Mengaku Melayu Islam, tetapi...
Melayu Prai, |
Amat menyedihkan, syarikat ini yang berada di bursa saham, semua pengarah adalah Melayu, dan FELDA pemegang saham terbesar masih tidak mampu memberi kan pekerjanya hak menunaikan tanggung jawab agama.
Tidak hairanlah tiada keberkatan dalam syarikat FELDA ini. Keuntungannya merosot. Malah menurut sumber, syarikat bakal kehilangan kontrak membekal gula pada syarikat antarabangsa kerana gagal mematuhi standard kebersihan. Nama syarikat bakal terjejas teruk. Tetapi pekerja seperti mengharapkan perkara itu berlaku kerana ingin menghukum FELDA yang gagal memberi mereka hak Solat Jumaat, jauh sekali membela kebajikan mereka.
Sama-samalah kita berdoa pengarah-pengarah yang berbangsa Melayu di sana terbuka pintu hati mereka untuk memberi hak kepada bangsa mereka sendiri menunaikan tanggung jawab agama. Moga korporat-korporat Melayu faham akan pentingnya unsur keberkatan dalam mencari rezeki yang halal.
'Trak ini akan bawa kita ke Putrajaya'
Muhammad Faeez Azahar, | 22 Feb 2013 |
Menurutnya, trak tersebut akan membawa kemaraan rakyat untuk meneruskan gelombang perubahan dalam PRU13 nanti.
Nizar berkata, pendekatan baru PAS ini menjadi igauan ngeri kepada BN yang semakin tidak tentu arah untuk menarik sokongan rakyat bagi mempertahankan kuasa mereka.
“Ini akan menjadi satu cara untuk PAS bergerak ke seluruh negara bagi memberikan maklumat kepada rakyat berdepan PRU13 nanti,” katanya dalam ucapan ringkas.
Kehadiran trak tersebut menjadi tarikan ratusan masyarakat khususnya penduduk setempat di Manjoi yang menunggu lama untuk melihat lebih dekat walaupun hujan turun dengan lebat.
Ternyata kehadiran trak itu memberi impak positif kepada rakyat yang melihat pendekatan tersebut menggambarkan PAS bersedia dan mampu mentadbir Negara.
Ini adalah singgahan sulung trak sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah untuk menjalankan program-program yang telah dijadualkan.
Turut bersama ialah AJK PAS Pusat, Asmuni Awi, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Setiausaha Pemuda PAS Perak, Salman Saleh serta penolongnya Safarizal Saleh.
Tiga kategori kedudukan orang beriman di sisi Allah
Dr Juanda Jaya , | 20 Feb 2013 |
Sememangnya kedudukan Mukmin itu bertingkat-tingkat mengikut keadaan amalan masing-masing. Hal ini dinyatakan di dalam surah Faathir ayat: 32 yang bermaksud: “Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada yang mendahului dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.”
i. Al-Sabiquna bil khairat (mereka yang mendahului dalam berbuat kebaikan). Kedudukan mereka dekat dengan Nabi SAW kerana iman yang mendalam dan amal saleh yang dilakukan. Mereka adalah VVIP di sisi Allah dan Rasul-Nya, yang berjuang bersama-sama Nabi dan yang paling cepat menyahut seruan iman kemudian beramal dengannya. Dr Aid al-Qarniy menyatakan di dalam kitabnya ’Ihfazillah Yahfazukallah’ menyatakan bahawa golongan Assabiqun ini memiliki sifat-sifat melakukan ibadat yang wajib dan merasa tidak cukup dengannya sehingga menambah dengan ibadat yang sunat. Sehingga kedudukan mereka jauh lebih tinggi daripada hamba-hamba Allah yang lain.
ii. Al-Muqtashid (Golongan pertengahan). Dr Aid juga mengulas tentang golongan ini, beliau berkata: “Mereka ini ialah golongan yang merasa cukup melakukan kewajipan-kewajipan sahaja." Hal ini telahpun melayakkan diri mereka mendapat kecintaan Allah SWT. Sepertimana hadis Baginda SAW yang bermaksud: “Tidaklah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai melainkan dia melakukan sesuatu yang telah Aku wajibkan ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah). Namun demikian keadaan mereka di syurga berada di bawah golongan Assabiqun.
iii. Zalimun linafsihi. (Yang menzalimi dirinya sendiri). Saidatina Aisyah RA pernah ditanya oleh seorang sahabat, Masruk RA: ”Wahai bonda, siapakah orang yang masuk dalam kumpulan Assabiqunabil khairat? Aisyah menjawab: ”Iaitu orang-orang yang hidup bersama Rasulullah, sementara al-Muqtashid ialah mereka yang hidup selepas baginda wafat. Dan yang menganiaya diri sendiri (zalimun linafsihi) adalah aku dan kamu.”
Perkataan Ummul Mukminin Aisyah RA yang merendah diri menunjukkan kepentingan meletakkan diri dalam keadaan waspada dan takut kepada Allah. Namun begitu, tidak mustahil kita boleh mendapatkan kedudukan Assabiqun, walaupun amal dan perbuatan kita amat jauh ketinggalan dibandingkan dengan para sahabat RA. Satu syarat mutlak bagi kita mencapai kedudukan ini ialah apabila kita mencintai golongan Assabiqun dengan menyertai mereka dalam setiap amal perbuatan, walaupun kita tidak berada pada zaman mereka. Mencintai bermaksud menjadikan mereka sebagai inspirasi dan teladan di dalam kehidupan. Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang mencintai suatu kaum maka dia akan bersama-sama dengan mereka di syurga kelak. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: Bagaimanakah jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya (di akhirat).
Mencintai membawa maksud mengikuti amalan mereka dengan mengambil acuan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada mereka. Amalan mereka mengikut sunnah dan tidak tercemar oleh unsur bid’ah. Mereka memastikan amalan yang dibuat adalah berdasarkan ilmu dan dalil yang kukuh. Jauh sekali dari sikap mengikut sesuatu amalan yang tiada asas. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara orang-orang mukmin itu ada golongan yang menepati apa yang dijanjikannya kepada Allah, di antara mereka ada yang menemui ajalnya (mati syahid) dan di antara mereka ada yang menanti-nantikannya (untuk memperoleh syahid) dan tiadalah mereka ingin menukar janji itu dengan yang lain. (Surah al-Ahzab : Ayat 23)
Mereka telah mendahului kita dalam perjuangan dan pengorbanannya kepada Allah SWT. Kini kita berada pada kedudukan menunggu panggilan. Allah SWT tidak akan memungkiri janji-Nya. Walaupun kita sering terlupa seketika. Seperti perkataan Ummul Mukminin Aisyah RA : Zalimun linafsihi itu aku dan kamu.
http://drjuanda.com/
Tolonglah kami!!!
Pegawai khidmat pelanggan, |
Hal ini kerana kami para pegawai khidmat pelanggan telah di serap/ dipindahkan dari jabatan masing-masing dan diserap ke Mampu, Jabatan Perdana Menteri. Tetapi kebajikan kami diabaikan!
Bayangkan kami yang kebanyakan telah berumahtangga, beranak pinak. Ada yang terpaksa berulang dari Tanjung Malim, Perak, dari kawasan pedalaman di Selangor, dan lain-lain kawasan yang jauh untuk ke Cyberjaya. sudahlah tiada rumah/ kuarters disediakan, tiada elaun diberi, diberi waktu kerja syif pula! Kami benar-benar rasa teraniaya.
Saya dan kawan-kawan yang lain telah mengadu ke pihak atasan di Mampu namun tidak diendahkan. Kami juga telah mengemukakan aduan ke Cuepacs, tapi tidak dilayan! Hendak meletakkan jawatan, kami punya komitmen, punyai hutang piutang yang terpaksa dibayar!
Tolonglah kami!!!
‘Jangan pilih bos, tapi pilih jadi bos’
Harakahdaily, | 09 Feb 2013 |
KUANTAN: “Cukuplah budaya ini. Sebelum berkuasa, mereka datang merayu undi. Lepas kita beri kuasa pada mereka, kita pula yang takut pada mereka.”
Begitulah nasihat Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada para hadirin yang menghadiri ceramah di Kampung Kempadang, Kuantan malam semalam.
Di hadapan kira-kira 500-750 hadirin, Tuan Ibrahim berkata PRU13 adalah peluang terbaik rakyat untuk memperbetulkan kesilapan sistem di negara ini.
“Wakil rakyat sepatutnya pekerja untuk rakyat. Ini tidak, dia pula jadi bos rakyat. Cukuplah. Ambil peluang di PRU13, jangan pilih bos, tapi pilih jadi bos,” kata beliau ketika ditanya Harakahdaily selepas ceramah.
Dalam ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa di dalam dunia politik, segala kemungkinan akan berlaku. (Gambar)
“Oleh itu jangan kita sombong. Masihkah tuan-tuan dan puan-puan ingat bagaimana Khir Toyo membuat deklarasi pembangkang sifar di PRU yang lalu. Lalu apa terjadi, beliau menjadi ketua pembangkang Selangor,” kata beliau.
Kata beliau, orang politik yang menang pilihanraya seharusnya tidak sombong kepada sesiapa, dan mereka yang memilih orang politik di pilihanraya tidak sepatutnya takut pada orang politik apabila mereka berkuasa.
“Ingat tak insiden hadiah penyapu Khir Toyo? Jika anda kakitangan kerajaan tersebut, apa yang anda rasa? Kakitangan kekal, paling teruk kena transfer (dipindahkan). Tapi orang politik boleh dijatuhkan. Oleh itu, jangan sombong,” kata beliau.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru rakyat menyokong mereka yang menawarkan kerajaan bermoral.
“Kerajaan bermoral hanya boleh datang daripada mereka yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi,” kata beliau, sambil menambah sebuah kerajaan bermoral tidak akan terjebak dengan rasuah dengan mudah mahupun menindas rakyat.
Sementara itu, Anwar berkata sudah menjadi kebiasaan Umno untuk menyalahkan beliau dalam apa-apa perkara.
“Saya ini agen macam-macam. Agen Cina, agen Yahudi, agen CIA dan sebagainya,” sindir beliau.
Bagi beliau, itu semua mainan politik Umno untuk memburukkan musuhnya tanpa sedar sebenarnya yang buruk adalah mereka yang kini tidak boleh ditutup lagi.
Pemimpin adil dan amanah disukai Allah dan manusia
Mohammad Suffian Fauzi , | 21 Feb 2013 |
Firman ALLAH bermaksud:
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58).
Pengenalan surah
Menurut Ibnu Kathir, beliau telah menjelaskan bahawa selepas pembukaan kota Makkah pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah SAW telah meminta kunci Kaabah daripada Usman bin Thalhah. Baginda membuka serta memasuki Kaabah. Setelah keluar daripadanya, Rasulullah SAW membaca ayat daripada petikan surah an-Nisa ini yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikannya”.
Baginda memanggil Usman bin Thalhah dan menyerahkan kunci Kaabah kepada beliau sambil bersabda yang bermaksud, “Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan akan kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim”.
Menurut Ibnu Kathir, ramai ulama tafsir mengatakan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Usman bin Thalhah. Disebabkan itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci tersebut kepadanya.
Selepas kewafatan Usman pada pada tahun 42 Hijrah, beliau tidak mempunyai anak lalu kunci Kaabah telah diberikan kepada sepupunya iaitu Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Kemudian anak-anak Syaibah mewarisi kunci itu secara turun-temurun sehingga hari ini dan sampailah pada Hari Kiamat. Malah, mereka dikenali sebagai dengan nama ‘As-Syaibiyyin’.
Sebagaimana yang tersebut dalam hadis, “Kekal selama-lamanya di tangan kamu” menunjukkan bahawa keturunan Abu Thalhah akan kekal sehingga Hari Kiamat dan penjagaan Kaabah berada dalam tangan mereka. Hal ini merupakan salah satu daripada mukjizat Rasulullah SAW.
Pengajaran daripada cerita di sebalik turunnya ayat ini adalah sifat amanah dalam keluarga dan keturunan Abu Thalhah yang menjaga kunci Kaabah yang panjangnya 40 sentimeter itu secara turun-temurun dan kekal ke hari ini. Maka inilah sifat amanah yang dianjurkan oleh Islam kepada umatnya kerana menjaga amanah merupakan sifat yang tergolong dalam sifat mahmudah dan barangsiapa yang tidak menjaga amanah, maka tunggulah pembalasan Allah yang setimpal sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud:
“Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal permakanan (halal dan haram).”
Tafsir surah An-Nisa Ayat ke-58
Ayat yang ke-58 daripada petikan surah An-Nisa ini menerangkan konsep amanah. Amanah adalah perkataan yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab “Al-Amanah” dan diambil daripada kata dasar “Alif di atasnya hamzah, mim, nun” disebut “Amina”. Selanjutnya, daripada perkataan ini terbitlah perkataan “amaanun” yang juga diserap ke dalam Bahasa Melayu, membawa erti aman, dan daripada perkataan ini jugalah, terbit pula perkataan “Al-amiin”. Perkataan ini memberi dua maksud yang berbeza iaitu satu daripadanya ialah yang bermaksud orang yang sangat jujur dan amanah dan satu gelaran pergi kepada gelaran masyarakat Arab Jahiliyyah Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda diutus menjadi Rasul.
Manakala, perkataan yang menjadi lawan kepada perkataan amanah ini ialah “Khianat” yang juga berasal daripada perkataan “Al-Khianah” yang sering kita dengar diberi makna sebagai “pecah amanah” atau “tidak jujur” atau “curang” dalam Bahasa Melayu. Orang yang memegang amanah biasanya dinilai oleh pemberinya agar dapat memelihara dengan baik apa yang diberikannya itu. Sebagai contoh, seseorang yang bakal memimpin sekelompok masyarakat dalam kawasan itu akan dinilai akhlaknya terlebih dahulu oleh masyarakat sebelum orang itu diangkat menjadi seorang pemimpin rakyat kerana kebaikan seorang pemimpin adalah lebih baik daripada kebaikan zaman. Tambahan lagi, ayat daripada petikan surah ini berbentuk jamak daripada perkataan amanat. Hal ini sudah pasti jelas menunjukkan, amanat bukan sekadar bersifat kebendaan, bahkan juga bersifat bukan kebendaan.
Ketika Allah memerintahkan dan menetapkan hukum dengan adil, ayat ini dimulai dengan mengatakan, “Apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia”. Tetapi sebelum itu, kita dihidangkan dengan maksud ayat yang memerintahkan untuk menunaikan amanat. Hal ini menjelaskan akan syariat bahawa setiap manusia telahpun menerima amanah secara potensial sebelum kelahirannya dan apabila dia mencapai tahap umur akil baligh. Menetapkan sesuatu hukum tidak semudah yang kita sangkakan. Terdapat syarat-syarat yang seharusnya kita ikut dalam melaksanakan amanah. Tamsilnya, kita seharusnya penuh dengan ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam dan tata cara menetapkannya serta masalah yang harus dihadapinya ketika melaksanakan amanah. Bagi memenuhi syarat-syarat inilah, maka diturunkan petikan ayat daripada surah an-Nisa ini dan ditujukan perintah dengan kamu harus menetapkan untuk berlaku adil.
Ayat daripada petikan ini juga memerintahkan kepada kita semua untuk menunaikan amanat, ditekankan bahawa amanat tersebut harus ditunaikan kepada ahlinya yakni pemiliknya, dan ketika memerintahkan menetapkan hukum dengan adil, dinyatakan pula apabila menetapkan hukum kepada manusia. Hal ini bermaksud bahawa perintah berlaku adil itu ditujukan terhadap manusia secara menyeluruh. Dengan itu, sama ada amanat mahupun keadilan harus ditunaikan dan ditegakkan tanpa membezakan keturunan dan ras. Hal inilah yang menyebabkan keadilan dikatakan sebagai timbangan kebenaran.
Kategori Pembahagian Amanah
Berpandukan kepada firman Allah dalam surah An-Nisa ayat ke-58 ini, kita dapat mengklasifikasikan bahawa amanah yang melibatkan diri manusia terbahagi kepada tiga bentuk. Pertamanya adalah hubungan amanah antara manusia dengan Allah. Hal ini memberi erti kepada memelihara hukum Allah dengan berusaha untuk menjadi seorang khalifah yang baik di bumi Allah ini melalui pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan hak Allah meliputi kewajipan mematuhi perintah yang diperintahkan kepada kita dan menghindari larangan-larangan-Nya.
Keduanya adalah amanah manusia dengan manusia. Seseorang yang diberikan amanah harus mengembalikannya kepada sang pemilik tanpa ditambah dan dikurangi. Hal ini meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersifat adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling. Hiduplah kita seperti lilin yang menerangi orang lain dan janganlah kita hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.
Ketiga, amanah yang ada pada diri manusia itu sendiri seperti usia, kekuasaan, kemampuan jasmani dan mental. Jika dipandang dari sudut agama, semua itu adalah amanah Tuhan yang ada dalam tangan kita. Hal ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan menggunakan tubuh badan dan segala kurniaan Tuhan kepada kita demi menghampirkan diri (taqarrub) kepada-Nya. Pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan diri peribadi meliputi kewajipan menunaikan hak diri menepati pesan Nabawi, “Sesungguhnya bagi dirimu ada hak yang wajib kamu tunaikan”. Oleh itu, seorang Muslim sejati yang amanah tidak melakukan sesuatu selain yang bermanfaat dari segi agama dan kehidupan dunia-akhiratnya. Tambahan lagi, kita dituntut untuk tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya sama ada di dalam dunia mahupun akhirat, dan tidak mendedahkan dirinya kepada serangan penyakit dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Pemimpin kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab
Pemimpin sering dikaitkan dengan amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin. Adapun, kerajaan merupakan suatu badan atau organisasi yang sah dalam suatu kawasan tertentu yang mempunyai bidang kuasa tunggal bagi memegang jawatan dan kuasa tertentu. Kuasa yang diberikan rakyat kepada para pemimpin kerajaan haruslah digunakan sebaik mungkin bagi menegakkan dan melaksanakan hukum Allah serta sentiasa berlaku adil dalam memimpin negara.
Manakala, perkataan tanggungjawab membawa maksud suatu beban atau tugas yang perlu dipikul, atau bebanan tugas yang dipikulkan kepada seseorang untuk dilaksanakan dengan penuh perhatian, prihatin serta ketelitian sehingga sesuatu kerja itu dapat disempurnakan tanpa cacat celanya dengan berdasarkan prinsip “minima masa, maksima usaha”. Terdapat banyak nas daripada ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis yang memperkatakan tentang sifat amanah yang membuktikan betapa sifat ini merupakan sifat yang paling mulia dan wajib dimiliki oleh manusia sejagat, khasnya mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT, Rasul-Nya SAW dan hari akhirat.
Malah, berpandukan mafhum daripada Surah an-Nisa ayat ke-58 tadi, ayat ini pada zahirnya memfokuskan kepada golongan pemerintah kerana mereka banyak terlibat dengan menjatuhkan sesuatu keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat marhaen. Keadilan dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah menjalankan segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab sekali gus keadilan mestilah sampai kepada setiap rakyat jelata tanpa mengira kedudukan mereka. Janganlah kita berlaku tidak adil terhadap rakyat kerana sekiranya itu terjadi, maka hilanglah kepercayaan dan kehormatan rakyat kepada kerajaan yang boleh membawa 1001 keburukan kepada perlembagaan negara.
Aplikasi surah An-Nisa ayat 58
Melalui petikan surah ini, kerajaan mestilah mengambil semua iktibar daripada apa tuntutan yang Allah tegaskan terhadap pemimpin dalam membentuk kerajaan yang adil dan saksama. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kepemimpinan itu satu amanah yang berat yang pada hari kiamat nanti, ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan seorang pemimpin yang melaksanakan dengan amanah dan adil kepada rakyat bawahannya.” (Riwayat Abu Hanifah).
Justeru, kuasa kepemimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli atau seumpama barangan mainan yang boleh bertukar tangan. Sebaliknya, kuasa itu wajib diberikan kepada orang yang benar-benar berkelayakan dan berkarisma dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Oleh itu, seorang pemimpin yang adil tidak akan mengamalkan dasar kronisme, rasuah atau politik wang, pilih kasih dan penyelewengan lain dalam pemerintahannya. Sebaliknya, pemimpin haruslah sentiasa berfikir ke hadapan dalam memikirkan masalah rakyatnya, di samping merencana pelan strategi untuk menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakatnya. Pemimpin tidak seharusnya menggadaikan prinsip dan amalan dalam membina kerajaan yang adil dan berkebajikan seperti pemimpin kerajaan yang membolot hasil perbendaharaan negara (duit rakyat) demi kepentingan diri yang mengiurkan itu sahaja. Maslahat negaranya mengatasi kepentingan dirinya dan keluarganya. Kerajaan haruslah peka dengan kehendak rakyat yang mahukan keadilan demi kehidupan rakyat yang aman dan selesa bak kata peribahasa pujangga Arab berbunyi, “Janganlah kita abaikan permintaan orang (rakyat), kalau tidak mahu permintaan kamu (kerajaan) diabaikan orang”.
Tambahan lagi, dari segi kepimpinan dalam kerajaan pula, kerajaan yang adil meletakkan kedudukan hukum Islam dalam sistem perundangan pada tahap tertinggi sekali dan tidak ada sesiapa yang mampu melepasinya. Meletakkan hukum Islam di tempat yang paling tinggi ini tidak ubah seperti peribahasa Latin yang berbunyi, “Biarpun langit runtuh, hukum harus tetap ditegakkan”. Keadilan kerajaan terjelma ketika memberikan kesaksamaan ruang dan peluang dalam segenap bidang meliputi sosial, perekonomian dan politik kepada seluruh rakyatnya. Menurut Khalifah Abdul Malik bin Marwan, katanya “Semulia-mulia manusia (pemimpin kerajaan) ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya, membalas dan bersikap adil ketika kuat”.
Kebajikan kerajaan yang tercerna dalam sikap tegas dasar yang digubal bagi memastikan peluang pekerjaan yang mencukupi, sumber makanan yang meluas dan murah serta kemudahan penginapan yang mampu dimiliki. Mengikut fakta cerdik pandai ekonomi, rakyat yang berada dalam kepimpinan kerajaan yang berteraskan negara berkebajikan sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram, damai dan aman kerana keyakinan terhadap kemurahan dan sikap berkepedulian kerajaan yang menaunginya. Hal ini yang menjadi antara ciri-ciri kerajaan yang memperjuangkan keadilan tanpa mengira dan melihat kepada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin, kaya atau perbezaan agama kerana seandainya kerajaan tidak mampu untuk mengutuskan secebis kesenangan kepada rakyat,maka berusahalah supaya pihak kerajaan untuk tidak mengirimkan walau sezarah kesusahan kepada rakyat jelata.
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat ke-58 ini berhujung dengan peringatan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Segala yang terjadi, terbuka atau tertutup, terdedah atau tersembunyi, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan pelaksanaan amanah dan penegakkan keadilan tidak akan ada yang terlepas daripada pendengaran dan penglihatan Allah yang bersifat sami‘ an basiran. Segalanya akan dihisab dan seterusnya diberikan balasan berasaskan Keadilan Illahi yang Maha Mutlak.
Berdasarkan kepada keterangan maksud penghujung ayat dari surah An-Nisa ayat ke-58 ini, jelaslah sesiapa yang melakukan kezaliman kepada rakyat dan tidak berlaku adil akan disoal oleh Allah di akhirat kelak tentang apa yang mereka telah lakukan. Hal ini kerana, prinsip keadilan dalam Islam menjamin kesemua yang berhak mendapat haknya, tidak ada orang yang lemah yang tertindas, dan tidak ada orang yang kuat yang memeras. Kerajaan haruslah berlaku adil dalam setiap aspek walaupun berlaku adil itu merupakan tugas yang amat berat dan memerlukan pengorbanan komitmen yang tinggi.
Pengajaran surah An-Nisa ayat 58
Daripada ayat petikan surah An-Nisa ayat ke-58 ini, kita dapat mengutip beberapa pengajaran yang berguna untuk pedoman diri sebagai seorang pemimpin dalam membentuk kerajaan yang adil yang menjadi tuntutan utama dalam petikan ayat ini.
Antara pengajarannya ialah setiap amanah memiliki pemiliknya yang harus diserahkan kepada yang berhak. Penyerahan amanah sosial seperti pemerintahan dan pengadilan kepada orang-orang yang bukan ahlinya adalah bertentangan dengan tuntutan iman. Sebagai tambahannya pula, amanah harus diserahkan kepada pemiliknya sama ada pemiliknya itu kafir atau musyrik sekalipun. Dalam menunaikan amanah kemukminan ini, si pemilik tidak disyariatkan.
Tambahan lagi, sebagai khalifah di bumi Allah ini, manusia tidak terlepas daripada memerlukan nasihat dalam kehidupan mereka sendiri dan nasihat yang terbaik datang daripada Allah (Al-Quran) dan Rasulullah (Al-Sunnah).
Jelas terbukti bahawa akidah yang suci mampu membina sifat amanah yang mulia. Orang yang amanah dikasihi Allah SWT dan disukai oleh manusia.
*Mohammad Suffian bin Fauzi berasal dari Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu dan masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa
MB lawat keluarga mangsa terjatuh dalam sungai
Rizal Tahir, | 22 Feb 2013 |
“Baru semalam saya pulang dan hari ini saya telah dimaklumkan oleh setiausaha saya berhubung kejadian ini.
“Saya juga mengucapkan takziah pada ibubapa mangsa dan berdoa semuga pencarian beberapa hari ini Allah gantikan dengan yang baik,”ujarnya.
Adik Mohd Arif yang juga bekas pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu ketika melalui pelantar besi pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dengan menaiki motosikal.
Dia melalui kawasan itu bersama dua lagi rakan yang berjalan kaki melintasi pelantar besi itu menuju ke arah Pasir Pekan, Tumpat.
Dalam kunjungan itu semalam juga, Tuan Guru mengucapkan terima kasih kepada kesungguhan pasukan penyelamat termasuk anggota Bomba dan Penyelamat, Polis berusaha mencari mangsa.
Berhubung kejadian itu, beliau meminta ibubapa menasihati anak-anak supaya tidak menunggang motosikal sekiranya mereka tidak mempunyai lesen memandu.
“Jika tidak ada lesen mereka ketakutan dan akan bertindak sendirian walaupun akan meragut nyawa mereka,”ujarnya.
Tuan Guru turut menyampaikan sumbangan kepada bapa mangsa, Mohd Nordin Mohd Long, 50.
Sebelum itu Tuan Guru mendengar taklimat yang disampaikan pasukan keselamatan. Hadir sama Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.
Ibu mangsa, Fatimah ketika ditemui melahirkan rasa terharu di atas kunjungan Tuan Guru yang tidak diduga itu.
Beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru yang turut berkongsi kedukaannya bersama anggota keluarga.
Semalam merupakan hari keenam usaha mencari dilakukan di tepi Sungai Kelantan dan sekitarnya.
Rakyat setempat teruja treler Negara Berkebajikan
Muhammad Faizal, | 22 Feb 2013 |
BAYAN BARU: Pengunjung sekitar tapak perniagaan up-town Bandar Perda di sini teruja dengan treler Jelajah Negara Berkebajikan PAS yang dijadikan pentas ceramah dalam masa yang singkat.
Konvoi jelajah yang tiba di destinasi kedua pada pukul 10.30 malam tadi selepas Manjoi, Perak memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk melihat lebih dekat keistimewaan treler tersebut.
Dalam pada itu, pihak Badan Bertindak Hapuskan Tol Jambatan Pulau Pinang (Hapus) turut mengambil kesempatan untuk berucap di pentas ceramah treler itu.
Pengerusinya, Zolkifly Md Lazim berharap rakyat Pulau Pinang terus mengekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat demi pembelaan yang lebih terjamin.
Malah menurut beliau lagi, Hapus akan terus berjuang untuk menuntut agar kerajaan menghapuskan tol jambatan Pulau Pinang dan bukannya bertindak menyambung terus konsesi.
"Rakyat Pulau Pinang perlu terus mengekalkan pentadbiran yang ada sekarang demi kesejahteraan yang berkekalan.
"Dengan tindakan ini saja kehidupan kita akan terus terjamin, pembelaan rakyat terus diutamakan sepenuhnya," kata beliau.
Zolkifly yang bangga kerana dapat berdiri di atas pentas treler jelajah yang menjadi kebanggaan PAS itu merasakan ia merupakan satu isyarat jelas Pakatan Rakyat akan tampil sebagai Kerajaan Pusat pada pilihanraya umum nanti.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Bayan Baru, Dzulfahmi Abu Bakar menghargai anggota konvoi jelajah itu dan komitmen mereka merupakan pemangkin kepada kejayaan PAS pada pilihanraya nanti.
Beliau yang mahu setiap anggota jentera PAS dan rakyat terus memberi sokongan kepada konvoi jelajah yang singgah di setiap daerah dan negeri.
Katanya, dengan adanya konvoi jelajah itu, PAS dapat mendekati rakyat dan menyampaikan segala maklumat yang perlu diketahui mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan