Selasa, 14 Mei 2013

PERLEMBAGAAN DIGUBAL DAN WARTAKAN TAPI TAK GUNA...LANGGAR SEMACAM KERANA SEMATA2 UNTUK KEPENTING DIRI ATAU KUMPULAN TERTENTU...LAGI MALANGLAH HUKUM ALLAH PUN DILANGGAR SEMACAM JUGA...JADI BERATLAH KES ORANG MACAM NI

Kenyataan Mohd Noor hasil didikan Umno BN

Hazayani Zakaria, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berpandangan kenyataan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang berbaur hasutan dipengaruhi pemikiran Umno BN.

Beliau berkata, amat tidak wajar seorang cerdik pandai seperti Mohd Noor mengeluarkan kenyataan yang menggalakkan permusuhan kaum khususnya antara Melayu dan Cina.

"Pandangan beliau itu silap dan dipengaruhi oleh Umno BN. Macam mana orang yang bijak pandai fikirannya boleh dipengaruhi seperti ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat itu juga mempersoal gesaan Mohd Noor agar sekolah jenis kebangsaan (SJK) dihapuskan.

Tegasnya, dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan terdiri daripada masyarakat majmuk, setiap kaum berhak mempunyai sekolah aliran mereka.

"Kenapa kita nak tutup semua sekolah jenis kebangsaan sedangkan itu hak mereka?

"Hak mereka untuk belajar bahasa ibunda dan sepatutnya kita menggalakkan anak-anak Melayu turut belajar bahasa Cina dan Tamil supaya tahu pelbagai jenis bahasa. Tutup SJK tidak menyelesaikan apa-apa," katanya.

Tambah beliau, hasil didikan Umno BN selama 55 tahun melahirkan individu seperti Mohd Noor yang penuh dengan prasangka terhadap kaum lain.

"Inilah hasil didikan Umno BN sehingga melahirkan orang-orang seperti ini.

"Mereka penuh dengan rasa syak wasangka, perkauman yang kuat dan takut pada perkara yang tidak wujud," tegasnya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju tindakan Mohd Noor dikaitkan dengan Akta Hasutan kerana berpandangan akta itu harus dimansuhkan.

"Saya tak setujulah kalau nak kaitkan dengan Akta Hasutan sebab Pakatan Rakyat mahu akta ini dimansuhkan jadi kenapa kita nak kenakan ke atas pihak lain mahupun Umno BN.

"Setiap orang berhak beri pandangan dan Mohd Noor kena bersedialah kalau orang ramai serang beliau kerana keluarkan kenyataan yang menimbulkan kebencian kaum," katanya.

Mohd Noor dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman termasuk mendakwa masyarakat Cina mengkhianati setiakawan dengan orang Melayu dalam satu seminar Pasca PRU13 di Kuala Lumpur semalam.

Zunar tubuh 'Kartunis Lawan Penipuan Pilihanraya'

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Sekumpulan kartunis dengan diketuai oleh Zunar hari ini menubuhkan  gerakan bernama "Cartoonists Against Election Fraud (CAEF) Malaysia" atau Kartunis Lawan Penipuan Pilihanraya.


(Zunar bersama buku-buku kartun yang diterbitkan sebelum ini)


Antara kegiatan CAEF ialah menerbitkan karya-karya kartun dalam internet, buku, risalah dan animasi bagi membangkitkan kesedaran orang ramai tentang betapa besarnya penipuan dalam piliharaya yang diadakan baru-baru ini.

Ia juga dilakukan supaya rakyat bangun melawan penipuan pilihanraya. CAEF juga akan mengadakan road show mengenai isu ini.

"Kami sedia berkerjasama dengan BERSIH serta lain-lain NGO di seluruh negara," kata Zunar dalam kenyataannya.


Bagi Zunar, pilihanraya yang adil adalah faundamental dalam sesebuah negara demokrasi.

Bagi beliau, parti pemerintah Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak telah memenangi Pilihanraya Umum yang diadakan di Malaysia pada 5 Mei lepas dengan menggunakan kaedah penipuan.

Penipuan jelas dikukuhkan dengan fakta bahawa parti pembangkang, iaitu Pakatan Rakyat, yang diketuai Anwar Ibrahim mendapat 50.3% undi popular berbanding 46.8% oleh Barisan Nasional.

Antara penipuan termasuk: rakyat luar negara diberi hak mengundi, penipuan pengiraan, dakwat kekal yang boleh ditanggalkan, pengundi hantu, undi awal yang meragukan, pembelian undi serta senarai daftar pemilih yang meragukan.

Sebagai kartunis, saya berpendirian bahawa Najib dan Barisan Nasional tidak mempunyai kelayakan dari segi perundangan untuk memerintah Malaysia.

CAEF juga akan berusaha menjalin rangkaian dengan gerakan kartunis dan NGO di peringkat antarabangsa di seluruh dunia atas tujuan yang sama.

Matlamat CAEF adalah memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tidak mengiktiraf keputusan Pilihanraya Umum ke-13 dan sebuah pilihanraya diadakan semula dengan pemantauan oleh badan berwibawa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Jika itu tidak dilakukan, kami tidak akan mengktiraf Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya.

CAEF akan bergerak atas wadah Kumpulan Kartunis Independen (KKI).

Majlis pelancaran CAEF akan diadakan di Amcorp Mall (menghadap tasik) pada Sabtu 18 Mei depan dari 11 pagi hingga 6 petang.

Ia akan dirasmi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai  Nurul Izzah Anwar antara jam 4 - 6 petang.

Selain pelancaran, turut akan diadakan ialah pameran kartun mini oleh ahli-ahi KKI, karikatur, sesi autograf dan penjualan buku.

Antara ahli KKI ialah Nor Azlin Ngah (Jonos), Johnny Ong, Amir Hakim (Ahyat), Mohd Afendi Ramli (Ronasina), Haili, Azmie Taha, Lawrence Jeyaraj (Loren), Oly, Abdullah Jones, Amier Hamzah Hashim (Ibnukaduk), Azhar Saad (Art), Azlan Isa (Orang2), Sham Saimun Ezil (Along), Megat, Firdaus dan Baba.

Zunar, Katua CAEF, adalah kartunis politik Malaysia yang merupakan pemenang anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011 oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa.

Hari ini 44 tahun lalu

Rossem, 13 Mei 2013
44 tahun dulu, tanggal 13 Mei 1969, rusuhan pecah. Langit Kuala Lumpur merah. Asap hitam berkepol, rumah-rumah dijarah, tinggal puing, mayat bergelimpangan, rakyat panik.

Ketika itu usia belasan tahun, menuntut disebuah institusi pembelajaran di pinggir Kuala Lumpur, tiba-tiba seorang pegawai Polis pangkat tinggi datang “Sesiapa mahu menjadi sukarelawan polis boleh daftar nama sekarang juga”

Setelah mendaftar nama bersama ratusan teman-teman pelajar. Esoknya dibekalkan selaras senapang setiap seorang dengan 10 biji peluru penabur. Kartu berwarna kuning dengan lambang polis yang tertera nama pemilik diberikan.

“Tugas kamu membantu mengawal pengungsi (pelarian) yang melarikan diri dari kawasan awan ke lokasi selamat yang disediakan pemerintah, iaitu di Stadium Negara dan Stadium Chinwoo yang berdekatan,” kata pegawai polis itu kepada komandan sekolah kami belajar.

Melihat anak-anak kecil yang menangis, ibu-ibu yang ketakutan, dan orang tua yang uzur dan saling curiga mencurigai tinggal dalam kondisi bersesak -sesak sehelai sepinggang dalam stadium, dengan bekalan air minum tak mencukupi apalagi untuk mandi, tandas tak sampai sepuluh buah untuk menampung ribuan penggusi, lalu pertanyaan pun timbul “Politik apa ini?”

Senasib dengan pengungsi ialah petugas seperti kami yang berkerja terus menerus siang malam tanpa ganti, stadium sudah menjadi rumah kami, makan ala kadar dan tanpa gaji atau elaun.

Dalam kepenatan itu, sambil baring, kami menolog “Wahai pemuka-pemuka negara yang bijaksana, kenapa kamu memilih politik perkauman seperti ini?”

Hari ini, genap 44 tahun tragedi Mei 13 berlalu, kita masih bersedih, ada lagi rupanya parti politik yang mengamalkan sikap perkauman!

Lalu teringat ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  di Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk Pengalaman Kelantan,  8 Oktober 2011,  PCB Resort, Kota Bharu.

“Perbalahan kaum seperti terjadi di Kuala Lumpur itu tak berlaku di Kelantan yang ketika itu di bawah pemerintahan PAS,” ujar Tok Guru.

“Ini bukan secara kebetulan, tapi lebih kepada usaha yang dilakukan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Asri Haji Muda memanggil semua penghulu seluruh Kelantan ke JKR 10, memberitahu mereka; "Kerajaan Kelantan tak mahu melihat  walau setitis  darah orang Cina tumpah di bumi ini,  atau sehelai bulu roma terlerai dari badan,” sambung  Tok Guru.  Khalayak non-Muslim yang hadir pun senyum lebar.

Sebuah harapan dari seorang pemimpin  yang meletakkan Islam segala-galanya melebihi ras.

Sekarang perjuangan itu diteruskan sosok yang baru, Datuk Haji Ahmad Yakob.

Kit Siang mahu 5 perkara sekurang-kurangnya

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang menyifatkan Utusan Malaysia telah memulakan kempen untuk memburukkannya sebagai raksasa ke satu tahap baru apabila artikel utamanya di dalam halaman editor bertanyakan soalan ‘Apa lagi Kit Siang mahu?’ yang melancarkan serangan demi serangan tidak berasas.

“Jawapan saya ialah sekurang-kurangnya lima perkara, pilihan raya yang bersih, bebas dan adil; Malaysia sebagai negara demokrasi normal; pemulihan kedaulatan undang-undang;  pendidikan bertaraf dunia dan Malaysia yang bersatu, selamat, hijau, dan sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, Perdana Menteri Malaysia hari ini selepas Pilihan raya Umum ke-13 tentulah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya Datuk Seri Najib Razak.

Ini, katanya kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah untuk menang 125 kerusi parlimen yang dibahagikan di kalangan PKR sebanyak 45, masing-masing PAS dan DAP 40 dengan majoriti selesa 128 daripada 222 kerusi parlimen.

JPPPK langgar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan

Mohd Nor Yahya, 13 Mei 2013
KOTA BHARU: Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan mengkategori tiga senarai iaitu senarai persekutuan, negeri dan senarai bersama, namun apa yang berlaku di Kelantan sejak 1990 berlaku perlanggaran peraturan tersebut. Kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) dianggap banyak pihak melanggar peruntukan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kewujudan JPPK seolah-olah wujudnya sebuah kerajaan dalam kerajaan.

“Peruntukan pembangunan di Kelantan seharusnya dilaksanakan seperti di negeri-negeri lain yang diterajui kerajaan Barisan Nasional.

“Segala peruntukan dari kerajaan pusat harus disalur mengikut senarai yang ditetapkan. Misalnya peruntukan di bawah senarai persekutuan, maka ia harus disalurkan kepada agensi persekutuan yang sudah ada di sini.

“Begitu juga kalau di bawah senarai negeri hendaklah disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan bukan melalui JPPPK seperti diamalkan sekarang,” katanya yang juga anggota Parlimen Kota Bharu,di sini.

Semalam anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyarankan JPPPK dibubar sebagai membuktikan BN Kelantan menerima keputusan pilihan raya umum ke-13.

Sebelum itu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan menyebut Umno menerima keputusan PRU13 ditolak majoriti rakyat Kelantan.

Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata, penubuhan JPPK bercanggah dengan perlembagaan persekutuan kerana kewujudan agensi itu menimbulkan banyak masalah kepada pembangunan negeri.

Misalnya kata beliau di bawah senarai bersama bagi pembinaan rumah awam kos rendah, di mana kerajaan negeri menyediakan tanah dan peruntukan disediakan kerajaan pusat, namun Kelantan dipinggirkan.

“JPPK bertindak seolah-olah sebagai sebuah kerajaan dengan dikuasai pemimpin politik Umno dan Barisan Nasional. Ini tidak sepatutnya berlaku dan ia amat bercanggah dengan perlembagaan,” katanya.

JAWATAN KOSONG: PEMBANTU KEDAI

Unit Pengurusan, 13 Mei 2013
Kami memerlukan calon-calon yang berminat untuk memenuhi jawatan berikut:

JURUWANG / PEMBANTU KEDAI

Kelayakan:-
  • Minimum kelulusan SPM
  • Muslimat tidak melebihi usia 35 tahun
  • Berperawakan sopan, jujur & amanah
  • Berpengalaman mengendalikan ‘cash machine’ & komputer

Permohonan bertulis beserta sekeping gambar berukuran pasport boleh dihantar kepada:

Jabatan Pentadbiran HARAKAH
No. 28, Jalan Pahang Barat
Off Jalan Pahang
53000 Kuala Lumpur
(U/P:  Unit Sumber Manusia)
@
Email:  sumbermanusia@harakah.net.my

Presiden PAS kunjungi MB dan Exco Kelantan

Salmah Mat Husain, 13 Mei 2013
KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang, mengunjungi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob, di pejabat Menteri Besar pagi tadi.

Tuan Guru ditemani Setiausaha Politiknya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu Menteri Besar baru itu.

Kunjungan itu antara lain bagi merakamkan tahniah kepada Ahmad atas perlantikan beliau serta kepada kerajaan Kelantan yang masih mengekalkan kemenangannya masuk tahun ke 23.

Selepas itu, Tuan Guru Ahbdul Hadi juga turut mengadakan pertemuan dengan anggota exco kerajaan negeri yang baru di bilik mesyuarat Menteri Besar.

Pada pertemuan itu beliau mengingatkan kerajaan Kelantan supaya berhati-hati dengan permainan kerajaan pusat yang semakin lemas selepas PRU 13 lalu.

Menurutnya, Umno BN akan memaut sesiapa saja untuk menyelamatkan diri mereka sebagaimana orang yang lemas di laut mencari tempat bergantung agar tidak terus dibawa arus.

“Apa yang penting dasar kebajikan serta pentadbiran berasaskan kasih sayang perlu diteruskan.

"Biar rakyat sayangi kerajaan PAS kerana kebaikkannya dan bukannya takut kerana kerajaan yang garang," katanya.

Sehubungan itu beliau juga mengucapkan tahniah pada anggota-anggota exco baru yang dilantik.

“Saya harap dokongilah kerajaan negeri sebaik mungkin dengan mewujudkan semangat kerja berpasukan dan penuh rasa kasih bersama-sama,”ujarnya.

Tiada ulasan: