Jumaat, 31 Mei 2013

JANGAN KITA JADI JAHAT SANGAT...JADI DENGKI SANGAT...LAH KITA DIATAS...BAGAIMANA KALAU DIBAWAH NANTI

Safwan Anang setuju diikat jamin hari ini

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Aktivis mahasiswa Muhammad Safwan Anang akhirnya bersetuju untuk diikat jamin selepas 3 hari berada di penjara Sungai Buloh sejak 29 Mei lalu.

Safwan yang juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dibebaskan hari ini selepas diikat jamin RM5,000 oleh ahli kelurganya jam 10 pagi tadi.

Beliau sebelum ini antara empat yang dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Selain beliau turut dituduh adalah Naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Mahkamah pada 29 Mei lalu bagaimanapun membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 setiap orang.

Safwan ketika itu memilih untuk dipenjara dan tidak mahu dirinya diikat jamin.

Semalam Harakahdaily difahamkan, isteri Safwan, Mastura Abu Bakar bertemu dengan beliau untuk menasihatkan agar bersetuju untuk diikat jamin.

Mastura yang dipetik Malaysiakini hari ini pula berkata, suaminya pada asalnya, enggan diikat jamin selepas dituduh di bawah akta tersebut.

Bagaimanapun, Mastura berkata, Safwan menukar fikirannya selepas mempertimbang peranan yang boleh dilakukannya di luar penjara sebagai aktivis mahasiswa.

Kejamnya jenayah Nurul Izzah bagi rakyat Sabah

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah dianggap seperti insan yang paling berdosa dan penjenayah paling kejam bagi rakyat Sabah.
Demikian pandangan yang dilontarkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor ekoran Naib Presiden PKR itu dihalang dari memasuki Sabah.

“Seorang ahli parlimen yang mempunyai kuasa menentukan arah tuju dan dasar negara serta boleh meminda perlembagaan melalui sidang parlimen tidak dibenarkan masuk ke salah sebuah negeri dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dihalang dari memasuki negeri Sabah.

Beliau dilaporkan akan dihantar balik oleh imigresen Sabah sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam.

Tindakan ini semestinya menggemparkan negara. Bahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, daripada BN sendiri merasa terkejut denagn tindakan ini dan segera memohon maaf kepada Nurul Izzah dengan menyelar tindakan Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Negeri Sabah adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia. Kebebasan warganegara untuk melancong, merantau dan pergi ke mana-mana sahaja negeri dalam negaranya sepatutnya tidak terbatas pada sesetengah negeri sahaja.

Sabah bukannya sebuah republik atau negara lain yang boleh menentukan siapa yang boleh atau tidak datang ke negaranya.

Selagi warganegara tersebut memiliki kad pengenalan yang sah, tidak mempunyai rekod jenayah serta tidak mempunyai masalah apa-apa dengan kerajaan Malaysia, apa hak Sabah untuk menghalang seseorang warganya untuk datang ke negeri tersebut?

Tatkala pengganas Sulu berjaya menjejak dan mendarat di daerah Lahad Datu, bertapak beberapa minggu sehingga akhirnya mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara, Nurul Izzah pula yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Ahli Parlimen yang sah dinafikan hak untuk sampai ke Sabah.

Seorang ahli parlimen yang mempunyai kuasa menentukan arah tuju dan dasar negara serta boleh meminda perlembagaan melalui sidang parlimen tidak dibenarkan masuk ke salah sebuah negeri dalam negara ini!

Nurul Izzah dianggap seperti insan yang paling berdosa dan penjenayah paling kejam bagi rakyat Sabah.

Mungkin beliau adalah pengganas Sulu yang paling dikehendaki atau individu yang memiliki senjata api dan boleh membunuh rakyat di sana. Kerana itu beliau diharamkan dari menjejak kaki ke negeri tersebut.

Insiden ini menunjukkan ada dendam yang tersimpan dari lubuk hati pemimpin negeri tersebut, maka mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang disenarai hitamkan tidak dibenarkan lagi datang ke Sabah pasca PRU13 kerana ia boleh membawa malapetaka yang besar kepada BN di sana.

Tsunami PRU13 sudah melanda Sabah, dan hampir sahaja ia menenggelamkan ‘deposit tetap’ BN di sana.

Demokrasi hitam yang melanda semenanjung kini telah menjalar jauh sampai ke Borneo, dan Sabah membuktikan bahawa perlunya reformasi keseluruhan dalam sistem pemerintahan negara.

Rakyat wajar bangkit menuntut perubahan dan keadilan untuk  keluar dari penjara demokrasi sempit yang dicipta oleh pemerintahan BN. Kerana itulah juga rakyat Sabah telah telah melaungkan suatu kalimat yang menggetarkan dan bersemangat sebagai tanda kebangkitan rakyat di seluruh negara: Ini kali lah!

SAMM percaya Safwan lebih bersemangat waja

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengalu-alukan dan bersyukur di atas kesudian Safwan Anang menerima tawaran diikat jamin, pagi ini.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, penangkapan Safwan tiga hari lalu di hadapan rumahnya bersama dakwaan menghasut yang dikenakan, disifatkan sebagai satu kezaliman terhadap rakyat Malaysia khususnya mereka yang menyuarakan kebenaran.

Ekoran fiasco penangkapan pimpinan politik dan NGO yang menentang penafian demokrasi telah menyebabkan Safwan Anang bertindak menolak ikat jamin sebagai tanda protes.

“Mengambil kira gerakan anak muda perlu diperhebat di saat getir ini, Safwan Anang perlu berada di hadapan untuk memimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Maka, ujarnya SAMM pagi tadi telah mendahulukan wang jaminan sejumlah RM5,000 untuk pembebasan Safwan Anang dan beliau telah menerimanya.

Beliau berkata, SAMM percaya Safwan Anang yang keluar dari tirai besi itu akan lebih bersemangat waja.

“Semakin kuat rakyat ditekan, semakin kuat rakyat melawan,” ujarnya.

Halang Nurul Izzah malapetaka besar - Bung

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan pejabat Ketua Menteri Sabah menghalang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk memasuki Sabah semalam turut diselar oleh ahli parlimen BN.

Ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menyelar tendakan itu dengan mendakwa satu kesilapan besar dan malapetaka oleh kerajaan negeri Sabah.

“Saya tak faham mengapa Nurul tak dibenarkan memasuki Sabah. Kalau ini benar, satu kesilapan dan malapetaka.

“Saya rasa ini adalah kesilapan yang besar dan perlu diperbetulkan,” kata Bung Mokhtar dalam twitternya.

Semalam Nurul Izzah ditahan oleh imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 7.30 petang.

Beliau kemudian diarah pulang dan tidak dibenarkan memasuki Sabah.

Peneroka: Mana janjimu Umno?

Mazlan Aliman, 31 Mei 2013
Belum ada sebulan selesainya PRU 13, Macam-macam aduan saya terima khususnya dari warga Felda seluruh negara. Ada anak peneroka mengadu, rumah Generasi ke- 2 mereka terbengkalai. Duit dah keluar banyak.


Ada peneroka Palong 6 maklumkan sesi dialog dengan Pegawai Felda dari HQ KL semalam jadi kecoh bila dimaklumkan hutang tanam semula peneroka sudah mencecah RM 80-90 ribu. Ada juga yg merintih baki pendapatan bulanan dah tak sampai RM1,000. Hidup makin susah kata mereka.

Saya tetap simpati pada mereka. Meskipun apa yang di ajukan, telah pun di perjuang dan diperingatkan puluh tahun oleh saya dan rakan-rakan.

Antara tawaran Pakatan Rakyat dalam kempen PRU baru-baru ini ialah menyemak dan memberi subsidi atas hutang peneroka. Diterangkan secara sistematik bagaiamana hutang peneroka boleh dikurangkan. Namun, sesetengah peneroka begitu angkuh mengatakan; ' hutang tu kat pokok, bukannya nampak'. Hutang wajib bayar, berapa pun jumlahnya. Kita makan duit pencen je!, kata peneroka.

Logiknya, jika peneroka lebih yakin dengan BN, kenapa hari ini mereka marah dan mengamuk kepada Felda?
Bayar sajalah berapa pun hutang yg dikenakan!

Bila rumah Generasi ke-2 terbengkalai, panggil semua pemilik-pemilik tapak rumah. Tukar kontraktor. Macamana format rumah asal, sebahagiannya dah buat...

Duit untuk bersihkan tapak dah beberapa kali dibayar. Nak mengaku kena tipu, tidak juga. Tetap BN, demi ketuanan melayu kononnya....

Saya bukan nak pulangkan paku buah keras pada peneroka dan warga Felda akan apa yg mereka rasai selepas PRU 13. Gambaran telah diberikan jika BN terus berkuasa. Nasib FGVH, pekerja-pekerja Felda Plantation, penyelenggaraan kebun dan lain-lain. Hari ini telah jadi kenyataan.

Bila warga Felda mengadu, apa yg ANAK boleh bantu?
ANAK hanya badan NGO, apatah lagi apabila dasar-dasar Felda kekal dengan mandat semula BN; kena bersedia dengan padah yang mula dirasai.

Isa Samad, MP Jempol, Eshanudin MP Kota Tinggi, Azalina MP Pengerang, Halimah Sadique MP Tenggara, Anuar Manap MP Sekijang, Ismail Sabri MP Bera (sekadar beberapa nama). Ini kawasan Parlimen yg banyak Felda.

Warga Felda jumpa mereka, kerana mereka telah berjanji untuk sehidup semati dengan peneroka. Saya yakin dengan slogan janji ditepati, MP BN ini akan bermati matian menyelesaikan apa jua masalah rakyat dalam tempoh yang singkat.

Kalau Ahmad Maslan mula-mula jadi Timbalan Menteri boleh berlakon menoreh getah, tidur rumah peneroka dan tubuhkan Badan Bertindak Peneroka(BAPAK) untuk selesaikan masalah peneroka dalam tempoh 2 minggu; Tok Limah (nama glamour Dato' Halimah Sadique) tentu sedang berkobar-kobar nak tolong rakyat sebab dah jadi Timbalan Menteri. Tak cukup siang, tengah malam pun Tok Limah sedia berbakti....

Saya dan rakan-rakan ANAK tidak kecewa, malah sedang merencana gerakan seterusnya. Cuma terkilan, pakej menarik untuk warga felda ditolak. Ada seorang peneroka kata kat saya, calon BN ni aku tau; kaki judi dan joli sana sini. Akhlak pun teruk. Tapi demi Melayu, aku terpaksa undi dia. Kalau undi PAS, negeri aku nanti jatuh kat Cina!

Alahai bangsaku...

*Penulis adalah Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)

Mengapa pemimpin BN tidak mahu isytihar harta?

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan tahniah di atas perlantikan saf baru kepimpinan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang telah menyempurnakan ikrar dan sumpah setia perkhidmatan di hadapan Sultan Selangor semalam.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan semoga kepimpinan Exco Negeri Selangor yang baru dilantik bersama-sama dengan kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku MB Selangor akan dapat meneruskan kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Selangor sebelum ini,” ujar Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar).

Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan penghargaan di atas komitmen yang telah dinyatakan MB Selangor untuk memastikan ketelusan pentadbiran beliau dengan meneruskan pengisytiharan harta termasuk penambahan harta semua Exco yang baru dilantik dan Exco sedia ada sebelum sidang Dun diadakan.

“Langkah ini adalah penerusan daripada tindakan yang pernah dilakukan semasa sesi awal pentadbiran PR memerintah Selangor selepas pilihanraya tahun 2008,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kata beliau, pihaknya melihat tindakan tersebut telah memberikan satu keyakinan kepada rakyat Selangor bahawa pemimpin PR yang diberikan amanah untuk mentadbir sememangnya terdiri daripada mereka yang mempunyai kredibiliti dan integriti.

Ini, ujarnya bagi memastikan hasil kekayaan negeri tidak menjadi harta pemilikan individu melainkan dikembalikan semula kepada rakyat secara selayaknya.

Beliau berkata, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan tindakan yang cukup bertanggungjawab ini sepatutnya dicontohi oleh Perdana Menteri dan kabinetnya serta seluruh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang baru dilantik sebagai komitmen dan tanggungjawab melaksanakan amanah yang dipikulkan oleh rakyat ke atas bahu mereka dipenuhi secara jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Menurutnya lagi, mereka juga perlu pastikan segala kekayaan hasil mahsul negara dan negeri-negeri dapat dinikmati oleh rakyat secara sepatutnya.

Kata beliau lagi, pihaknya pernah mencabar kerajaan BN sebelum ini untuk melaksanakan tindakan pengisytiharan harta selepas memenangi PRU12 lalu tetapi seperti dijangka mereka sentiasa beralasan untuk tidak mengisytiharkan harta-harta mereka.

Ini, katanya kerana mereka takut dipertikaikan oleh rakayat bagaimana harta boleh berkembang biak berbanding dengan elaun yang sepatutnya diterima oleh mereka.

“Dan juga dalam masa yang sama rakyat sering merintih di atas kesusahan dan keperitan yang ditanggung mereka kerana dasar-dasar yang ditetapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang korup ini,” ujarnya.

Harakah: Belum dijual, sudah dirampas

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri yang merampas akhbar milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS), iaitu Harakah.
"DPPM menganggap tindakan KDN adalah suatu dendam politik kesumat Menteri Dalam Negeri ketika pasca PRU13 dan yang menjadi mangsa adalah akhbar milik PAS," ujar Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tinjauan DPPM mendapati dirampas kebanyakannya di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Justeru, katanya DPPM mempersoalkan syarat-syarat permit yang ketat, tidak rasional serta tidak praktikal oleh KDN dengan menghadkan jualan akhbar tersebut hanya untuk ahli parti dan dijual di premis parti sahaja.

"Sebagai sebuah parti yang berdaftar dan sah di dalam sistem demokrasi di negara ini, PAS berhak memiliki akhbarnya sendiri dan menjual akhbar miliknya di ruang terbuka tanpa sekatan," ujarnya.

Beliau menegaskan, Harakah bukan barang haram yang tidak boleh dijual, ia telah mendapat permit secara sah dari kerajaan dan milik parti yang sah dalam negara ini.

Selain itu, tambah beliau alasan KDN merampas akhbar ialah kononnya ia dijual di tempat terbuka.

Namun begitu, tambah beliau DPPM melihat tidak semestinya apabila ia dijual di tempat terbuka ia tidak boleh dibeli oleh ahli PAS.

Katanya, dengan keahlian PAS berjumlah sejuta orang, bagaimana ahli PAS untuk mendapatkan akhbarnya sendiri jika tidak dijual di pasaran terbuka dan diketahui ramai.

Menurutnya lagi, DPPM juga difahamkan, pihak pengurusan Harakah telah mengikut segala peraturan-peraturan KDN meskipun ia tidak masuk akal, antaranya adalah setiap kedai disediakan satu rak berasingan untuk akhbar Harakah dengan akhbar lain.

"Pihak Harakah telah membelajakan hampir RM70,000 untuk membeli rak di kedai seluruh negara. Itupun KDN masih tidak berpuas hati dan masih mahu merampasnya!" ujarnya.

Beliau berkata, DPPM juga merasa kesal kerana penguatkuasaan KDN tidak mengikut Sistem Prosuder Kerja (SOP), justeru ramai pengedar mengadu sebahagian daripada Harakah dirampas ketika masih belum dipamerkan lagi.

Dalam erti kata lain, ujar beliau kebanyakan naskah masih belum dijual dan masih dalam bungkusan lagi.

Jika demikian, katanya KDN jelas telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh mereka sendiri.

Kesannya, ujar Khairul Faizi jualan Harakah telah merosot sebanyak 10,000 naskah sejak dirampas sebanyak 2 keluaran yang lepas, antara puncanya kerana pengedar dan penjual Harakah ditakut-takutkan dengan tindakan mahkamah serta denda maksimum sebanyak RM5,000.

"Jelaslah tujuannya adalah untuk mencampakkan rasa takut dalam diri pengedar Harakah serta untuk melumpuhkan rangkaian penjualan dan pengedaran Harakah seluruh negara," katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan mengapa KDN tidak pula merampas akhbar nasional yang jelas memaparkan berita fitnah, lucah, berat sebelah serta melanggar etika pemberitaan seolah-olah ia milik BN sahaja.

"Apakah kerana akhbar-akhbar ini menjaga hubungan baik dan pemberitaan mereka yang jelas condong kepada BN maka mereka diberikan terus hak beroperasi tanpa apa-apa tindakan?

"Apakah ini tafsiran demokrasi sebenar yang difahami oleh Menteri Dalam Negeri?" tanya beliau lagi.

Tindakan itu, katanya menggambarkan kegagalan Transformasi Politik Perdana Menteri khususnya melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, meskipun akta ini telah dipinda pada tahun 2012 namun ia langsung tiada memberi kesan, antaranya adalah pindaan yang dibuat langsung tidak menyentuh isu-isu fundamental dalam menilai kebebasan akhbar.

Selain itu, ujarnya kuasa mutlak untuk memberi permit, menggantung mahupun membatalkan permit akhbar terletak sepenuhnya pada Menteri Dalam Negeri dan boleh menggantung mana-mana akhbar tanpa memberi sebab dengan pihak yang dianiaya atau menjadi mangsanya tidak diberi ruang untuk membela haknya di mahkamah.

"Jika beginilah keadaannya, wajarlah rakyat bangkit menuntut hak mereka. Sudahlah media diperkudakan sepenuhnya untuk kempen selebah pihak BN sepanjang masa, media utama milik parti pula diambil tindakan.

"Selama begini keadaan demokasi di negara ini, selama itulah rakyat berada dalam kegelapan," ujarnya.

Tadbir Kelantan dengan kekuatan secara bersama

Aslani M, 31 Mei 2013
KOTA BHARU: Kalau sebelum ini kekuatan hanya terletak pada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun sekarang dipikul secara tanggungjawab bersama (collective responsibility).

“Memang diakui tidak ada pemimpin yang sehebatnya Tok Guru dengan apa yang dimilikinya. Bagaimanapun sekarang kita guna kaedah 'collective responsibility'.

“Kita tidak ada kehebatan di atas seorang individu tetapi kita ada atas dasar qiadah jamaiyah (pimpinan secara jemaah),” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau berkata, apa yang penting dasar tidak berubah biar pun pemimpinnya bertukar ganti, di mana Kelantan tetap mempertahankan Islam sebagai dasar.

“Kita gabung individu secara berkumpulan dan bukan lagi secara keseorangan. Kita bekerja secara pasukan itu yang lebih penting.

“Parti kena duduk sekali dengan pengganti yang Tok Guru pilih iaitu Ustaz Dato’ Ahmad Yakob,” katanya di sini.

Menurutnya dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad saw apabila sampai masanya diganti para sahabat bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan Islam.

Pada peringkat awal memang berlaku sedikit pergolakan sehingga muncul kumpulan riddah yang enggan membayar zakat.

“Namun akhirnya diredakan Saiyidina Abu Bakar selepas menjadi khalifah menggantikan Rasulullah saw,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah tersenarai sebagai salah seorang daripada 500 pemimpin dunia Islam yang terhebat. Carta itu dikeluarkan Royal Islamic Strategic Centre yang berpangkalan di Amman, Jordan.

Kini selepas 23 tahun menerajui Kelantan, selepas PAS dan Pakatan Rakyat mengekalkan kerajaan negeri bagi penggal ke enam 5 Mei lalu, beliau berundur dan digantikan Ustaz Ahmad.

Tiada ulasan: