Khamis, 9 Mei 2013

PIKUL SATU TUGAS AGAR KERJA KITA LEBIH KEMAS...BAGI PELUANG ORANG LAIN PULAK

Ini kenyataan fitnah, kata Salahudin

Hazayani Zakaria, 09 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) menjadi mangsa fitnah apabila pihak-pihak tertentu menyebarkan mesej perkauman yang dibuat atas nama beliau.

"Hari ini saya difitnah dengan penyebaran SMS kononnya saya membuat kenyataan berbaur perkauman ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

SMS fitnah itu berbunyai, "Cina telah cuba tolak kuasa melayu tetapi gagal. "CHINESE ARE NOT THE KING MAKER" Sekarang masa mlayu bersatu utk ajar cina..
Sebarkan."

Salahudin menafikan sama sekali beliau menyebarkan SMS itu dan menyifatkannya sebagai bertujuan untuk melagakan beliau dengan masyarakat Cina itu.

Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, Salahudin tewas di Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya di Parlimen Gelang Patah.

BN pula menyalahkan pengundi Cina atas kekalahan teruk mereka di kerusi-kerusi bandar dengan berkata, 'tsunami Cina'.

Utusan pula menyiarkan kenyataan muka depan bertajuk, "Apa lagi Cina mahu'. Kenyataan ini dipertahankan pula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun mempromosikan konsep 1 Malaysia.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai sms tersebut, bukan saya yang menghantarnya tapi ada orang gunakan nombor telefon saya dan hantar sms itu.

"Saya dapat tahu apabila ramai yang menghubungi saya bertanya mengenai sms itu," kata Salahudin  ketika menghubungi Harakahdialy hari ini.

Sambil menyelar pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, beliau menyeru orang ramai khususnya penyokong Pakatan Rakyat agar mengabaikan sms tersebut.

"Saya menyeru orang ramai jangan percaya dengan sms tersebut sebaliknya kekal bersatu antara kaum.

"Pakatan Rakyat tidak pernah mengamalkan politik rasis dan saya kutuk sekeras-kerasnya pihak yang melakukan perbuatan ini," tegasnya.

Warkah syahdu untuk Ustaz Azizan

09 Mei 2013
Apabila engkau tegas, engkau disalah tafsirkan.
Apabila engkau marah pada sesuatu perkara, engkau selalu disalah tafsirkan.
Apabila engkau menegur sesuatu kesilapan, engkau selalu disalah tafsirkan.

Saat ini sudah berubah...,

Tapi di saat ini, rakyat Kedah mula merinduimu.
Tapi di saat ini, rakyat Kedah mula menyayangimu. Sangat menyayangimu.
Tapi disaat ini, rakyat Kedah mula menyantunimu.

Engkau ibarat ayah. Tegas dalam sesuatu perkara. Berlemah-lembut juga dalam sesuatu perkara.

Selamat berjuang wahai ayah (untuk seluruh anak-anak Kedah).
Kami merindui kepimpinanmu.
Kami merindui ketegasanmu, dalam menjalankan tugas-tugas & amanah kepada rakyat.
Jika ada salah dan silap kami terhadapmu, maafkan kami semua.

Moga Allah sembuhkan kesihatan ustaz.
Jutaan doa kami kirimkan buat ustaz.
Jutaan beribu batu kilometer kami doakan. (khas anak perantauan)
Moga doa daripada kami, tiada hijab di antara kita.
Moga Allah ampuni dosa-dosa ustaz & dosa-dosa kita semua.
Amin...

Selamat bekerja semula untuk rakyat.
Suaramu amat diperlukan, untuk menegur segelintir anak muda yang terlalu bersemangat.
Moga Allah sembuhkan kesihatan ustaz & kembali pulih seperti sediakala.

.............................................
Doa kami dari anak perantauan,
Khusus anak-anak kedah di bumi Jordan.

# KAMI MERINDUIMU USTAZ AZIZAN BIN ABD RAZAK.
— at Bayt Malizi. Mu'tah, Jordan.

Abim kecam provokasi, kenyataan perkauman

Harakahdaily, 09 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam sebarang bentuk provokasi serta kenyataan-kenyataan berbau perkauman yang diketengahkan pasca PRU13 yang baru sahaja berakhir.


“Abim menilai kenyataan-kenyataan tersebut seakan-akan menafikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang telah mengemukakan undi mereka pada pilihanraya lalu,” kata presidennya, Amidi Abdul Manan.

Katanya, PRU13 menyerlahkan hakikat bahawa trend ataupun pola pengundiaan kali ini tidak semata-mata dipengaruhi sentimen perkauman sempit, sebaliknya keputusan PRU13 ini menzahirkan sentimen seluruh rakyat Malaysia melangkaui ras perkauman semata-mata.

Hakikat ini, ujar beliau merujuk kepada fakta dan statistik oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri serta kesimpulan institusi dan para penganalisis politik yang berwibawa kerana pilihanraya adalah hari kebesaran suara rakyat.

“Ketika inilah rakyat berpeluang menyambung hak serta kebebasan mereka menyatakan pandangan serta menentukan masa depan mereka.

“Demokrasi adalah mekanisme penting dalam menjamin keseimbangan dan kestabilan sosio politik sesebuah negara dapat dipenuhi,” jelasnya.

Katanya lagi, keharmonian dan kestabilan politik hanya akan tercapai sekiranya aspirasi serta suara setiap segmen masyarakat yang ada dalam sesebuah negara memandangkan masyarakat Melayu merupakan teras utama politik di tanah air ini.

Kata beliau, kerangka pemikiran politik Melayu seharusnya merujuk kepada Islam yang merupakan esensi utama jati diri Melayu itu sendiri kerana Islam menolak sebarang bentuk diskriminasi rasis yang emosi serta sempit.

Menurutnya, PRU13 telah menyaksikan peratus turun mengundi paling tinggi dalam sejarah demokrasi Malaysia.

“Mengambil kesempatan ini, Abim merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan yang tinggi terhadap amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya.

Sesungguhnya, kata beliau PRU13 merupakan kemuncak kepada manifestasi kesedaran politik yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

“Seharusnya suara rakyat ini dihormati serta dimartabatkan menerusi lunas-lunas keterbukaan yang dianjurkan dalam demokrasi,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sbarang usaha untuk mengaitkannya dengan konspirasi perkauman serta keagamaan yang sempit adalah bersifat “Intellectual Insult” serta hanya akan menjejaskan kestabilan serta keharmonian kaum di negara ini.

Selangor mampu jadi kubu Pakatan

Analisis Muhammad Faizal, 09 Mei 2013
PENCAPAIAN kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan memperolehi lebih dua pertiga majoriti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan satu pencapaian terbaik Pakatan Rakyat Selangor.

Dengan memperolehi kerusi sebanyak 44 kerusi Dun jika dibandingkan Barisan Nasional (BN) yang hanya memperolehi 12 kerusi sahaja turut menyaksikan BN yang mempunyai masa depan yang gelap di negeri tersebut.

Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) tahun 2008, Pakatan hanya memperolehi 36 kerusi sahaja dan BN mendapat 20 kerusi, menunjukkan peningkatan kerusi Pakatan Rakyat sebanyak lapan kerusi.

BN Selangor yang sebelum ini menggunakan slogan 'Sayangi Selangor, Yakini BN' dan pelbagai tawaran dalam manifesto mereka tetap gagal menarik perhatian pengundi Selangor, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Negeri Selangor turut gagal menjadi penyumbang undi kepada BN pada PRU13 yang lepas.

Kejayaan lebih dua pertiga majoriti yang di perolehi Pakatan Rakyat menunjukkan Selangor mampu mengikut jejak Kelantan yang mampu bertahan selama 23 tahun walaupun pelbagai serangan dilakukan BN untuk merampas negeri itu.

Sebelum ini, iaitu semasa pilihanraya tahun 2004 negara menyaksikan perbezaan kerusi dun di Kelantan hanya satu kerusi sahaja namun semangat muafakat dan kesetian kepada parti, PAS Kelantan mampu memerintah dengan baik sehingga tibanya PRU12.


(Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor)

Senario ini perlu ditekankan di Selangor, jika negeri ini mahu menjadi salah satu kubu kuat Pakatan Rakyat untuk pilihanraya-pilihanraya yang akan datang dengan membuat penelitian serta gerak kerja baru untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi serta menembusi kubu kuat BN.

Walaupun mendapat lebih dua pertiga majoriti, terdapat beberapa kerusi Parlimen dan Dun gagal dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. Misalnya Dun Bukit Melawati menyaksikan kekalahan calon PKR, Manikavasagam Sundaram dengan majoriti 806 undi.

PAS yang menebus kekalahan di Dun Sabak melalui calonya Sallehen Mukhyi dengan jumlah majoriti sebanyak 399 undi, pada 2008 beliau yang juga bertanding di kawasan tesebut telah kalah kepada BN sebanyak 117 undi majoriti sahaja.

Sementara itu, DAP yang juga menunjukkan peningkatan sokongan dengan mengambil kembali kerusi di Dun Kuala Kubu Baharu apabila Lee Kee Hiong yang terpaksa bertembung lima penjuru dan mengalahkan calon BN sebanyak 1,702 undi.

Walaupun Selangor menyaksikan pertembungan yang yang ramai melibatkan calon Bebas sama ada peringkat Parlimen mahupun Dun, namun ia tidak memberi kesan kepada kemaraan Pakatan Rakyat untuk terus menguasai negeri itu bagi melaksanakan janji-janji manifesto sebelum ini.

Mungkin belum masanya untuk Pakatan Rakyat menebusi Parlimen Tanjung Karang, apabila keputusan kali ini menyaksikan BN terus menguasai kedua-dua dun yang berada di bawah parlimen itu, Pakatan Rakyat Selangor perlu mencari satu formula baru untuk menarik lebih ramai pengundi untuk menyokong parti itu nanti.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum berlangsungnya PRU13, faktor pengundi Melayu di Parlimen Tanjung Karang memainkan peranan utama kepada kemenangan sesebuah parti itu, dengan penguasaan 73.32 peratus, manakala kaum Cina hanya 16.61 peratus dan India 9.80 peratus dan lain-lain 0.27 peratus.


(Tan Sri Khalid Ibrahim, pemacu kejayaan Pakatan di Selangor)

Formula khusus perlu diketengahkan oleh Pakatan Rakyat Selangor untuk kaum Melayu di Parlimen Tanjung Karang jika parti itu mahu menembusi kubu kuat BN.

Berita mengejutkan apabila Parlimen Kuala Selangor gagal dipertahankan oleh calon PAS, Dr Dzulkefly Ahmad yang tewas kepada calon BN dengan majoriti yang kecil jika dibandingkan undi rosak iaitu 460. Ini kerana Dr Dzulkefly merupakan individu yang disenangi oleh seluruh penduduk Kuala Selangor dan senang didekati.

Situasi kenapa undi rosak sebanyak 934 undi lebih tinggi dari undi majoriti perlu dikaji oleh seluruh jentera parti bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

PAS mengorak langkah dengan bergaya apabila kubu kuat BN di Dun Templer ditembusi dengan jumlah majoriti yang besar iaitu 7,467 undi. Pada PRU 2008 kerusi tersebut dimenangi BN dengan majoriti sebanyak 613 undi dan pada 2004 PAS melalui calonnya Dr Mohd Hatta Md Ramli juga turut kalah dengan majoriti cukup besar iaitu 7,625 undi.

Untuk PRU13 PAS berjaya menembus kekalahan mereka dengan merampas kerusi tersebut dengan menang bergaya.

Penguasaan PAS terus merebak di Dun Dusun Tua apabila Razaly Hassan mengalahkan calon BN, Ismail Sani dengan jumlah majoriti 4,071 undi, Dun Seri Serdang juga menunjukkan keputusan mengejut apabila memperolehi majoriti 16,251 undi. Pada PRU 2008 PAS kalah di Seri Serdang dengan majoriti hanya 45 undi sahaja.

Konflik pertindihan kerusi di Dun Semenyih dan Kota Damansara memberi kerugian yang besar kepada Pakatan Rakyat yang memberi kemenangan percuma kepada BN.

Sepatutnya isu ini dapat diselesaikan lebih awal dan setiap parti perlu bertolak ansur agar ia dapat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

Undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon PKR dan PSM di Semenyih telah melebihi undi yang diperolehi BN begitu juga di Kota Damansara, namun kecuaian kedua-dua parti yang turut meletakkan calon menyebabkan Pakatan Rakyat Selangor kehilangan dua kerusi yang cukup berharga.

Pada PRU12, Dun Sementa kecoh apabila calon PKR tidak bertanding di kawasan tersebut sehingga memberi kemenangan percuma kepada BN, namun PKR menutup kesilapan mereka setelah Dr Daroyah Alwi menang di kerusi tersebut.

Mohamed Hanipa Maidin (gambar) menewaskan orang kuat BN Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed di Parlimen Sepang, walaupun beliau turun sebagai calon 'underdog' dan menumpaskan Mohd Zin di kawasan yang beliau menangi sebelum ini.

Kehilangan Dr Dzulkefly di Parlimen dan digantikan dengan Mohamed Hanipa walaupun dalam bidang berlainan setidak-tidaknya memberi kelebihan kepada PAS untuk berhujah dalam konteks yang lain.

Apa yang pasti kekuatan Pakatan Rakyat menguasai Dewan Undangan Negeri pada persidangan kali ini akan memberikan kekuatan baru untuk membawa Selangor ke arah yang terbaik, rakyat mengharapkan wakil-wakil yang dipilih dapat berhujah dengan lebih berkesan kerana dasar kejayaan sebuah kerajaan itu terletak kepada kepimpinan mereka yang dipilih.

Pada PRU13, Negeri Selangor menyaksikan jumlah pengundi seramai 2,048,828 orang dengan pecahan kaum Melayu 50.21 peratus, Cina 34.06 peratus, India 14.39 peratus dan lain-lain sebanyak 1.34 peratus.

PAS yang bertanding sebanyak 21 kerusi berjaya memperolehi 15 kerusi (2008 - 8 kerusi dimenangi), PKR bertanding 21 kerusi memperolehi 14 kerusi (2008 - 15 kerusi dimenangi) dan DAP pula bertanding sebanyak 15 kerusi berjaya memenangi kesemua kerusi yang mereka bertanding iaitu 15 kerusi (2008 - 13 kerusi dimenangi).

Presiden PAS lawat Ustaz Azizan

Mohd Sabri Said, 09 Mei 2013
GEORGETOWN: Presiden PAS,  Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melawat bekas Menteri Besar Kedah,  Datuk Seri Azizan Abdul Razak di wad CCU Hospital Besar Pulau Pinang petang tadi.

Selain beliau, turut kelihatan ialah Menteri Besar Kelantan,  Datuk Ahmad Yaacob serta bekas Menteri Besar Kedah,  Datuk Seri Mahazir Khalid.

Menurut bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid, kesihatan bekas ketuanya itu dalam keadaan stabil dan memerlukan pembedahan  di bahagian kaki.

Ustaz Azizan masuk ke hospital berkenaan kerana masalah kencing manis dan ginjal yang telah dialami sekian lama.

Exco: PAS Pulau Pinang tidak kecewa

Mohd Sabri Said, 09 Mei 2013
GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Saleh Man tidak kecewa kerana tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk penggal ini.


Katanya, semua hak perlantikan ditentukan oleh Ketua Menteri dan terserah kepada beliau untuk menentukan siapa yang layak menganggotai barisan exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang baru.

"Saya tidak kecewa sebaliknya rasa syukur dan akan menjalankan kerja seperti biasa. Kerja sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam (Maipp) akan ditingkatkan sejajar perkembangan terkini," jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Melalui program Maipp tambahnya, pelbagai rancangan telah dan sedang diatur untuk memartabatkankan Islam.

Tambahnya, kepada exco yang dilantik hendaklah melaksanakan tugas dengan baik demi menjaga rakyat selain memberi perhatian kepada agenda kerajaan negeri.

Tiada ulasan: