Isnin, 18 Februari 2013

TERUS SAKIT DAN TERBONGKAR

Bekas jeneral mahu jelajah negara bongkar Umno zalim

KeadilanDaily, 18 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Keempat-empat bekas pegawai tertinggi tentera akan menjelajah seluruh negara untuk membongkar kemungkaran pentadbiran Umno BN, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Lt. Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (Darat), Brig. Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab (Udara), Laksamana Pertama (B) Haji Imran Abd Hamid (Laut) dan Brig. Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat).

“Terima kasih kerana mereka mahu menjelajah seluruh negara untuk pertahankan Pakatan Rakyat. Jelajah ini untuk bongkar kekejaman dan kezaliman Umno BN

“Umno mesti kata saya bayar mereka. Saya ingin jelaskan, tiada bayaran. Sepatah pun tidak ada perbincangan mengenai bayaran.

“Malah Datuk Ghafir sendiri mengatakan beliau tidak mahu apa-apa jawatan atau kerusi,” katanya di sini, malam kelmarin.

Anwar juga tidak menolak kemungkinan fitnah akan disebar terhadap keempat-empat jeneral itu kerana menyatakan sokongan terbuka kepada Pakatan Rakyat.

“Pelbagai fitnah mungkin akan muncul terhadap mereka. Namun, saya yakin mereka boleh tangani kerana mereka ini berdarah pejuang,” katanya.

Perantau rayu kekal Pasar Payang sebagai warisan

Harakahdaily, 17 Feb 2013

Raja Baharin bersama Perantau memperjuangkan agar Pasar Payang dikekalkan.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) menyokong pembangunan sebuah hotel bertaraf lima bintang yang dirancangkan oleh kerajaan negeri sebagai keperluan kepada pelancongan masa kini tetapi dalam masa yang sama merayu mengekalkan Pasar Payang, sebuah warisan sejarah.

Setiausahanya, Shuhaimi Embong berharap Pasar Payang tersebut tidak dirobohkan seperti mana kerajaan negeri merobohkan rumah-rumah warisan Melayu Terengganu di Ladang Tok Pelam sebelum ini kerana boleh menjadi tarikan utama kepada pelancongan di negeri ini.

Beliau memberitahu, rombongan Perantau baru sahaja selesai mengadakan tinjauan dan berdialog bersama Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Amanah Cawangan Terengganu beserta NGO lain di Terengganu memperjuangkan Pasar Payang.

Katanya, pasar itu bukan sahaja sebuah warisan rakyat Terengganu tetapi juga sebagai sumber ekonomi sebahagian rakyat Melayu yang berniaga di sini.

“Jika kerajaan boleh mengekalkan Kampung Cina sebagai warisan untuk tarikan pelancong, kenapa kerajaan negeri perlu merobohkan Pasar Payang untuk memberikan laluan kepada pembangunan sebuah hotel 25 tingkat bertaraf lima bintang kerana masih banyak lagi tanah kosong milik kerajaan berdekatan dengan lokasi Pasar Payang termasuk Pulau Warisan,” katanya.

Beliau juga berharap setiap pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan Umno BN Negeri Terengganu tidak menyebabkan orang Melayu semakin tersisih dari arus pembangunan di bandar ini.

Ini, katanya kerana ramai peniaga di sini yang ditemui merayu agar Pasar Payang dipertahankan sebagai pusat perniagaan Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu warisan pesisir pantai.

Teliti maksud mendalam kenyataan Presiden PAS

Muhammad Faizal, 17 Feb 2013


SUBANG JAYA: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan agar jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tanpa memahaminya terlebih dahulu.

Kata beliau, kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi bahawa PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kerjasama dengan PKR dan DAP merugikan Islam dan Melayu perlu ditelitikan kerana ia mempunyai maksud yang mendalam.

"Apa yang diperkatakan oleh Ustaz Hadi semalam mempunyai maksud yang perlu kita telitikan. Saya tegaskan jadi jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kenyataan tersebut tanpa memahaminya," jelas beliau.

Salahuddin menjelaskannya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Demi Rakyat PKR Cabang Kelana Jaya di sebuah hotel di sini, malam ini

Menurut Salahuddin, sekiranya Pakatan Rakyat tidak menghormati Islam dan Melayu sebagai matlamat perjuangan negara selama ini sudah pasti PAS tidak akan bersama Pakatan Rakyat sejak sekian lama.

Namun perkara tersebut tidak berlaku apabila ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP memahami apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agenda utama mereka.

"Jika Pakatan Rakyat tidak menghormati Islam dan Melayu selama ini sudah parti PAS tidak bersama-sama Pakatan.

"Tetapi itu tidak berlaku, kerjasama semakin kukuh kerana kita memahami  apa yang telah diputuskan, apatah lagi ini semua terkandung dalam perlembagaan," jelas beliau lagi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu rakyat negara ini tidak kira apa jua kaum tidak perlu risau dengan apa yang berlaku kerana konsep yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati oleh semua parti di dalam Pakatan Rakyat.

 


Hormati pendirian dan prinsip PAS

Harakahdaily, 17 Feb 2013
KUALA LUMPUR: PAS tetap mempertahankan prinsip Islam dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama Islam yang menjadi teras perjuangan dan prinsip PAS.


Lantaran itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berharap rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami dan mengerti akan perjuangan dan prinsip Islam yang dibawa oleh PAS.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

PAS tetap mempertahankan prinsip Islam dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama Islam yang menjadi teras perjuangan dan prinsip PAS.

Lantaran itu, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami dan mengerti akan perjuangan dan prinsip Islam yang dibawa oleh PAS.

Prinsip PAS tidak sama sekali akan berubah untuk mempertahankan Islam seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Namun PAS tidak berbelah bahagi serta meletakkan komitmen yang paling maksimum dalam perjuangan menumbangkan kezaliman dan membela golongan yang tertindas yang dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional atau mana-mana pihak yang lain.

Sehubungan dengan itu, gesaan mana-mana pihak khususnya oleh Pengerusi DAP, YB Karpal Singh supaya pihak Majlis Syura Ulamak PAS mengkaji semula isu seperti mana yang dibangkitkan oleh beliau terjawab dengan penjelasan yang telah saya berikan seperti di atas.

Kita menegaskan bahawa pihak kami tidak bersetuju tindakan Pengerusi DAP, YB Karpal Singh yang dilihat mencampuri urusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah diputuskan secara kolektif.

Berkenaan isu Perdana Menteri pula ianya bergantung kepada sokongan serta populariti seseorang calon tanpa perlu menamakan nama-nama individu tertentu. Agenda utama kita adalah meruntuhkan kezaliman Umno BN.


Rakan-rakan dalam PR juga diminta supaya bersabar dan apa yang perlu dilakukan hanyalah menunggu keputusan Pilihan raya Umum diisytiharkan untuk mengetahui siapa yang sebenarnya paling layak menjadi pemimpin nombor satu negara nanti. Kerja kita masih banyak lagi untuk menumbangkan Umno BN.

PAS tubuh cawangan baru di Pulau Gaya

Harakahdaily, 17 Feb 2013
PUTATAN: PAS Kawasan Putatan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan di Pulau Gaya pada hari ini.

Penyerahan borang keahlian PAS dilakukan oleh wakil penduduk, Tuan Ahmadi Munaf kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebagai simbolik penubuhan cawangan PAS Pulau Gaya.

Sebelum itu, dalam ucapan  Tuan Ahmadi Munaf berjanji akan memberi penerangan ‘apa itu PAS’ kepada masyarakat setempat agar misi dan visi perjuangan PAS dapat difahami oleh penduduk Pulau Gaya.

Sokongan yang diberikan daripada  ahli keluarga beliau banyak membantu untuk menubuhkan cawangan PAS di Pulau Gaya.

Seterusnya, pimpinan PAS Negeri Sabah bersama Husam mengambil kesempatan untuk bertanya masalah yang dihadapi oleh penduduk Pulau Gaya, antara masalah mereka adalah ketiadaan pusat kesihatan (klinik) di kawasan tersebut.

Bekalan air juga menjadi masalah utama penduduk yang terpaksa membeli air dalam tong dari Kota Kinabalu.

Selain itu, penduduk Pulau Gaya juga berharap agar madrasah ta’lim dan kelas fardu ‘ain dapat diadakan di kampung mereka.

Di akhir majlis, pimpinan PAS Negeri Sabah bersama Husam menyampaikan sumbangan beras kepada masyarakat.

Jho Low mengaku kerajaan P Pinang tolak pesta arak

Harakahdaily, 17 Feb 2013
PULAU PINANG: Penasihat perniagaan kepada Perdana Menteri dan isterinya, Jho Low mengakui sebuah parti arak yang melibatkan ramai selebriti di Pantai Batu Feringgi telah tidak diluluskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut mesej yang dihantar oleh Jho Low melalui Twitternya, kerajaan Pulau Pinang tidak meluluskan permohonan ramai selebriti untuk berparti di pantai itu.

Namun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri tetap dituduh oleh Umno menganjurkan parti arak di pantai itu.

"Umno mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang menganjurkan parti arak di pantainya," kata beliau sampai menyambung mesej yang dihantar oleh Jho Low tersebut.

Jho Low adalah antara orang kepercayaan Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya untuk menguruskan hal pelaburan dan kewangannya.

Antara projek yang dikaitkan dengan Jho Low adalah tanah lapangan terbang TUDM Sungai Besi.

Sebelum ini, Jho Low disebarkan melalui media mengadakan pelbagai pesta mewah dengan artis terkenal antarabangsa.

Pemuda PAS tawar 7 agenda anak muda

Salmiyah Harun, 17 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menawarkan Tujuh Agenda Anak Muda Berkebajikan demi kebajikan dan kesejahteraan mereka di masa akan datang.

Tujuh agenda tersebut sebahagiannya diambil dari dokumen Negara Berkebajikan PAS.
Agenda tersebut adalah, pendapatan boleh guna, keupayaan sara hidup, keusahawanan belia, pendidikan berkebajikan, rumah mampu milik, capaian pengangkutan dan kesejahteraan hidup.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, tujuan mereka kemukakan tujuh agenda itu kerana anak muda pada hari ini sedang berdepan dengan masalah yang cukup menghantui mereka termasuklah keupayaan untuk memiliki rumah.
"Hari ini anak muda tidak dapat memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang terlalu mahal.
"Begitu juga dalam hal kenderaan seperti kereta, anak muda tidak berjaya untuk memiliki kerana pelbagai cukai dikenakan sehingga harga kereta melambung tinggi," katanya.
Oleh sebab itulah, katanya PAS akan melaksanakan tujuh agenda ini sekiranya diberikan mandat selepas pilihan raya nanti.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan di hadapan pusat membeli belah Sogo,  jam 3.30 petang tadi dan berakhir sejam kemudian. (Gambar atas)
Sekitar 200 orang ramai termasuk anak muda membanjiri perkarangan Sogo bagi mendengar tawaran agenda tersebut yang disampaikan oleh Nasrudin.
Turut mencuri tumpuan ramai Pemuda PAS menyajikan persembahan nyayian oleh Man John bersama Zainal Abidin Ayub.
Di kesempatan itu juga, Pemuda PAS turut mempelawa pemuzik jalanan bersama-samanya yang kebetulan sedang membuat persembahan di situ.
Beberapa pimpinan termasuk Timbalan Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dan exconya turut mengedar risalah berkenaan kepada orang ramai di sekitar pusat membeli belah itu.
Nasruddin berharap anak muda dapat menghayati tujuh agenda ini sebagai usaha PAS untuk merelisasikan Negara Berkebajikan.
"Anak muda boleh menghayati tawaran kita dengan detil dalam laman web kita selepas ini," katanya.

Tiada ulasan: