Rabu, 29 Mei 2013

AMBIK ENGKAU...MACAM TAK TAHU DASAR YANG SELAMA INI DIGUNA PAKAI

Yang pertama datang MIC, yang pertama ziarah Umno - Nasrudin

Harakahdaily, 29 Mei 2013


(Laporan Utusan hari ini yang mendakwa Nasrudin pilih kasih)


TEMERLOH: Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hasan memberitahu, orang yang pertama datang meminta bantuan dari beliau adalah seorang ahlu MIC manakala orang yang pertama beliau ziarahi adalah penyokong Umno.

Beliau mengulas demonstrasi yang dibuat Umno dengan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Megat Segama, Mohd Nordin Mohd Sham yang mendakwa bantuan hanya beliau berikan kepada ahli PAS dan PKR dan penduduk yang tidak menyokong diketepikan.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan  satu demo yang mendakwa kononnya ahli parlimen Temerloh yang baru Ustaz Nasrudin Hassan, pilih kasih dalam membantu mangsa ribut pada 15 Mei yang lalu.

Nasrudin berkata beliau berlapang dada dan hati terbuka terhadap aneka ragam rakyat mengekspresi sikap dan suara mereka.

“Saya sambut dan layan mereka dengan kasih dan sayang kerana saya adalah pemimpin mereka. Jika dakwaan mereka benar, boleh datang ke Pejabat PAS Kawasan Temerloh [buat sementara waktu sebelum Pusat Komuniti Parlimen Temerloh siap dalam tempoh sebulan ini] untuk mengemukakan aduan atau laporan dan pihak kami akan pastikan laporan itu benar dan layak menerima bantuan, maka saya akan usahakan untuk membantu sedaya mungkin,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Nasrudin berkata sejak beliau menjadi ahli parlimen Temerloh, beliau tidak pernah memilih dalam memberi bantuan kepada sesiapa yang memintanya.

Bahkan dalam 14 hari yang pertama, orang pertama yang berjumpa Nasrudin ialah penyokong MIC.

"Saya hulurkan bantuan. Orang pertama saya ziarah mangsa ribut dan menghulurkan bantuan ialah penyokong Umno. Dalam tempoh itu juga, sekitar 50 buah rumah telah saya sendiri menziarahinya dan menghulurkan bantuan kemanusiaan sementara sebahagiannya saya hulurkan bantuan menerusi PAS Kawasan Temerloh yang mewakili saya,” terang beliau.

Nasrudin (gambar) berkata bahawa beliau tidak suka untuk membangkitkan perkara ini, tapi terpaksa untuk memberi pencerahan kepada mereka yang melemparkan tuduhan kepadanya.

“Walaubagaimana pun saya ucap terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia yang menyiarkan perkara ini dan terima kasih jua saya ucapkan kepada penganjur himpunan aman bagi menyatakan bantahan dan suara mereka terhadap saya,” kata beliau.

Pihak Harakahdaily boleh menjadi saksi kepada kenyataan Nasrudin, bahawa beliau terpaksa "merayau" ke serata ceruk mencari sumbangan orang ramai dan para dermawan untuk membantu insan yang memerlukan di Parlimen Temerloh sejak memenangi pilihanraya 5 Mei yang lalu.

“Keadaan ini berlaku ekoran tradisi pemerintahan Barisan Nasional tidak memberi peruntukan pembangunan dan kebajikan parlimen kepada MP bukan pemerintah,” kata Nasrudin.

Ekoran itu, Nasrudin hari ini menyarankan kepada penganjur himpunan aman itu dan Pengerusi JKKK Megat Segama supaya mengadakan sekali lagi himpunan aman yang serupa untuk mendesak kerajaan Barisan Nasional memberikan geran peruntukan wajib bagi pembangunan dan kebajikan rakyat Temerloh walaupun Ahli Parlimennya bukan dari Barisan Nasional.

“Hormati pilihan rakyat dan jangan pilih kasih dan mendiskriminasikan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat justeru hakikatnya ini adalah penderaan ke atas rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen bukan pemerintah. Jadilah sebuah kerajaan yang adil dan matang.

"Malah mereka juga mesti mendesak pihak kerajaan Barisan Nasional membela nasib mereka yang terbiar dan hidup dalam kedaifan pula tertekan dalam isu perumahan Sri Kemuning yang tidak selesai sejak sekian lama,” terang beliau lagi.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat itu, beliau telah memanjat tangga di 6 blok rumah pangsa Sri Kemuning untuk meninjau kerosakan yang dialami oleh penduduk di situ dan menghulurkan bantuan.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk di situ bahawa inilah Ahli Parlimen pertama yang sudi datang menziarahi kehidupan kami yang sangat daif dan terbiar di blok - blok rumah pangsa yang uzur di Sri Kemuning.

"Sekian lama mereka diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri Pahang malah mereka luahkan keresahan berikutan ada tekanan supaya mereka keluar dari blok kediaman mereka kini.

"Saya berjanji tiada pilih kasih dan tiada ketidakadilan dalam kepimpinan saya buat seluruh rakyat Temerloh sekali pun terhadap mereka yang tidak menyokong Pakatan Rakyat,” tegas Nasrudin yang memetik Surah al-Maaidah: 8 sebagai pegangan prinsipnya.

Surah al Maaidah : 8 berbunyi:
"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. "

Kepada para dermawan dan warga prihatin boleh bantu kami Sekretariat Parlimen Temerloh untuk berbakti kepada rakyat yang memerlukan. Salur kepada :

Maybank Islamic
5560 5720 3711
Tabung Prihatin Rakyat

dan kemudian sms "Temerloh_nilai" ke nombor : 019 3000 088

Semua Exco PKR dan Speaker Selangor adalah wanita

Harakahdaily, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga Exco Selangor dari PKR adalah wanita manakala Speaker Dun Selangor yang baru juga seorang wanita.


(Hannah Yeoh....bakal Speaker DUN Selangor menurut Dr Halimah Ali)

Menurut bekas Exco Selangor yang juga Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali di dalam blognya, ketiga-tiga wakil PKR yang bakal dilantik sebagai Exco ialah bekas Exco Rodziah Ismail (Batu Tiga), bekas Exco Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa).

Selain beliau (Dr Halimah) yang juga dikekalkan sebagai Exco penggal ini, wakil daripada PAS terdiri daripada Sallehen Mukhyi (Sabak), Iskandar Samad (Chempaka), Dr Ahmad Yunus (Sijangkang).

(Senarai Exco baru Selangor yang disiarkan Dr Halimah dalam blognya)


Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Cheng Khim pula mewakili DAP bersama Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan) dan Ganabathirau Veraman (Kota Alam Shah).

Menurutnya, upacara mengangkat sumpah serta akujanji akan berlangsung di Istana Alam Shah Klang jam 9.00 pagi esok.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeo Tseow Suan dijangka akan dilantik sebagai Yang Dipertua DUN atau Speaker.

Sebelum ini, Speaker adalah Teng Chan Khim yang kini akan dilantik sebagai Exco.

Kelantan tingkat sektor pelancongan jana ekonomi

Rizal Tahir, 29 Mei 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan menjadikan sektor perlancongan sebagai hasil pendapatan negeri yang utama negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, industri perlancongan di negeri ini akan dipertingkatkan untuk menjadi sektor berkenaan bagi menjana ekonomi.

“Pada penggal ini kerajaan negeri akan mempertingkatkan industri perlancongan di Kelantan supaya pelancong akan masuk dan income lebih berganda.

“Kita mengambil pengalaman di Sabah, sebelum ini mereka bergantung kepada hasil balak, tetapi kini industri perlancongan di negeri berkenaan adalah penyumbang utama ekonomi negeri itu,” ujarnya selepas mesyuarat exco, hari ini.

Menurutnya lagi, sehingga kini hasil dari industri pembalakan masih lagi menjadi penyumbang utama ekonomi negeri Kelantan.

“Oleh itu, untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada balak, maka industri perlancongan akan dipergiatkan,” ujarnya lagi.

Selain perlancongan, kerajaan negeri akan cuba untuk menambah hasil pendapatan melalui sumber asli dan mineral.

“Seperti kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar, bermula dari penggal ini, kita akan memberi tender dan bukan lagi permohonan-perhohonan biasa,” tegasnya.

Katanya, dengan kaedah tender ini akan memberikan hasil yang lebih kepada kerajaan negeri.

Petronas: Jangan tunggu rakyat marah baru hendak berubah

Hazayani Zakaria, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyarankan audit dilakukan terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus tadbir Petronas yang dilihat semakin tidak jelas hala tujunya.

Institut kajian dasar yang mempromosikan tatakelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggungjawab, Revenue Watch Institute (RWI), meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46 peratus dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara.

Kedudukan itu dikeluarkan dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) bagi tahun 2013.

Kedudukan ini jauh lebih rendah dari negara-negara jiran seperti Timor Leste, (13), Filipina (23), dan Indonesia (14).

Malah Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi iaitu di tempat ke 26.

Pada 2010, Malaysia memperoleh markah sebanyak 48.4 peratus dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparency International (TI).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat berkaitan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperoleh serta tidak jelas.

"Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petrnas membelanjakan kira-kira RM35 hingga 40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya.

"Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan.

"Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah," katanya pada sidang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Beliau juga berkata, maklumat tentang kriteria-kriteria yang diguna pakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas.

"Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulit jelasa memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini.

"Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas," kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Kontrak Petronas berlegar di kalangan kroni

Selain itu, Dzulkifly juga mempersoal tindakan Petronas yang mengagihkan kontrak kepada syarikat kroni sahaja seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi.

Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula katanya, kontrak dibolot oleh syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean yang diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas.

"Sehingga dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Datuk Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini," katanya lagi.

Petronas juga memperkenalkan konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil yang dipanggil Risk Service Contract (RSC).

Pemenang-pemenang kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat yang sama iaitu SapuraKencana, Dialog, Petra dan sebagainya.

Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenang kurang jelas.

"PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyal Bubu di perairan Terengganu dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat kroni yang dinamakan.

"Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding terus," katanya.

Selangor perlu fokus kepada Anjung Utara

Laporan khas Salmiyah Harun, 29 Mei 2013


(Warna biru yang dikuasai BN di Selangor)


KEGAGALAN Pakatan Rakyat untuk menang lima kerusi parlimen di utara Selangor  dalam PRU13 pada 5 Mei lalu seharusnya diberi perhatian serius oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk penggal kedua ini.

PRU lalu BN menang bergaya di lima kerusi berkenaan iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Kesemuanya berada di utara Selangor dan di kawasan pengundi Melayu.

Kerusi parlimen Kuala Selangor yang disandang oleh PAS turut dirampas semula oleh BN dalam PRU lalu.

Walaupun Pakatan Rakyat  terus mentadbir negeri ini dengan memenangi 44 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun, kehilangan lima kerusi itu harus dikaji mengapa ianya tidak menjadi milik Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lepas.

Kehilangan lima kerusi itu, sebagaimana dijangka oleh sesetengah pihak kerana sebab-sebab tertentu antaranya projek-projek pembangunan yang dijalankan kerajaan Pakatan Rakyat pada penggal pertama belum menyeluruh.

Antara yang jelas masalah projek terbengkalai merupakan isu utama yang sering dibangkitkan penduduk sehingga daerah ini dikatakan sinonim dengan pembangunan terbengkalai.

Kesan buruk pembangunan itu bermula sejak zaman pemerintahan BN lagi dan rakyat mahu agar peralihan kuasa di peringkat negeri mampu membawa perubahan.

Malangnya, hampir sepenggal penguasaan Pakatan Rakyat di Selangor, tiada sebarang perubahan membanggakan dapat dipersembahkan kepada rakyat di kawasan ini.


(Bukit Beruntung yang tidak untung)

Terdapat sebanyak 11 projek terbengkalai di sekitar Hulu Selangor melibatkan kawasan di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin, Batang Kali, Serendah, Rasa, Kerling, Hulu Bernam, Rawang dan Sungai Choh.

Rekod tersebut turut menunjukkan jumlah keseluruhan unit yang terbengkalai adalah 3,832 unit termasuk rumah teres dan teres berkembar, lot banglo dan banglo setingkat, kedai bertingkat dan bangunan pejabat serta bangunan perindustrian.

Pembangunan keseluruhan kawasan tersebut bermula antara 1995 hingga 2006 dan kawasan paling banyak pembinaan terbengkalai adalah Bukit Beruntung dan sekitar Bukit Sentosa serta Lembah Beringin.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim menyedari masalah ini dan berjanji akan menumpukan pembangunan di kawasan luar bandar seperti Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Tanjung Karang pada penggal kedua ini.

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, Khalid berjanji akan memberikan fokus kepada pembangunan luar bandar yang sebelum ini agak terabai. Hasilnya, Pakatan hanya menang di bandar dan kalah di kawasan luar bandar ini.

Langkah ini supaya rakyat di kawasan-kawasan pendalaman tersebut dapat merasa nikmat kekayaan Selangor yang selama ini tertumpu di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam, Klang dan Ampang.

Usaha pembangunan tersebut meliputi pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan bangunan komersial, selain penjanaan industri kecil dan sederhana serta besar bagi membuka lebih banyak peluang  pekerjaan untuk belia.

Dasar pembangunan desa dimulakan pada penggal lalu oleh pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor yang mana objektifnya adalah supaya rakyat luar bandar tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan perumahan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

Antara inisiatif yang dimulakan untuk memenuhi objektif tersebut adalah pembinaan  Projek Rumah Mampu Milik di Sabak Bernam dan lebih banyak pusat komersial di Kuala Selangor.

Dalam Kongres PKR baru-baru ini pula, Khalid Ibrahim (gambar) secara berseloroh menerima teguran yang mengatakan beliau sebelum ini merupakan seorang yang kedekut.

Beliau juga berkata, berdasarkan teguran itu, beliau kini mengambil inisiatif untuk "membelanjakan" wang kerajaan negeri Selangor yang telah disimpan sebelum ini.

"Tuan-tuan kata saya sangat kedekut. Itu bukan duit saya. Tapi saya terima... Saya terima konsep itu. Saya kena belanjakan duit itu lebih baik lagi. Buat apa simpan duit begitu banyak.

"Jadi saya ingin memulakan supaya kawasan perkampungan di desa akan dibangunkan melalui beberapa usaha supaya pendapatan mereka dalam masa tiga tahun akan datang akan bertambah," kata Khalid  dalam ucapan pergulungan Kongres Nasional Keadilan kali ke-9 di Petaling Jaya baru-baru  ini.

Kerajaan negeri bawah pimpinan Khalid telah mengumpulkan sejumlah RM2.6 bilion dalam bentuk rizab.

Jika ini yang hendak dilakukan Khalid bermakna kawasan Anjung Utara inilah yang bakal menjadi sasaran pembangunan Selangor sepanjang penggal lima tahun kedua beliau menjadi MB Selangor.

Sebelum ini, Anjung Utara ini dibangunkan oleh bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib. Sebagai salah seorang Adun di Hulu Selangor (Batang Kali), Muhamad cuba membangunkan kawasan ini.

Maka lahirlah projek Bukit Beruntung dan Lembah Beringin yang termasuk dalam Anjung Utara Selangor ini.

Namun selepas beliau tidak menjadi MB, fokus kepada kawasan ini sudah tidak ada. Hasilnya projek Bukit Beruntung bukan lagi menguntungkan pembeli dan penduduknya bahkan merugikan.

Menjelang PRU 13 lalu, Muhamad menyertai PAS. Antara kesannya, PAS berjaya menambahkan kerusinya dari lapan ke 15 kerusi dalam DUN Selangor.


(TS Muhamad Taib menyertai PAS menjelang PRU 13 lalu...pengalaman beliau tidak wajar dibiarkan begitu sahaja)

Selepas pilihan raya, Muhamad antara tokoh yang faham benar dengan kawasan ini dan kemampuan yang beliau ada perlu dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan Selangor dan rakyatnya.

Penyertai Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail ke dalam kerajaan negeri Selangor juga harus dipergunakan sepenuhnya untuk membangunkan kawasan ini.

Gunalah sepenuhnya bank tanah yang ada hasil pembelian aset Talam oleh kerajaan negeri dan janganlah ia dijeruk sahaja dalam PKNS itu. Sekurang-kurangnya berilah mereka harapan.


Ikuti laporan kedua tentang perkara ini.

Perbahasan MP PAS kali ini berkualiti - Mahfuz

Muhammad Faizal, 29 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkeyakinan penuh ahli-ahli parlimen PAS akan menunjukkan kualiti yang terbaik pada persidangan kali ini apabila perancangan yang teliti dilakukan selain dibantu oleh pakar-pakar dan pemikir.
Beliau ketika ditemui selepas mesyuarat pembahagian tugas ahli-ahli parlimen mengikut kementerian semalam turut memberitahu untuk sesi kali ini, PAS turut menyediakan pakar-pakar dan pemikir yang terdiri dari Pusat Penyelidikan PAS (PPP) yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan juga Pegawai Kajian Parlimen Pemuda (PIKAP).

Selain itu juga dari sudut perundangan akan dibantu oleh Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) dan Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM).

"Kita telah mengadakan mesyuarat bagi memperkenalkan secara terperinci tentang selok belok pada persidangan parlimen serta pembahagian tugas mengikut kementerian yang perlu kepada setiap Ahli Parlimen yang baru dan lama.

"Saya berkeyakinan kita dapat meningkatkan kualiti perbahasan yang terbaik dari setiap Ahli Parlimen apabila PAS menyediakan pakar-pakar pemikir dari PPP, PIKAP, JUHAM dan LUHAM," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut memberitahu walaupun PAS telah menyediakan pakar-pakar pemikir dalam membantu Ahli Parlimen untuk berbahas, namun bagi memastikan keberkesanan perbahasan itu setiap Ahli Parlimen perlu melakukan kajian mereka sendiri.

"Saya telah mengulangi walaupun kita dibantu oleh pasukan pemikir yang menyediakan segala maklumat tetapi itu tidak cukup setiap ahli parlimen itu perlu melakukan kajian mereka sendiri bagi memastikan keberkesanan mereka dalam berbahas.

"Bila kajian dilakukan sendiri mereka boleh menghayati dan memahaminya dengan lebih baik jika dibandingkan dengan sumber yang disediakan," sambung beliau.

Mahfuz yang turut berharap agar Ahli Parlimen baru dapat mengambil bahagian lebih banyak dalam perbahasan sesi parlimen kali ini selain dibantu oleh ahli parlimen sebelum ini, beliau yakin dengan kualiti perbahasan yang baik ditunjukkan akan memberi keyakinan penuh serta kepercayaan rakyat terhadap PAS.

Bagi Jabatan Perdana Menteri akan diwakili oleh tujuh ahli parlimen yang diketui oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang, manakala bagi setiap kementerian akan diwakili oleh dua orang ahli parlimen.

Tiada ulasan: