Dalam Umno menyambut ulang tahun penubuhannya ke-67 hari ini, kebetulan selepas pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas, parti itu perlu mengorak langkah baharu bagi memastikan ia terus relevan.

Antara langkah baru itu, aspirasi dan kehendak golongan kelas menengah Melayu perlu diberi perhatian bagi memenangi hati mereka, kata penganalisis politik.
  
Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak hari ini berkata Umno perlu menyediakan kerangka yang lebih inklusif untuk kelompok tersebut.
  
"Umno memang dekat dengan masyarakat di luar bandar dan Umno  masih mempertahankan kerusi di luar bandar tetapi golongan menengah Melayu yang semakin ramai tidak harus dipinggirkan oleh Umno.
  
"Golongan kelas menengah ini semakin hari semakin besar serta aspirasi dan jangkaan mereka sangat berbeza dengan masyarakat luar bandar dan lain-lain yang bukan kelompok kelas menengah. Aspirasi mereka tak sama dengan aspirasi masyarakat luar bandar," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya, Umno mesti mempunyai pakej yang menarik  untuk kelompok itu dan golongan muda dengan pendekatan untuk mendekati generasi Y itu perlu ditingkatkan lagi.

"Jika tidak berjaya, maka proses peremajaan Umno akan tergendala dan terjejas. Sebab itu, dua kelompok ini sangat penting, Gen Y di bawah kelompok 40 tahun dan kelompok kelas menengah Melayu," katanya.

Dr Mohamed berkata Umno juga tidak boleh meninggalkan sebarang  usaha untuk mendekati masyarakat Cina supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang tidak mesra dengan kaum itu.
  
"Umno harus cari jalan dalam menjaga keharmonian kaum di negara ini," katanya.
  
Katanya selagi Umno menjaga orang Melayu, golongan Bumiputra di  Sabah dan Sarawak, agama Islam dan terus melaksanakan keadilan dalam negara serta mengelak daripada rasuah atau sebagai parti yang tidak bersih, Umno akan terus mendapat sokongan.
  
"Jangan terpalit dengan imej rasuah, atau hanya jaga orang kaya sahaja  atau sebuah parti hanya untuk kelompok Melayu tertentu sahaja.
  
"Umno mesti mengambil sikap dan pendekatan yang inklusif dengan menjaga kepentingan orang Melayu, agama, raja dan adil kepada semua rakyat Malaysia, Umno akan terus dihargai," katanya.
- Bernama
MAS nafi angkut pengundi hantu pada PRU13
8:07AM Mei 11 2013  
Malaysia Airlines (MAS) menolak dakwaan bahawa ia membawa pengundi hantu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.
Sebaliknya, menurut MAS, ia mengangkut 6,553 penumpang dengan menggunakan 57 penerbangan sewa khas komersil sepanjang tempoh 2 Mei hingga 4 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei, yang semuanya rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya berkata kesemua penumpang adalah rakyat Malaysia yang mengemukakan kad pengenalan semasa daftar masuk.    NONE"Malaysia Airlines telah dan akan sentiasa menjadi syarikat penerbangan berintegriti dan oleh itu kami tidak lagi akan bertolak ansur terhadap dakwaan tidak berasas terhadap kami dan kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi kedudukan kami," katanya dalam sidang akhbar di Akademi Malaysia Airlines di Petaling Jaya semalam.
Beliau berkata MAS mengadakan penerbangan sewa khas komersil untuk membawa pengundi pulang ke kawasan mereka agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
  
"Ini adalah penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke empat destinasi iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Kuching, Sibu serta pengundi dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur," katanya.

Ahmad Jauhari berkata syarikat penerbangan itu telah memainkan peranan sebagai syarikat korporat bertanggungjawab dengan memperkenalkan tambang istimewa untuk semua pengundi Malaysia yang terpaksa pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi.
  
"Malah, Malaysia Airlines telah mengetepikan semua penalti bagi rancangan perjalanan yang diubah untuk semua penumpang kami semasa tempoh pilihan raya umum. Kami mungkin satu-satunya syarikat penerbangan yang berbuat demikian," katanya.
  
Beliau berkata kempen promosi PRU13 yang bermula 17 hingga 28 April  mendapat sambutan menggalakkan.  
  
"Dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman kempen itu dibuat, 34,000 tempat duduk telah pun dibeli.
  
"Bagaimanapun, adalah malang beberapa dakwaan dibuat terhadap Malaysia Airlines terutamanya mendakwa Malaysia Airlines membawa pengundi hantu dalam pesawat kami antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak semasa pilihan raya umum baru-baru ini," katanya.
  
- Bernama
Penganalisis: Agihan kerusi kepada MCA, Gerakan perlu dikaji

11 Mei 2013
Dr Azmi Hassan
Dr Azmi Hassan
KUALA LUMPUR -  Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula peruntukan kerusi Kabinet kepada MCA dan Gerakan berikutan prestasi buruk kedua-dua parti itu pada pilihan raya imum ke-13 (PRU13) Ahad lepas, menurut beberapa penganalisis politik.
  
Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata komposisi anggota Kabinet daripada kalangan anggota MCA dan Gerakan wajar dikecilkan berikutan keputusan yang dicapai oleh kedua-dua parti itu pada PRU13.
  
Azmi, yang juga ahli geostrategi, berkata tidak menjadi kesalahan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecilkan agihan kerusi Kabinet kepada kedua-dua parti terbabit.
  
"Jumlah tidak penting sebaliknya apa yang mustahak ialah peranan yang mampu dimainkan oleh mereka (MCA dan Gerakan) yang dilantik untuk menarik kembali sokongan kaum Cina," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Beliau berkata anggota MCA perlu berpegang kepada ikrar yang dibuat mereka pada mesyuarat agung tahunan parti itu sebelum ini, jika "terima sudah tentu ia melibatkan soal maruah mereka (MCA)."

MCA sebelum ini mengumumkan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika prestasinya pada PRU13 lebih teruk daripada PRU12 apabila parti itu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri.
  
Pada PRU13 MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90 kerusi     Dewan Undangan Negeri (DUN).
  
Gerakan pula hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam, daripada 11 kerusi yang ditandinginya, dan tiga kerusi DUN iaitu Pemanis di Johor dan Tanjong Papat serta Elopura di Sabah, daripada 31 kerusi yang ditandinginya.
  
Sebelum Parlimen dibubar pada 3 April lepas, MCA mempunyai empat menteri penuh dalam Kabinet iaitu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan); Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan); Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan).
  
Selain itu terdapat tujuh timbalan menteri iaitu Datuk Seri Donald Lim Siang Chai (Kementerian Kewangan); Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani); Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Ir Wee Ka Siong (Kementerian Pelajaran); Gan Ping Sieu (Kementerian Belia dan Sukan); Datuk Dr Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Datuk Heng Seai Kie (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
  
Gerakan pula mempunyai seorang menteri penuh apabila Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dilantik sebagai senator diberikan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala dua lagi anggota parti itu iaitu Senator Kohilan A.Pillay sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.
  
Bagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Shukri Shuib pula agihan kerusi boleh dikecilkan, namun kerajaan jangan sesekali menyisihkan wakil kaum itu daripada Kabinet agar masyarakat Cina terus yakin dengan kesungguhan kerajaan.
  
"Kalau masyarakat Cina tidak percaya kepada ahli politik Cina yang dibawa oleh MCA dan Gerakan cari alternatif lain seperti lantik golongan yang boleh kembalikan keyakinan mereka termasuklah golongan intelektual atau pakar tertentu," katanya.
  
Penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata wakil MCA dan Gerakan harus kekal ada dalam barisan Kabinet bagi mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi amalan di negara ini.
  
Konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN harus diteruskan, tetapi pada masa sama kepercayaan parti harus dijadikan landasan oleh MCA dan Gerakan untuk berusaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka, katanya.
  
"Bagi saya keputusan MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet harus ditimbangkan semula atas dasar perpaduan dan kepentingan masyarakat Cina.
  
"Perwakilan Cina dalam Kabinet masih perlu untuk membawa aspirasi sebahagian masyarakat itu yang masih menyokong BN dan suara mereka harus diwakili di peringkat tertinggi," katanya.
  
Mohd Fuad berkata walaupun kalangan bukan ahli politik boleh menjadi alternatif untuk mewakili kaum itu dalam Kabinet, namun penyertaan wakil rakyat MCA dan Gerakan yang menang pada pilihan raya lepas wajar ditimbangkan bagi memastikan tidak timbul rasa tidak puas hati mana-mana pihak.
  
"Mungkin kalau tidak ada langsung wakil daripada parti itu akan menyebabkan wakil rakyat mereka terutamanya yang menang pada PRU-13 merasa demoralised, kecuali mereka sememangnya tak mahu langsung (menerima jawatan)," katanya.
  
Bagi Dr Noor Sulastri Yurni Ahmad dari Universiti Malaya (UM), penyertaan MCA dan Gerakan dalam Kabinet bukan sahaja perlu dikecilkan, malah dikecualikan berikutan prestasi teruk kedua-dua parti itu yang menjadi indikasi rakyat tidak mahu diwakili oleh anggota parti itu.
  
"Seharusnya siapa yang menang dengan majoriti yang banyak patut diberi peluang untuk pegang jawatan. Jika suam-suam kuku tidak perlu simpan orang begini sebab rakyat sudah buat pilihan dan jika kerajaan terus ambil risiko (melantik mereka), dalam tempoh lima tahun akan datang, rakyat akan lebih marah," katanya.
  
Noor Sulastri Yurni mencadangkan peruntukan kerusi MCA dan Gerakan diisi oleh wakil komponen parti dari Sabah dan Sarawak yang mendapat majoriti besar.
  
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee turut sependapat dengan berkata pilihan anggota Kabinet harus mengambil kira keputusan rakyat yang memberi signal jelas menolak untuk diwakili oleh MCA mahupun Gerakan.
  
"Trend PRU13 menampakkan masyarakat Cina tidak perlukan BN, yang menyokong pun hanya dalam 10 hingga 15 peratus sahaja, jadi jelas kehendak masyarakat itu tidak mahu bersekongkol dengan BN dan tidak mahu BN mewakili mereka, kita ikutlah, jangan beri mereka apa-apa (jawatan).
  
"Berdasar konsep 1Malaysia, perdana menteri mahu membuktikan beliau perdana menteri bagi semua kaum, tetapi jika masyarakat Cina rasa tak perlu apa yang dilakukan BN, maka tidak salah kalau kita tubuh Kabinet yang diwakili kaumlain," katanya. - Bernama
Husam berjuang hingga akhir hayat
HABSAH ISMAIL
11 Mei 2013
Husam Musa
Datuk Husam Musa
KOTA BHARU - Gugur daripada barisan Exco Kanan Kerajaan Negeri tidak mematahkan semangat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri, Datuk Husam Musa untuk terus mempertahankan kerajaan Pas sehingga akhir hayatnya.

Katanya, selagi Pas ini berdiri atas nama Islam yang Syumul, melaksanakan kewajipannya mengikut Allah SWT, beliau akan tetap mempertahankan kerajaan Pas sampai akhir hayatnya.

"Tetapi kalau kerajaan ini (Pas) bersifat duniawi yang nak mengaut balak, lombong, Nauzubillah… Ampunkan saya kalau saya berdiri di dalam dewan untuk memperbetulkan kerajaan.

 “Saya masuk dalam perjuangan ini bukan main-main. Saya masuk ini untuk melihatkan apa yang kita usrahkan Islam yang syumul, Islam yang komprehensif, yang menjaga khazanah negeri dan negara supaya miskin dan yatim piatu, mereka itu dibela dan Islam menjadi model. Ini cita-cita saya,” kata Husam yang juga Adun Salor. .

 Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Pondok Pasir Tumboh, di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, beliau turut mengakui tidak menerima jemputan untuk hadir mesyuarat pada pagi 6 Mei lalu.

“Maaf, saya tidak terima jemputan tersebut. Tolong tunjukkan surat, sistem pesanan ringkas (SMS), telefon, yang bercakap dengan saya. Maaf saya tidak mahu perbesarkan isu ini. Ini perkara teknikal. Tidak perlu jelaskan.

“Saya boleh terima semua keputusan tersebut demi kebaikan parti, kemudian diganti dengan sebab-sebab saya tidak dilantik. Saya tidak minta apa sebab saya tidak dilantik. ‘Terkilas ikan di air, saya tahu jantan betinanya’,” katanya.

Husam yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan selama dua penggal berkata, atas pengguguran tersebut, beliau bukanlah orang yang yang berfikiran buntu, malah dapat mengesan perkara itu sejak empat tahun lalu.

“Jadi, tidak perlu beri sebab, saya tahu sebabnya. Sebab itu ada dalam dada saya. Saya tak perlu dedah kepada sesiapa demi menjaga keharmonian parti kita.

“Ibarat kalau kita pergi meminang anak orang, tiba-tiba tak jadi kahwin, atas sebab tertentu. Tidak perlulah beritahu (sebab) bulu betis dia panjang, kepala lutut dia senget, hidung dia kembang sebelah. Itu akan menyebabkan sakit hati teman yang kita pinang itu. Biasa kita sebut, tiada jodoh,” katanya.

Beliau akui boleh menerima keputusan tidak disenaraikan dalam exco di bawah pimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, malah tidak pernah meminta namanya dimasukkan semula ke dalam senarai exco kerana menganggap kerajaan Pas adalah kerajaannya.

Katanya, sebagai orang Melayu, mereka perlu menjaga tatasusila tanpa melibatkan sultan dalam memberikan alasan demi menjaga keharmonian.
Guan Eng dakwa MCA, Gerakan kebudak-budakan
Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2013
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyifatkan MCA dan Gerakan bersikap kebudak-budakan kerana bertindak menutup pusat khidmat selepas kalah pada PRU13.

Menurutnya, tindakan itu menyerlahkan lagi hakikat sebenar bahawa perjuangan yang mereka laung-laungkan selama ini tidak serius dan tidak telus kepada rakyat.

“Mereka nak tutup (pusat khidmat), tutuplah. Saya rasa mereka sekarang sudah tidak boleh terima kenyataan bahawa mereka kalah dan tidak diterima rakyat.

“Saya minta mereka bersikap profesional. Adat bertanding, ada kalah ada menang. Kita juga pernah kalah dulu, tapi tak ada pula bertindak seperti mereka, sampai nak tutup pusat khidmat,” katanya kepada media semalam.

Beliau mengulas tindakan dua parti berkenaan menutup beberapa pusat khidmat kerana didakwa kesal dengan sambutan pengundi di negeri ini kerana menolak calon BN.

Sementara itu, Setiausaha MCA Bahagian Bayan Baru, David Yim ketika dihubungi berkata, isu menutup pusat khidmat itu tidak timbul berikutan ia ada kena mengena dengan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadualkan akan dilaksanakan enam bulan lagi.

Menurutnya, isu MCA dan Gerakan bersikap kebudak-budakan tidak timbul berikutan EGM bakal dilaksanakan dan ia selaras dengan penolakan rakyat terhadap kedua-dua parti itu.

"Kalau Guan Eng mendakwa kita bersikap kebudak-budakan, mengapa pada 2008 kita tidak tutup sedangkan masa itu kita kalah juga.

“Bukan semua pusat khidmat ditutup, ada beberapa sahaja. Bagi wakil rakyat yang tutup pusat khidmat mereka itu, mereka ada alasan sendiri, bukan sebab merajuk atau sebagainya. Lagipun, EGM dah dekat. Jadi saya rasa tidak salah tindakan menutup pusat khidmat mereka itu. Adil bagi mereka untuk menutupnya,” katanya.
Anwar mungkin dipanggil
NORADILA MAHAMAD
11 Mei 2013
Anwar mungkin dipanggil
Anwar ketika berucap pada perhimpunan di Stadium MBPJ di Kelana Jaya, Rabu lepas.
KUALA TERENGGANU - Polis akan memanggil semua yang berkenaan, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan haram di Stadium MBPJ di Kelana Jaya, Selangor, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, siasatan dijalankan kerana perhimpunan itu diadakan tanpa kebenaran selain unsur-unsur lain yang menyalahi undang-undang.

“Tidak kira siapa pun individu itu, kami (polis) akan memanggilnya dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana ucapan berbaur hasutan.

“Kita akan mengambil tindakan sekiranya melanggar peraturan, apatah lagi menghasut supaya bermusuh antara satu sama lain dan menggunakan perkataan bagi menghina seseorang,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi anggotanya, Superintendan Ghazali Daud, di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), di sini.

Kemalangan pada awal pagi 30 April itu meragut nyawa isteri Ghazali dan dua daripada tujuh anak mereka.

Lima lagi anak mereka cedera.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Perhimpunan di Stadium MBPJ itu bertujuan membantah keputusan PRU13 yang didakwa pembangkang sebagai mempunyai unsur-unsur penipuan.

Ismail meminta semua pihak tidak mengeruhkan keadaan dengan menyemarakkan api perkauman kerana PRU13 telah berjalan mengikut proses amalan demokrasi negara.

“Rakyat telah membuat keputusan dan janganlah mana-mana pihak mengambil kesempatan ini dengan melakukan sesuatu yang mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Tambahnya, perkara itu tidak elok untuk keharmonian masyarakat, apatah lagi kerajaan baru sama ada peringkat pusat mahupun negeri, telah pun dibentuk.

“Saya minta semua lapisan masyarakat jangan bercakap dan menulis sebarang bentuk unsur negatif yang boleh merosakkan perpaduan, ketenteraman awam serta yang menakutkan orang ramai.

“Hormatilah keputusan rakyat dan sistem demokratik yang ada,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, polis masih melakukan siasatan terhadap dua penulis blog, Papa Gomo dan King Jason yang ditahan polis dipercayai berhubung tindakan menyiarkan sentimen berbaur perkauman menerusi blog masing-masing.