cina dan India kawasan bandar kerana rencana "pedas" yang ditulis secara eksklusif dalam Bahasa Inggeris.

Kalau kita lihat gambar-gambar sewaktu dia dibebaskan, memang kebanyakan peminatnya yang berkumpul di mahkamah adalah orang bukan Melayu.

Sebelum dibebaskan, dianjurkan beberapa acara nyalaan lilin untuk menunjukkan sokongan, yang juga kebanyakan menarik peserta bukan Melayu.

Kelmarin pula, senario yang hampir sama berlaku berhampiran balai polis Jinjang, di mana sebuah perhimpunan aman untuk menyokong Adam Adli Abdul Halim berlangsung.

Memang terdapat orang Melayu. Antaranya aktivis lama reformasi, geng Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), geng mahasiswa dan aktivis parti pembangkang.

Mereka faham perjuangan Adam Adli dan datang dari jauh untuk menunjukkan sokongan sampai larut malam.

'Tsunami Cina' di Jinjang


Tetapi bilangan mereka kecil kalau dibandingkan dengan kehadiran beratus-ratus orang Cina yang mewakili kelas berpendapatan rendah sampai kelas yang menggunakan kereta mewah.

Adanya geng gereja Lutheran, ahli Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) dan geng DAP. Tetapi apa yang mengejutkan, pihak yang tidak dijangkakan turut berhimpun demi Adam Adli.

NONEAdanya Ah Soh bersama tiga anak perempuanya yang masih dalam umur persekolahan. Adanya Ah Seng rambut perang membawa motorsikal Suzuki RG.

Adanya ah pek yang memakai singlet putih jenama pagoda. Adanya Ah Siang, seorang pakar penulis aplikasi untuk iPhone dari Shah Alam.

Sampai 11.30 malam, saya berasa letih dan meminta izin bos saya untuk balik rehat. Tetapi Ah Soh, Ah Seng, Ah Pek dan Ah Siang masih hendak berhimpun, bersorak dan menyanyi Negaraku, walaupun sudah tengah malam dan adanya risiko ditahan polis.

Bagi saya, ini agak pelik. Kalau dibandingkan dengan ketika Raja Petra ditahan, penyokongnya memahami pendiriannya kerana dia sudah menulis rencana sejak beberapa dekad.

Manakala, Adam pula masih dikira orang baru dalam arena aktivis dan pendirian. Ataupun idealismenya kurang menarik perhatian orang ramai kerana dia bukan seorang penulis prolifik seperti Raja Petra.

Kesilapan keutamaan
Tidak lama selepas polis menahan 18 peserta (antaranya, 11 lelaki dan 4 perempuan Cina), saya sempat berborak dengan beberapa orang Cina yang bagi saya, tidak menonjolkan ciri-ciri kaki demonstrasi.

Tiada seorang pun yang tahu tentang latar belakang Adam Adli, ataupun kisah beliau menurunkan bendera perdana menteri di PWTC.

NONETetapi, kebanyakan orang yang ditemuramah nampaknya tidak puas hati melihat seorang mahasiswa ditahan kerana hujahnya di sebuah forum, sedangkan pihak berkuasa sepatutnya mengutamakan benda lain yang lebih penting.

"Itu (sebut nama seorang pemimpin BN) dia tak mahu tangkap. Olang jahat dia tak mahu tangkap. Mengapa tangkap budak itu?"

Ini merupakan pandangan yang lazim diluahkan orang yang ditemuramah. Sebaliknya, soal bangsa Adam Adli tidak disentuh langsung.

Jadi kalau mahu menjawab soalan yang dikemukakan sebuah akhbar tempatan, apa lagi Cina yang berkumpul di sekitar balai Jinjang semalam mahu, jawapannya keadilan.

Mereka mahu pihak berkuasa menyempurnakan tugas mereka secara adil dan saksama, bukan membuang masa menutup mulut aktivis muda yang cuba untuk menegakkan sistem pilihan raya yang bersih.

Itu saja Cina mahu?


Saya juga membuat kesimpulan, orang Cina yang saya nampak kelmarin juga masih mahu kepimpinan Melayu.

Pada tahun 2008, Raja Petra antara pemimpin yang diagung-agungkan orang Cina kerana hujahnya berlandaskan keadilan.

Sekarang pula orang Cina mengagung-agungkan pemimpin Melayu seperti Anwar Ibrahim, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Khalid Ibrahim, Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayub, Rafizi Ramli dan sebagainya kerana prestasi pencapaian mereka.

penang save democracy rally 180513 lim kit siangPernahkah para pembaca dengar orang Cina kata dia hendak lihat Lim Kit Siang (kanan), Karpal Singh ataupun Dr Chua Soi Lek sebagai perdana menteri? Tidak.

Ketiga-tiga pemimpin ini tidak begitu fasih bahasa kebangsaan pun. Macam mana pula mereka hendak menggubal undang-undang?

Saya juga berpendapat orang Cina memahami bahawa kebanyakan orang Malaysia adalah orang Islam yang memerlukan pimpinan orang Islam. Ini kerana perlembagaan telah menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai penjaga hal-ehwal Islam dan seorang perdana menteri adalah wakil eksekutif Tuanku.

Saya mengaku, kesimpulan yang saya temukan ini mungkin simplistik sebab ia berdasarkan satu senario yang jarang berlaku dan berdasarkan pendapat segelintir peserta malam kelmarin.

Tetapi saya harap pemerhatian saya kelmarin dapat membuka lagi ruang perbincangan tentang "Apa lagi Cina mahu" dan adakah semua perbuatan mereka merupakan pecaturan licik bersifat perkauman, seperti didakwa sesetengah pihak.

Setahu saya, Adam Adli bukan Cina dan tidak pernah cuba menghasut orang Cina. Secara umumnya, orang Cina tidak kenal dia pun, lebih-lebih lagi orang Cina Jinjang.


ANDREW ONG bertugas di Malaysiakini (laman Bahasa Inggeris). Ini rencana pertamanya yang ditulis dalam Bahasa Melayu.
SPR: Gambar 'black out' hari mengundi fitnah, lakonan

Siasatan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sekeping gambar dimuatkan di internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.

"Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.

"Pada gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata bukti paling nyata apabila gambar tersebut menunjukkan terdapat ramai pemberita dan jurugambar berada di dalam tempat pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada sesiapa yang boleh berada di tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen calon.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti yang ditunjukkan oleh gambar itu langsung tidak betul... mereka sudah terlupa, hendak menipu tetapi tidak faham tatacara kerja dan tidak matang.

"Malah dulang yang digunakan untuk meletak kertas undi juga bukan dulang SPR, bahan dan saiznya berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak ikut SOP SPR," katanya.

Wan Ahmad berkata sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berkaitan dakwaan lampu padam dan itu membuktikan bahawa ia ternyata fitnah pembohongan yang direka-reka dan tidak berasas.

"Kalau ada lampu padam, tentulah ada ejen-ejen parti membuat laporan polis, mereka mewakili calon, mereka ada di tempat mengira undi, jika lampu padam dia yang akan mula-mula sekali berlari buat laporan polis, tetapi tidak.

"Malah pada malam pengiraan undi itu juga, saya apabila mendapat 'tweet' mengatakan lampu padam oleh 'cybertrooper' yang tidak bertanggungjawab, kita terus semak kawasan mana, kita semak dengan pengarah negeri kita, Pegawai Pengurus dan saluran sekolah yang dituduh tetapi ternyata tidak ada apa-apa," katanya.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan sebuah akhbar pembangkang bahawa 24 petugas SPR di Besut, Terengganu telah dikurung bagi memangkah kertas undi, Wan Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Beliau berkata namun kesemua mereka dipercayai masuk ke satu bilik itu untuk memangkah kertas undi masing-masing memandangkan kesemua mereka mengundi secara pos kerana bertugas pada PRU13.

"Salah seorang daripada mereka didapati telah membuat laporan polis... itu keputusan yang bagus dan betul agar polis dapat membuka kertas siasatan.

"Namun dipercayai mereka mendapat sampul surat yang berisi kertas undi untuk mengundi cara pos dan itu hak mereka untuk pangkah di mana-mana lokasi termasuk di dalam bilik yang dikatakan itu.. namun apa yang sebenarnya berlaku kita tidak tahu," katanya.

Katanya, masyarakat tidak harus membuat andaian dan rumusan sendiri dengan hanya membaca melalui media pembangkang sedangkan semua yang dilaporkan berkaitan SPR adalah buruk dan berbaur fitnah.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata cadangan pembangkang agar Tribunal Rakyat ditubuhkan adalah amat berbahaya kerana ia membelakangkan perlembagaan dan undang-undang negara.

"Siapa yang akan mewakili Tribunal Rakyat itu? Orang-orang mereka, pemimpin NGO yang selama ini yang menentang sistem dan dasar pilihan raya? Mereka yang menyemai budaya tidak baik dan tidak sopan pada anak muda?," katanya.

-Bernama

Tiada ulasan: