Rabu, 8 Mei 2013

APA2 MASALAH MENGADU KEPADA MAHA AGONG IAITU ALLAH...MUNAJAT DENGAN SESUNGGUH2NYA SERTA RASA RENDAH DIRI...KERANA ALLAH MEMILIKI SEGALA2NYA MAU DIDUNIA ATAU PUN AKHIRAT...YANG ZAHIR SERTA YANG BATIN...INGATLAH KITA NI MAKHLUK....SAPE LAH KITA DISISI ALLAH SWT

PRU13: Henti calar imej PDRM, kata IGP
WAN NASRAH ABDUL RAHIM
7 Mei 2013
TAN SRI ISMAIL OMAR
TAN SRI ISMAIL OMAR
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menggesa orang ramai berhenti daripada mendakwa polis terlibat dalam usaha membawa pengundi hantu ketika Pilihan Raya Umum ke-13, tindakan yang  mencalar imej dan kredibiliti pasukan keselamatan.

"Hentikan isu-isu ini. Ia bersifat hasutan dan provokasi serta merosakkan keamanan yang dicapai selama ini.

"Saya anggap ia sebagai cubaan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencalarkan imej polis," katanya.

"Kononnya menggunakan trak polis untuk membawa pengundi hantu ini. Ini satu dakwaan yang serius. Gambar yang dimuatkan dalam trak itu bukan gambar sebenar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Katanya, beliau perkara ini adalah tohmahan-tohmahan serius dan cubaan untuk mengkucar-kacirkan negara.

Ismail berkata, proses Pilihan Raya Umum ke-13 adalah cukup baik di mana terdapat 17 pemerhati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemerhati daripada negara Asean yang telah memberi pandangan mereka dengan mengatakan proses pilihan raya negara ini adalah sangat telus.

"Ia tidak sepatutnya ada pihak yang cuba nak mengubah perkara ini. Sistem demokrasi kita adalah baik. Rakyat telah membuat keputusan, terimalah keputusan ini," katanya.

"Biarlah kerajaan yang telah dibentuk ini menjalankan kewajipan mereka. Beri peluang sama ada kerajaan negeri atau persekutuan supaya mereka terus menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail berharap, tindakan orang ramai yang prejudis terhadap pengundi hantu sehingga menahan bas dan membaling batu ke arah bas yang membawa pekerja Bangladesh ke kilang seperti yang berlaku di Selangor pada hari mengundi adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Kita akan jalankan siasatan kepada pihak yang menahan bas itu kerana orang awam tidak ada kuasa untuk menahan bas berkenaan.

"Saya dah berkata berkali-kali orang ramai tiada kuasa untuk menahan orang lain dan memeriksa bas," katanya.

Polis turut meminta tiada pihak yang menimbulkan provokasi lain sehingga akan melibatkan orang awam akan melakukan jenayah yang lain.

Sementara itu banyak dakwaan yang timbul mengatakan di pusat penjumlahan undi di Bentong, Pahang kononnya berlaku 'blackout' tetapi apabila disiasat ia hanyalah isu yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pada saya ini adalah usaha untuk membangkitkan kemarahan," katanya.
Nik Aziz berundur sebab kesihatan

7 Mei 2013
Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau berundur daripada jawatannya selepas 23 tahun kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Nik Aziz, 81, diganti oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, 63, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Pekan.

Bagaimanapun, beliau sedia untuk terus memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Mursyidul Am Pas, katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Melaka di sini, hari ini.

Nik Aziz enggan mengulas mengapa anggota Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa tidak lagi dilantik sebagai anggota Exco dalam kepimpinan terbaru di Kelantan.

Ditanya kenapa orang Melayu di Kedah dan Perak menolak Pas sehingga Kedah kembali diperintah BN selain Perak juga kekal milik BN, beliau berkata: "Saya tak nak ganggu kawasan orang lain." - Bernama
KPN: Tindakan segera terhadap pemilik laman sosial sebar isu perkauman

7 Mei 2013
KPN: Tindakan segera terhadap pemilik laman sosial sebar isu perkauman
Tan Sri Ismail Omar
KUALA LUMPUR - Polis memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik laman sosial yang cuba mencetuskan provokasi perkauman selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
  
Menyifatkan perbuatan itu boleh mengancam kestabilan negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata provokasi sedemikian boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara.
  
Polis akan menahan mereka yang disyaki menyebar hasutan sedemikian, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
  
Beliau berkata polis juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik laman sosial yang cuba membangkit kemarahan penyokong parti politik, termasuk menyebar dakwaan kononnya wujud pengundi hantu serta bekalan elektrik terputus ketika penjumlahan undi di Bentong, Pahang Ahad lepas.
  
"Bila kita siasat, tiada bekalan elektrik terputus seperti yang diuar-uarkan di laman sosial seperti di pusat penjumlahan undi di Bentong, tindakan ini tidak ubah seperti provokasi bagi menaikkan kemarahan penyokong," katanya.

Berhubung dakwaan pekerja asing dipukul serta bas mereka dirosakkan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, Ismail berkata pihaknya kini memburu pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu untuk dibawa ke muka pengadilan.
  
Dalam pada itu, beliau menyelar segelintir pihak yang mengaitkan kononnya polis terlibat dalam membawa pengundi hantu pada hari pengundian.

Ismail berkata ini merupakan tuduhan tidak berasas dan bertujuan memburukkan imej polis di mata masyarakat.
  
"Tuduhan ini amat tidak munasabah, mereka tunjuk gambar di laman sosial, gambar trak polis sahaja... kemudian tuduh polis bawa pengundi hantu, tuduhan ini tidak berasas sama sekali," katanya. - Bernama
SPR: Jangan demonstrasi di jalan jika tak puas hati

7 Mei 2013
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar
KUALA LUMPUR - Calon atau mana-mana rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tidak sepatutnya berdemonstrasi  di jalan raya kerana mereka boleh mengemukakan petisyen di Mahkamah Tinggi.

"Rakyat berhak mencabar keputusan PRU, tetapi melalui saluran undang-undang. Jangan pergi ke jalan raya berdemonstrasi dan memanggil seluruh dunia menceritakan kami tolak PRU," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata demikian semasa diwawancara dalam rancangan forum bual bicara isu semasa 'Helo Malaysia' terbitan BernamaTV yang disiarkan menerusi televisyen satelit Astro, malam tadi.

Wan Ahmad menjelaskan bahawa calon boleh mengemukakan bantahan terhadap proses pengundian di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 21 hari selepas pewartaan keputusan oleh SPR.

Menurutnya, SPR dijangka selesai mewartakan keputusan PRU13 itu dalam masa dua minggu.

Beliau berkata petisyen itu boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi di negeri masing-masing dan akan diselesaikan dalam masa enam bulan.

"Sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk keputusan muktamad," kata Wan Ahmad.

Menurut beliau pada PRU 2004, SPR menerima lebih 30 petisyen berhubung keputusan PRU dan 40 petisyen pada PRU 1999.

Pada PRU 2008 hanya 26 petisyen yang dikemukakan sedangkan ketika itu berlaku tsunami politik yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab-sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang mungkin menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya. - Bernama
KPN: Tiada permohonan untuk anjur perhimpunan esok

7 Mei 2013
Ismail Omar
Tan Sri Ismail Omar. - Foto Sinar Harian MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menjelaskan satu perhimpunan yang dirancang pembangkang esok merupakan perhimpunan haram berikutan penganjur tidak membuat sebarang permohonan kepada polis.
  
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata sehubungan itu, polis akan menahan peserta jika perhimpunan itu tetap diadakan.
  
"Penganjur perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Ini kerana tindakan berarak di tempat tertentu tanpa kebenaran bertujuan membangkitkan kemarahan adalah salah di sisi undang-undang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
  
Beliau menasihatkan penganjur perhimpunan supaya mematuhi undang-undang selain menggunakan saluran betul dengan meminta kebenaran ketua polis daerah berkenaan.
  
Selain itu, Ismail berkata polis akan bertindak terhadap pemilik laman sosial yang cuba mencetus provokasi bersifat perkauman susulan Pilihan Raya Umum ke-13 bagi mengelak sebarang pergaduhan atau keadaan huru-hara.
  
"Jangan cuba timbulkan huru-hara dengan menghasut di laman sosial dengan isu perkauman dan provokasi. Polis sentiasa memantau keadaan ini," katanya.
  
Beliau turut memberi amaran kepada pemilik laman sosial yang cuba membangkitkan kemarahan, termasuk menyebarkan dakwaan berhubung pengundi hantu dan bekalan elektrik terputus ketika proses penjumlahan undi.
  
"Bila kita siasat, tiada bekalan elektrik terputus seperti yang dilaporkan di laman sosial, seperti (yang dikatakan berlaku) di pusat penjumlahan undi di Bentong. Tindakan ini tidak ubah seperti provokasi," katanya.
  
Ismail turut menyelar tindakan pihak tertentu yang mendakwa polis terlibat membawa pengundi hantu semasa PRU13 dan menegaskan tuduhan itu tidak berasas serta bertujuan memburukkan imej polis.
  
"Tuduhan ini amat tidak munasabah, mereka tunjuk gambar di laman sosial, gambar trak polis sahaja... kemudian tuduh polis bawa pengundi hantu, tuduhan ini tidak berasas sama sekali," katanya.
  
Beliau mengulas gambar sekumpulan individu memakai baju-T hitam, dipercayai pelajar Malaysia di luar negara memegang bendera Malaysia dalam keadaan terbalik yang tersebar luas di laman sosial.
  
"Kita pantau tindakan mereka... kita akan siasat tindakan mereka itu," katanya. - Bernama
Papa Gomo, King Jason ditahan polis
AHMAD ISMADI ISMAIL
7 Mei 2013
SHAH ALAM - Dua blogger, Papa Gomo dan King Jason ditahan oleh polis dipercayai berhubung tindakan menyiarkan sentimen berbaur perkauman menerusi blog masing-masing.

Perkara itu disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu kenyataan twitter yang dikeluarkan kira-kira sejam lalu.

"Papagomo dan King Jason ditahan untuk siasatan polis," bunyi mesej twitter itu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung  tiga entri King Jason menerusi twitter yang dipercayai menfitnah PDRM pada jam 6 petang, semalam.

"Dia (King Jason) dipercayai memberi komen berbaur hasutan dan membangkitkan kebencian orang awam terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan PDRM," katanya pada sidang media di pejabat JSJK, Bukit Perdana, Kuala Lumpur hari ini.

Syed Ismail berkata, polis menahan lelaki berusia 38 tahun itu di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa, Klang, tengah hari tadi dan turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit dan dua kad memori.

Sejurus polis menahan King Jason, polis menahan Papa Gomo di Danau Kota, Setapak petang tadi.

"Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai memberi kenyataan berbaur perkauman dan boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara di twitter," katanya.

Menurutnya, polis juga merampas dua buah komputer riba, tiga telefon bimbit dan dua buah kad memori.

"Kami akan memohon reman terhadap kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan berhubung kenyataan fitnah dan hasutan mereka.
"Kami juga memberi amaran kepada  orang ramai jangan membuat komen di laman sosial yang boleh menggugat kententeraman awam," katanya.

Beliau berkata, anggota dari bahagian Jenayah Siber, JSJK melalui strategi 'Royal Malaysia Police Integrated Media Action Plan' (RMP Imap) memantau dan mengenal pasti beberapa lagi individu yang cuba membangkitkan isu perkauman atau hasutan.

"Kami akan memberkas mereka setelah maklumat mengenai mereka diperoleh.

“Kami juga menasihatkan pengguna media sosial dapatkan fakta dan maklumat tepat sebelum memuat naik ke blog atau mana-mana media sosial," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta 4 (1) Hasutan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain Syed Ismail berkata, polis telah membebaskan penulis blog Milosuam dengan jaminan polis pada 4 Mei lalu.

"Kami akan menyerahkan semula kertas siasatan kepada peguam negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Khalid elak jawab sama ada calon Pas isi kerusi MB Selangor

7 Mei 2013
Khalid Samad
Khalid Samad
SHAH ALAM - Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor Khalid Abdul Samad mengelak memberikan jawapan apabila diajukan soalan adakah calon Pas akan mengisi kerusi Menteri Besar Selangor.
  
Ini berikutan Pas dan DAP sama-sama menguasai 15 kerusi Dewan Undangan  Negeri (Dun) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas berbanding PKR yang hanya memenangi 14 kerusi.
  
Beliau sebaliknya menyatakan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu Pas, PKR dan DAP adalah sama kuat dan perbezaan satu kerusi tidak menandakan satu parti itu lebih hebat daripada yang lain.
  
"PAS semakin teguh (di Selangor) bila kita tambah kerusi kepada 15 berbanding lapan pada 2008, tetapi kita sama kuat," kata Khalid pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Azmin Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Rani Osman dan Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim.
  
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor mensyaratkan bahawa calon Menteri Besar mestilah seorang Melayu dan beragama Islam, sedangkan tidak ada seorangpun calon beragama Islam daripada DAP yang bertanding dan menang pada PRU13 di Selangor.
   
Khalid turut menuding jari kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Pas sendiri bagi kegagalan PKR mempertahankan kerusi DUN Semenyih dan DUN Kota Damansara. Pada 2008, kedua-dua kerusi itu dimenangi calon PSM menggunakan lambang PKR.
  
Beliau berkata kehilangan dua kerusi itu menyebabkan PKR gagal memperoleh kerusi yang lebih banyak daripada Pas dan seterusnya membolehkan PKR menjadi parti yang 'sepatutnya' untuk memerintah Selangor.
  
"Semenyih ada pecah undi antara calon PSM dan PKR. Kota Damansara pula kitab sudah arahkan calon kita (Ridzuan Ismail dari Pas) untuk menarik diri tetapi beliau masih tidak mahu menarik diri. Undi Pas dan PKR pecah, tidak termasuk pecah kepada tiga calon Bebas di situ.
  
"Ini satu pengajaran kepada dia (Ridzuan) supaya jangan besar kepala. Mana-mana pihak tidak boleh menang seorang diri dan khianati amanah rakyat. Kita akan buat laporan dan serah pada pimpinan Pas pusat untuk diambil tindakan," katanya.  

Dun Semenyih menyaksikan Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,145 undi, manakala Dun Kota Damansara turut dimenangi calon BN Halimaton Saadiah Bohan dengan majoriti 1,527 undi.
  
Rani pada sidang media itu pula memilih untuk berdiam diri tentang isu itu namun beliau hari ini dilaporkan berkata dalam sebuah akhbar harian tabloid berbahasa Melayu bahawa Pas Selangor akan menghantar senarai calon Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri kepada Pas pusat untuk penelitian.
  
Semalam, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata Pas perlu diberi peluang menerajui Selangor dengan peningkatan kerusi Dun pada PRU13 dan pengaruh yang semakin kuat di negeri itu. - Bernama
Najib: Kerajaan tidak tumbang walaupun sebahagian kaum Cina pilih pembangkang

7 Mei 2013
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak tumbang walaupun sebahagian besar kaum Cina menyokong pembangkang seperti yang dilihat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata realitinya ialah kaum Bumiputera dan masyarakat India masih memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan BN untuk terus menerajui negara berdasarkan mandat yang diperoleh dalam PRU13, Ahad lepas.
  
"Kita harus sedar bahawa parti pembangkang khususnya DAP telah menggambarkan kepada masyarakat Cina (kononnya) mereka boleh mengubah kerajaan...malah slogan yang digunakan seolah-olah (kalau) orang Cina sokong pembangkang, mereka boleh ubah kerajaan.
  
"Hakikat dan realitinya walaupun sebahagian besar (masyarakat Cina) sokong pembangkang, tetapi kerajaan tidak tumbang, kerajaan BN masih kekal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas dengan anggota parlimen baharu BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
  
Perjumpaan tertutup selama hampir dua jam itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib menarik perhatian walaupun sokongan kaum Cina terhadap DAP di sesetengah kawasan dilihat mencecah antara 85 dan 95 peratus, namun kerajaan BN masih kekal kerana kaum Bumiputera dan India di banyak kawasan lain masih percaya kepada gabungan itu.
  
Menurutnya, apa yang digambarkan pembangkang terutama DAP merupakan satu penipuan besar terhadap kaum Cina sehingga masyarakat itu yakin undi mereka dapat mengubah kerajaan sedia ada.
  
"(Ini) seperti janji pada 16 Sept (2008 untuk menawan Putrajaya). Storyline (jalan cerita) ini (untuk tukar kerajaan) tidak betul dan banyak ditokok tambah, direka cerita," katanya.
  
Najib berkata satu lagi penipuan yang dilakukan pembangkang pada PRU13 ialah dakwaan tidak logik BN membawa masuk lebih 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi untuk memastikan kemenangannya.
  
"Kalau ikut logik, nak bawa 40,000 (warga) Bangladesh (perlu) menggunakan pesawat Boeing 747 yang hanya boleh memuatkan 400 orang...bererti 100 buah pesawat terpaksa mendarat untuk membawa warga Bangladesh ini mengundi," katanya.
  
Namun,beliau berkata sehingga kini tiada bukti diketengahkan pembangkang kerana dakwaan itu sememangnya tidak berasas," tegasnya.
"Ini satu penipuan besar sehingga orang yang mengundi pada hari berkenaan percaya dan yakin (kononnya) kami mengundi nak selamat Malaysia daripada dikuasai oleh (warga) Bangladesh. Sampai ke peringkat ini penipuan semata-mata nak jadikan orang marah kepada kerajaan dan nak rebut kuasa," kata Najib.
  
Najib, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri semalam, percaya jika kaum Cina memberi sokongan kepada BN seperti yang dilihat pada 2008, tidak mustahil gabungan itu memperoleh kemenangan dua pertiga pada PRU13
Ahad lepas.
  
Sambil menegaskan masyarakat Cina sebenarnya telah dipermainkan pembangkang, beliau berkata penjelasan segera perlu diberi untuk menyedarkan mereka mengenai realiti sebenar.
  
Beliau turut menolak tanggapan peralihan besar sentimen pengundi Melayu di bandar menyumbang kepada kemerosotan sokongan kepada BN kerana berdasarkan fakta, undi Melayu di kawasan bandar meningkat berbanding 2008.
Pada asasnya, undi di kawasan yang didominasi orang Melayu telah meningkat berbanding 2008, katanya.
  
"Pada 2008, Umno menang 79 (kerusi Parlimen), dan kali ini 88 kerusi, bermakna undi Melayu telah bertambah di seluruh negara," katanya sambil menambah kata bahawa untuk mengatakan undi Melayu di kawasan bandar telah menurun tidak begitu tepat.
  
"Sudah tentu bukan semua orang menyokong BN tetapi pada dasarnya, sokongan orang Melayu telah meningkat di kawasan-kawasan bandar," katanya.
  
Mengenai perubahan yang perlu dilakukan kerajaan untuk menangani apa yang dilihat sebagai trend perubahan sokongan kaum Cina, perdana menteri berkata perkara itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
  
Ini kerana kajian mendalam serta perbincangan bersama parti komponen BN perlu dilakukan terlebih dahulu, jelasnya. - Bernama
Minta serah video
HASNIZA HUSSAIN
7 Mei 2013
Mohamad Mat Yusop
Mohamad Mat Yusop
SHAH ALAM - Polis menyeru sesiapa yang mempunyai rakaman video atau gambar berkaitan serangan yang dilakukan oleh kira-kira 80 individu terhadap 54 pekerja warga asing yang disyaki pengundi hantu dalam kejadian di Jalan Young, Pandamaran, Klang, kelmarin untuk tampil segera membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti identiti kumpulan individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, bilangan mereka yang terlibat terlalu ramai dan sewaktu kejadian, polis tidak berada di situ.

"Sukar untuk kita ketahui dan kenal pasti identiti mereka yang menyerang.

"Namun, kita berharap sesiapa yang ada merakamkan gambar atau video ketika kejadian, dapat menyerahkan bahan tersebut bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke mana-mana balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Daerah Klang Selatan, Deputi Superintendan
Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid di talian 03-33762222.

Katanya, bahan bukti seperti video dan gambar kejadian sangat penting kerana boleh membantu polis untuk membuat tangkapan terhadap mereka yang terlibat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, keterangan sebahagian daripada pekerja warga asing terbabit juga sudah diambil untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana
merusuh.

"Keterangan tujuh daripada 54 pekerja asing yang tercedera sewaktu kejadian akan dirakamkan dalam tempoh terdekat sebaik mereka disahkan pulih sepenuhnya," katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 3.45 petang kelmarin, kira-kira 80 individu bertindak membaling objek keras pada sebuah bas yang membawa seramai 54 pekerja warga asing yang dalam perjalanan pulang ke asrama di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Kumpulan individu itu kemudiannya naik ke atas kenderaan tersebut dan memukul pekerja yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar, menyebabkan tujuh orang cedera.
Serangan dilakukan kerana kumpulan individu itu menyangka semua pekerja warga asing yang berada dalam bas adalah pengundi hantu.

Tiada ulasan: