Khamis, 23 Mei 2013

SENJATA ORANG MUKMIN ADALAH DOA...DOA ORANG YANG DIZALIMI TIADA HIJAB....MAKA BERDOALAH KEPADA ALLAH SWT

Chegubard: Himpunan Sabtu ini tetap diteruskan
4:25PM Mei 23 2013
Di sebalik tangkapan beberapa pemimpin pembangkang dan NGO, perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13 pada Sabtu ini di Petaling Jaya akan tetap diteruskan, kata penggerak utamanya Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Pemimpin SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata, NGO anak muda itu bertekad memastikan himpunan yang dinamakan "SuaraRakyat505" itu mencapai matlamat, walaupun beliau sendiri mungkin ditahan.

"Himpunan ini adalah himpunan rakyat, semua yang hadir tanpa pangkat tetapi sebagai rakyat menuntut demokrasi yang dirampas regim legasi penjajah untuk kekal berkuasa," katanya yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Dalam kenyataan hari ini, Badrul juga mengutuk keras "tindakan tidak bertamadun" pihak berkuasa membuat tangkapan demi tangkapan bermula sejak aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dicekup minggu lalu.

"Negara seolah-olah berada dalam keadaan 'belum merdeka' ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan ke dalam lokap seterusnya didakwa atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan.

"Ini bukti kegagalan transformasi Najib, ketika kerajaan yang ada hari ini tidak punya sokongan majoriti," katanya.
Polis: Tiada tolak ansur bagi acara nyalaan lilin

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh hari ini berkata, pihak polis tidak lagi boleh bertolak ansur dengan penganjuran perhimpunan seperti acara nyalaan lilin di balai polis Jinjang yang disuraikan pasukannya pada malam tadi.

NONEMenurut Mohmad, aktiviti tersebut akan memberi kegusaran kepada orang awam termasuk penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Mohmad berkata protes jalanan bukan satu penyelesaian bagi menyatakan rasa tidak puas hati.

"Perkumpulan atau majlis yang berkumpul sebegini rupa merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang. Jadi pihak polis sudah sampai pada peringkat kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan macam ini kerana dia memberi kegusaran awam kepada penduduk setempat.

"Jadi saya minta biarlah proses undang-undang itu dijalankan seadilnya. Kalau timbul tak puas hati, bukan cara protes di jalanan sebagai proses penyelesaian. Kita ada mahkamah. Bawalah ke mahkamah dan melalui saluran yang sedia ada," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan polis yang menahan seramai 18 orang dan menyuraikan kira-kira 1,000 orang yang hadir untuk menyatakan solidariti kepada aktivis siswa Adam Adli dalam acara berkenaan.
Tian, Haris, Tamrin pula ditahan
12:40PM Mei 23 2013
Polis hari ini menahan MP Batu Tian Chua, akvtivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS Tamrin Ghafar dalam operasi berasingan, dipercayai berhubung perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini.
Tian Chua dalam tulisannya di Twitter hari ini menyebut, beliau ditahan sejurus sebelum melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang LCCT kira-kira tengahari.
"Sekarang saya dibawa dalam kenderaan polis (menuju) Balai Polis Jinjang," katanya.
NONEMenurutnya lagi, polis menahannya berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan.

Sementara itu, pemimpin NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, beliau juga sedang dicari polis.

"Di KL, baru dihubungi isteri, maklumkan sekumpulan polis datang mencari saya di rumah ibu di Seremban, saya mohon masa tiga minggu berunding macam (dengan penceroboh) Sulu," tulisnya di Twitter.
Sementara itu, setiausaha agung PSM S Arutchelvan dalam satu tulisan di Facebook pula berkata Haris, yang mengetuai NGO Asalkan Bukan Umno, ditahan oleh lima orang anggota polis ketika sedang makan tengahari di Segambut.

Haris pagi ini muncul di bangunan kompleks mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan ke atas aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim yang dituduh mengikut Akta Hasutan hari ini.
Beliau turut berucap dalam forum mengenai dakwaan penipuan pilihan raya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lalu.
Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar ketika dihubungi berkata Haris turut disiasat mengikut Akta Hasutan.
NONEBeliau juga berkata, aktivis PAS, Tamrin Ghafar yang turut berucap di forum sama, juga ditahan pada hari ini dalam satu operasi polis di Bangsar.
Katanya, Tamrin juga dibawa ke balai sama yang kini menempatkan Haris dan Tian.
Operasi berkenaan berlangsung walau jurucakap bagi penganjur perhimpunan, Badrul Hisham Shaharin telahpun menafikan bahawa ia bertujuan untuk menumbangkan kerajaan seperti 'Arab Spring' seperti yang didakwa pihak berkuasa.Sebaliknya, perhimpuan di Petaling Jaya pada Sabtu ini adalah 'Festival Rakyat' untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat, katanya.
Gabungan 50 NGO yang menjadi penganjur acara berkenaan dijangka menampilkan bukti dan saksi mengenai dakwaan penipuan pilihan raya dijangka akan ditampilkan ladam perhimpunan berkenaan di padang berhampiran Amcorp Mall.
Antara yang dijangka mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut adalah NGO Suaram, Solidariti Anak Muda Malaysia, Asalkan Bukan Umno, Tindak Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia.
Polis KL pertahan tangkapan mengikut Akta Hasutan

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pasukannya menahan tiga orang aktivis dan pemimpin pembangkang mengikut Akta Hasutan hari ini memandangkan peruntukan itu masih berkuatkuasa.
"Akta Hasutan belum dimansuhkan. Kalau dah mansuh macam mana nak guna pakai pada kes yang dah digunapakai. Belum dimansuhkan. Masih berkuatkuasa.

"Bagi pihak polis kita hanya jalankan siasatan. Kalau betul akta itu sah atau tidak, serahkan pada pihak mahkamah," katanya.
Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai penahanan naib presiden PKR Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS Tamrin Ghafar mengikut Akta Hasutan hari ini.

Selain individu terbabit, polis yang dipimpin ketua polis negara yang baru Datuk Seri Khalid Abu Bakar, menyiasat enam lagi pemimpin Pakatan dan aktivis selepas pilihan raya umum ke-13, atas kesalahan berbeza.
Ia termasuk ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim, MP Pandan Rafizi Ramli, pengasas DAP Dr Chen Man Hin, MP Taiping Nga Kor Ming dan MP Serdang Ong Kian Ming.

KDN rampas Harakah, Suara Keadilan, The Rocket
4:13PM Mei 23 2013
Tiga organ parti dalam Pakatan Rakyat hari ini menjadi sasaran penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjalankan operasi merampas naskhah akhbar berkenaan di beberapa negeri hari ini.KDN dalam kenyataannya petang ini menyebut, operasi rampasan naskhah Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket itu dibuat kerana penerbitan itu didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.
Ia didakwa melanggar Seksyen 5 undang-undang tersebut yang meperuntukkan syarat edaran untuk ahli sahaja.

"Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara bermula pada 22 Mei 2013 dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh pihak KDN sebelum ini.
"Operasi ini akan dilakukan secara berterusan dengan bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 bagi memastikan semua pihak tidak melanggar Akta tersebut," kenyataan itu dipetik.
Menurut KDN lagi, sejumlah 1,408 naskhah Suara Keadilan, 1,062 naskhah Harakah dan 70 naskhah The Rocket dirampas dalam operasi itu.
Pengurus pemasaran Harakah, Ahmad Faisal Tawang ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan dijalankan ke atas pengedar mereka di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, kedah dan Perak hari ini.

“Pengurusan Harakah sehingga kini masih mengumpul data mengenai jumlah rampasan tersebut,” katanya.
Isu GST
Edisi yang terlibat dalam rampasan tersebut menonjolkan isu penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan tajuk besar 'GST hadiah BN untuk rakyat'.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution pula dalam satu kenyataan berasingan menyatakan pegawai KDN menjalankan tindakan tersebut sejak 24 jam lalu.
Selain merampas nashkhah berkenaan, pegawai KDN juga dakwanya mengancam untuk menangkap pembekal dan pengedar akhbar itu di beberapa tempat.

Ia antara lainnya melibatkan operasi di Ipoh pada malam tadi, di mana seramai tujuh pegawai KDN telah menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar.
Pegawai berkenaan juga dakwanya enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.
Manakala, di Melaka pula sebanyak 70 naskah telah dirampas dari seorang pengedar yang didakwanya, bahawa pegawai KDN hanya memberi alasan ia telah menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kata Saifuddin.

Kejadian yang sama juga telah berlaku hari ini di Johor Bahru, Johor, Seremban, Bangi dan Kota Bharu, Kelantan, tambahnya lagi.
Lim Kit Siang sasaran seterusnya?

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mungkin menjadi sasaran seterusnya operasi pihak polis ekoran kenyataan yang dibuatnya semasa berkempen yang meramalkan Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya umum ke-13.

Menurut Ahli Parlimen (MP) DAP Taiping, Nga Kor Ming, yang memberikan keterangan kepada pihak polis pagi ini, pegawai penyiasat mendedahkan bahawa Lim pula akan disoalsiasat selepas ini.

Pegawai dari ibupejabat polis daerah Pontian, Johor datang ke Ipoh pagi ini untuk merakamkan kenyataan Nga di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dakwaan melakukan fitnah jenayah.

malaysiakini taiping chinese forum 230612 nga kor ming 1"Laporan polis terhadap saya dibuat oleh polis Johor dan siasatan telah
diarahkan oleh ketua jabatan siasatan jenayah negeri," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini selepas soalsiasat selama satu jam.

Pihak polis telah menyiasat (kiri) ucapan Nga semasa ceramah pilihan raya di Pontian dan Gelang Patah yang memetik kenyataan Lim bahawa Pakatan akan memenangi pilihan raya umum dengan memperolehi 145 kerusi Parlimen.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 17 April, Lim mendakwa telah menerima maklumat bahawa bahagian perisikan di ibupejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan tidak menolak kemungkinan BN kalah dalam pilihan raya umum.

Pihak polis telah menafikan dakwaan tersebut
Ibu bapa beritahu majistret mereka dapat IC dari 'Projek IC'

Ibu bapa yang menghadiri siasatan untuk mengesahkan sijil kelahiran anak mereka, yang didaftarkan lewat, mengakui mendapat kad pengenalan mereka sendiri melalui satu "Projek IC".

Majistret Melissa Chia berkata demikian di Kota Kinabalu hari ini, ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.

Chia berkata ibu bapa tersebut memberitahu demikian dalam kes-kes yang didengarnya di Tawau dan Semporna, ketika menjelaskan mengapa mereka tidak boleh menunjukkan sijil kelahiran mereka untuk mengesahkan kerakyatan mereka sendiri.

Chia - saksi ke-85 dalam siasatan itu - juga teringat satu kejadian di mana beliau terpaksa "diseludup keluar" dari satu taklimat di Tanjung Labian, Lahad Datu, oleh pihak polis.

Ini berlaku selepas penduduk kampung yang hadir menjadi berang apabila menyedari bahawa beliau tidak boleh "rubber stamp" sijil kelahiran mereka.

Majistret itu berkata, ibu bapa dalam kes-kes yang dikendalikannya di Semporna dan Tawau telah secara terbuka mengakui menerima kad pengenalan mereka melalui "Projek IC", semasa bekerja di kem balak.

"Saya bertanya kepada mereka apa yang mereka maksudkan dengan Projek IC? Pada satu atau dua kali mereka berkata, 'saya bekerja di kem pembalakan dan sekumpulan orang datang dan memberikan saya borang permohonan.

"'Selepas itu, saya dapat IC biru.' Ini semua ada dalam nota prosiding (yang dikemukakan sebagai bukti kepada RCI), "katanya.
Menteri: Polis ada bukti kukuh tahan pemimpin Pakatan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya polis mempunyai bukti dan asas kukuh apabila bertindak menahan tiga orang pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO di bawah Akta Hasutan hari ini.

Tegasnya, beliau tidak campur tangan dalam penahanan itu dan menyerahkan operasi berkenaan untuk ditangani polis sepenuhnya.

"Segala urusan operasi saya serahkan keada polis dan saya yakin tentu polis ada bukti dan asas kukuh.

"Saya langsung tidak ada campur tangan dalam penahanan itu," katanya.

Zahid berkata demikian sewaktu mengulas penahanan naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS, Tamrin Ghafar Baba dan pemimpin NGO Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim di bawah Akta Hasutan 1948 pagi ini.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata beliau bersedia menyiasat dakwaan penipuan pilihan raya yang didakwa berlaku kerana daftar warganegara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang tidak kemas.

Namun jelasnya, kementeriannya hanya boleh menyiasatnya jika pihak yang membuat dakwaan menyerahkan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan kepada JPN.

"Saya alu-alukan sebarang aduan dan jika benar dan ada bukti, berikan kepada kami dan saya akan tentukan tarikh dan masa dengan pegawai kanan KDN (untuk menelitinya)," kata Zahid ketika menjawab pertanyaan wartawan selepas melakukan lawatan kerja di JPN Putrajaya petang tadi.
SPRM siasat kaitan rasuah kes rogol bawah umur

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah melibatkan seorang pengurus restoran yang merupakan suspek kes rogol bawah umur di Kota Kinabalu.
  
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan malam ini mengesahkan siasatan berkaitan dakwaan rasuah itu dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain yang menyiasat kesalahan jenayah termasuk rogol.
  
Riduan Masmud, 40, didakwa merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Februari lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika perbicaraan.
  
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.
  
Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.
  
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan bahawa kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.
  
Abdul Gani juga dilaporkan mengesyorkan SPRM 'campur tangan' berkaitan isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai 'Sogit', iaitu satu bentuk pampasan mengikut undang-undang anak watan atau adat Sabah.
  
- Bernama
 
 

Tiada ulasan: