MCA sepatutnya tidak mengambil keputusan yang mencerminkan sahsiah yang rendah dalam erti kata belum apa-apa lagi sudah menyatakan mereka tidak akan menyertai Kabinet, kata pemimpin veteran Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim.
  
Beliau berkata itu bukan satu pendirian yang baik, oleh kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang membentuk kerajaan Persekutuan yang baru, begitu juga kerajaan-kerajaan negeri.
  
"Seharusnya muafakat dilaksanakan tetapi mereka awal-awal lagi telah tolak. Ini satu fiil yang sangat-sangat dicurigai. Secara terus terang kita perlu menyatakan bahawa MCA dan Gerakan sebenarnya telah mencetuskan suasana sebahagian daripada kekalahan BN.

"Percakaran dalaman dan tiadanya persefahaman ataupun pendirian kolektif sehingga beberapa kawasan telah hilang (kalah) ke tangan musuh politik BN," katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran sempena kemenangan BN Jelebu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas di Dewan Majlis Daerah Jelebu, malam tadi.
  
MCA mengumumkan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi teruk pada PRU13 apabila hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
  
Gerakan pula hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam, daripada 11 kerusi yang ditandinginya, dan tiga kerusi DUN iaitu Pemanis di Johor dan Tanjong Papat serta Elopura di Sabah, daripada 31 kerusi yang ditandinginya.
  
Rais yang merupakan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan, berkata "Jadi dalam konteks itulah, kita berpendapat MCA tidak seharusnya membuat pendirian seperti itu melainkan berunding dahulu dengan Perdana Menteri dan mencari jalan keluar, bagaimana struktur dan tindakan lanjutan boleh dilaksanakan oleh mereka".
  
Beliau berharap Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek akan menimbangkan untuk menyertai Kabinet kerana keengganan berbuat demikian akan membawa kepada keadaan negara mungkin mempunyai masa depan yang tidak harmoni dan "tempang" dalam struktur kemasyarakatan pelbagai kaum.
  
"Sama ada menerusi MCA atau menerusi jurusan lain, masyarakat Cina harus diberi perwakilan dalam Kabinet. Begitu juga bagi masyarakat India dan masyarakat minoriti ataupun wilayah menerusi Sarawak dan Sabah. Ini sudah tertera dalam amalan BN dan kita tidak boleh pada masa ini meninggalkan tanggungjawab ini.
  
"Saya yakin pimpinan MCA ada ruang dalam pemikiran mereka untuk memperbaiki keadaan ini kerana jika tidak mereka akan dituduh sebagai pihak yang subjektif dan tidak memikirkan negara bangsa Malaysia ini," katanya.

Mengenai keputusan PRU13 yang menyaksikan DAP memenangi 38 kawasan Parlimen, Rais berkata tumpuan segera perlu diberikan terhadap aspek perumahan, pendidikan  dan pekerjaan yang memerlukan pembabitan semua kaum secara seimbang bagi penyatuan masyarakat majmuk.
  
"Saya yakin Perdana Menteri akan berupaya mewujudkan satu bentuk dan struktur masyarakat yang baharu di mana kejutan yang berlaku pada PRU13 menjadi pelajaran dan batu sempadan bagi kita," katanya.
  
- Bernama