Isnin, 18 Februari 2013

SEDARLAH MEMANG RAKYAT TAK MAU LAGI...SEDARLAH RAKYAT TAK BOLEH DI AUTA LAGI

PR Perak akan selesai tanah untuk sekolah Tamil

Harakahdaily, 17 Feb 2013

Sivakumar (baju kuning) bersama masyarakat India mengadakan bantahan mengenai tanah tersebut di Ipoh hari ini.

IPOH: Pakatan Rakyat (PR) Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar itu dengan serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13.

“Kami juga memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar ini,” ujar Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau yang juga Adun Tronoh menegaskan, jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah itu, PR terpaksa membuat satu himpunan aman di hadapan pejabat SUK Perak untuk menuntut hak sekolah-sekolah Tamil di negeri ini.


Berikut kenyataan penuh beliau.

Barisan Nasional Perak telah menipu masyarakat India sekali lagi. Apa sudah jadi dengan janji kerajaan Perak untuk memberikan 2,000 ekar tanah kepada Sekolah-sekolah Tamil di Perak?

Kerajaan Barisan Nasional telah berjanji untuk memberi tanah 2000 ekar itu pada tahun 2009 setelah mereka merampas kuasa di negeri Perak. Mereka  menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil.

MIC Perak dengan bangganya  telah membuat pengumunan bahawa kerajaan Barisan Nasional Perak telah memberikan 2,000 ekar tanah  kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak.

Adakah benar kerajaan Perak telah memberikan tanah seluas 2,000 ekar itu kepada sekolah-sekolah Tamil?

Kalau benar, saya memohon kepada MIC negeri Perak untuk membukti perkara itu dengan menunjukkan geran tanah  untuk 2,000 ekar tanah tersebut dengan serta-merta.

Sebenarnya tanah itu tidak pernah diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Tanah itu diberikan di atas nama Yayasan Perak.

Saya tidak tahu apa hubungan Yayasan Perak dengan sekolah-sekolah Tamil. Ini merupakan saya muslihat untuk mengkaburi mata masyarakat India.

MIC membuat lakonan seolah-olah masalah tanah untuk sekolah-sekolah Tamil itu telah diselesaikan apabila kerajaan memberikan tanah itu kepada Yayasan Perak.

Saya pernah membangkitkan isu tanah 2000 ekar itu beberapa kali dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak. Tetapi, saya hanya diberi jawapan yang lumrah iaitu masalah akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Isu tanah ini tidak dipandang serius oleh kerajaan Barisan Nasional.  Pemimpin-pemimpin MIC juga tidak mahu isu ini sering ditimbulkan. Mereka mungkin mempunyai agenda sendiri untuk ‘sapu’ tanah tersebut.

Saya difahamkan ada pemimpin-pemimpin politik yang bercadang untuk mendapatkan tanah itu daripada Yayasan Perak dengan cara menubuhkan syarikat swasta untuk mengurus tadbirnya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Tapah Datuk Saravanan juga telah membuat saranan kepada kerajaan Perak supaya menyerahkan tanah itu kepada MIC untuk membantu sekolah-sekolah Tamil. Ini adalah satu cadangan yang tidak boleh diterima.

Rakyat negara ini khususnya masyarakat India tidak lupa kepada skandal-skandal besar yang pernah dilakukan oleh MIC seperti isu saham Telekom dan Maika Holdings. Memberi 2,000 ekar tanah ini kepada MIC adalah seolah-olah menjemput buaya ke tepi sungai dan memberikan seekor kambing untuk dimakan.

Tambahan pula, dalam suasana politik sekarang Barisan Nasional tidak mungkin dapat menjadi kerajaan lagi di negeri Perak selepas PRU13. Oleh yang demikian, memberi tanah itu kepada MIC adalah satu tindakan yang  langsung tidak bermakna.

Saya telah membangkit isu ini dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada 15 Februari 2013. Pakatan Rakyat Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar itu dengan serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13.

Kami juga memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar ini. Jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa membuat satu himpunan aman di hadapan SUK Perak untuk menuntut hak sekolah-sekolah Tamil di Perak.

Pengusiran Xenophon: PRU13 mungkin dicemari

Muhammad Faizal, 17 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pengusiran Senator Australia Nick Xenophon semalam menandakan sistem demokrasi di negara ini pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan dicemari.


Beliau yang dihubungi menjelaskan, kedatangan Xenophon adalah dengan tujuan melihat sistem demokrasi negara ini berjalan dengan harmoni terutama pada pilihan raya nanti dan bukannya untuk menimbulkan huru-hara.

"Saya tidak nampak apa masalah yang timbul jika Xenophon dibenarkan memasuki negara ini, beliau hadir sebagai pemerhati dalam melihat keharmonian demokrasi pada PRU13 nanti.

"Namun apa yang ingin saya jelaskan adalah penahanan beliau ini sebenarnya menggambarkan bahawa keharmonian demokrasi akan dicemari terutamanya pada PRU13," kata beliau.

Mahfuz turut mempersoalkan tindakan kerajaan terutamanya pihak polis mahupun imigresen yang boleh berunding dengan sekumpulan rakyat Filipina yang mendarat di Sabah walaupun mereka telah membawa senjata dan datang untuk menimbulkan huru-hara, namun senator bebas itu datang dengan tujuan yang baik dengan dokumen yang lengkap telah ditahan.

"Yang datang bawa senjata dengan niat untuk menimbulkan huru-hara kerajaan masih boleh berunding, kenapa yang datang dengan tujuan yang baik tanpa ada sebarang niat kerajaan sanggup menahan.

"Saya kecewa kerajaan tidak dapat membezakan tindakan yang mereka ambil terutama dalam senario untuk mencetus huru-hara dan juga dasar keharmonian demokrasi," sambung beliau lagi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Malaysia akan mengambil pendekatan segera iaitu memanggil balik Xenophon dan membenarkan beliau memasuki negara ini jika mahu mengembalikan keharmonian demokrasi, apatah lagi PRU13 semakin hampir.

Senator bebas itu adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia selepas kerajaan Australia menolak permohonan Anwar mendapatkan pemerhati bebas bagi memantau pilihan raya umum akan datang.

Tiga lagi anggota delegasi itu ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.

Delegasi itu dijadualkan bertemu Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen pembangkang.

Senator Australia Nick Xenophon telah diusir pulang jam 10.30 malam tadi selepas ditahan selama 15 jam di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kerana didakwa menjadi 'musuh negara'.

Xenophon, yang mendarat di terminal LCCT di Sepang pada jam 6.40 pagi semalam dengan penerbangan AirAsia, ditahan pihak berkuasa Imigresen sebaik saja tiba.

Pemimpin PR disambut hebat, tak kisah Najib

Roketkini.com, 17 Feb 2013
KAJANG: Buat kali pertama sejak Merdeka, seorang Perdana Menteri menjejak kaki ke rumah terbuka anjuran pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong, dalam usaha Barisan Nasional untuk menawan hati pengundi berketurunan Cina yang sebelum ini tidak begitu dipedulikan.

Datuk Seri Najib Razak menghadirkan diri di selama kira-kira setengah jam di padang Pusat Pengajian Tinggi Dong Jiao Zong di sini hari ini. Beliau menyertai acara menggaul yee sang bersama pemimpin Cina dan menonton persembahan kebudayaan.

Namun, Najib meninggalkan acara tersebut tanpa memberi sebarang ucapan atau membuat pengumuman peruntukan berjuta-juta ringgit seperti yang sering dilakukan sekarang dalam kempen pilihanraya umum tidak rasmi Umno BN.

Sebaik saja Najib meninggalkan majlis, ribuan hadirin memberi sambutan besar-besaran kepada barisan pimpinan Pakatan Rakyat walaupun Dong Zong tidak menyediakan permaidani merah atau tarian singa untuk mereka.

Ketibaan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bersama wakil-wakil rakyat DAP Tan Kok Wai dan Charles Santiago disambut meriah, begitu juga dengan kehadiran Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Sambutan paling hangat diberikan oleh hadirin untuk mengalu-alukan kehadiran Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan secara spontan mengangkat sepanduk asal ‘I Love PM’ (Saya sayang Perdana Menteri) yang ditambah ayatnya menjadi ‘I Love new PM Anwar’ (Saya sayang Perdana Menteri Baru, Anwar).

Reaksi tersebut memperlihatkan penolakan kuat masyarakat Cina terhadap kepimpinan Najib  dan kesediaan mereka untuk menerima Ketua Umum Keadilan itu sebagai Perdana Menteri menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi.

Minggu lalu Najib Razak dimalukan di Pulau Pinang apabila tiga kali mendapat jawapan negatif “no” (tidak)  ketika bertanya sama ada rakyat Pulau Pinang bersedia untuk menerima BN dalam PRU akan datang, sewaktu majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN Negeri. – Roketkini.com

PRU13: Mungkinkah SPR lanjut masa mengundi?

Harakahdaily, 17 Feb 2013



KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus menerangkan kepada petugas Pilihanraya PAS Bukit Gantang semalam bahawa tempoh pengundian boleh ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa diberi notis, lapor blogger Sisi Bukit.

“Cukup sekadar pengumuman biasa sahaja. Jadi tempoh mengundi boleh dipanjangkan sehingga 7 malam, jika SPR merasakan perlu untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta pengundi yang mengundi PAS mesti dipastikan telah keluar mengundi.

Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan celup jari menggunakan dakwat bukannya ada dalam perlembagaan tetapi ia cuma peraturan sahaja.

Jadi SPR juga mungkin bersikap seperti tahun 2008 yang mencipta isu atas faktor keselamatan untuk menidakkan keperluan menggunakan dakwat kekal.

Adakah Najib datang awal elak bertembung Anwar?

Harakahdaily, 17 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dilaporkan datang awal ke rumah terbuka Tahun Baru Cina 2013 anjuran Dong Jiao Zong di New Era College, Seksyen 10, Jalan Bukit, Kajang hari ini.

Justeru, adakah kehadiran beliau pada kira-kira jam 9.45 pagi bersama-sama dengan para pemimpin MCA dan Gerakan, Chua Soi Lek dan Koh Tsu Koon kerana tidak mahu bertembung dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan akan hadir pada rumah terbuka itu.

Baca di sini.

PAS jamin kerjasama dalam Pakatan tidak rugikan Melayu

Khairul Azlan Mohamad, 17 Feb 2013

(Ustaz Hadi berucap di HKR PGU di Banggol Peradong semalam)

KUALA TERENGGANU: PAS mengulangi pendirian tegas bahawa kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak merugikan orang Melayu dan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.

Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, PAS tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

“PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat.

“Apabila DAP, orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak agama lain diberi (kebebasan) hak dengan adil. Hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan hak kaum lain (diberi) adil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa ibunda diberi (kepada semua kaum). Raja mengikut Perlembagaan. Semua parti Pakatan Rakyat menerima perjanjian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 7.0 di Kampung Banggol Peradong, Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Kota Raja Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK, Bendahari PKR Terengganu, Wan Ismail Wan Long dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing. 

Datuk Seri Abdul Hadi menjelaskan PAS menerima hakikat kehidupan masyarakat dalam negara ini berbilang kaum.

Katanya, semua rakyat berbilang kaum yang terdapat dalam negara ini merupakan rakyat Malaysia.

“Kita (PAS) menerima hakikat kita (rakyat) adalah masyarakat majmuk. Semua rakyat pelbagai kaum adalah rakyat kita. Ini sudah jadi kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

“Semua kaum menerima Melayu Islam adalah sebagai teras. Penganut semua agama menerima Islam yang ada dalam Perlembagaan. Tapi Umno tidak pandai hendak jaga Islam, apa hendak jadi dia (Umno) tidak peduli. Asal Umno menang sudah, Islam hendak jadi apa ikut sukalah. Yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan.

“Sebab itu, PAS mengadakan kerjasama dengan orang Islam dan bukan Islam dalam DAP dan dalam PKR,” ujarnya di hadapan 10,000 hadirin.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS mengajar ahlinya berpolitik dengan mengabdikan diri kepada Allah serta tidak berkompromi dalam perkara halal dan haram.

“PAS mengajar berpolitik mengabdikan diri kepada Allah. Apa yang halal itu halal dan yang haram itu haram. Bukannya yang ada lesen halal dan yang tidak ada lesen itu haram,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyangkal dakwaan Umno yang melabelkan PAS sebagai ‘kuda tunggangan’ DAP.

Sebaliknya, kata beliau, Umno telah lama menjadi kuda tunggangan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Umno kata PAS jadi kuda tunggangan DAP. Umno sudah lama jadi ‘kuda tunggangan’ MCA, MIC dan Gerakan.

“Sedarkah kita (rakyat) apabila MCA kalah, MIC kalah, Gerakan kalah…Umno bagi kerusi (Parlimen) Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan. Umno sanggup bagi kerusi Melayu kepada orang lain demi dia (BN) mengekalkan kuasa memerintah negara. Dia (Umno) tidak kira bagaimana kekuatan politik orang Islam,” jelasnya.

Sertai PAS



(Datuk Mohamad Nazli disarungkan baju baru tanda menyertai PAS)

Pada himpunan tersebut Abdul Hadi menerima penyerahan borang keahlian menyertai PAS oleh bekas Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Mohamad Nazli Abdul Majid.

Datuk Mohamad Nazli, 62, berasal dari Perak yang kini menetap di Paka, Dungun berkelulusan Bachelor of Agriculture Science (Universiti of Tasmania, Australia) dan master of Science Agriculture, SHSU, Texas, USA.

Beliau bersara tahun 2006 yang pernah bekerja di Jabatan Pertanian tersebut selama 30 tahun iaitu 12 tahun sebagai Pengarah Projek Pembangunan Pertanian di Besut, dua tahun di Johor selaku Pengarah Johor Barat, tiga tahun di Melaka dan lima tahun di Kedah sebagai Pengarah Pertanian Negeri

Terima kasih tidak sambut hari kekasih – Wan Ubaidah

Salmah Mat Husain, 17 Feb 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengucapkan tahniah kepada rakyat di negeri ini khususnya golongan muda yang tidak menyambut  Valantine’s Day sebagai hari memperingati kekasih.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar (gambar) berkata ianya berlaku kerana kesedaran agama terhadap mereka.

“Golongan remaja Kelantan sedar menyambut hari tersebut adalah haram dan ianya tidak perlu terpengaruh dengan budaya barat,” ujarnya.

Menurutnya, jika sebelum ini pada 14 Februari setiap tahun golongan remaja khususnya akan menyambut hari tersebut bersama pasangan masing-masing termasuk Kelantan.

Tetapi jelasnya, kerana kesedaran terhadap perkara itu suatu yang berdosa mereka tidak lagi menyambutnya sejak beberapa tahun lalu hingga menyebabkan tarikh itu menjadi suram.

“Menariknya seolah-olah mereka terlupa apa yang sebenarnya berlaku pada 14 Februari,” ujarnya ketika mengulas berhubung perkara itu.

Beliau juga turut menambah, hari kekasih itu juga amat tidak wajar disambut oleh pasangan suami isteri.

Kerana itu, tambahnya kerajaan negeri mengadakan program khas untuk suami isteri ‘Hari Suami Isteri’, iaitu hari-hari sentiasa ada dan sentiasa menyintai antara suami isteri.

Samseng tarik tudung, penjelasan Nor Fatehah

Nor Fatehah Ahmad, 17 Feb 2013
Walaupun masih terkejut dan sedikit trauma dengan apa yang berlaku sewaktu bersama Gerakan Mahasiswa PRU13 - GM13 di Pekan,
saya tetap berasa terpanggil untuk memperbetulkan beberapa kenyataan yang dibuat dalam akhbar online ini.  http://www.malaysiakini.com/news/221493

1. Saya tidak pernah sama sekali mengedarkan risalah anti-BN, saya malahan hanya menyerahkan surat harapan dari mahasiswa kepada rakyat. Saya kurang senang bilamana didakwa menghasut masyarakat kerana apa yang dilakukan hanyalah berbincang secara ilmiah dan berhujah bersenjatakan idea dan fakta.

2. Saya dikatakan menangis dan ketakutan. Artikel ini tidak sebegitu lengkap sebenarnya sekiranya ia digunakan untuk menggambarkan keseluruhan peristiwa yang berlaku ketika itu. Saya hanya mengeluarkan air mata apabila saya ditengking dan dimalukan di dalam pasaraya tersebut. Saya malahan hampir dicederakan oleh samseng berkenaan apabila beliau menghayun bakul barang dengan sekuat hati kepada saya. Namun alhamdulillah, tindakan itu dihentikan oleh seorang lelaki baik hati yang berani.

Namun sebab yang paling utama penyebab air mata saya jatuh adalah apabila beliau mula menarik tangan dan tudung saya. Bagi saya itu adalah aurat dan maruah saya yang paling berharga. Kegeraman saya memuncak dan ia dimanifestasikan dengan jeritan untuk menghalang perbuatan mereka serta tangisan tanda sebak juga geram.

3. Kesimpulannya, saya tidak ke sana untuk menghasut. kami hanya bawa idea dan fakta. Ayuh berhujah dengan bijak dan matang.

Saya juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa kenyataan saya ini tidak terkandung unsur fitnah. Terlalu banyak manusia yang menjadi saksi peristiwa ini tidak kira pelanggan, pekerja, orang ramai malah mungkin CCTV di pasaraya tersebut. Apa yang tinggal hanyalah keberanian mereka untuk tampil menyatakan kebenaran.

Namun, cukuplah bagi kita membenci perbuatan bukan tuan punya badan.

Saya tetap mendoakan agar mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu sebenarnya telah mengguris hati dan maruah saya sebagai wanita Islam. Hijab adalah maruah saya.

*Nor Fatehah Ahmad. S.U MPP UPM

-KITA TURUT MEMBENCI PERBUATAN TERKUTUK TERSEBUT-

Tiada ulasan: