Rabu, 20 Februari 2013

KEMENANGAN DITANGAN ALLAH....PERCAYALAH...TAATLAH SEGALA PERINTAH ALLAH SWT

Sultan Selangor tidak halang bubar Dun awal

Harakahdaily, 20 Feb 2013
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiada sebarang halangan untuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) lebih awal.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, Sultan Sharafuddin telah bersetuju, namun meminta agar kerajaan negeri mengumumkan tarikh pembubaran tersebut dalam keadaan dan cara yang lebih teratur.

“Tuanku bersetuju ... dan saya akan umum pada masa yang sesuai dan cara yang teratur,” kata Khalid dipetik The Malaysian Insider.

Kenapa Melayu tidak perlu takut DAP

Mohamed Hanipa Maidin, 20 Feb 2013
Semasa berada di Mansoorah, Mesir dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu berforum dengan para pelajar Malaysia di sana, soalan berikut ditanya kepada kami: "Apa akan jadi sekiranya DAP dan MCA menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum nanti?".

Saya menjawab soalan tersebut seperti berikut "Jka kita turuti silsilah soalan tersebut percayalah ia berasal usul dari Umno. Itulah kempen Umno di kampung-kampung dan malangnya kini pelajar di menara gading juga terjerat dengan kempen jahat tersebut. Hakikatnya soalan itu sendiri adalah tidak betul. Bagaimanakah DAP dan MCA boleh kedua-duanya menang  banyak kerusi dalam keadaan kedua -dua parti tersebut lazimya bertanding antara satu sama lain bagi merebut kerusi yang sama. Adakah masuk akal di kawasan Parlimen Bukit Bintang misalnya yang DAP dan MCA bertanding, jika DAP dan MCA juga akan menang? "

Parti perkauman seperti Umno , kerana mahu terus berkuasa, dengan tanpa rasa tanggungjawab berusaha keras menimbulkan keraguan bahawa DAP adalah satu elemen yang bahaya kepada Melayu dan Islam. Justeru, menurut logik Umno, jika orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat yang ada DAP di dalamnya, maka Melayu dan Islam akan terancam. Logik Umno ini berpremiskan DAP adalah bermajoritikan orang bukan Melayu dan Islam maka kepentingan Islam bukan sahaja tidak terbela jika mengundi DAP malahan kedudukan Melayu dan Islam juga terhakis terancam.

Hujah Umno ini sama sekali melupakan bahawa hakikatnya Umno juga berkawan dengan bukan Melayu dan bukan Islam. Jika MCA dan MIC yang boleh dikatakan hampir 100 peratus dikuasai oleh bukan Melayu/Islam, mengapakah mengundi sama ada Umno atau MCA atau MIC tidak dilihat mengancam Islam? Adakah pemimpin MCA khususnya sunyi daripada perbuatan menghina dan memperkecilkan Islam? Jika tidak sunyi, mengapa hanya DAP dipersalahkan dan tidak MCA atau MIC?

Apa peliknya jika DAP masih belum menerima Islam dan segala hukum hakamnya sepertimana MCA dan MIC yang juga berkeadaan begitu. Bukankah yang peliknya mengapakah Umno yang bermajoriti Melayu/Islam masih tidak menerima Islam sebagai sistem hidup yang syumul dan sanggup pula dalam banyak keadaan menghina Islam dan hukum-hakamnya. Siapa yang hina hukum hudud, DAP atau Umno? Siapakah yang luluskan lesen judi , DAP atau Umno? Siapakah Osu Sukam yang berjudi di luar Negara dan berhutang jutaan ringgit. Adakah beliau DAP atau Umno? Dan senarainya cukup panjang untuk dikongsi di ruang terhad ini.

Benarkan DAP mengancam kepentingan Melayu? Apakah peruntukkan dalam Perlembagaan yang menyentuh kepentingan Melayu yang DAP kacau dan ganggu gugat? Adakah DAP atau Umno yang ganggu gugat kedudukan Bahasa Melayu di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dirombak melalui PPSMI?

Siapakah yang gagal jaga tanah rezab Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan, Dap atau Umno? Siapakah yang hancurkan Bank Bumiputra yang diilhamkan untuk menjaga kepentingan Melayu? Siapakah yang enggan tambah kerusi Parlimen dan Dun di negeri Kelantan dan Trengganu sekaligus boleh menambah kerusi orang melayu semasa persempadanan semula kawasan pilihanraya dibuat, DAP atau Umno? Siapakah yang mendera ekonomi majoriti rakyat Melayu/Islam di Terengganu dan kini Kelantan apabila wang royalti pertroleum dirompak di siang hari tanpa sekelumit rasa bersalah.

Siapakah yang menghina Raja Raja Melayu? Siapakah yang ingin menggantikan Sultan Kelantan dengan ditabalkan Tengku Ibrahim, ahli perniagaan sebagai Raja? Umno atau DAP? Siapakah melarikan anak raja, pemimpin DAP atau Umno? Siapakah yang mengheret secara tidak bermaruah institusi Raja berperlembagaan ke kancah penghinaan dengan menjatuhkan Kerajaan dan Menteri Besar pilihan rakyat di Perak dengan melanggar doktrin Raja Berperlembagaan dan konvesyen Perlembagaan (constitutional convention) secara terang-terangan?

Jika DAP tidak menghormati Islam, mengapa pula di Pulau Pinang yang diterajui oleh pemimpim DAP, YAB Lim Guan Eng, peruntukkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) lebih besar dari peruntukkan Sekolah Cina dan Sekolah Tamil . SAR di bawah negeri yang diterajui DAP memperuntukkan secara purata RM97,000-00 setiap sekolah sedangkan sekolah Cina dan Tamil hanya diperuntukkan secara purata RM60,000-00 dan RM63,000-00 masing -masing bagi setiap sekolah (lihat website Kerajaan Pulau Pinang ) . Bukankah Umno pernah menarik bantuan per kapita SAR dan menuduh pula SAR tidak mengajar agama sebaliknya mendidik pengganas?

Satu yang ironi, DAP yang dikatakan mendatangkan ancaman kepada Islam mempunyai pemimpin seperti Lim Guan Eng yang mana Negeri yang beliau terajui mahukan ramai huffaz al-Quran dengan diberi bantuan kepada madrasah tahfiz dan memberikan penghargaan dan sijil-sijil pengiktirafan kepada para penghafal al-Quran (lihat website Kerajaan Negeri Pulau Pinang). Yang lebih aneh lagi elaun Imam di masjid -masjid di Pulau Pinang jauh lebih tinggi dari elaun imam-imam di negeri yang Umno perintah. Mengapakah DAP yang dikatakan mengancam Islam suka elaun Imam tinggi manakala Umno yang "sayang" Islam lebih suka pula elaun Imam rendah?

Ya, Karpal Singh yang bukan Islam tidak setuju hukum hudud kerana dia berpendapat hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin Umno yang Islam seperti Mahathir pula tidak setuju hudud kerana jika dilaksanakan akan huru hara dan ramai makan sup tangan!!! Siapa lebih teruk antara mereka berdua?

Jika Karpal yang dari DAP membawa hujah Perlembagaan bagi menentang hudud, mengapa Umno yang Islam dan pernah ada dua pertiga suara di Parlimen tidak mahu pinda Perlembagaan bagi memberi ruang PAS laksana hudud di Kelantan. Bukan sahaja tidak mahu pinda Perlembagaan, Dr Mahathir (Ya, Mahathir bukan Karpal) bagi pula surat amaran pula kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat jika Kerajaan Kelantan laksana hudud, Kerajaan Pusat yang diterajui Umno akan ambil tindakan.

Siapa yang cabar undang-undang hudud di Mahkamah? Karpal Singh atau Zaid Ibrahim yang masih itu bersama Umno? Siapa yang hina hukum hudud dan hentam Umno apabila Adun Rengit dari Umno mahukan hudud dilaksanakan di Johor, Lim Kit Siang atau Chua Soi Lek? Siapakah yang kata di negeri BN perintah hudud tidak akan dilaksanakan, Najib Tun Razak atau Karpal Singh?

Siapa yang bela gadis Melayu yang dirosakkan oleh pemimpin Melayu jika bukan Lim Guan Eng? Lim Guan Eng yang bukan Melayu dan bukan Islam masuk penjara 18 bulan kerana bela gadis Melayu/Islam yang dirosakkan oleh pemimpin Melayu berjenama Umno? Di mana maruah orang Melayu? Umno, kerana dendam, aibkan pemimpin Melayu dengan tuduhan seks namun yang bela Anwar Ibrahim adalah peguam bukan Islam dari DAP. Apabila wanita Islam berpurdah, Halimatus Sadiah di buang kerja oleh regim Umno, peguam DAP juga yang membela wanita tersebut di Mahkamah? Di mana peguam Umno yang kata sayang dan nak jaga Islam?

Kesimpulannya Umno hentam DAP bukan kerana Umno ingin menjaga Islam. Hakikatnya Umno tahu perpaduan PR adalah mala petaka bagi Umno. Oleh itu pecahkan PR adalah agenda jahat Umno. Mana mungkin Umno yang siang malam, pagi petang mempunyai masalah dengan Islam kini secara tiba-tiba ingin membela Islam. Perpatah Amerika kata "kamu boleh bohong sesetengah orang dalam sesuatu masa tapi kamu tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa.

Lahad Datu: Kawalan perairan negara perlu diperketat

Harakahdaily, 20 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Soal keselamatan di perairan Sabah mula mendapat perhatian apabila sekumpulan bersenjata dari Sulu dengan mudah mendarat di  Kampung Tandou Lahad Datu pada 9 Febuari lalu.

Menurut Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling, persoalan yang timbul kini adalah ke mana perginya benteng keselamatan negara yang diuar-uarkan sentiasa diawasi dengan ketat oleh pihak berkuasa.

Sehingga katanya, di perairan dan pesisir pantai Sabah disediakan kapal selam untuk tujuan keselamatan.

Episod pencerobohan bersenjata ini katanya, memberi persepsi bahawa tahap kawalan di perairan negara boleh dipertikaikan.

"Kenapa tidak diambil tindakan mengikut undang-undang yang ada dalam negara ini. Mereka datang membawa senjata ianya sudah cukup memberi ancaman kepada rakyat negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, hanya kerajaan sahaja yang boleh bertindak ke atas mereka dengan peruntukan undang-undang yang ada.

Jadi, beliau berharap kerajaan mengambil tindakan segera terhadap pencerobohan ini, bukan atas dasar emosi tetapi berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Beliau mengulas kejadian sekumpulan 100 orang yang dikatakan pengikut seorang sultan di Filipina melakukan pencerobohan di Lahad Datu yang kini sedang dikepung pihak berkuasa Malaysia.

Difahamkan pihak polis akan menggunakan saluran perundingan bagi menyelesaikan kemelut pencerobohan itu.

Sementara itu, Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar menangkis tanggapan bahawa polis tidak bertindak dengan tegas ke atas kumpulan penceroboh tersebut.

Katanya, tanggapan seperti itu hanyalah satu andaian namun polis mengetahui "tahu apa yang kita buat".

"Anda boleh buat andaian, tapi saya nak mengesahkan kita tahu apa kita buat, banyak pertimbangan kita ambil kira untuk kepentingan semua," katanya dipetik Malaysiakini..

Katanya, pasukannya mahu melihat satu kesudahan yang baik dalam episod kumpulan penceroboh di Lahad Datu dan akan mengusir mereka pulang ke Filipina mengikut saluran undang-undang.

Al-quwwah dan amanah teras kepimpinan Islam masa kini

Hasri bin Harun , 20 Feb 2013
Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa’ : ayat 58)


Memilih pemimpin yang benar-benar layak sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas merupakan suatu tanggungjawab yang sangat besar dan mulia disisi Allah SWT. Hal ini penting kerana kelayakan dalam kepimpinan menjadi teras utama dalam mengemudi sesebuah jemaah atau harakah Islam. Jika baik pemimpinnya, maka akan membentuk pengikut yang baik. Jika kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang tidak berkelayakan ia boleh menjerumus kepada kezaliman dan kehancuran.

Pemimpin yang adil menurut perspektif al-Quran adalah mereka yang mampu membawa wadah perjuangan ini ke arah keredaan Allah serta dapat menjana al-falah di dunia dan akhirat. Justeru, implikasi melantik kepimpinan dalam kalangan mereka yang tidak layak bakal membawa kepada kebinasaan bukan sahaja dari segi fizikal malah spiritual. Hal ini selaras dengan peringatan besar Junjungan Rasulullah SAW yang mengingatkan kita tentang kesan melantik pemimpin yang tidak layak sebagaimana  sabdanya, yang bermaksud:

“Apabila sesuatu amanah itu disalahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran. Para sahabat bertanya: Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya atau bukan orang yang layak, maka tunggulah saat kehancuran.”

Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, bagaimana  pelantikan seorang pemimpin bukan daripada mereka yang benar-benar layak akan memberi impak yang cukup besar kepada organisasi mahupun sebuah negara. Perbincangan tentang kelayakan atau pemimpin ini telah berlaku sejak zaman sahabat RA terutamanya dalam membincangkan tertib afdhal (layak) para Khulafa’ Rasyidun. Dr Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-Islam wa Falsafatu al-Hukm menyatakan:

Ia bersempena dengan dakwaan golongan Syi’ah yang menuduh para sahabat menafikan Ali daripada kepimpinan yang menurut mereka dia lebih afdhal daripada yang lain, maka berlakulah perbincangan tentang afdhal dan susunan tertibnya dalam kalangan sahabat, begitu juga keharusan pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang lebih afdhal.

Imam al-Haramain al-Juwaini menegaskan bahawa maksud:

“Al-fadhil dan al-mafdhul bukannya yang lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat taqarrub kepada Allah dalam amalannya. Boleh jadi seorang wali Allah yang menjadi tonggak dan rujukan seluruh alam yang jika dia bersumpah dengan nama Allah pasti akan terjadi, tetapi pada zamannya terdapat seorang yang lebih sesuai dan layak daripadanya untuk menguruskan urusan umat Islam."

Justeru, urusan kelayakan ini adalah suatu amanah dan perintah yang sangat penting dalam konteks sebuah kepimpinan dalam Islam. Menentukan mereka yang layak wajar diletakkan dari segi kefahaman erti layak sebagaimana takrifan para ulama muktabar namun dalam masa yang sama pengertian itu harus diserasikan dengan realiti dan keupayaan pemimpin dalam mengurus dan mentadbir alam tersebut.

Keadilan menuntut kebijaksanaan

Ciri utama pemimpin yang dinyatakan oleh Allah dalam surah an-Nisa tersebut adalah mereka yang adil. Keadilan adalah suatu istilah yang cukup besar maknanya dan mengikut pengertian ia harus difahami secara maknawi. Keadilan dalam jiwa pemimpin bukan sahaja mampu memberi kesamarataan dan membuat suatu keputusan yang disukai namun adalah lebih utama adalah kekuatan ilmu dan kebijaksanaan dalam mengemudi kepimpinan. Sejarah Islam telah menunjukkan bagaimana pemimpin yang adil bermula dari zaman baginda SAW dan para sahabat sehingga kepada para tabiin sehingga zaman ulama mutaakhirin. Sebagai contoh kepimpinan Umar Abdul Aziz, yang memerintah dalam satu tempoh yang pendek namun mempunyai jasa dan kualiti kepimpinan yang hebat dan menonjol. Sifat adil dalam konteks mengurus negara, serta mampu membina satu tamadun manusia telah memberi satu contoh bahawa kepimpinan yang baik bakal memberi kesan yang baik kepada tamadun manusia. Apakah kita generasi pemimpin masa kini mampu meneruskan tradisi kepimpinan sebegini?

Semua ini boleh kita jadikan sandaran kekuatan bagaimana memilih mereka yang benar-benar adil dalam memimpin. Istilah keadilan sememangnya mudah diguna pakai oleh mana-mana pemimpin sebagai senjata untuk membuktikan kepemimpinan mereka. Namun apakah kayu ukur kepada keadilan yang diwar-warkan? Apakah dengan memberi sesuatu hasil daripada khazanah rakyat yang dikumpul untuk diberikan kepada rakyat semula diangkat sebagai tema adil atau mempunyai niat tertentu untuk menaikkan nama dan kehebatan mereka dimata rakyat. Justeru bukan mudah untuk menobatkan keadilan pada mata masyarakat melainkan kayu ukur keadilan itu harus dipantau daripada kaca mata hukum syariat Islam.

Konsep al-‘Adalah dibicarakan menurut Islam memberi pengertian dan istilah yang mempunyai kekuatan iman dan keupayaan menterjemah iman kepada amal soleh secara tersusun dalam kepemimpinannya. Keadilan yang digambarkan dalam ayat ini memberi satu peringatan bahawa hanya mereka yang adil dalam memimpin mampu membawa organisasi ke arah yang lebih baik. Keadilan dari perspektif sebuah pemerintahan menurut menurut al-Mawardi  dalam kitabnya al-ahkam al-Sultaniyah menyatakan bahawa keadilan dalam pemerintahan sangat penting kerana matlamat kepimpinan adalah untuk menjaga kemaslahatan agama dan dunia.

Keadilan menurut al-Mawardi keadilan adalah satu sifat universal. Justeru mengabaikan keadilan bererti mengabaikan sifat kemanusiaan, justeru pemimpin harus menegakkan keadilan dari semua sudut, ekonomi, politik dan sosial. Jika seorang pemimpin mengabaikan keadilan yang sepatutnya mereka nobatkan, ini merupakan petanda bahawa kehancuran bakal menimpa ke atas umat di zamannya. Bahkan jika diteliti secara mendalam bahawa Allah SWT amar murka terhadap mereka yang diberi amanah tetapi khianat dengan amanah mereka.

Materialisme cabaran Hawa Nafsu sang pemimpin

Antara cabaran besar yang bakal dilalui oleh manusia yang bergelar termasuk  materialisme adalah cabaran hawa nafsu. Hawa nafsu yang sentiasa bertenggek dalam jiwa ini sentiasa akan menakluki hati dan jiwa jika dibiarkan lalai dengan perintah Allah SWT. Ketika mereka belum menjadi pemimpin dan sesudah dianugerahkan amanah ini, antara cabaran dalaman yang bakal dihadapi adalah cabaran kebendaan, fitnah dunia dan hawa nafsu yang bergejolak dalam apa jua keadaan. Hakikat ini tidak mampu diatasi jika seseorang pemimpin tidak benar-benar mempunyai jati diri dan kefahaman mendalam hakikat iman dan akidah yang jelas. Apatah lagi jika seorang pemimpin mengabaikan kefahaman mereka maka diri mereka mudah dikuasai dengan hawa nafsu. Apabila datang sahaja kemewahan khususnya dalam apa juga keadaan maka diri mereka muda dikuasai hawa nafsu.

Allah SWT mengingatkan pemimpin kita tentang kepentingan memelihara hawa nafsu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran,bermaksud:

“Hai Daud, Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) dimuka bumi, maka berilah keputusan diantara manusia dengan adil dan jangalah kamu mengikuti hawa nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah dan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surat as-Sad : ayat 26)

Berapa ramai dalam kalangan para pemimpin yang tenggelam dengan fitnah hawa nafsu mereka apabila berhadapan dengan kebendaan dan kemewahan dunia. Tatkala itulah segala khazanah dunia ini sudah tidak lagi dianggap sebagai aturan daripada Allah Taala dan amanah yang harus dilakukan. Namun yang menjadi keutamaan ialah keselesaan hidup dan kemewahan yang tidak ada penghujungnya. Maka dengan itulah timbulnya rasuah, dan penyelewengan yang membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan kemasyarakatan.

Gejala seperti membolot kemewahan negara, khazanah yang disimpan dengan mengambil kesempatan meluluskan projek untuk diri dan keluarga seseorang pemimpin adalah contoh yang paling hampir diperlihatkan bagaimana seorang pemimpin dikuasai oleh nafsu. Hakikat yang wajar dilihat adalah bagaimana cabaran dalam kepimpinan bukan sahaja untuk menduduki kepimpinan yang sememangnya besar amanahnya namun cabaran besar seorang pemimpin adalah memelihara hawa nafsunya agar tidak terjerumus dengan rasuah, penyelewengan, kronisme dan nepotisme.

Oleh hal yang demikian kepimpinan adalah amanah besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya bagi melaksanakan memakmurkan bumi ini mengikut kehendak dan aturan daripada-Nya. Dengan kesedaran inilah yang memungkinkan setiap hambanya untuk melakukan sesuatu amanah berdasarkan panduan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW serta berkeupayaan mengatur setiap tindakan agar tidak tersasar daripada kehendak yang maha pencipta. Sifat memenuhkan cita-cita nafsu dalam jiwa seorang pemimpin akan mengundang kepada meluasnya kehancuran kerana kepimpinan itu tidak lagi digalas sebagai amanah (taklif) tetapi sebagai suatu kemewahan (tashrif).

Anugerah kepimpinan daripada Allah ini bukanlah suatu kebanggaan yang harus dipuja dan diangkat sebagai satu kemuliaan namun harus diletak sebagai pertanggungjawaban besar didunia dan akhirat. Memahami akan kepentingan mengangkat pertanggungjawab dunia dan akhirat ini memungkinkan tercipta kepimpinan yang berteraskan prinsip ilahiah yang menjurus kepada kepimpinan rabbaniy sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Gesaan Allah SWT kepada Nabi Daud AS dalam ayat 26 surah as-Sad ini menggambarkan akan besarnya pertanggungjawaban seorang pemimpin dalam membuat keputusan, dan suatu amanah melaksanakan misi dan visi kerasulan mengangkat martabat insan yang tidak boleh diremehkan dengan sikap bertuhankan nafsu dan nilai kemanusiaan kosong namun harus adil dalam melaksanakan tugas berteraskan tauhid kepada Allah SWT. Keadilan yang digambarkan ini memberi satu kefahaman bahawa amanah kepimpinan tidak boleh dipisahkan daripada kefahaman ketuhanan iaitu setiap tindakan kepimpinan akan ditanya oleh Allah SWT diakhirat nanti.

Mengelak pemimpin yang ‘gila dunia’

Memilih pemimpin yang adil, bermaruah ini bukan sekadar tuntutan dunia.Ia tidak hanya sekadar memilih ketua dalam sebuah pejabat untuk mengurus urusan pejabat sehari mengikut aturan biasa. Ia juga bukan satu amalan memilih seorang ketua untuk memimpin aktiviti sukan dan kegiatan harian semata. Kepimpinan adalah suatu amanah dunia dan akhirat. Ia adalah suatu tanggunjawab dan perintah ilahi yang maha benar. Hal ini kerana, kepengikutan melulu dalam kalangan pemimpin yang zalim bukan semata dosa dunia malah akan berlaku penyesalan berkekalan sehingga hari kiamat. Allah berfirman yang bermaksud:

“ Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada  mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut :  Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka.” (Surah al-Baqarah : ayat  166 – 167)

Amaran keras daripada Allah SWT ini digambarkan dalam surat al-Baqarah yang menekankan bahawa pemimpin yang zalim pastinya akan berlepas daripada masalah mereka diakhirat nanti dan sebagai pengikut mereka akan merasa satu penyesalan berterusan dan ingin kembali ke dunia memperbaiki kesilapan mereka yang lalu. Penyesalan ini yang digambarkan dalam ayat ini merupakan suatu ingatan keras daripada Allah SWT agar manusia benar-benar memahami tanggungjawab dan impak kepada kepemimpinan yang tidak berlandaskan kepada ciri-ciri islam. Kecenderungan seseorang pemimpin yang meraih sebanyak mungkin kekayaan dunia untuk kepentingan diri mereka dan mengaut keuntungan dunia bukanlah suatu perkara pelik dalam dunia moden pada hari ini.

Justeru, intipati daripada ayat diatas memberi kesedaran bahawa sebagai pengikut kita harus menyedari bahawa Allah SWT menyatakan bahawa pemimpin yang zalim ini tidak sama sekali akan mempedulikan kita pada hari akhirat bahkan Allah tidak akan mempedulikan akan kesengsaraan di dalam neraka. Pemimpin yang baik harus menilai akan amanah yang dipikul dengan baik. Hal ini kerana setiap amanah tersebut akan dinilai oleh Allah diakhirat nanti. Jika kesedaran ini wujud dalam diri maka kita akan dapat mengelakkan lahirnya pemimpin yang gila dunia atau dengan kata lain lalai dengan penipuan dunia yang bersifat sementara.

Quwwah dan Amanah: Kriteria memilih pemimpin

Menurut Ibnu Taimiyyah, ciri kepimpinan hebat menurut Allah SWT perlu dipelihara dua rukun iaitu al-Quwwah dan Amanah. Kedua-dua rukun sangat penting sebagai ciri dan persediaan utama yang mesti ada sebagai seorang pemimpin Islam yang benar. Quwwah dari segi pemahaman syarak adalah bidang kuasa yang diberikan. Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. Sebagai contoh al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Inilah ciri dan kelayakan yang mesti dipilih oleh rakyat kepada pemimpin mereka bahawa jika pemimpin mempunyai kedua-dua ciri ini akan membawa kepada kepimpinan yang benar-benar diredhai Allah SWT. Kekuatan dan Amanah inilah pra syarat utama yang disepakati oleh ijma ulama bahawa seorang pemimpin mampu dan berkeupayaan dalam mengemudi kepimpinan mereka dalam segala kekuatan.

Manurut Al-Mawardi pula menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyah bahawa ijma ulama bahawa antara ciri penting pemilihan pemimpin adalah mereka yang mempunyai keupayaan (quwwah) dalam menyelesaikan masalah berteraskan ilmu, kebijaksanaan dan kaedah yang sesuai dengan masalah yang dihadapinya. Pelantikan kepimpinan tanpa diberi tumpuan dari segi aspek quwwah ini adalah merupakan suatu pengkhianatan terhadap asas penting kualiti kepimpinan yang ada. Apabila pemilihan kepada mereka yang lemah, ketidakmampuan mengurus sesuatu amanah maka akan mengundang kepada kelemahan dan ketidakaturan pengurusan kepimpinan.

Manakala Amanah pula merujuk kepada tiga perkara iaitu takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dan tidak takutkan manusia. Pemimpin yang beramanah adalah mereka yang memelihara hubungan dengan yang Maha Penciptanya, mengetahui akan kedudukan mereka sebagai hamba dan wakil pemimpin didunia ini, tugas mereka adalah mengurus dan mentadbir alam ini dengan kehendak Allah SWT dan menjaga hubungan sesama manusia. Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah an-Nur : ayat 55)


Keupayaan seorang pemimpin memikul amanah kepimpinan berteraskan wahyu Allah adalah kunci kepada kejayaan. Jika mereka mampu membawa kepemimpinan ke arah kesedaran maka ia adalah seorang pemimpin yang benar-benar dijanjikan oleh Allah syurga kerana amanah mereka melaksanakan tugas ini adalah suatu sunnah kerasulan kerana mereka mentadbir alam ini kerana Allah SWT.

Contohi kepimpinan Rasulullah SAW


Justeru, kepimpinan yang baik ini, tidak lain hanya dengan kembali kepada ajaran Islam sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Yakinilah bahawa Allah mengurniakan amanah kepimpinan ini bukan suatu yang mutlak kerana kita sebagai insan adalah wakil yang diperintahkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas mengurus dunia ini yang akhirnya akan dibawa bertemu dengan Allah SWT. Mahu tidak mahu contoh besar kepimpinan kita adalah Muhammad SAW seorang model pemimpin yang hebat dari segi akal, jiwa dan ruhaniahnya untuk memberi panduan membawa manusia kepada kebenaran kepada Allah SWT. Menurut Chowdry dalam bukunya “ The Prophet Muhammad : His Life & Eternal Message” menyatakan bahawa Rasulullah SAW bukan semata-mata seorang pemimpin spiritual yang berjaya sahaja tetapi baginda adalah seorang pemimpin masyarakat dan pemimpin negara yang berjaya.

Kepimpinan Rasulullah SAW diteladani oleh para sahabat diperingkat awal Islam sehinggalah kepada para tabi’ dan tabiin hinggalah sekarang adalah contoh besar yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pemimpin. Pemimpin pada hari ini berdepan dengan cabaran yang tidak ada tolok bandingnya. Sememangnya sukar untuk melahirkan pemimpin sebagaimana yang kehendaki tetapi cukup untuk kita melihat bahawa pemimpin yang hebat itu adalah mereka yang benar-benar mewarisi sifat dan ciri kepimpinan Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab : ayat 21)

Hasri Bin Harun berasal dari Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Beliau bekerja sebagai pengurus syariah di sebuah syarikat swasta.

Stadium Terengganu runtuh, kini runtuh lagi

Harakahdaily, 20 Feb 2013

(Pesuruhjaya PAS Terengganu, Wahid Endut bertemu petugas penyelamat di kawasan stadium yang runtuh)

KUALA TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan Kuala Terengganu yang runtuh sebelum ini runtuh lagi hari ini sehingga mencederakan beberapa pekerja tempatan.

Menurut saksi, sekurang-kurangnya tiga pekerja rakyat tempatan di keluarkan dari runtuhan itu dan dibawa ke hospital.

Bangunan stadium yang runtuh sebelum ini sedang dibaik pulih namun tiba-tiba ia runtuh dan menimpa beberapa pekerja binaan yang sedang bekerja.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mohd Abdul Wahid Endut yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian bergegas ke tempat lokasi sebaik sahaja dimaklumkan.

Beliau yang tiba di sana kira-kira jam 11.40 pagi sempat melihat tiga pekerja tempatan yang cedera ringan dikejarkan ke hospital.

"Saya difahamkan pekerja menjalankan kerja-kerja buang sisa kerangka yang runtuh sebelum ini, bimbang memberi mudarat kepada orang ramai. Tidak boleh nak kata apa, yang runtuh...runtuh lagi," katanya ketika dihubungi.

Turut bersama beliau ke lokasi kejadian Pengerusi Amanah Terengganu Datuk  Raja Bahrin Shah Raja Ahmad.

Ia merupakan kejadian kedua selepas bahagian bumbung stadium di Gong Badak, Kuala Terengganu itu runtuh pada Jun 2009.

Sampai masa Umno berada di petak pembangkang

Harakahdaily, 20 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Hakikatnya Umno sudah lumpuh kerana pimpinan Umno telah membunuh benih-benih kepimpinan sebegitu lama bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara.

Demikian pandangan Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/.

“Sekarang Umno hanya tinggal dari kalangan yang ‘buta mata hati’ tentang politik dan siasah. Tetapi oleh kerana semuanya dalam kategori yang sama mereka menganggap mereka yang menentang seperti saya ini sebagai pengkhianat kepada negara,” tulisnya.

Tulisan penuh beliau seperti di bawah.

Sekarang taktik UMNO untuk mendapatkan ‘mileage’ politik sangat rendah. Akhir-akhir ini satu ‘trend’ lama yang di perbaharui sedang berlaku, iaitu menunjukkan dalam berita dan Buletin Utama TV3 tentang pengisytiharan ahli-ahli PAS menyertai UMNO. Hampir setiap malam ia dilakukan oleh media perdana negara. Apabila saya melihat isu ini dilakonkan melalui TV3 dan saluran TV media perdana yang lain saya teringat semasa UMNO melakukan perang psikologi terhadap Parti Melayu Semangat 46 dahulu.

Semasa itu setiap malam kita menyaksikan kemasukan ahli-ahli Semangat 46 dalam UMNO. Parti S46 hanya mempunyai 350,000 ahli tetapi kalau dikira jumlah ahli S46 keluar parti yang disiarkan oleh TV3 itu melebihi 1 juta orang. Taktik ini taktik lama tetapi masih digunapakai oleh UMNO yang begitu terdesak dengan gerakan rakyat seluruh negara untuk menyaksikan perubahan dalam kepimpinan negara.

Saya masih teringat cerita penyampai berita TV yang saya kenali semasa itu. Di zaman itu pembaca berita selalunya merupakan seorang wartawan berita dalam masa yang sama. Oleh itu mereka tahu hal keadaan sebenarnya. Pembaca berita ini telah menelefon memberi tahu saya yang beliau akan membaca berita mengenai kemasukan 150 orang ahli Parti S46 ke dalam UMNO sedangkan sebenarnya hanya 10 orang sahaja yang berbuat demikian. “Semuanya bohong bro!” katanya.

Saya pun menjawab sambil berseloroh, “Tak apalah. Tapi kalau boleh semasa kau baca berita bohong itu, kau kenyit-kenyitlah mata kau tu. Orang yang menontonnya akan fahamlah yang kau baca itu berita bohong”. Dia tidak menjawab hanya ketawa berdekah-dekah sahaja.

Sesungguhnya inilah cara ‘desperado’ UMNO selama ini. Tetapi mereka tidak menyedari satu perkara yang saya selalu menulis tentangnya. Dalam pilihanraya kali ini berjuta ahli-ahli UMNO akan keluar parti semasa berada di dalam peti undi nanti. Ia telah berlaku dalam pilihanraya yang lalu dalam mana lebih dari sejuta ahli-ahli UMNO telah memangkah simbol Pakatan Rakyat, dan ia akan berlaku dengan lebih hebat sekali. UMNO tahu ini akan berlaku lagi kali ini.

Itulah sebabnya Dr Mahathir meminta setiap pemimpin-pemimpin bahagian seluruh negara berikrar di hadapan beliau yang mereka tidak akan melakukan sabotaj terhadap UMNO itu.  Dr Mahathir tahu perkara ini akan berlaku dan beliau faham dengan sedalam-dalamnya isu ini kerana beliau merupakan pensabotaj UMNO yang paling terkenal. Mahathir merupakan pensabotaj UMNO yang paling hebat kerana perkara itu dilakukannya dalam pilihanraya yang lalu.

Kalau Mahathir, seorang yang telah di angkat begitu tinggi oleh partinya sanggup mensabotaj UMNO itu, apa yang boleh menahan ahli-ahli biasa yang tidak mendapat apa-apa kepentingan untuk melakukan sabotaj terhadap UMNO itu? Kalau bapa sudah kencing berdiri, apa yang boleh menahan anak-anak tidak kencing dan berak sambil berlari?

Isu ini sebenarnya isu besar. Contohnya di Negeri Sembilan sahajalah. Pengerusi Perhubungannya tidak mendapat sokongan dari kebanyakan atau hampir keseluruhan Ketua-Ketua Bahagian dalam negeri itu. Mohammad Hasan sememangnya tidak boleh menjaga UMNO NS itu, tetapi entah kenapa beliau masih berada di sana. Saya tidak tahu apakah ‘jampi serapah’ yang beliau lakukan kerana beliau masih mengetuai UMNO di negeri adat itu.

Tetapi jika diketepikan Mohammad Hasan siapa pula yang hendak mengambil alih tempat beliau? Itu pun merupakan satu persoalan besar juga. Di NS semua pemimpin yang berkebolehan tidak mendapat tempat kerana permainan Ketua Perhubungan yang takut pada bayang-bayang. Isa Samad, semasa menjadi Menteri Besar, hanya mengumpulkan rakan-rakan guru sekolah beliau sahaja untuk menjadi Exco beliau.

Puluhan orang yang berkebolehan diketepikannya kerana takut kepada bayang-bayang. Semua yang berkebolehan mati begitu sahaja. Isa pun seperti Dr Mahathir juga, takut kepada orang yang beliau anggap akan menjatuhkan beliau. Itu sebab di semua peringkat dalam UMNO itu tidak ada lagi kepimpinan.

Akhirnya Dr Mahathir sendiri mengakui yang UMNO sudah busuk sampai ke ususnya, tetapi sejak kebelakangan ini beliau masih menyokong parti yang beliau anggap sudah busuk sampai ke ususnya itu. Itu sebabnya Dr Mahathir tidak boleh dijadikan ikutan kerana beliau seperti Ibrahim Ali, akan menyelekoh dengan tiba-tiba dalam hal politik ini. Mungkin itulah sebabnya Dr Mahathir dengan Ibrahim Ali, itu mempunyai ‘chemistry’ yang baik dan secocok serta saling menyandar di antara satu dengan yang lain.

Setelah Isa digantikan oleh Mohammad Hasan, orang ramai ingat akan berlaku peningkatan mentaliti dalam UMNO itu kerana semasa Mohammad mula-mula menjadi MB ramai orang Negeri Sembilan beranggapan yang beliau itu adalah pemimpin yang turun dari ‘langit ketujuh’. Tetapi akhirnya keadaan di negeri itu lebih teruk dari apa yang UMNO alami semasa Isa menjadi Menteri Besar dahulu. Lagi rendah kredibiliti wakil rakyat di negeri itu, mereka itu jugalah yang sedang dipertahankan oleh Mohammad. Kerana apa? Kerana  rasa rendah diri beliau dan takut kepada bayang-bayang sendiri.

Sekarang ini tinggallah pemimpin-pemimpin yang pucat-pucat, seperti orang yeng bercacing ‘kerawit’, untuk memimpin negeri itu. Itu sebabnya orang Melayu di Negeri Sembilan lebih mengenali Taufek, ADUN tunggal PAS, di sana dan ramai orang-orang Melayu UMNO akan berpindah randah di dalam peti undi nanti.

Lama juga saya berada dalam parti itu dahulu dan saya tahu apa yang sedang berlaku. Mungkin saya tidak tahu apa yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpinnya tetapi saya dapat merasakan yang ahli-ahli biasa dalam UMNO itu sudah lumpuh semangatnya dan tidak berdaya untuk mempertahankan arus perubahan di kalangan rakyat yang ramai. Siapa yang hendak menidakkan pandangan saya ini, mereka boleh berbuat sekendak hati mereka. Tetapi hakikatnya UMNO sudah lumpuh kerana pimpinan UMNO telah membunuh benih-benih kepimpinan sebegitu lama bukan sahaja di NS tetapi di seluruh negara.

Sekarang UMNO hanya tinggal dari kalangan yang ‘buta mata hati’ tentang politik dan siasah. Tetapi oleh kerana semuanya dalam kategori yang sama mereka menganggap mereka yang menentang seperti saya ini sebagai pengkhianat kepada negara.

Sesungguhnya pengkhianat itu akan menganggap semua yang lain itu pengkhianat seperti mereka juga. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Sampailah masanya UMNO itu duduk di petak pembangkang untuk mendapatkan masa bagi melakukan perubahan dalamannya.

Kalau orang besar-besar macam Dr Mahathir boleh beralih-alih perjuangannya kenapa pula orang biasa seperti kita ini takut untuk melakukan seperti apa yang beliau telah lakukan itu?

Dalam pilihanraya dulu beliau minta rakyat memilih calon, tetapi sekarang beliau meminta orang memilih parti pula. Dia ingat orang ramai ini siapa? Beliau mesti ingat pengundi-pengundi sekarang terdiri dari manusia yang berfikir, bukannnya haiwan belaan yang boleh dicucuk hidungnya.

PRU13: Tidak mustahil PR menang di kawasan Felda

Hazayani Zakaria, 20 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Tidak mustahil kebanyakan kawasan Felda jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin (gambar kiri).

Beliau berkata, jika melihat sejarah PRU Ke-10 pada tahun 1999, peneroka Felda, petani dan pesawah pernah memilih Barisan Alternatif (BA) menunjukkan mereka bukan pengundi tegar BN.

"Kalau lihat sejarah, Jengka pernah kalah. Mungkin isu pada ketika itu berbeza, isu harga kelapa sawit terlalu rendah dan sebagainya.

"Tapi sekarang isu itu masih ada, isu penyenaraian saham, harga kelapa sawit rendah dan sebagainya. Jadi semua isu itu memberikan kesan walaupun pelbagai kaedah dilakukan untuk pertahankan institusi tersebut.

"Tapi saya yakin kalau ianya pernah berlaku tak ada masalah untuk ianya berlaku sekali lagi," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan seorang peserta yang mempersoal kemampuan Pakatan Rakyat meraih sokongan peneroka terhadap mereka pada Forum PRU Ke-13: Kecemerlangan BN atau PR di Universitii Malaya, semalam.

Pada PRU Ke-10, BA menang di lapan kerusi Dun iaitu PAS (6), DAP (1) dan PKR (1).

Lima daripadanya adalah kawasan Felda iaitu Jengka, Paya Besar, Tahan, Guai dan Chini.

Daripada 10 pusat pengundian, PAS memenangi enam daripadanya iaitu peti undi Jengka 11,15,17,18, 19 dan Bandar Jengka.

Sukarelawan PRU13 masih dibuka, latihan malam ini

Anis Nazri, 20 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) akan menganjurkan siri latihan kepada orang awam yang berminat menjadi sukarelawan Pemantau, hari ini.

Siri latihan itu diadakan di Dewan Perhimpunan China KL dan Selangor, Jalan Maharajalela, bermula jam 7 malam ini.

Pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata latihan itu diadakan bertujuan meningkatkan aspirasi rakyat yang mahukan satu pilihan raya yang bebas dan adil.

Latihan itu, katanya bagi memberikan pendedahan kepada para sukarelawan yang akan berperanan sebagai pemantau pada pilihan raya umum ke-13.

"Malaysia memerlukan mata dan telinga untuk memantau perjalanan sistem pilihan raya bagi mengelakkan atau mencegah dari berlakunya salah laku dan penyelewengan sepanjang kempen pilihan raya.

"Atas sebab itu, para sukarelawan perlu diberi latihan bagi memastikan mereka tahu dan memahami secara jelas peranan penting mereka," kata beliau kepada media.

Pemantau, yang dilancarkan sebelum ini oleh Mafrel, Bersih 2.0 dan Pusat Komas, telah memulakan taklimat dan latihan ke seluruh negara dan telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 2,000 sukarelawan.

Bagaimanapun, kata Syed, Pemantau masih memerlukan lebih ramai sukarelawan menjelang pilihan raya umum ke-13 bagi mendokumenkan insiden-insiden penipuan dan penyelewengan.

Tambah beliau, laporan salah laku dan keraguan pilihan raya sebelum pembubaran parlimen begitu membimbangkan dan memerlukan lebih ramai pemantau.

Selain di Dewan Perhimpunan China, siri latihan juga turut diadakan pada 23 Feb di Ipoh, Perak, 24 Feb (Kolej Han Chiang, Pulau Pinang), 27 Feb (Dewan Perhimpunan China) dan 1 Mac (Terengganu).

Bagi orang awam yang berminat untuk menjadi sukarelawan Pemantau, boleh berdaftar di laman web www.pru13.info atau ketika hadir sesi latihan.

Misteri menjadi ahli PPP tanpa dipohon

Faiz Abdullah, 20 Feb 2013


(R Vijiyan dan isteri  Mabel Sue Geach menunjukkan Kad Keahlian PPP yang mereka terima.)


SENAWANG: Empat individu sekitar Senawang dan Seremban melahirkan rasa tidak puas hati apabila mereka menerima kad keahlian parti PPP, sedangkan mereka tidak pernah membuat permohonan untuk menjadi ahli PPP.

Malah apa yang mengejutkan ahli DAP dan MIC pun turut menerima kad keahlian PPP melalui kiriman pos.

Pasangan suami isteri R Vijiyan, 42, dan Mabel Sue Geach, 43, yang merupakan ahli DAP menerima kad keahlian PPP pada 08 Februari lepas.

Apa yang mengejutkan Vijiyan merupakan Timbalan Setiausaha DAP Cawangan Taman Sri Mawar di Senawang.

"Kami tidak pernah membuat permohonan menjadi ahli PPP, malah kami merupakan ahli DAP yang aktif di Taman Sri Mawar dan Senawang sejak sekian lama.

"Ini satu perkara yang serius dan saya bimbang jika butiran peribadi saya digunakan untuk tujuan tertentu. Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Senawang pada 13 Februari," kata Vijiyan.

Mengikut butiran kad keahlian PPP, nombor keahlian Vijiyan ialah N733451 dan Mabel N733453 dan direkodkan sebagai ahli PPP Cawangan Taman Ampuan Najihah berkuatkuasa 01 Ogos 2012.

Ahli MIC Taman Bukit Sri Senawang, V Selvamani, 49, turut menerima kad keahlian PPP dan nombor keahlian PPP beliau ialah N734317.Butiran kad keahlian Selvamani menunjukkan beliau menjadi ahli PPP Cawangan Kuala Sawah sejak 08 Ogos 2012.

"Saya membayar yuran keahlian MIC setiap tahun dan bagaimana perkara ini berlaku tanpa pengetahuan saya? Ini kes yang amat serius kerana menggunakan butiran peribadi saya untuk mendaftarkan saya sebagai ahli PPP,"ujar Selvamani.

Chua Yaw Long turut mengalami nasib yang sama.Kad keahlian PPP Chua bernombor N734308 dan beliau juga didaftarkan sebagai ahli PPP sejak 28 Ogos tahun lepas.

"Saya didaftarkan sebagai ahli PPP cawangan Bandar Seremban Selatan sedangkan saya tidak pernah memohon menjadi ahli mana-mana parti politik.Bagaimana mereka tahu butiran peribadi saya seperti alamat rumah dan nombor MyKad? Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 pada 15 Februari lepas," kata Chua.

Justeru itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P Gunasekaran (DAP) mengadakan sidang akhbar untuk mendedahkan isu kepada media.

"Kita hormati pilihan parti individu tetapi mendaftarkan seseorang itu tanpa persetujuan dan pengetahuan individu itu sendiri merupakan satu perkara yang salah dan melanggar hak peribadi individu," ulas Gunasekaran.

Gunasekaran berkata pihaknya akan menulis surat kepada Perdaftar Pertubuhan (ROS) dan meminta satu siasatan dilakukan berhubung aduan ini.

Mengulas isu ini Adun Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani (gambar) berkata kes ini membuktikan bagaimana maklumat peribadi sulit rakyat begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja.

"Perkara ini biasa berlaku di dalam Barisan Nasional (BN) apabila parti komponen BN berlumba-lumba mendaftarkan seberapa ramai ahli untuk menunjukkan kekuatan mereka.

"Ada kemungkinan PPP mendaftarkan ahli dalam cara begini demi kepentingan pemimpin parti tersebut, menunjukkan kononnya PPP mempunyai sekian ramai ahli di Senawang untuk mendapatkan kuota kerusi dalam Pilihan Raya Umum nanti," kata Mohd Taufek.

Turut hadir ADUN, Bukit Kepayang, Cha Kee Chin (DAP).

Tiada ulasan: