Khamis, 16 Mei 2013

DASAR PERKAUMAN MENYEMPITKAN FIKIRAN....BERANGGAPAN DUNIA DAN NEGARA MILIK SESUATU KAUM....DUNIA DAN NEGARA MILIK ALLAH...ALLAH BOLEH MUSNAHKAN SEKELIP MATA...BEGITU ORANG YANG TAKBUR@SOMBONG ALLAH BOLEH MATIKAN DAN MUSNAHKAN SEKELIP MATA..JANGAN JAHIL MENGENAL KUASA ALLAH...DAN TAK INGAT AKAN KEMATIAN

PAS Negeri Sembilan akan fail petisyen PRU13

Harakahdaily, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS akan memfailkan petisyen pilihanraya untuk beberapa kerusi Dun di Negeri Sembilan dalam masa yang terdekat ini.
Sehubungan itu, Timbalan Pesuruhjayanya, Dr Rosli Yaakop (gambar) menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS di negeri itu supaya terus berjuang dengan semangat yang lebih kental dan persediaan yang lebih rapi untuk mencapai kemenangan dalam PRU14.

Mengenai keputusan PRU13, katanya walau pun Pakatan Rakyat (PR) gagal menawan Negeri Sembilan tetapi penelitian menunjukkan bahawa keputusan bagi kerusi-kerusi Dun cukup memberangsangkan.

Beliau berkata, berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Keduabelas (2008), jumlah undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat bertambah sebanyak 1% daripada 47% kepada 48% dalam PRU13.

“Jumlah undi popular yang diperolehi PR mencatat kenaikan di kesemua kerusi yang ditandingi berbanding PRU12,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Namun demikian, ujarnya PR telah kehilangan satu kerusi berbanding keputusan PRU12.

Beliau menambah, diperhatikan bahawa 5 kerusi Dun yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) adalah dengan majoriti tipis dan jumlah keseluruhan majoriti bagi kerusi-kerusi berkenaan hanyalah 3,139 undi.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Ampangan (89 undi - PKR), Labu (1,511 undi - PAS), Johol (1,344 undi - PAS), Kelawang (282 undi - PAS) dan Pilah (113 undi - PKR).

Ini, jelasnya bermakna PR sudah terlalu hampir untuk mengambilalih kerajaan Negeri Sembilan dari BN dalam PRU13 yang lalu.

“Ketiga, diperhatikan bahawa di sesetengah Dun, kenaikan undi yang diperolehi calon BN bertambah secara mendadak, melebihi 50 peratus,” ujarnya lagi.

Misalnya, kata beliau di Dun Paroi di mana calon menunggu daripada PAS, Mohd. Taufek Abd, Ghani bertanding,  undi yang diperolehi calon BN bertambah daripada 8,316 dalam PRU12 kepada 14,896 dalam PRU13, iaitu kenaikan sebanyak 6,580 atau 79% sekali gus menimbulkan kecurigaan orang ramai mengenai kesahihan keputusan itu.

Begitu juga, katanya Dun Palong (+60%) dan Dun Bagan Pinang (+59%) dan beberapa lagi Dun.

Terima kasih Ismail, tahniah Khalid – Pemuda PAS

Harakahdaily, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang telah dipilih sebagai Ketua Polis Negara berkuatkuasa 17 Mei (esok) bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar (gambar) yang bersara.
DPPM juga turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Bakri Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa pada hari yang sama.

“DPPM mengharapkan pelantikan Tan Sri Khalid sebagai KPN baharu akan mampu meningkatkan imej dan integriti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di mata dunia,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan kepada Harakahdaily.

Katanya, isu-isu keselamatan terutama di sempadan negara seperti insiden pencerobohan di Lahad Datu beberapa bulan lepas menunjukkan PDRM sentiasa diberi perhatian serta tanggungjawab penting bagi memastikan kedaulatan negara tidak tercabar.

Selain itu, ujar beliau PDRM mempunyai tugasan besar memastikan jenayah dalam negara dapat dikawal atau dikurangkan.

Ahli parlimen Tmerloh itu menambah, rakyat sentiasa meletakkan suatu harapan bahawa negara ini selamat di bawah pemantauan PDRM.

DPPM, katanya percaya Khalid akan membina pasukan PDRM yang lebih mantap, berwibawa, amanah dan bersih dalam menghadapai cabaran mendatang.

Beliau juga mengharapkan Khalid akan dapat membina kepercayaan dan hubungan baik antara kerajaan dan rakyat dengan mewujudkan semangat profesionalisme yang tinggi PDRM dalam menghadapi segala isu di negara ini dan bertindak berlandaskan undang-undang.

“Akhirnya, DPPM juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Ismail Omar, Ketua Polis Negara yang akan bersara mulai 17 Mei 2013,” ujarnya.

Sesungguhnya, kata Nasrudin sumbangan Ismail dalam memimpin PDRM di waktu mencabar telah membuktikan kewibawaan dan kepemimpinan beliau selama ini.
“Jasa dan pengorbanan beliau terhadap negara amatlah besar dan tidak mungkin dapat dilupakan dalam lipatan sejarah,” katanya.

Mampukah Paul Low desak kabinet siasat Taib Mahmud?

Harakahdaily, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Segala perspektif positif dalam perlantikan Datuk Paul Low, Presiden Transparency International Malaysia sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan dinilai melalui beberapa tindakan susulan beliau dalam memerangi rasuah dan kronisme.

Rasuah dan kronisme adalah dua virus yang mereputkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran BN dan faktor utama BN tewas dalam undi popular buat kali pertama dalam sejarah.

Low akan mengetuai Biro Pengaduan Awam, selain menguruskan hal-hal berhubung rasuah dan integriti.
Sebelum PRU13, Low ialah orang yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya yang kononnya sebagai tanda memperkukuhkan komitmen beliau dalam agenda negara bagi membanteras rasuah terutamanya di PRU13.

Tapi apa yang berlaku sepanjang PRU13, tidak perlu disebut di sini – rakyat boleh menilainya sendiri.

“Perkara terpenting untuk kerajaan BN dengan Low sebagai Menteri Ketelusan ialah mengumumkan semua kontrak penswastaan dan pembidaan akan dianugerahkan melalui tender terbuka dengan segala maklumat dipapar secara telus,” kata ahli parliamen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Bahkan, Pua berkata semua kontrak-kontrak terkini, terutamanya di industri pertahanan dan penswastaan lebuhraya seperti Lebuhraya Pantai Barat yang bernilai RM5.3 bilion, Lebuhraya Kinrara-Damansara RM2.2 bilion dan pelabuhan Penang dan Keretapi Tanah Melayu Berhad yang belum dimeterai atau kerja belum dimulakan mesti ditangguh sehingga tender terbuka dilaksanakan.

Pada masa yang sama, Pua berkata dengan Low di dalam kabinet, Pakatan Rakyat berharap ada kesungguhan untuk menyiasat mereka yang jelas terlibat dalam rasuah tanpa mengira kedudukan dalam kerajaan.

“Sebagai permulaan, kabinet baru mesti menempelak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang enggan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwanya nakal. Kegagalan berbuat demikian akan menghilangkan segala persepsi positif dalam memilih Low ke dalam kabinet,” tegas Pua.

Pua juga berharap Low dapat memastikan para menteri dan timbalan menteri untuk membuat deklarasi harta.

“Pakatan Rakyat akan memberikan sokongan penuh kepada Low untuk melaksanakan segala yang perlu untuk memastikan kerajaan ini bersih, telus dan berdaya saing. Bahkan, Low boleh menjadi pengkritik dalam pentadbiran Najib kerana beliau tidak berpihak kepada parti politik,” kata Pua lagi.

Pua turut memberikan amaran supaya Low tidak dijadikan sebagai sekadar hiasan kepada pentadbiran Najib tanpa sebarang langkah untuk memperbetulkan keadaan.

“Rakyat Malaysia akan melihat pada Low untuk memantau gelaja rasuah yang berleluasa di dalam kerajaan. Kita tidak mahu dihampakan,” tambah beliau lagi.

Putus sudah kasih sayang

http://muhaiminsulam.blogspot.com/, 16 Mei 2013

1.  Kemarahan segelintir orang Melayu pada orang Cina hanya akan memutuskan hubungan yang sedia terjalin beratus-ratus tahun lamanya.

2.  Orang Cina yang berimigran (sensitif jika disebut berhijrah) ke Tanah Melayu seawalnya pada 1450 semasa Sultan Mansor Shah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po. Lalu dikurniakan pengiring Puteri Hang Li  Po sebuah bukit yang dikenali Bukit China sebagai tanda kasih sayangnya antara kuasa Kesultanan Melayu dengan Empayar Maharaja China.

3. Kumpulan kedua Cina imigran adalah semasa zaman keemasan bijih timah di Semenanjung Tanah Melayu.  Tatkala itu, buruh Cina adalah kuli batak pembesar Melayu dan tokey Cina yang berkerjasama dengan Inggeris.

4. Jika tidak kerana gajah Ngah Ibrahim terbenam dalam lembah yang penuh bijih tentu Lembah Kinta tidak segagah Ipoh pada hari ini.

5.  Lalu berhimpunlah kepala Melayu-Cina-India dan lain-lain semasa membentuk Perlembagaan Rakyat sebagai ganti Malayan Union 1946.  Dalam masa yang sama berhimpunlah juga kepala Melayu-Cina-India dan lain-lain di penjuru yang berbeza dan mengemukakan Perlembagaan Persekutuan 1948.

6. Begitulah akrabnya Melayu-Cina-India dan lain-lain termasuklah Kadazan, Iban, Orang Asal dan sebagainya membentuk sebuah negara dinamakan Malaya dan Malaysia.

7. Hampa baca sejarah tak?

8. Dah tu nak boikot-boikot - buat pa? Boikot Isreal pun masih terhegeh-hegeh....... piiiirahhhh!

'Satu rumah satu keluarga' jadi sasaran MB Kelantan

Salmah Mat Husain, 16 Mei 2013
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menjadikan agenda untuk membina 'satu unit rumah untuk satu keluarga' sebagai agenda utama pentadbirannya.

Ahmad Yakob (gambar) dalam sidang media pertama selepas mesyuarat Exco pertamanya berkata, dua anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Permodalan Menteri Besar Kelantan (PMBK), akan dilantik sebagai peneraju utama.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini semalam.

Mesyuarat exco berkenaan adalah yang pertama selepas PRU 13 lalu melalui saf anggota exco kerajaan negeri yang baru.

Menurutnya lagi, buat peringkat awal ini kerajaan negeri memberi ruang kepada kedua-dua agen kerajaan negeri itu untuk mencari kawasan yang bersesuaian.

“Angka keseluruhan serta peringkat jajahannya akan diberikan secara rasmi oleh kedua agensi ini dan ianya juga akan diperakui oleh bahagian perumahan di bawah exco perumahan,”ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkata kerajaan negeri akan membuka tender terbuka untuk projek mineral di negeri itu sama ada emas, besi dan sebagainya.

Jelasnya, tander terbuka itu bertujuan untuk meningkatkan hasil yang lebih kepada kerajaan negeri.

“Pada masa yang sama kita juga akan kenal pasti kawasan tertentu, tidak semuanya untuk tander terbuka ini,”ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood, berkata sebanyak 2,000 unit rumah akan dibena.

Menurutnya, ia akan diselesaikan oleh anak syarikat PKINK, iaitu Syarikat Binaraya.

Menurutnya, ianya sebagai sasaran memenuhi hasrat kerajaan negeri melalui menifesto Pakatan Rakyat pada PRU 13 lalu.

“Sebanyak RM9 juta sebagai peruntukkan asas bakal disalurkan, manakala selebihnya akan dibiayai PKINK dan PMBK,”ujarnya.

'Kolot' dan Ketua Menteri baru Melaka

Ahmad Tajdid, 16 Mei 2013
RAMAI ahli politik yang dikenali dengan nama timang-timangan. Sebut saja Mat Bulat, Mike Tyson, Samy Tol, Mat Sembab, Six Million Dollar Man dan macam-macam lagi, kita sudah dapat mengasosiasikan gelaran itu dengan siapa dan tokoh politik mana.

Samalah juga dengan Ketua Menteri Melaka yang baru, Dato' Seri Ir Idris Haron. Rakan-rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Sains Melaka (kini Sekolah Muzafar Shah) memanggilnya 'kolot'.

Menurut Kamus Dewan, 'kolot' bermaksud kuno, cara lama (tidak moden), ketinggalan zaman. Jika merujuk kepada kaum, kolot bermaksud "golongan orang yang berpegang kuat kepada adat resam kuno".

Dalam satu pertemuan santai dengan rakan-rakan sekelasnya di kantin Sekolah Muzafar Shah beberapa tahun lalu, Idris menceritakan kembali asal usul gelaran 'kolot' yang diterimanya.

Cerita Idris, beliau bukanlah dari kalangan keluarga berada. Ayahnya seorang anggota polis kategori lain-lain pangkat. Kesempitan hidup ekoran gaji kecil ayahnya menjadikan keluarga itu berjimat sedapat mungkin. Seringkali baju dan seluar milik ayahnya diwariskan kepada beliau. Sememangnya baju dan seluar yang diwarisi daripada ayahnya itu tidak 'trendy' jauh sekali padan dengan saiz badannya. Ekoran itulah Idris dipanggil 'kolot' oleh rakan-rakannya.

Pada pertemuan itu, Idris juga mendedahkan rahsia yang tersimpan lama. Hanya beliau dan dua tiga orang rakannya sahaja yang tahu bagaimana mereka telah masuk ke bilik penjumlahan mata' dan mengubah jumlah mata yang diperolehi rumah-rumah sukan yang bertanding. Tindakan Idris itu membolehkan rumah sukan yang diwakilinya menang pada temasya sukan sekolah tahun itu.

Harap-harap, Idris tidak berkonspirasi pula mengubah jumlah perolehan undi dalam siri pilihan raya yang disertainya sehingga membolehkan beliau dilantik Ketua Menteri sekarang.

Itu kisah lama Idris. Kisah yang berlaku pada zaman remajanya. Namun setelah lama berkecimpung dalam politik dan kini mengetuai kerajaan negeri, diharap 'kenakalan' itu ditinggalkan beliau. Sebagai generasi baru dalam arena politik negeri, diharap Idris dapat meninggalkan perangai kolot dan 'politik samseng' bekas Ketua Menteri sebelum beliau.

Imej Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang gemarkan konfrontasi itu wajar dihindari Idris. Lihat sahajalah komen Ali Rustam yang mencerca pengundi Cina di kawasan Parlimen Bukit Katil setelah tewas di tangan pencabarnya, Shamsul Iskandar Mat Akin yang juga Ketua Angkatan Muda KeADILan.

Mohd Ali juga sering mengganggu program ceramah anjuran PAS dan Pakatan Rakyat. Bukan menjadi satu keganjilan untuk Mohd Ali mencacak khemah dan berceramah di hadapan 20 ke 30 orang pendengar asalkan ia boleh mengganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat yang dihadiri ribuan pendengar di lokasi berhampiran (kadang-kadang hanya dipisahkan oleh jalan raya).

Bagaimanapun harapan untuk Idris meninggalkan politik kolot dan konfrontasi mentor politiknya itu sedikit tercalar apabila beliau melemparkan tuduhan tidak berasas kepada Adun PAS Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim.

Belum pun Dr Khalid mengangkat sumpah jawatan sebagai Adun, Idris menuduh Adun PAS itu cuba merampas pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bukit Baru. Malah Idris dipetik akhbar Berita Harian bertarikh 11 Mei 2013 mendakwa "PAS sedang mengintai Dewan Tun Ali dan Masjid Saidina Ali" yang terletak dalam Dun Bukit Bharu. Dun Bukit Bharu adalah salah satu Dun di bawah kawasan Parlimen Bukit Katil.

Menafikan tuduhan Idris itu, Dr Khalid yang juga bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka berkata, tidak wujud arahan daripada PAS kawasan untuk merampas bangunan-bangunan yang dinyatakan Idris.

"Laporan itu juga menunjukkan bahawa saya langsung tidak mengetahui prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagai wakil rakyat. Saya yakin laporan itu berniat jahat dan cuba memburukkan imej saya sebagai Adun. Saya dan PAS kawasan menafikan sekeras-kerasnya laporan akhbar berkenaan," kata Dr Khalid kepada Harakah.

Sehubungan itu, wakil tunggal PAS di Dun Melaka itu menggesa Idris dan Berita Harian memohon maaf dan menarik laporan fitnah itu dalam tempoh tujuh hari sebelum mengambil tindakan mahkamah.

Bagi membuka lembaran baru politik Melaka yang lebih harmoni, mesra dan konstruktif, elok rasanya buat Idris untuk memohon maaf dan tidak mengulangi kesilapan pemimpin terdahulu.

Sebagai anak jati Melaka, tentu Idris lebih dekat dengan budaya Melayu Melaka berbanding Mohd Ali yang berdarah campuran Pakistan-Melayu. Tunjukkanlah sikap Melayu sebenar yang kaya dengan budi dan bahasa. Tinggalkan politik kolot dan konfrontasi yang tidak memberi sebarang faedah kepada anak bangsa dan negeri.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Tiada ulasan: