Jumaat, 15 Februari 2013

ADAKAH KITA RASA SELAMAT

Video Adun Pulau Manis mengamuk paling top

Harakahdaily, 15 Feb 2013

(Adun Pulau Manis, Pekan sedang memaki mahasiswa di Pekan...klik untuk menonton)

PEKAN: Kisah Adun Pulau Manis, Pekan, Khairudin Mahmud mengamuk dan memaki mahasiswa yang masuk bertemu penduduk dikawasannya tanpa kebenaran beliau kini menjadi video yang top di youtube.

Video yang dirakam secara rahsia oleh salah seorang mahasiswa yang dimaki itu kini menjadi kegilaan ramai di youtube.

Ia telah ditonton oleh lebih 11,312 penonton melalui Harakahdaily sahaja.

Video itu menggambarkan YB Khairudin yang lebih dikenali Cikgu Din itu menemui para mahasiswa yang masuk ke Pekan melalui Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) untuk menyampaikan agenda mereka.

Cikgu Din kelihatan dengan kasar memarahi para mahasiswa itu termasuk membangkitkan soal cincin yang dipakai oleh Rosmah.

Selain insiden serangan oleh wakil rakyat Umno ini, mahasiswa yang turun ke Pekan juga ada yang dibelasah dan ada siswa yang dikejar dengan parang oleh mereka yang tidak dikenali.

Pengerusi GM13, Syis Abd Kadir berkata, mahasiswa tidak sesekali mahu bermusuh dengan rakyat sebaliknya ingin menyampaikan harapan mereka kepada rakyat khususnya di Pekan yang merupakan kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Pendirian GM13 jelas iaitu tidak mahu bermusuh dengan rakyat dan kami akan meneruskan program seperti yang dijadualkan.

"Kami akan cuba pergi ke tempat-tempat di Dun di Pekan dan kalau dihalang, kami berundur. Kami bukan pergi untuk bergaduh," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily sebelum ini.

(Klik atas gambar di atas untuk menonton video panas ini)

PRU13: Ustaz upahan jadi talian hayat Umno

Harakahdaily, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, menjadi kebiasaan hampir pilihan raya akan muncul ustaz-ustaz upahan untuk mencari dalil supaya menghalalkan tindakan Umno di negara ini, lebih-lebih lagi ketika Umno nazak untuk menghadapi PRU13.

"Umno hanya bergantung kepada undi Melayu.

“Memang kita sedia maklum bahawa Melayu begitu intim dengan agama. Oleh itu peranan golongan ini amat diperlukan untuk mempengaruhi pengundi Melayu talian hayat Umno dilanjutkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Maka, katanya sudah kedengaran haram mengundi PAS kerana ia bersama dengan DAP yang menolak hudud.

“Apabila membaca kenyataan ini kita boleh buat dua andaian, pertama mereka buat tidak tahu kenyataan pemimpin MCA dan Umno yang begitu biadab dengan Islam,” katanya.

Tambahnya, adakah mereka tidak tahu kenyataan biadab pemimpin MCA seperti Chua Soi Lek yang menghina Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan orang lelaki sewaktu pilihan raya kecil Tenang.

Katanya lagi, Presiden MCA itu juga yang mengatakan Datuk Ayub, Adun Kemelah Johor hilang akal kerana mencadangkan hukum hudud.

Tetapi, ujarnya ustaz Umno membisu dan kaku ketika Islam dihina oleh rakan sekutu Umno dan juga penghinaan hukum Islam oleh pemimpin Umno.

“Apakah ustaz ini kurang vitamin  sehingga rabun mata sehingga tidak nampak kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawat Umno?” tanya beliau.


Andaian kedua, ujarnya mereka itu golongan yang telah memalingkan diri  daripada Allah sehingga Allah memalingkan hati mereka.

Menurutnya, walaupun mereka ada ilmu tetapi ilmu yang tidak menyuluh kebenaran hidup sehingga mengeluarkan kenyataan yang tersasar jauh daripada disiplin ilmu.

“Mereka sanggup membeli dunia dengan menjual agama dan maruah untuk keuntungan sementara,” katanya.

Kadir Sheikh Fadzir sokong Wan Ahmad letak jawatan

Hazayani Zakaria, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kabinet, Tan Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata beliau menyokong cadangan yang mahu Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan.

Beliau berkata, sudah sampai masanya Wan Ahmad meletakkan jawatan dalam SPR dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) atas tiket BN.

Saranan ini katanya, berikutan kenyataan Wan Ahmad akhir-akhir ini yang keras dan jelas berpihak kepada Umno BN.

"Saya nampak memang dia tak layak untuk pegang jawatan dalam SPR.

"Beliau sepatutnya tonjolkan imej yang neutral dan kalau nak buat kenyataan pun biarlah berlapik sikit.

"Lebih baik dia berhenti dan bertandinglah atas tiket BN di mana-mana," kata beliau pada sidang media di lobi Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan duta hari ini.

Bekas Menteri Penerangan itu juga berkata, seluruh dunia dapat melihat sikap berpihak Wan Ahmad kepada BN.

"Bukan sahaja rakyat Malaysia tapi kalau rakyat luar negara dengar pun mereka hairan dengar kenyataan Wan Ahmad," katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Wan Ahmad yang dilihat lebih cenderung membuat kenyataan berpihak BN walaupun beliau memegang jawatan dalam SPR.

Tindakan itu dilihat tidak wajar sekaligus memperlihatkan SPR tidak bebas seolah-olah dikuasai parti politik tertentu.

"SPR bukan sahaja perlu bebas tapi perlu nampak bebas. Tetapi dengan beberapa kenyataan Wan Ahmad, kita lihat kredibiliti SPR sebagai badan bebas sudah tercalar teruk," kata Abdul Kadir.

 

Memperingati tarikh pembunuhan Hassan Al-Banna

Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) , 15 Feb 2013
Pada 12 Februari, 1949, pengasas Ikhwanul Muslimin iaitu Imam Hassan Al-Banna telah dibunuh. Berhubung dengan ulang tahun pemergiaannya itu, Dr Essam Mohamed Hussein El-Erian, Naib Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan ( Freedom And Justice party - FJP), sayap politik Ikhwanul Muslimin berkata di dalam mesej Twitter-nya (bertarikh 12-2-2013) bahawa walaupun Mursyidul 'Am pertama Ikhwanul Muslimin, iaitu Imam Hassan Al-Banna telah meninggalkan kita dari aspek fizikalnya, tetapi idea pemikiran tokoh gerakan Islam tersebut masih segar menjadi medan diskusi anak-anak muda.

"Pemikiran Imam Hassan Al Banna seakan bercahaya menyinari kesamaran lantas menyedarkan bumi Mesir dan selanjutnya bergerak ke bahagian-bahagian lain di seluruh pelusuk dunia," jelas Dr. Essam Mohamed Hussein El-Erian.

Bersempena ulangtahun pemergian Imam Hassan Al-Banna, Dr Essam Mohamed Hussein El-Erian menambah, "Para pemimpin kami hilang silih berganti, tetapi mesej perjuangannya masih menumpukan kepada misi dan tema yang sama iaitu kebenaran dan kebebasan. Perjuangan ini kian berkembang di serata benua."

"Pada pagi 12 Februari, 1949, pemimpin gerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan juga merupakan pengasas gerakan tersebut, Imam Hassan Al-Banna telah ditembak dan sengaja dibiarkan cedera parah sehingga menemui kematian. Tidak lama selepas itu, rahsia kematiannya mulai terungkap di dunia Arab dan Islam, Mesir khususnya.

"Imam Hassan Al-Banna dibunuh dengan tujuan supaya hari-hari yang bakal mendatang bagi gerakan Ikhwanul Muslimin dibayangi kegelapan pada masa hadapan. Mereka yang merancang pembunuhannya dengan mengharapkan kematiannya memecah-belahkan gerakan Ikhwanul Muslimin, seterusnya memalingkan pergerakan ini dari jalan yang asal dan meleburkan gerakan ini jauh di tengah-tengah pergerakan dunia yang lain."

Dr Essam Mohamed Hussein El-Erian selanjutnya berkata, "Allah memandu urusan lelaki berhati waja ini (Imam Hassan Al Banna) menunaikan misinya, beliau menyahut panggilan Islam yang diasaskan atas dasar takwa dan jujur mengorbankan diri demi perjuangan agamanya. Beliau mengemudi bantera perjuangan Islam di tengah-tengah ribut politik antarabangsa, serantau dan tempatan, memenuhi segala sektor sosial, ekonomi, kebudayaan, intelektual dan perubahan."

Tambahnya lagi, "Beliau lelaki berjiwa patriotik, berdiri teguh dalam cahaya iman sehingga berhasil meletakkan posisinya menempuhi relau penderitaan, dekad kesusahan, ujian seksaan, dan begitu juga yang menimpa isteri dan anak-anak mereka serta seluruh keluarga. Beliau tidak bertukar menjadi pasrah, atau kembali menjadi gelisah. Sebaliknya, beliau tampil sebagai emas yang bersinar-sinar setelah diuji dalam bakaran."

"Generasi baru terus memikul perjuangan yang dibawa oleh pengasas Ikhwanul Muslimin ini. Potensi mereka dibangkitkan oleh naqib di setiap pergerakan melalu institusi tarbiyah yang digarap melalui usrah, mukhayyam, rehlah, mu'askar, persidangan (halaqaat), seminar (nadwah) dan perbincangan (munaqashah). Mereka berfungsi dalam kumpulan, adakalanya sebagai ahli biasa, rakan gabungan dan penyokong. Walau di manapun posisi mereka, sebagai ahli, sebagai pimpinan, di dalam sektor awam mahupun swasta, mereka bergerak dalam jalan yang sama, teguh dalam iman dan perjuangan menegakkan Islam."

Di akhir mesejnya Dr Essam Mohamed Hussein El-Erian menulis ayat 17 surah ar-Ra'du, "Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan."

Dr Essam Mohamed Hussein El-Erian dilahirkan pada 18 April 1954. Beliau merupakan anggota Ikhwanul Muslimin dan juga merupakan Naib Presiden Freedom And Justice Party - FJP. Beliau pernah menerima pendidikan di Kolej Perubatan Qasr Aini pada tahun 1972, dan kemudian menjadi presiden Persatuan Pelajar Perubatan Universiti-Universiti Mesir. Beliau kemudiannya memperolehi ijazah sarjana dalam Patologi pada tahun 1986 di Universiti Kaherah. Beliau juga memperolehi Sarjana Muda Pengajian Islam dan Ijazah Sarjana Muda Sejarah kedua-duanya dari Universiti Al-Azhar pada tahun 1999 dan 2000. Beliau ditangkap pada tahun 1981, ketika tahanan ramai disasarkan khusus kepada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin.

http://blog.tarbawi.my

Terserah SPR jika mahu p'raya serentak dengan S'gor

Harakahdaily, 15 Feb 2013
SHAH ALAM: Tepulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada mahu menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serentak dengan Selangor atau tidak, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menegaskan, SPR mempunyai tempoh 60 hari selepas beliau mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan adalah tanggungjawab SPR untuk menyesuaikan tarikh pilihan raya serentak dengan parlimen jika badan itu tidak mahu pilihan raya Dun Selangor dilakukan berasingan.

“Apabila saya umumkan pembubaran, SPR mesti mengadakan PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dun Selangor.

“Terpulang pada SPR untuk sesuaikan tarikh dengan Kerajaan Pusat, namun jika tidak sesuai, saya buat pilihan raya dulu, dan jika sesuai kita buat pilihan raya sama,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Ketiga di Klang pagi tadi.

Sebelum ini, beliau mengumumkan akan mempertimbangkan untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal iaitu selepas sambutan Chap Goh Mei hujung bulan ini jika Perdana Menteri masih berteka-teki untuk membubarkan parlimen.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesesuaian tarikh yang bakal diumumkan oleh SPR itulah yang akan menjadi penentu sama ada PRU-13 akan diadakan serentak atau berasingan.

Menurut Abdul Khalid, rakyat kini sudah tidak sabar dan tertunggu-tunggu tarikh PRU-13 dan ia turut membantutkan perkembangan sektor ekonomi di negeri ini.

“Rakyat sudah tertanya-tanya bila PRU-13, jadi rakyat tak buat kerja, asyik tunggu pilihan raya, keputusan pelaburan pun tak buat, sektor peniagaan pun tunggu pilihan raya.

“Lagi lama pilihan raya hendak diadakan, lagi lambat ekonomi membangun,” ujarnya.

Awas jika nampak kertas di belakang kereta anda

Harakahdaily, 15 Feb 2013

(Awas jika anda nampak kertas sebegini di belakang kereta anda)

KUALA LUMPUR: Awas! Jika anda ternampak sekeping kertas melekat di cermin belakang kereta anda, berjaga-jagalah kerana mungkin anda mangsa samun seterusnya.

Ini kerana, inilah teknik terbaru yang digunakan oleh manusia durjana ini untuk melarikan kereta anda.

Modus operandi kes sebegini mudah sahaja dan biasanya ia berlaku di tempat parking awam.

Kita berjalan menghampiri tempat parking, membuka kereta dan masuk ke dalamnya.

Kita mula hidupkan engin kereta dan bersedia untuk berundur.

Bila kita melihat cermin belakang untuk melihat kawasan belakang, kita dapati ada kertas yang melekat di tengah-tengah cermin belakang menghalang pandangan kita.

Jadi kita parking balik kereta, buka pintu dan keluar untuk menanggalkan kertas (atau apa jua benda) yang menghalang penglihatan kita tadi.

Bila anda sampai di bahagian belakang kereta, pada masa itulah pencuri itu akan keluar dari tempat sembunyinya, masuk kedalam kereta dan memecut pergi.

Dia mungkin akan merempuh anda dengan laju semasa mereka melarikan kereta anda.

Perasan tak kaum hawa? Pasti beg duit kita masih didalam kereta. Jadi sekarang pencuri memperolehi kereta kita, alamat rumah kita, duit kita, dan kunci-kunci kita. Rumah kita dan kesemua identiti kita telah diperolehi!

Berhati-hatilah...Inilah cara baru yang digunakan untuk mencuri kereta.

Oleh itu, jika kita melihat ada kertas melekat pada cermin belakang kita, teruskan memandu.

Tanggalkan kertas itu kemudian. Dan bersyukur kerana anda membaca tulisan  ini.

Itulah pesan kepada pemilik kereta khasnya kaum wanita berikutan ramainya yang menjadi mangsa kerana hal sebegini.

Pemandu teksi jadi mangsa, janji BN tinggal janji

Bashir Ishak dan Izwan Abdul Halim, 15 Feb 2013


(Mana janji Datuk Johari antara sepanduk yang dinaikkan)

BUKIT KAYU HITAM: Seramai lebih 120 orang pemandu teksi yang tidak berpuashati dengan kehadiran van pengangkut penumpang dari negara jiran, Thailand mengadakan demonstrasi di Bukit Kayu Hitam semalam.

Demonstrasi diadakan di stesen teksi Bukit Kayu Hitam bermula jam 10.00 pagi dengan para pemandu teksi terbabit berbaris di tepi jalan sambil mengangkat kain sepanduk dan poster yang tertera slogan-slogan bantahan serta keluhan mereka.

Mereka turut melaungkan suara bantahan seperti "Kami tuntut hak kami" dan "Mana Janji Ahli Parlimen Kubang Pasu?"

Masalah kemasukan van dari Thailand ini sudah berlarutan semenjak lebih 10 tahun lalu yang mana pada masa kini telah menjejaskan pendapatan pemandu teksi tempatan dengan teruknya.

Para pemandu yang mengadakan demonstrasi tersebut terdiri daripada pemandu teksi dari Persatuan Pemandu Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, Changlun dan Bandar Baru Sintok. Mereka turut disertai wakil dari pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Shahab Perdana, Alor Setar.

Laporan penuh dalam Harakah cetak.

Ikatan pohon perintah mahkamah lulus pendaftaran

Hazayani Zakaria, 15 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Abdul Kadir Sheikh Fadzil hari ini memohon perintah mahkamah bagi mengarahkan kerajaan mendaftarkan parti itu.

Permohonan itu dibuat melalui peguamnya, Murni Hidayah Anuar di Mahkamah Kuala lumpur, Jalan Duta dekat sini.

Menurut Kadir, beliau membuat keputusan untuk ke mahkamah selepas tiada apa-apa jawapan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan untuk mendaftarkan Ikatan sebagai parti.

"Permohonan dibuat bulan Jun tahun lepas. Saya berjumpa dengan pegawai pendaftar, pendaftaran dibuat mengikut prsedur dan pihak ROS pun tak ada panggil saya nyatakan apa-apa kesalahan.

"Tapi kenapa sampai hari ini tiada sebarang maklum balas berhubung permohonan saya? kata beliau kepada pemberita di lobi mahkamah.

Beliau kesal kerana kerajaan dilihat seolah-olah sengaja melengah-lengahkan pendaftaran Ikatan.

"Saya nampak kerajaan sengaja lengah-lengahkan untuk beri kelulusan.

"Saya kesal kerana Perdana Menteri keluarkan pelbagai kenyataan berkaitan transformasi. Tapi kalau perkara sekecil ini tak mampu nak uruskan, saya tak nampak keikhlasan kerajaan.

"Sedangkan penubuhan parti terkandung dalam perkara 10 Perlembagaan,' kata bekas Menteri Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Ikatan dilancarkan pada Jun tahun lalu dengan membawa matlamat merapatkan hubungan rakyat Malaysia.

Selain Kadir sebagai Presiden, timbalan-timbalan beliau adalah bekas Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, orang kuat Kelab Rotary Ong Hock Swiew dan bekas Presiden Majlis Peguam Regunath Kesavan.

Pengerusi Koperasi Ukhwah Malaysia Datuk Seri Mustafa Kamal Maulud dinamakan sebagai setiausaha agung.

Sampaikan Islam dengan perdekatan berbeza

Khairul Azlam Mohamad, 15 Feb 2013


KUALA TERENGGANU: Islam membuka ruang yang lebih luas dengan pendekatan dakwah yang berbeza-beza mengikut sasaran kumpalan tertentu.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata Islam mesti disampaikan semua orang mengikut cara serta pendekatan yang berbeza.

Katanya, medan dakwah ini sangat luas daripada masyarakat asli hingga kepada pembesar-pembesar serta tokoh-tokoh dalam negara yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama yang berlainan.

“Islam juga membuka ruang yang lebih luas. Islam mesti disampaikan kepada golongan ‘Islah’ yang barang kali mereka kurang memahami Islam.

“Ada orang yang memperjuangkan Islam semangat pada namanya sahaja tapi mereka tidak minat untuk bekerja. Ada orang dia suka ‘berapi-api’ di kedai kopi tapi dalam kerja dia terkebelakang. Islam mengambil pendekatan pada golongan ini.

“Ada orang, dia bercakap berapi-rapi tetapi sesama sendiri dan bila berhadapan dengan musuh dia takut. Islam ada cara dan pendekatan yang perlu diambil untuk mendekati kumpulan ini. Ada di kalangan umat Islam yang kuat bekerja dan bersemangat tetapi kadang-kala dia ini lemah dari sudut beribadah dan mendampingi Allah SWT.

“Ada umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, kuat berjuang tetapi (solat) Subuh tidak sembahyang. Ada pula di antara umat Islam ini yang tidak faham perjuangan Islam dan mereka menentang perjuangan Islam.

“Ada juga, umat Islam yang berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak, soal parti politik diketepikan. PAS atau Umno tidak dipedulikan dan yang dia kira dia dengan keluarga dia sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Institut Itqanul Muluk atau Pusat Kajian dan Pengajian Strategi Pembangunan Terengganu, di Km 14 Kampung Tok Jiring, dekat sini, semalam. (Gambar atas)

Nik Zawawi menjelaskan, situasi tersebut bukan sahaja baru berlaku di zaman ini tetapi sejarah telah berlaku di zaman Rasulullah SAW yang diukirkan oleh Allah Ta’ala dalam beberapa surah al-Quran seperti dalam surah at-Taubah.

Katanya, Islam meletakkan cara pendekatan yang berbeza-beza antara satu sama lain mengikut tahap serta kemampuan kumpulan sasaran tersebut.

“Inilah pendekatan yang diambil oleh Rasulullah dan apa yang hendak dibentuk melalui Institut Itqanul Muluk iaitu untuk menyampaikan mesej Islam ini tepat sebagaimana yang disusun atur dalam agama," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Pendekatan dakwah yang sangat berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Pendekatan dakwah yang berbeza antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Allah Ta’ala membuka kepada kita medan dakwah yang sangat luas dan hampir kita sampai kepada sasaran dakwah yang ada dalam negara,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Eksekutif Institut Itqanul Muluk, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Ketua Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Hahahaha...Nyawa PM dan Psy diancam?

Harakahdaily, 15 Feb 2013
PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menuntut bukti daripada pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang mendakwa ada ancaman nyawa terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan terhadap penyanyi Korea Selatan, Psy ketika sambutan Tahun Baru Cina di negeri tersebut Isnin lalu.

“Keselamatan Perdana Menteri adalah sangat penting. Siapa yang mengancam beliau? Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut,” kata Lim yang dipetik Malaysiakini.

“Bahkan ketua polis Pulau Pinang Abdul Rahim Hanafi juga tidak memaklumkan perkara ini pada saya. Jelasnya, Teng cakap tak berakal, dan tidak berkata benar semasa berkata nyawa pemimpin BN dalam bahaya,” tambahnya lagi.

Dalam menghadapi dua malu besar terhadap Najib ketika sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang iaitu peristiwa ‘No’ dan dibiarkan menunggu Psy yang tidak muncul-muncul untuk menggaul ‘Yee Sang’, semalam Teng menggemparkan semua pihak apabila mendakwa terdapat ancaman nyawa terhadap Psy.

“Terdapat ancaman terhadap nyawa Psy, jadi polis terpaksa bertindak untuk memastikan kawasan tersebut selamat kerana khemahnya jauh sedikit daripada pentas, itu sebabnya kita suruh Perdana Menteri untuk turun dari pentas,” kata Teng yang dipetik The Malaysian Insider.

Teng menjelaskan demikian selepas kemunculan klip video yang menunjukkan Najib dan para pembesar BN dibiarkan tunggu untuk kemunculan Psy untuk menggaul Yee Sang walaupun dijemput berkali-kali oleh pengacara majlis.

Namun, Psy tidak muncul menyebabkan semua yang ada di pentas terkial-kial.
Selepas itu, Najib pula menjadi pengacara majlis untuk menjemput Psy untuk melakukan persembahannya.

Ketika itulah, Najib dimalukan sekali lagi apabila rakyat Pulau Pinang berkata ‘No’ kepada soalannya ‘Are you ready for BN?’ yang ditanya tiga kali berturut-turut.

Jika betul ada ancaman nyawa terhadap Najib dan Psy, mengapa Teng tidak menjelaskan mengapa Psy dibenarkan untuk mempersembahkan dua kali lagu popularnya Oppa Gangnam Style selepas ancaman di terima dan Najib pula dibiarkan menjadi pengacara majlis selepas acara menggaul yee sang.

Manakala jawapan polis pula berterabur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Mazlan Kesah semalam berkata beliau tidak mendapat maklumat mengenai ancaman terhadap Psy atau sesiapa, manakala Ketua Polis Pulau Pinang Abdul Rahim mengesahkan ada ancaman terhadap Psy.

Bagaimanapun, tiada yang menjelaskan bagaimana Psy boleh pergi makan malam di sebuah restoran Korea di Tanjung Bungah sebelum meninggalkan negara pada 2 pagi hari Selasa.

“Dalam klip video tersebut, semua – termasuk Perdana Menteri tidak kelihatan seperti diancam. Juga tiada polis kelihatan sekitar pentas. Psy dibenarkan buat persembahan dan kemudian makan malam. Ini berita besar, nyawa Perdana Menteri dan Psy diancam. Mengapa tidak disebut sehingga sekarang?” tanya Lim Guan Eng.

Tiada ulasan: