Khamis, 9 Mei 2013

JANGAN PADANG SEPI ATAU KECIL KEBANGKITAN RAKYAT....TIADA RAKYAT TIADA PEMIMPIN....PEMIMPIN TIADA MARUAH@POWER JIKA TAK DAPAT SOKONGAN PADU DARI RAKYAT

MB bentang cadangan potfolio exco Kelantan

Harakahdaily, 09 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (gambar) hari ini membentangkan senarai potfolio kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah dilantik.

Pembentangan itu dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Perkara ini dimasukkan beliau di dalam facebooknya hari ini.

Portfolio exco baru kerajaan negeri Kelantan yang dibentangkan adalah sebagaimana berikut :

1. Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan yang akan dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Yakob.

2. Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli yang dipengerusikan oleh  Datuk Haji Mohd Amar bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan.

3. Jawatankuasa Kerjaaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh  Datuk Haji Abdul Fattah Hj Mahmood

4. Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh  Datuk Haji Che Abdullah bin Mat Nawi

5. Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat yang dipengerusikan oleh  Datuk Haji Anuar Tan bin Abdullah

6. Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau yang dipengerusikan oleh Datuk Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud

7. Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan yang dipengerusikan oleh  Datuk Mejar (B) Hj Mohd Anizam bin Abdul Rahman

8. Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat yang dipengerusikan oleh  Haji Hanifa bin Ahmad

9. Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi yang dipengerusikan oleh  Datuk Dr Mohamed Fadzli bin Dato Haji Hassan

10. Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat yang dipengerusikan oleh  Hajah Mumtaz bin Md Nawi

11. Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO yang dipengerusikan oleh  Dr Ramli bin Mamat

"Harapan saya agar semua exco yang dilantik memegang portfolio masing-masing ini dapat menjalankan tugas dengan lancar dan sempurna di bawah keredhaan Allah SWT, Insya-Allah," katanya dalam facebook.

PRU13: Najibnomic Terus Berkuasa

Syahir Sulaiman, 09 Mei 2013
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raf : ayat 96)

BN memenangi kerusi, PR memenangi undi

Pada tarikh 5 Mei 2013, sejumlah 11.2 juta (84.84%) daripada 13.2 juta pemilih berdaftar telah menunaikan kewajipan sebagai pengundi dalam PRU13, yang berakhir dengan Barisan Nasional (BN) diisytiharkan berjaya mempertahankan kuasa di peringkat Persekutuan dengan majoriti yang berkurangan berbanding pada PRU12 yang lalu.

Keputusan PRU13, pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik tanah air, menyaksikan BN memenangi 133 (60%) daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan, jatuh daripada 140 (63%) kerusi yang dimenangi dalam PRU12. Pakatan Rakyat (PR) pula berjaya memenangi 89 (40%) kerusi parlimen; DAP-38, PKR-30 dan PAS-21; rekod tertinggi yang dicapai oleh pembangkang dalam sejarah pilihan raya Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

Peratusan keluar mengundi pada PRU13 di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri turut mencatatkan rekod baru apabila melepasi paras 84% berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu 78.9% (PRU 1964), di samping turut menyaksikan pertambahan pengundi baru yang tertinggi (2.4 juta) berbanding pertambahan tidak melebihi 1 juta pada PRU sebelum ini.

Walaupun BN (133) mengatasi PR (89) pada kedudukan kerusi parlimen, iaitu penguasaan 60% daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen, PR buat pertama kali berjaya menafikan penguasaan undi popular yang dimenangi BN apabila memperolehi 51.3% daripada keseluruhan undi yang diterima berbanding BN yang hanya menerima 48.7% undi, sebagaimana dibuktikan daripada majoriti kemenangan yang tipis bagi pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di beberapa kerusi parlimen dan negeri.

Ketidakseimbangan penguasaan kerusi dan undi ini bakal mencorak halatuju dasar dan polisi negara dalam tempoh 5 tahun mendatang, khususnya dalam usaha mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat dan memperkukuhkan daya saing ekonomi negara.

Kesinambungan dasar Umno-nomic

Keputusan PRU13 yang bersifat ‘status-quo’ bermakna segala dasar, polisi dan program ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-6 akan terus dilaksanakan.

Beberapa penganalisis ekonomi dan pelaburan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus berkembang pada kadar 5.0% - 6.0% bagi tahun 2013 dan 2014, kesan daripada kelangsungan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi, sentimen pelabur yang meningkat serta pengukuhan pendapatan dan permintaan domestik. Namun, dengan margin kemenangan BN yang kecil, beberapa dasar ekonomi yang ‘tidak popular’ dijangkakan tidak mampu untuk dilaksanakan dengan mudah, khususnya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Program Rasionalisasi Subsidi (PRS) yang tertangguh sejak 2011 akibat pilihan raya, pemberian konsesi tol yang baru dan agihan kontrak projek mega tanpa tender terbuka yang bakal mengundang polemik di kalangan rakyat, di samping akan memberi impak kepada peningkatan kadar inflasi pada paras 2.0% - 3.0% bagi tahun 2013 dan 2014.

Implikasi ekonomi pasca PRU13 secara lebih terperinci dapat diperhatikan dalam beberapa aspek berikut:

1. Timbal-balik dana politik – Umum dapat melihat bagaimana BN, dan juga PR, berbelanja besar sebelum dan sepanjang tempoh berkempen pilihan raya, dengan dana yang dibiayai daripada pelbagai sumber. Aktiviti pembiayaan dana kempen (political funding) di Malaysia adalah tidak telus dan kurang pemantauan, menyebabkan sukar untuk rakyat menilai secara terbuka jumlah dan ganjaran yang diperoleh oleh pihak yang terlibat. Dengan jumlah 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN yang dipertandingkan, jumlah dana yang dilaburkan oleh pihak yang menang mahupun yang kalah sepanjang tempoh berkempen boleh mencecah anggaran minima sekitar RM1 juta – RM5 juta untuk setiap kawasan, mencecah RM1 bilion secara agregat di seluruh negara. Jumlah pembiayaan ini pastinya menuntut kepada timbal-balik (payback) yang akan ‘dilunaskan’ melalui pemberian tender dan kontrak kerajaan secara tidak telus kepada kontraktor-kontraktor yang diragui, di samping nilai tender yang tinggi pada kadar yang tidak munasabah. Ini pastinya menuntut kepada akauntabiliti dan tranparensi oleh calon-calon yang bertanding, terutamanya bagi mereka yang menang dan memegang jawatan utama di di peringkat kerajaan Persekutuan, Negeri dan PBT serta syarikat-syarikat GLC.

2. Subsidi, GST dan Inflasi – Dianggarkan peruntukan subsidi bagi tahun 2013 adalah RM37.6 bilion, sebahagian besarnya untuk subsidi minyak (RM20 bil) dan pendidikan (RM6 bil). Manifesto BN yang bersifat populis tidak menyatakan secara terbuka tentang subsidi (kenaikan harga minyak, gula dsb), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), saman AES dan seumpamanya. Rakyat boleh menjangkakan kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi (pengurangan subsidi) yang akan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak RON95 sekitar 30 sen – 50 sen dalam tahun ini, seterusnya memberi impak kepada kenaikan harga barangan yang lain. Pembentangan bajet 2014 pada Oktober tahun ini dijangka akan mengumumkan kerangka asas pelaksanaan GST, dengan anggaran 5%-6% kadar cukai untuk setiap perbelanjaan. Dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM2,000 sebulan, kadar cukai GST yang perlu dibayar adalah RM100 sebulan, atau RM1,200 setahun, bersamaan dengan nilai BR1M yang akan diteruskan dalam tempoh 5 tahun lagi.

3. Defisit & Hutang Negara – Kelangsungan kuasa kerajaan BN bermakna penerusan projek dan program yang telah dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri yang menelan belanja berbilion ringgit, antaranya projek-projek di bawah ETP/GTP, pembangunan koridor-koridor (Iskandar Malaysia, ECER, NCER, SCORE dll), projek minyak dan gas (Petronas, Pengerang, SapuraKencana dll), projek MRT dan LRT di Lembah Klang, projek Keretapi Laju KL-Singapura, projek naiktaraf Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur, pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dan Lebuhraya Pan-Borneo, di samping projek-projek perbekalan air di Lembah Klang, Selangor dan Kelantan. Ditambah pula dengan saiz kabinet dan kos operasi kerajaan yang sentiasa meningkat, ini pastinya memberi kesan negatif kepada usaha kerajaan untuk mencapai pengurangan kadar defisit belanjawan 3.0% pada tahun 2015 di samping mengawal kadar hutang kerajaan yamg terus meningkat untuk tidak melepasi paras 55% nisbah hutang kepada KDNK.

4. Kos Sara Hidup & Hutang Isi Rumah – Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK telah meningkat daripada 77% pada tahun 2011 kepada 80% pada tahun 2012, dan dijangkakan akan terus meningkat. Ini bermakna secara purata setiap rakyat menghabiskan lebih separuh daripada pendapatan bulanan untuk melangsaikan hutang, khususnya ansuran pembiayaan perumahan (harga rumah yang tinggi), pembiayaan kenderaan (kereta mahal akibat duti eksais 100%), hutang kad kredit, hutang pajak-gadai dan seumpamanya. Langkah kerajaan untuk menaikkan nilai BR1M kepada RM1,200 di samping pemberian bantuan dan elaun yang pelbagai dilihat tidak mampu menyelesaikan punca utama peningkatan kos sara hidup rakyat. Ini kerana rakyat akan terus terbeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian, dengan anggaran penambahan kos RM100-RM200 sebulan. Rakyat pastinya ternanti-nanti pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga kereta sebanyak 20%-30% dalam bajet 2014, seterusnya dapat memiliki lebih 1 juta rumah mampu milik yang dijanjikan oleh kerajaan.

Bersama kita saksikan sejauh mana Najibnomic akan terus berkuasa, tatkala kesedaran rakyat, khususnya generasi muda kini semakin meningkat untuk melihat model urustadbir ekonomi negara yang lebih telus, adil dan berkebajikan, demi membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kelantan tubuh Institut Pemikiran Tok Guru

Muhamamd Yusri Amin, 09 Mei 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan mewujudkan Institut Pemikiran Tok Guru sebagai usaha kerajaan negeri terus memperkasakan institusi ulamak di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, penubuhan itu juga sebagai satu pengiktirafan kepada jasa Bekas Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita juga mahu meraikan serta meletakkan jasa Tok Guru selama ini memimpin Kerajaan Kelantan sejak 1990 sehingga 6 Mei 2013.

“Objektif penubuhan institut ini ialah bagi mempastikan legasi Kepimpinan Ulama diabadikan dalam institusi selain menjadi rujukan dan pengembangan Dasar Membangun Bersama Islam dan UMI (konsep Ubudiyyah, Mas’uuliyyah dan Itqaan)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10, Kg Sireh dekat sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata institut itu juga akan menjadi pusat penyelidikan (R&D) bagi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Beliau juga berkata, biarpun Tok Guru Nik Aziz tidak lagi menjadi menteri besar, namun Tok Guru akan sentiasa dirujuk oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan nasihat dan pandangannya.

"Bahkan ianya diwujudkan supaya ikon Tok Guru  tidak hilang walau pun tidak menjadi Menteri Besar, namun Tuk Guru tetap ‘bergerak’, berkuliah, berceramah di samping kegiatan dakwah yang lain," katanya lagi.

Pejabat operasi Institut Pemikiran Tuk Guru itu dicadang diletakkan di Kompleks Pejabat SUK sebagai pejabat khas.

Ianya akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa yang akan dibentuk.

“Perkara ini akan diangkat kepada pihak Kerajaan Negeri untuk urusan selanjutnya termasuk perbincangan aspek teknikalnya sebelum mendapat kelulusan pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Rashid Hasnon dilantik TKM 1 P. Pinang

Mohd Sabri Said, 09 Mei 2013
GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Mohd Rashid Hasnon dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mulai hari ini.

Majlis angkat sumpah berlangsung pagi tadi yang diadakan di Dewan Sri Pinang di hadapan Tun Yang Terutama Datuk Seri Tun Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas.

Rashid juga memegang forfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keusahawanan.

Rashid yang ditemui Harakahdaily berkata, beliau akan meneruskan usaha penyandang terdahulu Dr Mansor Othman untuk mempekasakan martabat koperasi dan usahawan dan berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berkaliber.

"Apa yang telah disusun oleh Kerajaan Pakatan Rakyat penggal lalu begitu bermanfaat pada rakyat. Maka, saya akan teruskan, Insya Allah," katanya.

Sementara itu, Prof Dr. P.Ramasany kekal untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 2.

Beliau turut diamanahkan sebagai Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia,  Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu Chow Kon Yeow dilantik sebagai Exco Kerajaan Tempatan, pengurusan dan Tembatan Banjir, Datuk Malik Kassim sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan.

Choong Eng pula dilantik sebagai Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti serta Kesenian, Lim Hock Seng sebagai Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air dan Telekom) serta Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi).

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan pula dipegang Law Heng Kiang manakala Phee Boon Poh pula dilantik sebagai Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Exco Perancangan Bandar dan Desa serta Perumahan pula diberikan kepada Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh manakala Adun termuda dari Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dilantik sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan.

PRU14 : kita perlukan undi Malaikat

Nasrudin bin Hassan, 09 Mei 2013
1] Keputusan PRU 13 terlalu banyak tanda tanya yang melibatkan ketelusan dan kejujuran BN menghadapi PRU dan SPR yang mengendalikan PRU tersebut. Bermula laporan polis berkait dakwat kekal yang boleh dihilangkan sepenuhnya dalam tempoh tak sampai setengah jam sebagaimana berlaku di seluruh negara hinggalah laporan mengenai sogokan wang kepada pengundi jika mereka memberi undi kepada BN sebagaimana yang berlaku di DUN Tioman dan DUN Bukit Ibam.

2] Ketidaktelusan ini, jika boleh berlaku di satu kawasan maka tidak mustahil ia boleh berlaku di tempat yang lain pula. Tanggapan ini berasaskan hilangnya nilai integriti pada pelakunya. Tidak hairanlah 1001 lagi penipuan, penyelewengan dan keraguan berlaku termasuklah menggunakan pengundi warga asing, kertas undi awal yang tidak boleh dipantau dalam lokap, blackout dan lain - lain perkara yang mencetus rasa ragu dan hilang kepercayaan umum kepada sistem demokrasi negara.

3] Sebenarnya perkara seperti ini telah kedengaran dalam setiap kali PRU, cuma PRU13 dilihat sangat ketara. Tambahan pula berlaku dalam suasana rakyat terbanyak memberi sokongan dan menterjemahkannya kepada undi yang besar pada Pakatan Rakyat keseluruhannya sehingga meletakkan Barisan Nasional terpaksa membentuk kerajaan yang tidak popular.

4] Namun sistem "Westminster" yang bercirikan "First past the post" membolehkan BN membentuk kerajaan biarpun tidak memiliki undi popular. Justeru itu saya melihat PR pada masa akan datang setelah saya menilai pengalaman 6 kali PRU memerlukan "Undi Malaikat" bagi maksud menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

5] Allah SWT menjelaskan bahawa malaikat-Nya pernah turun membantu tentera Badar [313 orang] saat mereka berdepan dengan kekuatan musuh yang berlipat ganda [1000 orang]. Lihatlah bagaimana Allah swt menjelaskan situasi itu :

“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

“(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.”

Surah Ali Imran : 122 - 125

6] Meneliti pendedahan Allah SWT yang memberi kemenangan kepada tentera Badar melalui bantuan ketenteraan malaikat, meskipun mereka dalam serba kekurangan adalah berpaksi kepada beberapa perkara yang mesti dimiliki terlebih dahulu oleh mereka sebelum mendapat bantuan malaikat tersebut. Perkara yang saya maksudkan itu hanyalah 3 perkara:

Taqwa + Ikhtiar + tawakal

7] Adunan tiga perkara ini menjadikan mereka layak mendapat sokongan dan bantuan 3 - 5 ribu tentera malaikat. Lantaran itu saya menegaskan, kita juga mesti berusaha mendapat bantuan malaikat ini untuk menang mengatasi lawan. Jika kita yang terdiri dari saf pimpinan, petugas dan ahli jamaah memiliki takwa, ikhtiar dan tawakkal yang cukup dan jelas, tidak mustahil kita juga akan dibantu oleh malaikat yang turun mengundi dan memberikan kita lebihan majoriti 3 - 5 ribu undi insyaallah.

8] Hanya "undi malaikat" yang boleh membawa kita menang dan akhirnya mampu melaksanakan perubahan besar dalam negara kita. Namun "undi malaikat" hanya akan diperoleh jika dasar, tindakan, hala tuju perjuangan yang kita dokong adalah "patuh syariah" atau dalam ertikata lain ia tidak bertentangan dengan syariah.

9] Termasuklah parti dan aktiviti tahaaluf siasi kita. Walaupun ia dari parti non muslim, asal mereka tidak menentang dan bertentangan dengan syariah malah menepati prinsip tahaaluf siyasi, maka ia berhak mendapat rahmat Allah SWT. Seperti usaha non muslim bertahaaluf dengan kita untuk menentang rasuah, monopoli, penyalahgunaan kuasa, penginayaan dan sebagainya adalah dikategori berkonsepkan patuh syariah dalam aspek politik justeru Islam turut mengajar kita agar menentang rasuah dan penginayaan.

10] Ertinya tidak memadai dengan hanya bergantung kepada kekuatan material semata - mata tanpa menafikan betapa perlunya kita memperkukuhkan kewangan, jentera, bahan kempen, strategi dan sebagainya. Segalanya itu adalah faktor membantu kemenangan kita. Apa yang perlu diinsafi ialah kita mesti memiliki faktor penentu kemenangan iaitu Nusrah Allah SWT.

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali-Imran 126)

Akhirnya, Pakatan Rakyat mesti bermula dari sekarang. Jangan meletakkan kedudukannya bertentangan dengan kehendak Allah SWT tuhan yang maha mencipta dan memberi rezeki. Termasuklah menyelesaikan isu kerusi bertindih dari awal agar tidak berlaku sengketa pada saat akhir yang merumitkan jentera untuk bekerja dan apa yang malang, ia akan membinasakan dan menghilangkan kekuatan kita ekoran sengketa yang berlaku.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Adun Tanjung Sepat garis 5 perancangan untuk rakyat

Salmiyah Harun, 09 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat Ir Mohd Haslin Hassan yang berjaya menewaskan dua calon iaitu BN dan bebas dalam PRU13,  telah menggariskan lima perancangan yang perlu diusahakan untuk rakyatnya.

Haslin yang merupakan seorang jurutera profesional berusaha membantu membangunkan generasi muda dengan ilmu dan kefahaman dengan menginstituskan platform yang sedia ada.

Malah katanya, anak muda yang mahukan perubahan pada hari ini perlu diberikan ruang kerjaya berkonsepkan usahawan khususnya anak muda yang keciciran.

Beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia berhasrat menaiktaraf dan mengopitimumkan penggunaan bangunan-bangunan usang sedia ada supaya mengembalikan keceriaan dan mempunyai nilai komersil.

"Selain itu, kita akan membantu membangunkan Pantai Batu Laut sebagai pusat Komuniti, riadah & reakrasi. Dan yang paling penting membantu membangunkan prasarana asas nelayan-nelayan kecil tempatan terlebih dahulu," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang pernah bertanding pada PRU12 lalu tidak menafikan pada awalnya untuk menang di kawasan dalam Parlimen Sepang itu agak sukar bagaimanapun beliau optimis.

"Terus terang saya katakan nak menang agak sukar, tetapi tidak mustahil untuk mencipta sejarah. Keinginan dan adanya angin perubahan daripada rakyat di samping gerak kerja jentera yang bijak mengambil peluang," katanya.

Haslin pernah bertanding pada PRU12 dan tewas dengan calon BN dengan majoriti sebanyak 2,374 undi, namun untuk PRU13 ini beliau bangkit dengan mendapat undi 10,129 sekali gus  menewaskan calon BN dan Bebas dengan majoriti kemenangan 682 undi.

Foto-foto pilihan: Lautan Hitam 2013

http://khairulhazwan.net, 09 Mei 2013
Lautan Hitam 2013
DSC_7008rs
Tolak Penipuan PRU13.
Itu intipati utama perjuangan Pakatan Rakyat kali ini. Hari ini, 8 Mac 2013, sejarah Malaysia sekali lagi diukir oleh Pakatan Rakyat dimana lebih 120,000 rakyat Malaysia berkumpul di Stadium Kelana jaya bagi memprotes Pilihanraya Umum 2013 yang diadakan baru-baru ini.
Saya berada disana, kebetul mungkin. Bukan untuk menyokong, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang mahu mendengar hujah dari ketua Pembangkang negara mengenai soal PRU13 tahun ini. Dikhabarkan PRU13 kali ini dicemari dengan segala bentuk penipuan.
Ramai yang mengatakan kepada saya supaya jangan pergi, katanya tiada permit. Tapi sebagai seorang photojournalist, alasan budak-budak ini tidak menghalang saya untuk merakam detik bersejarah ini sebagai koleksi peribadi saya. Tidak banyak yang berjaya saya kupas kali ini, mungkin faktor lautan hitam manusia yang terlalu ramai yang membuatkan saya sukar bergerak. Eh, ini alasan kan? :)
Enjoy hasil nurkilan saya untuk malam ini.
Salam sayang buat semua.
DSC_7444rs
DSC_7163rs
DSC_7050rs
DSC_7079rs
DSC_7107rs
DSC_7565rs
DSC_7112rs
DSC_7125rs
DSC_7235rs
DSC_7247rs
DSC_7263rs
DSC_7267rs
DSC_7292rs
DSC_7315rs
DSC_7317rs
DSC_7323rs
DSC_7340rs
DSC_7371rs
DSC_7377rs
DSC_7042rs
DSC_7393rs
DSC_7454rs
DSC_7461rs
DSC_7477rs
DSC_7484rs
DSC_7485rs
DSC_7491rs
DSC_7497rs
DSC_7503rs
DSC_7532rs
DSC_7544rs
DSC_7545rs
DSC_7034rs

Tiada ulasan: