Selasa, 14 Mei 2013

ELOK TU..BAGI BUKTI KEMAS2...BAGI SAKSI KEMAS2...DOA KEMAS2..DAPAT SOKONG RAKYAT KEMAS2....TAWAKAL PADA ALLAH KEMAS2....KEMAS2 SAMA DENGAN MANTAP...HUJAH KITA PADAT SERTA MANTAP...HINGGA YANG DIDAKWA TERPAKSA AKUR

Selangor baik pulih rumah di Dun BN dan PR

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad berkata, mengkhianati tanggungjawab pemerintah kepada rakyat bukan budaya Pakatan Rakyat, meskipun berbeza warna kulit, agama mahupun haluan politik.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama, lapor Selangorku.

Bahkan, ujar beliau lebih 100,000 hak milik tanah di Selangor diberikan oleh Kerajaan Pakatan Selangor kepada mereka yang berhak, termasuk penyokong tegar Umno BN.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor itu berkata demikian mengulas keluhan rakyat Terengganu yang kini menjadi mangsa balas dendam politik Umno BN negeri itu.

Bernama melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata tiada rumah mampu milik akan dibina di kawasan yang dimenangi Pakatan di negeri itu.

“Ini satu pengkhianatan, sebab satu kerajaan sepatutnya mereka berkhidmat kepada setiap rakyat kepada negeri tersebut tak boleh pilih siapa yang pilih mereka sahaja yang akan diberikan bantuan,” kata Iskandar ketika dihubungi TVSelangor.

Pada Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ni, BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu apabila memenangi 17 kerusi Dun manakala Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi.

Iskandar menjelaskan pemerintah seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan samarata kepada rakyat, kerana keseluruhan operasi kerajaan, bahkan gaji Menteri Besar itu sendiri, sebenarnya ditanggung oleh pembayar cukai.

“Di Selangor, sebagai contoh kita ada projek ceria, projek membaik pulih rumah pangsa dan pangsapuri, kita baik pulih di semua Dun tidak kira itu Dun BN ataupun Dun PR.

“Kita bagi bantuan ini kepada semua sebab ini tanggungjawab kerajaan, kerajaan kena beri khidmat kepada semua rakyat sebab rakyat membayar cukai,” kata Iskandar yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.

Perlumbaan ini pasti milik kita!

Uncle Brown, 13 Mei 2013
Tipu menang demi kuasa
Tipu menang bukan haknya
Tipu menang sampai gila
Tipu menang rakyat kecewa
Tipu menang rakyat sengsara
Tipu menang sampai bila?
Tipu tapi jangan lupa
Jangan lupa bila sampai masa kebenaran pasti ada
Jangan lupa kemenangan yang benar tetap membara
Jangan lupa suara rakyat suara perkasa
Jangan lupa hasrat rakyat pasti berjaya
Jangan lupa kuasa rakyat kuasa luar biasa

Ku utus salam perjuangan untuk semua
Salam untuk semua pencinta
Pencinta demokrasi Negara
Kukuh berpadu demi semua bangsa
Tolak perkauman yang sangketa
Mari terus bina semangat bersama
Kerana hari ini dalam sejarah bangsa
Bangsa bersatu bangsa bebas merdeka
Semoga dipanjangkan usia wahai pejuang bangsa
Terima kasih dan doaku kirim untuk semua
Kerana perlumbaan ini pasti milik kita!

Uncle Brown
13 Mei 2013

4 peserta ‘Flash Mob Menolak Perkauman’ ditahan

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Hampir 30 polis mengepung Dataran Merdeka tengah hari ini bagi menghentikan program ‘Flash Mob Menolak Perkauman’ anjuran kumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka ‘Angkatan Pembebasan Bangsa Malaysia’.

Empat peserta ditahan dan diminta menyerahkan kad pengenalan kepada ASP Garvinder dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Bagaimanapun, kesemua mereka dilepaskan polis beberapa minit kemudian, lapor KeadilanDaily.

Salah seorang peserta yang ditahan, Ali Abdul Jalil berkata, polis meminta mereka segera bersurai dan menghentikan sebarang perhimpunan dan provokasi menentang kerajaan.

“Kami akan teruskan flash mob ini selagi media arus perdana terus dengan provokasi perkauman,” kata aktivis itu kepada Keadilan Daily selepas dilepaskan.

Kumpulan berkenaan dijadualkan berarak ke Sogo, KLCC dan berakhir di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCHAH) jam 8 malam ini.

‘Flash Mob Menolak Perkauman’ diadakan serentak hari ini pada jam 1 petang di seluruh negara termasuk Selangor (Petaling Jaya, Shah Alam), Pulau Pinang (Kepala Batas, Bertam), Pahang (Bandar Kuantan) dan Kelantan (Kota Bharu).

Pengarah Flash Mob Tolak Perkauman Cabang Kuala Lumpur, Haizal Yatiran menyifatkan Flash Mob berkenaan penting bagi menolak provokasi perkauman yang sengaja dimainkan oleh Umno Barisan Nasional melalui media utama mereka.

Suara hati rakyat

., 13 Mei 2013

Duhai Perdana Menteriku Najib Razak,
Selepas diumumnya keputusan PRU13,
Saya melihat kenaikan barang terus meningkat
Mendadak.

Kenaikan harga roti,
kenaikan harga tarif elektrik,
kenaikan harga gula,
kenaikan harga minyak,
kenaikan harga gas,
Juga GST yang bakal disusuli,
Dan saya yakin banyak lagi yang akan dinaikkan.

Inikah balasannya buat rakyat?
Tindakan ini tiada erti ihsan dan belas kasihan.
Tiada erti berkebajikan,
Tiada erti membalas budi dan memberi harapan.
Juga tiada erti pimpinan ini akan ke hadapan.

Sehinggakan,
Pihak yang ditindas ini terpaksa menubuhkan JK anti kenaikan barang.
Pihak yang ditindas inilah yang memperjuangkan rakyat.
Pihak yang ditindas inilah yang akan menjadi penjamin rakyat.
Pihak yang ditindas inilah yang akan menjaga hak rakyat.
Pihak ini jugalah yang akan berusaha menuntut hak rakyat.

Saya memujuk hati,
Andai wang tersebut diperuntukkan untuk membeli kain bagi menutup sebahagian aurat Datin Rosmah, bermanfaat juga.
Namun, itu hanya mimpi semata.

Kalau dahulu sebelum PRU,
Bertong-tong madu diberi kepada 'mereka',
Kini selepas PRU,
'Mereka' malah dilempar dengan tong madu kosong.
Habis madu sepah dibuang.

Maaf menambah bicara,
Kami Melayu, Cina, India, Kadazan
Bersatu mahu Malaysia wajah baru
Kami rasa tidak yakin dan tidak terbela dengan pimpinan Era Biru.
Kami mahu pimpinan Era Baru.

Selagi belum jumpa yang terbaik,
Selagi belum Malaysia ini BERSIH,
Dari rasuah, agenda kotor,
Selagi duit rakyat hanya untuk kroni,
Kami menolak, menolak, menolak
Demi generasi akan datang.

Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato: "Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu."

Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu.

Oh Malaysiaku..

Ummul Qolbi
Mu'tah, Jordan

Himpunan rakyat berdepan puak rasis

Abdul Shukur Harun, 13 Mei 2013


Isyarat yang sangat jelas apabila menyaksikan himpunan rakyat menentang penipuan dalam PRU yang lalu di Kelana Jaya, Pulau Pinang dan Ipoh, ialah majoriti yang hadir adalah pengundi muda pelbagai kaum dan pengundi bandar yang juga pelbagai kaum.

Himpunan yang dinamakan Himpunan Black 505 – seterusnya akan diadakan dari negeri ke negeri, seluruh negara mencerminkan kemarahan rakyat terhadap pelbagai penipuan yang didakwa berlaku dalam PRU baru-baru ini.

Namun kebangkitan rakyat ini kelihatan berdepan dengan golongan rasis yang mengapi-apikan semangat perkauman dari pelbagai pihak yang dapat disimpulkan bahawa mereka dari golongan yang sangat kecewa dengan prestasi lemah Umno/BN.

Mengenai golongan perkauman ini, saya memetik pandangan Dr. Asri Zainal Abidin  dalam tulisannya di Sinar Harian baru-baru ini yang menentang semangat rasis ini.

Katanya, tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliyah yang diharamkan syarak. Tindakan ini kata beliau, boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara 'multiracial' seperti Malaysia ini.

Kerana, katanya, sikap ini akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar. “Lantas akan menimbulkan ketegangan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas 'prejudice' perkauman,” kataya.

Dr. Asri menyebut, antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiah' yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan.

Islam, kata Dr.Asri, adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi dan keadilan Islam itu merentasi perbezaan pemikiran dan agama.

Sebenarnya pandangan para ilmua agama sudah lama didengar bagaimana Islam menentang fahaman perkauman, namun fahaman jahiliyah ini masih juga berkembang. Maka menjelang PRU yang lalu dan sesudahnya, suara perkauman terus kedengaran dan dihembus dengan kerasnya lagi oleh media yang mendukung fahaman itu.

Oleh itu, kebangkitan rakyat – terutama rakyat  bandar dan generasi muda – yang berlaku sekarang akan terus berdepan dengan golongan rasis ini, namun golongan perkauman ini, akan dapat dikalahkan.

Kemenangan Pakatan Rakyat, khususnya kemenangan besar DAP bukan semata-mata undi Cina, bahkan undi Melayu juga. Umpanya kemenangan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang di Gelang Patah, Lim Guan Eng di Pulau Pinang dan calon DAP di tempat lain bukan semata-mata kerana undi Cina, tetapi juga undi pelbagai kaum.

Begitu juga kekalahan calon BN, Ali Rustam di Bukit Katil di tangan calon PKR, bukan semata-mata kerana penolakan undi Cina di situ, tetapi juga penolakan pengundi Melayu yang ramai di kawasan itu.

Ada puluhan contoh lagi di mana ramai pengundi Melayu bandar dan semi bandar menolak calon BN, di samping pengundi Cina yang  secara besar-besara menolak calon BN sama ada calon BN itu Melayu, Cina atau India. Pengundi bandar dan semi bandar serta pengundi generasi pemuda sudah jelas menolak calon BN bukan kerana bangsa atau keturunan, tetapi kerana BN dipenuhi rasuah, nepotisme, penyelewengan dan lain-lain.

Jelaslah keputusan PRU ke-13 itu tidak memihak kepada Barisan Nasioal, walaupun ia menang tipis, bukan kerana perkauman, tetapi hal-hal yang sudah diketahui umum.

Oleh itu sentimen perkauman itu cuba disemarakkan oleh golongan berkepentingan justeru mereka ini tidak mampu menerima hakikat sebenar.

Sebenarnya, api perkauman ini tidak mudah padam kerana ia akan terus dinyalakan oleh pihak berkepentingan, walaupun sikap mereka ini ditentang oleh Islam. Oleh itu golongan pengundi muda dan pengundi Melayu bandar yang kini sedang bangkit ini akan terus berdepan dengan golongan rasis ini.

Hari-hari mendatang, semakin hangat sambutan terhadap kebangkitan rakyat, semakin besar ‘kemurkaan’ golongan ini. Namun saya sekali lagi yakin golongan tersebut akan hanyut bersama sampah saraf sejarah.

Oleh itu, saya percaya bahawa negara ini yang rakyatnya berbilang kaum dan agama, yang selama ini hidup dengan harmoni, tidak akan menjadi sebuah negara rasis dan diktator seperti negara German di zaman Adolf Hitler.

Saya juga yakin, tidak akan wujud di negara ini kumpulan samseng dan rasis seperti Klu Klux Klan yang diwujudkan oleh Amerika Syarikat sendiri selepas perang saudara di negara itu dulu, semata-mata untuk mempertahankan supremacy kulit putih yang anti pendatang dengan melakukan tindaka keganasan.

Sementara kita menyaksikan terus kebangkitan rakyat, terutama pengundi muda dan pengundi bandar, kita mendengar berita bahawa Pakatan Rakyat sedang menyiasat 27 kes keputusan pilihanraya peringkat parlimen yang dimenangi oleh BN di mana ada laporan mendakwa ada berlaku penipuan.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli yang mengetuai jawatan kuasa penyiasat itu berkata, pihaknya telah menerima 237 aduan dari pelbagai pihak mengenai apa yang terjadi dalam PRU yang lalu itu.

Menurut beliau, 27 kerusi parlime yang akan disasat ialah Bentong, Kuala Selangor, Baram, Sungai Besar, Pasir Gudang, Labis, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Tebrau, Bagan Serai, Kota Marudu, Beaufort, Setiawangsa, Segamat, Ledang, Balik Pulau, Kulim Bandar Bharu, Pulai, Kuala Kangsar, Muar, Pendang, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Merbok, Pensiangan and Saratok.

Mari kita berdoa kepada Allah s.w.t. semoga kes-kes ini akan menang ketika di bawa ke mahkamah nanti. Ini adalah perjuangan yang panjang.

27 kerusi parlimen diteliti untuk petisyen

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat salah laku dan penipuan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memaklumkan sudah menerima 237 aduan dari pada pengundi berhubung salah laku sepanjang proses pilihan raya 5 Mei lalu.

Ketua pasukan itu, Rafizi Ramli berkata antara aduan tersebut termasuklah pengundi yang tidak dibenarkan mengundi kerana namanya sudah digunakan pihak lain untuk mengundi dan isu dakwat kekal yang tanggal pada hari yang sama.

Pada masa sama beliau memaklumkan telah mengenal pasti 27 kerusi parlimen yang dipercayai berlaku penipuan yang memungkinkan pihaknya membuat petisyen di Mahkamah sedikit masa nanti.

Dari jumlah itu kata Rafizi, 19 kerusi ditandingi PKR, manakala selebihnya membabitkan kerusi yang ditandingi PAS dan DAP.

“Pasukan yang digelar #SiasatPRU13 PKR akan menjalankan siasatan berdasarkan empat kriteria iaitu margin kemenangan tipis di bawah lima peratus, tidak sepadan dengan undi rosak, peratusan undi pos dan undi awal mengatasi margin kemenangan daripada undi biasa serta kerusi Parlimen mempunyai bukti penipuan bersama dan laporan polis.

"Empat kriteria itu akan diguna pakai untuk menetapkan kerusi Parlimen dan Dun yang akan disiasat dengan lebih mendalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Beliau juga turut memaklumkan sekurang-kurangnya 25 laporan polis telah dibuat oleh pengundi di seluruh negara berkait penipuan yang berlaku.

Biar Umno perintah, MCA dan Gerakan beralih arah

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Biarkan sahaja Umno memerintah dengan sombong sendirian pasca PRU13 kerana kelak rakyat akan menghukum pula mereka dengan tsunami baru yang jauh lebih ganas melibatkan semua kaum.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai respons kepada pengumuman Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu dan Setiausaha Agungnya, Teng Chang Yeow meletakkan jawatan minggu depan ekoran prestasi terburuk mereka dalam PRU13.

Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didesak kuat oleh akar umbi MCA untuk meletak jawatan juga akan berundur seawal Jun tahun ini.

“Ini bererti kedua-dua presiden parti tersebut akur dengan tekanan dan desakan ahli parti masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, Presiden Gerakan dan MCA cepat menghidu arus politik negara dengan mengundurkan diri kerana bagi mereka, lebih baik berundur diri secara terhormat daripada diundurkan oleh ahli dan rakyat secara paksa.

Sepatutnya, ujar beliau Presiden UMNO belajar dari politik matang seperti ini daripada kedua-dua pemimpin parti komponennya.

Tambahnya, mengambil tanggungjawab, memuhasabah diri serta berundur adalah langkah bijak daripada sibuk menyalahkan komuniti lain atas kegagalan sendiri.
Bagi Riduan, MCA dan Gerakan melihat kepada realiti bahawa trend rakyat sekarang memilih parti yang berasaskan kepada keadilan sosial lebih daripada parti yang berteraskan kepada kaum tertentu semata-mata.

Bagi rakyat Malaysia, tambah beliau sebenarnya perjuangan berteraskan bangsa sudah ketinggalan dan dilupakan, malahan rakyat membenci perjuangan sempit perkauman yang akhirnya akan menjarakkan jurang antara kaum di negara ini.

Bagi rakyat, katanya perjuangan tersebut adalah sia-sia kerana negara ini berkongsi hidup antara setiap kaum kerana setiap kaum saling perlu memerlukan dan pembelaan sewajarnya daripada pemerintah.

Justeru, ujar Riduan lagi Gerakan dan MCA harus belajar dari kesilapan dengan menukar dasar perjuangan mereka.

“Sudah tentu yang paling mudah adalah dengan beralih arah kepada Pakatan Rakyat melalui DAP yang sekarang mendapat sambutan baik daripada rakyat,” ujarnya lagi.

Kata beliau, kekuatan mereka akan lebih terserlah dengan gabungan ketiga-tiga parti bagi membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.

“Dengan peralihan kepada PR akan memudahkan perjuangan mereka diterima oleh masyarakat, asal sahaja agenda perjuangan mereka tidak hanya berteraskan sesuatu bangsa sahaja,” katanya.

Adun disiasat kes rasuah dilantik Exco Terengganu?

Harakahdaily, 13 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman mengkritik pelantikan barisan Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah jawatan pada 11 Mei lalu, kerana menurutnya tiada portfolio khusus berkaitan dengan agama.
"Yang pertama sekali kita melihat tiada Exco agama, pelik, banyak Exco ni seorang pegang beberapa portfolio, tetapi kita lihat, dan kita cari juga, mungkin juga kerana Ustaz Ramli Nuh kalah di Dun Tepoh, lepas tu mereka tiada calon untuk melantik Exco Agama.

"Jadi kami persoalkan di mana letaknya, yang kata Umno ini memberi keutamaan agama Islam sehingga Exco Agama pun tidak ada," katanya dipetik Buletin Online yang meminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberikan penjelasan terhadap perkara tersebut.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Alor Limbat mempersoalkan kredibiliti Exco kerana ada yang dilantik masih disiasat terlibat dengan rasuah.

"Isu perlantikan Exco ini isu rasuah, masih terdapat Exco yang dilantik yang masih disiasat terlibat dengan rasuah, melemahkan integriti kerajaan Terengganu yang ada pada hari ini," tegasnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, Kuala Terengganu semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan Ahmad tidak mahu membangunkan rumah mampu milik dalam Dun yang dimenangi oleh PAS sebagai satu diskriminasi dan kezaliman.

Tiada ulasan: