Khamis, 23 Mei 2013

YANG BUJANG AKAN KATA....WAHAI BAKAL ISTERIKU...WAHAI BAKAL SUAMIKU ...DAN WAHAI BAKAL ANAK2KU....KALAU DAH JODOH TAK KEMANA...PANJATKAN DOA

Menteri Pelancongan mana yang menipu, Ng ke Nazri

Harakahdaily, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan yang baru Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata demonstrasi di Malaysia secara umumnya tidak memberi kesan buruk kepada pelancongan.

Nazri berkata trend 2008 sehingga sekarang menunjukkan jumlah pelancong dan pendapatan daripada pelancongan terus meningkat.

Kenyataan tersebut dilihat bercanggah dengan kenyataan menteri sebelumnya Datuk Seri Ng Yen Yen.

Sebelum Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, Ng berkata sektor pelancongan bakal kerugian lebih RM1 bilion akibat demonstrasi menuntut pilihanraya bersih yang dianjurkan oleh Bersih 2.0.

Selepas kekacauan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, Ng sekali lagi berkata sektor pelancongan terjejas tersebut dengan memberikan contoh sekumpulan pelancong dari Indonesia terpaksa membatalkan lawatan mereka kerana himpunan Bersih.

Ng juga mendakwa menerima aduan kedai-kedai di kotaraya bahawa perniagaan mereka terjejas teruk kerana perhimpunan Bersih.

Dipetik Malaysiakini, Nazri pula berkata penurunan di sektor pelancongan hanya berlaku pada tahun 2003, kerana SARS dan kemelesetan ekonomi global.

Sejak 2008 hingga kini, Nazri menegaskan demonstrasi “tidak mengurangkan jumlah pelancong dan pendapatan daripada pelancongan."

Jadi siapa yang menipu. Tepuk dada tanya akal.

Terlibat dengan rasis: Presiden Cuepacs tidak matang?

Muhammad Faizal, 23 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS, Anuar Tahir menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman mengenai isu Air Asia sebagai tidak matang.


(Presiden Cuepacs dengan PM)

Jelasnya, sebagai seorang presiden yang mewakili pekerja-pekerja awam, beliau sepatutnya berfikir sebagai seorang yang lebih terpelajar dan bukannya terpengaruh dengan hasutan orang lain.

Beliau mengulas kenyataan Omar yang menggesa kakitangan awam seluruh negara memboikot perkhidmatan AirAsia ataupun menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai pilihan terakhir untuk ke mana-mana destinasi.

Gesaan Omar disiarkan oleh Utusan Malaysia yang sedang berperang dengan Air Asia ekoran satu kritikan CEO Air Asia-X terhadap akhbar Umno itu.

Utusan menjadikan kes seorang penumpang wanita Air Asia dengan anaknya yang terkandas di Vietnam sebagai senjata untuk menyerang syarikat penerbangan tambang murah yang berasal dari negara ini itu.

"Hanya kerana satu kritikan terbuka yang dilemparkan terhadap Utusan Malaysia, seorang Presiden Cuepacs telah mengeluarkan satu kenyataan yang tidak matang jika dibandingkan dengan jawatannya.

"Sebagai seorang presiden yang membela nasib pekerja awam, beliau perlu berhati-hati dengan setiap kenyataan, apakah beliau tidak berfikir nasib ribuan pekerja-pekerja AirAsia jika kerugian berlaku apabila saranan beliau itu disambut oleh kakitangan kerajaan mahupun pihak kerajaan sendiri," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Sementara itu bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Syed Shahir Syed Mohamud memberitahu kenyataan yang dibuat oleh Omar itu sebagai tidak tepat.

Katanya lagi, kalau sesuatu perkara itu melibatkan hal kebajikan pekerja walaupun mereka merupakan kakitangan swasta, Presiden Cuepacs boleh campur tangan kerana isu pekerja adalah berkaitan dengannya.

Namun jika hanya melibatkan satu kenyataan yang mengkritik sebuah akhbar yang betul-betul rasis, kenyataan yang disiarkan itu tidak tepat sama sekali.

"Saya merasakan sebagai seorang presiden, Omar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian dan ia tidak kena pada tempat dan jawatan yang beliau pegang sekarang.

"Jika AirAsia itu mengabaikan kebajikan pekerja ataupun mempunyai hubungan dengan negara Israel kita boleh mengarahkan boikot tetapi jika disebabkan oleh kenyataan mahupun kritikan sehingga mengeluarkan arahan boikot, itu tidak tepat.

"Omar perlu bijak dalam setiap kenyataan yang ingin dikeluarkan dan kita tidak mahu sebuah agensi yang mewakili kakitangan awam dipandang serong oleh seluruh rakyat negara ini," jelas beliau.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia-X, Azran Rosman Rani dalam laman Face Booknya mendakwa Utusan bersikap rasis apabila menerbitkan tajuk akhbar  muka depannya yang berbunyi “Apa Lagi Cina Mahu?”.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya menjelaskan Presiden Cuepacs itu sepatutnya berkelakuan sebagai seorang Presiden Cuepacs untuk semua dan tidak mengambil bahagian dalam tindakan perkauman Utusan Malaysia atau Umno.

Jelasnya lagi, ternyata Omar telah terlupa bahawa ada penjawat awam Melayu yang tidak rasis dan ada juga warga bukan Melayu di dalam perkhidmatan awam.

"Datuk Omar telah menyertai Utusan Malaysia dalam menyeru supaya Air Asia dan Air Asia-X diboikot, dengan menyatakan bahawa kuasa 1.4 juta penjawat awam boleh memberi kesan terhadap Air Asia, terutamanya di musim cuti sekolah.

"Cuepacs sangat-sangat salah apabila ia menyertai usaha boikot Utusan Malaysia terhadap Air Asia dan Air Asia X kerana Cuepacs tidak sepatutnya menjadi pertubuhan yang bersifat perkauman tetapi berkhidmat kepada semua penjawat awam di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," kata beliau.

Wahai anakku

Tuan Ibrahim Tuan Man, 23 Mei 2013

Wahai anakku,
Seorang ibu adalah segalanya bagi anak. Ia mengatasi kasih sayangmu kepada ayahmu. Ia berada hanya dua langkah di belakang Allah dan Rasul. Ketahuilah bahawa Allah meredhaimu bilamana ibubapamu meredhaimu, dan Ia akan murka bilamana ibubapamu murka kepada-mu. Kerana itu, janganlah engkau memandang remeh terhadap kemarahan ibubapamu. Ketahuilah wahai anakku, cukuplah bagi seorang anak tidak dapat mengucap kalimah syahadah di saat nazaknya, hanya kerana ibunya berkecil hati dengannya.

Wahai anakku,
Aku sangat mengharap agar ibubapa sentiasa memaafkan kesalahan anak-anaknya, dan membuang jauh perasaan kecil hati terhadap kecuaian anak-anaknya. Untuk itu, sentiasalah engkau memohon kemaafan kepada keduanya, sama ada engkau bersalah atau tidak. Kemaafan terhadap ibubapa bukanlah kerana kesalahan dan dosamu kepada mereka, tetapi kerana kamu adalah anak dan mereka ibubapamu.

Wahai anakku,
Di saat kamu membesar dengan kenakalanmu, ibubapamu sentiasa mendoakan kejayaaanmu, sehingga ia sanggup berlapar demi kekenyangan-mu. Mereka sanggup berjaga malam dengan kesakitanmu dan mereka akan berusaha memenuhi kehendakmu. Alangkah besarnya pengorbanan mereka kepadamu. Mereka berkorban bukan mengharapkan balasan pemberianmu, atau menuntut sebarang balasan di waktu tua mereka. Kerana kamu akan memahami tanggungjawabmu terhadap mereka di saat itu.

Wahai anakku,
Masa terus berlalu dan kamu dibesar dengan penuh kasih sayang, didikan dan harapan. Kenakalanmu sewaktu kecil mengundang rasa gembira mereka melihatmu, berjalan jatuh, berlatih, berlari-lari dan gelak ketawa. Alangkah indahnya di saat itu. Suasana itu akan hanya dirasai oleh kamu bila mana kamu mempunyai anak nanti.

Wahai anakku,
Di saat kamu mulai mengenal dunia dan kawan-kawan, kamu bermain dan bergurau kamu dimarahi dan ditegur bahkan terkadang kamu dipukul. Sedarlah bahawa semua itu dibuat kerana sayangnya kedua ibubapamu kepadamu. Dia ingin kamu menjadi insan bertaqwa, beriman, berjaya dalam kehidupan sebagai hamba Allah. Engkau perlu belajar dan memahami bahawa betapa kemarahan dan teguran kedua ibubapamu kerana sayang mereka kepadamu. Jangan sesekali kamu memahami ia membencimu dengan kemarahan dan tegurannya.

Wahai anakku.
Kamu semakin dewasa menempuh alam yang penuh mencabar. Kamu membesar sebagai remaja yang mulai punya kenalan yang ramai, kawan pelbagai. Jenis dan perangai, bacaan yang pelbagai, dunia tanpa sempadan. Cabaranmu sangat menakutkan ibubapamu. Mereka bimbang engkau tersalah jalan hidup yang terus terjerumus ke lembah kerosakan, yang membawa engkau durhaka terhadap Allah. Mereka bimbang engkau mengabaikan sembahyang, mereka bimbang engkau terlibat dengan pergaulan bebas, mereka bimbang engkau terjerumus dengan dadah, dan seribu satu kebimbangan lagi.

Lantaran itu, wahai anakku, ketiadaan kamu merungsingkan filiran mereka. Adanya kamu di hadapan mata mereka sangat menyenangkan mereka. Maaflah mereka seandainya kebimbangan itu menyebabkan kamu tidak bebas, kamu rasa terkongkong, dan kamu rasa rimas. Nanti bilamana kamu ada anak, kamu akan merasainya.

Wahai anakku,
Hidup ini sangat singkat untuk kamu durhaka kepada Allah. Maka sentiasalah engkau memohon kekuatan dari Tuhanmu dalam menempuh hidup yang penuh mencabar ini.

Salam sayang.

Senyum.

Cadangan boikot Air Asia, bagus juga...

Syed Abdullah Jamalullail, Ampangan,
Berbagai pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia dan pertubuhan PERKASA minta supaya rakyat Malaysia memboikot Air Asia dan mengambil MAS atau Fire Fly sebagai alternatif bagi penerbangan sama ada keluar negara atau pun domestik kerana sikap Pegawai Air Asia yang tidak profesional dimata mereka serta tidak menghormati pelanggan.

Pada saya lainlah untuk memboikot Utusan begitu enteng sekali kerana ada akhbar yang lagi murah daripada harga Utusan itu sendiri dengan berita yang lebih profesional penyampaiannya lebih jauh tepat dan padat.

Ada kebenarannya dan saya yang kerap juga menggunakan perkhidmatan tambang murah ini sama ada bagi penerbangan domestik atau keluar negara begitu teruja sekali menaiki penerbangan Air Asia walaupun kurang selesa dari segi tempat duduknya dan layanan bukanlah saperti MAS sediakan itu.

Tetapi disebabkan tambang yang begitu murah yang kadangkala tidak pun sampai mencecah RM100 untuk pergi dan balik kedestinasi tertentu apabila ditawarkan pada hari-hari tertentu itu memanglah tidak mampu untuk kita menolaknya malahan seluruh keluarga pula boleh dibawa bersama untuk makan angin lebih-lebih lagi semasa cuti persekolahan.

Ingin saya bertanya mereka yang mencadangkan supaya memboikotkan Air Asia ini, pertamanya bolehkah MAS atau Fire Fly memberikan tambang semurah Air Asia tawarkan? kedua bolehkah pihak MAS mengadakan pakej tambang murah termasuk penginapannya sekali dengan harga yang semua rakyat Malaysia mampu merasakan pakej sedemikian? dan persoalan ketiga apa untungnya memboikot Air Asia ini sedangkan kami yang berpendapatan hanya layak untuk menaiki keenderaan awam saperti bas awam dan LRT atau Komuter untuk berjalan kesana sini didalam negara itu sendiri?

Diharap sangatlah supaya pihak Utusan yang begitu rapat dengan pemerintah ini mengesa syarikat MAS yang sahamnya itu serta segala pentadbirannya juga diawasi oleh Kerajaan agar menurunkan harga tiket penerbangannya sebagaimana Air Asia lakukan.

Biarlah tiada nasi lemak istimewa percuma atau burger percuma asalkan tambangnya murah mendadak dan untuk itu berdiri didalam kapal terbang pun kami sanggup kerana kami terbiasa berdiri didalam bas dan Komuter berjam-jam lamanya.Apa yang kami mahu janji murah dan termampu untuk terbang.

Oleh yang demikian diharap mana-mana kakitangan atau ahli-ahli apa juga syarikat dan NGO yang mewar-warkan pemboikotan begitu bersemangat begitu sekali itu benar-benar mengotakan kata-kata mereka yang tidak akan menaiki pesawat Air Asia.Kami akan sentiasa memerhatikan anda.

Saya bukanlah menyokong kepada mana-mana pihak tetapi apa yang logik dan ianya memudahkan serta menguntungkan kami sebagai rakyat berpendapatan rendah saperti kami ini dan itulah yang kami pilih.Mungkin itulah sebabnya syarikat MAS terlalu perlahan dan ketinggalan jauh dibelakang kerana semuanya mahal.Dalam pada itu minta sedikit komen daripada Menteri yang bertanggungjawab serta juga mohon komen Tan Sri Rafidah Aziz sebagai salah seorang Pegawai Eksekutif Kanan dan juga sebagai Penasihat Air Asia itu sendiri.

Dalam pada itu sebagai semangat 1Malaysia juga dicadangkan supaya menggesa TV swasta berbayar Astro dapat menurunkan harga pakejnya sekurang-kurangnya separuh apa yang terpaksa dibayar terutama sekali apabila disabitkan dengan siaran langsung bola sepak diperingkat antarabangsa kerana apabila kita ingin melanggan saluran sukan dimana kita terpaksa mengambil atau menambahkan lain-lain rancangan saluran yang lain yang kami tidak meminatinya langsung itu terpaksa membayar kadangkala mencecah ratusan ringgit juga.

Tidakkah boleh diberikan lesen lagi untuk menyaingi syarikat Astro ini kerana apabila hanya ada satu sahaja lesen untuk mengendalikan TV berbayar ini maka terjadilah apa yang dikatakan sebagai memonopolikan harga sesuka hati mereka sahaja.Kalaulah dikeluarkan khas lagi satu syarikat untuk lesen bagi saluran sukan sahaja alangkah baiknya.

Kes Adam disebut semula 2 Julai, ikat jamin RM5,000

Muhammad Faizal, 23 Mei 2013


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini membebaskan Adam Adli Abdul Halim dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian setelah aktivis mahasiswa itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui ucapannya pada 13 Mei lalu.

Mahkamah juga membuat keputusan kes tersebut akan disebut semula pada 2 Julai depan.

Adam, 24, dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Beliau yang diwakili peguam S Ambiga sebelum ini ditahan selama lima hari di lokap Balai Polis Jinjang.

Pagi tadi, lebih 50 orang penyokong aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim hadir di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, pagi ini bagi memberi sokongan kepada Adam yang akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Adam telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) C Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu berhubung ucapan beliau pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor 13 Mei lalu.

Adam, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.

Turut hadir peguam N. Surendran, S Ambiga dan juga bapa Adam, Abdul Halim Abdul Hamid.

Pada awalnya keadaan menjadi sedikit kecoh apabila pihak polis tidak membenarkan penyokong Adam Adli memasuki pekarangan lobi mahkamah.

Namun keadaan kembali reda apabila perbincangan dilakukan antara penyokong dengan pihak polis.


Tiada ulasan: