Jumaat, 10 Mei 2013

JANGAN KITA JADI JUARA MEMBUAT KERJA2 TAK BAIK...KITA MENGUMPUL KEMURKAAN ALLAH...AKHIRNYA ALLAH MENGHUKUM ATAS PERBUATAN KITA ITU....DENGAN DIBIARKAN DALAM KESESATAN HINGGA DIHUJUNG NYAWA

Coretan pengundi saluran 3

Pengundi saluran 3,
Saya adalah salah seorang rakyat malaysia dan sudah menunaikan kewajipan mengundi sejak PRU12. Saya juga adalah generasi muda yang dikaitkan dengan generasi IT dan juga selalu mengikuti suasana politik semasa. Facebook, blog, tweeter,dan lain-lain web menjadi maklumat untuk saya nilai dan analisis.

Dahulunya sebelum cukup umur untuk saya mengundi, saya hanya mendapat maklumat daripada TV dan akhbar perdana. Ketika itu Tun Mahathir adalah Perdana Menterinya. Saya sendiri hampir mempercayai setiap berita yang disampaikan. Tetapi setelah saya membesar, timbul kesedaran bahawa adalah tidak adil untuk mengatakan  hanya pembangkan sahaja yang salah. Pemikiran yang rasional akan mengatakan - kenapa tidak dinilai terlebih dahulu maklumat yang ingin disampaikan daripada kedua-dua belah pihak. Kalau di mahkamah sekalipun, hakim tidak terus menjatuhkan hukuman kepada tertuduh dan hanya mendengar serta memihak kepada pendakwa setiap masa, sebaliknya didengari dahulu hujah, alasan serta melihat bukti dari kedua-dua belah pihak.

Begitu juga siaran tv dan akhbar pada hari ini. Walaupun saya tidak begitu arif dalam politik, di situ pun sudah cukup untuk saya menilai ketidakadilan yang berlaku pada hari ini dan era pemerintahan beberapa orang PM terdahulu. Tidak kira apa pun alasan, itulah ketidakadilan yang sentiasa berlaku di hadapan mata. Hal inilah mungkin tidak dapat dinilai dengan betul oleh sebahagian rakyat malaysia terutama orang kampung, pak cik dan mak cik, penjawat awam, dan sesiapa sahaja yang hanya bergantung kepada maklumat daripada melihat TV dan akhbar pro umno. Mereka gagal untuk menilai kezaliman kerajaan terhadap rakyat untuk mendapatkan maklumat yang seadilnya daripada kedua belah pihak.

Saya juga akhirnya sedar bahawa bahawa pemikiran dan pemahaman bahawa Umno itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah Umno adalah sesuatu yang tidak betul. Inilah pemahaman saya yang wujud sejak zaman 90-an lagi. Mana boleh sedemikian? Terpulanglah kepada saya untuk memilih mana-mana parti sekalipun. Hal ini kerana, apabila parti itu yang menang maka dialah yang akan membentuk kerajaan dan mentadbir negara.

Apabila tiba pilihan raya, undilah mana-mana parti yang menjamin masa depan anda. Dan saya tidak pernah dengar, undilah kerajaan BN, kerajaan Pas, kerajaan DAP atau lain-lain kerjaan untuk masa depan anda. Pengundi perlu memilih satu parti atau pakatan sahaja untuk diundi, bukan satu kerajaan untuk diundi. Tetapi itulah yang berlaku di kampung saya ke atas mak cik dan pak cik. Katanya saya tidak mengenang jasa kerajaan. Siapa kerajaan bagi mereka? Umno lah kerajaan,dan kerajaan itulah Umno. Tidak boleh pilih lain dari kerajaan (Umno).

Namun, generasi saya yang kebanyakannya telah celik maklumat telah memilih parti yang mereka sedar dan tahu akan membela masa depan negara. Hanya generasi dahulu yang masih lagi bergantung maklumat daripada media arus perdana yang dikuasai Umno akan menjadikan kerajaan hari ini terus berkuasa.

MB Selangor: PKR kemuka 2 Adun kepada PAS, DAP

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PKR telah mengangkat dua nama dari kalangan Adun parti itu di Selangor kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, PAS dan DAP, menerusi Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Adun Pelabuhan Klang untuk  diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

Beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menyatakan pihaknya amat berbesar hati dan menghormati sokongan PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari PKR.

Husam persoal kenapa Najib tidak di'tendang'

Muhammad Yusri Amin, 10 Mei 2013

(Husam berceramah di kampung di Pasir Tumbuh malam tadi)


KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mempertikaikan kenapa Datuk Seri Najib Razak tidak ‘ditendang’ dari Perdana Menteri  berikutan pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) lebih lemah berbanding Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi dahulu?

Husam yang juga Adun Salor mendakwa dahulu pemimpin Umno ‘tendang’  Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  daripada menjadi Perdana Menteri kerana pencapaian BN yang lemah pada PRU-12.

“Namun hari ini pencapaian Najib lebih lemah dari Pak Lah.  (Oleh itu) kalau dulu Pak Lah ‘ditendang’, kenapa Najib tidak ditendang?” Husam mempersoalkan.

Beliau berceramah pada majlis kesyukuran kemenangan calon PAS Parlimen Kubang Kerian pada PRU-13,  di Pasir Tumboh dekat sini malam tadi.

Turut menyampaikan ceramah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Hadir sama Ahli Parlimen baru Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah, Adun baru Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus dan Adun baru Demit Mumtaz Md Nawi.

Dalam perkembangan berkaitan,  Husam mencadangkan Najib meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Saya bukan sokong Muhyiddin, tetapi bagilah peluang kepada Muhyiddin.

“Ini kerana jelas bahawa tanggungjawab politiknya begitu apabila Najib gagal, dia kenalah serahkan kepada timbalannya," katanya.

Husam mengulas perkembangan semasa ke arah pembentukan Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas PRU-13.

Umum mengetahui pencapaian Datuk Seri Najib adalah jauh lebih rendah daripada pencapaian diperolehi Pak Lah pada PRU-12.

Naib Presiden PAS itu mendakwa undi keseluruhan BN di bawah kepimpinan Najib pada PRU-13,  5 Mei baru-baru ini adalah di bawah 50 peratus.

Pakatan Rakyat (PR) mendapat mejoriti seluruh negara ialah 250,000 lebih daripada BN di mana kerusi  BN kuang tujuh kerusi lagi iaitu daripada 140 kepada  133 kerusi.

Difahamkan, Kabinet baru akan dibentuk Isnin ini.

Dalam perkembangan ini, Husam mendakwa beliau difahamkan, Muhyiddin menuntut supaya dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Justeru, dakwa Husam,  Najib rasa tergugat, bahkan Tun Mahathir sendiri menyebut bahawa dia tidak sangka yang pencapaian Datuk Seri Najib pada PRU-13 lebih lemah berbanding pencapaian Pak Lah pada PRU-12.

Husam mendakwa, dari segi Perlembagaan menurut Tun Mahathir bahawa Datuk Seri Najib adalah sebagai Perdana Menteri, namun dari segi amalan Umno maka terpulanglah kepada Umno sendiri sama ada Umno masih mahukan Datuk Seri Najib atau pun tidak.

Selain itu, Husam turut mengulas laporan dakwaan ‘tsunami Cina’ telah berlaku pda PRU-13.

Husam mendakwa kaum Cina bukan tidak mahu pemimpin Melayu tetapi mereka mahukan pemimpin Melayu yang bersih, kerajaan yang adil dan berjiwa rakyat, dan yang ada kedaulatan undang-undang.

Husam mendakwa itu yang ‘hilang’ dari negara kita sama ada di kalangan orang Cina, Melayu, India dan umumnya.

“Jadi jangan mengaitkan isu ini untuk menjadikan ketegangan kaum sama ada di Terengganu,  Kedah, Kelantan dan lain negeri di Malaysia,” ujarnya.

Azmin tolak khabar angin dia letak jawatan

Harakahdaily, 10 Mei 2013

(Azmin dalam sidang media hari ini)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menolak khabar angin beliau akan meletakkan jawatan dalam PKR atau sebagai anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau juga menegaskan, ia adalah khabar angin yang disebarkan oleh Umno untuk menggoncang Pakatan.

"Jelas ia dimulakan oleh Umno dan BN," kata Azmin dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Menurut Azmin keputusan untuk melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Menteri Besar Selangor hendaklah diambil secara musyawarah.

Menurut Azmin juga, sehingga kini, Adun-adun PKR di Selangor belum lagi dipanggil dan dirunding untuk melantik sesiapa pun sebagai menteri besar.

"Semua keputusan yang diambil dalam mesyuarat itu mesti dilaksanakan," kata Azmin.

Dalam sidang media itu, Azmin menolak andaian PKR adalah parti milik individu dan juga bukan berdasarkan keluarga.

"Setiap kesilapan yang dibuat mesti di tegur untuk kepentingan parti," kata Azmin.

Azmin juga memberitahu, PKR Selangor telah membuat mesyuarat tergempar malam tadi dan membuat cadangan nama untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

"Kita telah menyerahkan surat itu kepada presiden berasaskan mesyuarat itu," kata Azmin.

Azmin dalam sidang media itu berkata, "PAS dan DAP telah membuat keputusan menyerahkan calon menteri besar kepada PKR.

"Oleh itu, PKR akan menentukan siapa akan memilih MB," katanya.

(Untuk rekod, PAS dan DAP memutuskan calon mereka adalah Tan Sri Khalid Ibrahim)

Bagi Azmin, dalam PKR tidak berlaku perbincangan sehinggalah malam tadi apabila rakan-rakannya memanggil sidang tergempar untuk membincangkannya.

Pusat harus henti zalimi rakyat Kelantan - Kadir

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan harus menamatkan hukuman dan kezalimannya terhadap rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah melebihi 20 tahun semata-mata kerana rakyat negeri itu memilih PAS menerajui kerajaan negeri.

Demikian gesaan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Fadzir sebagai respons kepada keputusan PRU13.

“Pakatan Rakyat boleh memainkan peranan untuk memastikan Persekutuan bersikap adil kepada kerajaan PR di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang sesuai dengan semangat sistem federalism yang kita amalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Saya meminta supaya semua pihak menerima baik keputusan rakyat yang telah dibuat pada PRU13 berlalu bukan sahaja bagi Parlimen Malaysia tetapi juga Dewan-Dewan Undangan Negeri.

Walaupun terdapat sedikit kecurigaan di sana sini mengenai ketelusan pemilihan tersebut tetapi ianya bukanlah sebesar yang boleh menafikan kemenangan-kemenangan yang telah diistiharkan. Pihak yang tidak berpuashati masih boleh memohon kepada mahkamah untuk cuba memperbetulkan keadaan.

Saya yakin rakyat sudah jemu dengan politik yang berpanjangan dan saya yakin adalah sebaik-baiknya untuk kita meneruskan kerja kita untuk membangunkan negara dan bangsa.

Keputusan PRU13 tersebut tidak langsung menandakan tamatnya riwayat Pakatan Rakyat. Malah Pakatan Rakyat sendiri telah mendapat sokongan besar dari rakyat (sekitar 51%) dan mereka boleh terus menerus memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat, aktif dan bertanggungjawab.

Semua mengakui memang terdapat berbagai kelemahan di pihak kerajaan seperti rasuah, kronisma, pembaziran yang begitu ketara, ketirisan, ketidakecekapan dan berbagai lagi. Demi untuk masa hadapan, negara, bangsa dan generasi akan datang masalah-masalah pokok ini harus ditentang dan diatasi.

Di sinilah Pakatan Rakyat boleh terus menerus memainkan peranannya secara aktif dan berkesan dan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat yang telah mengundi dalam PRU baru-baru ini.

Di samping itu, Pakatan Rakyat juga harus mengawasi dan memantau agar segala janji-janji Barisan Nasional dalam manifestonya di peringkat Persekutuan dan di peringkat negeri dilaksanakan dengan penuh kejujuran tanpa mengira fahaman politik dan dalam masa sesingkat-singkatnya.

Dalam masa yang sama juga Pakatan Rakyat boleh memainkan peranan untuk memastikan Kerajaan Persekutuan bersikap adil kepada kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang sesuai dengan semangat sistem federalism yang kita amalkan. Khususnya Kerajaan Persekutuan harus menamatkan hukuman dan kezalimannya terhadap rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah melebihi 20 tahun lamanya, semata-mata kerana rakyat negeri itu memilih PAS menerajui kerajaan negeri.

Sertai BN: DAP bukan gila jawatan - Guan Eng

Harakahdaily, 10 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng secara tegas hari ini menyatakan pendirian parti itu menolak pelawaan untuk menyertai BN bagi menyertai kabinet mewakili orang Cina dalam kerajaan.

Menurut beliau, perjuangan DAP adalah untuk kepentingan rakyat bukan untuk jawatan mahupun kepentingan peribadi.

"DAP tidak mempunyai minat untuk menyertai BN bagi jawatan kerana jika kita mahu, kita boleh berbuat demikian ketika  40 tahun lepas.

"Walau bagaimanapun DAP enggan menyertai BN dan berpegang teguh kepada cita-cita kita, prinsip-prinsip dan dasar-dasar negara Malaysia yang lebih adil, bebas dan demokratik," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan agar DAP menyertai Barisan Nasional (BN) untuk memastikan ada perwakilan Cina dalam kerajaan.

Gesaan tersebut dibuat Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sebagai mengulas kenyataan AJK Pusat MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan bahawa DAP boleh mewakili kepentingan masyarakat Cina di peringkat kerajaan persekutuan.

Ini kerana MCA telah membuat keputusan tidak mahu menyertai kerajaan kerana kekalahan teruk mereka akibat ditolah oleh orang Cina pada PRU13 lalu.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, pemimpin DAP bukan jenis gila jawatan, malah sejak sekian lama ramai kalangan pemimpin DAP mengorbankan keistimewaan mereka dan sanggup dipenjarakan dan ditahan kerana memperjuangkan hak rakyat.

"Sebelum panggilan kepada DAP untuk menyertai BN ini, telah terdapat juga panggilan serupa terhadap PAS untuk menyertai BN agar membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno," katnya.

"Semua ini dilakukan apabila Umno terdesak selepas melihat keberanian masyarakat Cina mengundi menentang BN.

"Jelas taktik terbaru BN direka untuk memcahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Mapim bimbang fitnah, perkauman jadi budaya

Mohd Azmi Abdul Hamid, 10 Mei 2013
MAPIM mengecam bibit-bibit budaya fitnah kini semakin jadi pohon budaya yang matang dan mengakar kuat di bumi Malaysia.

Melihat pelbagai lontaran fitnah terutama dalam politik sebelum, ketika dan sesudah PRU 13, kami khuatir budaya fitnah akan kekal menjadi ciri dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Sehingga kini nampaknya fitnah menjadi makanan seharian masyarakat Malaysia apabila media massa turut bersekongkol menyuburkannya sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum.

Kami mengecam semua pihak yang terlibat menyebar fitnah yang tidak menghiraukan akibat yang akan diterima bukan sahaja kepada individu yang difitnah, malah keluarga, organisasi serta seluruh masyarakat akan turut menerima akibat dari bahana fitnah yang berleluasa.

Pihak media massa elektronik , cetakan risalah dan akbar dan pengamal teknologi internet yang pelbagai , nampaknya tidak merasa berdosa menjadi penyebar fitnah , malah turut mencari peluang untuk menambah sensasi fitnah yang disebarkan.

Melihat sahaja kepada begitu banyak kes saman fitnah yang dibawa ke mahkamah sudah cukup mengambarkan betapa budaya fitnah dalam politik di Malaysia adalah satu ciri kekal. Serangan  peribadi nampaknya menjadi strategi kempen politik paling berpengaruh dikalangan pengundi Melayu.

Fitnah politik melalui serangan peribadi dan tipu muslihat dalam pilihanraya menyuburkan budaya fitnah sehingga kini berlanjutan dan telah menimbulkan ketegangan sesama anggota masyarakat yang saling menuduh antara individu , dalam dan antara parti politik.

Lebih merbahaya lagi bila fitnah menyebar  dalam perhubungan antara kaum. Ia melibatkan pemimpin kaum saling menuduh yang berbaur perkauman yang bakal mencetus ketegangan yang tidak akan terkawal.

MAPIM menegaskan bahawa generasi masa depan akan menghadapi risiko hidup dalam keadaan tidak aman akibat nafsu ahli politik masa kini yang tidak menghiraukan akibat yang bakal ditanggung sehingga bergenerasi.

Kami kesal budaya fitnah seks juga tidak lagi dilihat jijik malah dijaja diseluruh masyarakat kampung dikalangan orang Melayu untuk meraih undi sehingga masyarakat kini hidup dengan bahan fitnah , pagi , petang dan malam.

Lebih kesal lagi ialah permusuhan politik antara kepimpimpinan negara maseh tergamak mengungkit tuduhan seks ke atas lawan walapun telah diputuskan di mahkamah.

MAPIM mengingatkan jika ahli agama juga turut tidak bertegas membentaras fitnah , tidak akan ada lagi benteng mempertahankan maruah masyarakat Malaysia. Kami kesal ada juga ahli agama turut terlibat mengiakan fitnah walhal jelas ia dilarang oleh agama. Natijah yang lebih parah ialah bila kelahiran ciri fasiq dan individu munafiq berleluasa dalam masyarakat dikalangan umat Islam sendiri yang akan mengundang bala dan azab Allah S.W.T.

Pihak agensi awam yang bertanggungjawab mengawal agar unsur hasutan yang ujud dalam fitnah yang tersebar samada ada dalam media cetak atau elektronik  juga tidak bersungguh bertindak apabila ia melibatkan pihak yang yang pro pemerintah.

Kami menegaskan budaya fitnah politik  bertujuan mengekalkan kuasa atau merebut jawatan bakal menghancurkan bukan sahaja perhubungan antara masyarakat malah akan membinasa seluruh negara .


*Penulis adalah Presiden MAPIM

Tiada ulasan: