Rabu, 29 Mei 2013

PALING ELOK BELI KERETA ORANG TAK INGIN...MURAH...BERBATUANNYA RENDAH...KERETA LEBIH KURANG SAMA...TAK KAN PENGELUAR KERETA NAK KELUAR KERETA TAK BERMUTU...YANG PENTING CARA PENGUNAANNYA...SERTA PENJAGAANNYA

Penganalisis : Paling sesuai beli kereta hujung tahun ini
MOHD RIDUAN SALLEH
29 Mei 2013
penurunan harga kereta
PENURUNAN harga kereta yang dijanjikan sama ada oleh parti pemerintah mahupun pembangkang pada siri kempen pilihan raya lalu sememangnya menarik perhatian rakyat Malaysia.

Rata-rata rakyat yang berhasrat untuk membeli atau menukar kereta baru memilih untuk menunggu sehingga kerajaan baru dibentuk dan tawaran mengenainya lebih jelas.

Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi janji kerajaan untuk menurunkan harga kereta.

"Seperti dijanjikan, harga kereta akan diturunkan secara berperingkat hingga 2017. Insya-ALLAH, saya akan pastikan setiap janji ditepati," tulis beliau menerusi laman mikro Twitter miliknya, semalam.

Terdahulu, JF Apex Securities dalam satu kenyatan berkata, kerajaan mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta memandangkan langkah itu boleh menjejaskan penguasaan pasaran Proton.

Firma penyelidikan itu berkata kajian daya maju perlu dilakukan untuk melihat impak keseluruhan bagi mengelak gangguan ke atas ekosistem automotif negara.

"Kami tidak menjangkakan perubahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sementara  menunggu perkembangan terkini semakan ke atas Dasar Automotif Negara," kata JF Apex.

Pakar ekonomi yang dihubungi Sinar Harian Online bagaimanapun menjangkakan masa terbaik untuk pembelian kereta mungkin berlaku selepas pembentangan Bajet 2014, akhir tahun ini.

Menurut Ketua Penyelidikan dan Perundingan Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Dr. Shazali Abu Mansor, langkah kerajaan mengumumkan penurunan harga kereta secara berperingkat mungkin bermula sebaik belanjawan dibentangkan.

“Sungguhpun penurunan 30 peratus dilakukan secara berperingkat, pembeli masih berpeluang merasai penurunan harga walaupun pada kadar 6 peratus setahun," katanya.

Justeru beliau berkata seandainya tidak ada keperluan mendesak, pembeli mungkin boleh menunggu sehingga kerajaan membentangkan Bajet 2014 bagi mengetahui peratusan penurunan harga kereta pada tahun ini.

Menurut beliau lagi, adalah penting penurunan harga dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan semua pihak bersedia agar pasaran dapat diseimbangkan.

Sementara itu Ketua Jaringan Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan (MPN), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, tempoh masa yang realistik untuk membeli kereta adalah antara tahun 2013 dan 2014.

Beliau berkata demikian kerana tempoh tersebut kereta sepatutnya berada pada harga yang kompetitif setelah kerajaan mengumumkan penurunannya secara berperingkat.

Namun begitu katanya, salah satu faktor yang boleh mempercepatkan penurunan harga kereta ialah melalui pengenalan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) untuk menampung semula hasil cukai kenderaan.

“Sekiranya GST diluluskan dalam sidang Parlimen tahun ini, hasrat pengguna untuk membeli kereta pada harga yang lebih rendah mungkin tercapai selepas perbentangan Bajet 2014 nanti," katanya.
Keputusan kes Kugan 19 Jun

29 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Jun ini untuk keputusan kes saman kecuaian yang difailkan oleh ibu A.Kugan, suspek yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 2009.

Hakim Datuk V.T. Singham menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar penghujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan peguam R.Sivarasa, yang mewakili ibu Kugan, N. Indra.

Pada 13 Jan tahun lepas, N. Indra memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang ketika itu Ketua Polis Selangor sebagai defendan pertama.

Bekas anggota polis, V. Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan) sebagai defendan kedua diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Azizan, yang mewakili pihak defendan, mengemukakan bahawa selepas penyiasatan, terdapat hubungan antara Navindran dan punca kecederaan kepada si mati.

"Dalam perbicaraan itu, ia menunjukkan Navindran datang ke balai polis di mana si mati ditahan dan menyebabkan kecederaan. Dua anggota polis, Lans Koperal Mohd Haizan Hamid dan Lans Koperal Junid Haron kemudian menghentikan Navindran daripada terus memukul si mati.

"Navindran didakwa di mahkamah dan didapati bersalah berdasarkan keterangan Mohd Haizan dan Junid. Oleh itu, kami mengemukakan bahawa keputusan untuk mendakwa Navindran jelas menunjukkan dia tidak menjalankan tugas rasminya sebagai pegawai polis tetapi bertindak secara bermain-main," katanya.

Beliau juga berkata Navindran telah hanya menafikan bahawa dia adalah orang yang menyebabkan kecederaan tanpa apa-apa sokongan, menyalahkan orang lain kerana memilih dia sebagai 'kambing hitam' dan bukannya mencabar bukti yang dikemukakan oleh orang lain.

Peguam Sivarasa berhujah bahawa Indra telah kehilangan sokongan dan sumbangan kewangan bulanan selepas Kugan meninggal dunia.

Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun dan adalah suspek kes curi kereta mewah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009.- Bernama
Blackout 505 tampil tiga tuntutan
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
29 Mei 2013
Johari Abdul
Johari Abdul
PETALING JAYA - Perhimpunan Blackout 505 akan meneruskan gerakan mereka sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan reformasi awal yang dikemukakan.

Pengarah program Blackout 505, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran rakyat di perhimpunan itu adalah lambang baru kesedaran politik rakyat yang mewakili suara 51peratus rakyat yang menyokong PR.

"Kita menuntut tiga perkara asas reformasi pilihan raya, pertama seluruh anggota SPR sekarang meletak jawatan kerana gagal memastikan PRU13 berjalan dengan telus, cekap, tanpa keraguan dan memenuhi janji mereka kepada rakyat seperti tuntutan Bersih.

"Kedua, adakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen yang diragui bila mana bukti kukuh. Ketiga, menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula sehinggalah anggota SPR baru yang berwibawa dan dipersetujui oleh semua pihak mengikut konsesus rakyat," katanya pada sidang media di pejabat PKR hari ini.

Menurut beliau, konsesus itu perlulah diwakili oleh PR dan NGO.

ADA KEDUDUKAN CAKAP LAIN...DAH TAK DE CAKAP LAIN...MAKA ORANG KENAL SAPE LU ...BAIK DIAM
PR perlu hentikan perhimpunan Blackout 505
Wartawan Sinar Harian
29 Mei 2013
Tunku Abdul Aziz Ibrahim
Tunku Abdul Aziz Ibrahim
SHAH ALAM – PR tidak patut menyalahkan BN dalam apa juga perkara yang tidak menyebelahi mereka dan perlu menghentikan penganjuran perhimpunan Blackout 505.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, tindakan sering menyalahkan BN tidak masuk akal dan melampau.

Menurutnya, pemimpin PR perlu bertanggungjawab dan adalah penting untuk mereka memahami kesan penganjuran perhimpunan.

“Pemimpin PR adalah orang yang tidak tahu apa makna tanggungjawab dalam kepimpinan mereka. Menjadi seorang pemimpin penting untuk mengelak berlaku huru-hara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perhimpunan Blackout 505 tidak dihentikan kerana ia belum diadakan di Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tindakan mengadakan perhimpunan haram itu membuktikan pemimpin PR tidak mempedulikan keamanan negara.

“Cukuplah, sudahlah. Apa lagi yang mereka mahu? Apabila sudah kalah, jangan mencabar kerajaan, adakan perhimpunan dan mendakwa dakwat tidak bagus.

“Mereka yang mengeluarkan banyak kali kenyataan berkaitan perkara ini perlu ditangkap sahaja kerana apa yang mereka lakukan adalah bukan perkara yang boleh kita terima,” katanya.

Beliau juga kesal kerana masih ramai rakyat di negara ini yang tidak menerima kebaikan yang dilakukan kerajaan, sebaliknya mempercayai tohmahan pemimpin pembangkang.

“Saya sedih kerana kebanyakan penduduk Melayu di Malaysia yang melebihi penduduk Cina tidak percaya langsung apa yang kerajaan buat.

“Saya ingin ingatkan orang muda, jangan percaya 100 peratus dakyah PR. Gunakanlah akal yang waras. Jangan menerima apa sahaja yang mereka lakukan, nanti kita akan susah,” katanya.
Rakyat berhak anjur perhimpunan
Wartawan Sinar Harian
29 Mei 2013
Dr Muhammad Nur Manuty
Dr Muhammad Nur Manuty
SHAH ALAM – Rakyat Malaysia berhak mengadakan perhimpunan yang tidak mempunyai unsur keganasan hingga boleh menggugat keselamatan negara.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, ia adalah hak rakyat selagi penganjurannya bukan bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.

“Ia adalah suara rakyat Malaysia. Selain daripada menganjurkan perhimpunan, rakyat juga boleh memfailkan petisyen kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ada pihak-pihak tertentu yang akan menganjurkan perhimpunan untuk mendesak pemimpin SPR meletakkan jawatan.

Muhammad berkata, PKR menganjurkan program untuk mengumpulkan 100,000 tandatangan untuk membantah penggunaan dakwat kekal yang didakwa tidak kekal.

“Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan saya harap rakyat Malaysia juga akan berbuat demikian,” katanya.
Bot karam: 11 penumpang masih hilang, 179 selamat

29 Mei 2013
Bot karam: 23 hilang, 181 selamat
Bot ekspres yang karam di Sungai Rajang, semalam
SIBU - Sebelas lagi penumpang bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga di pedalaman Sarawak semalam berjaya diselamatkan, menjadikan jumlah penumpang yang terselamat dalam tragedi itu 192 orang, kata Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau.
  
Beliau berkata kumpulan terbaru mangsa itu diselamatkan lewat malam tadi oleh sebuah tongkang yang lalu di kawasan itu dan kemudiannya dibawa ke pusat perlindungan sementara di sebuah rumah panjang berhampiran lokasi kejadian.
  
Katanya setakat ini jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot itu tidak dapat dipastikan memandangkan senarai penumpang belum dikemukakan kepada polis.
  
Bakar berkata jumlah penumpang yang dinyatakan semalam dibuat berdasarkan temu bual dengan pengusaha bot dan mangsa yang terselamat.
  
"Setakat ini, kami tidak dapat menyatakan jumlah sebenar mangsa yang masih hilang...melainkan kami ada senarai penumpang," katanya ketika dihubungi dari sini hari ini.
  
Bot ekspres 'Kawan Mas' sedang dalam perjalanan dari Bakun di pekan Belaga menuju Kapit apabila dikatakan terlanggar batu dan karam dekat Tanjong Giam Bungan antara 8.30 pagi dan 9 pagi semalam.
  
Sementara itu, Bakar berkata pasukan mencari dan menyelamat menetapkan kawasan lingkungan 3km di sekitar lokasi bot itu karam untuk menjalankan operasi mencari.
- Bernama
Mengaku salah ugut adik dengan parang
Mohd Zailani Abdul Rahman
29 Mei 2013
Mengaku salah ugut adik dengan parang
Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, semalam.
KOTA BHARU - Seorang pemuda bakal berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda selepas mengaku mengugut ingin mencederakan adiknya dengan sebilah parang, Sabtu lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh, Muhammad Hafizudin Kamaruzaman, 20, di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh jatuh hukuman.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafizudin didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Muhamad Hasrodin Kamaruzaman, 16, dengan sebilah parang.

Muhammad Hafizudin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah Lot 919, Kampung Sungai, Perupok, Bachok pada jam 7.30 malam, 25 Mei 2013.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan jaminan minimum.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat hanya ibu atau bapa tertuduh dibenarkan mengikat jamin tertuduh.
Guru silat ditetak penyamun
NURUL HIDAYAH HAMID
29 Mei 2013
Guru silat ditetak penyamun
Lakaran kejadian dua beranak diserang tiga penjenayah bersenjatakan parang.
Guru silat ditetak penyamun
Penduduk kampung menunjukkan lokasi mangsa ditetak di Kampung Gelam.
Guru silat ditetak penyamun
Keluarga mangsa sedang menunggu di wad kecemasan HSB.
ALOR SETAR - Seorang guru silat hampir putus tangan kanannya akibat ditetak ketika cuba menyelamatkan anaknya yang diserang tiga penyamun di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, awal pagi semalam.
 
Abdul Rahman Hashim, 51,  cedera parah manakala anaknya, Mohd Iqbal, 18, cedera ringan di tangan kiri dan kepala dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu.

Sebelum itu, Mohd Iqbal yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Anak Bukit terserempak dengan tiga lelaki yang dipercayai telah memecah masuk stor baja kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Pemuda itu segera menghubungi ayahnya namun sebelum sempat ayahnya sampai, Mohd Iqbal diserang.

Sepupu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, ketika kejadian penjenayah terbabit mungkin baru memecah masuk stor berkenaan.

“Semasa ayahnya datang selamatkan Iqbal, mereka bergelut. Penjenayah itu menyerang menggunakan senjata tajam, dipercayai parang,” katanya.

Katanya, Abdul Rahman yang cedera di tangan kanan dan kiri jatuh ke dalam tali air berdekatan lokasi kejadian, manakala Iqbal sempat melarikan diri ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian kepada ibunya.

Tiga lelaki terbabit bertindak melarikan diri, manakala kedua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kini, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Wan berkata, Iqbal tidak mengenali ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana keadaan persekitaran pada ketika itu agak gelap.

Mereka melarikan diri menaiki dua kereta dan mempunyai tiga parang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Farique Rizal Abdul Hamid, berkata, kedua-dua mangsa tiba di hospital kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, Abdul Rahman cedera di kedua belah tangan, pergelangan tangan kanannya hampir putus dan salur darah cedera teruk, manakala bahagian kirinya mengalami luka di tiga bahagian, termasuk tapak tangan dan anaknya cedera di jari dan kepala.

“Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin supaya tangan kanan Abdul Rahman dapat diselamatkan.

“Buat masa ini, mereka hanya boleh dilawat keluarga dan sahabat terdekat kerana mereka kemungkinan masih trauma,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 6.45 pagi semalam.

“Siasatan masih diteruskan, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja,” katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Tiada ulasan: