Khamis, 14 Februari 2013

MAAF CAKAP....MUNGKIN AHLI2 PUN TAK SELERA LAGI....PEMIMPIN2 TERSINGKIR PUN TAK DE SELERA...KITA KERJA KERAS ANAK BERANAK KAYA RAYA SERTA KRONI....SENDIRI MAU INGAT...TAK KAN BODOH SANGAT....TAK NI PUN TAK BOLEH PIKIR

Rakyat tidak berselera lagi dengan Umno

Aspan Alias, 14 Feb 2013
Kalau kita menganggap isu Deepak dan Perdana Menteri serta isterinya ini secara ringan, ia merupakan satu isu yang sangat seronok dijadikan kajian semua kerana Deepak sudah jadikan isu ini sebagai satu isu politik besar untuk negara. Deepak bukannya seorang ahli politik tetapi apa yang dilakukan ke atas beliau oleh Rosmah dan suaminya Najib itu secara terus menjadikan Deepak menjadi orang penting dalam politik negara sekarang ini.
Secara terus terang Deepak mahukan Najib bersara dan digantikan dengan Muhyiddin Yassin untuk membina imej baru bagi BN sebelum pilihanraya kita tiba. Tetapi oleh kerana Deepak menjadi isu politik sekarang ini maka Deepak seolah-olah menjadi orang penting dalam politik atasan yang melibatkan Najib dan Muhyiddin. Isu Deepak dan Rosmah Mansor serta Najib ini diandaikan dilakukan oleh pihak pembangkang tetapi lama kelamaan ia menunjukkan kecenderungan yang isu ini datang dan diperbesarkan oleh UMNO sendiri dan yang menjadi ‘suspect’ nya ialah Muhyiddin Yassin sendiri.

Deepak mula merasakan jemu dan marah terhadap Najib dan isteri apabila beliau merasakan tertipu dengan segala urusan perniagaan beliau sehinggakan beliau mendapatkan kerugian besar. Isu ini telah diketahui umum dan ruang terlalu sempit untuk dimuatkan dalam posting ini. Orang ramai memahami keadaan yang menimpa Deepak apabila beliau diperguna oleh Najib dan isterinya ke tahap optima untuk menutup kejahatan yang dilakukan oleh Najib dan isteri.

Deepak telah menulis surat terbuka kepada Dr Mahathir yang beliau anggap mempunyai sama keturunan itu kerana saranan Dr Mahathir agar Najib hanya membiarkan dan tidak melayan tuduhan Deepak yang bermacam-macam terhadap Najib. Deepak bertanyakan jika Dr Mahathir berada di dalam situasi beliau apa yang Dr Mahathir akan lakukan dan lain-lain lagi. Deepak merasa tersentuh dengan komen Dr Mahathir itu kerana sememangnya Mahathir merupakan seorang yang terlalu biasa mengambil kesempatan di atas keadaan seperti sekarang ini.

Tidak ada siapa yang menyalahkan Deepak dalam isu ini kerana imej Najib itu sememangnya tidak mengejutkan jika perkara seperti yang dialami oleh Deepak itu dilakukan oleh Najib terhadap sesiapa termasuk Deepak.

Tetapi apa yang tidak betulnya Deepak memberikan ulasan politik dan beliau terjun dalam politik yang beliau tidak memahami latar belakangnya sekarang ini. Bagaimana Deepak boleh memberikan pandangan yang Najib mesti berhenti dan digantikan dengan Muhyiddin? Apakah Deepak sudah terlalu yakin yang Muhyiddin boleh memperbaiki imej parti sedangkan tiada siapa yang ada di dalam barisan majlis tertinggi parti UMNO itu layak untuk mengambil alih kepimpinan Najib.

Bagi pandangan saya dan ramai yang lain jika Muhyiddin menjadi pengganti kepada Najib elok dicadangkan supaya kekalkan Najib sahaja kerana Muhyiddin tidak mampu untuk membawa perbezaan dengan tadbiran dan politik Najib. Jauh sekali jika Najib digantikan dengan tiga orang Naib Presiden parti itu kerana mereka tidak mempunyai sisik untuk menjadi pemimpin utama negara.

Pendeknya Muhyiddin serta kesemua Naib-Naib Presiden UMNO tidak mempunyai kelayakan untuk mengambil alih kepimpinan Najib walau seburuk mana pun tahap kepimpinan Najib. Ini di sebabkan kerana semua mereka yang duduk di dalam Majlis Tertinggi itu merupakan mereka yang datang dari acuan yang sama sahaja. Jika Muhyiddin mengambil alih mungkin yang beruntung hanyalah Dr Mahathir kerana itu kehendak beliau sebenarnya. Mahathir tidak ada perasaan sayang kepada partinya dan apa yang beliau mahu hanyalah keuntungan untuk diri beliau dan kroni beliau semata-mata. Beliau hanya mahu dilihat sebagi orang penting dalam segala-galanya.

Saya bukan mengatakan yang Najib itu layak dan berkepimpinan. Malahan itulah sebabnya rakyat menolak UMNO dan BN sekarang ini. Yang saya katakan ialah tiada siapa yang ada di dalam Majlis Tertinggi UMNO sekarang ini termasuk Najib akan mampu mempertahankan arus perubahan yang sedang berlaku di kalangan rakyat dan Pakatan Rakyat akan menjadi pilihan rakyat dalam pilihanraya ini.

Pandangan ini tentu tidak akan diterima oleh penyokong membuta tuli UMNO atau pun Najib tetapi hakikatnya UMNO akan tumpas dengan kepimpinan yang ada sekarang ini. Blog ini telah berulang kali manyatakan yang rakyat tidak menghormati barisan kepimpinan UMNO itu lagi dan parti itu akan menjadi parti tunggal yang akan memenangi sedikit kerusi dalam BN di Semenanjung ini. Ia akan menjadikan BN itu UMNO, UMNO itu BN. Itu shaja. Parti-parti komponen yang lain boleh di anggap tiada lagi selepas pilihanraya nanti.

Saya memberikan reaksi ini kerana saya hanya mempunyai satu keyakinan. UMNO sudah begitu terlewat untuk memperbaiki diri kerana parti itu dikuasai oleh mereka yang tamak haloba yang sanggup melihat parti itu jatuh bergelimpangan dalam pilihanraya kali ini.

Pihak pembangkang dan penyokong-penyokongnya wajar berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana beliau (Mahathir) telah lama melakukan kerja yang akhirnya memusnahkan parti yang ditubuhkan oleh beliau sendiri itu. Sehingga ke saat ini Mahathir masih lagi melakukan kerja yang membinasakan parti itu sehinggakan UMNO sudah tidak dikenali lagi oleh rakyat termasuk ahli-ahlinya sendiri.
Rakyat lebih mengenali Pakatan Rakyat. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Cina Kedah lebih selesa bersama Pakatan

Zulkifli Yahaya, 14 Feb 2013
Sokongan masyarakat Cina Kedah terhadap kerajaan negeri mengalami sedikit kecederaan dalam isu garis panduan persembahan terbuka yang membabitkan masyarakat non Muslim. Reaksi yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina sebaik isu tersebut disensasikan, melalui provokasi MCA dan Gerakan, kelihatan sangat membimbangkan Pakatan. Seolah-olah majoriti Cina telah telah berpaling tadah menyokong BN dalam kempen 'Negeri untuk BN, Pusat untuk Pakatan'. Namun akhirnya barulah diketahui bahawa isu tersebut hanyalah sementara. Masyarakat Cina memberi reaksi kemarahan terhadap kerajaan PAS Kedah bukan kerana kebencian tetapi kekhuatiran jika isu tersebut boleh menyebabkan Pakatan kalah di Kedah kerana undi Cina dianggap penentu di banyak kawasan.
ADUN KeADILan, Lim Soo Nee mengambil langkah agresif untuk memberitahu masyarakat Cina non Muslim bahawa hak mereka untuk menikmati hiburan tidak tergugat dengan menganjurkan tarian separa lucah kepada MCA dan Gerakan. Perbuatan itu keterlaluan sehingga dikutuk oleh masyarakat Cina sendiri yang berfikir secara rasional. Chua Soi Lek yang mungkin terbeliak biji mata, tidak terkata apa-apa lagi selepas itu.

Masyarakat Cina yang lebih rasional menganjurkan sambutan tahun baru dengan mengundang penyanyi wanita berpakaian sopan. Tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa negeri. Maka isu itu pun lupus begitu sahaja yang menyebabkan MCA dan Gerakan terlopong lagi.

Untuk sambutan tahun baru kali ini, masyarakat Cina terus disantuni oleh YB PAS dan kerajaan negeri. Mereka turun bertemu masyarakat Cina dalam pelbagai program, semuanya memberi isyarat yang sangat jelas - masyarakat Cina akan terus mengundi Pakatan untuk PRU kali ini.

Seorang pemimpin Umno Kedah termenung panjang apabila diberitahu oleh pemimpin MCA bawahan, "Minta maaf Dato' tahun ini kami tak boleh beri undi untuk BN, itu arahan dari atas.."

Dalam sambutan tahun baru Cina yang diadakan di Seri Mentaloon, Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah Cina Kedah menyambut baik pengumuman kerajaan negeri untuk memajak tanah pertanian kepada persatuan-persatuan sekolah Cina, India dan agama lain untuk dibangunkan bersama anak syarikat milik kerajaan.

Pengerusi Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah Cina Kedah berkata, usaha ini belum pernah dilakukan sebelum ini bagi membantu sekolah-sekolah tersebut.

“Saya menyambut baik pengumuman kerajaan negeri untuk beri tanah untuk diusahakan, yang mana sebelum ini tidak pernah dengar, dan saya harap ianya dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

“Lebih 50 tahun masalah pendidikan masih mengganggu gugat masyarakat Tiong Hua," ujarnya.

Untuk memahami kehendak masyarakat Cina bukanlah susah sangat. Tiga perkara yang mereka pantang untuk diganggu gugat iaitu perniagaan, pendidikan dan kebudayaan. Orang Cina menyukai Ustaz Azizan yang berlatarbelakangkan pendidikan.

Masyarakat Cina melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan tahunan yang diperuntukkan kepada tiga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (Persendirian) iaitu Sekolah Menengah Sin Min Alor Setar dan Sungai Petani serta Sekolah Menengah Keat Hwa Alor Setar. Bagi tahun 2012, sebanyak RM70 ribu diperuntukkan kepada setiap sekolah, berbanding 2011 sebanyak RM60 ribu.

Orang Cina tahu negeri Kedah tidaklah sekaya mana tetapi berbesar hati dengan bantuan yang tidak besar itu.

Masyarakat Cina menyambut tahun baru kali ini tidak sampai sebulan sebelum Parlimen dibubarkan. Mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka dan tahu juga parti mana yang lebih baik untuk menerajui kerajaan. Kesedaran tinggi masyarakat Cina inilah yang sangat menakutkan BN, kerana di Malaysia walaupun masyarakat Cina adalah minoriti tetapi undi mereka jadi penentu. - http://www.kedahlanie.info

Bukan Umno Melaka sahaja, PR juga mahu guna masjid

Ahmad Danial, 14 Feb 2013
MELAKA: Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaikh Abdul Aziz kesal dengan tindakan Umno negeri yang menggunakan auditorium Masjid Al A'zim untuk program Pelancaran Jentera Kempen dan Ceramah Penerangan baru-baru ini.
"Umno Melaka memang terdesak, buat program di Masjid, mereka kata kita mempolitikkan masjid tetapi dari dahulu Umno lah yang mengotorkan masjid dengan program politik sempit mereka.

"Masjid pun mereka cemarkan dengan program politik, apakah mereka sudah tidak ada tempat lain untuk mengadakan program Umno atau adakah mereka sengaja menggunakan masjid untuk mendapat kemudahan percuma," kata Asri yang juga Penyelia Dun Lendu.

Program tersebut ialah Majlis Pelancaran Jentera Kempen dan Ceramah Umno Peringkat Negeri Melaka menjelang PRU13 anjuran Biro Penerangan Umno Melaka pada 7 Februari lalu, jam 9.00 malam.

Sehubungan itu, Asri menggesa Ketua Penerangan Umno Melaka, Datuk Idris Harun dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjawab isu mempolitikkan masjid dengan program Umno tersebut.

"Rakyat mahu tahu apa sebab dan alasan Umno boleh guna kemudahan masjid untuk program mereka. Kalau benar program politik dibenarkan di masjid atau di dewan masjid sila buka kepada semua parti politik supaya adil.

"Parti-parti dalam PR juga ingin menggunakan kemudahan auditorium ini, jika Umno boleh takkan kita tidak boleh," tegas Asri.

Beliau berkata, Umno Melaka memang terkenal dengan sikap mereka menggunakan masjid dan surau untuk kepentingan politik Umno.

Menurutnya, mereka bukan sahaja memastikan semua ahli jawatankuasa masjid dan surau mesti orang Umno malah program-program agama juga banyak diberhentikan atas alasan yang tidak munasabah.

"Ada ustaz-ustaz yang mengajar di surau dan masjid dihalang kerana kononnya mereka tiada tauliah dan mengajar tanpa kebenaran sedangkan ada antara mereka lulusan Al-Azhar dan lulusan agama IPTA tempatan.

"Sepatutnya ustaz-ustaz ini diberi tauliah bukannya dihalang dari menyampaikan ilmu agama kepada anak kariah," ujar Asri.

Konvoi motor ke himpunan di Kuala Nerang esok

Harakahdaily, 14 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Seluruh penyokong Pakatan Rakyat dan juga peminat konvoi motosikal berpeluang menyertai Konvoi Kebangkitan Rakyat di Padang Terap pada 15 Februari (esok).

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata, konvoi sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Kedah itu akan bermula pada jam 3 petang dengan semua peserta konvoi berkumpul di Dataran Putra, Kuala Nerang, Kedah.

Peserta konvoi katanya akan bergerak ke Charok Genting Bunga, Empangan Tasik Pedu, Kuala Nerang untuk mendengar amanat pimpinan PAS pada Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan bermula pada jam 4 petang.

Katanya lagi, orang ramai diseru hadir beramai-ramai kerana perhimpunan anjuran PAS Kawasan Padang Terap dan Badan Perhubungan PAS Kedah itu merupakan perhimpunan besar yang terakhir sebelum PRU13.

Jelasnya lagi, kehadiran semua penyokong dengan berbaju hijau akan menyemarakkan lagi perhimpunan tersebut.

Borong akhbar Harakah bimbang pekung terdedah?

Harakahdaily, 14 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Insiden memborong akhbar Harakah oleh pihak tertentu dikesan di sekitar Pekan Parit Betak, Benut dekat Pontian, menjadi tanda tanya penduduk, lapor blog ibn_bacoks.

Menurut sumber, akhbar edisi Isnin didapati laris sekelip mata dipercayai telah dibeli pihak tertentu akibat bimbang kepada satu pendedahan yang berkait rapat dengan ahli parlimen kawasan itu, Datuk Ahmad Maslan.

Difahamkan, ada satu isu besar melibatkan Felda dibongkar termasuklah pendedahan berhubung janji yang ditabur di kawasannya.

Laporan itu menyebut, majlis pecah tanah sudah pun dilakukan tahun lepas dan peruntukan khabarnya sudah ada, persoalannya kenapa sampai sekarang surau yang dijanjikan masih belum dibina lagi.

Persoalannya, apakah majlis pecah tanah yang disempurnakan Ahmad di Taman Seri Api-Api, Pontian pada Ogos tahun lepas, hanya gimik politik semata-mata memandangkan ketika itu bahang Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 sedang begitu hangat diperkatakan seolah-olah akan diadakan pada tahun tersebut.

Justeru beliau dikatakan mengambil kesempatan untuk mengambil hati penduduk dengan menjanjikan pembinaan surau baru bagi kegunaan mereka.

Bagaimanapun, apabila jangkaan PRU itu meleset, maka projek tersebut tidak diteruskan sehingga hari ini, dakwa Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Pulai Sebatang, Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood.

Sehubungan itu, Dr Ungku turut dilaporkan berkata, pihaknya mengingatkan penduduk taman tersebut supaya tidak termakan dengan janji manis pemimpin Umno yang berkemungkinan akan ditabur menjelang PRU13 nanti.

Kampung diwakili exco negeri PM terpinggir

Khairil Abdul Rahim, 14 Feb 2013

Tanaman sayur yang diusahakan penduduk. Sawit di sebelahnya merupakan milik LKPP.

KUANTAN: Siapa sangka kampung yang hanya terletak 15 kilometer atau kurang 20 minit perjalanan berkereta dari pusat bandar ibu negeri Pahang ini, berada dalam keadaan daif dan terpinggir daripada kemajuan.

Tetapi inilah hakikatnya yang dideritai kira-kira 1,000 keluarga dengan pelbagai masalah di Kampung Pahang dan Kampung Soi dekat sini.

Antara lain, kampung tersebut kerap dilanda banjir sehingga beberapa kali setahun, juga ada penduduk yang  tidak menikmati kemudahan bekalan air paip dan elektrik.

Dalam tinjauan baru-baru ini, wakil penduduk yang ditemui, Mohamad Yasin, 51, berkata masalah banjir memangnya menjadi fobia kepada penduduk terutama menjelang musim tengkujuh.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan berkata, masalah tersebut berpunca daripada sungai dan saliran yang tersumbat menyebabkan air lambat turun kerana tiada penyelenggaraan sejak berpuluh tahun.

“Masalahnya bukanlah susah sangat, gali balik dalamkan sungai dalam satu kilometer panjang dan bersihkan sungai sudah boleh selesaikan masalah puluhan tahun.

“Tapi apa yang kami kesalkan kemudahan asas bagi mengurangkan risiko banjir tak pernah diselesaikan, sepatutnya JKKK kena mainkan peranan untuk selesai,” tegasnya.

Kedua-dua kampung tradisi ini berada dalam dua Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Dun Inderapura dan Dun Tanjung Lumpur, dipisahkan hanya oleh jalan raya utama menuju ke Pekan Bandar Diraja.

Kedua-dua Adun merupakan Exco kerajaan negeri. Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura) ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan manakala Datuk Wan Adnan Wan Mamat (Tanjung Lumpur) merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri.

Kira-kira 80 peratus penduduk di sini mengusahakan tanaman sayur-sayuran di atas tanah seluas 120 ekar. Hasilnya dipunggah dengan lori setiap hari dijual ke pasar borong Selayang.

Menurut penduduk, kampung ini bersejarah tempat kerana menjadi tempat perpindahan penduduk ketika banjir besar yang dipanggil bah merah tahun 1926.

Bekas ketua belia kampung berkenaan Azmi Ali, 38, mengeluh kerana tanah diusahakan dengan aktiviti pertanian oleh generasi muda kampung berkenaan tidak berbaloi dan sia-sia.

“Ada tanah di situ sudah diteroka dan diusahakan sejak tahun 1980-an oleh 50 orang belia kampung dan diberi lesen Tol, tapi akhirnya diluluskan kepada orang luar.

“Pada saya kesan akan datang ialah generasi muda tidak ada tanah, apa lagi jika Kuantan dinaik taraf bandaraya, ke mana orang muda nak pergi?,” soalnya.

Tambahnya, beliau sendiri bersama beberapa orang pemuda hampung pernah mengusahakan tanah kerajaan seluas empat ekar yang diusahakan, tetapi akhirnya diambil oleh sebuah agensi kerajaan negeri ditanam dengan sawit.

“Jadi masa janji rakyat didahulukan? Takkan agensi kerajaan berebut tanah dengan rakyat,” keluhnya kesal.

Di sebalik kemudahan yang diabaikan, masalah yang turut membelenggu penduduk ialah kerosakan akhlak di kalangan generasi muda kampung berkenaan.

Seorang penduduk Khaidir Jaluddin, 46, mengatakan gejala sosial teruk di kampung berkenaan iaitu penagihan dadah, arak, menghidu gam dan judi terutamanya melibatkan kalangan remaja.

“Akibatnya kecurian kerap berlaku di sini, sehingga barang-barang berharga milik penduduk di sini pantang alpa sikit, akan dikebas pemuda-pemuda tempatan.

“Kuliah-kuliah agama di masjid dan surau pula tak berapa nak hidup, itu menyebabkan budak-budak muda terkena kejutan budaya kemajuan bandar,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Syed Anis Syed Husin yang turut mengiringi berkata puncanya ialah kerana kurangnya perhatian dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat, sebab itulah berlaku kepincangan.

Tambahnya, masalah yang diutarakan penduduk merupakan kemudahan asas dan tidak sepatutnya berlaku kerana berada di pinggir bandar terbesar di Pahang.

“Kemudahan asas seperti itu sepatutnya sudah boleh dinikmati oleh seluruh rakyat memandangkan telah lebih 55 tahun merdeka.

“Apakah kerana peruntukan terlalu kurang sedangkan kemudahan asas sepatutnya menjadi keutamaan kepada nasib orang kampung apa lagi kampung ini, di sinilah pengundi tegar mereka.

“Begitu juga tanah, merupakan umpama nyawa kepada orang kampung yang mencari rezeki melalui pertanian. Tetapi apabila tidak diberi hak, kehidupan mereka tak terjamin. Tanah sepatutnya menjadi milik rakyat, mereka cuma perlukan seekar ke dua ekar untuk meneruskan kehidupan mereka.

Syed Anis berkata, biasanya pemerintah lebih gemar menyediakan hiburan percuma di kampung supaya rakyat lupakan masalah mereka.

Katanya, PAS berharap kerajaan memberi perhatian kepada nasib rakyat dan masalah mereka sepatutnya diutamakan. Kerana tanpa mereka kerajaan yang ada ini tidak naik dan mereka memilih kerajaan untuk dipikul amanah menyelesaikan masalah mereka.

Tiada ulasan: