Selasa, 19 Februari 2013

DIDUNIA ADA PUTAR ALAM...DIAKHIRAT TAK DE PUTAR AKHIRAT...JIKA ADA MALAIKAT AZAB BAGI PUTAR ORANG NI

5,000 dari projek IC Sabah pindah ke K. Selangor?

Harakahdaily, 19 Feb 2013


(Gambar kad pengenalan warga Pakistan yang diambil dari video)

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 5,000 warga asing yang mendapat taraf warganegara sewaktu projek IC Sabah kini didakwa telah dipindahkan ke Kuala Selangor untuk tujuan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Difahamkan usaha perpindahan itu dibuat sejak beberapa tahun lalu dan melibatkan beberapa kawasan di negara ini khususnya Selangor.

Seorang warga Pakistan, Nasib Parwali (gambar) yang mendapat taraf kewarganegaraan dalam projek IC Sabah, mengaku beliau telah ditukar alamat dari Sabah ke Kuala Selangor dua tahun lalu.

"Ini buat dekat Sabah dulu, tapi sekarang alamat sudah tukar sini (Kuala Selangor) lah.

"Sekarang undi di sini Insya Allah," katanya dalam satu rakaman video yang diserahkan satu sumber kepada Harakahdaily.

Dalam video itu juga menunjukkan My Kad Nasib, yang beralamat di Jalan Kuala Selangor, Batt 8, Kampung Ijok Batang Berjuntai.

Beliau juga mendakwa setiap warga asing perlu membayar RM300 untuk mendapatkan borang memohon kad pengenalan itu daripada ejen.

Selepas itu, sejumlah RM6000 hingga RM10000 lagi perlu dibayar apabila mahu mengambil kad pengenalan tersebut.

"Dulu IC hitam, sekarang dah tukar (My Kad) dekat Putrajaya," katanya.

Sebelum ini, bekas menteri, Datuk Seri Lajim Ukin mendakwa, 200,000 pendatang asing yang mendapat kad pengenalan di Sabah dipindah ke Semenanjung dan kebanyakannya ke Selangor.

Mereka dijangka akan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Kesan pilihan raya


(Cetakan dari laman web SPR selepas dimasukkan nombor kad pengenalan Nasib)

Semakan Harakahdaily dengan laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengesahkan, Nasib akan mengundi di Ijok dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Beliau didaftarkan untuk mengundi di Pekan Ijok, dalam DUN Ijok di bawah Parlimen Kuala Selangor.

Ijok adalah DUN yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau menang dengan majoriti 1920 undi dalam pilihan raya ke 12 lalu.

Parlimen Kuala Selangor pula diwakili oleh AJK PAS Pusat Dr Dzulkefli Ahmad. Beliau menang dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 862 undi.

Jika apa yang dibuat ini benar-benar berjaya, kedua-dua calon Pakatan ini bakal kalah dalam pilihan raya umum nanti.

Tun Det baling batu sembunyi tangan

Subky Latif, 19 Feb 2013
KATA Hitler, bohong kalau diulang-ulang, tidak lagi dipercayai sebagai bohong.
Adakah kata-kata Hitler itu dipercaya orang apabila dia berkata, PAS tersingkir dari BN ketika dia jadi Timbalan Perdana Menteri, bukan kerana ditendang UMNO tetapi gara-gara perpecahan dalam PAS sendiri.

Semua tahu segala kerja dan keputusan untuk  menendang PAS itu dibuat oleh Dr. Mahathir sebagai Timbalan Presiden UMNO ketika Perdana Menteri Hussein Onn tiada dalam negeri.

Orang tua itu (Hussein) yang tidak  tahu apa, menerima saja keputusan pimpinan UMNO, bersetuju menentang PAS dengan merancang membentangkan di Parlimen usul meMAGERANkan Kelantan dan meletakkan kerajaan Kelantan di bawah tadbir kerajaan Persekutuan.

Apa yang  dikatakan perpecahan  PAS itu adalah gara-gara campur tangan UMNO  dalam urusan PAS. PAS memutuskan Menteri Besar dalam kerajaan BN Kelantan ia Wan Ismail Ibrahim. Memang ada pandangan kedua dari kalangan PAS terhadap calon itu, tetapi PAS telah telah ada keputusannya.

UMNO  mengambil kesempatan dari keadaan itu mendapatkan perkenan istana memperkenan Dato Mohamad Nasir menjadi Menteri Besar. Tiada keupayaan PAS untuk bercanggah dengan istana.

Tetapi Dato Nasir lebih dilihat sebagai  MB UMNO dari MB PAS. Dia pun terasa bahawa pemilihannya sebagai Menteri Besar bukan dibuat oleh PAS tetapi oleh UMNO. Maka ia melebarkan pergolakan dalam PAS dan meletakkan PAS rasa tertekan dalam kerajaan BN itu sejak dari mula. Tetapi PAS menerima dalam bersabar kerana perpaduan dan penyatuan Islam dan Melayu bukan suatu yang mudah dicapai.

Demi memelihara percubaan penyatuan umat Islam dan Melayu, PAS meneruskan muafakat itu  walaupun perancang utamanya Tun Razak sudah meninggal.

PAS sebagai parti yang bermaruah cuba memastikan program dan dasar PAS berjalan  di Kelantan, maka ia memutuskan Menteri Besar diganti dengan orang lain.

Maka dijadikan alasan yang baik bagi UMNO untuk menamatkan  kerjasama yang sukar dicapai itu. Ia tidak melakukan sesuatu yang boleh mengekalkan penyatuan, tetapi merancang memecahkannya dengan memutuskan untuk membentang usul di Parlimen, mengambil alih pentadbiran Kelantan, mengekalkan Menteri Besar tanpa kuasa, pentadbiran negeri diletakkan di bawah pegawai kerajaan pusat.

Mana-mana komponen BN yang tidak menerima usul itu dengan sendirinya gugur dari kenggotaan BN.

Siapa saja berada di tempat PAS,  sebagai pihak yang bermaruah, menolak usul itu dalam Majlis BN sebelum ia dibentangkan di Parlimen. Tiada pilihan bagi PAS setelah BN membuat keputusan demikian melainkan keluar dari komponen itu.

Nampaklah seolah-olah PAS yang keluar dari BN dari segi tekniknya tetapi teknik itu dirancang oleh UMNO bagi mengeluarkan PAS.

Di situlah letaknya kiraan PAS ditendang dari BN.

Masalah dalam rumah tangga  PAS tidak wajar dari satu alasan bagi BN menendang kerabatnya. MCA berkali-kali  berdepan dengan krisis pimpinan. Dr. Lim Keng Yik menentang Tun Tan Siew Sin, San Choon dicabar Michel Chen, Neo Yee Pan ditentang Tan Koon Swan, Ling Leong Sik dikritik secara terbuka oleh Lee Kim Sai dan kemudiannya oleh Chua Jui Meng, dan terakhir Dr. Chua Soi Lek menentang Ong Tee Kiat.

Tetapi tidak pula UMNO mengambil langkah mengeluarkan MCA dari BN. Sekalipun MCA seolah sudah jadi biawak hidup bagi UMNO tetap ia dikekalkan dalam BN.

Apa yang Mahathir kata tentang BN tidak tendang PAS tetapi masalah dalaman PAS yang menyebabkan ia terkeluar adalah seperti membaling batu sembunyi tangan.

Siapa gigit tangan yang memberi, Mahathir atau...

Aspan Alias, 19 Feb 2013
Kali ini peneroka Felda pula yang menjadi sasaran kempen Dr Mahathir dalam siri lawatan beliau berkempen pilihanraya yang akan datang ini. Peneroka Felda merupakan satu golongan besar yang mampu melakukan perubahan kepada struktur politik negara kerana kumpulan ini merupakan kumpulan yang besar dan berkelompok dan menjadi rebutan kepada semua pihak yang bersaing dalam setiap kali pilihanraya.
Dr Mahathir seperti biasa menggunakan isu membalas budi untuk mendapatkan sokongan peneroka bagi UMNO yang kian hari kian menipis sokongan dari rakyat termasuk orang Melayu sendiri. Kalau selama ini peneroka Felda menjadi kubu untuk UMNO tetapi kali ini arus perubahan yang sedang berlaku di negara sekarang sudah menular ke dalam penempatan peneroka di rancangan Felda.

Isu menggigit jari pihak yang memberi makan itu tidak timbul dalam politik kerana peneroka juga merasakan tanggungjawab mereka terhadap negara yang mereka cintai itu. Mereka sudah tidak mahu terikut-ikut dengan nasihat lapuk dari pimpinan UMNO dan BN sekarang kerana peneroka juga bertanggungjawab terhadap  keselamatan masa depan anak-anak dan generasi mereka.

Nasihat Dr Mahathir itu satu nasihat yang terbalik arahnya. Sepatutnya nasihat itu datangnya dari peneroka kepada pimpinan UMNO yang telah menggunakan kebaikan hati peneroka selama ini sebagai satu kelemahan yang boleh diambil kesempatan dan dijadikan sebagai dahan-dahan bengkok untuk kera-kera liar meniti.

Peneroka juga mempunyai hati dan budi yang tinggi dan kerana hati budi yang tinggi terhadap negara itulah mereka sudah ramai keluar bertindak untuk menolak satu kerajaan yang tidak boleh menjamin masa depan rakyat dan generasi mereka. Peneroka terutamanya bagi generasi kedua sekarang ini mengambil tanggungjawab untuk bersama membanteras kelakuan pimpinan yang rasuah dan menggunakan kesempatan keatas rakyat termasuk peneroka yang baik hati selama ini.

Negara yang memberikan mereka tanah dan ladang dan mereka telah bersetuju untuk membayar segala apa yang mereka telah dapati. Mereka tahu dan memahami yang kerajaan telah mengambil segala kesempatan ke atas mereka untuk keuntungan golongan kapitalis besar yang menjadi kroni kepada kerajaan dan parti yang memerintah. Letih rasanya untuk mengulangi apa yang UMNO telah lakukan terhadap mereka.

Hanya peneroka tahu dan faham yang mereka mula bertindak untuk melakukan perubahan itu di atas sebab-sebab dan alasan yang kukuh. Lagipun sememangnya tanggungjawab mereka untuk bersama rakyat yang lain untuk menukar kerajaan yang sedang ketagih rasuah dan gila kuasa sekarang dengan kerajaan yang baru yang lebih meyakinkan.

Masakan kerana budi kerajaan itu perlu dibalas dengan sokongan berterusan walaupun kerajaan itu telah melakukan segala gejala yang buruk terhadap negara sekarang ini. Memberikan sokongan terhadap mereka yang telah menyeleweng itu adalah satu fardu kifayah dan ia wajib dilakukan dalam pilihanraya ini. Kita ada kata-kata dan perbidalan bagi menguatkan alasan untuk menukar kerajaan hari ini, iaitu ‘raja yang adil raja disembah, raja yang zalim raja disanggah’.

Apa yang benar-benar merosakkan negara serta siasahnya ialah kerana sikap kita menggunakan nilai berterima kasih itu tanpa berlandaskan kepada moral yang betul. Apa yang sedang dan telah pun ditanam oleh pihak kerajaan ialah untuk mereka terus menerima terima kasih kepada mereka walaupun mereka sudah hilang kelayakkan moralnya untuk mentadbir negara kerana perlakuan buruk yang terbentuk oleh kerana kuasa yang mereka (UMNO) tidak rela melepaskannya.

Bagi Dr Mahathir isu ini sememangnya isu yang paling mudah bagi beliau dan beliau tidak mempunyai alasan lain untuk memberikan sebab kenapa mereka mesti terus berkuasa. Nilai membalas budi ini pun tidak ada dalam diri Dr Mahathir itu sendiri. Mahathir telah menggigit tangan Hussein Onn dengan secara halus kerana mahukan jawatan yang dipegang oleh orang yang melantik beliau itu sendiri.

Mahathir telah meninggalkan UMNO ciptaan beliau semasa menghadapi pilihanraya yang lalu. Yang terlebih besarnya Mahathir telah menggigit parti UMNO yang telah menaikkan beliau dengan mengharamkan parti itu pada tahun 1988 dahulu. Mahathir telah membuang secara sistematik semua rakan-rakan seperjuangannya dalam kerakusan kuasa yang beliau telah nikmati dengan sokongan rakan-rakan beliau sendiri.

Orang yang baru dua puluh tahun menyertai UMNO ini tidak akan memahami siapa Dr Mahathir ini sebenarnya. Tetapi kenaifan mereka tidak boleh menghalang sesiapa yang telah melalui sejarah dari awal politik negara kita. Mahathir bukannya menjadi Perdana Menteri kerana kekuatan beliau, tetapi kerana pengorbanan rakan-rakan seperjuangan beliau yang akhirnya beliau ketepikan secara sistematik itu.

Bagaimana Dr Mahathir hendak menyorokkan sifat menggigit tangan yang memberikan beliau makan kepada mereka yang sudah lama terlibat dengan politik negara kita ini? Dr Mahathir boleh temberang sekehendak hati beliau tetapi kepada yang mampu untuk mentelaah kejadian-kejadian yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri tidak akan dapat lari dari mengakui yang hampir kesemua gejala buruk yang terbentuk di dalam UMNO itu adalah hasil tangan Mahathir sendiri.

Sekarang orang yang telah menggigit tangan dan jari semua orang yang memberikan beliau segala-galanya ini menasihatkan orang lain supaya jangan menggigit tangan yang memberi itu. Entah apa sebabnya Mahathir sedang begitu kelam kabut dengan pertukaran pemikiran rakyat kali ini hanya beliau sahaja yang tahu.

Tetapi hukum akal mengatakan Mahathir merupakan orang yang terlalu takut kepada perbuatan dan kesalahan yang telah beliau lakukan sendiri. Beliau takut kepada demokrasi dan beliau tidak mahu menerima ‘consequence’ kepada demokrasi itu.

Itulah sebabnya demokrasi itu bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya tetapi demokrasi itu wajar selari dengan moral demokrasi itu sendiri. Dr Mahathir tidak mampu untuk melaksanakan demokrasi selari dengan moralnya sekali.

Kepada penoroka Felda, tuan-tuan semua berhak memantau kelakuan dan sikap pimpinan yang ada sekarang. Apa yang saudara lakukan dalam pilihanraya nanti mestilah berdasarkan kepada moral kepimpinan yang ada pada hari ini dan tidak semata-mata mengenang jasa pihak yang telah menjadikan negara kita ini tidak mempunyai siasah dan politik yang bermoral.

Kalau hendak mengenang jasa itu kenanglah jasa negara, bukannya kepada parti yang sedang dalam ketagihan dan kerakusan kuasa itu. Tidak wajar kita mempercayai laungan UMNO yang orang Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO hilang kuasa.

Malahan jika orang dan pemimpin UMNO yang ada pada hari ini terus mendapat mandat, Melayu akan hilang dunianya dan segala-gala yang ada pada mereka sekarang ini. Peneroka mesti ingat UMNO telah diberi isyarat sejak dua puluh tahun lebih dahulu untuk memperbetulkan keadaan tetapi mereka tidak melakukan apa yang wajar.

Sekarang ini UMNO melutut pula untuk terus mendapatkan sokongan ramai. Janji-janji mereka untuk memperbetulkan keadaan ini telah kita dengar setiap kali pilihanraya mendatang, tetapi kita lihat sendiri tiada apa yang dilakukannya untuk memperbaiki imej dan moral mereka walaupun masa yang banyak telah diberikan kepada mereka untuk berubah.

UMNO sudah hilang segala-galanya. Jika benar UMNO itu parti yang bertanggungjawab selama ini masakan negara kita berada dalam situasi yang kita alami sekarang ini. Ingat, UMNO tidak akan berubah. Jika ada pun perubahan ia adalah perubahan yang seperti kata perbilangan Inggeris, perubahan ‘from bad to worst’.

Kita kena berubah. ‘It’s now or never!’. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Talian Rakyat: Adik Mimie stabil selepas pembedahan

Anis Nazri , 19 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Keadaan adik Nur Soffiea Shamimie atau Mimie bertambah stabil, selepas menjalani pembedahan membuang limpanya, tengahari tadi.

Bapanya, Mohamad Nasseri Nasron, ketika dihubungi, berkata Mimie sudah mula sedar selepas dua jam melalui pembedahan, di Pusat Peubatan Universiti Malaya (PPUM), pagi tadi.

Bagaimanapun, Mimie masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak bagi tujuan pemantauan selama 24 jam di pusat perubatan berkenaan.

"Mimie masih lemah, dan sudah minta untuk minum ketika mula sedar tadi.  Tapi, doktor belum membenarkan dia minum lagi. Malah, kedua-dua belah matanya juga membengkak. Mungkin alahan, namun kini tinggal sebelah kiri yang masih bengkak," kata Nasseri kepada Harakahdaily.

Tambah Nasseri, selepas pembedahan, tiga beg darah telah dimasukkan bagi membantu meningkatkan platlet darahnya.

"Alhamdulillah, platlet darahnya kini mendapat bacaan 104.  Doktor akan terus memantau bagi memastikan ia terus stabil," katanya sambil memaklumkan Mimie hanya boleh menerima tetamu mulai minggu hadapan.

Ketika pembedahan berlangsung kira-kira dua jam itu, ibu bapa Mimie serta sanak-saudaranya turut berada di pusat perubatan tersebut sebagai tanda sokongan.

Berhubung bantuan kewangan yang diperolehinya, Nasseri berkata setakat ini bantuan orang ramai sudah mencecah RM30 000.

Bagaimanapun, kos ubat-ubatan yang digunakan Mimie sebelum menjalani pembedahan bernilai RM3,800 sebotol, dan Mimie memerlukan 16 botol.

"Saya masih memerlukan bantuan kewangan kerana memang banyak lagi yang diperlukan untuk Mimie.  Selepas ini, saya tidak tahu apa jenis ubat yang diperlukan.  Belum lagi kos wad dan sebagainya," kata beliau.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah menyiarkan cerita berkenaan penyakit adik Mimie, selain merayu bantuan kewangan bagi membolehkan pembedahan membuang limpa dijalankan ke atasnya.

Adik Mimie disahkan mengidap ITP Chronic atau kurang darah kuning itu sejak dua tahun lalu.

Kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah
RM50 000 hingga RM100 000.

Sehubungan itu, orang ramai yang simpati dan prihatin dengan nasib Mimie, bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun ibu bapa Mimie 06190003801207 (CIMB) atas nama Nor Zalinda Ramli atau 06190003800204 (CIMB) atas nama Mohamad Nasseri Nasron.

Himpunan We Love Tok Guru esok

Salmah Mat Husain, 19 Feb 2013
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan tanpa mengira kaum diseru menyambut kepulangan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat esok 20 Febuari dari mengerjakan umrah di Makkah.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan We Love Tok Guru, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, sambutan pertama akan diadakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra jam 11.30 pagi.

Menurutnya, himpunan kedua di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-1V jam 12.00 tengahari.

“Saya menyeru semua rakyat Kelantan tanpa mengira budaya, bangsa turut hadir bagi menyambut kepulangan Tuan Guru yang kita cintai,”ujarnya.

Takiyuddin yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya berkata, beberapa acara menarik turut disusun sempena program berkenaan.

Antaranya persembahan kebudayaan pelbagai kaum di negeri ini.

“Orang ramai juga berpeluang mendengar ucapan yang bakal disampaikan oleh golongan muda, wakil pondok dan Ladang Rakyat.

“Untuk itu saya sekali lagi menyeru rakyat Kelantan seluruhnya hadir beramai-ramai untuk menyambut kepulangan Tok Guru yang kita kasihi,”ujarnya.

Berhati-hati, sekarang masa kecederaan - Umcedel

Harakahdaily, 19 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Tempoh dari sekarang sehingga hari pembuangan undi PRU-13 umpama masa kecederaan untuk semua parti-parti politik di Malaysia.

Mana-mana parti yang membuat silap dalam tempoh ini akan menyebabkan mereka kalah dalam pilihan raya ini.

Demikian kata Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman (gambar) dalam seminar pilihan raya anjuran Umcedel hari ini.


Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggunakan istilah 'tempoh berpantang' untuk masa sekarang hingga hari pembuangan undi.

Dalam tempoh ini, semua pihak dalam parti perlu berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan atau kenyataan.

Sehingga kini, kata Ridhuan, kedua-dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang hampir sama untuk memenangi pilihan raya kali ini.

Ini adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah politik Malaysia.

Beliau juga berkata, isu yang paling besar dihadapi oleh BN adalah intergriti parti itu.

Selain itu, isu NFC dan Lynas juga menyumbang kepada tindakan rakyat menolak BN.

Pakatan Rakyat pula, kata Ridhuan mempunyai masalah kebersamaan di kalangan pemimpin mereka.

Pakatan Rakyat, kata Ridhuan selalu membuat kenyataan yang berbeza antara parti di kalangan mereka.

Menurut kajian Umcedel,  59 peratus respondan bersetuju bahawa  kenyataan berbeza di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat boleh menyebabkan pengundi tidak menyokong Pakatan.

Tiada ulasan: