Selasa, 28 Mei 2013

PENJANAMAAN SEMULA BOLEH....BUANG KEBANGSAAN...IKUT QURAN HADIS..PEMIMPIN BENAR2 BERSIH...TAK BERSIH LEBIH BAIK UNDUR DIRI....JIKA TIDAK...PENJENAMAAN BERAPA KALI IA TETAP SAMA

Pemuda Pas mahu penjelasan Shamsul
Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2013
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
SHAH ALAM -  Pemuda Pas mahu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin tampil menjelaskan perkara sebenar berhubung kritikannya terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Timbalan ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penjelasan itu penting bagi menjernihkan keadaan di antara kedua-dua parti itu.

“Kita (Pemuda Pas) masih menunggu penjelasan daripada Shamsul. Saya sendiri pun dapat tahu mengenai perkara itu daripada akhbar sahaja, jadi kaedah terbaik beri peluang beliau jelaskan.

“Jadi saya harap Shamsul bagi respons mengenai perkara itu supaya tidak berlaku salah faham,” katanya, semalam.

Katanya, Pemuda Pas tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu selagi tidak mendengar penjelasan daripada Shamsul.

“Keadaan sekarang masih lagi kelam kabut, jadi saya tidak boleh komen dan mengeluarkan kenyataan. Kita biarkan reda dulu, dan tunggu penjelasan beliau,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil pada 24 Mei lalu dalam persidangan Kongres PKR ke-9 dilaporkan secara lantang mengkritik pimpinan Pas terutama Abdul Hadi atas tindakannya mengeluarkan watikah bertanding calon Pas hingga menyebabkan pertindihan calon.

Sehubungan itu, beberapa Pemuda Pas, antaranya Bendahari Pemuda, Khairil Nizam Khirudin bertindak ke depan dengan mengkritik dan membidas tindakan Shamsul itu yang disifatkannya sebagai cuba berlagak hero.
Kenyataan Shamsul hanya 'teguran biasa'
SITI AISAH HABIRIN
28 Mei 2013
Azmizam Zaman Huri
Azmizam Zaman Huri
SHAH ALAM – Ucapan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika Kongres PKR pada Sabtu lalu disifatkan wajar  bertujuan untuk menasihati semua parti komponen dalam PR agar isu berbangkit dapat diperhalusi dan diperbaiki demi perjuangan masa akan datang.
Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, Shamsul Iskandar menggunakan platform yang betul untuk menyuarakan pandangannya di hadapan ahli kongres dan bukannya membuat kenyataan media secara peribadi.

“Saya berpendapat, ucapan Shamsul itu secara tidak langsung bersikap terbuka dan mahu menegur untuk kebaikan bersama.

“Kita tidak mahu jadi seperti Barisan Nasional (BN) yang tidak berani menegur kepimpinan atasan sebaliknya berharap PR menjadi satu kesatuan yang saling hormat menghormati dan tegur menegur agar pertikaian dapat diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, ketika diminta mengulas laporan muka depan Sinar Harian semalam mengenai kekecewaan Pemuda Pas berkaitan kenyataan Shamsul Iskandar yang didakwa mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Azmizam berkata, tindakan Shamsul Iskandar itu sepatutnya dilihat dari sudut positif dan dijadikan tauladan pada masa akan datang.

“Teguran itu bukan bermaksud AMK tidak suka kepada Abdul Hadi, tetapi jika dilihat beliau yang lebih dahulu telah menegur PKR berkenaan beberapa perkara.

“Jadi isu tegur menegur ini sepatutnya tidak menjadi pertikaian. Ia untuk kebaikan semua parti komponen PR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan parti komponen dalam PR supaya tidak mendabik dada sebaliknya berganding bahu memberi yang terbaik untuk rakyat.

“Kita tidak boleh kata parti A, B atau C yang menyumbang kemenangan pada PRU13 sebaliknya ia adalah bukti semangat rakyat yang memberi sokongan dan percaya kepada PKR, DAP dan Pas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Habullah Mohd Ridzwan berkata, beliau tidak menganggapnya pertikaian antara Shamsul Iskandar dan Bendahari Pas, Khairil Nizam Khirudin sebagai pergaduhan malah ia lebih kepada nasihat menasihati antara satu sama lain.

“Tiada pergaduhan, cuma lontaran rasa hati kedua-dua belah pihak . Insya-Allah ada pendamaiannya nanti.” katanya.
Anwar nafi langgar perjanjian
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
28 Mei 2013
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
PETALING JAYA – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau melanggar perjanjian bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  bagi menghormati keputusan PRU13 seperti yang didedahkan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Anwar turut menyelar tindakan Najib yang tidak menandatangani perjanjian itu dan tidak bersungguh-sungguh mahu melaksanakan apa yang telah dibincangkan bersama Jusuf.

“Najib mengatakan beliau bersetuju tetapi beliau tidak menandatanganinya kerana saya tahu beliau tidak bermaksud untuk melakukan perjanjian itu.

“Sebelum, semasa dan selepas (PRU13) tiada perubahan yang dilakukan,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana bersama isterinya Datin Seri Wan Azizah berhubung penggunaan dakwat kekal, semalam.

Ditanya bagaimana beliau mengetahui Najib tidak menandatangani perjanjian itu, Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Jusuf.

Beliau berkata, perjanjian itu dibuat sebelum penamaan calon 20 April lalu namun tidak ada perjumpaan bersama Najib dilakukan.

“Saya tidak pernah adakan perjumpaan bersama Najib walaupun ada berhubung melalui telefon. Pertemuan antara saya, Jusuf dan Najib diadakan pada waktu yang berlainan.

“Saya berterima kasih di atas inisiatif yang dilakukan beliau (Jusuf), tetapi perkara ini telah diputar belitkan oleh media,” katanya.

Menurut Anwar, beliau bersedia untuk menandatangani perjanjian itu kerana syarat yang dibincangkan bertepatan dengan apa yang diperjuangkan PR selama ini.

“Perkara pertama yang dipersetujui adalah etika berkempen perlu dipatuhi oleh kedua-dua parti lawan, ruang media yang bebas tiada serangan peribadi atau kecaman di media (milik Umno).

“Kedua, PRU yang bebas dan adil dan ketiga apabila kedua-dua faktor tersebut dipatuhi, pihak yang menang perlu hormati dan beri transisi berlaku dalam keadaan aman, terima keputusan dengan
baik, tidak ada unsur dendam dan permusuhan serta harus ada semangat untuk rekonsiliasi iaitu menenteramkan keadaan,” katanya.

Sabtu lalu, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Jusuf mendakwa Anwar telah melanggar perjanjian PRU itu.

Jusuf yang pernah menjadi orang tengah dalam beberapa perjanjian damai sebelum ini termasuk di Thailand dan Sri Lanka berkata, ketua pembangkang itu enggan menerima keputusan PRU13 ketika dihubungi sehari selepas pilihan raya.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, BN berjaya mengekalkan kuasa mereka sekali gus layak membentuk kerajaan apabila menang di 133 kerusi Parlimen manakala PR hanya memenangi 89 kerusi.

Bagaimanapun, parti pembangkang mendakwa berlaku penyelewengan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya sehingga menyebabkan mereka tewas di beberapa buah kerusi.
PR juga dilaporkan akan memfailkan lebih 30 petisyen berhubung salah laku semasa PRU13.
Saifuddin dibawa masuk ke dalam pentadbiran Selangor?
NIZAM ZAIN
28 Mei 2013
Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
SHAH ALAM – Suatu rombakan akan dilakukan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat ini, menurut sumber rapat Pejabat Menteri Besar Selangor.

Ia bagi memberi laluan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab menjaga hubungan politik parti komponen Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

Menurut sumber terbabit, perkara tersebut telah mendapat persetujuan antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu perbincangan minggu lalu.

Perkara tersebut juga kata sumber, antara punca kelewatan senarai Exco Selangor dimuktamadkan sehingga menimbulkan keresahan rakyat selepas PR memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

“Mungkin Rabu akan bincang rombakan kecil itu, Saifuddin akan jaga hal hubungan politik di Selangor serta untuk memantapkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Beliau ditugaskan untuk gerakkan mobilisasi jentera ke kawasan luar bandar bagi mengatasi Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh nak rampas Selangor semula pada PRU14 nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Dalam pada itu katanya, rombakan ini juga bertujuan untuk membuat penambahbaikan terhadap pembangunan infrastuktur dan pelbagai program kebajikan yang masih tertangguh pada penggal lalu dengan membelanjakan rizab negeri yang tersimpan RM2.65 bilion.

“Penggal kali ini Abdul Khalid pun sudah berjanji akan belanjakan wang rizab Selangor untuk gerakkan banyak lagi program kebajikan rakyat,” katanya.

Di samping itu, Saifuddin akan berperanan memberi wajah baru kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya imej negeri ini lebih dikenali sebagai sebuah negeri PR dan bukan lagi kubu kuat BN.

“Bukan saja 're branding' itu kepada kakitangan awam negeri bahkan kalau boleh bangunan kerajaan dan infrastuktur di Selangor pun dicat dengan warna lain, bukan lagi warna biru (BN),” ujarnya.

Selain itu, sumber dalaman itu juga turut memberitahu Abdul Khalid akan mengikut tekanan perwakilan Kongres PKR tempoh hari dengan lebih mendekatkan diri dengan rakyat dan lebih berjiwa politik ekoran banyak kritikan pedas terhadap menteri besar itu pada penggal lalu.
Azizan mula bernafas tanpa bantuan mesin
Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2013
Azizan Abdul Razak
Azizan
GEORGETOWN - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan beransur pulih setelah tidak menggunakan bantuan mesin pernafasan pada sebelah siang.

Bekas setiausaha akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata, Azizan semakin stabil berikutan hanya menggunakan mesin pernafasan pada waktu malam.

“Keadaannya bertambah baik. Bermula 9 pagi kelmarin, beliau hanya guna mesin pernafasan pada sebelah malam. Beliau juga dalam usaha untuk bercakap berikutan suaranya tidak jelas walaupun beliau cuba berulang kali.

“Beliau masih diberi makanan melalui tiub dan dipantau doktor pakar di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP). Buat sementara ini, doktor belum mengesahkan beliau akan dipindahkan wad atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Helmi berkata, Azizan masih menjalani proses mencuci bahagian berkenaan dua hari sekali bagi memastikan luka sembuh dengan baik.

“Beliau masih menjalani proses itu untuk memastikan lukanya betul-betul sembuh tanpa dijangkiti kuman. Beliau kini masih dijaga oleh kedua-dua isteri serta 14 anaknya secara bergilir-gilir.

“Keluarganya masih tidak membenarkan orang awam melawat beliau, mungkin akan dibenarkan apabila kesihatan Azizan benar-benar baik, apa-apa pun saya akan maklumkan nanti. Saya mohon rakyat doakan agar beliau cepat sembuh,” katanya.

Azizan pada 7 Mei lalu menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis.


Penjenamaan BN perlu dilakukan
Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2013
 Dr Zainal Kling
Dr Zainal Kling
SHAH ALAM – Penjenamaan semula BN merupakan tindakan paling sesuai diambil agar parti itu terus mendapat sokongan rakyat, kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara itu berkata, bukan soal BN tidak relevan, sebaliknya imej parti itu yang telah diburuk-burukkan perlu dipulihkan.

Justeru, Zainal berkata BN perlu menjadikan media baru sebagai saluran mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti yang selama ini bersikap defensif.

“Jika BN tidak lagi berkesan dan mempunyai masalah, adalah baik mencari jalan penyelesaian, di mana penjenamaan semula itu lebih penting daripada mereformasi parti daripada memikirkan cadangan BN sebagai parti tunggal yang pastinya tidak diterima oleh ahli parti sendiri.

“Orang Melayu sejak dulu kuasai politik, terutama melalui Umno. Saya yakin majoriti orang Melayu tak akan setuju dengan cadangan ini.

"Bukan soal nostalgia yang akan dipersoalkan, tetapi kelangsungan hidup orang Melayu di negara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, cadangan BN dijadikan parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat parti tunggal bagi mewakili semua suara di bawah satu parti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, juga membuat cadangan supaya pengambilan ahli boleh dibuat terus ke dalam BN, bukan melalui parti komponen.

Menurut Zainal, penjenamaan itu boleh berlaku dengan mengembalikan semua imej parti melalui media baru secara aktif, bukan lagi hanya menguasai media arus perdana yang kurang mendapat sambutan rakyat.

Setiap anggota parti, katanya, perlu memainkan peranan membina semula imej dengan bersikap ofensif, menjawab tuduhan yang dilemparkan lawan.

“DAP dahulu dikatakan parti cauvinis sehingga rakyat benci terhadap DAP. Tetapi dengan menguasai media baru, rakyat menyokong parti itu.

“Justeru, perkara sama juga boleh berlaku kepada BN. Lebih penting, mereka perlu bekerja keras,” katanya.

Katanya, identiti parti itu juga harus difahami.

“Pemimpin perlu amalkan sikap inklusif, di mana apa sahaja dilakukan melibatkan semua kaum,” katanya.

BILA DAH TERDESAK...BOS2 LAH DATANG JANGAN HANTAR WAKIL AJE
SPR sedia bersemuka elak prasangka
Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2013
Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 yang ingin membuat aduan atau mengemukakan bukti berkenaan dakwaan penyelewengan dalam PRU13.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan itu bertujuan mengelak persepsi buruk terhadap suruhanjaya itu yang kononnya gagal menjalankan tanggungjawab dengan
baik.

“Baguslah kalau ada bukti kukuh dengan laporan polis dan sebagainya. Saya sedia berjumpa mereka yang mempunyai bukti ini, mendengar masalah yang mungkin terjadi.

“Dengan cara ini (bersemuka) lebih elok, kita dapat elak prasangka buruk kerana SPR sememangnya ikhlas untuk laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas mengenai tindakan jawatankuasa #siasatPRU13 yang mengemukakan bukti laporan polis yang dibuat pada 9 Mei lalu berhubung kejadian ‘lampu padam’ di Parlimen Kulim Bandar Baharu,
Wan Ahmad berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menyiasat perkara itu.

“Eloklah ada laporan polis biar polis siasat dan kita sentiasa bersedia untuk beri sebarang kerjasama dalam mengetahui keadaan sebenar. Kita ada 26,000 pusat mengundi dan ribuan petugas yang mungkin berlaku kecualian tidak dilaporkan di pihak petugas SPR sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenyataannya sebelum ini adalah berdasarkan laporan 24 jam yang diterima selepas hari pengundian.

“Sebarang kenyataan saya sebelum ini adalah berlandaskan laporan selepas hari pengundian berlaku, kita hubungi petugas kita, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan tiada laporan (lampu padam) diterima.

“Kalau bukan pada sumber ini, kepada siapa kita mahu percaya. Jadi bila ada laporan polis kita minta polis siasat,” katanya.
Semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli meminta SPR menyiasat mengenai laporan polis yang didedahkan beliau dan menjelaskan mengenai berapakah jumlah Borang 10A yang dikeluarkan SPR pada pilihan raya yang lalu.
Menurut Wan Ahmad, setakat ini pihaknya tiada maklumat lengkap berapa jumlah Borang 10A itu dikeluarkan pada PRU13.

“Baguslah kalau sudah ada laporan polis, saya suka tindakan begini biar polis siasat dahulu, saya minta semua pihak bersabar.
“Saya belum terima berapa banyak telah dikeluarkan, kerana ketika ini SPR sedang sibuk menguruskan hal-hal teknikal yang lain termasuk perihal petisyen,” katanya.

Tiada ulasan: