Perhimpunan "Blackout 505" akan diteruskan lagi pada bulan depan bagi menolak keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu, kata Pengarah penganjur bagi perhimpunan itu, Datuk Johari Abdul.
Katanya, perhimpunan itu akan diteruskan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan mereka.

parliament briefing 030408 johari abdulTiga tuntutan itu ialah meminta supaya anggota SPR letak jawatan, mengadakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen serta menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula.

"Sehingga kini lebih setengah juta rakyat Malaysia pelbagai kaum, latarbelakang dan umur telah menyertai blackout 505.
"Ia menjadi lambang kesedaran politik rakyat yang mewakili suara majoriti 51 peratus yang menyokong reformasi dan perubahan di negara ini," kata Johari (atas) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Sehubungan itu, menurut Johari, empat negeri akan mengadakan perhimpunan blackout 505 pada bulan Jun iaitu:
  • 10 Jun - Perlis
  • 11 Jun - Sungai Petani, Kedah
  • 12 Jun - Kota Bharu, Kelantan
  • 14 Jun - Batu Pahat, Johor
Ditanya sama ada bagi perhimpunan akan datang itu, pihak penganjur akan meminta kebenaran daripada pihak polis, Johari dengan ringkas menjawab "Ya".

Sebelum ini, beberapa siri soal siasat telah dilakukan berhubung perhimpunan Blackout 505 di seluruh negara.

Isnin lalu, empat pemimpin Pakatan, dua di Perak dan masing-masing seorang di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout 505'.
PKR dedah dakwaan penipuan kes undi awal

PKR hari ini mendedahkan dua laporan polis berhubung dakwaan penipuan yang berlaku semasa proses pengundian awal bagi pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
Pengarah strateginya, Rafizi Ramli berkata, salah satu laporan berkenaan adalah mengenai kejadian di Melaka, berhubung tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa mengira kertas undi sebelum masa yang ditetapkan.

Laporan kedua adalah berhubung kejadian peti undi yang didakwa lewat tiba di satu pusat pengiraan undi di Gerik, Perak sehingga menyebakn kiraan undi tersebut ditolak.

"Wujud perkara yang meragukan dalam undi awal apabila tidak sampai 8 peratus pun dalam kebanyakan keputusan pilihan raya yang tidak berpihak kepada Pakatan.

"Jadi dalam keadaan kita ada 250,000 undi awal, hari ini kita tampilkan perkara yang meragukan seperti ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Dalam kejadian di Melaka itu, ejen pusat mengundi PKR Abu Hussin Tamby mendakwa melihat antara tujuh hingga lapan orang individu yang memakai baju seragam SPR sedang mengira kertas undi di satu lokap polis.

Dakwanya, peti undi bagi pengundian awal tersebut dibawa dari pusat pengundian awal di balai polis Lubok China ke lokap di ibu pejabat polis daerah Alor Gajah pada 30 April lalu.

Sedangkan, peraturan SPR menetapkan agar kertas undi awal tersebut dikira dan peti undi tersebut dimaterai di tempat pengundian awal lagi, katanya dalam laporan polis bertarikh 2 Mei.

"Selepas selesai mengiringi untuk menyimpan peti undi awal di dalam lokap saya sempat lagi melihat petugas-petugas yang memakai baju SPR sedang mengira kertas-kertas undi," kata Abu Hussin, 42 dalam laporannya.

Dalam kejadian di Gerik, Perak pula, ejen tempat mengundi parti tersebut Shairi Md Tajuddin dalam laporannya mendakwa karung undi awal dari satu pusat pengundian di Pengkalan Hulu tidak sampai ke tempat pengiraan undi dalam masa yang ditetapkan pada hari pengundian 5 Mei.

Beliau menyalahkan SPR atas kelewatan perkara berkenaan, yang didakwa menyebabkan undi awal berkenaan ditolak, kata Shairi, 48, dalam laporan bertarikh 15 Mei itu.

“Saya beranggapan ini adalah salah laku yang disengajakan oleh pihak SPR bagi tujuan penyelewengan undi bagi memberi kemenangan kepada Umno/BN di parlimen Gerik dan DUN Pengkalan Hulu,” katanya dalam laporan tersebut.
Kebimbangan kematian dalam tahanan ke-7 pada 2013
7:07PM Mei 29 2013
Suaram Pulau Pinang menyuarakan kebimbangannya berhubung satu lagi kes kematian dalam tahanan polis yang berlaku kurang daripada tujuh hari selepas kematian N Dharmendran pada 21 Mei.

NGO itu berkata di Pulau Pinang, kematian suspek penagih dadah, R Jamesh Ramesh menambah satu lagi angka dalam statistik kes kematian dalam tahanan, sambil menambah ia bimbang dengan kenaikan mendadak kes kematian seumpama itu.

Ia mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengambil tanggungjawab di atas kematian itu dan mengumumkan kepada orang ramai bila dan
apakah tindakan yang akan diambil terhadap anggota yang bertanggungjawab menjaga Jamesh.

Menurut NGO itu, pada tahun 2012, terdapat sembilan kes kematian dalam tahanan polis, dan dalam masa kurang daripada setengah tahun, enam kes telah dilaporkan, menjadikan Jamesh, kematian ketujuh pada 2013 sahaja.
"Ini hanya kes yang dilaporkan," kata Suaram Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Pada hari Sabtu, Jamesh, seorang lelaki penganggur berusia 40 tahun, ditahan anggota Jabatan Narkotik di sebuah dewan orang ramai di Patani Road kerana didakwa mengambil dadah.

Pada keesokan harinya, dia telah dihantar ke lokap pada kira-kira jam 4 petang selepas ujian air kencingnya didapati positif mengandungi morfin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata, suspek "telah dilihat berada dalam keadaan biasa oleh tahanan yang lain di dalam sel pada malam yang sama."

Dia disahkan meninggal dunia dua 19 jam kemudian.

Dia ditemui tidak sedarkan diri pagi itu oleh anggota polis, dan kemudiannya diisytiharkan meninggal dunia akibat kegagalan hati.

Suaram Pulau Pinang menggesa ahli keluarga si mati untuk tampil memberi maklumat.

NGO itu mahu polis menyiasat segala hal berkaitan kematian Jamesh dengan mendedahkan jurnal harian yang disimpan oleh anggota yang menjaga mangsa semasa penahanannya.
Hakim tarik diri dengar kes Nik Nazmi

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini menarik diri daripada mendengar kes Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad atas alasan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.
Rozina membuat keputusan itu setelah dimaklumkan oleh bapanya bahawa mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nik Nazmi.

Berikutan itu, beliau memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen lain.

"Demi keadilan semua pihak, saya menarik diri daripada mendengar kes ini dan memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen 1," katanya.

Pada 17 Mei lepas, Nik Nazmi, 31, didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan program 'Blackout 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau, yang juga ADUN Seri Setia, didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, kira-kira pukul 8.30 malam, 8 Mei lepas.

Bagaimanapun, Nik Nazmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Sementara itu, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang kemudiannya mendengar kes berkenaan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dokumen perbicaraan telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Nik Nazmi, yang diwakili peguam Shah Redzan Johan dan Adi Mohd Noor, didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

- Bernama
Zam: Kempen Najib nampak luar biasa, pura-pura
12:40PM Mei 29 2013
Dalam tulisan di blognya, zamkata.blogspot.com semalam, beliau berkata usaha Najib untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin popular menyebabkan perdana menteri itu dilihat sebagai seorang yang meniru orang lain dan bukannya seorang pemimpin.Katanya, beliau juga melihat Umno dalam keadaan "panik" apabila timbul cadangan untuk menjadikan BN sebagai sebuah parti tunggal.

"Sesuatu cadangan yang serius patut dikemukakan dalam keadaan tenang bukan dalam keadaan masih ribut. Tidakkah ini menunjukan pemimpin-pemimpin UMNO berada dalam keadaan panik.

"Jika mahu uji pandangan akar umbi pun bukanlah masa sekarang ini," tulis Zainuddin yang juga pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Melayu.

Beliau mengkritik pengedaran kain rentang 'I love PM' pada kempen pilihan raya umum ke-13 yang menurutnya mungkin diilhamkan oleh penasihat Najib.

Katanya, tindakan tersebut hanyalah untuk menunjukkan kepada Najib bahawa pengerusi BN itu telah mendapat sokongan khususnya daripada masyarakat Cina di Malaysia.
Sikap yang ditunjukkan oleh golongan pengundi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu adalah sebaliknya.
Dalam tulisan itu, Zainuddin berkata Najib ditonjolkan sebagai pemimpin yang hidup seperti rakyat biasaa dan sanggup makan dan minum bersama rakyat antaranya di gerai, kafe dan gerai mamak.

"Penasihatnya berfikir bahawa gambar ini akan menunjukan Najib yang elitis dari keluarga bangsawan hidup seperti rakyat biasa tetapi kepada rakyat adalah 'luar biasa' kerana tidak pernah mereka terserempak dengan Najib di tempat-tempat begini.

"Lebih luar biasa apabila diiringi oleh pengawal dan pembantu peribadi. Nampaklah kepura-puraan," kata Zainuddin.

"Kata mantan Menteri Kewangan Daim Zainuddin, Anwar Ibrahim adalah clown (lebih tepat dipanggil Raja Lawak). Kata saya, Najib adalah imitator. Penasihatnya berkepala di awan tanpa kaki mencecah daratan. Inilah penasihat yang patut disingkirkan."

Zainuddin berkata beliau menerima kiriman SMS daripada seorang kawan dalam dunia korporat yang mendakwa tindakan menunjukkan kain rentang 'I Love PM' adalah "menjijikan" dan meminta Najib berhenti bersikap seperti pemimpin mahasiswa.

Zam yang juga karyawan tamu Universiti Utara Malaysia berkata sepatutnya Najib sedar negara ini masih belum keluar dari keruncingan politik dengan cabaran daripada "raja lawak dan kepala cauvanisme Cina" yang tidak dinamakannya.

"Negara belum keluar dari keruncingan politik; keselamatan diancam oleh communist surrogate, tiap hari ada tunjuk perasaan cina baju  hitam cemarkan pilihan raya yang sah, berbagai laporan palsu polis dibuat; blackout, dakwat padam," katanya.
BN Lembah Pantai dakwa SPR pilih kasih

BN Lembah Pantai hari ini membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya atas dakwaan gagal bertindak terhadap beberapa kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan PKR kawasan tersebut.
Setiausaha BN Lembah Pantai, Datuk Sazali Kamilan yang membuat laporan tersebut mendakwa SPR gagal bertindak terhadap tindakan PKR mendirikan pondok panas berhampiran pusat pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan SJK (T) Saraswathy.

NONEDakwanya lagi, SPR juga gagal bertindak terhadap PKR yang bertindak merayu undi di pintu masuk tempat mengundi pada hari mengundi selain bertindak mendirikan barung selepas jam 12 tengah malam 4 April dalam jarak kurang 50 meter dari kawasan larangan. 

Sedangkan, SPR mengarahkan bendera dan poster BN diturunkan walaupun ia mematuhi peraturan pilihan raya semata-mata kerana ia dipasang berhampiran balai polis Bukit Travers, katanya.
"Jadi saya berharap polis dapat menyiasat amalan pilih kasih ini," kata Sazali ringkas kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di balai polis Jalan Pantai Baharu petang ini.

Beliau turut ditemani calon BN untuk kerusi Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang turut membuat laporan terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

NONE"Laporan polis terhadap beliau adalah berkenaan tuduhan beliau terhadap saya berkenaan urus niaga pembelian 12 ekar tanah bernilai tinggi di Bukit Kiara," kata Nong Chik ringkas tanpa mendedahkan butir laporannya.

Sehari sebelum pilihan raya, Nurul membangkitkan dakwaan berhubung peranan Nong Chik dalam satu urusniaga tanah bernilai tinggi, seluas 12 ekar.

Beliau mendakwa, tanah itu dipindahkan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Yayasan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Raja Nong Chik akhir tahun lepas.

Dakwanya lagi, ia kemudian diberikan kepada syarikat persendirian, yang kemudiannya menjualnya kepada syarikat pembangunan hartanah terkenal dengan nilai RM475 juta.

Urusniaga tersebut, dakwa Nurul, akan dimuktamadkan selepas pilihan raya berakhir.
Mangsa bot karam tanggal seluar selamat diri

Emerita Benggau terpaksa menanggalkan seluar dan melepaskan semua barangan lain demi untuk menyelamatkan diri apabila bot eskpres yang dinaiki untuk pulang ke kampung menyambut Hari Gawai karam di Sungai Rajang semalam.
  
Beliau berkata tindakan itu terpaksa dibuat selepas seluar yang dipakainya itu menyukarkan pergerakannya untuk menyelamatkan diri.
  
"Saya dan penumpang lain menyedari air mulai masuk melalui pintu belakang bot dan kami bertindak memecahkan cermin keselamatan bot untuk keluar selamatkan diri. Saya terpaksa tanggal seluar dan melepaskan beg untuk menyelamatkan diri," katanya.
  
Beliau berkata usaha itu tidak mudah kerana cermin keselamatan yang sempit dan keadaan kelam-kabut dan sesak dengan penumpang.
  
"Selepas keluar dari tingkap keselamatan bot, badan saya kejang tetapi terpaksa kuatkan hati berenang ke kawasan berbatu di tengah sungai untuk menunggu diselamatkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Rumah Panjang Uma Tevok.
  
Rumah panjang itu adalah antara dua dari rumah panjang yang diguna untuk menempatkan mangsa bot karam yang selamat. Sebuah lagi ialah Rumah Panjang Uma Tanjong.
  
Emerita, 27, yang menaiki bot dari Kem Pembalakan di Bakun untuk pulang ke kampungnya di Rumah Panjang Benggau Nanga Sut Balleh, Kapit, hilang semua dokumen peribadi.
  
"Saya balik nak sambut Hari Gawai, dah jadi begini, rasa seronok nak sambut dah hilang," katanya sambil menambah selepas ini akan berfikir dua kali untuk menaiki bot ekspres.
  
Bagi Sultan Usar,40, suasana kejadian ketika itu kelam-kabut dengan penumpang berusaha menyelamatkan diri tanpa bantuan petugas bot ekspres itu.
  
"Keadaan ketika itu 'bersepah', masing-masing cuba menyelamatkan diri, saya sendiri yang sudah berjaya keluar dari bot hampir lemas kembali selepas kaki tersangkut dan bot ekpres itu yang tenggelam 'menarik' saya," katanya.
  
Sultan yang bekerja di kem pembalakan di Bakun dan menaiki bot ekspres menuju ke kampungnya di Rumah Panjang Undi Sg Bena, Kapit bersyukur terselamat dan masih akan dapat menyambut Hari Gawai.
  
"Sangat bersyukur kerana saya dan 13 rakan sekerja dari kem yang sama menaiki bot ekpres itu terselamat, namun sedikit kecewa kerana pengendali bot langsung tidak memberi arahan menyelamatkan diri sebaliknya sibuk menyelamatkan enjin bot," katanya.
  
Terpaksa, tiada pilihan selain jalan darat yang terlalu jauh untuk pulang ke kampung, menyebabkan Philip Duren, 41, menaiki bos ekpres itu walaupun terpaksa duduk di atas bumbung.
  
"Saya beli tiket berharga RM50, sama harga seperti penumpang yang dapat duduk di dalam bot ekspres, tetapi sebab nak balik sambut Hari Gawai saya naik juga walaupun terpaksa duduk atas bumbung," katanya.
  
Philip berkata dalam kejadian itu, dia bersama anak, Rosek Philip, dalam perjalanan dari Kem Pembalakan Sy Sin Yang Lakin B, Bakun menuju ke kampungnya di Nanga Merit, Kapit untuk bercuti 10 hari sempena Hari Gawai.
  
"Sudah lima tahun saya bekerja di Kem Pembalakan Sin Yang, sejak dari Lakin A hingga sekarang ke Lakin B, tiap kali balik ke kampung untuk sambutan Hari Gawai atau Hari Krismas, kena duduk atas bumbung... ini dah jadi perkara biasa, sebab itu saya tidak kisah kali ini untuk duduk atas bumbung," katanya yang hanya sempat menyelamatkan dompet.
  
Terdahulu tinjauan Bernama di Rumah Panjang Uma Tevok mendapati hanya tinggal kira-kira 30 orang ditempatkan di situ manakala yang lain telah mulai pulang sejak malam tadi.

Sementara itu, selepas lebih 24 jam tragedi bot karam berlaku, John Soon, 39, tetap berharap isterinya Roslin Jati, 34, yang merupakan antara mangsa yang masih hilang, akan ditemui dalam keadaan selamat.
  
"Saya tetap berdoa dan berharap isteri saya yang sedang mengandung lima bulan itu selamat," katanya kepada pemberita, di lokasi gerakan mencari dan menyelamat di Jeram Tukok/Jeram Bungan, hari ini.
  
Mengulas kejadian itu, Soon berkata dia dan isteri bersama anak lelaki mereka, Jacky Soon, 5, dalam perjalanan pulang dari kem pembalakan Sin Yang, Lakin B, Bakun ke kampungnya di Nangat Merit, Kapit bagi menyambut Hari Gawai.

Katanya ketika kejadian dia duduk bersama isteri dan anak mereka.
  
"Semasa bot ekspres mulai tenggelam sedikit demi sedikit, saya pegang tangan anak dan isteri untuk bawa mereka keluar, tetapi ketika keluar dari pintu hadapan bot itu, saya terlepas tangan isteri saya.
  
"Saya kembali dan cuba cari isteri lagi tetapi masa itu bot dah mula tenggelam dan saya gagal," kata bapa kepada tiga anak itu.

- Bernama
PKR: K'jaan tak ikhlas turunkan harga kereta

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menjangkakan usaha kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat, seperti yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya lalu, akan menjejaskan pekerja serta industri automobil tempatan.

Katanya, beliau menjangkakan demikian kerana rancangan penurunan harga kenderaan oleh kerajaan itu akan menumpukan kepada kadar keuntungan pengeluar dan penjual kereta.

Ia berbeza dengan kaedah yang dicadangkan Pakatan Rakyat terlebih dahulu – iaitu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas kenderaan terbabit.

"Saya kira, tak ada keikhlasan langsung dan cara mereka buat sekarang ialah dengan menekan pembuat dan penjual kereta dengan mengurangkan margin. Ini tidak adil. Contohnya kepada Proton dan Perodua. Bila ditekan untuk kurangkan margin, ia beri kesan pada pekerja, bonus pekerja.

"Sebab itu dalam cadangan kami (Pakatan) tak sentuh langsung kos dan gaji sebab yang buat harga kereta tinggi ialah cukai. Sebab itu sampai sekarang dia kata ambil masa lama kerana mereka akan memujuk dan tekan pembuat dan industri kereta," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat sehingga 2017.

Katanya, bersandarkan manifesto kerajaan yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, usaha pengurangan harga kereta haruslah dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya ia tidak menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan yang sedia ada bagi sektor industri terbabit dan berkaitan.

Rafizi bagaimanapun menegaskan bahawa cara yang lebih mudah untuk menurunkan harga kereta adalah dengan mengurangkan cukai kenderaan tersebut.

Katanya, beliau akan menggunakan peluang di persidangan Parlimen untuk memberi tekanan kepada menteri yang berkaitan untuk menurunkan cukai eksais kenderaan.

"Saya beri amaran pada mustafa jangan cuba guna taktik nak kurangkan dua, tiga peratus tiap-tiap tahun dan nanti nak dekat pilihan raya baru nak kurangkan 20 peratus. Menurunkan harga kereta ini cukup mudah dengan kurangkan cukai eksais," katanya lagi.