Isnin, 18 Februari 2013

JANGAN KITA JADI AKHBAR ATAU PEMBERITA MENGADU DOMBA DAN MEMBERI BERITA BOHONG...DIAKHIRAT NANTI KITA TAK SELAMAT

Masalah Iklan Tidak Baik di Harakahdaily

Zulkifli Sulong, 18 Feb 2013
Sejak kebelakangan ini, Harakahdaily selalu menerima aduan mengenai iklan yang kurang sopan masuk ke Harakahdaily

2) Untuk pengetahuan semua, iklan itu sebenarnya bukan dimasukkan oleh kami di Harakahdaily
tetapi masuk melalui 'virus' yang telah menyerang komputer tuan-puan.

3) Jalan penyelesaiannya adalah membersihkan komputer tuan-puan dari 'masalah' itu.

4) Pihak IT Harakahdaily sedang berusaha untuk menutup 'laluan' ini tetapi belum berjaya sehingga kini.

5) Kami berharap, tuan-tuan dapat memahami masalah ini ketika kami berusaha dengan cara yang terbaik untuk menyelesaikannya.

Sekian, terima kasih.

Zulkifli Sulong
Harakahdaily

Jawapan penyelewengan selepas PRU 13 - Jen Hadi

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin angkatan tentera yakin, semua jawapan kepada penyelewengan yang berlaku dalam Angkatan Tentera akan diketahui selepas Pakatan Rakyat menang di Putrajaya nanti.

Sehubungan itu, bekas pemimpin Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab (gambar) mengajak rakyat negara ini membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bersama para pemimpin bekas tentera di Setiawangsa malam semalam.

Turut serta di majlis itu adalah bekas Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir,  Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (Laut) dan Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat) serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yakin, semua rakyat ingin tahu apakah sebenarnya penyelewengan yang berlaku dalam angkatan tentera.

"Terlalu banyak penyelewengan yang berlaku dalam angkatan tentera, jika kita adakan siasatan sekarang pun, kita tidak akan dapat jawapannya.

"Kalau nakkan jawapan, PRU 13 kita dapat duduk di Putrajaya.

"Selagi tak dapat ke sana tak akan dapat jawapannnya," katanya dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

(Sebahagian orang ramai yang mengikuti ceramah berhampiran kem tentera ini)

Abdul Hadi juga berkata, beliau naik ke pentas Pakatan Rakyat bertujuan untuk meletakkan tentera di tempat yang sepatutnya.

"Kita nak letakkan tentera dan bekas tentera di tempat yang betul bukan diperlekehkan sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN hari ini," katanya.

Bagi beliau kerja ini perlu dilakukan oleh semua tentera dan bekas tentera sendiri.

"Kalau kita tidak dapat lakukan, tidak ada sesiapa lagi yang boleh lakukannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak samada tentera yang masih bertugas atau sudah bersara untuk memastikan kerja ini berjaya.

10 anak muda Cina bangga sertai program pemuda PAS

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Dalam heboh Umno menakut-nakutkan kaum Cina agar membenci PAS, 10 orang anak muda kaum Cina telah menyertai program berbasikal anjuran Dewan Pemuda PAS Gombak semalam.

Bertempat di Taman Metropolitan, Kepong mereka antara 30 peserta membuat kayuhan di taman itu sempena pelancaran Alternative Cycling Club (ACC) yang ditubuhkan oleh Lajnah Sukan dan Kebudayaan (Dacs) Pemuda PAS Gombak.

Salah seorang peserta, Thai Choo Swee yang datang bersama keluarganya berkata, beliau begitu gembira dan teruja kerana dapat bersama-sama pemuda PAS dalam aktiviti tersebut.

"Saya mendapat tahu program ini daripada rakan-rakan saya bangsa Melayu. Jika ada lagi program sebegini, saya mesti akan sertai lagi," katanya.

Program seperti ini adalah kali pertama dianjurkan oleh Dacs dan Dewan Pemuda PAS Gombak sebagai tarikan kepada anak muda zaman sekarang.

Ternyata, program tersebut semalam bukan sahaja menarik anak muda Melayu Islam malah turut menarik minat bukan Islam khususnya masyarakat Tioghua.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Gombak Syarhan Humaizi berkata, penyertaan buakn Islam ke program itu semalam membuktikan bahawa PAS sebenarnya sudah menjadi parti massa yang diterima semua kaum.

Malah katanya, propaganda serta momokan oleh pihak Umno yang cuba menakut-nakutkan bukan Islam kepada PAS ternyata gagal.

"Alhamdulillah, ketika orang lain sedang sibuk menakut-nakutkan kaum Cina kepada PAS, mereka bukan semakin takut, tetapi mereka sebenarnya semakin dekat mengenali Parti Islam Se-Malaysia PAS", katanya ketika merasmikan kelab berkenaan.

Beliau juga mengharapkan anak muda dapat menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirancangkan pada masa akan datang.

Kelab berkenaan merupakan kelab ke-3 yang telah ditubuhkan oleh Pemuda PAS Gombak selepas Alternative Riding Club (ARC) dan Alternative Photography Club (APC) untuk mendekati anak muda Gombak.

Turut diadakan bersama semalam program 'Outing Fotografi' bersama APC Gombak ditempat yang sama dan telah menarik lebih kurang 40 orang penyertaan.

 


Video Sg Tengi: Anak temui IGP buat bantahan

Muhammad Faizal, 18 Feb 2013



(Mazlan dalam sidang media selepas bertemu polis di Bukit Aman)

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Ismail Omar menyatakan pendirian berhubung dengan penyebaran video yang mengaitkan pihak polis berhubung dengan insiden yang berlaku di Felda Sungai Tengi.

Presiden Anak Mazlan Aliman menyatakan ini sejurus keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas pertemuan ringkas Anak dan penyerahan memorandum sebentar tadi.

Mazlan memberitahu, pertemuan hari ini juga turut membincangkan tentang jaminan intergriti polis selaku badan keselamatan yang melindungi rakyat.

Mereka meminta agar satu siasatan terperinci dilakukan dengan segera bagi membersihkan pasukan polis dari gejala bersekongkol dengan parti politik pemerintah Umno-Barisan Nasional sepertimana yang didakwa.
Menurut Mazlan, video yang bertajuk 'KANTOI!!!! RAKAMAN UMNO DALANG PROVOKASI DI FELDA SUNGAI TENGI' dengan jelas menunjukkan suatu mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengurus Felda Sungai Tengi, Alias Hussein bersama-sama pemuda-pemuda upahan yang mengganggu program pada malam tersebut.

Malah video tersebut juga turut mengaitkan pihak polis yang memberi nasihat untuk melakukan huru hara.

"Pertemuan hari ini adalah bagi membincangkan apa yang berlaku di Felda Sungai Tengi dan juga rakaman video yang telah disebarkan sebelum ini yang telah mengaitkan pihak polis dalam huru hara yang berlaku di Felda tersebut.

"Kita mahu siasatan yang telus dan adil dijalankan, Pegawai Polis Daerah Kuala Kubu Bharu yang dimaksudkan di dalam video itu hendaklah diberi surat tunjuk sebab dan jika bersalah hendaklah dikenakan tindakan displin sepertimana yang tertera di dalam undang-undang agar ia tidak berulang lagi," jelas beliau.

Tambah beliau, jika kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengurus Felda tersebut merupakan satu fitnah maka beliau perlu dikenakan tindakan tegas dan dibawa ke mahkamah kerana telah mencemari imej polis.

Katanya lagi, budaya samseng di mana individu-individu mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri dengan menyekat jalan masuk ke felda di samping melakukan provokasi-provokasi, mengugut, membawa senjata merbahaya dan sampai mencederakan orang awam hendaklah dibanteras sama sekali agar tidak menular ke dalam masyarat negara ini.

Mazlan yang dalam pada itu turut mempertikaikan tindakan pihak polis yang seolah-olah memberi lesen kepada samseng-samseng untuk bermaharajalela apabila sekadar melihat insiden yang berlaku tanpa mengambil apa-apa tindakan mengawalnya.

"Kita melihat budaya samseng ini seolah-olah menjadi satu yang dihalalkan apabila provokasi yang sama berlaku setiap kali program diadakan di kawasan felda.

"Kita mahu pihak polis membendung serta mengambil tindakan tegas berhubung perkara tersebut kerana ia akan menimbulkan suasana yang huru hara jika tidak diambil tindakan lebih awal," sambung beliau lagi.

Turut hadir pada pertemuan tersebut adalah Penasihat Undang-undang Anak, Haris Abdullah bersama tiga orang dari Anak.

S'gor peruntuk RM1.68 juta bantu 150,000 ibu tunggal

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Dijangkakan seramai 150,000 golongan ibu tunggal di Selangor akan mendapat manfaat bantuan kebajikan dengan pelancaran program terbaru Jom Shopping Ibu Tunggal yang diperkenal Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat telah memperuntukkan sejumlah RM1.68 juta untuk tujuan itu.

Menurutnya, program tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri dalam mengembalikan hasil negerui kepada rakyat.

“Kita faham masalah utama rakyat ialah kurang pendapatan, maka kerajaan negeri perlu bijak menguruskan wang jom shopping kepada ibu tunggal," katanya ketika merasmikan program itu di Pasaraya Giant Kota Damansara kelmarin.

Untuk program Jom Shopping Ibu Tunggal ini, mana-mana ibu tunggal berumur antara 19 hingga 59 tahun yang lahir dan bermastautin di Selangor layak untuk memohon.

Permohonan boleh dikemukakan dengan mendaftar di Pusat Khidmat Dun atau secara atas talian di E-bu.selangor.gov.my.

Sehingga kini seramai 25, 000 ibu tunggal sudah mendaftar di portal e-bu dengan 18,001 adalah berbangsa Melayu, 1574 berbangsa India, 792 orang berbangsa Cina dan selebihnya tergolong dalam lain-lain bangsa.

“Ini sudah dibuktikan sepanjang lima tahun pentadbiran Kerajaan Pakatan di Selangor dengan penganjuran pelbagai program kebajikan khusus untuk rakyat,” katanya dipetik Selangorku.

Dalam program tersebut kelmarin, seramai 150 ibu tunggal yang terpilih daripada sembilan Dun di negeri ini menjadi kumpulan pertama yang menikmati inisiatif tersebut.

Mereka adalah dari DunBatu Tiga, Kota Anggerik, Taman Medan, Meru, Seri Setia, Paya Jaras, Bukit Lanjan, Gombak Setia dan Kota Damansara.

Mereka dibawa membeli belah barangan keperluan di pasaraya terbabit dengan ditemani sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta isteri Puan Sri Salbiah Tunut.

Hadir sama dalam pelancaran program tersebut ialah Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, Adun Kota Anggerik, Dr. Yaakob Sapari, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Adun Meru, Dr. Abdul Rani Othman dan Pengarah Komunikasi GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ian Cruddas.

Pemuda pastikan 17,000 pekerjaan terhasil

Zulkifli Sulong, 18 Feb 2013
KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Terengganu akan memastikan rancangan untuk melahirkan 17,000 peluang pekerjaan di Terengganu akan menjadi kenyataan.

Ketuanya, Mohamad Nor Hamzah (gambar) berkata, Pemuda PAS akan menggunakan segala sumbernya untuk mempastikan cadangan yang dibuat melalui manisfesto PAS Terengganu itu menjadi kenyataan.

"Kita akan mempastikan segala sumber yang kita ada dari segi pemikiran dan kepakarannya digunakan sepenuhnya untuk menjayakan rancangan ini," kata Mohamad Nor kepada Harakahdaily.

PAS Terengganu sebelum ini mengemukakan manifesto 10 perkara untuk dilaksanakan termasuk menghasilkan 17,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Ia dibentangkan dalam seminar manifesto PAS Terengganu yang turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Anggota Parlimen Marang.

"Dengan segala perancangan yang kita buat jika kita memerintah nanti, saya yakin kita berjaya menyediakan 17,000 peluang pekerjaan itu," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Abdul Razak.

Antara perkara yang dirancangkan di Terengganu, katanya, adalah membina lebuhraya persisiran pantai Terengganu dari Kemaman sehinggalah ke Besut.

Di samping mempercepatkan perjalanan dan mobiliti barangan, ia juga bertujuan meningkatkan industri agro tourism Terengganu melalui barangan kraf tempatan.

Menurut Mohamad Nor yang merupakan Adun Bukit Payong, pihaknya sudah beberapa kali membuat perbincangan mengenai perkara itu.

"Kita ada arkitek terkenal Raja Baharin untuk membuat rekabentuk terbaik, kita ada jurutera yang hebat dan kita juga ada ahli perniagaan yang baik untuk merancang perkara ini," katanya.

Di samping pembangunan fizikal, bandar-bandar lestari akan diwujudkan sepanjang lebuhraya ini untuk memasarkan produk Terengganu di sepanjang lebuhraya ini.

Sekurang-kurangnya lima hentian R & R pelancongan akan dibina sepanjang lebuhraya ini.

"Kalau R & R Plus, orang ramai hanya berhenti sekejap sahaja, kita akan jadikan R & R kita pusat pelancongan yang lengkap dengan kemudahan untuk menikmati keindahan pantainya yang cantik dan pusat pemasaran produk tempatan.

"Misalnya Sata terkenal di Kuala Kemaman. Kita akan pastikan satu R & R di Kemaman akan penuh dengan produk ini," katanya.

Selain itu, lemang di Kijal, keropok di Marang, kraf tangan di Rusila, ikan celup tepong di Setiu akan menjadi produk-produk penting untuk dipasarkan R & R pelancongan ini.

"Kalau di Jepun terkenal dengan satu daerah satu produk, kita akan perkenalkan satu R & R pelancongan satu produk," kata Mohamad Nor.

Di samping itu, kata Mohamad Nor, R & R ini akan menghasilkan pusat pertumbuhan baru di sekitarnya dan akan digunakan untuk memajukan industri pendidikan termasuk di Bukit Kor, Marang.

LAPORAN BERKAITAN

PAS Terengganu rancang 17,000 peluang pekerjaan

Jaminan Islam, Melayu dipertahan dalam Pakatan

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini adalah jaminan bahawa Islam dan Melayu dipertahankan dalam Pakatan Rakyat.

Dan pihak yang akan mempastikan ianya dipertahankan adalah PAS.

Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan olehnya di Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 7.0 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Nerus pada hari sabtu yang lalu.

Tuan Guru Abdul Hadi dipetik sebagai  berkata “PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.

"Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat."

Sebelum ini, Presiden PAS menegaskan, konsep utama dalam Pakatan Rakyat adalah pakatan antara parti-parti di dalamnya iaitu PAS, PKD dan DAP.

Oleh itu, segala apa yang hendak dilaksanakan hendaklah mendapat persetujuan bersama di kalangan mereka.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar atas) percaya ucapan beliau tersebut adalah tersangat jelas dan ianya merupakan satu jaminan PAS kepada umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia bahawa kepentingan Islam akan terus dipertahankan oleh PAS dan ianya adalah penentu keberadaan PAS dalam Pakatan.

"PAS tetap setia dengan Pakatan selagi mana kepentingan Islam menjadi keutamaan," katanya.

Katanya, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami serta menghayati akan perjuangan dan prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Sejarah telah membuktikan betapa konsistennya PAS dalam agenda dan usaha ini, tegasnya.

"Kami Dewan Ulamak PAS Pusat senantiasa akan mempertahankan kepentingan Islam melebihi kepentingan-kepentingan yang lain sepertimana yang terkandung dalam ucapan Datuk seri Presiden PAS tersebut serta sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan PAS," katanya.

Dalam masa yang sama agenda keadilan Islam kepada seluruh bangsa di Malaysia akan terus menjadi dasar perjuangan PAS dalam usaha meruntuhkan kezaliman terutamanya apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno BN sekarang.

Utusan diarah mohon maaf, bayar pampasan kepada Azan

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Malaysia diarah memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail ekoran laporan fitnah.
Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kamar pada jam 10.00 pagi ini, lapor Keadilan Daily. (Gambar: Azan bersama peguam.)

Permohonan maaf tersebut perlu disiarkan di akhbar kawalan Umno itu dalam masa tujuh hari bermula hari ini.

“Utusan sedia membayar gantirugi dan permohonan maaf seperti yang dituntut sebelum ini. Jumlah pampasan tak dapat kita sebut kerana dalam surat penghakiman, mahkamah meminta supaya ia tidak diberitahu umum,” jelas Azan, diwakili peguam, A Vasudevan.

Mengulas kemenangan itu, Azan mengingatkan etika pemberitaan perlu telus dan tepat.

“Pengamal media perlu kembalikan integriti berita mereka, terutama media arus perdana yang ketika dulu sangat tinggi integritinya, tetapi sekarang terlalu terpengaruh memainkan peranan sebagai penyokong kuat kerajaan,” katanya kepada Keadilan Daily.

Pengerusi PKR Terengganu itu memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap editor, Zulkiflee Bakar dan Utusan pada April 2010 ekoran penyiaran artikel bertarikh 6 Mac yang mendakwa beliau keluar PKR dan turut meletakkkan gambarnya bersama ahli politik yang keluar sebelum itu.

Pada 8 Mac 2010, Utusan sekali lagi menyiarkan berita kononnya Azan tidak keluar PKR tetapi meletak semua jawatan termasuk sebagai Timbalan Pengerusi PKR Terengganu dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri ketika itu.

Jika Johor dapat ditawan bonus kepada Pakatan

Muhammad Faizal, 18 Feb 2013
SUBANG JAYA: PAS berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) dapat menawan 12 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan perkara tersebut ketika menghadiri Majlis Makan Malam Demi Rakyat di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Beliau turut memberitahu, selain daripada 12 kerusi Parlimen yang bakal dimenangi, jika Johor dapat ditawan ia merupakan bonus kepada PR.

"Saya pasti kita dapat melumpuhkan Barisan Nasional (BN) di Johor, setakat malam ini PR akan dapat menumbangkan BN di 12 kerusi parlimen.

"Saya tidak mahu cakap besar kalau PR dapat memerintah Johor ia merupakan bonus kepada kita, yang pasti 12 kerusi dapat kita tawan," ucap beliau di hadapan 1,000 orang yang hadir.

Salahuddin memberitahu jika beliau mementingkan kedudukan dan pendapatan bulanan  setiap bulan, beliau boleh untuk terus mempertahankan kerusi di Kubang Kerian.

Namun, ujarnya demi untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat Johor perkara tersebut dikorbankan semuanya.

"Saya boleh minta untuk kekal di Kubang Kerian kalau saya mahu mendapat balik elaun dan gaji saya.

"Tetapi saya lupakan itu semua yang penting balik ke Johor dan robohkan kubu Umno untuk ke Putrajaya, ini kepentingan rakyat dan masa depan negara," kata beliau lagi.

Tambah beliau lagi, walaupun ada pemimpin Umno menyatakan tindakan beliau kembali ke Johor umpama menbunuh diri, tetapi perkara tersebut tidak mematah semangat.

"Tunggu saya balik dan kita lihat siapa bunuh siapa pada PRU13 nanti," tegasnya.

Jelas beliau, walaupun usia masih muda, namun PAS, PKR dan DAP dapat membuktikan PR berada pada satu posisi untuk memberi kebaikan kepada rakyat.

Beliau yakin, perpaduan yang ditunjukkan di dalam PR serta sokongan rakyat akan menghasilkan satu kemenangan yang besar pada PRU13 nanti.

Tiada ulasan: