Isnin, 18 Februari 2013

INIKAH FAKTA ANJURKAN MAKSIAT

Dr M mengamuk kata insiden 'No' palsu

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Insiden ‘No’ di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran BN di Pulau Pinang baru-baru ini telah menyebabkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) mengamuk sehingga menyalahkan media alternatif.

“Di dalam media alternatif, hampir sesiapa sahaja yang boleh meletakkan apa-apa bahan yang mereka suka cakap di internet secara langsung, tanpa pengurus, editor atau sub-editor mengubah isi kandungannya.
"Kebebasannya hampir total. Inikah intipati demokrasi?” tanya Mahathir di tulisan terbaru dalam blognya.

Mahathir juga mendakwa video popular kini yang menggambarkan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendapat jawapan ‘No’ daripada para hadirin di Pulau Pinang ketika ditanya ‘Are you ready for BN?” telah diubahsuai.

“Sekarang, ia telah didapati bahawa (video) tersebut telah direka dengan membawa satu kumpulan ke dalam orang ramai, dengan membekalkan mereka dengan video kamera dan mikrofon.

"Semasa PM bertanya ‘Are you ready for BN?’, kumpulan ini menjerit ‘No’ sebagai jawab balas. Ia membuat seolah-olah seperti semua hadirin menjerit ‘No’.

“Sebenarnya hanya sebilangan kumpulan saya yang menjerit ‘No’ ke dalam mikrofon mereka. Jawapan ‘Yes’ daripada orang ramai tidak dirakam dan tidak dimasukkan di dalam video di YouTube,” dakwa Mahathir.

Beliau berkata klip video popular di YouTube akhirnya dipercayai para pengamal sosial media sebagai versi yang benar walaupun sebenarnya ia adalah palsu.

Mahathir menyalahkan ini pada kebebasan di internet yang sebelum ini beliau sendiri yang memperkenalkan aktanya.

"Pembohongan boleh dibuat seolah-olah menjadi kebenaran ... Tetapi kebenaran juga boleh dibuat untuk kelihatan seperti pembohongan," katanya.

Mahathir kemudiannya menceritakan bahawa beliau dianiaya oleh para pengodam yang memaksa beliau menukar server untuk blog ‘Che Det’ kepunyaan beliau.

"Saya kehilangan kebebasan di media lebih daripada apa yang kerajaan boleh menghalang kebebasan saya. Secara jujur, saya lebih suka jika kerajaan yang menapis saya.

"Tapi tiada apa yang saya boleh lakukan untuk menghalang mereka yang ingin mengekang kebebasan saya melalui alternatif media,” tambah beliau.

Radio Suara Rakyat FM dilancarkan semalam

Salmiyah Harun, 18 Feb 2013

(Dr Yunus melancarkan radio Suara Rakyat FM di Dataran Kemerdekaan semalam)

SHAH ALAM: Radio Suara Rakyat FM, sebuah radio internet, dilancarkan dengan meriah  di Dataran Kemerderkaan dekat sini semalam.

Ia disertai 300 buah basikal yang berkonvoi dan 16 buah kereta yang bergerak bersama mengelilingi bandaraya Shah Alam.

Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia Dan Sukan Negeri Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi.

Radio internet Suara Rakyat FM adalah inisiatif rakyat untuk memberikan maklumat alternatif.

Ia mendapat sokongan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat khasnya Selangor dan Kelantan.

Ia boleh diikuti melalui http://suararakyatfm.blogspot.com/ atau aplikasi Tunein Radio untuk telefon bimbit Android.

Harakahdaily sebelum ini menandatangani MoU dengan radio ini untuk membekalkan berita setiap hari kepada radio internet ini.


Konvoi

Program pelancaran yang bermula awal pagi semalam, dimulakan dengan konvoi berbasikal dan kereta yang masing-masing ditampal 'sticker' Radio Suara Rakyat FM.

Kemudian konvoi ini bersama-sama dari Dataran Kemerdekaan kemudian bergerak melalui Bukit Cerakah, Batu 3 dan keluar ke Stadium Malawati kemudian balik semula ke Dataran Kemerdekaan kira-kira jam 9.00 pagi.

Konvoi bersama ini disertai keseluruhan ahli jawatankuasa Radio Suara Rakyat dari seluruh negara termasuklah negeri pantai timur.

Menurut Ketua Penyelaras Radio Suara Rakyat Ripin Samat, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor yang memberi sokongan padu kepada satu-satu radio yang menjadi suara rakyat.

Katanya, Radio Suara Rakyat ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa di seluruh DUN Selangor dengan menggunakan aplikasi 'wakie talkie zello' bagi menyampaikan maklumat di setiap pelusuk negeri.

"Banner Radio Suara Rakyat dengan slogan 'Suara Rakyat Suara Keramat' akan diletakkan di setiap pejabat DUN Selangor dengan satu harapan agar maklumat berjaya sampai ke sasarannya," katanya ketika dihubungi.


Maksiat berleluasa ketika Kelantan di bawah BN

Aslani M, 18 Feb 2013

KETEREH: Biar pun terdapat banyak institusi pondok dan alim ulama, namun tahun 1980-an ketika Kelantan di bawah Barisan Nasional (BN) gejala maksiat dibiarkan berleluasa.

Sedangkan sebelum itu (1959-1978) ketika PAS mentadbir negeri ini banyak unsur-unsur khurafat dan maksiat dihapuskan.

Namun selepas kerajaan BN mentadbir Kelantan bemula pada 1978 gejala tersebut dibiarkan subur semula, malah kegiatan judi dibenarkan beroperasi.

Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Hamid Derani (gambar atas) berkata, ketika Tan Sri Muhamad Yaakob menerajui Kelantan, terdapat ramai ulama dan pusat pengajian pondok.

“Ketika itu ada Tok Guru Abdul Aziz Abu Bakar di Pondok Pasir Tumbuh, Tok Guru Mohamad Awang di Pondok Beta, Tok Guru Haji Abdul Rahman di Pondok Sungai Durian.

“Malah ketika itu juga Kelantan mempunyai seorang mufti yang terkenal iaitu Datuk Haji Noor yang mengarang kitab Mestika Hadis.

“Tapi anehnya mengapa gejala maksiat, hiburan dan perjudian masih berlaku di Kelantan. Ini kerana tiada kuasa politik yang boleh menghalang gejala tersebut,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kedai Piah, malam tadi.

Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menarik perhatian ramai penduduk tempatan mengikuti ceramah tersebut. Hadir sama anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir dan Adun Kadok, Azamin Mohd Nor.

Abdul Hamid yang pernah menjadi tenaga penceramah Umno sebelum ini berkata, hanya selepas PAS berkuasa semula di Kelantan pada 1990, barulah gejala maksiat, hiburan dan perjudian dihapuskan.

“Peliknya Ustaz Umno ketika berceramah mendakwa perkara itu hanya berlaku secara kebetulan. Kalau kebetulan mengapa ketika di bawah BN gejala maksiat dibiarkan berleluasa,” ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, mereka yang mengundi BN tentunya ada saham apabila kerajaan terus membiarkan gejala maksiat berleluasa biar pun sudah lama memerintah.

Sementara itu Mohamad berkata, Umno dan media tajaan mereka terus memainkan isu agama dan Melayu dengan harapan dapat menarik simpati rakyat.

“Sekarang mereka mainkan emosi rakyat dengan sentimen agama dan bangsa. Umno lupa orang muda sekarang perlu fakta dan bukannya emosi,” katanya.

Bagaimana Allah dan Malaikat bersalawat ke atas Nabi?

Prof. Dato' Dr Haron Din, 18 Feb 2013
Setiap kali kita menunaikan solat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar seruan bilal mengingatkan para makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Antaranya yang kerap dituturkan ialah bacaan firman Allah Taala yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab : ayat 56)


Ayat yang di atas adalah ayat al-Quran, ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna salawat yang sebenarnya dalam tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lainnya. Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti salawat Para Malaikat. Dan salawat Para Malaikat ke atas Nabi SAW, tidak seperti salawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka. Semuanya berlainan walaupun istilah asal masing-masing adalah "salawat".

Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam ungkapan selawat yang terkenal. Salawat Allah ke atasnya bermaksud Allah Taala sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya hingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari Baginda hidup dalam alam barzakh hinggalah ke hari kiamat. Inilah yang disebutkan dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud, "Salawat daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredaan-Nya kepada Nabi Muhammad sepanjang masa".

Salawat daripada Para Malaikat bermaksud, "Para Malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad SAW sepanjang zaman serta meredhainya. Ada pun salawat umat (kita) Muhammad kepada Baginda Nabi SAW adalah dengan menyebut salawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraannya kepada Baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa".

Daripada tiga perbezaan jelas bahawa istilah salawat itu begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua, malaikat dan ketiga, umat manusia. Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah SAW itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat kepada Baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari akhirat.

Malah Para Malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah Taala agar dilimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada Rasulullah SAW. Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf.

Baginda Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya), "Sesiapa yang bersalawat ke atasku satu salawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 rahmat."

Oleh itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa salawat ke atas Nabi Muhammad adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam hidup seharian, bersalawat adalah sunat mu'akkad.

Sa'id Ibnu Musayyid meriwayatkan daripada Umar Al Khattab, beliau berkata, "Doa hamba kepada Allah tidak diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu. Apabila disebut salawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang menulis salawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka malaikat-malaikat terus bersalawat ke atas Nabi dan selama penulisannya itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke atasnya."

http://blog.tarbawi.my

Pastikan Al Quran braille terkawal - Sekretariat OKU PAS

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertingkatkan kawalan ke atas penerbitan Al Quran braille untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.

Ini kerana, ia dibimbangi akan disalahgunakan dan menjejaskan kesucian Al-Quran.

Demikian kata Mohammad Faizal Che Yusof (gambar), Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU PAS.

Menurut Faizal, penerbitan AlQuran Braille di Malaysia bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku tidak kurang 20 tahun yang lalu.

Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, mereka dapati penerbitan AlQuran Braille seolah-olah telah menjadi lubuk emas buat pihak-pihak tertentu.

Semenjak tahun 2011, telah ditegaskan betapa ada cubaan pelbagai pihak untuk menerbitkan AlQuran Braille dengan cara yang diragui bagi kegunaan OKU penglihatan.

Namun ingatan yang dikeluarkan oleh NGO yang bertanggungjawab langsung tidak diambil perhatian oleh pemerintah yang diterajui oleh Umno, katanya.

Penerbitan AlQuran Braille di Malaysia sehingga kini hanya dibenarkan oleh Kementerian Dalam Negeri kepada sebuah sahaja NGO OKU penglihatan.

"Kami telah difahamkan bahawa beberapa pihak lain telah mula dan sedang menawarkan penerbitan AlQuran Braille tanpa suatu kawalan yang ketat.

"Kami menegaskan bahawa pihak kerajaan adalah bertanggungjawab sepenuhnya memastikan penerbitan AlQuran Braille ini tetap memelihara kesucian dan ketulinan isi Al-Quran sebagaimana mashaf yang biasa.

"Lebih mendukacitakan, kami mendapati penerbitan Alquran Braille oleh pelbagai pihak ini turut ditawarkan ke luar Negara termasuk Palestin dan Ghazza," beritahu Faizal kepada Harakahdaily.

Walhal, kerajaan Arab Saudi telahpun menyedia penerbitan AlQuran Braille yang percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutamanya mereka yang berada di sekitar Asia Barat dan Asia Tengah.

"Kami memberi ingatan, penerbitan AlQuran Braille yang tidak dikawal oleh kerajaan membuka ruang untuk penyalahgunaan berlaku sama ada dari isi kandungan atau peruntukan dana yang banyak yang seharusnya tidak berlaku.

"Justeru, kami menyeru pihak kerajaan termasuklah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk bertindak lebih Sirius bagi memastikan penerbitan AlQuran Braille di Malaysia tetap terpelihara," katanya.

Kelantan di bawah bayangan al-Quran

Shukeri Mohamad, 18 Feb 2013
Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

Firman Allah Taala, maksudnya:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58)

Pengenalan

Menurut sistem politik Islam/siasah syar`iyyah, sumber rujukan tertinggi dalam negara ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber tersebut menggariskan prinsip pentadbiran yang menjadi teras kepada tercapainya keadilan dan ketelusan pentadbiran negara. Sebaliknya tanpa al-Quran dan al-Sunnah, maka pentadbiran yang dijalankan akan menjadi pentadbiran yang cacat dan lemah, kerana dipergunakan oleh golongan pemimpin untuk mengaut keuntungan diri serta menindas pihak lain.

Dalam ayat al-Quran di atas, Allah Taala menetapkan dua prinsip politik Islam yang sangat utuh iaitu; Menunaikan amanah/tanggungjawab dan melaksanakan keadilan. Bertolak dari situ, kerajaan Kelantan, di bawah kepimpinan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, dengan beraninya telah menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran sejak tahun 1990 lagi bagi memandu kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya mengaut keuntungan diri di atas penderitaan rakyat. Pihak kerajaan telah mengisytiharkan dasar keislaman secara terbuka, melalui slogan “Membangun Bersama Islam”.  Peristiwa ini menjadi detik bersejarah dalam sistem politik dan pentadbiran di Malaysia

Peranan al-Quran dan al-Sunnah dalam Pentadbiran Kelantan

Menteri Besar Kelantan mengakui bahawa banyak sekali pengajaran yang terdapat dalam al-Quran yang dilaksanakan melalui program pembangunan Islam, dakwah dan pembangunan insan di Kelantan. Contohnya, mengajak orang Islam menghayati solat iaitu Kerajaan Negeri menganjurkan program Bulan Sembahyang. Begitu juga Kerajaan Negeri meluluskan Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan.

Dalam perkara-perkara yang tidak dinyatakan al-Quran dan al-Sunnah secara langsung, maka kerajaan Kelantan menggunakan kaedah ijtihad untuk menyelesaikan perkara tersebut. Banyak pembaharuan yang dilakukan berlandasakan kaedah ijtihad ini seperti mengadakan papan tanda berunsurkan Islam, menambah cuti bersalin kepada 60 hari dan sebagainya.

Di antara petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang dilaksanakan dalam pentadbiran Kelantan ialah:

Pertama:  Menghidupkan Prinsip Kedaulatan Syariah, Prinsip Syura, Prinsip Amanah/Mas’uliah, Prinsip Keadilan.

i: Prinsip kedaulatan Syariah Islamiyyah

Kerajaan Kelantan menjadikan Syariah Islamiyyah sebagai landasan utama dalam urusan pentadbiran, berpandukan Firman Allah, maksudnya:

“... dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah : ayat 44)


Dasar ini dikira sebagai asas akidah atau kepercayaan (usul i`tiqadiyyah ) bagi kerajaan. Dengan itu kerajaan menolak teori dan kaedah yang bercanggah dengan Islam.

ii: Prinsip Syura

Kerajaan Kelantan menetapkan sesuatu keputusan melalui perbincangan berbagai pihak yang memiliki kepakaran, tanpa melanggar prinsip Islam, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah Taala, bermaksud:

“...dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”  (Surah Ali Imran : ayat 159)

Prinsip Syura ini amat penting kerana dapat mengelakkan daripada pemerintahan secara kuku besi. Sebaliknya syura dapat melahirkan sikap tanggungjawab bersama yang tinggi, kerana masing-masing mengetahui bahawa keputusan yang diambil itu adalah keputusan bersama. Semangat dan roh syura merupakan perkara pokok dalam kegiatan pentadbiran Kelantan..

iii:Prinsip menunaikan amanah/mas’uliyyah

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa kepimpinan Kerajaan bukanlah suatu anugerah untuk mengaut keuntungan diri sendiri. Sebaliknya kepimpinan merupakan amanah dan mas’uliyah yang berat terhadap Allah dan masyarakat sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.

Pemimpin akan menghadapi soal jawab di akhirat dan sentiasa terdedah kepada kritikan orang ramai di dunia, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW.

Prinsip ini menekankan supaya pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, tanpa menyeleweng, kerana segala perbuatan mereka akan disoal oleh rakyat dan disoal oleh Allah di akhirat. Menurut Ibn Taymiyyah, prinsip amanah ini amat penting kerana dapat menjamin  pihak berkuasa benar-benar menjalankan siasah yang adil, berpegang kepada sistem dan peraturan, etika dan nilai yang mulia. Dengan itu dapat menghindarkan daripada kegiatan rasuah, penyelewengan, kronisme dan sebagainya.

iv: Prinsip menegakkan keadilan

Kerajaan Kelantan mendokong dasar keadilan sejagat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik berpandukan Firman Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.

Oleh itu, kerajaan Kelantan menentang keras sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas rakyat.

Dasar keadilan kerajaan Kelantan  sangat menekankan  jaminan perlindungan  hak-hak warganegara yang beragama Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek kehidupan. Menurut Ibn Khaldun, kezaliman akan mendedahkan negara kepada kemusnahan.

Kedua: Merealisasikan Konsep Kepimpinan Ulama

Kepimpinan Ulama telah diangkat menjadi peneraju kepada Kerajaan Kelantan. MB Kelantan menyatakan bahawa beliau adalah pemikul amanah Allah untuk melaksanakan segala perintah-Nya dalam Negeri Kelantan. Beliau berpegang kepada peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud:

”Sesiapa yang menjadi  pemimpin masyarakat Islam, kemudian dia meninggal dunia dalam keadaan mengkhianati mereka itu, maka diharamkan syurga baginya.” (Hadis Imam al-Bukhari)

Beliau faham bahawa seorang pemimpin dikira melakukan ibadat sewaktu mentadbir negeri mengikut panduan Islam. MB menegaskan bahawa, beliau tidak boleh mengubah atau lari daripada dasar Islam, kerana dasar yang bercanggah dengan Islam akan membawa kerosakan

Kepimpinan Ulama di Kelantan sangat menekankan ciri-ciri dan kelayakan yang tinggi dari segi ketakwaan, ketinggian akhlak, kemampuan ilmu  dan kemahiran mengurus.

Tanpa kelayakan tersebut, pemimpin tidak mampu melaksanakan tugasnya untuk mendaulatkan Islam dan membangunkan negara.  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yakin bahawa pemimpin yang bersih jiwa dan hartanya sahaja akan  dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mampu menjaga kepentingan rakyat jelata. Sebaliknya para pemimpin yang kotor hati dan hartanya akan sentiasa tenggelam dalam gelombang keduniaan yang merasuk jiwa dan akhirnya rakyat menjadi mangsa dan korban kerakusan serta kezaliman mereka itu.

Para pemimpin kerajaan dijaga daripada perlakuan buruk seperti rasuah. Beliau yakin dengan janji Allah untuk mengangkat tinggi kedudukan orang berilmu dan yang beriman.

Ketiga : Mencetuskan  Pembaharuan Yang Hebat

Antara pembaharuan yang berjaya dilakukan ialah :

i. Menyelamatkan wang rakyat daripada unsur riba dengan memindahkan simpanan tetap Kerajaan Negeri daripada bank yang mengamalkan sistem konvensional (Bank Bumiputra Malaysia Berhad) ke Bank Islam Malaysia Berhad. Melaksanakan Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) mulai tahun 1992 dan mengarahkan semua pajak gadai yang beroperasi menggunakan kaedah riba ditukar kepada sistem Islam mulai tahun 1993. Sistem ini kemudiannya ditiru oleh Yayasan Pembangunan Islam Malaysia dan Bank Rakyat.

Menjadi satu kesalahan besar menurut al-Quran dan al-Sunnah apabila kerajaan membiarkan rakyat bergelomang dengan gejala riba dan maksiat.

ii. Menguatkuasakan etika berpakaian menutup aurat kepada kakitangan kerajaan sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Quran. Malah Kerajaan Negeri tidak lagi membenarkan papan iklan yang memperagakan wanita yang mendedahkan aurat.

iii. Mengharamkan terus perjudian pada 1 Januari 1992 berpandukan nas al-Quran dan hadith Nabi yang jelas mengharamkan judi. Firman Allah Taala, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah : ayat 90)

MB Kelantan menyatakan bahawa pengharaman judi ini adalah selaras dengan prinsip semua agama kerana terdapat unsur-unsur tipu muslihat

iv.    Menghidupkan amalan Solat Sebagai Instrumen Siasah dan pentadbiran

Sebenarnya kedudukan solat sebagai instrumen penting dalam kehidupan telah ditegaskan oleh al-Quran melalui ayat berikut, maksudnya:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah : ayat 45)

Allah SWT menjadikan solat sebagai mekanisme yang hebat untuk membantu manusia menyelesaikan berbagai persoalan hidup. Manusia perlu menggunakan solat untuk melicinkan hidup mereka.

Atas dasar itu, kerajaan Kelantan menjadikan solat hajat beramai-ramai sebagai cara menghadapi masalah yang besar, contohnya dalam krisis Pergau 1992. Melalui solat hajat beramai-ramai, pihak kerajaan pusat bersedia menyelesaikannya, malah jumlah pampasan yang diberikan adalah melebihi daripada jumlah yang dituntut. Apabila Umno mencadangkan perkataan Islam dibuang daripada parti politik, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah menganjurkan solat hajat peringkat negeri pada 8 Disember 1994. Semasa krisis dengan S46 juga solat hajat telah diadakan pada bulan Mei 1996 di padang SMU(A) Maahad Muhammadi.

v. Menghapuskan kegiatan pelacuran bagi menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran.

vi. Menggubal undang-undang Islam yang diberi nama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

vii. Menyediakan perkhidmatan pinjaman tanpa riba untuk kakitangan kerajaan negeri kerana riba adalah haram, walaupun kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM123,000 setahun.

Kelebihan Pentadbiran Al-Quran dan Al-Sunnah Kepada Masyarakat

Antara kelebihannya ialah:

Pertama: Mengawal kerajaan daripada dipengaruhi perkara negatif.

Penghayatan al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran dapat  mengawal daripada berlakunya gejala penyelewengan, rasuah, pecah amanah dan khianat. Oleh itu, didapati dalam tempoh 20 tahun kerajaan Kelantan telah mencatatkan rekod bersih tanpa kes rasuah yang didakwa di mahkamah yang melibatkan para pemimpin Kerajaan.

Kedua: Meningkatkan sokongan  masyarakat

Berpandukan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, kerajaan berjaya memperkenalkan  banyak produk pentadbiran Islam yang dapat memenuhi cita rasa masyarakat, terutamanya produk keislaman dan kebajikan. Masyarakat sentiasa menanti-nanti program keislaman tanpa jemu-jemu, Mereka senang hati kepada kerajaan dan percaya kepada keberkatan dalam amalan politik Islam seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT, bermaksud:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-Araf : 96)

Ketiga: Mengubah Persepsi buruk terhadap Islam dalam pentadbiran

Apabila Tuan Guru Nik Aziz memegang jawatan Menteri Besar, beliau dengan tegas menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran. Yang terjadi selepas itu ialah tidak ada huru hara yang berlaku, tiada kegagalan ekonomi, tiada penyelewengan, tiada perbalahan kaum dan agama, sebaliknya wujudnya keharmonian, perkembangan ekonomi dengan penglibatan golongan pelabur yang sanggup menjalankan aktiviti perniagaan besar. Tambahan pula banyaknya peningkatan aktiviti dakwah dan kebajikan masyarakat dari semasa ke semasa. Hal ini telah membuka pandangan positif masyarakat terhadap kemampuan Islam dalam pentadbiran yang bergantung sepenuhnya kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad.

Keempat: Membentuk Pemikiran positif terhadap ulama sebagai peneraju Kerajaan

Umno dari awal lagi telah memperlekeh kepimpinan ulama kerana dianggap tidak tahu mengurus pentadbiran. Mereka berkata kerajaan Nik Aziz akan jatuh dalam masa tiga bulan atau tidak sampai setahun. Namun begitu segala tuduhan itu tidak benar, sebaliknya kepimpinan Nik Aziz telah bertahan sekian lama dengan rekod pembaharuan dan bersih. Akhirnya membuka mata masyarakat bahawa ulama sebenarnya golongan yang berwibawa dalam pentadbiran kerajaan

Penutup Al-Quran dan al-Sunnah telah berjaya membawa berbagai kebaikan kepada masyarakat apabila kedua-dua sumber itu dijadikan rujukan utama dalam kerajaan. Namun, harus diingat bahawa penghayatan al-Quran dan al-Sunnah itu hendaklah diterajui oleh golongan ulama yang bertakwa dan tidak menjadi hamba abdi kepada dunia. Inilah intipati sistem pemerintahan yang bernaung di bawah bayangan al-Quran dan al-Sunnah seperti  yang dibawa oleh Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Beliau telah berjaya merubah landskap politik tanah air. Melalui penghayatan al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran menjadikan aktiviti kerajaan terpimpin dan selamat daripada penyelewengan, mendapat sokongan padu masyarakat, mengubah persepsi buruk terhadap Islam sama ada daripada orang Islam sendiri atau bukan Islam, mencetus sikap baru terhadap kebaikan Islam dalam pemerintahan, memperkasakan amalan Islam dalam perbankan dan skim gadaian Islam, menyuburkan minat golongan bukan Islam untuk mengenali Ajaran Islam.

Shukeri bin Mohamad berasal dari Kg Kuala Nipah, Bachok, Kelantan. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah.

Hilmi dipaksa jadi saksi lawan Yazid Sufaat

Salmiyah Harun, 18 Feb 2013

(Fadiah Nadwa ketika bercakap dengan media hari ini - Foto TMI)

KUALA LUMPUR: Ibu Mohammad Hilmi Hasim hari ini memfailkan permohonan habeas corpus untuk mencabar penahanan anaknya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 8 Febuari lepas.

Ibunya Rahamah Abdul Majid melalui tetuan Zatul, Hida & Partners memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut peguam Fadiah Nadwa Fikri permohonan itu dibuat kerana Sosma itu sendiri bercanggah dengan perlembagaan kerana ia membenarkan bukti yang tidak mengikuti peruntukan dalam Akta Keterangan.

Katanya, Sosma adalah bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan perlindungan sama rata untuk setiap individu.

"Jelas mereka mahu menjadikan beliau sebagai saksi bagi melawan Yazid dan Halimah," tegas Fadiah.

Tambahnya, polis meminta Rahamah memujuk Hilmi supaya menjadi saksi bagi melawan Yazid Sufaat.

Malah katanya, sekiranya Hilmi enggan menjadi saksi beliau akan dikenakan empat pertuduhan yang akan membolehkan beliau dipenjara 97 tahun.

"Empat pertuduhan itu sengaja diadakan supaya Hilmi menjadi saksi, bagaimanapun Hilmi tidak akan mengaku salah dan tidak akan menjadi saksi dan minta dibicarakan di mahkamah," katanya.

Helmi yang kini masuk hari ke-11 ditahan dibawah Sosma dihalang dari mendapat khidmat guaman, beliau masih dalam tangkapan sehingga tempoh 28 hari.

Selain Hilmi, Yazid Sufaat, 49, dan Halimah Hussein, 52, antara tiga yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan dan ditahan di bawah akta baru itu pada 8 Februari lalu.

Yazid, bekas tahanan ISA, didakwa di Mahkamah Majistret Ampang bulan ini kerana disyaki mengakibatkan keganasan terhadap orang awam di Syria, dan Halimah didakwa bersubahat dengan Yazid.

Yazid dan Halimah dikatakan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan antara Ogos dan Oktober tahun lalu.

Tiada ulasan: