Khamis, 16 Mei 2013

KHUATIR SENANG PEGANG...SENANG BELANJA

Mari kita bangunkan guru beridealisme

Cikgu Azmi Abdul Hamid, 16 Mei 2013


Digelar guru dan berjawatan guru adalah suatu keistimewaan. Mengingatkan betapa panggilan Cikgu adalah abadi apabila seorang guru memang selesa dipanggil Cikgu sampai bila-bila. Sering kita merenungkan. Cikgu itu panggilan penuh hormat, penuh kasih. Terasa amat damai hati ini jika seorang murid lama menyebut "Dia itu cikgu saya dulu". Pastinya gurunya sampai bila-bila pun.

Akan tetapi, terfikir juga kita betapa menjadi guru itu adakalanya karier pilihan terakhir bagi setengah orang. Apabila sudah tertolak untuk menjawat jawatan yang lain yang dianggap lebih berprestij , maka guru-lah menjadi pilihan. Lalu ujudlah guru separuh hati. Lantaran tidak ada pilihan yang lain, digagahkan juga menjadi guru.

Maka berlakulah guru yang tidak sebenarnya berwatak guru yang sewajarnya. Berdepan dengan murid bagaikan tunggul. Tidak berinteraksi dengan mesra bersama murid, tidak terasa perlu menyantuni pelbagai karenah murid, tidak terasa ingin untuk  murid itu benar-benar menjadi manusia yang bermanfaaat kepada masayarakat , tidak mengendahkan untuk membantu murid yang lemah kerana faktor keluarga dirumah yang serba daif.

Inilah antara isu yang kami ingin ketengahkan ketika mengingatkan Hari Guru . Saban tahun secara ritual warga pendidikan merayakan hari istimewa ini buat guru. Dengan tetap menghormati guru sebagai insan paling istimewa selepas ibu bapa , maka persoalan yang seharusnya dilontar apakah impak yang paling besar diperoleh oleh seorang murid dari seorang guru.

Selain setiap guru membekas dari segi madah (subjek) yang diajar sehingga ada yang dilantik sebagai guru pakar, akan tetapi apakah ada yang lebih dari hanya sekadar itu pakar dalam bidang yang diajar.

Kita sangat mengalu-alukan adanya usha meningkatkan professionalisme perguruan. Skima mengijazahkan semua guru sebagai syarat utama untuk diterima sebagai guru yang memenuhi kriteria itu tidak salah. Malah amat diperlukan.

Soalnya yang agak kurang ditekankan ialah pembinaan watak guru sesungguhnya. Kami mengutarakan soal syakhsiyyah guru yang perlu diperkukuhkan kerana mereka ada tubuh yang menjadi kenderaan ilmu . Apabila guru bersakhsiyyah "hasanah" (baik) akan membentuk syakhsiyyah murid. Di sebaliknya jika berwatak "saiyi’ah " (buruk), maka kesan kepada pembinaan generasi akan parah.

Kami juga berpendapat Hari Guru membawa mesej hari berintrospeksi mengenai idealisme perjuangan membina generasi masa depan. Bermakna para guru adalah penanam benih idealisme bukan sahaja kepada masyarakat malah juga kepada anak murid. Seorang guru itu bertutur dan berfikir sebagai seorang futuris ( pemikir masa depan ) kerana yang menjadi kegusaran seorang guru ialah bagaimana anak muridnya perlu dibentuk pemikiran yang jernih dan murni untuk menyumbang kepada masyarakat yang beradab tinggi. Pastinya selepas itu membina tamadun tinggi.

Dalam era perjuangan kemederkaan, guru bukan sahaja memilih untuk mengajar anak bangsa tetapi adalah juga pencetus idealisme mencapai kemerdekaan tanah air.

Maka tercatat betapa ramai guru yang menjadi penggerak perjuangan yang sangat dihormati masyarakat. Catatan sejarah tidak berbohong. Memang sesungguhnya begitulah sejarah.

Hadiah terbesar seorang guru ialah menanam bibit idealisme di sanubari anak murid. Maka tidak sedikit guru pada zaman penjajahan, turun bersama di medan lapangan masyarakat, menyuara keprihatinan, mencetuskan semangat dan memberanikan diri berada dibarisan depan .

Oleh itu, ketika Hari Guru disambut pada tahun 2013 ini, di samping mengungkapkan ucapan sejuta  terima kasih dan sekuntum penghargaan, kami juga mengajak warga guru, diperingkat apa pun, mari kita bermuhasabah, mari kita mengoreksi diri, sejauh mana pendidik dan kependidikan, guru dan perguruan telah berjalan sempurna ke arah membangunkan tamadun cemerlang yang kita idamkan.

Selamat Hari Guru.

Cikgu Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras
16 hb Mei 2013

Ibtila' di Jalan Perjuangan

Ustaz Nasrudin bin Hasan, 16 Mei 2013
Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' (ujian) yang bakal merintang di sepanjang jalannya. Perit, jerih dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah yang telah ditempa para Nabi dan Rasul. Cumanya, sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah. Hanya akidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri.

Lebih menarik, tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah, tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami.

Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri. Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan.

Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat seketika dahulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya. Tuan Guru menceritakan pengalamannya sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS.

"Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini. Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta, balik jauh-jauh malam. Menangis saya sambil memandu seorang diri, peritnya nak bawa Islam pada masyarakat Melayu ketika itu. Sampai di rumah pula, buka saji, makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur..."

Kala terasa penat seharian di lapangan, saya segera mengingati cerita Tok Guru, terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sesi motivasi. Inilah juga yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Laith as-Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah (bermaksud), "Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar-besar musibah."

Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah SAW sebagai Rasul ulul 'Azmi dan para salaf as soleh. Namun jelas, tatkala membaca sirah Rasulullah SAW, bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita mahu mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi.

Jamaludin al-Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancong, penjara seperti istirahat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah Taala sebagai kekasih yang dirindui. Sungguh dahsyat ibarat ini. Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirahat dan buang daerah sebagai pakej pelancongan jika ia bukan terdiri dari pejuang-pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah Taala.

Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya. Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari. Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu. Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah. Biar penat dan lelah segala anggota namun di kala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi, terasa diri cukup bertuah.

Selamat berjuang buat semua biarpun payah.

http://www.tarbawi.my

Sistem bidang tugas lemahkan peranan guru

Harakahdaily, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Peranan guru begitu besar dalam mendidik generasi demi masa depan yang cemerlang, namun peranan guru hari ini sedang dilemahkan oleh sistem dengan bidang tugas yang terlalu berat dan tidak menentu.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata, orientasi baru yang dibebankan kepada guru pada hari ini antaranya pelaksanaan sistem Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) melemahkan peranan guru sebagai pendidik, pembinaan akhlak pelajar dan pembantu kepada masyarakat.

Malah katanya, guru akan menjadi pekerja dan robot yang mesti melaksanakan tugas sedangkan matlamat guru yang lebih besar bukanlah semata-mata untuk mencapai kecemerlangan akademik.

Oleh yang demikian, beliau  dipetik laman rasmi PAS, menyeru supaya pihak-pihak yang berkenaan mengkaji semula sistem peperiksaan tersebut bagi memastikan peranan asas guru sebagai pembina syaksiah dan intelek terpelihara.

"Beban tugas tidak menentu dan terlalu berat dalam Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi suatu tanda tanya, sejauh mana keupayaan pihak kerajaan menanganinya dengan prasarana yang begitu lemah di semua peringkat dan juga dengan maklumat yang begitu 'detail' (terperinci)," katanya dalam sidang media selepas  majlis makan malam bersama bekas-bekas guru di Kuala Terengganu, meraikan sambutan Hari Guru yang disambut di seluruh negara pada hari ini.

Beliau juga menegaskan, Hari Guru adalah hari kebanggaan buat semua kerana jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh para guru sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh guru yang paling agung, iaitu Nabi Muhammad SAW.

"Rasulullah SAW adalah tokoh yang paling agung di kalangan para guru, yang mempunyai contoh terbaik untuk diikuti oleh semua manusia,"ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah dan Pengerusi Lajnah Pendidikan yang juga Bendahari PAS Terengganu, Cikgu M. Shukrimun Shamsuddin.

Rumah BN kian sempit kepada MCA

Abdul Aziz Mustafa, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Perkauman melampau-lampau Umno menjadikan MCA dan Gerakan merasa rumah Barisan Nasional (BN) sudah begitu sempit untuk mereka, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Pada masa yang sama, katanya, Pakatan Rakyat pula semakin diyakini sebagai wadah perpaduan yang tulus dan ikhlas bagi semua rakyat Malaysia.

Dengan apa yang dilalui oleh mereka, Salahuddin tertanya-tanya sehingga bilakah MCA dan Gerakan sanggup berada di dalam rumah BN yang semakin disempitkan kepada mereka dengan pelbagai sindiran dan kenyataan sinis Umno yang semakin menjadi abang besar yang takbur dan angkuh.

"Ketika pengundi-pengundi dari Bangladesh yang dilaporkan telah diangkut untuk mengundi BN semakin disantuni dengan begitu mesra oleh Umno, parti-parti yang selama ini mewakili kaum Cina di dalam BN seperti MCA dan Gerakan semakin menjadi orang terbuang yang langsung tidak dihargai lagi di dalam rumah BN.

"Setiap hari disindir dan diperli oleh Umno dan yang lebih menghairankan, MCA dan Gerakan terus membodohkan diri ketika bangsa Cina terus dihina oleh para pemimpin dan hulubalang-hulubalang Umno," katanya.

Rakyat, kata Salahuddin, tertanya-tanya mengapakah MCA dan Gerakan sanggup menjadi orang terbuang dan terhina di dalam BN.

"Jasa MCA dan Gerakan yang mengekalkan kuasa Umno pada pilihan raya 1999 lalu ketika 65 peratus orang Melayu menolak (Tun) Dr Mahathir (Mohamad), Umno dan BN ketika itu sedikit pun tidak dihargai," katanya.

Ketika MCA dan Gerakan menjadi orang terbuang di dalam BN, Salahuddin mengajak semua rakyat Malaysia membuang politik perkauman yang penuh dendam dan permusuhan yang ditaja oleh Umno.

"Sehingga bilakah rakyat Malaysia sanggup hidup dibakar api perkauman yang semakin hari semakin diapi-apikan oleh Umno?" beliau mempersoalkan.

Rakyat Malaysia, terutama orang-orang Melayu, tidak ada pilihan lagi untuk membina Malaysia yang kembali aman dan harmoni melainkan bersama-sama Pakatan yang semakin terlihat dan terbukti menjadi "wadah perpaduan yang tulus dan ikhlas", kata beliau.

"Sesiapa jua yang menghadiri perhimpunan-perhimpuna kita sejak sebelum pilihan raya lalu dan juga perhimpunan-perhimpunan selepas pilihan raya seperti di Petaling Jaya, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan dan Johor Bahru telah merasai bahawa Pakatan telah benar-benar menjadi wadah perpaduan yang ikhlas dan mesra bagi semua kaum," kata Salahuddin yang yakin usaha untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Pakatan adalah wadah perpaduan yang benar-benar ikhlas akan berjaya.

PM sudah tidak wajar pegang Menteri Kewangan

Hazayani Zakaria, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Portfolio Menteri Kewangan sewajarnya tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri sebaliknya diberi kepada timbalannya bagi mewujudkan budaya semak imbang di peringkat tertinggi kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan kewangan negara.

Menurut Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Syahir Sulaiman, Malaysia mengalami defisit fiskal selama 16 tahun berturut-turut sejak 1998.

Dalam tempoh ini, format penjawatan Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan yang dipraktikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan disambung oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Negara sangat memerlukan budaya ‘semak dan imbang’ (check and balance), bukannya budaya ‘cek dan baki’ (cheque and balance) di peringkat tertinggi membuat keputusan.

"Dasar fiskal negara yang disuburkan oleh sistem urus tadbir yang tidak pruden, dek kuasa yang diberi pada orang yang sama memegang jawatan CEO dan CFO dalam kerajaan.

"Hatta di peringkat persatuan, kelab dan masjid, seorang pengerusi tidak boleh turut memegang jawatan bendahari, bagi mengelakkan berlaku salahguna kuasa dan pecah amanah," kata Pengarah Institut Polisi Studi DPPM itu.

Kabinet yang diumumkan Najib petang semalan membabitkan 24 kementerian membabitkan 33 jawatan Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, 26 Timbalan Menteri, termasuk seorang Senator sedia ada dan lima lagi Senator (dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri) akan dilantik.

PRU13 dicemari sindiket jual undi pos?

Aslani M, 16 Mei 2013
KOTA BHARU: Dakwaannya cukup serius, ada agen yang mengumpul kertas undi pos. Bagi setiap kertas undi pos ada tawaran sehingga RM300. Pemilik kertas undi diberi RM200 dan agen pula bolot RM100.

Bayangkan kalau agen mampu mengumpul 10 kertas undi pos, dengan mudah dia akan mendapat RM1,000.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendakwa, jentera pilihan raya PAS mengesan ada sindiket yang cuba menjual kertas undi pos.

“Pengundi pos yang ditemui petugas PAS mendedahkan ada pihak menawarkan sejumlah bayaran sebelum kertas undi yang diterima dipangkah,” katanya di sini.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sepanjang proses pengundian, sehingga pembangkang mengambil ketetapan menolak keputusan pilihan raya umum ke-13.

Ketika proses pengundian pos bermula baru-baru ini Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham) Pemuda PAS Kelantan menerima aduan petugas pilihan raya kalangan guru yang mengundi pos dipaksa mengundi di hadapan pegawai pejabat pelajaran daerah (PPD).

Pengerusinya, Mohd Abd Rashid Yah berkata, pengadu mendakwa ketua jabatan mereka mengarahkan supaya kertas undi pos dipangkah di hadapan PPD.
“Malah ada juga pengadu memberitahu ketua jabatan terbabit mengarahkan kertas undi pos milik mereka diserahkan kepada bos untuk dipungut, sedangkan ia melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Difahamkan sindiket menjual undi pos berlaku di beberapa tempat termasuk Bachok, Machang dan Tumpat dengan didalangi pihak tertentu.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaaan negeri berkata, sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku, tidak ada makna bagi sebuah demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

“Perkara ini adalah serius dan ia boleh menggugatkan sistem demokrasi yang diwarisi sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat beberapa kes menjual beli kertas undi pos bagi memenangkan satu-satu pihak.

Oleh itu beliau berharap pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut kerana dibimbangi ia akan merosakkan sistem demokrasi yang dipertahan sejak merdeka.

Pada PRU13 lalu seramai 240,000 petugas SPR layak untuk mengundi secara pos.

Manakala berdasar maklumat rasmi SPR, daftar pemilih yang diwarta untuk PRU13 mempunyai sebanyak 13,268,002 pemilih berdaftar.

Dan daripada jumlah itu pengundi biasa sebanyak 12,885,434 orang, pengundi pos (146,742) dan pengundi awal (235,826).

Tiada ulasan: