Selasa, 21 Mei 2013

DR RANI YANG DIKENALI...BUKAN JENIS GILA PANGKAT...MUNGKIN IA AKAN BEGINI..NAK AMBIK...AMBIKLAH...LAGI AKU SENANG...REBUT2 NAK BUAT APA..

Isu Exco Selangor: DAP dan PAS bergaduh?

Khalid Samad, 20 Mei 2013
Maka riuhlah media arus perdana milik BN yang ingin sangat memberikan gambaran bahawa DAP dan PAS sedang bergaduh bagi merebut kerusi exco di Selangor. Dikatakan DAP inginkan empat kerusi exco dan begitu juga PAS! Hakikat sebenarnya, tiada siapa yang sedang berebut apatah lagi sedang bergaduh. Begitu juga isunya tempoh hari berhubung jawatan MB. Cuma ‘rebut’ rekaan mereka sahaja.

Masalah sebenar

Sebenarnya masalahnya terletak pada jumlah kerusi exco yang ada hanya 10. Sedangkan parti-parti dalam PR ada 3. Jumlah kerusi yang dimiliki setiap parti pula lebih kurang sama, berbeza dengan tahun 2008. Pada tahun 2008, apabila PAS hanya memengangi 8 kerusi, DAP 13 dan PKR 15 (pada asal), maka agihan kerusi exco lebih mudah. Jelas siapa patut mendapat lebih dan siapa kurang. Maka dipersetujui pada 2008 PKR mendapat jawatan MB dan 4 exco dan DAP pula 3 exco dan jawatan Speaker. PAS yang mendapat 8 kerusi DUN diberikan 3 kerusi exco, iaitu jumlah yang sebenarnya melebihi nisbah kerusi yang ada pada PAS pada ketika itu. Maka isu agihan diselesaikan tanpa perbincangan panjang.

Kali ini, suasananya agak berbeza. Ketiga-tiga parti mendapat jumlah kerusi yang boleh dikatakan sama. Maka timbul persoalan bagaimana dibahagikan 10 kerusi di antara 3 parti? Mustahil untuk setiap parti memegang 3.333 kerusi exco! Oleh itu pecahannya semestinya 3, 3 dan 4. Oleh itu dipersetujui bahawa parti yang mendapat MB akan mendapat hanya 3 kerusi exco. Begitu juga yang mendapat jawatan Speaker. Parti yang tidak memegang jawatan MB atau Speaker sahaja akan mendapat 4 kerusi exco.

Jawatan MB dan Speaker dibawa masuk dalam perkiraan ini untuk menjadikan jumlahnya keseluruhannya 12 supaya dapat dibahagi 3 dengan tepat. Maka setiap parti dapat 4, termasuk jawatan MB dan Speaker.

Speaker dari DAP atau PAS?

Oleh kerana PKR mendapat jawatan MB, maka PKR mendapat 3 kerusi exco. Maka agihan untuk PKR selesai. Yang tinggal hanyalah PAS dan DAP. Maka dinyatakan oleh DAP bahawa mereka telah memegang jawatan Speaker sudah 5 tahun. Maka kalau boleh DAP minta PAS pula memegang jawatan Speaker untuk penggal ini.

Bagi pimpinan PAS permintaan ini tidak merupakan masalah besar. Kita faham bahawa semua exco perlu laksanakan dasar PR dan bukan dasar parti masing-masing. Ini adalah kerana yang memerintah adalah kerajaan PR dan bukannya kerajaan parti masing-masing. Maka siapa sekalipun menjadi exco, dia akan terikat dengan dasar yang ditetapkan oleh PR secara bersama. Oleh itu tawaran supaya PAS pegang jawatan Speaker dan 3 exco tidak ditolak mentah-mentah.

Jawatan Speaker ada yang anggap tidak penting. Sekiranya benar, mengapa di Perak BN bersusah-payah membawa polis masuk ke dalam DUN dan heret Speaker dan menguncinya di dalam bilik stor? Ini bukti bahawa kerusi Speaker begitu penting untuk menguasai DUN.

Sikap PJ PAS Selangor: Dr Rani

Saya merasa cukup senang dan selesa dengan sikap PJ PAS Negeri Selangor dalam soal sebegini. Beliau faham bahawa bukan jawatan yang ingin direbut. Dan bagi PAS, yang penting adalah untuk memikat hati rakyat, bukan ingin tunjuk betapa gahnya PAS dengan bilangan kerusi exco atau sebaliknya. Maka mencari penyelesaian yang adil sambil mengambil kira suasana dan keadaan adalah yang diutamakan. Ini adalah kerana apa yang diinginkan ialah kerajaan dibentuk dengan kadar segera supaya boleh mula berkhidmat pada rakyat. Bukan bergaduh mengenai jawatan.

Dalam pada itu, tidak dapat tidak perbandingan dibuat dengan PJ Negeri yang lama. Jauh sangat bezanya dengan sikap PJ lama, berkata seorang hamba Allah. Kalau PJ lama sudah hampir pasti kita berperang! 8 kerusi pun mahu jadi MB, apatah lagi dengan 15 kerusi!

Maka dijawab kepada DAP bahawa PAS boleh merima tawaran tersebut, di atas semangat setia-kawan dan mengenangkan betapa DAP menyokong cadangan PAS diberi 3 kerusi exco pada tahun 2008 walaupun PAS hanya berhak untuk mendapat 2 berdasarkan jumlah kerusi ADUN yang dimengangi ketika itu. Tetapi telah pun dijelaskan bahawa akhirnya ianya akan tertakluk juga kepada pandangan DYMM Sultan Selangor.

Pandangan DYMM Sultan Selangor

MB akan mengadap Sultan dan membawa cadangan pembentukan exco seramai 10 orang. Pada masa yang sama, kami difahamkan bahawa DYMM Sultan ingin melihat exco terdiri dari 6 Melayu dan 4 bukan-Melayu. Ini berbeza dengan 2008 di mana exco terdiri dari 5 Melayu dan 5 bukan-Melayu. Perbezaan ini adalah hasil dari jumlah kerusi majoriti Melayu yang memihak pada PR telah bertambah. Dahulu UMNO 18 kerusi, sekarang hanya 12. PAS sendiri pun sudah ada 15, mengatasi UMNO, ini belum di ambil kira lagi kerusi yang ada pada PKR.

Sekiranya permintaan DYMM Sultan adalah 6 Melayu dan 4 bukan-Melayu, maka agak sukar untuk diberikan 4 kerusi exco kepada DAP. Ini kerana, kalau diberikan 4 kerusi exco pada DAP, maka semua exco bukan Melayu adalah dari DAP dan ini akan menyulitkan PKR. PKR terpaksa melantik semua exco Melayu dan ini akan menjadi masalah bagi PKR kerana mereka juga mempunyai ahli dan penyokong bukan-Melayu yang ramai. Dan sepertimana yang kita semua sedia maklum, beberapa ADUN PKR adalah bukan-Melayu. Dalam keadaan seperti itu, maka DAP perlu menerima tawaran jawatan Speaker dan 3 exco supaya 1 exco bukan-Melayu boleh dilantik oleh PKR.

Dalam erti-kata lain, DAP hanya boleh mendapat 4 kerusi exco sekiranya terdapat 5 exco bukan-Melayu. Dalam keadaan itu PKR masih boleh melantik seorang exco bukan-Melayu dari PKR. Sekiranya bukan-Melayu hanya 4 orang dalam exco, maka DAP perlulah merima 3 exco dan Speaker supaya 1 exco bukan Melayu tetap dapat dilantik dari PKR.

Maka dipersetujui bersama bahawa MB akan berusaha untuk mendapat persetujuan DYMM Sultan supaya dikekalkan jumlah exco bukan-Melayu sebagai 5 dan exco Melayu juga 5 supaya DAP boleh mendapat 4 kerusi exco. Walau bagaimanapun, sekiranya DYMM Sultan tetap dengan pendiriannya, maka MB wajar menerimanya dan akur dengan kehendak DYMM Sultan. Sekiranya ini berlaku, maka DAP akan diminta menerima tawaran Speaker dan 3 exco sambil tawaran 4 exco akan diserah kepada PAS.


Kesimpulan

Ini merupakan pertimbangan yang dilakukan dalam suasana persahabatan dan kerjasama yang baik dan mantap sepertimana yang telah terjalin sejak sekian lama. Semua memahami bahawa perjuangan ini bukan untuk jawatan tetapi untuk membentuk kerajaan yang adil, telus dan berkebajikan untuk rakyat negeri Selangor secara khususnya. Isu jumlah kerusi exco tidak dijadikan sebab berbalah. Hanya media BN sahaja yang mereka cerita bagi cuba menutup kepincangan yang berlaku pada PRU13.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Bantah GST, selar keborosan kerajaan BN

., 20 Mei 2013
1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menolak cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang sebelum ini telah menerima bantahan di Parlimen dan seluruh negara sejak 2011. Amat dikesali kerana dengan mandat undi popular sebanyak 47% BN begitu angkuh untuk menghukum rakyat yang majoriti tidak mengundi mereka.

2. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia mampu memperolehi pendapatan negara mencecah sehingga RM27 bilion, jika cadangan cukai barangan dan perkidmatan (GST) dilaksanakan pada kadar 7 peratus, seperti di negara jiran, Singapura amatlah mengejutkan kerana pada 2011 Senator BN ini mencadangkan GST pada kadar 4 peratus sahaja. Dengan kenyataannya baru-baru ini menunjukan Kerajaan BN yang baru ini begitu tamak dan terdesak mengurangkan kadar defisit dengan menaikkan cadangan asal dari 4 peratus kepada 7 peratus iaitu hampir sekali ganda. Malah kadar itu dilihat lebih tinggi dari kadar cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada sebanyak 6 peratus sahaja.

3. Kerajaan BN juga sehingga kini masih gagal menyenaraikan bekalan makanan, barangan komoditi dan perkhidmatan dikatakan mahu dikecualikan dari GST atau sifar cukai. Apa yang pasti apabila cukai ini dikenakan, rakyat sebagai pengguna akhir sebenarnya akan membayar GST sebanyak 28 peratus bagi menampung GST yang ditanggung oleh Pengeluar atau pengilang (7 peratus), Pemborong (7 Peratus), Peruncit (7 peratus) dan GST Pengguna sendiri (7 peratus). Pengguna tidak sedar kerana dalam resit hanya ditunjukkan bil GST 7 peratus sedangkan 21 peratus GST yang dikenakan kepada Pengeluar, pemborong dan peruncit sudah dimasukkan dalam kos kenaikkan harga barang.

4. Alasan bahawa pengenalan GST diimbangi dengan penurunan cukai pendapatan juga tidak relevan kerana kelompok yang membayar cukai pendapatan di negara ini hanya sekitar 10%. Jika dilaksanakan juga, rakyat yang berpendapatan rendah akan menerima kesan paling teruk kerana mereka terpaksa membayar GST sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Ini menyebabkan jurang antara golongan miskin dan kaya di negara ini semakin besar yang akhirnya akan melonjakkan kadar inflasi negara lebih dari 3.5 peratus di masa hadapan.

5. DPPM mengesa Kerajaan BN membatalkan hasrat melaksanakan GST dan juga mengurangkan kadar cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada dari 6 peratus kepada kurang dari 4 peratus.

6. Sebagai langkah meningkatkan kadar pendapatan negara, penguatkuasaan kutipan Cukai Pendapatan perlu dibuat secara telus. Begitu juga kutipan hutang kepada sektor swasta dan korporat khususnya dari kroni-kroni BN wajib dibuat secara jujur. Kita tidak mahu hutang korporat dihapuskan begitu sahaja atas faktor menjaga kepentingan kroni seperti yang Kerajaan BN berikan kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, di mana hutang korporat MAS berjumlah RM589 juta dihapuskan begitu sahaja sedangkan peminjam PTPTN dikejar sampai ada yang disekat ke luar negara dan dibawa ke Mahkamah kerana gagal membayar hutang.

7. Sehingga kini, Kementerian Kewangan juga mengesahkan yang Kerajaan BN masih gagal mengutip hutang korporat dari Kumpulan YTL sebanyak RM53.1 bilion, Kumpulan Tan Sri Syed Mokhtar sebanyak RM 34.3 bilion, UEM Khazanah RM 19 bilion, Kumpulan Genting RM 16.4 bilion, Kumpulan Berjaya RM 8.8 bilion, Axiata Khazanah RM 11.5 bilion dan banyak lagi. Jika hutang-hutang ini dikutip, kerajaan bukan sahaja mendapat RM 27 bilion setahun, malah lebih dari itu dan tidak perlu membebankan rakyat yang berpendapatan rendah dengan melaksanakan GST.

8. Kerajaan BN juga haruslah mengamalkan dasar perbelanjaan berjimat cermat dan tidak berbelanja sesuka hati demi meraih sokongan rakyat. Pendedahan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen sebelum ini, bahawa delegasi Perdana Menteri yang melawat London, New York dan Washington tahun lepas sahaja sudah mencecah RM3 juta! amat mengejutkan rakyat sedangkan anggaran sebenar bagi lawatan di tiga tempat ini hanyalah RM 400 ribu. Jika pembaziran seperti ini di teruskan oleh pemimpin BN, sampai bila pun negara akan terus mengalami belanjawan defisit.

9. DPPM menyeru rakyat dan NGO-NGO bangkit bersatu menolak GST ini bagi menjaga kepentingan semua. Negara kita tidak miskin, tetapi yang memiskinkan negara adalah pemimpin BN yang boros dalam berbelanja dan mengawal kewangan negara.

10. Negara akan bankrap jika BN terus mengamalkan dasar perbelanjaan sebegini dan dalam masa yang sama hutang kroni tidak dikutip dan rakyat pula dibebankan dengan pelbagai cukai baru dan kenaikkan harga barang.

Nasrudin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Mahfuz turun dengar luahan PAS kawasan

Anis Nazri, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar akan turun ke setiap kawasan bagi bertemu ahli akar umbi parti itu untuk mendapatkan maklumbalas berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurutnya, biarpun tarikh belum ditetapkan, ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi mendengar sendiri segala perjalanan dan masalah parti di kawasan-kawasan itu.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Mahfuz berkata pertemuan dengan semua ketua-ketua cawangan di setiap kawasan akan dilakukan, selain mengatur pertemuan dengan setiap dewan-dewan.

"Saya akan aturkan pertemuan di setiap kawasan, dengan menemui setiap cawangan untuk melihat dan mendengar sendiri permasalahan atau apa sahaja luahan mereka.

"Tidak lain dan tidak bukan ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kemantapan parti, selain menjadi medium untuk saya lebih mengetahui perkembangan PAS negeri," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Selain itu, tambah Mahfuz, satu pertemuan tertutup antara anggota perhubungan PAS negeri dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga akan diadakan pada minggu depan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS itu berkata PAS Kedah turut menubuhkan jawatankuasa 'post-mortem' pilihan raya peringkat negeri bagi mengenal pasti punca kekalahan parti itu di Kedah pada PRU13 lalu setelah mentadbirnya selama satu penggal.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan YDP PAS Sg. Petani Sobri Osman manakala timbalannya Dr Hayati Othman yang juga Timbalan YDP PAS Pendang.

Jawatankuasa itu diberi tempoh empat bulan untuk melengkapkan laporan sebelum dibentang dan dibahaskan bersama anggota perhubungan PAS negeri.

"Selepas kita terima laporan, dibentang dan dibahaskan, barulah kita akan membuat tindakan selanjutnya bersesuaian dengan hasil post-mortem itu," tegas beliau.

Kuala Lumpur sudah sedia balik asal – Lau Weng San

Roketkini, 20 Mei 2013
DULU, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertapak di Jalan Duta, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan sekitarnya sebelum pampasan RM200 juta diberi untuk mentransformasi Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974.
Ketika tahun-tahun berakhirnya pemerintahan Tun Mahathir, beliau berjaya memindahkan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya, satu lagi kawasan jajahan milik negeri Selangor yang diserah kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan satu lagi Wilayah Persekutuan.

Sekarang, Kuala Lumpur yang menyaksikan pertemuan dua sungai bersejarah ini sudah pun berusia 39 tahun di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tunku, Lau Weng San, sudah tiba masa yang terbaik bagi Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula pentadbiran Kuala Lumpur kepada Kerajaan Negeri Selangor.

“Pada 1974 Menteri Besar UMNO pada masa itu membuat keputusan untuk menyerah seluruh Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan atas sebab politik dan kononnya kerajaan Persekutuan hendak menaiktaraf  Kuala Lumpur sebagai sebuah “Wilayah Persekutuan”.

“Kuala Lumpur kemudian diletakkan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Weng San, Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah banyak memperlihatkan keburukan pentadbiran dalam beberapa perkara sehingga pernah pada suatu ketika DBKL terpaksa diambil alih oleh Pemudah kononnya untuk “merawat” DBKL.

Masalah yang timbul menurut Weng San adalah disebabkan pemusatan kuasa pentadbiran Kuala Lumpur di tangan Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Keputusan untuk menyerahkan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan dilakukan secara terburu-buru malah rakyat yang mendiami Kuala Lumpur ketika itu juga tidak diberi peluang menyuarakan pandangan mereka,” jelas beliau.

Kini, Kerajaan Persekutuan telah memiliki Putrajaya sebagai pusat pentadbirannya dengan rekabentuk senibina yang gah dan indah.

“Kuala Lumpur ini boleh kita ibaratkan sebagai darah daging negeri Selangor. Kuala Lumpur banyak merakam peristiwa bersejarah jatuh bangun rakyat di Selangor. Tujuan saya mengulangi seruan ini adalah untuk mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa mereka tidak boleh terus mendiamkan diri dalam perkara ini.

“Malahan, Kerajaan Persekutuan harus mengakui peranan Kerajaan Selangor di dalam pembangunan Kuala Lumpur yang mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sepatutnya,” jelas Weng San lagi.

Bagi kita, Kuala Lumpur adalah permata buat negeri Selangor, inilah tempat yang menyaksikan 1,001 sejarah negara terukir, di sinilah bermulanya pencarian jati diri anak-anak seluruh bangsa dari desa dan kota bertemu dan di sinilah letaknya Kampung Baru, sebuah Kampung Melayu terbesar di ibu kota  yang nasibnya makin tidak menentu direbut tangan-tangan sakti yang boleh menggadaikan segalanya.

Pemuda PAS puji keberanian Azran Osman

Harakahdaily, 20 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah memuji keberanian yang ditunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani yang mengkritik secara terbuka akhbar Utusan Malaysia yang disifatkan sebagai akhbar perkauman.

Azran telah menulis  di dalam Facebook beliau bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan anti perkauman serta meluat dengan pendirian pengarang Utusan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, kenyataan Azran itu menandakan golongan menengah tidak lagi boleh ditakutkan oleh Umno BN dengan maklumat sebelah pihak.

"Saya menyanjung tinggi keberanian dan keterbukaan Azran. Sebagai pegawai tinggi sebuah syarikat besar negara, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian, menandakan golongan menengah dan berpendidikan tinggi yang celik maklumat telah berani keluar dari kepompong ketakutan politik yang mencengkam mereka selama ini.

"Beliau adalah ikon golongan koporat yang berani bangkit menyatakan kebenaran. Jika Azran Osman berani mengeluarkan kritikannya, ia bererti ramai lagi golongan korporat, usahawan dan profesional yang menyimpan perasaan yang sama dan meluat dengan tahap media utama negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Persatuan Veteran Umno yang mengarahkan anggotanya supaya memboikot perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia X berikutan kenyataan Azran yang mengkritik Utusan.

Mengulas lanjut Suhaimi berkata, isu sebenar adalah etika Utusan Malaysia yang sudah hilang wibawanya dan jauh tersasar dari landasan kewartawanan sebenar.

Sebagai akhbar nombor satu di negara ini, Utusan Malaysia telah lama hilang punca kerana hanya mengikut telunjuk kuasa politik pemimpin negara.

"Lihatlah faktanya dan sejumlah saman yang dikenakan terhadap akhbar tersebut. Sampai bilakah media di negara ini terus menjadi ‘budak suruhan’ pemimpin negara," soalnya.

Apa yang pelik kata Suhaimi, mengapa Persatuan Veteran Umno pula yang terasa hati atau apakah Veteran Umno mempunyai saham atau akhbar Utusan Malaysia sememangnya milik Umno?

"Jika ia milik kerajaan dan rakyat, sepatutnya terimalah kritikan tersebut dengan besar hati. Usah diperbesarkan dan mengugut untuk boikot Air Asia X hanya semata-mata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut mengkritik sesuatu yang diyakini berlaku. Bukan setakat beliau, jutaan rakyat Malaysia boleh mengesahkan perkara tersebut dan bersetuju dengan kenyataan Azran," kata Suhaimi.

"Jika Utusan Malaysia milik Umno, buatlah kenyataan terbuka bahawa ia adalah hak milik Umno dan terhad hanya untuk ahli-ahli sahaja sebagaimana terhadnya Harakah dan Keadilan kepada ahli partinya sahaja," katanya.

Rumah kakak Muhyiddin dan adik Ketua Polis Negara dirompak?

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 20 Mei 2013

Rumah Kakak Muhyiddin dan Adik Ketua Polis Negara dirompak.. Rugi 300,000?

Malaysia menduduki tangga ke-19 daripada 153 negara sebagai negara paling selamat di dunia dan berada di kedudukan teratas di kalangan negara Asia Tenggara.
Read more »

Tiada ulasan: