Khamis, 28 Februari 2013

SEMAKIN PARAH DAN LEMAH...MUNGKIN MENJURUS KEPADA TENAT DAN KOMA....BERITA PENYELEWENGAN TERBUKA SATU DEMI SATU....INI HUKUMAN DARI ALLAH KERANA MENAFIKAN HUKUM ALLAH DAN KERJA2 MAKSIAT YANG KITA LAKUKAN


MIC pula mahu tinggal BN?

Harakahdaily, 27 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Umno BN dilihat semakin parah dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) apabila semakin banyak parti-parti komponennya hilang kepercayaan terhadap parti itu.

Sebelum ini Gerakan dan SUPP dilihat menyatakan hasrat ingin keluar daripada BN dan terbaru, Pengarah Strategi MIC Vell Paari pula didakwa membayangkan akan mendesak MIC untuk bertanding atas tiket sendiri, bukan lagi atas tiket BN.

Tindakan Vell Paari itu dipercayai dibuat apabila Dr. Riduhan Tee dan Datuk Ibrahim Ali dilihat oleh kaum Inida sebagai rasis dan sering membangkitkan isu perkauman di negara ini.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad berkata, ketidakpercayaan MIC itu dilihat amat mengejutkan apatah lagi MIC merupakan parti tunjang kaum India di Malaysia ini, malah sekutu kuat Umno dalam Barisan Nasional.

"Ini membuktikan bahawa Umno BN sudah tidak mampu lagi menjaga keharmonian kaum di Malaysia. Semakin hari semakin ramai rakyat yang bukan Melayu merasa tertindas dengan tindakan pemimpin-pemimpin pro Umno yang dilihat bersikap rasis.

"Namun amat mendukacitakan, tiada tindakan diambil terhadap mereka. Kenyataan-kenyataan rasis beberapa pemimpin Umno juga dilihat begitu mengguris hati kaum-kaum yang lain," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Vell Paari dalam satu surat terbuka kepada presiden MIC beru-baru ini menggesa agar parti itu mendesak kabinet mengambil tindakan ke atas Ridhuan Tee dan Ibrahim kerana menghina agama Hindu.

Beliau yang juga anak kepada Datuk Seri S Samy Vellu itu berkata, jika tiada sebarang tindakan diambil, beliau akan meminta golongan India mengundi menentang BN dan rela dipecat dari parti itu.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, walaupun Umno cuba untuk mengambil hati semua kaum di Malaysia, namun hakikatnya rakyat kini sudah muak dengan mereka.

Lebih parah lagi katanya apabila kajian Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina semakin menolak kerajaan Barisan Nasional.

Tambah Kamaruzaman lagi, tindakan Najib dalam meraih undi masyarakat Cina semasa Tahun Baru Cina yang lalu juga dilihat tidak memberikan kesan.

"Harapan terarah kepada masyarakat India. Namun kini, MIC yang memperjuangkan masyarakat India di Malaysia dilihat turut sama menolak Umno BN. Najib dilihat seolah-olah burung kepatahan sayap apabila masyarakat Cina dan India mula menolak parti yang diterajuinya," katanya lagi

BN kalau nak menang, kena umum calon PM baru

Harakahdaily, 28 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Sumber Umno menyatakan dengan jelas kepada Harakahdaily bahawa BN hanya mempunyai peluang untuk memenangi PRU13 sekiranya sedia menyatakan mempunyai calon Perdana Menteri yang baru.
Ditanya Harakahdaily yang merasakan perkara itu mustahil kerana jawatan itu secara tradisinya milik orang yang menjawat Presiden Umno, katanya, “Betullah. Maksud saya Presiden Umno kena tukar orang lain. Kalau tak, aniaya BN nanti di PRU13".

“Najib kan popular?” tanya Harakahdaily.

“Masalahnya Bala dan Deepak lagi popular sekarang di kalangan rakyat Malaysia yang sukakan berita skandal. Buku Deepak jual macam pisang goreng panas, petanda rakyat sehingga hari ini ingin mengetahui apa yang berlaku kepada Altantuya,” tegas beliau.

Sumber Umno itu merujuk kepada kepulangan mengejut penyiasat peribadi P Balasubramaniam yang bersumpah di atas kitab suci Hindu bahawa pengakuan bersumpahnya yang pertama adalah tulen dan pengakuan bersumpahnya yang kedua ialah palsu.

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan pula bertubi-tubi menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor semenjak Perhimpunan Agung Umno yang lalu dengan mendedahkan peranannya memujuk Bala untuk mengeluarkan pengakuan bersumpah kedua sehari selepas beliau mengeluarkan pengakuan bersumpah pertama yang mendakwa Abdul Razak Baginda pernah memberitahunya mengenai hubungan mengenai Najib dan Altantuya, yang dibunuh kejam.

“Kami tak nak PRU13 ini dikepung dengan isu Bala dan Deepak. Lemas. Tun (Dr Mahathir) pun dah rasa lemas,” kata sumber itu kepada Harakahdaily.

Harakahdaily juga bertanya apakah ada muslihat lain di sebalik penangguhan demi penangguhan tarikh PRU13 oleh Najib.

“Persoalan terbesar sekarang di minda Najib ialah bagaimana BN boleh menang dan pada masa yang sama, Umno tidak menendangnya keluar sebagai presiden kerana jika menang pun, prestasinya tidak akan sebaik yang dicapai Pak Lah.

"Kedua ialah faktor calon, Najib pening selesai masalah calon kerana mood untuk tidak bekerjasama kini, kerana situasi sekarang bukan macam dulu, kamu tak ikut cakap, kamu out – sekarang ialah Najib tak dengar cakap, you akan jadi pembangkang.

“Tapi faktor paling kritikal ialah BN kena bagi bayangan jelas pada rakyat akan ada PM yang baru jika BN menang.

“Dalam soal isu perdana menteri, PAS sekarang diserang bertubi-tubi kerana PAS telah menghancurkan propaganda Umno bahawa DAP akan berkuasa sekiranya PR menang. Sekarang orang semua bercakap Anwar atau Hadi, tiada siapa yang cakap Kit Siang sebab itu Umno sekarang marah kat PAS kerana orang Melayu tahu jika PR menang, DAP tidak akan jadi PM,” tegas beliau.

Mampat sokong MB Terengganu bercuti panjang

Harakahdaily, 28 Feb 2013
KUALA TERENGGANU: Penasihat Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail (gambar) menyokong cadangan Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) yang meminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bercuti panjang sementara dakwaan ke atasnya disiasat.

"Sudah lama kita ingin mencadangkan Ahmad Said 'bercuti' dari tugas sebagai Menteri Besar setelah berbagai dakwaan 'salah laku' dihadapkan kepada pentabirannya.

“Jika beliau berdegil, saya akan membuat siri-siri pendedahan salah lakunya untuk diketahui rakyat umum," kata bapa saudara kepada Sultan Terengganu itu ketika dikunjungi Harakahdaily.

Beliau yang mengesahkan untuk hadir dalam Himpunan Anak-anak Terengganu di Perantauan 2013 (HAT13) pada 3 Mac ini di Shah Alam akan mencadangkan sebuah sekretariat rakyat prihatin untuk menerima aduan dan menyiasat salah laku Ahmad segera dibentuk untuk membincangkan isu berkenaan dan lain-lain berkaitan serta prestasi pentadbiran Menteri Besar itu.

Setiausaha Perantau, Shuhaimi Embong dalam satu kenyataan mencadangkan Ahmad bercuti panjang ekoran pendedahan Dr Syed Azman Syed Ahmad, Penolong Setiausaha Agung PAS dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR berhubung dakwaan penganugerahan balak kepada 12 syarikat baru-baru ini yang perlu disiasat.

Sementara itu, Dr Syed Azman yang juga Adun Batu Burok memaklumkan satu laporan dan serahan dokumen kes 'rasuah dan salah laku' pentadbiran Menteri Besar Terengganu dalam pengurusan pembalakan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diadakan di Kuala Terengganu hari ini.

Tangguh p’raya: Alasan Najib tidak munasabah

Aspan Alias, 27 Feb 2013


Lagi lambat pilihanraya di adakan lagi kuat bukti yang penangguhan yang begitu lama itu adalah disebabkan ketakutan UMNO dan BN menghadapi kekalahan. Seperti yang di sebut selalu di sini Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang tidak dipilih sampai penghujung penggal pilihanraya. Selalunya mana-mana Perdana Menteri yang baru mengambil alih jawatan itu tidak akan sabar-sabar untuk mengadakan pilihanraya bagi mendapatkan mandat yang terus dari rakyat.

Seorang Perdana Menteri itu mahu tahu sejauh mana sokongan orang ramai dan itulah yang menyebabkan semua Perdana Menteri sebelum Najib telah memanggil pilihanraya sejurus selepas mengambil alih jawatan itu. Ramai orang berkata Abdullah Badawi itu lemah dan tidak ‘effective’ tetapi apa pun orang kata terhadap beliau, Abdullah telah memanggil pilihan raya selepas empat bulan mengambil alih jawatan PM itu dari pemimpin yang boleh berjalan di atas air, iaitu Dr Mahathir Mohammad.

Abdullah telah mendapatkan ‘endorsement’ dari rakyat dan beliau telah mendapat mandat yag begitu besar, iaitu kedua terbesar selepas pilihanraya tahun 1955 dahulu. Dalam pilihanraya 1955 itu hanya seorang wakil Perikatan yang kalah iaitu Sulaiman Palestin di Pulau Pinang Selatan. Tetapi sehebat-hebat Najib seperti yang diwar-warkan oleh UMNO pada hari ini, hendak memanggil pilihanraya pun takut dan tidak berani menghadapi risiko politiknya.

Beberapa hari yang lepas Najib memberitahu kita yang beliau sengaja  menangguhkan pilihanraya ini kerana hendak menunggu hasil Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang telah beliau lancarkan itu. Kalau begitulah alasan beliau maka pilihanraya mungkin tidak di adakan dalam tempoh empat atau lima tahun lagi kerana apa-apa program kerajaan yang baru itu akan hanya mendatangkan hasil, jika ada, selepas tempoh yang panjang.

Mengikut perlembagaan tempoh tamat penggal ini ialah 28hb April nanti. Tidak mungkin hasil transformasi ekonomi beliau itu akan kita dapati dalam masa sesingkat itu. Alasan itu amat dangkal sekali dan tidak boleh diterima akal walau pun kepada mereka yang buta huruf.  Najib lupa yang seorang insan itu mempunyai mata hati yang amat mudah untuk melihat siapa yang berbohong dan siapa yang di bohongi.

Apa yang diperkatakan Najib itu tidak siapa yang akan mempercayainya. Hanya kepada yang mahukan beliau berbohong sahaja yang akan memberikan anggukan kepada kenyataan Najib itu. Isu sebenarnya ialah isu ketidakyakinan beliau terhadap sokongan ramai terhadap UMNO itu dan juga masalah yang mungkin beliau hadapi di dalam UMNO itu sendiri.

Kemenangan besar adalah wajib bagi Najib perolehi tetapi harapan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana ramai rakyat telah membuat ketetapan di hati masing-masing untuk meninggalkan UMNO dalam pilihanraya ini dengan memberikan undi kepada pihak pembangkang. Saya selalu bercakap dan ramai lagi manusia telah menunjukkan apa yang bakal dihadapi oleh Najib jika beliau tidak dapat memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya nanti. Bagaimana Najib hendak mendapatkan kemenangan besar sedangkan untuk mendapatkan sedikit lagi sokongan untuk mendapat kemenangan kecil pun tidak akan dapat beliau perolehi.

Bagi saya Pakatan Rakyat hanya perlu untuk menjaga dan mengawal keadaan yang sedang memihak kepada mereka. Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan sedikit kesilapan dalam tindakan mereka menghadapi pilihanraya ini. Pakatan perlu ingat yang mempertahankan sokongan rakyat terhadap mereka sekarang lebih payah dari mendapatkannya. Mana-mana parti dalam PR jangan sekali melakukan kesilapan. Pakatan tidak boleh melakukan kesilapan yang disengajakan atau pun kesilapan yang tidak disengajakan.

Alasan Najib yang mengatakan penangguhan pilihanraya ini disebabkan untuk menunggu hasil PTE beliau itu adalah bukti kukuh yang Najib tidak berkeyakinan untuk memenangkan BN dalam pilihanraya ini. Najib sedang berperang untuk mempertahankan kewibawaan palsu beliau di mata rakyat. PI Balasubramaniam telah kembali untuk membantu apa yang sedang dilakukan oleh Deepak dan lain-lain yang menuduh Najib dengan berbagai-bagai isu yang ganas itu. Isu terhadap Najib datang bertimpa-timpa.

Tetapi isu yang bakal dihadapi oleh lain-lain pemimpin dalam UMNO tidak kurang ganasnya. Jika Muhyiddin mengambil alih sekali pun isu terhadap beliau pun bukannya kecil. Begitu juga isu terhadap lain-lain pimpinan kanan UMNO sekarang ini. Mereka terlalu kaya dengan isu-isu negatif dan tidak siapa pun di kalangan pimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi parti itu tidak mempunyai isu yang tidak mempunyai moral untuk mentadbir negara. Mereka, seperti yang saya selalu katakan itu, adalah dari acuan yang sama.

Pendeknya formula yang paling baik untuk menyelamatkan negara dan kerajaan kita ialah untuk melakukan perubahan dan kita tinggalkan pentadbiran dan politik yang tersangat menghimpit pemikiran rakyat yang dahagakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seperti UMNO ini.

Jika benar Najib seorang yang bertanggungjawab beliau tidak akan melakukan apa yang sedang beliau lakukan hari ini. Inilah dia hasil dari didikan kepada petualang politik negara khususnya orang Melayu Dr Mahathir Mohammad.  Kata perpatah, ‘keruh air di hulu maka keruh di hilir’. Kekeruhan politik negara bermula dari permainan politik Mahathir selama 22 tahun dan budaya politik kini masih dipengaruhi oleh isu Dr Mahathir.

UMNO tidak akan kekal sebagai UMNO parti orang Melayu tetapi ia akan terus menjadi parti untuk segelintiran Melayu yang tamak kuasa dan mempunyai mentaliti ‘migrant’ yang tidak akan dapat ditanggalkan dari imej ini buat selama-lamanya.

Kita tidak tahu bagaimana lagi UMNO hendak menyelamatkan diri mereka untuk masih menjadi parti yang relevan untuk rakyat yang terlalu dahagakan pimpinan yang telus dan jujur untuk menempa hari muka yang mencabar. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

pemuda PAS direman gara-gara kain rentang

Khairul Azlam Mohamad, 27 Feb 2013

Kan rentang yang menjadi punca pertelingkahan tersebut.

MARANG: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berkumpul bersama ahli keluarga dan kenalan mangsa tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, hari ini.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata Pemuda PAS Terengganu melahirkan rasa simpati dan memberi sokongan moral 100 peratus kepada empat individu terbabit serta ahli keluarga masing-masing.

Katanya, kejadian tersebut dapat dielakkan jika semua pihak bersikap matang serta tidak melakukan sebarang provokasi melampau hingga mencetuskan keresahan masyarakat.

Menurutnya, mutakhir ini kejadian provokasi dan pengkhianatan semakin menjadi-jadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk dari Umno BN.

“Kami hadir ke balai polis Marang ini untuk sama-sama beri sokongan moral kepada mangsa tahanan reman dan ahli keluarga mereka.

“Semua ini tidak berlaku jika pihak Umno BN bersikap matang dan tidak melakukan provokasi dalam mempamerkan kain rentang atau banner kempen untuk parti mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di pekarangan balai polis berkenaan.

Justeru, katanya, tuduhan PAS membenarkan kalimah suci Allah itu dipergunakan sewenang-wenang untuk kempen Bible dalam Bahasa Melayu adalah fitnah yang direka Umno BN.

Harakahdaily dimaklumkan, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 38 tahun termasuk tiga adik-beradik ditahan reman selama lima hari.

Mereka terdiri daripada Roslam Abdullah, 35, Rosdi Abdullah, 34, Muhammad Lukman Abdullah, 28, dan Muhamad Musa, 38, yang bekerja sendiri adalah pemuda PAS Cawangan Kampung Jerung

Mereka ditahan gara-gara pemasangan kain rentang bersifat provokasi yang dipasang oleh pengerusi penaja Umno Cawangan Bukit Chempedak.

Pengerusi penaja itu telah membuat satu laporan polis yang mendakwa kononnya empat individu terbabit menyerang, mencekik serta membuat ugutan bunuh ekoran pertikaman lidah pada kira-kira jam 6.30 petang 25 Feb lalu berhubung kain rentang itu.

Malah, keempat-empat individu berkenaan turut difitnah mahu mencederakan ahli keluarganya serta mahu membakar rumahnya.

Selepas kejadian tersebut dipercayai pihak terbabit segera menurunkan kain rentang berkenaan yang jelas tertera logo Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk lambang 1Malaysia.

Manakala, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi menafikan laporan media mengaitkan tragedi pergaduhan tersebut kerana PAS tidak berpuas hati dengan penubuhan penaja Umno Cawangan Bukit Chempedak.

Katanya, laporan media itu tidak tepat kerana yang menjadi punca adalah pemasangan kain rentang berbentuk provokasi terhadap PAS dalam penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana, laporan media sebelum ini tidak tepat kerana yang menjadi punca pergaduhan itu bukan kerana Umno tubuh cawangan baru. Hakikat sebenarnya, berpunca dari kain rentang atau banner berbentuk provokasi yang dipasang oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kain rentang itu berkait dengan kalimah Allah. Mereka (Umno) kata (tulis) AWAS!!!!!! Anda Undi PAS bermakna Anda Sokong Allah Digunakan Dalam Bable Bahasa Melayu.

“Kita akan membuat laporan polis terhadap kain rentang itu dan harap pihak terbabit diambil tindakan sewajarnya,” jelasnya yang juga AJK Pemuda PAS Malaysia.


Protes: Rosmah Mansor ‘diserang’ siswi UKM

Harakahdaily, 27 Feb 2013


BANGI: Sekumpulan mahasiswi daripada Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) hari ini telah melakukan protes aman di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lebih kurang 50 orang mahasiswi telah berkumpul di hadapan dewan tersebut bagi menyatakan protes terhadap penyelewengan yang telah dilakukan oleh isteri pemimpin nombor satu negara itu.

Rosmah yang dikatakan hadir ke UKM bagi merasmikan program bersama mahasiswa UKM telah menerima tekanan hebat apabila sekumpulan mahasiswi telah berkumpul di luar dewan sambil memegang sepanduk dengan mesej menolak penyelewengan dan pembaziran duit rakyat yang didakwa telah dilakukan oleh beliau.

Mahasiswi itu dikatakan telah mula berkumpul di luar dewan pada jam 4 petang sebelum menyambut Rosmah yang dijadualkan akan habis program pada jam 4.30 petang.

Sekumpulan pengawal keselamatan bersama staf kakitangan UKM cuba untuk menghalang protes itu daripada terus berlaku namun ternyata mereka gagal mengekang kehendak mahasiswi tersebut untuk terus melakukan protes secara aman itu.

Walau bagaimanapun, apa yang menghampakan mahasiswi tersebut adalah ‘ketakutan’ Rosmah untuk bertemu dengan mereka apabila beliau telah dibawa keluar secara senyap-senyap melalui belakang kereta-kereta yang diletakkan di sekitar dewan tersebut.

Rosmah yang hadir ke UKM dengan menaiki kereta Mercedez Benz mewah terpaksa balik dengan kenderaan biasa selepas terpaksa keluar dari dewan secara sembunyi.

“Perkara yang kita mahu hari ini hanya untuk menyatakan hasrat rakyat terhadap Datin Seri Rosmah, namun ternyata beliau begitu takut untuk bersemuka dengan kami.

“Walaupun kami tidak berjaya untuk bersemuka dengan Rosmah pada hari ini, namun kami telah berjaya membuat Rosmah balik dengan cara yang itu. Ini baru permulaan dari kami,” tegas Hamiza Hani Omar, Pengerusi Hal Ehwal Siswi ISIUKM merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gamis.

Tiada ulasan: