Seorang perwakilan di Kongres Nasional PKR ke-9 hari ini menuntut agar kuasa autonomi diberi kepada PKR Sarawak bagi menetapkan calon pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam masa dua tahun lagi.
Wakil Sarawak yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PKR Sarawak, Joshua Jabeng berkata, kuasa autonomi itu perlu diberikan bagi mengelak berlakunya salah faham sehingga menyebabkan ada diantara ahli parti bertanding sebagai calon Bebas.

NONE"Kita minta supaya (PKR) Pusat beri kuasa autonomi pada (Baru) Bian untuk letak calon pilihan raya negeri lebih awal untuk elak berlaku salah faham yang akhirnya sampai bertanding sebagai calon bebas kerana tak puas hati.

"Kalau tak ada halangan, tetapkan calon lebih awal supaya boleh buat persiapan awal," katanya ketika membentangkan usul pada hari kedua kongres di Petaling Jaya hari ini.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Sarawak merupakan antara negeri yang menyaksikan penyertaan paling ramai calon Bebas.

Pertandingan pelbagai penjuru itu, terutama di Sabah dan Sarawak, di antaranya didakwa berpunca daripada kegagalan Pakatan untuk berkompromi antara satu sama lain bagi menentukan calon yang akan menentang BN.

Sehubungan  itu, Joshua berkata, dengan usul yang dibentangkan pada hari ini, beliau berharap agar ia dapat menjadikan salah satu cara Pakatan di Sarawak untuk menentang BN.

"Kerajaan BN Sarawak ialah kerajaan samseng kerana seluruh negeri Sarawak milik peribadi orang-orang tertentu. Sekali lagi, harus difikirkan macam mana nak jatuhkan BN.

"Harapan kami ialah pada Pakatan untuk membawa perubahan. Sebab itu kita harap dapat terus lawan," katanya lagi.
Blackout 505: Seorang lagi akan didakwa di P Pinang
5:52PM Mei 25 2013
Seorang daripada anggota penganjur Perhimpunan Blackout 505 di Pulau Pinang pada 12 Mei akan didakwa pada hari Isnin di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

Setiausaha kerja sekretariat Pakatan Rakyat, Ong Eu Leong dari PKR Pulau Pinang berkata beliau diminta hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth pada jam 8.30 pagi Isnin ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ong berkata, pada 23 Mei 2013, ASP Govind datang ke pejabat PKR untuk menyerahkan saman ke atasnya dan beliau akan didakwa di bawah Seksyen 9(1) (yang memerlukan penganjur memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan diadakan).

Perhimpunan tersebut - yang diadakan di Batu Kawan - menyaksikan puluhan ribu hadir di stadium di situ untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya umum pada 5 Mei.

Ong berkata pihak penganjur telah memaklumkan beberapa kali kepada pihak berkuasa mengenai perhimpunan tersebut.

NONEMenurutnya, pada 11 Mei akhbar The Star melaporkan bahawa
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi (kiri) sebagai berkata pihak penganjur telah mengemukakan notis kepada ketua polis daerah seperti yang dinyatakan dalam APA itu.

Laporan itu juga memetik Abdul Rahim sebagai berkata pihaknya akan menggerakkan anggotanya ke tempat perhimpunan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, dan akan memastikan kelancaran aliran trafik.

Ong berkata beliau telah mengemukakan notis kepada ketua polis daerah Bukit Mertajam dan telah membincangkan perkara dengan mereka pada pada 10 Mei.

"Kami kemudiannya memutuskan untuk memindahkan perhimpunan itu ke stadium Batu Kawan," katanya.

Sebagi rakyat yang mematuhi undang-undang, Ong berkata, beliau turut memaklumkan ibu pejabat polis Nibong Tebal mengenai perhimpunan di Stadium Batu Kawan walaupun beliau telahpun berbuat demikian kepada IPD Bukit Mertajam.
CJ mahu petisyen p'raya selesai dalam 6 bulan

Sebarang petisyen yang dikemukakan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu didengar dan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia difailkan, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.  

Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua hakim yang bakal mendengar permohonan semakan keputusan PRU13 bagi memastikan konsep keadilan dapat ditegakkan.
  
"Perkara ini penting memandangkan ada cubaan (parti politik) untuk mengemukakan petisyen berikutan kurang berpuas hati dengan keputusan PRU13 lalu.

"Jika petisyen itu dikemukakan atau difailkan, saya memohon kerjasama semua (hakim) untuk melaksanakan tanggungjawab (mendengar) dengan minda yang bebas... tanpa dipengaruhi oleh desakan pihak tertentu," katanya.
  
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Majlis Hakim-hakim Malaysia Kali Ke-47, di Kuantan hari ini.
  
Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohd Raus Shariff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjun.
  
Arifin berkata tempoh enam bulan itu adalah realistik, kerana menjangkakan terdapat petisyen yang akan dikemukakan dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.
  
Seramai 101 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tahunan itu. 

Arifin turut menasihatkan hakim untuk tidak memberikan sebarang reaksi balas terhadap komen yang dibuat oleh pengguna internet yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman.
  
Katanya, setiap keputusan yang sudah dibuat itu adalah muktamad dan atas pertimbangan sewajarnya oleh hakim yang bertanggungjawab dalam mendengar dan mengadili kes berkenaan.

"Walaupun ada komen yang dibuat atau disebarkan dalam internet itu berunsur negatif dan berniat menjejaskan nama baik sistem kehakiman, kita (hakim) tidak perlu melayannya kerana ia dibuat oleh mereka yang tidak memahami fakta sebenar kes," katanya.
  
Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua hakim supaya membuat keputusan penghakiman bersandarkan perbicaraan yang dijalankan dan keterangan yang dikemukakan demi menjaga kepentingan awam.
  
"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ada trend sebelum ini... ada hakim yang cuba memperluaskan skop hak asasi kemanusiaan dalam keputusan penghakiman mereka.
  
"Jika ini berlaku, menjadi perhatian dan kerisauan dalam kalangan pengamal undang-undang dan akhirnya dibimbangi akan memberi gambaran tidak betul terhadap kredibiliti badan kehakiman yang bertanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini," katanya.

- Bernama

Peluru habis, palembang tak alah jua

Selama ini kita merasakan kekuatan gerakan perubahan ini begitu efektif dan perubahan itu tetap berlaku dalam pilihanraya yang lalu. PRU 13 pun sudah selesai dan kita telah mendapat keputusannya. Hasilnya PKR tidak menerima keputusan pilihanraya kerana mereka percaya ada berlaku penipuan besar dalam pilihanraya itu. Sekarang rakyat berpusu-pusu berhimpun di mana-mana, di Pataling Jaya, P Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan dan yang terakhirnya di Kuala Terengganu. Malam ini ada lagi perhimpunan di ‘vicinity’ Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Itulah demokrasi dan tidak ada salahnya mana-mana pihak mengadakan perhimpunan itu untuk meluahkan perasaan bengis dan marah kita. Lagi pun sememangnya sudah biasa kita bersama dalam perhimpunan seperti itu. Bagi diri saya yang tidak ada apa-apa ini pun telah menjelajah dan menjejaki kaki dibanyak tempat dan daerah untuk memberikan penerangan betapa perlunya perubahan dilakukan dinegara ini. Tidak ada rasa letihnya semasa itu kerana semangat untuk berubah itu sememangnya begitu tinggi dan ditambah pula dengan sambutan yang begitu menggalakkan.
Hasilnya BN tetap memenangi PRU itu walaupun dengan jumlah kerusi yang menguncup. Sekarang wujud pula fenomena baru. Rakyat berkumpul kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya. Kalau dilihat dari sambutan ramai tidak ada sebab BN kekal memenangi pilihanraya itu, tetapi keputusannya BN tetap di berikan mandat. PKR tidak mahu menerima keputusan pilihanraya ini kerana dikatakan pilihanraya itu sarat dengan penipuan di mana-mana. Mahkamah akan menentukan samada keputusan pilihanraya itu benar-benar di penuhi dengan penipuan.
Jika Mahkamah memutuskan yang penipuan benar-benar berlaku, maka akan berlaku lagi lah perhimpunan-perhimpunan besar-besaran dan Tuhan sahajalah yang tahu bila isu itu akan berakhir kerana segala-galanya adalah dalam penentuanNya semata-mata. Sebelum keputusan di buat pun telah banyak kali perhimpunan itu diadakan dan sambutannya menggalakkan dengan kehadiran yang ramai untuk memberikan sokongan. Saya berharap rakan-rakan yang berjuang ini akan mendapat apa yang mereka hajati dan rakyat kembali hidup seperti biasa dengan aman dan tenang.
Tetapi sebagai seorang yang sudah begitu lama meniti kehidupan gerakan seperti ini, tentulah saya tidak mahu mereka kecewa lagi. Saya telah merasakan pahit maungya berjuang dan apa sahaja keputusan dan hasilnya nanti mesti diterima dengan syukur. Dalam perjuangan jangan berasa tertekan apabila menghadapi kekalahan. Kekalahan itu adalah makanan kepada pejuang asalkan sahaja mereka menerimanya sebagai salah satu dari perkara yang perlu dijangka.
Persoalannya sekarang, adakah pihak yang membangkang ini akan akhirnya berjaya? Jawapannya tetap berada dalam ketentuan Tuhan Maha Esa. Hanya sebagai manusia yang hanya menggunakan akal sahaja ini, ramai yang bertanya samada isu ini akan berjaya membuahkan hasil itu? Ada yang bertanya, adakah usaha ini tepat pada sasarannya? Ada diantara mereka bertanya dan menjawab sendiri dan berkata , ‘peluru habis palembang tak alah jua’.
Alah atau tidaknya Palembang itu, ia tetap berada dalam ketentuan Tuhan. Anda teruskan sahaja usaha itu tanpa memikirkan apa hasilnya. Samada berjaya atau sebaliknya akan ditunjukkan Tuhan akhirnya.
Hanya kita perlu ingat satu perkara, jangan sekali-kali ‘berkokok diatas tunggul yang rapuh’, Kokokan itu akan senyap apabila tunggul rapuh itu tersembam menyembah bumi. Takut-takut nanti tiada tunggul tempat hendak berkokok lagi.
Baik dari pihak kerajaan, mahu pun dipihak pembangkang nasihat dan pandangan ini, sama-sama kita ingati.