Sabtu, 23 Februari 2013

HINA LAGI PENJENAYAH...HINA LAGI PENZINA...HINA LAGI SIPENIPU...HINA LAGI KAKI SONGLAP....HINA LAGI PENGAMAL RASUAH...HINA LAGI MENGHINA HUKUM ALLAH...KAYA BUKA PENEBUS DOSA DAN NERAKA...PENEBUS NERAKA ADALAH TAKWA

Individu kaya di M'sia seramai 68,000 pada 2015
 
Bilangan individu kaya di Malaysia akan meningkat lebih sekali ganda daripada 32,000 orang sekarang kepada 68,000 orang pada 2015, dengan nilai bersih masing-masing meningkat sebanyak US$140 bilion hingga US$330 bilion.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata bilangan yang mengagumkan ini memberikan keyakinan terhadap keteguhan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau juga berkata negara ini mestilah membangunkan industri pengurusan pelaburan domestiknya yang boleh mengurus bukan sahaja kekayaan domestik, malah juga kekayaan di peringkat rantau Asia Pasifik.

Ahmad Husni berkata industri pengurusan kekayaan adalah sektor perkhidmatan kewangan paling pantas berkembang di Malaysia dan Asia Tenggara.

Dalam hubungan ini, penetapan 2013 sebagai tahun pengurusan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah tepat pada masanya, kata beliau pada pelancaran Pengurusan Kekayaan Labuan IBFC 2013 hari ini.

Beliau berkata, inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan industri pengurusan pelaburan domestik.

Mengenai satu perkara berkaitan, Ahmad Husni berkata Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan tinggi tahun ini kerana ia menerima banyak pelaburan.

"Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, pengguna domestik sebenarnya amat kukuh, sumber utama sebenarnya adalah daripada pelaburan orang ramai dan juga pelaburan kerajaan.

"Jadi, bagi masa depan, kita yakin kita boleh mengekalkan pertumbuhan tahun ini," kata beliau, sambil menambah bahawa kerajaan yakin dalam berhati-hati bahawa pertumbuhan ekonomi akan berlegar sekitar 4.5 peratus hingga lima peratus.

- Bernama
Najib: Kenyataan Nik Aziz menghina rakyat
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Beliau turut mempersoal kenyataan itu yang tidak konsisten memandangkan pakatan pembangkang terutamanya di Selangor turut menjanjikan beberapa perkara yang bersifat kewangan.

"Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?.

"Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji... janji itu pula tidak ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di Kuching hari ini.

Najib mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Mengulas lanjut, Najib berkata amalan memberi bantuan kepada rakyat sudah lama dilaksanakan kerajaan secara subsidi tidak langsung, manakala BR1M bersifat lebih fokus kepada kumpulan sasaran.

"Setiap tahun kerajaan belanja lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi, kita beri dalam bentuk subsidi secara tidak langsung... orang tak layak seperti orang kaya pun terima dan berlakunya ketirisan seperti penyeludupan serta penjualan diesel di luar sempadan dan sebagainya.

"Jadi kita pilih beri subsidi diesel secara lebih fokus lagi, dan cara lebih fokus ini termasuk BR1M dimana kita tentukan mereka betul-betul layak mengikut tafsiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya mereka akan terima bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata kerajaan melihat BR1M bukan sahaja bantuan kepada rakyat, tetapi turut akan mempergiatkan kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.

"Bantuan kewangan ini akan cetus kegiatan ekonomi di kawasan tempatan, ia beri pekedai serta peruncit manfaat dan rakyat (penerima) sendiri punya kuasa untuk tentukan cara untuk belanjakan duit itu.

"Jadi ini tidak ada bezanya dengan amalan di sesetengah negara lain seperti Singapura dimana mereka kreditkan kepada akaun CPF untuk bantu rakyat, di Indonesia pun ada juga pemberian secara langsung kepada rakyat," katanya.

- Bernama

BR1M: kenyataan TG Nik Aziz dimanipulasi media BN

Salmah Mat Husain, 23 Feb 2013
KOTA BHARU: Rakyat di negara ini khususnya Kelantan diminta mendengar penjelasan sebenar berhubung ‘isu haiwan’ yang dimanipulasikan oleh media dan pemimpin negara.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yusof, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, penjelasan itu perlu dirujuk dalam laman Facebook Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat jawapan sebenar.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu, sehingga kini jumlah penonton yang mendengar penjelasan Tuan Guru dan selebriti dakwah, Ustaz Azhar Idrus, berhubung perkara itu melebihi 200,000 orang.

“Sudah jelas kepada kita media Umno dan BN sanggup menggunakan cara yang lebih jijik demi untuk mendapat sokongan rakyat.

“Mereka sanggup membohongi rakyat dengan manipulasikan kenyataan sebenar, walhal rakaman berhubung perkara itu ada,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang dimaksudkan oleh Tuan Guru kerajaan menjadikan penerima BR1M itu seperti haiwan dan bukannya menyifatkan mereka seperti haiwan tetapi cara BN untuk mendapatkan undi itu dengan cuba membuat rakyat ini seperti haiwan..

Tegasnya, kerajaan terpaksa menabur duit bagi memastikan rakyat hadir pada majlis mereka atau menagih sokongan.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat di negara ini telah memahami perkara berkenaan berikutan rakaman video ucapan sebenar Tuan Guru termasuk penjelasan Ustaz Azhar Idrus ditonton lebih 200,000.

“Saya yakin jumlah ini akan bertambah,”ujarnya.

Media arus perdana sejak malam tadi dan hari ini menyiarkan kenyataan Tuan Guru yang kononnya menyifatkan penerima BR1M sebagai haiwan.

Ianya berikutan serangan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan timbalannya terhadap Mursyidul Am itu.

Penerima BR1M haiwan: Apa komen Ustaz Azhar

Harakahdaily, 23 Feb 2013
KUALA TERENGGANU: Serangan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan timbalannya terhadap Mursyidul Am PAS dijawab oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (gambar).

Beliau berkata,  Tuan Guru Nik Aziz bukan kata penerima BR1M itu seperti haiwan tetapi menjadikan penerimanya seperti haiwan.

"Sebenarnya apa yang kita dengar dalam video clip bukan Tok Guru kata kepada penerima BR1M seperti haiwan, cuma Tok Guru kata orang yang memberikan BR1M tulah cuba menjadikan orang yang menerima seperti haiwan.

"Umpama bagi makan, lepas tu sembelih.

"Maknanya jahatnya orang nak bagi bantuan bila perlu sahaja, bila jauh dengan pilihanraya tak hulur pun bantuan," kata Ustaz Azhar dalam kuliahnya di Masjid Pengadang Baru dekat sini.

Beliau ditanya, "apa komen ustaz mengenai Tuan Guru Nik Aziz kata orang yang ambil BR1M ni seperti haiwan?"

Ini ekoran tuduhan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa Tuan Guru Nik Aziz menganggap penerima BR1M ini haiwan.

Bagi Ustaz Azhar, ini semua punca mencari pembalahan, "Ni buah cari baloh."

Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua pihak berhati-hati dengan sebarang laporan media.

"Jadi lening (sekarang ini) kene hati-hati lah banyak putar belit dan spin berita nak nak musim mengundi ni.

"Yang  tak pernah nampak muka pun dan kerap masuk kampung dah. Tujuan ape? Nak tolong ke untuk kepentingan tertentu?

"Jadi kene bijoklah, jangan percaya tanpa selidik," tegas penceramah bebas dari Terengganu yang sangat terkenal itu.

Baru-baru ini, Tuan Guru Nik Aziz berkata,
"Orang yang menawarkan (wang) kepada orang, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi.

"Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami. Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu, mana datang.

"Jadi kalau kita beri barang kepada orang, beri RM10, RM50 (orang akan datang ambil).
"Ini bukan cara Islam, (cara) Islam ialah beri ilmu kepada manusia," kata Tuan Guru Nik Aziz.


Analogi haiwan


Sementara itu, para pengguna laman sosial mula menyebarkan analogi mengenai kenyataan kedua-dua pemimpin Umno itu ketika mereka mengulas isu ini.

Berikut adalah analogi itu:

Seorang atok memarahi dua orang cucunya, Ali dan Abu yang suka bergaduh..

Atok: Korang ni macam anjing dengan kucing.. pantang jumpa asyik nak bergaduh..

Ali: Sampai hati atok cakap kami haiwan....

Abu: Ali! Itu peribahasa la samdol!


 
Wang bantuan, upah sokongan dan undi
 
KOLUM Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.
Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta.
Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya.
Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.
Pelacur
Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.
Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.
Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila.
Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.
Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan Kroni
Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.
Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.
Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)].
Teladan

Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah.
Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.
Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?!  Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera.
Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.

Tiada ulasan: