Khamis, 9 Mei 2013

JANGAN ADA MATA TAK MAU TENGOK...ADA OTAK TAK MAU FIKIR,,,,ADA HATI TAPI TAK DE PERASAAN...ADA TELINGA TAK MAU DENGAR...MEMANG HARU LAH...MEMANG MALANG LAH

Lebih 100,000 sertai 2 himpunan bantah penipuan PRU 13

Harakahdaily, 08 Mei 2013

(Kira-kira 100,000 memenuhi luar dan dalam Stadium MPPJ Kelana Jaya)

KELANA JAYA: Lebih 100,000 orang berkumpul di Stadium Kelana Jaya bagi membantah penipuan dalam pilihan raya umum  ke 13 baru-baru ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai perhimpunan ini dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.

(Orang ramai memenuhi stadium sejak lewat petang tadi)

Walaupun hujan renyai-renyai sejak petang tadi, ia tidak menghalang mereka berkumpul di stadium itu.

Lebuhraya Persekutuan yang menghala ke kawasan perhimpunan jam teruk sejak petang tadi.

Ini adalah perhimpunan pertama dianjurkan selepas pilihan raya umum ke 13 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa tetapi penuh dengan kecacatan.

Di RUSILA, Marang, puluhan ribu juga berkumpul di perkarangan Masjid Rusila dalam himpunan gergasi rakyat Terengganu bersama PAS.
Mereka memenuhi perkarangan masjid itu dan mendengar ucapan dari pimpinan PAS dari Dewan Terbuka Tok Guru yang terletak di sebelah masjid itu.

(Gambar kanan: Himpunan di perkarangan Masjid Rusila, Marang)

Antara yang menyertai himpunan di perkarangan Masjid Rusila adalah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Muhamad Haji Mohd Taib. Beliau dilihat antara faktor penyumbang kepada gelombang besar yang melandar Selangor dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Isu dakwat kekal yang tidak kekal, pengundi warga asing, lampu padam ketika pengiraan undi, kotak undi yang jatuh dari helikopter yang membawa dan pelbagai cerita lagi.

Kali ini, dengan semua penyokong adalah mata dan telinga atau jentera Pakatan Rakyat segala penyelewengan ini didedahkan melalui media sosial.


(Tan Sri Muhamad Mohd Taib berdepan dengan puluhan ribu di Dewan Tok Guru, perkarangan Masjid Rusila malam ini)

Gambar, video dan cerita disebarkan dengan cepat bagi membukti pelbagai kecacatan pilihan raya ini.

Berasaskan kepada itulah mereka turun beramai-ramai malam ini untuk mendengar sendiri sikap dan pendirian Pakatan Rakyat mengenainya.




Lagi Gambar



Video Berkaitan

1) Klik untuk lihat video yang dirakamkan di perseklitaran stadium Kelana Jaya ini.
2) Klik untuk saksikan keadaan dalam stadium.

PRU13: Pengundi Cina bukan rasis; ini buktinya

Majdan Dagang, 08 Mei 2013

Tuduhan bahawa orang Cina rasis, tidak mengenang budi, dan ingin jadi PM tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Tuduhan-tuduhan ini hanyalah andaian tanpa berdasarkan fakta yang sebenar. Adalah dibimbangi tuduhan ini bertujuan mencetuskan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu khususnya Melayu luar bandar agar terus berpaut pada Umno walaupun mereka terus-terusan menjadi mangsa kerakusan pimpinannya merompak hasil negara. Umno juga sedar bahawa kemenangan mereka pada kali ini banyak bersandarkan kelompok Melayu ini. Jadi mereka akan berbuat apa-apa sahaja agar kumpulan ini terus kekal walaupun terpaksa meniupkan isu perkauman.

Namun, jika penyokong Umno rajin sedikit membuat kajian mereka akan mendapati bahawa kenyataan pimpinan mereka tentang masyarakat Cina meleset sama sekali.

Selepas meneliti keputusan PRU13 ini, saya mendapati dengan jelas bahawa orang Cina bukanlah memenangkan DAP kerana parti itu berasaskan Cina, tetapi undi mereka kerana menolak Barisan Nasional keseluruhannya. Tambahan pula, mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina atau sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi Cina, calonnya daripada Pakatan Rakyat akan menang selesa – tidak kiralah calon itu dari Melayu, Cina, mahupun India.

Antara kawasan yang mempunyai pola sedemikian ialah bagi P48 Bukit Bendera, Pulau Pinang. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu (13.99 %), Cina (73.74 %), India (11.22 %) dan lain-lain (1.14 %). Parlimen ini dimenangi oleh Zairil Khir Johari yang berbangsa Melayu mengalahkan Teh Leong Meng yang berbangsa Cina. Secara logiknya, Zairil Khir Johari boleh kalah teruk tetapi menang dengan majoriti 32,778.

Lihat pula P80 Raub, Pahang. Pecahan pengundi mengikut kaum ialah Melayu (48.93 %), Cina (40.99 %), India (6.60 %), dan lain-lain (3.47 %). Parlimen Raub ini dimenangi oleh Datuk Arif Sabri Abdul Aziz yang berbangsa Melayu mengalahkan Hoh Khai Mun yang berbangsa Cina dengan majoriti 2,814 undi. Pada PRU12 yang lalu Ng Yen Yen mengalahkan calon Melayu dengan majoriti 2752 undi. Pada kali ini berlaku sebaliknya.

Bagi P100 Pandan. Pecahan pengundi di kawasan ini asalnya Melayu adalah majoriti. Ketika itu Datuk Ong Tee Kiat berbangsa Cina telah menang selesa. Namun pada PRU13 ini majoriti pengundi adalah Cina. Pecahan mengikut kaum ialah Melayu (44.36 %), Cina (48.14 %), India (6.60 %) dan lain-lain (0.9 %). Mohd Rafizi berbangsa Melayu menewaskan Lim Chin Yee dan Tan Yew Leng yang berbangsa Cina dengan majoriti 26,729 undi!

Bagi N30 Mentakab, Pahang calon Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menewaskan penyandang kerusi ini yang berbangsa Cina iaitu Datuk Chuah Boon Seong dengan majoriti 1,554 undi. Pada PRU12, Datuk Chuah menang dengan majoriti 2,439 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (50.94 %) Cina (40.95 %), India (5.92 %) dan lain-lain (2.19 %).

Berdasarkan fakta dan maklumat tersebut, dengan sendirinya menyangkal dakwaan bahawa orang Cina bersikap rasis kerana memenangkan calon bangsa mereka. Orang Cina bukan menolak BN atau bangsa mereka sendiri tetapi mereka menolak pemimpin dan parti yang rasuah, salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai lagi masalah.

Selain itu, pengundi cina juga membuktikan bahawa mereka masyarakat yang matang dan celik maklumat serta tidak mudah melatah dengan propaganda politik. MCA telah memainkan isu satu undi untuk DAP bererti satu undi untuk PAS yang mahu mengadakan hukum hudud. Umno juga turut menakut-nakut pengundi melalui isu ini. Walaupun ada kalangan pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan hasrat PAS itu, tetapi para pengundi Cina semakin hari semakin memahami apakah hukum hudud.

Buktinya, mereka telah memberi sokongan yang padu dan memberikan kemenangan bergaya kepada calon-calon PAS di kawasan lebih 40 peratus pengundi Cina.

DUN N13 Sungai Abong, Bakri, Johor. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Salleh berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu. Majoritinya turut bertambah dari 1,550 pada PRU12 kepada 3,813 pada PRU13. Pecahan pengundi bagi DUN ini ialah Melayu (51.33 %), Cina (45.22 %), India (2.96 %) dan lain-lain (0.48 %).

N15 Maharani. Calon PAS, Dr Mohammad Taslim juga telah mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU12 dan menambahkan majoritinya daripada 158 pada PRU12 kepada 3,136 pada PRU13. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu (54.98 %), Cina (41.98 %), India (2.50 %) dan lain-lain  (0.54 %).

Seterusnya N21 Parit Yaani, calon PAS, Aminolhuda Hassan berbangsa Melayu telah merampas kerusi ini daripada calon MCA Teo Yew Chuan dengan majoriti kemenangan 1,188. Pada PRU12, MCA menang dengan majoriti 3,857 undi. Pecahan pengundi ialah Melayu (55.61 %), Cina (43.06 %), India (1.82 %) dan lain-lain (0.23 %). Keputusan ini juga membuktikan pengundi Cina bukan rasis kerana turut memberi undi kepada PAS.

Bagi kawasan N41 Puteri Wangsa pula, pengundi Cina dengan jelas membuktikan bahawa kempen menakut-nakutkan mereka dengan isu hudud kurang berkesan dan orang Cina tidak rasis. Hal ini kerana calon PAS, Syed Sis Abdul Rahman menang dengan majoriti 4,469 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (40.27 %), Cina (47.22 %), India (11.79 %) dan lain-lain (0.73 %).

Jika anda rajin menelaah keputusan PRU13 yang lalu, banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa penolakan pengundi Cina bukanlah kerana bangsa atau parti tetapi penolakan total kepada sikap parti pemerintah itu sendiri.

Salah seorang rakan saya berbangsa Cina menyatakan rasa sedihnya apabila dituduh bangsanya bersikap rasis. Bagi beliau, tuduhan itu tidak berasas sama sekali dan tidak menghormati haknya sebagai pengundi untuk membuat pilihan.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian antara kaum, dan kemakmuran negara menyeru agar jangan memainkan isu-isu yang boleh mengundang kebencian antara kaum. Marilah kita bersama menuju Malaysia baru yang saling hormat-menghormati antara kaum dan agama.

Tiada tuah lagi Ibrahim lawan PAS

Subky Latif, 07 Mei 2013

TIADALAH orang UMNO Kelantan yang dikira sepintar Dato Ibrahim Ali sepanjang berlawan dengan PAS di negeri itu. Dia boleh hidup dalam semua masa.

Walaupun sejak 40  tahun lalu pemimpin hebat UMNO  Kelantan  ialah Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi Ibrahim boleh hidup baik bersama Tengku Razaleigh mahupun selepas masa Tengku Razaleigh.

Angkatlah siapa  jadi ketua  UMNO  Kelantan selepas Ku Li, baik Annuar Musa mahupun Mustapa Mohamad atau Dr. Awang Adek, tiada siapa yang dapat menjinakkan Ibrahim Ali. Dia sudah ke depan sebelum nama-nama itu muncul dalam politik.

Besar peranannya menumbangkan kerajaan PAS yang dipimpin oleh Dato Asri dulu. Dia bermula dengan menubuhkan  Berjasa bersama Dato Mohamad Nasir. Selepas PAS kalah dan Berjasa tidak bertenaga lagi dia terus dalam UMNO. Tidak lambat baginya mendapat tempat penting  dalam UMNO bagi menjadi pemimpin  UMNO Pasir Mas.

Sakit PAS Pasir Mas untuk menundudukkan Ibrahim. Dalam  waktu yang muda dia berjaya mengalahkan PAS untuk jadi anggota Parlimen Pasir  Mas. Dia bermula sebagai hulubalang Ku  Li. Banyak kerja yang dibuatnya bagi pihak  Ku Li. Termasuk menjalankan kerja menentang Dr.  Mahathir sebagai Presiden UMNO dan sebelumnya membantu Ku  Li menentang Musa Hitam sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Apabila dia melihat Ku Li hilang bisa, dia terus menjadi hulubalang Dr. Mahathir pula. Dr. Mahathir memang pandai memungut  siapa  saja yang pernah menentangnya untuk menjadi hulubalangnya.

Tiada mudah bagi PAS menguasai Pasir  Mas. PAS tidak sukar menghadapi Annuar Musa tetapi tidak mudah berdepan dengan Ibrahim walaupun  dia tidak pernah menjadi orang pertama UMNO  di negeri itu.

Berkat pimpinan ulama PAS Kelantan  dan pimpinan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dan setelah S46 dibubarkan bagi menyertai UMNO, kekuatan Ibrahim mulai tercabar.

Dalam PRU 1999 Ibrahim  Ali dapat dikalahkan oleh Ustaz Ismail Noh dari  PAS. Pimpinan Annuar Musa dan Mustapa Mohamad tidak stabil. Mereka tidak dapat mengawal kerenah Ibrahim Ali. Kalau pimpinan UMNO negeri itu olehnya.

Bila UMNO diambil alih Abdullah Badawi, cara untuk mematikan politik Ibrahim ialah memecatkan dari UMNO  seumur hidup. Dia  lawan pimpinan UMNO Pasir  Mas yang pernah duduk di bawahnya. Dia cuba buktikan  dia lebih pintar dari  UMNO  Pasir Mas, dia bertanding bebas menentang BN dan PAS dalam PRU 2004. Bukan  saja dia kalah, BN pun kalah.

Lepas itu dia berbaik dengan Tok Guru Nik Aziz. Dia bersama PAS menentang  UMNO  seluruh Kelantan. Tetapi sekali-kali dia  tidak mahu menyertai PAS. Dengan kepintarannya dia dapat meyakinkan pimpinan PAS untuk menjadi calon PAS tanpa menyertai PAS. Ustaz Ismail Noh memberi laluan kepadanya menjadi calon PAS Pasir Mas menentang BN. Dia menang PRU 2008 dan jadi MP Pasir  Mas semula.

Dia enggan jadi MP PAS tetapi selesa jadi MP Bebas, tidak terikat dengan disiplin parti. Dia tidak  teragak-agak menyerang PAS dan kerajaan Kelantan. Bila Najib menggantikan Tun Abdulllah Badawi, dia banyak bercakap selari dengan dasar Najib. Dia berusaha  untuk mewakili BN di Pasir Mas dalam pilihanraya tanpa masuk UMNO.  Kerana dia dibuang dari UMNO seumur hidup, payah bagi UMNO menerimanya selagi Tun Abdullah hidup.

Tetapi dia berjaya meyakinkan Dr. M dan Najib bahawa dia boleh mengalahkan PAS. Dr. M berjaya mempengaruhi Najib memberinya menjadi calon menentang PAS tanpa jadi UMNO.

Seminggu sebelum Najib mengumumkan calon BN, saya menerima SMS, Ibrahim tidak disenaraikan sebagai  calon BN, tetapi calon BN tidak menyerahkan penamaannya bagi membolehkan Ibrahim berlawan satu  sama satu dengan PAS. Betul dia  saja menentang PAS bagi Parlimen Pasir Mas.

Bagaimana pun dia kalah juga. Dia  guna PAS lawan BN, dia menang. Dia guna UMNO dan BN untuk lawan PAS, dia tidak jadi orang bertuah lagi.

PRU13: Iktibar dari Medan Uhud

Mohd Azmir bin Maideen, 08 Mei 2013
Kemenangan dan kekalahan hanyalah sebuah kepelbagaian variasi dan warna dalam kehidupan manusia. Ada waktu kita berada di puncak, ada waktu kita berada di pelosok yang gelap. Orang yang meyakini bahawa cahaya akan muncul tiba, tidak akan berputus asa mencari sinar yang mencerahkan. Sebaliknya orang yang berputus asa dari rahmat Allah, hilang upaya kerana menyerah kalah sebelum berusaha justeru jatuh terperuk dalam kelam yang dalam.

Dalam putaran itulah Allah memisahkan hamba-Nya yang beriman dan munafik, mengasingkan hamba-Nya yang tabah dan yang rebah. Betapapun kekalahan membawa padah, orang yang beriman kepada Allah tetap melihat kegagalan yang berlaku ibarat perahan yang memisahkan air manis dari serabut tebu. Anologi ini menjadi petunjuk penting di dalam Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah.

Rasulullah SAW dan Para Sahabat tiba dari bukit Uhud membawa duka kecundang yang mendalam. Duka atas gugurnya perajurit Muslimin dan salah seorangnya adalah Hamzah bin Abdul Muttalib. Baginda Nabi turut terjatuh ke dalam lubang yang begitu dalam digali oleh Abu Amar Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut baginda terbelah luka, pipi baginda cedera berdarah dan giginya patah.

Keputusan tersebut mengundang pelbagai ulasan, ada yang melihat dari sudut ‘skor pertandingan’ tersebut, yakni korban dalam kalangan umat Islam jauh lebih ramai. Menurut Ibnu Hisyam jumlah yang terbunuh dari kaum Muslimin pada perang Uhud mencapai 70 orang, manakala jumlah yang gugur daripada kaum musyrikin seramai 22 orang. Jumlah itu jelas memaparkan kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud tanpa perlu bermadah falsafah lagi.

Ada juga yang mengulas faktor kekalahan itu berlaku akibat ‘kealpaan’ mentaati perintah Nabi. Di mana baginda SAW telah memposisikan 50 orang pasukan tentera berpanah pimpinan Abdullah bin Jubair agar tetap berada di lereng bukit Rumat walau apa pun terjadi. Namun, ketika kemenangan hampir tiba, mereka lalai. Justeru yang melalaikan mereka adalah material kemewahan hasil rampasan perang.

Meskipun tewas di medan Uhud, tetapi bagi kaum Muslimin yang benar-benar yakin kepada Allah, kekalahan itu ibarat ubat. Pahitnya memang mencebekkan wajah, tetapi rasanya mengandungi khasiat ampuh yang menawarkan bisa dan penyakit. Pelajaran dari medan Uhud tidak hanya bagi para sahabat Rasulullah SAW, tetapi juga bagi kaum Muslimin saat ini terutamanya yang berada di dalam gerakan Islam.

Jika kemenangan Badar menjadi cerita sanjungan setiap kali menjelangnya Ramadhan, tanpa kita sedari banyak ayat-ayat al-Quran yang turun setelah Perang Badar mengandungi kritikan Allah bermula dari isu tawanan perang sehinggalah kepada teguran orang yang tidak ikhlas berjuang. Sebaliknya firman-firman Allah (120 sehingga ayat 200 surah Ali Imran) yang diwahyukan setelah Perang Uhud, justeru bersifat hiburan dan sanjungan kepada kaum Muslimin.

Allah Taala menyeimbangkan perasaan "superiority complex syndrome" atau "overconfidence" pada diri kaum Muslimin setelah kemenangan di Badar. Dan Allah Taala mewahyukan sebuah pengajaran yang sangat berharga melalui proses kekalahan berhubung peristiwa perang di Uhud. Allah memulihkan motivasi kaum Muslimin dan mengalihkan perhatian mereka agar bersikap rasional.

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan (sunnah-sunnah) Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).” (Ali-Imran : 137)

Dalam ayat ini Allah mengingatkan tentang sunnatullah dalam perjuangan, bahawa bagi kaum Muslimin sama ada kalah atau menang bukanlah tujuan. Umat-umat terdahulu yang beriman dalam kisah Ashabul Ukhdud antaranya, mereka yang beriman tidak mendapat kemenangan di dunia malah diseksa dengan api yang membakar di kawah parit, namun yang pasti mereka meraih kemenangan di akhirat. Begitu juga kemenangan Tolut ke atas Jalut, sekalipun sebelum itu menerima kritikan Allah Taala ke atas sikap angkuh Bani Israel.

Secara psikologi, manusia yang dilanda kekalahan akan merasa galau, putus asa dan tidak mustahil menyalahkan sahabat-sahabat lain sehingga hilang pertimbangan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar. Maka kearifan Allah Taala ketika berkomentar tentang kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud adalah membangkitkan sikap rasional umat Islam yang menjelaskan bahawa kekalahan mahupun kemenangan adalah hal yang juga pernah menimpa umat-umat sebelumnya.

Berdasarkan ayat itu, umat disedarkan bahawa segala yang terjadi atas kehendak Allah, dan apa pun keadaan umat Islam mereka tetap lebih baik daripada musuhnya jika mereka tabah dan beriman. Lebih dari itu, umat Islam hendaknya selalu menanamkan di dalam diri mereka bahawa mereka pasti menang.

“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” (Ali-Imran : 140)


Setelah mengembalikan sikap rasional kaum Muslimin, Allah turut memulihkan kepercayaan diri mereka dengan firman-Nya;

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Ali-Imran : 139)
Pada ayat ini Allah mengembalikan kepercayaan diri kaum Muslimin daripada terus ditenggelami rasa obses dengan kekalahan yang menimpa mereka.

Secara psikologi, kemungkinan sikap yang melanda kepada orang-orang yang pernah kecundang dalam satu-satu perlawanan adalah pesimis (putus asa), tidak kompeten, inferiority complex syndrome (rasa rendah diri yang melampau). Namun bagi keadaan kaum Muslimin yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW, baik kalah mahupun menang, mereka tetap berada pada darjat yang paling tinggi. Kerana pada Allah, kemenangan itu bukan tujuan mustahak tetapi sarana meraih redha-Nya itulah yang paling utama.

Keimanan yang jitu kepada Allah akan menghasilkan sikap percaya pada diri. Rasa percaya diri inilah yang menyebabkan Rasulullah SAW dan kaum Muslimin tetap kukuh menentang musuh sekalipun Khalid al-Walid (saat beliau belum beriman) mengisytiharkan kemenangan kaum musyrikin. Tanpa rasa percaya kepada diri, tidak mungkin Rasulullah menyongsong kafir Quraish kembali di Hamra al-Asad. Rasa percaya kepada diri ini jugalah yang menyebabkan jiwa Khalid al-Walid terpegun lantas ingin mengenali Islam secara lebih dekat.

Menurut Imam Muhammad as-Syaukani dalam tafsirnya Fathul Qadir, salah satu pernyataan ayat yang berbunyi, “...Padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman,” menerangkan bahawa kaum Muslimin setelah Perang Uhud adalah lebih hebat daripada mereka (musuh-musuh kaum Muslimin pada Perang Uhud) dan orang-orang selain mereka. Buktinya, setelah Perang Uhud, kaum Muslimin selalu menang.

Setelah ulasan ringkas ini dikemukakan, mudah-mudahan keputusan PRU-13 yang kita terima tahun ini adalah momentum kemenangan pada PRU pada tahun-tahun akan datang. Insya-Allah.

http://www.tarbawi.my


http://www.kedahlanie.info, 08 Mei 2013

[Gambar Di Kelana Jaya] Wahai BN.. Ini baru dinamakan Tsunami Rakyat...!!!

LIVE DARI STD. MPPJ KELANA JAYA


Tiada ulasan: