Khamis, 7 Februari 2013

MEREKA KAYA RAYA RAKYAT MISKIN

Antara import Psy-Korea dengan kebajikan rakyat

Harakahdaily, 06 Feb 2013
KUALA LUMPUR: BN melakukan cubaan terkini untuk meraih undi daripada masyarakat kaum Tionghua dengan membawa artis popular Psy dari Korea ke Majlis Rumah Terbuka BN Pulau Pinang pada 11 Februari ini.


“Begitu terdesak BN mahu mengembalikan populariti mereka yang jatuh menjunam dengan melakukan apa sahaja hatta terpaksa mengimport artis lain sebagai umpan tarikan mereka,” Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya, kos membawa artis Psy - yang popular dengan lagu Gangnam Style dikatakan bernilai USD300,000 hingga USD400,000 (RM932,100 hingga RM1,242,800) untuk persembahan ringkas dengan lagu yang dirakam dan juga beberapa orang artis iringan.

Baginya, sekalipun BN menafikan program itu anjuran mereka dengan mendalihkan syarikat swasta gergasi Mega Ultimate yang membayarnya, rakyat tetap melihat ia merupakan suatu pembaziran.

Tambahnya lagi, apalah malang sebuah syarikat digunakan sebagai proksi untuk membelanjakan duit sejumlah itu hanya untuk menghiburkan rakyat.

“Daripada membawa seorang artis popular ke Malaysia dengan persembahan hanya 1 malam, sebaiknya wang tersebut disalurkan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, masih ramai rakyat di negara ini yang hidup di bawah paras kemiskinan, justeru lebih baik pula syarikat tersebut melabur kepada perniagaan lain yang mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Membelanjakan RM1 juta bukan suatu nilai yang kecil untuk satu malam dan hanya untuk seorang artis popular,” katanya lagi.

RM1 juta untuk Psy, RM120 juta untuk Syabas

Roketkini.com, 06 Feb 2013
KALAU dibelek-belek berita semasa, angka RM yang muncul kebelakangan ini menjadi kontroversi kerana semuanya juta-juta belaka. RM yang dimaksudkan ialah Ringgit Malaysia, bukan singkatan nama insan yang mengaku ‘wanita pertama’.


Kembali kepada angka juta-juta dalam berita semasa. Minggu ini saja ada dua. Yang pertama, pada 2 Febuari lalu Perdana Menteri, Najib Razak daripada Barisan Nasional (BN) mengumumkan peruntukan RM120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang katanya sebagai bantuan mengatasi masalah air di Selangor.

Maknanya RM120 juta lagi dikorek dari kocek rakyat dan ditaburkan kepada Syabas, syarikat swasta yang masyhur dengan gaji CEOnya yang amat besar itu dengan belanja hebat untuk ubah suai pejabat serta membeli kereta mewah.

Menurut laporan Sinar Harian, suntikan RM120 juta itu kerana Najib Razak “mahu masalah air yang berlarutan itu ditamatkan segera”.

Anehnya, jika suntikan lebih duit kepada Syabas boleh mengatasi masalah air Selangor, ini bermakna masalah air Selangor berpunca daripada Syabas yang kekurangan duitkah? Kalau dengan suntikan lebih banyak duit boleh menamatkan masalah air seperti yang berlaku baru-baru ini, apa yang propagandis dan pemimpin Umno BN hebohkan mengenai Loji Langat 2?

Satu lagi cerita juta-juta RM minggu ini ialah BN di Pulau Pinang bakal membelanjakan lebih daripada RM1 juta untuk menjemput Psy ber’gangnam’ tarik undi. Lebih lucu kelihatan tindakan ini serampang dua mata membalas dendam kepada parodi Ubah Rocket Style DAP. Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Wong Mun Hoe berkata:
If we want Gangnam Style, we bring the original, unlike some who only copy.” (Jika kita mahu Gangnam Style, kita bawa yang asli, bukan seperti yang hanya ditiru)

Tak tahu beza parodi dan meniru, ada hati nak jadi cool dengan Gangnam Style.

Ceramah Anak di Felda Teloi Timur disekat lagi

Gaya Peneroka, 06 Feb 2013
Ceramah Anak disekat lagi!
Kali ini disekat di pintu masuk Felda Teloi Timur. OCPD Sik, DSP Ismail Ibrahim dan lebih 30 orang anggota polis gagal menyuraikan samseng jalanan yang membuat benteng menghalang saya dan hampir 500 orang dari kawasan berhampiran untuk masuk ke tapak ceramah.

Adalah sangat memalukan, samseng ini bermaharajalela dan hanya diperhatikan pihak polis. Sedihnya, OCPD dan anggotanya hanya bertindak mengawal lalu lintas bukan menghalau samseng jalanan!

Sekali lagi hak bersuara dinafikan. Saya kesian tengok peneroka Felda Teloi Timur. Tanam semula dah 3 tahun tak siap, hutang sara hidup bertimbun, kami datang nak membantu, disekat pula.

Pengkhianat yang merompak harta peneroka seperti Isa Samad disanjung, manakala Anak dan Pakatan Rakyat yg membela dan mempertahankan hak peneroka dihalang dari menyampaikan maklumat.

Saya dan Sanusi, Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah sempat berucap atas Hilux sebelum membuat laporan polis di IPD Sik.

Alhamdulillah, walaupun ahli PAS dari Sik dan Baling yang datang lebih ramai dari samseng jalanan tajaan Umno; kami tetap sabar.
Kita tinggal beberapa bulan sahaja lagi menawan Putrajaya. Kalau hampir 5 tahun boleh bersabar dengan berbagai ujian dan provokasi Umno, takkan tinggal 2 hingga 3 bulan tidak boleh menahan sabar. Berundur bukan bererti kalah, tapi berpandangan jauh dengan agenda lebih besar setelah menguasai Putrajaya!
Simpati dari warga Felda akan diperolehi. Gelagat samseng jalanan dirakam. Sebagaimana di Felda Sungai Tengi, laman sosial dan media baru menunjukkan aksi-aksi hodoh para samseng ini.

Manusia yang waras tak akan menyokong samseng jalanan ini.

Sesungguhnya, kita bukan jadi kuda tunggangan DAP; tapi samseng jalanan ini sedia diperalat oleh Ahmad Maslan, Isa Samad dan Faizoull Ahmad!

Pemimpin Umno seronok beri arahan, dok dalam bilik aircond; peneroka dan generasi 2/3 jadi korban.

Kesian sungguh.... (http://gayapeneroka.blogspot.com)

Deepak bertemu Mahfuz hari ini

Harakahdaily, 06 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Perniagaan Deepak Jaikishan akan bertemu dengan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bagi membincangkan permohonan imuniti beliau kepada Pakatan Rakyat.

Pertemuan secara terbuka di depan wartawan ini akan diadakan jam 11 pagi ini di Pejabat Agung PAS.

Jika pertemuan ini berjalan lancar dan persetujuan dicapai, Deepak akan bergerak sepenuhnya untuk mendedahkan segala maklumat yang beliau tahu mengenai pelbagai penyelewengan.

Deepak adalah bekas rakan perniagaan isteri Perdana Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebuah buku bertajuk The Black Rose beredar di dunia internet yang dikatakan ditulis oleh beliau namun ketika dihubungi beliau enggan mengesahkan itu buku tulisannya.

Sebelum ini beliau berjanji akan membuat sebuah buku mengenai Rosmah. Ini ekoran pendedahan demi pendedahan yang dibuat beliau.

Sebulan lalu, Deepak memohon Pakatan Rakyat memberikan perlindungan saksi (imuniti) ke atasnya untuk membolehkan beliau membuat pendedahan seterusnya.

Ini kerana, beliau bimbang jika kerajaan baru Pakatan Rakyat nanti turut mengejar beliau sebagaimana beliau dikejar oleh pihak berkuasa sekarang akibat pendedahan yang beliau buat.

Ekoran itu, Mahfuz dalam kenyataannya berkata beliau sedia berbincang dengan Deepak bagi pihak Pakatan Rakyat.

"Jika sesuai saya akan bawa permohonan ini ke mesyuarat Pakatan," kata Mahfuz yang bakal membawa peguam untuk menilai permohonan Deepak hari ini.

Mahfuz sebelum ini bersetuju, akta perlindungan saksi boleh dipetimbangkan jika ia bersesuaian.

Rakyat Terengganu dalam kemelut kemiskinan

-, 05 Feb 2013


Tulisan saya mengenai penderitaan akibat kemiskinan Siti Azma Mohd Zain, seorang ibu tunggal yang terpaksa tinggal di sebuah ‘rumah kotak’ bersama dua anaknya di Kampung Limbung, Paka, mendapat banyak reaksi dari pelbagai pihak khususnya dari kalangan warga Terengganu sendiri.

Rumah usang beliau yang tiada sebarang kemudahan asas air dan elektrik, juga sering digenangi air setiap kali berlaku hujan akibat atap rumah yang bocor.

Namun inilah realiti penderitaan kesempitan kehidupan rata-rata golongan miskin yang ada di seluruh negeri Terengganu.
Golongan miskin ini kebanyakannya terpaksa memeras tulang empat kerat mereka untuk mencari rezeki halal buat mengisi perut anak-anak dan keluarga yang terlalu daif.

Mereka juga terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos hidup dan barangan keperluan harian seperti minyak, gas, gula serta tepung yang terlalu membebankan golongan bawahan ini.

Ya, cubalah anda bayangkan, sebagai contohnya, kesempitan hidup insan petani yang tidak punya kerja tetap dan menyara hidup keluarga dengan hanya melakukan kerja-kerja kampong serta bercucok tanam.

Kadang-kadang pula, terpaksa meredah lautan untuk pergi menangkap ikan tetapi bila tiba musim tengkujuh, punca rezeki mereka ini kembali ke daratan.

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Nasib insan seperti ini turut dikongsi bersama oleh hampir 20,000 keluarga lain yang dikategorikan sebagai miskin di seluruh Terengganu.

Ya, amat sukar untuk digambarkan, negeri yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara dan mendapat hasil kira-kira RM2 bilion setiap tahun, masih wujud terlalu ramai individu dan keluarga terlalu miskin untuk menyara kehidupan harian mereka.

Cubalah tinjau kehidupan golongan ini dari Kemaman sampai ke Besut, begaimana peritnya mereka mengharungi kehidupan harian bagi menyara anak-anak dan keluarga.  Realitinya masih terlalu ramai lagi rakyat jelata yang tersepit dengan kemelut kemiskinan seperti yang dilalui oleh Siti Azma dan keluarganya.

Namun kemiskinan serta penderitaan rakyat Terengganu masih jauh dari dapat di atasi. Apapun, taraf kemiskinan rakyat adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia walaupun ada yang mendakwa bahawa kadar kemiskinan negeri Terengganu dikatakan telah menurun dengan drastik dari tahun 2004 yang berkadar 15.4%, kepada kadar 2.6% pada akhir tahun 2011.
Persoalannya, apakah kadar kemiskinan ini tepat bagi negeri Terengganu? Dan apakah ianya releven dengan kos kenaikan sara hidup yang terpaksa dibebani oleh setiap penduduk Terengganu?

Mengikut statistik yang ada, Keluarga-keluarga miskin yang dikategorikan sebagai golongan miskin oleh kerajaan Terengganu iaitu mereka yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan iaitu RM529.50 ke bawah sebulan.

Kadar ini adalah berbeza dengan ’kadar kemiskinan’ (poverty level) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdan Menteri (JPM) yang meletakkan bahawa ’kemiskinan’ adalah RM731 setiap isi rumah seramai 5 orang manakala Index ’kemiskinan tegar’ adalah RM419 setiap isi rumah seramai 5 orang.

Bagi saya Index yang di gunapakai oleh negeri Terengganu ini tidak sesuai langsung bagi negeri Terengganu. Malahan  ia tidak mencerminkan kedudukan sebenar penduduk miskin yang masih terlalu tinggi di seluruh negeri Terengganu.

Sebagai contohnya,  kerajaan negeri Selangor telah megambil langkah menaikkan index kemiskinan kepada RM1500 setiap isi rumah menjadikan kadar kemiskinan negeri tersebut naik dari 1.1% kepada 22% dengan mengambilkira kemiskinan Bandar yang meruncing akibat kenaikan kos sara hidup.

Malahan sekiranya di teliti bagi setiap tahun sahaja, kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sejumlah RM 50 juta ’Dana Khas Bantuan Hari raya’ kepada sejumlah 150,000 warga miskin seluruh negeri Terengganu.

Sekiranya  dinisbah jumlah penerima bantuan hari raya seramai lebih 150,000 orang yang terdiri dari golongan termiskin dengan jumlah penduduk Terengganu maka kadar kemiskinan di negeri ini akan mencecah lebih 15% dari kalangan rakyat Terengganu.

Begitu jugalah dengan persoalan bantuan ’wang ehsan’ dan ’subsidi’ yang terus-menerus disalurkan kepada rakyat Terengganu yang miskin ini.

Apakah dengan hanya bantuan RM100 atau RM 200 kepada setiap isi rumah, sudah cukup bagi kerajaan pimpinan Menteri Besar, Ahmad Said menggangap ianya sebagai pembelaan kepada rakyat? Dan, apakah cara begini boleh dianggap sebagai menepati sasaran bagi membantu ribuan warga miskin yang ada di seluruh negeri Terengganu?

Ya, inilah nasib si miskin yang ada di negeri ’Darul Iman’ ini. Siapakah yang akan menjadi pembela kepada mereka-mereka ini? Apakah mereka akan terus-menerus diikat untuk bergantung kepada belas kasihan ’wang ehsan’ yang ditaburkan kepada mereka sedangkan mereka tidak mampu untuk keluar dari kemelut kemiskinan ini?

Si miskin akan terus merempat di himpit kemiskinan, manakala si kaya yang sedang memunggah hasil kekayaan yang ada di negeri ’penyu bertelur’ ini akan  terus kenyang dan hidup dikelilingi serba kemewahan...


Penulis adalah Penolong setiausaha Agong PAS dan juga Adun Batu Burok, Terengganu.
Email: syedazmans@yahoo.co.uk Twitter: syedazman

Air Selangor- Najib bakal dihukum jika terus khianati rakyat

Dr Dzulkefly Ahmad, 06 Feb 2013
1. Tindakan PM Najib ‘menghadiahkan’ Syabas pinjaman RM120 juta tidak dapat ditanggapi umum kecuali sebagai satu usaha menyelamatkan syarikat tersebut. Syabas, pemegang konsesi edaran air dan Puncak Niaga, pemegang konsesi rawatan air di Selangor, adalah sebagai milik majoriti Tan Sri Rozali Ismail. Tuduhan ‘bailout’ atau ‘tindakan menyelamat’ sebuah syarikat kroni adalah wajar dan tidak kerlaluan bahkan amat menasabah, mentelahan Tan Sri Rozali adalah juga mantan bendahari Umno Selangor.

2. 'Keberanian' Najib memberi pinjaman kepada Syabas adalah sangat mengejutkan ramai. Najib mungkin berpandangan bahawa rakyat tak faham selok-belok dan sebab-musabab isu krisis air Selangor. Kejahilannya tentang tahap pengetahuan dan pencerahan minda rakyat masa kini menggalakkan Najib cuba membohongi rakyat sekali lagi bahawa pinjaman untuk Syabas adalah kerana kegagalan tadbir-urus kerajaan negeri. Sangat dangkal bahkan bangsat sekali alasan Najib ini.

3. Untuk ingatan Najib, rakyat tahu bahawa kerajaannya memberi pinjaman mudah (softloan) kepada Syabas pada Disember 2009, sebanyak RM320 juta berbentuk pinjaman tanpa faedah (interest-free), tanpa cagaran (non-collatarised) dan boleh dibayar 20 tahun kemudian (back-loaded). Pernahkah mana-mana pihak mendapat pemberian hadiah seperti itu termasuk peminjam golongan dhaif seperti dalam program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

4. Mungkin Najib juga lupa bahawa rakyat sekali lagi tahu bahawa kerajaan telah memberi satu lagi pinjaman bayaran balik 20 tahun sebanyak RM110 juta pada Oktober 2011. Senang-senang sahaja.

5. Seoalah-olah rakyat buta dan tuli, Najib pada bulan berikutnya yakni November 2011, telah membayar pinjaman bon Syabas yang telah matang (facing payment) sebanyak RM2.9 bilion. Nah itu sahaja telah menelan sebanyak ‘bailout’ RM3.41 bilion, dengan tidak mengambil pelbagai pemberian geran dan pinjaman terdahulunya sejak penswastaan.

6. Mengapakah Najib-Umno terus-terusan melakukan tadbir-urus yang jelek dan buruk seumpama ini? Mengapakah Najib sanggup ‘berkorban’ habis-habisan seperti ini untuk Tan Sri Rozali? Najib wajar insaf bahawa soalan ini bukan lagi menjadi tanda-tanya rakyat untuk beliau. Najib tidak perlu lagi berselindung dengan jawapan yang terus mengaibkan dan menghilangkan saki-baki kepercayaan yang masih ada untuknya.

7. Najib tidak perlu diingat bahawa Laporan Ketua Audit Negara telah secara tajam dan kritis mengingatkan tadbir-urus korporat Syabas yang sangat dipertikaikan termasuk membuat iklan,  pembelian aset-aset yang tidak punya hubungkait dengan urusan mengurangkan air-tak berfaedah atau Non-Revenue Water (NRW).

8. Segala dakwaan tentang kelemahan kerajaan negeri dan halangan yang kononnya dicetuskan oleh kerajaan negeri adalah meleset kalau persoalan NRW yang merupakan tugas besar Syabas untuk turun (capai sasaran KPI yakni 20 peratus (2011) berbanding tahap kini kekal pada 32 peratus) tidak dicapai dan tertunai. Syabas, mengikut perjanjian mesti berbelanja kapital (Capex) untuk tambah baik paip dan sebaginya bagi tujuan tersebut bagi menurukan NRW.

9. Amaran pihak kerajaan negeri untuk mengambil alih Syabas dalam 14 hari bukan sahaja terdapat dalam peruntukan perjanjian konsesi penswastaan, bahkan ditanggapi beberapa pihak sebagai sangat wajar dan menasabah. Kegagalan Syabas dalam membekalkan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah dan Putrajaya sudah tidak dapat lagi dijamin khasnya di ambang pilihan raya. Kekhuatiran berdepan dengan krisis akibat sabotaj seperti yang berlaku baru-baru ini akibat faktor penyelenggaran pam adalah sangat  serius.

10. Pelbagai pihak termasuk beberapa operator konsesi loji rawatan air bahawa pengambilan  Syabas oleh kerajaan negeri adalah baik bagi mereka. Sebabnya mudah. Syabas adalah ‘bad paymaster’ dan puratanya hanya membayar 40 peratus – 45 peratus menyebabkan mereka tidak berminat untuk mengeluarkan lebih daripada kapasiti biasa. Penulis mendapat faham bahawa kapasiti loji rawatan air ini, seandainya diperlukan, masih punya ‘reserve capacity’ untuk dipertingkatkan bekalan air terawat, sekaligus mampu menghindarkan krisis kekurangan air.

11. Dalam suasana bayaran Syabas pada tahap ini, mereka tidak berminat untuk mempertingkatkan kapasiti kerana akan mencetuskan masalah ‘aliran-tunai’ atau ‘Cashflow’ yang lebih parah. Pengambilan oleh kerajaan negeri akan merubah imej status ’bad-paymaster’ kepada ‘good-paymaster’.

12. Pengambilalihan Syabas oleh kerajaan negeri juga akan dapat menangani dakwaan amalan kronisme dan nepotisme yang lazim diamalkan oleh pihak Syabas terhadap kontraktornya yang membekalkan paip, bahan kimia, barang-barang elektrik, pam dan sebagainya. Ramai yang ingin bertanya apakah kaitan Tan Sri Rozali dalam syarikat seperti Mewah Kota SB, Damini SB, Semarak Niaga SB dan beberapa syarikat lain.

13. Di samping pemberian kerja penyelenggaraan dan perolehan kepada vendor akan menjadi lebih adil dan saksama, tindakan kerajaan negeri utuk mengambil alih Syabas akan menyuntik tahap kayakinan rakyat kepada Syabas.

14. Sudah sampai waktunya, Najib dan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, mengakui bahawa pengurusan air di Selangor tidak lagi mampu diberikan kepada kroninya Tan Sri Rozali Ismail. Tegasnya, Penswastaan Air oleh Tun Mahathir telah gagal dalam gelombang pertama. Dengan penstrukturan semula air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) dan pembelian aset-aset air oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), maka perlu diberi amaran kepada Najib supaya jangan ulangi pengkhianatan kepada rakyat dan pengguna dalam gelombang kedua ini.

15. Najib mesti memberi laluan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Syabas. Lebih baik lagi, Najib juga mesti bertindak rasional untuk merawat hati rakyat dengan memberikan pengurusan air kepada kerajaan negeri dan tidak kepada Tan Sri Rozali Ismail. Kalau tidak rakyat akan menghukumnya dengan lebih berat dan dahsyat lagi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Ingat!

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif  PusatPenyelidikan PAS.

Koperasi KRKB bayar dividen 5%

Rizal Tahir, 06 Feb 2013
KOTA BHARU: Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) mengumumkan pembayaran dividen pertama sejumlah RM38,907.30 kepada 745 orang anggota yang layak bagi tahun 2012.

Pembayaran dividen yang pertama itu melibatkan sebanyak lima peratus kepada kepada 745 anggota daripada 2,223 yang layak menerima agihan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi KRKB, Mohd Sabri Abdullah (gambar) pada sidang media dan  Majlis Pengisytiharan Dividen 5% KRKB di sebuah hotel, di sini tengahari tadi.

“Sehingga Januari 2013 jumlah saham terkumpul sebanyak RM1.54 juta dengan pelaburan minimum RM500 dan maksimum RM100, 000,”ujarnya.

Menurutnya lagi, kejayaan pengagihan dividen ini hasil dari keuntungan aktiviti Ar-Rahn yang diusahakan kepada Permodalan Kelantan Berhad (PKB) berjumlah RM75,250.30, dengan jumlah pelaburan RM1.4 juta.

Beliau  yang juga Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), berkata kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sudah diterima dan bayaran dividen tersebut akan dibuat Mac depan.

Menurutnya lagi, mana- mana anggota yang ingin menambah jumlah saham melalui pembayaran dividen, boleh berbuat demikian dengan memaklumkan kepada KRKB.

Beliau berkata, sebagai sebuah koperasi baru yang memulakan operasi pada November 2011, kejayaan memberi dividen kepada anggota memperlihatkan KRKB mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih maju pada masa hadapan.

Mohd Sabri berkata, KRKB yang mendapat kelulusan melabur dalam projek usahasama dan francais Ar-Rahn dari SKM pada Mei 2011 lalu, diyakini mampu memberi agihan lebih tinggi pada masa akan datang jika mencapai jumlah pelaburan lebih besar.

Kepimpinan adil dan berintegriti dalam politik negara berkebajikan 

Mohd Azmir bin Maideen,
05 Feb 2013
Artikel ini merupakan pemenang tempat kedua pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58. Gambar: Mohd Azmir menerima replika cek daripada Presiden PAS, Datuk Seri Badul Hadi Awang Kepimpinan adil dan berintegriti dalam politik negara berkebajikan “Sesungguhnya Allāh menyuruh kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allāh menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allāh memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allāh sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat” (Surah an-Nisa’: ayat 58) Lantunan ayat ini diturunkan ketika berlakunya peristiwa Fathu al-Makkah. Ketika itu penjaga kunci Kaabah adalah ‘Utsmān bin Talha dari Bani Abd al-Dār, yang mengunci pintu dan memanjat bumbung Kaabah serta enggan menyerahkan kunci kepada Rasulullāh sambil berkata maksudnya; “Kalau aku tahu dia ini utusan Allāh, aku tidak akan melarangnya (masuk ke dalam Kaabah)!” Kemudian kunci di tangan ‘Utsmān bin Talha itu direbut oleh ‘Alī bin Abī Tālīb, dan pintu Ka’abah berjaya dibuka. Di dalam riwayat Ibnu Abbas, ketika Rasulullāh memasuki Kaabah, Rasulullāh memerintahkan para sahabat agar mengeluarkan patung-patung di dalamnya termasuklah patung ukiran yang menggambarkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sedang memegang azlām (menilik nasib dengan batang panah). Rasulullāh bersabda maksudnya: “Terkutuklah mereka (yang membuat patung itu), demi Allāh mereka berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) tidak melakukan ini (menilik nasib), sekali-kali tidak!” Setelah itu Rasulullāh memasuki Kaabah, ‘Alī bin Abī Tālīb bertemu dengan baginda dan menyatakan cadangannya supaya urusan mengendalikan kunci Kaabah (sidanah) diberikan kepada keluarga baginda kerana sebelum ini keluarga baginda hanya menguruskan urusan penyediaan air (siqayah), sementara keturunan Bani Abd al-Dār menjaga kunci Kaabah. Lalu turunlah ayat 58 dari surah an-Nisa’, demikian itu Rasulullāh terus meminta ‘Alī bin Abī Tālīb mengembalikan kunci tersebut dan meminta maaf kepada ‘Utsmān bin Talha lantaran tindakan yang menyebabkan wajahnya kelihatan sebal maksudnya; Maksudnya: “Engkau telah menyakitiku, engkau telah membenciku, sekarang engkau berlemah-lembut terhadapku!!” ‘Alī bin Abī Tālīb pun menjelaskan kepada ‘Utsmān bin Talha bahawa ayat 58 surah an-Nisa’ itu diturunkan mengenainya. Berikutan hal itu ‘Utsmān bin Talha memeluk Islam. Sabda Rasulullāh maksudnya: “Ambillah selama-lamanya wahai Bani Talha, tiada siapa yang boleh merampasnya daripada kamu melainkan orang yang zalim.” Manakala di dalam Sirah Ibnu Hisham: “Ini dia kunci milikmu wahai ‘Utsmān bin Talha, hari ini (Fathu al-Makkah) adalah hari kebajikan dan penunaian hak (tidak kira Muslim atau non-Muslim).” Peristiwa ini memberi kesan iman yang sangat mendalam kepada ‘Utsmān bin Talha, kerana walaupun beliau pernah melakukan kekerasan terhadap Rasulullāh, Rasulullāh tetap memberikan haknya secara adil iaitu dengan menyerahkan kunci Kaabah yang telah menjadi warisan keturunannya sejak zaman-berzaman. Peristiwa ini juga mempamerkan kepimpinan berintegriti yang dimiliki oleh Rasulullāh, di mana Rasulullāh menolak sebarang unsur pemerasan hak terhadap ‘Utsmān bin Talha. Lantaran itu, tindakan Rasulullāh telah membenarkan penyaksian ayat 58 surah an-Nisa’ dengan cara memberikan amanah kepada ahlinya. Ayat ini juga sekali gus menunjukkan adanya tegahan Allāh terhadap anasir nepotisme atau kronisme dalam pemerintahan baginda. Pengajaran ayat ini tetap berlaku secara umum dan bukan hanya tertakluk kepada sebab penurunannya. Kaedah ‘Ulûm al-Qurān menuturkan maksudnya: “Pengajaran diperhatikan dari lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.” Namun, apabila ayat seterusnya berbunyi, “menetapkan hukum dengan adil”, maka perbahasan ini harus diawali dengan amanah yang paling besar iaitu amanah kepimpinan, kerana merekalah yang berhak bertindak memutuskan hukuman dalam kalangan umat manusia. Terlaksananya amanah kepimpinan, maka secara tidak langsung amanah-amanah lain, baik yang berhubung dengan urusan Allāh mahupun amanah yang berhubungan urusan sesama manusia dapat digalas secara efektif. Amanah kepimpinan inilah bentuk amal soleh yang terbesar harus dilakukan oleh setiap manusia, sesuai dengan tanggungjawab yang dipikulnya. Sabda Rasulullāh maksudnya: “Orang beriman yang menggauli manusia, dan bersabar dengan kerenah mereka, lebih besar ganjaran (pahalanya) daripada orang yang tidak menggauli manusia dan tidak sabar dengan ragam mereka” Amanah Asas Pertama Mewujudkan ‘Good Governance’ Islam menaruh perhatian yang besar dalam masalah kepimpinan kerana sangat berkait rapat dengan persoalan amanah. Oleh sebab itu, apabila Allāh berfirman supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya, maka dua perkara yang menjadi pangkal persoalan di sini ialah siapakah yang bakal diberikan amanah tersebut? Sumber apa yang menjadi rujukannya? Kerana ukuran kebaikan sesebuah negara itu ditentukan oleh nilai kepimpinan dan tawaran kepimpinan yang dipilihnya. Justeru, kita sama sekali tidak boleh lupa merujuk tokoh yang paling amanah dalam sejarah kemanusiaan iaitu para nabi dan rasul. Mereka bukan sahaja menjalankan perintah Allāh secara amanah, tetapi juga menyerahkan urusan amanah secara saksama. Tidak hairanlah apabila Allāh Taala banyak memaparkan kisah-kisah mereka di dalam al-Quran sebagai model umat sepanjang zaman. Sifat mulia pada diri Rasulullāh sebagai pemimpin umat manusia amat terserlah dalam banyak perkara. Antaranya periwayatan yang dinaqalkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabāri, ketika Abu Jahal dan Walid bin al-Mughirah berbincang mengenai keperibadian Rasulullāh. Maka Abu Jahal berkata, “Kami sejak usia remajanya lagi sudah memanggilnya (Muhammad) sebagai al-Sadiq al-Amin .” Sifat “al-Sadiq al-Amin” yang bersinar pada diri Rasulullāh turut menjadi persaksian pemimpin empayar terbesar ketika itu. Dalam dialog Flavius Heraclius Augustus (Heraclius), Raja Rom Byzantine dengan Abu Sūfyan, Heraclius pernah bertanya kepadanya, “Apa yang diperintahnya (Rasulullāh) kepada kaum kamu?” Abu Sūfyan menjawab, “Dia memerintahkan solat, jujur (berintegriti), menahan diri dari perkara haram, melaksanakan janji, menunaikan amanah.” Mendengar jawaban Abu Sūfyan itu, Heraclius pun berkata, “Itu adalah sifat seorang nabi.” Jelas sekali amanah itu adalah sifat istimewa bagi para pemangku risalah sehinggakan ia turut menjadi ‘qudwah’ para khalifah selepasnya seperti Abu Bakar as-Siddīq, Umar al-Khattab dan lain-lain lagi. Mereka inilah yang menggalang-ganti tugas Rasulullāh di dalam memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya. Corak dan bentuk pemerintah berakhlak mulia dan bercirikan wahyu samawi ini turut menjadi kecenderungan St. Thomas Aquinas (354M-430M), penulis kitab “Madinat Allāh” – City of the God – yang menurutnya, “pentadbiran yang berwibawa itu mestilah didasari pemerintah atau penerima jawatan yang baik moralnya (amanah).” Amanah juga disebut integriti yang turut mengandungi maksud kejujuran dan ketulusan dalam menunaikan tanggungjawab. Maka, apabila disebut integriti dalam politik sebenar hari ini, ia diukur dari janji-janji manifesto yang perlu ditunaikan oleh wakil-wakil rakyat yang diangkat menjadi pimpinan. Sekiranya apa yang dijanjikan itu tidak dilunaskan, atau hanya omong kosong, maka ketika itulah nilai integritinya mulai terhakis. Jika persoalan integriti ini dipandang ringan, maka kepincangan urus tadbir akan berleluasa seperti budaya manipulasi, eksploitasi, rasuah, defisit, penipuan resit yang akhirnya mengakibatkan pengagihan dana infrastruktur negara menjadi tidak seimbang. Hal ini terbukti apabila laporan Ketua Audit Negara Malaysia saban tahun merekodkan implikasi ketirisan nilai integriti golongan eksekutif dalam menguruskan dana kerajaan. Sedangkan di dalam Islam, umatnya diajar bahawa urusan amanah tidak berakhir di dunia sahaja. Setinggi manapun kebijaksanaannya, sekebal manapun kedudukannya, sehebat manapun muslihatnya, dia tetap akan diadili di Hari Akhirat kelak. Firman Allāh Taala, maksudnya: “Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allāh lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allāh memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak.” (surah Ibrahim : ayat 42) Kepada Siapa Amanah Perlu Diserahkan? Oleh sebab amanah itu merupakan solusi meraih keadilan sejagat, Abu Nasr Mohamad al-Fārabī di dalam perbahasannya “Ara’ Ahl al-Madīnah al-Fadīlah” secara umum memperincikan calon yang memegang amanah itu mestilah: 1. Sempurna fizikal dan mampu menjalankan tugas dengan mudah. 2. Baik kefahamannya serta dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan, dan tahu apa yang harus dibuat. 3. Tajam ingatan tentang sesuatu yang telah faham, lihat, dengar atau sentuh. Ia juga bukanlah orang yang pelupa. 4. Cerdik, walaupun dengan reaksi sahaja boleh memahami sesuatu perkara. 5. Mampu membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu ibarat. 6. Berminat kepada ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu, tidak merasa jemu menimba ilmu. 7. Berakhlak mulia dan memiliki integriti serta menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menjatuhkan reputasi dirinya. 8. Cintakan kebenaran dan juga kepada orang-orang yang bersifat benar. Bencikan pembohongan dan juga kepada orang-orang yang bersifat pendusta. 9. Memiliki jiwa besar sehingga mudah mengatasi perkara-perkara yang remeh-temeh. 10. Tidak berminat untuk mengumpul harta dan bentuk-bentuk kekayaan dunia yang lain. 11. Bersikap pro-keadilan dan anti-kezaliman. Tidak mudah dipengaruhi oleh perkara buruk, sebaliknya mudah dinasihati dan diseru kepada kebaikan. 12. Mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap perkara yang dirasakan perlu dilakukan untuk mencapai sesuatu matlamat, dan tidak mudah lemah semangat. Manakala Abu al-Hasan al Māwardi dalam kitabnya yang hebat, “al-Ahkam al-Sultaniyah” menyenaraikan sifat-sifat pemimpin yang sepatutnya dipilih rakyat adalah sebagaimana berikut: 1. Hendaklah adil dalam semua tindakannya, sama ada pada dirinya sendiri atau kepada orang lain. 2. Mempunyai ilmu agama (Islam) yang sempurna hingga melayakkannya berijtihad dalam sesuatu perkara apabila ia perlu berbuat demikian. 3. Sempurna anggota dan pancaindera supaya ia dapat melaksanakan tugas kenegaraan dengan lancar dan sempurna. 4. Memiliki daya fikiran yang baik supaya ia dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka. 5. Berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat. Yang disenaraikan oleh al-Fārabī dan al-Māwardi ini tidak wajar hanya bersifat teoritikal. Perlu kepada pengaplikasian dan mesti diterjemahkan dalam politik sebenar. Hal ini kerana kepimpinan dalam Islam bersifat representatif, maka penerimaan mandat kepimpinan tidak dibataskan Allāh, sebaliknya dipilih umat manusia melalui proses syura, pilihanraya, muktamar dan apa jua proses pemilihan yang diiktiraf keadilannya. Rasulullāh sendiri tidak menamakan siapakan pengganti selepasnya, sebaliknya menyerahkan kebijakan urusan itu kepada umat Islam. Oleh itu, arahan Allāh Taala supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya begitu absah dari sudut realitinya kerana seorang pemimpin tidak mampu melakukan apa-apa tanpa adanya legitimasi daripada rakyat. Begitupun Islam melarang umatnya meminta-minta jabatan sehinggakan Rasulullāh pernah menegur sahabatnya, Abu Zarr al-Ghiffari, maksudnya: “Wahai Abu Zarr, sesungguhnya engkau lemah dan sungguh jabatan itu adalah amanah dan jabatan itu pada hari kiamat hanyalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya secara benar dan melaksanakannya dengan sebaik-baiknya.” Siapa Mampu Menegakkan Keadilan? Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada calon yang bakal dipilih iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan Allāh Taala, maksudnya; “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang memikul tugas ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (Surah al-Qassas : ayat 26). Ayat ini dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam “as-Siyāsah as-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah” bahawa terdapat empat proses memilih pemimpin, (ringkasannya) iaitu: 1. Memilih orang yang memiliki kemahiran (al-Quwwah) dan integriti (al-Amin). 2. Jika ada dua orang yang memiliki strata kemahiran dan nilai integriti yang sama, maka dipilih yang paling sesuai dengan keperluan jabatan ketika itu. 3. Jika ada orang yang mahir tetapi kurang integriti dan orang yang berintegiriti tetapi lemah, maka yang dipilih adalah orang yang mahir meskipun kurang integriti. Hal ini kerana kemahiran memiliki manfaat luas bagi khalayak masyarakat, sedangkan ciri integriti hanya akan bermanfaat bagi dirinya sendiri. 4. Jika ada dua orang yang kurang memiliki kemahiran dan integriti maka yang dipilih adalah yang paling kurang mudharatnya. Kaedah fiqah menyebut, “apabila bertembung dua kemudharatan, maka dibolehkan melakukan kerugian yang lebih kecil atau lebih minima kerosakannya.” Al-Quwwah seperti yang disebut di atas ini menurut Ibn Taimiyyah merujuk kepada pengetahuan menjalankan tanggungjawab dengan adil , dan mengenali selok-belok dasar sesuatu urusan. Ia seperti yang diterangkan di dalam ayat ke 55 Surah Yusuf, maksudnya: “(Yusuf) berkata; Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” (Surah Yusuf : ayat 55) Daripada ayat di atas Imam al-Qurtubī menjelaskan bahawa Nabi Yusuf menuntut jabatan tersebut kerana beliau mengetahui di wilayah yang dihuninya itu tiada seorangpun yang memiliki karakteristik “al-Quwwah” dan “al-Amin”. Maka, menjadi fardu ain ke atas Nabi Yusuf mengisi vakum tersebut demi kemaslahatan rakyatnya. Jika penyerahan amanah disebabkan kerana adanya hubungan kekerabatan, sogokan material dan sebagainya, maka hal tersebut merupakan antara bentuk pengkhianatan terhadap Allāh, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Fenomena negatif ini mengingatkan doa Umar al-Khattab yang masyhur, maksudnya: “Ya Allāh aku mengadu kepada-Mu (agar dijauhkan) daripada kerakusan sang pendosa dan lemahnya (sifat malas) orang yang boleh dipercayai.” Iltizam Mewujudkan Keadilan Pemimpin yang tidak menzalimi rakyatnya merupakan salah satu bentuk konsep keadilan yang aktual. Perlu disedari sebenarnya kezaliman itu tidaklah menandakan kekuatan sesebuah negara atau seseorang pemimpin, tetapi menandakan detik-detik kejatuhannya semakin hampir. Mewujudkan keadilan itu tidak memerlukan waktu yang kondusif, sebaliknya kriteria yang diperlukan mesti sejajar dengan rujukan yang benar bersendikan syariat Allāh Taala. Firman Allāh maksudnya: “Dan hendaklah menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allāh dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...” (Surah al-Maidah: ayat 49) Berdaulatnya prinsip keadilan adalah jaminan Islam bahawa semua orang berhak mendapat haknya, di mana tiada orang lemah yang tertindas, tiada orang kuat yang memeras. Prinsip ini turut disentuh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika membahaskan ‘Negara Berkebajikan’ di dalam ucapan dasarnya di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58: “Hanya berkebajikan yang berkonsepkan adil untuk semua dapat menyatukan hati manusia majmuk, mewujudkan perpaduan tulen, kerana manusia itu adalah makhluk yang bernyawa, berperasaan dan berakal. Setiap manusia yang saksama akal dan perasaannya tetap menerima kebajikan yang berteraskan keadilan…” Allāh memberikan ganjaran yang besar kepada pemimpin adil, sehinggakan Rasulullāh bersabda bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allāh di Hari Kiamat, iaitu hari yang tiada naungan pada waktu itu kecuali naungan-Nya, dan salah satu golongan yang mendapat naungan itu adalah pemimpin yang adil. Pemerintahan yang adil menjadikan rakyatnya di semua saluran mendapat peruntukan manfaat yang selayaknya tanpa wujud unsur pembohongan. Walau bagaimanapun pentakrifan keadilan perlu dilihat melalui cerapan yang lebih luas, kerana keadilan yang dipertanggungjawabkan Allāh kepada pemerintah juga bererti menghalang kerosakan dan mencegah kemudharatan yang boleh mengganggu kestabilan rakyatnya. Sebagai contoh kerakusan media merekayasa dan menayangkan bara api perkauman serta sensitiviti agama untuk mengalihkan sokongan rakyat kepada politik bias pemerintah. Hal ini adalah salah satu bentuk ketidakadilan, malah boleh meruntuhkan suasana kemakmuran sesebuah negara. Senario negatif inilah yang pernah diungkapkan oleh Yusuf al-Qaradawi di dalam rangkap pantunnya yang bermaksud: “Pengembala kambing tugasnya menghalau serigala (dari membaham kambingnya). Apa pula seandainya jika penggembala itulah serigala?” Secara integral, keadilan sesebuah pemerintahan itu bukanlah hanya tertumpu pada aspek penyempurnaan hak rakyat yang bersifat sumbangan material semata-mata seperti BR1M, KR1M, BL1M, SK1M dan sebagainya, sedangkan pada masa yang sama kerajaan federal begitu teruja memungut hasil minyak Sabah dan Sarawak ibarat wilayah jajahannya, jumlah pampasan tidak diagihkan kepada waris buruh paksa landasan keretapi maut Siam-Burma. Manakala di peringkat pelaksana keputusan fiskal negara pula, jawatan Menteri Kewangan masih dipegang oleh Perdana Menteri sehingga budaya ‘semak dan imbang’ tidak wujud kecuali slogan indah khabar dari rupa, “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat, Sebuah Janji Ditepati.” Firman Allāh yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allāh dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal : ayat 27). Marilah kita merenungi penjelasan tegas surat yang ditulis oleh Imam Hassan al-Basri (21H-110H) kepada Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, maksud: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allāh menjadikan pemimpin yang adil itu sebagai tonggak yang menahan sesuatu supaya tidak condong, menjadi rujukan kepada perkara yang dirancang, membaiki setiap kecacatan, memperkuatkan yang lemah, mengembalikan hak kepada mereka yang dizalimi. Wahai Amirul Mukminin! Pemimpin yang adil itu laksana ayah yang penyayang terhadap anaknya, berusaha menjamin kehidupan yang baik dan mengajarnya sehingga membesar, berusaha untuk kebaikannya di masa ayah itu masih hidup dan menjamin kebaikan setelah ayah itu meninggal dunia…” Memupuk Prinsip Pemerintahan Bercirikan Nilai Ihsan Tidak syak lagi, kepimpinan yang amanah, adil dan berkebajikan itu adalah salah satu bentuk pengabdian kepada Allāh Taala. Pemimpin yang merasa dirinya diawasi dan diperhatikan akan sentiasa menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh komited dan dedikasi. Pastinya pemimpin yang mempunyai nilai-nilai tersebut sering mendorong rakyatnya ke arah kehidupan yang diredhai Allāh Taala. Itulah nilai Ihsan yang sewajarnya dipupuk oleh setiap golongan manusia yang menggalas amanah kepimpinan justeru mereka menikmati firman Allāh Taala, maksudnya: “Sesungguhnya Allāh sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa’ : ayat 58). Banyak contoh yang boleh dijadikan pengajaran di sini, tetapi cukuplah penceritaan Imam az-Zahabi berkenaan Imam al-Auza’iē ketika beliau menetap di Beirut, Lubnan. Imam al-Auza’iē telah didatangi seorang rakyat beragama Kristian yang meminta bantuan kepadanya, “Tuan, sesungguhnya Gabenor Baalbek (salah satu kota yang terletak di lembah Beqaa, Lubnan) telah menzalimiku dan aku amat berharap agar engkau menulis surat kepadanya berkenaan masalahku.” Kemudian orang Kristian tersebut memberikan sebalang madu sebagai hadiah. Melihat hadiah tersebut, Imam al-Auza’iē berkata kepadanya, “Pilihlah antara dua, sama ada aku menolak pemberianmu dan aku menulis kepada gabenor, atau aku menerima hadiah madumu dengan tidak menulis kepada gabenor?” Mendengar tawaran yang seakan-akan aneh itu lalu orang Kristian itu pun bersetuju untuk tidak memberikan madu kepada Imam al-Auza’iē . Tanpa sikap menangguh Imam al-Auza’iē menulis surat kepada gabenor yang mengandungi arahan supaya cukai ke atas orang Kristian yang mengadu permasalahannya itu dikurangkan. Beliau meninta surat tersebut dengan memperingatkan amaran Rasulullāh, maksud: “Siapa yang menzalimi seorang mu'ahid (ahlu zimmah) dan membebankan di luar kemampuannya, maka akulah (Rasulullāh) menjadi penentangnya.” Lihatlah, betapa tingginya nilai Ihsan yang dimiliki oleh Imam al-Auza’iē ketika menyempurnakan tata kelola institusi pentadbiran.Berbeza dengan sikap orang munafik yang diberitakan Rasulullāh tanda-tandanya, maksudnya: “(Orang munafik itu) jika berbicara maka dia berdusta, jika berjanji dia ingkari dan jika diberikan amanah dia khianat.” Berdasarkan huraian ini jelaslah bahawa merealisasikan keadilan itu tidak mengira lapangan dan situasi, tetapi menjalankan perihal tersebut secara ‘amanah’ hanya mampu disempurnakan oleh tokohnya yang selektif menurut perkiraan syarak. Oleh itu, setiap negara sekalipun tidak diperintah oleh orang Islam adakalanya memiliki ciri-ciri lengkap sebuah negara adil pada ukuran mereka. Singapura, Norway, Sweden antara negara-negara yang diperakui ‘Transparency International’ sebagai negara paling demokratik. Tetapi untuk mencapai nilai kepimpinan amanah yang bertunjangkan syariat Allāh, ia bukanlah perkara yang mudah. Firman Allah maksudnya; “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (surah al-Ahzab : ayat 72) Penulis berasal dari Meru, Klang dan kini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik dan Pembangunan Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: