Ahad, 10 Februari 2013

TUNGGU DILAMAR

‘Jangan pilih bos, tapi pilih jadi bos’

Harakahdaily, 09 Feb 2013


KUANTAN: “Cukuplah budaya ini. Sebelum berkuasa, mereka datang merayu undi. Lepas kita beri kuasa pada mereka, kita pula yang takut pada mereka.”

Begitulah nasihat Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada para hadirin yang menghadiri ceramah di Kampung Kempadang, Kuantan malam semalam.

Di hadapan kira-kira 500-750 hadirin, Tuan Ibrahim berkata PRU13 adalah peluang terbaik rakyat untuk memperbetulkan kesilapan sistem di negara ini.

“Wakil rakyat sepatutnya pekerja untuk rakyat. Ini tidak, dia pula jadi bos rakyat. Cukuplah. Ambil peluang di PRU13, jangan pilih bos, tapi pilih jadi bos,” kata beliau ketika ditanya Harakahdaily selepas ceramah.

Dalam ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa di dalam dunia politik, segala kemungkinan akan berlaku. (Gambar)

“Oleh itu jangan kita sombong. Masihkah tuan-tuan dan puan-puan ingat bagaimana Khir Toyo membuat deklarasi pembangkang sifar di PRU yang lalu. Lalu apa terjadi, beliau menjadi ketua pembangkang Selangor,” kata beliau.

Kata beliau, orang politik yang menang pilihanraya seharusnya tidak sombong kepada sesiapa, dan mereka yang memilih orang politik di pilihanraya tidak sepatutnya takut pada orang politik apabila mereka berkuasa.

“Ingat tak insiden hadiah penyapu Khir Toyo? Jika anda kakitangan kerajaan tersebut, apa yang anda rasa? Kakitangan kekal, paling teruk kena transfer (dipindahkan). Tapi orang politik boleh dijatuhkan. Oleh itu, jangan sombong,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru rakyat menyokong mereka yang menawarkan kerajaan bermoral.

“Kerajaan bermoral hanya boleh datang daripada mereka yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi,” kata beliau, sambil menambah sebuah kerajaan bermoral tidak akan terjebak dengan rasuah dengan mudah mahupun menindas rakyat.

Sementara itu, Anwar berkata sudah menjadi kebiasaan Umno untuk menyalahkan beliau dalam apa-apa perkara.

“Saya ini agen macam-macam. Agen Cina, agen Yahudi, agen CIA dan sebagainya,” sindir beliau.

Bagi beliau, itu semua mainan politik Umno untuk memburukkan musuhnya tanpa sedar sebenarnya yang buruk adalah mereka yang kini tidak boleh ditutup lagi.

Ciri-ciri suami awesome mengikut Ustaz Azhar Idrus

http://www.queachmad.com, 09 Feb 2013

Ciri-Ciri Suami AWESOME Wajib Baca | Mengikut Ustaz Azhar Idrus



1. Solat fardhu cukup 5 waktu.

2. Ada kerja gaji RM800-1500 ke atas, boleh bayar rumah sewa, boleh beli beras, boleh isi minyak, boleh antar ke tempat keje. Nafkah zahir boleh bagi, bukan nafkah batin je tau.

3. Ada kenderaan: moto kapcai dah cantek. honda EX5 orait sangat la tu dengan 2 helmet. Basikal pun boleh, tapi penat kayuh kalau dari Bangsar ke KLIA. Sebaik-baiknya kereta, sebab nanti nak bawa isteri yang mengandung ke klinik setiap bulan.

4. Lulus ujian fardhu ‘ain sekolah rendah. Maknanya boleh mandi wajib dengan baik dan boleh ajar isteri mandi wajib dengan betul, apatah lagi mandi-mandi yang lain.


5. Boleh baca al-Quran dan boleh mengajar al-Quran walaupun setakat “Alif Ba’ Ta’” sampai Surah “Iqra’ Bismirabbikallazi Khalaq.”


6. Jenis lurus, baik & hati baik, tak menipu. Tadelah sampai menipu kata nak pergi Mydin tapi pergi mengorat jiran taman sebelah.


7. Dia paham kamu, kamu paham dia. Paham jiwo gitu. Serasi bersama. Berbeza tapi boleh masuk.


8. Gedik joget-joget pun depan bini dan anak-anak je. Depan orang lain sopan santun gitu.


9. Jenis tak cemburu buta sangat. Cemburu macam ni ok, “Ehemm..ramainya kawan laki kat opis.. Jangan sampai lupa abang taw..”


10. Belajar takat PMR je pun takpe, janji cara dia fikir tu matang dari yang belajar PhD.


11. Kalau dia jenis diam tak delah sampai orang kata tak bergaul dengan manusia lain. Kalau dia banyak bercakap pun tadelah sampai dia mengata-ngata orang lain.


12. Malas juga ke masjid, tapi dia pergi gak dalam sehari tu 2 kali sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak.


13. Walaupun tak kerap ke kuliah agama, tapi bila tengok Youtube Ustaz Azhar Idrus ngajar tu sampai terlupa nak tengok bola. Jika da kuliah di masjid muka dialah ada di antara orang-orang kampung.


14. Boleh susah senang bersama. Kalau isteri nangis, dia tolong riba isteri dan tenangkan. Kalau isteri sakit, dia tolong jaga dari malam sampai pagi.


15. Jenis senyum sokmo.


16. Tak tengok sangat awek cuns, duk tengok bini dia je walaupn bini dia tak cuns (Tak cun tak pe, boleh tutup lampu)

Kalau jumpa dan yakin dia belum hak wanita lain, lamar lelaki jenis ini! hehe.. :)

Bekas tentera 31 tahun tinggal di rumah sewa

Harakahdaily, 09 Feb 2013



KUALA LUMPUR: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan Malaysia mestilah lebih prihatin terhadap nasib bekas tentera dan polis.

"Insya Allah, Pakatan Rakyat memberi jaminan angkatan tentera, wakil-wakil mereka dan orang yang pencen, insya Allah akan diberikan tempat yang  terbaik dan hak yang terbaik, hak yang adil memberikan hak kepada orang yang berhak," ujarnya dipetik BuletinOnline.

Beliau berkata demikian kepada pihak media ketika mengunjungi bekas tentera yang dinafikan hak mendapat bantuan, Hassan Abdullah di Kampung Seberang Takir, dekat sini, kelmarin.

"Kalau dalam masa selama 31 tahun (Hassan) tidak ada rumah, tidak ada tanah, sedangkan ada pemimpin-pemimpin (kerajaan Terengganu) yang hebat, kaya mendapat tanah, itu ketidakadilan namanya.

"Kita maklum negeri Terengganu ini ramai wakil rakyat yang mendapat tanah walaupun sudah kaya," katanya lagi.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) menafikan hak Hassan mendapat bantuan kewangan dan tanah serta rumah sebagai menzalimi bekas tentera itu.

Sehubungan itu, Dr. Khairuddin mencadangkan, bekas-bekas tentera yang tidak mendapat keadilan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

Cabut bendera: Perantau tolak budaya samseng

Harakahdaily, 09 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Rakyat Terengganu di Perantauan (Perantau) menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk budaya samseng yang diamalkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya di negeri Terengganu yang terkenal dengan kekayaan budaya dan sopan santun.

Demikian tegas Setiausaha Perantau, Suhaimi Embong ketika diminta mengulas perbuatan khianat lebih kurang 200 tiang bendera parti politik tertentu telah dicabut dan dibuang ke dalam anak sungai dalam Dun Teluk Pasu.

"Saya mewakili Perantau ketika melihat gambar insiden tersebut yang tersebar di Facebook dan Buletin Online berasa amat terkilan kerana budaya samseng seperti ini masih berlaku di negeri terengganu yang amat terkenal dengan budaya kesopanannya," tegas beliau.

Beliau turut memberi ingatan kepada pihak yang mengamalkan budaya samseng itu bahawa rakyat Terengganu di perantauan senantiasa memantau pergerakan dan tindak tanduk samseng mereka dari jauh, tidak akan membiarkan kampung halaman mereka tercemar dengan tindakan samseng itu.

Menurut beliau, rata-rata rakyat Terengganu yang berada di luar amat jelek dengan budaya samseng seperti itu.

Beliau menyeru semua perantau pulang dan mengundi untuk perubahan dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Setiap daripada kami ini memegang satu undi, kami hanya akan mengundi mereka yang membawa keamanan dan kesejahteraan," ujar beliau.

Saya setuju ke mahkamah, bagaimana Najib - Deepak

Harakahdaily, 09 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Saudagar permaidani, Deepak Jaikishan setuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir bahawa isu dakwaan beliau perlu diselesaikan melalui proses mahkamah.

Namun katanya, isunya adalah adakah pihak polis sedia membawa segala dakwaannya ke mahkamah dan bersediakan Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor,  adik Najib, Nazim Razak sedia ke mahkamah menjadi saksi.

Beliau juga menyebut, apakah "pihak lain juga akan datang sebagai saksi bila sapina dikemukakan atau menjadi 'demi god' bila diminta mengangkat sumpah dan bercakap benar atau ketika disiasat polis atau SPRM."

"Kita semua tahu, ia tidak akan berlaku," tegas Deepak dalam kenyataannya yang dihantar kepada media hari ini.

Deepak dipercayai mengulas nasihat Tun Dr Mahathir agar Najib jangan melayan semua dakwaan Deepak terhadapnya.

Katanya, Najib tidak perlu membuang masa untuk menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Deepak terhadapnya dan keluarganya.

"Beliau tidak perlu menjawabnya," kata Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar di Cheras hari ini.

Beliau berkata sebagai perdana menteri, Najib akan berdepan dengan pelbagai tuduhan sepertimana yang pernah dialaminya semasa menerajui kerajaan dahulu.

Ditanya lebih lanjut mengenai dakwaan Deepak itu, Dr Mahathir berkata tuduhan seperti itu sepatutnya dibawa ke tempat yang betul, seperti mahkamah, yang boleh memutuskan perkara itu.

Keyakinan Najib mencurigakan - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa, 09 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Keyakinan terlampau Perdana Menteri bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang pilihan raya menimbulkan pelbagai keraguan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) hari ini mahu kita menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang dan jangan timbulkan huru-hara.

"Apa maksud beliau? Mengapa dia terlampau yakin BN akan menang?" beliau mempersoalkan.

Mahfuz menyifatkan keyakinan luar biasa Najib itu menimbulkan pelbagai tanda tanya dan keraguan yang penuh dengan kecurigaan.

"Adakah gambaran bahawa Najib benar-benar pasti BN akan menang itu didorong oleh lengkapnya perancangan dan persiapan di luar amalan demokrasi yang bersih untuk memastikan kemenangan BN?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan dakwaan Najib kononnya beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkemampuan untuk memastikan pilihan raya yang diadakan adil dan bersih.

"Najib berbohong kepada rakyat.

"Tak mungkin pilihan raya adil dan bersih dapat diadakan jika daftar pemilih tidak bersih, antaranya seperti yang kian terdedah hasil siasatan Suruhanjaya Diraja menyiasat isu pendatang asing di Sabah," kata beliau.

Mengulas lanjut kenyataan Najib supaya pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya itu, Mahfuz berkata pembangkang tidak pernah mengadakan huru hara kerana tidak menerima keputusan pilihan raya.

"Yang selalu membuat pakatan jahat kerana tidak dapat menerima keputusan pilihan raya ialah Umno dan Barisan Nasional.

"Siapa rasuah dan beli wakil rakyat supaya melompat parti bila kalah pilihan raya?" katanya.

Dengan apa yang berlaku sejak selepas pilihan raya 1959 di Terengganu dahulu sehinggalah projek besar-besaran merasuah wakil rakyat supaya lompat parti selepas pilihan raya 2008 dahulu, Mahfuz yakin rakyat dapat melihat dengan jelas parti mana yang tidak boleh menerima kekalahan.

"Malah, sehingga kini pun masih tidak berhenti tuduhan bahawa beberapa pemimpin tertinggi Umno yang mahu menggulingkan Tunku Abdul Rahman menjadi dalang peristiwa 13 Mei 1969 selepas Perikatan dan Umno hilang banyak kerusi dalam pilihan raya tahun tersebut," katanya.

PAS Terengganu rancang 17,000 peluang pekerjaan

Zulkifli Sulong, 09 Feb 2013
MARANG: PAS Terengganu hari ini mengemukakan manifesto 10 perkara untuk dilaksanakan termasuk menghasilkan 17,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Ia dibentangkan dalam seminar manifesto PAS Terengganu yang turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Anggota Parlimen Marang.

Hampir 1,000 pemimpin PAS seluruh Terengganu menyertai seminar yang diadakan di Dewan Tok Guru, dekat Masjid Rusila hari ini.

"Dengan segala perancangan yang kita buat jika kita memerintah nanti, saya yakin kita berjaya menyediakan 17,000 peluang pekerjaan itu," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Abdul Razak (gambar atas).

Antara perkara yang dirancangkan di Terengganu, katanya, adalah membina lebuhraya persisiran pantai Terengganu dari Kemaman sehinggalah ke Besut.

Di samping mempercepatkan perjalanan dan mobiliti barangan, ia juga bertujuan meningkatkan industri agro tourism Terengganu melalui barangan kraf tempatan.

Ia boleh dilakukan dengan syarat royalti petroleum diberikan semula kepada kerajaan negeri.

"Saya yakin projek ini akan memberikan sekurang-kurangnya 2,000 peluang pekerjaaan," katanya ketika menjelaskan rancangan untuk menghasilkan 17,000 peluang pekerjaan itu.

Di sepanjang lebuhraya ini, katanya, kerajaan negeri akan membina lima pusat Rehat dan Rawat konsep baru iaitu R & R Tourism.

Pusat-pusat ini akan lengkap dengan segala kemudahan R & R biasa dan akan dijadikan pusat hentian pelancongan yang lengkap dengan hotel dan sebagainya.

"Kita yakin, ia bakal menjadi tarikan perlancungan yang baru di sepanjang pantai Terengganu ini. Kami jangkakan kita akan hasilnya 2,000 lagi peluang pekerjaaan di sini," kata Dr Alias.

Dr Alias juga mengumumkan rancangan untuk menjadikan Pulau Duyong sebagai bandar baru perkapalan antarabangsa sesuai dengan industri pembinaan kapal dan perlabuhan di kawasan itu.

Beliau jangka, jika ia berjalan dengan baik 5,000 peluang pekerjaan akan dihasilkan melalui bandar baru perkapalan ini.

Di Kemaman dan Dungun pula kerajaan negeri berazam untuk menjadikan pusat penapisan minyak yang selama ini hilang ekoran tindakan membawa lari minyak yang didaratkan di Kemaman ke Melaka.

Beliau menjangka, 2,000 peluang pekerjaan akan dhasilkan di sini.

Di Besut, kata Dr Razak, sebuah universiti berasaskan Islam akan dibina.

"Kita sudah ada tapaknya di sana dan jika ia terlaksana nanti, 1,500 peluang pekerjaan akan dihasilkan di sini," katanya.

Dr Alias juga berkata, kerajaan negeri juga akan bercadang membina 10 pusat latihan perindustrian untuk rakyat negeri ini yang bakal membuka peluang pekerjaan kepada 1500 rakyat.

Bagi meningkat industri pertanian, katanya, kerajaan negeri akan membina kilang baja berasaskan IKS di negeri ini.

Ia bertujuan untuk menghasilkan baja bermutu dengan subsidi diberikan oleh kerajaan untuk memajukan sektor pertanian sebagaimana yang dilaksanakan oleh negara Jepun.

"Kita jangka akan menghasilkan 1500 peluang pekerjaan di sini," katanya.

Beliau juga memberitahu, pembukaan Taman Tema Laut juga dirancang di negeri ini selaras dengan pantainya yang indah dan cantik.

Ia bakal menjadi pusat tarikan pelancongan baru di Terengganu dan bakal memberikan peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu, katanya.

Kesemua projek ini akan meningkatkan GDP dan indeks jangka hayat rakyat negeri ini yang sudah tentu memberikan keuntungan kepada rakyat, katanya.

Tiada ulasan: