Ahad, 12 Mei 2013

BALAS DENDAM ...MUNGKIN JUGA TAPI KERJA MACAM NI SEOLAH2 NAK MEMBUNUH KERJAYA

MCA, Gerakan lebih kepada tutup kedai – Guan Eng

Harakahdaily, 11 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Walaupun Umno membalas dendam untuk kekalahan mereka dalam pilihan raya umum, terutamanya kegagalan untuk mendapatkan majoriti 2/3 parlimen, dengan menyalahkan orang Cina; MCA dan Gerakan berperangai kebudak-budakan dengan menutup pusat-pusat khidmat mereka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat tidak akan lagi menjadi mangsa kepada ancaman tersebut.

Baginya, MCA dan Gerakan lebih kepada menutup kedai dan bukan sekadar pusat-pusat khidmat mereka.

“Pemimpin-pemimpin DAP dan ahli-ahli perlu berusaha lebih dengan menggantikan BN sama ada MCA atau Gerakan, dalam berkhidmat kepada rakyat di mana MCA atau Gerakan telah meninggalkan rakyat,” ujarnya semasa Persidangan Khas DAP untuk 38 ahli parlimen dan 103 Dun di sini, hari ini.

Katanya, MCA dan Gerakan terlalu memandang rendah harapan rakyat untuk perubahan jika mereka fikir menutup pusat khidmat atau pejabat mereka sebagai membalas dendam kerana kekalahan dalam pilihan raya umum boleh menakut-nakutkan pengundi.

Tegasnya, DAP tidak menutup pejabat atau pusat khidmatnya apabila kalah dalam setiap pilihan raya umum sejak 1966 sehingga 2008 tetapi terus berjuang untuk rakyat.

Semua ini, jelasnya dilakukan apabila Umno menjadikan kedua-dua DAP dan masyarakat Cina sebagai penjahat kerana berani melawan dan mengundi menentang BN.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan, rakyat Malaysia tidak lagi bodoh dan tidak akan membenarkan BN memainkan isu-isu nasional dengan sentimen perkauman.

Sebaliknya, tambah beliau setiap perkara perlu dibincangkan dan diputuskan berdasarkan merit tanpa berasaskan sentimen kaum tetapi berasaskan keperluan.

Ini, ujarnya adalah anjakan paradigma baru pilihan raya umum kali ini bahawa rakyat telah muak dan bosan dengan politik berasaskan kaum dan pelampau serta memilih dengan jelas untuk dasar-dasar mesra rakyat yang memberi perubahan kepada kehidupan rakyat biasa.

“Marilah kita membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah lebih kuat daripada orang-orang yang berkuasa,” katanya lagi.

Politik balas dendam bermula

Dr Azman Ibrahim,
Belum sampai 24 jam mengangkat sumpah sebagai MB bagi penggal ke 2, Ahmad Said tak tertangguh lagi untuk melempiaskan kemarahannya kepada rakyat yang telah memilih PAS sehingga mereka hanya mampu terus berada di Wisma Darul Iman dengan kelebihan 2 kerusi sahaja.

Sebagaimana yang disiarkan oleh portal berita Bernama, tiada lagi projek perumahan mampu milik di kawasan Dun dan parlimen yang dimenangi pembangkang. Kononnya selama ini kerajaan BN telah banyak mengambil alih tugas-tugas wakil rakyat PAS. Mana-mana rakyat di kawasan pembangkang yang berhajat kepada pembangunan, mereka diminta mengajukan kepada wakil rakyat pembangkang yang telah mereka pilih!

Saya sangat bersetuju dengan arahan ini kalau kenyataan ini turut disertakan dengan ketetapan bahawa mulai dari sekarang rakyat di kawasan yang diwakili pembangkang tidak lagi perlu membayar sebarang cukai sebagaimana yang dikenakan kepada rakyat yang mendiami kawasan BN. Barangan di kawasan yang diwakili pembangkang juga akan menjadi lebih murah kerana cukainya telah dikecualikan. Harga kereta, harga petrol merudum di kawasan pembangkang. Alangkah seronoknya.

Saya juga boleh bersetuju kalau jawatan pegawai pembangunan dun atau parlimen dimansuhkan dengan syarat peruntukan pembangunan dun dan parlimen berkenaan disalurkan kepada yang berhak. Siapa lagi kalau bukan wakil yang dipilih oleh rakyat.

Datuk Seri MB... Lupakah Tuan bahawa negara kita ini demokrasi. Bila Datuk Seri mengangkat sumpah sebagai MB, tentunya Datuk Seri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi negeri Terengganu Darul Iman, bukannya MB bagi orang Umno!

Rakyat Terengganu adalah rakyat Datuk Seri sama ada mereka Pas atau Umno. Jangan Datuk Seri menggali lubang untuk memendekkan lagi hayat kerajaan Umno yang telah sedia berada di hujung tanduk.

Berlaku adillah kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa.

Kalau sayalah, malu nak ngaku PM

Nik Nasri Nik Malek,
Analogi mudah: Anda (Andaikanlah nama anda itu Najeeb) bersama pasukan bolasepak anda ada 11 orang pemain. Gol di sebelah pasukan anda lebih kecil. Anda pastikan pengadil ialah adik kembar anda. Anda akan masukkan pemain tambahan bila-bila masa sahaja tanpa beritahu pengadil dan tanpa keluarkan pemain sedia ada.

Pasukan anda boleh sumbat gol dengan tangan selain anggota lain. Tidak ada istilah offside bagi pihak pasukan anda. Budak kampung kata curi ayam.

Kalau pasukan lawan sumbat gol, pengadil akan batalkan gol dengan mengatakan offside walaupun tidak benar. Pasukan anda pun terdiri dari pemain tempatan, termasuk 4 pemain import dari Bangladesh, Cambodia, Myanmar dan Indonesia.

Akhirnya pasukan anda menang 3-2, tetapi kesemua 3 gol itu dengan menggunakan tangan, offside dan pengadil hadiahkan penalti tanpa sebab.

Lalu dengan megah sambil mengangkat dada dan hidung, anda menjaja seluruh kampung bahawa pasukan bolasepak anda menang 3-2 mengalahkan pasukan lawan. Dan anda berkata pasukan andalah paling hebat dan andalah pemain terbaik perlawanan itu.

Kalau anda diletakkan dalam situasi ini, dan anda seorang yang ada maruah dan harga diri serta integriti, tergamakkah anda berbuat seperti ini?

Ini hanyalah analogi mudah yang sering kita dengar dalam ceramah pemimpin Pakatan Rakyat mengenai perjalanan pilihanraya umum atau kecil di negara Malaysia tercinta yang telah merdeka dari penjajah lebih 56 tahun ini. Namun, kerana NAFSU besar mahu terus berkuasa, segala pertimbangan akhlak mulia, harga diri, integriti hatta perkara salah-laku yang jelas dapat dilihat pun tidak dapat dinilai dengan benar.

Kalau anda masih tak faham dengan analogi di atas, memang anda seorang yang bengap!

Klon SMS: Celcom dakwa tidak terlibat

Harakahdaily, 11 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Berhad memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenai talian pelanggan yang didakwa digunakan untuk menyebarkan SMS berunsur perkauman.

Rohizan Ismail, Ketua Media dan Hubungan Kerajaan dalam kenyataannya berkata, Celcom tidak terlibat atau bersubahat dalam mana-mana kegiatan penyebaran sms yang boleh mencetuskan keamanan negara.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mengadu telefon mereka telah diklon untuk menyebarkan sms palsu berunsur perkauman.

Ekoran itu, Salahudin menuntut Celcom memberikan penjelasan mengenainya kerana beliau menggunakan talian Celcom.

"Celcom menegaskan sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dan berorientasikan pelanggan, pihak kami  amat menghormati privasi pelanggan," kata Rohizan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam siasatan awal, mereka mengesyaki ada pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan teknologi penyamaran (masking) dan menyebarkan SMS berunsur hasutan tersebut.

"Pihak kami akan bekerjasama dengan pelanggan bagi mengenalpasti mereka yang terlibat yang telah menyalahgunakan talian beliau kerana tindakan ini bertentangan dengan piagam pelanggan Celcom.

"Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika siasatan kami mendapati ada unsur- unsur tersebut.

"Kami sanggup melakukan apa sahaja bagi melindungi kepentingan para pelanggan kami dan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 3 petisyen – Tuan Ibrahim

Khairil Abdul Rahim, 11 Mei 2013


TEMERLOH: PAS Pahang mendakwa berlaku terlampau banyak kelemahan pada Pilihan Raya umum (PRU) ke-13 baru-baru ini berikutan kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik khususnya melibatkan ketua tempat mengundi (KTM).


Sambil menyifatkan mungkin KTM tidak faham peraturan dan tidak diberi latihan mencukupi, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdapat beberapa kes serius yang membabitkan KTM antaranya tidak mengembalikan borang 14 (keputusan) kepada wakil parti yang bertanding.

Menurutnya, sebagai contoh di Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai, tiga borang 14 tidak dikembalikan kepada wakil parti walaupun setelah banyak kali PAS memohon daripada mereka.

“Di Dun Dong, Raub, berlaku kes di mana KTM memasukkan borang 14 ke dalam peti undi dan di Dun Pulau Tawar pula berlaku kesilapan teknikal apabila borang parlimen bertukar dengan borang Dun,” katanya dalam sidang media hari ini selepas mesyuarat PAS negeri pertama selepas PRU13. (Gambar atas)

Tuan Ibrahim berkata, antara kepincangan lain, berlaku kes pengundi yang namanya telah digunakan pihak lain berlaku dalam Dun Kuala Semantan dan PAS telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, selain itu ada juga laporan mengenai lima pengundi warga emas berusia 80 tahun yang nama mereka didaftarkan untuk undi pos.

Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat Pahang akan membuat sekurang-kurangnya tiga petisyen (bantahan kemenangan BN) kepada SPR melibatkan Parlimen Bentong, Dun Damak, Jerantut dan Dun Dong, Raub dalam tempoh 21 hari selepas digazetkan.

“Tugas SPR ialah mengembalikan keyakinan kepada rakyat terhadap suruhanjaya berkenaan selepas ini kerana kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin SPR banyak yang menunjukkan badan tersebut tidak berdiri sama tengah,” katanya.

Mengenai soalan lain, Tuan Ibrahim berkata, PAS menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa berlakunya tsunami Cina kerana ada tujuh kerusi parlimen dan banyak Dun yang diwakili PR yang calonnya Melayu menang ke atas kerusi BN yang diwakili calon dari MCA dan juga Gerakan (Cina).

“Bagi PAS Pahang, secara keseluruhannya kita akur dengan keputusan yang telah dibuat rakyat iaitu berjaya mengekalkan kerusi Dun Kuala Semantan dan Beserah selain merampas kerusi Tanjung Lumpur dan turut menang di Parlimen Temerloh.

“Pada mesyuarat khas yang berlangsung hari ini juga, PAS Pahang merakamkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dipotong kedua belah kakinya dan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob atas pelantikan sebagai MB penggal keempat,” katanya.

Tiada ulasan: