Selasa, 12 Februari 2013

BILA DAH HILANG MARUAH DISEBABKAN PERBUATAN SENDIRI...TERIMALAH HAKIKAT RAKYAT SEDANG MENGHUKUM....HAKIKAT SEBENAR ALLAH LAH YANG MENGHUKUM KERANA PERLEKEH ISLAM....PERLEKEH ISLAM BERMAKNA PERLEKEH ALLAH...SEDANGKAN ALLAH MENGHIDUPKAN...MEMANG TAK SEDAR DIRI BETUL

Arab Spring: Spekulasi Musa Hassan amat dangkal

Harakahdaily, 12 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal seorang lagi individu, kali ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan turut bermain api untuk berspekulasi bahawa huru-hara seperti Arab Spring akan berlaku apabila ada pihak yang kalah dalam pilihan raya umum nanti.

“Kami kesal kenyataan seperti ini boleh keluar dari seorang yang sepatutnya lebih tahu implikasi dari spekulasi yang tidak bertanggungjawab dan merbahaya ini. Malah ini petanda negara  akan memboleh pihak berkuasa bertindak hanya dengan kenyataan bersifat spekulasi semata-mata,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu kenyataan.

Malah, katanya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak yakin akan berlaku Arab Spring kerana berpendapat bahawa rakyat sudah matang dan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan negara semakin meningkat.

Soalnya, kata Mohd Azmi sejak 12 kali pilihan raya yang terdahulu, pihak pembangkang yang sudah banyak kali kalah dan tidak dapat menumbangkan kerajaan, namun persoalannya  bilakah pernah berlaku huru-hara yang dicetuskan oleh pembangkang yang kalah itu.

Ternyata, ujarnya Musa sebagai orang yang telah lama tahu mengenai keselamatan dalam negeri hanya membuat spekulasi dangkal.

Menurutnya, pada hakikatnya  yang berlaku ialah betapa pihak pembangkanglah yang sering ditekan dan diperlakukan secara paling tidak demokratik dalam pilihan raya, namun maseh tidak ada peristiwa ketegangan berlaku yang beliau katakan itu.

“Kenapa pula Musa kali ini berspekulasi bahawa huru hara akan tercetus?

“Adakah beliau turut mengetahui keputusan yang bakal berlaku ataukah beliau tahu penipuan sedang diatur oleh pihak tertentu untuk mengekalkan kuasa?” tanya beliau.

Justeru, ujarnya Teras kesal dengan sikap dan kenyataan Musa yang tidak berubah pemikirannya seolah-olah beliau tahu bahawa suatu kejutan akan berlaku dalam PRU13.

“Sekali lagi nampaknya orang seperti beliau berspekulasi bahawa  'Arab Spring' boleh berlaku di negara ini sekiranya pihak yang kalah pilihan raya umum akan datang tidak puas hati dengan keputusannya,” katanya lagi.

Soalnya, tanya Mohd Azmi kenapa pula Musa tidak yakin jika pihak kerajaan yang kalah akan ada pihak yang menggunakan penyokong-penyokong mereka membuat huru-hara dan rusuhan bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Sepatutnya, ujar beliau yang dinasihati ialah supaya jentera pengurusan pilihan raya iaitu SPR memastikan plihanraya berjalan secara adil dan bersih.

“Maklumat ini yang sepatutnya dikumpul oleh pihak polis,” katanya.

Menurutnya lagi, Musa kelihatan ghairah untuk mempertahankan ISA walaupun ramai yang menjadi mangsa ketidakadilan akibat undang-undang itu atas nama pencegahan.

Air: Khalid sedia debat dengan calon MB Umno BN

Selangorku, 11 Feb 2013
KUALA SELANGOR: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia untuk berdebat mengenai isu air Selangor dengan mana-mana calon Menteri Besar Selangor daripada Umno-BN.
Menurut Abdul Khalid, dengan mengadakan debat, masyarakat Selangor akan mendapat manfaat dengan membuat penilaian dan perbandingan di antara cara pengurusan perkhidmatan air Selangor oleh Pakatan Rakyat Selangor dan Umno-BN.

“Baguslah kalau (Datuk Seri) Noh Omar mahu berdebat, kalau dia bakal Menteri Besar, kita boleh berdebat,” ujar beliau dalam sidang media di Kampung Bukit Badong di Bestari Jaya pagi tadi.

Pengurusan perkhidmatan air di Selangor adalah antara isu utama yang akan menentukan gagasan mana akan berjaya memerintah negeri pada pilihan raya akan datang.

Dalam lima tahun pentadbiran, 92 peratus pengguna domestik di Selangor telah mendapat faedah daripada skim air percuma 20 meter padu.

Di samping itu, kenaikan tarif tarif air sebanyak 52 peratus yang diminta oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh itu, telah berjaya disekat oleh pentadbiran Abdul Khalid.

MP Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dilaporkan mencabar Abdul Khalid untuk berdebat dengan beliau dalam isu air Selangor.

Perebutan jawatan Menteri Besar di kalangan pemimpin Umno-BN Selangor terus hangat apabila beberapa nama disebut bakal menyandang kerusi itu sekiranya Umno-BN berjaya merampas semula pentadbiran Selangor dari Pakatan Rakyat.

Selain Noh yang kini Timbalan Ketua Umno Selangor, nama lain yang turut disebut adalah Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman.

Najib tanya “Are you ready for BN?” tapi rakyat jawab

Harakahdaily, 11 Feb 2013
PULAU PINANG: Begitulah nasib BN, walaupun dengan menjemput penyanyi sensasi K-Pop Korea Psy untuk mempersembahkan lagu termashyurnya Oppa-Gangnam Style tapi ia masih tidak cukup untuk menolak kemahuan rakyat untuk menolaknya.

30,000 orang memenuhi kawasan padang Kolej Han Chiang di Pulau Pinang hari ini untuk sambutan Tahun Baru Cina yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib turut ditemani bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin BN negeri Teng Chang Yeow, Teng Hock Nan, serta menteri pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen.

Ketika menjemput penyanyi Korea, Najib telah bertanya soalan ini untuk tiga kali berturut-turut:

“Are you ready for Psy?”

Soalan itu dijawab dengan hadirin di bawah panas terik dengan laungan ‘Yes’.

Kemudian Najib bertanya soalan kedua sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Are you ready for BN?”

Apa yang berlaku tidak perlu dihuraikan di sini. Mudah dikatakan, apabila rakyat sudah menolak, buruk padahnya.

Saksikan video di bawah untuk jawapannya:

http://www.youtube.com/watch?v=GxjjmnxlCUc

14 Feb: Gerakan Hari Menutup Aurat Sedunia

Harakahdaily, 11 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia ingin menarik perhatian umum berkenaan pelancaran kempen Gerakan Menutup Aurat (Gemar) yang kini telah masuk tahun kedua.


“Gemar merupakan satu usaha kreatif untuk memberi pendedahan dan kefahaman masyarakat berkenaan isu-isu eksploitasi wanita dan lelaki melalui kempen penutupan aurat yang sempurna,” ujar Setiausaha Gemar Malaysia, Hikmah Sahimi dalam satu kenyataan.

Katanya, eksploitasi tubuh sebagai sebuah komoditi komersial jarang disedari oleh masyarakat kerana eksploitasi itu dijelmakan dalam bentuk fesyen atau ‘trend’ tanpa masyarakat sedar tubuh mereka sebenarnya telah dieksploitasi demi keperluan meterialistik.

Tambahnya, terdapat juga tanggapan menutup aurat adalah penyebab kemunduran umat Islam, tidak kurang juga yang mengatakan penetapan menutup aurat ke atas wanita Muslim adalah bentuk penindasan kaum lelaki ke atas wanita.

Sebagai contoh, ujarnya isu yang pernah ditimbulkan oleh salah satu pertubuhan wanita di Malaysia yang mengatakan bahawa wanita mempunyai hak dan kebebasan untuk menentukan cara mereka berpakaian.

“Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik mutlak individu.

“Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain,” tegasnya.

Katanya, komuniti yang berpakaian sopan adalah hak yang perlu dinikmati masyarakat, sementara persoalan-persoalan lain berkenaan aurat telah juga Gemar sediakan jawapannya di laman ‘facebook’ Gemar Malaysia’.

Justeru, katanya  diharapkan ia dapat menjadi rujukan umum bagi mereka yang memerlukannya.

Tambahnya, tarikh 14 Februari pula dipilih sempena sambutan hari kekasih dan ia diharapkan dapat menjadi satu sambutan alternatif kepada keghairahan sambutan tersebut.

Jelasnya, Gemar Malaysia turut menegaskan, sambutan Hari Kekasih oleh warga muslim pada hari ini, tidak lebih dari sekadar eksploitasi komersial untuk melariskan produk-produk cinta, mengambil kesempatan diatas kejalihan dan pendek akal masyarakat.

Katanya, kempen Gemar telah dimulakan di peringkat nasional dan antarabangsa sejak pertengahan Januari.

Kata beliau, di peringkat nasional dan Pulau Pinang khususnya, satu garis panduan mudah telah dipromosiakan di laman ‘facebook’ Gemar Malaysia.

“Melalui garis panduan ini, sesiapa sahaja yang mempunyai kesedaran tentang kempen aurat ini boleh memulakan usaha dakwah mereka di komuniti masing-masing dengan mudah dan secara rasmi, mereka adalah sebahagian daripada 1,500 penyokong Gemar setakat ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, katanya hal ini menyatakan bahawa anda tidak berseorangan dalam memperjuangkan isu kewajipan menutup aurat.

Beliau berkata, kempen Gemar Malaysia telah disambut oleh komuniti-komuniti di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Di peringkat antarabangsa, kempen ini dijalankan secara aktif oleh rakan NGO-NGO Indonesia di samping sokongan oleh komuniti muslim Nusantara di Mesir, Perancis dan Hong Kong,” jelasnya lagi.

Katanya, acara kemuncak kempen itu akan diadakan di Pulau Pinang pada 14 Februari iaitu aktiviti turun lapangan untuk temu seru komuniti di sekitar Bayan Baru dan Kepala Batas dan Karnival Gemar di Masjid At-Taqwa, Bertam Indah pada 17 Feb yang akan menampilkan selebriti bertudung Diana Amir sebagai tetamu.

Selain itu, ujarnya penyokong-penyokong Gemar Malaysia di komuniti yang lain juga, merancang aktiviti mereka tersendiri.

‘Kau undi aku akan aku berikan kamu ini’

Harakahdaily, 11 Feb 2013
KUALA LUMPUR: BN akan melakukan apa sahaja asalkan dapat terus melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa melalui kerajaan yang ditadbirnya.
Bagi penulis politik, Aspan Alias, Najib percaya kepada strategi ‘kau undi aku akan aku berikan kamu ini’.

“Dulu dalam beberapa ucapannya di hadapan rakyat bukan Melayu dia bernah berkata ‘lu tolong gua, gua tolong lu’. Di sini kita dapat memberikan andaian yang Najib mempunyai kepercayaan yang harta benda serta wang untuk pembangunan itu dipunyai oleh UMNO atau BN,” tulisnya.

Tulisan penuh Aspan di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com seperti di bawah.

Beberapa hari yang lepas saya telah menulis tentang sikap Najib dan sikap biasa BN yang mereka hanya menggunakan strategi melukah di tempat yang sempit dan genting. Mereka menggunakan strategi memulas tangan dan memaksa rakyat memilih UMNO dalam setiap pilihanraya. UMNO selama ini tidak mampu untuk kekal jika manusia di negara ini sedang dalam kesenangan.

Hari ini Najib melakukannya sekali lagi di Pulau Pinang. Kalau di Kelantan isu bekalan air bersih menjadi umpan, di Pulau Pinang pula Najib menggunakan isu kesesakan lalu lintas di negeri itu menjadi umpan mereka pula. Ke sana ke sini Najib berjanji bulan dan bintang asalkan sahaja mereka mendapat undi dan terus memerintah secara rasuah dan tidak berintegriti itu. Masakan rakyat Pulau Pinang mahu memberikan sokongan jika mereka tahu UMNO dan BN akan terus melakukan rasuah dalam pentadbirannya tanpa had dan rakyat hanya di berikan sistem LRT.

BN akan melakukan apa sahaja asalkan dapat terus melakukan rasuah dan menyalah gunakan kuasa melalui kerajaan yang ditadbirnya. Najib percaya kepada strategi ‘kau undi aku akan aku berikan kamu ini’. Dulu dalam beberapa ucapannya di hadapan rakyat bukan Melayu dia bernah berkata “lu tolong gua, gua tolong lu”. Di sini kita dapat memberikan andaian yang Najib mempunyai kepercayaan yang harta benda serta wang untuk pembangunan itu dipunyai oleh UMNO atau BN.

Kenapa Najib tidak menyedari yang rakyat Pulau Pinang merupakan penyumbang terbesar kepada kantung Persekutuan. Pulau Pinang dan Selangor menyumbang 44 peratus dari perolehan negara dan kebetulannya kedua-dua negeri ini adalah negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Sikap tidak malu Najib ini membosankan dan inilah tahap pemikiran seorang pemimpin yang mengaku memimpin negara yang sudah menghampiri tahap negara maju. Di Kelantan rakyatnya telah menandatangani perjanjian dengan Petronas untuk mendapatkan 5 peratus dari hasil minyak dalam perairan Kelantan. Bayaran itu adalah secara tunai dua kali setahun, itu setiap 1hb Mac dan 1hb September setiap tahun. Tetapi setakat ini Kelantan masih tidak menerima bayaran royalti minyak itu. Kerana apa tidak ditunaikan? Jawapannya ialah kerana rakyat Kelantan menolak UMNO yang rasuah dan penyalah guna kuasa itu.

Najib dan BN seolah-olah bersifat seorang pencolek. “Kau undi aku, aku kembalikan wang kamu!”. Ini satu tindakan pencolekan yang tidak terkira hinanya apatah lagi ia dilakukan oleh pemimpin yang mengaku diri pemimpin sebuah negara maju. UMNO tidak sedarkan diri siapa mereka itu. Mereka terlupa yang kuasa yang ada kepada mereka itu adalah kuasa pinjaman dan pilihanraya itu hanyalah satu perjalanan untuk memilih siapa yang rakyat yakini.

Maka tidak salah lagi tindakan rakyat hari ini membuat keputusan untuk menolak pimpinan yang berlagak seperti pencolek ini. Sampai bila kita hendak dipaksa membuat itu dan ini oleh kumpulan pencolek yang zalim dan tidak berhati perut itu?

Kita selesaikan masalah ini dalam pilihanraya yang akan datang ini. Selepas pilihanraya nanti saya berharap Pakatan Rakyat tidak akan melakukan apa yang lazim dilakukan oleh BN seperti sekarang ini.

Kita pilih pimpinan dan kerajaan yang lebih ‘magnanimous’ serta mempunyai unsur keadilan di dalamnya. Buat sementara ini rakyat wajar bersabar sementara menunggu hari keramat itu.

Kita iringi doa dengan usaha yang kita lakukan ini untuk mendapatkan pemimpin yang mengambil kesempatan di atas keresahan rakyat. Rakyat Pulau Pinang tidak sebodoh seperti yang dianggapkan oleh Najib dan pimpinan UMNO itu.

Kita tolak pencolek dan pelukah yang selama ini tidak berhenti memulas tangan rakyat pengundi semua.

Darjat politik rendah Malaysia menjadi-jadi

Harakahdaily, 11 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malsyia (Mapim) amat kesal darjat politik di negara ini sudah menurun dari politik serius untuk mengurus kehidupan rakyat menjadi politik menabur wang dan menghidang hiburan kepada rakyat.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, sekarang politik pecutan terakhir yang sedang digerakkan ialah menaburkan lagi wang yang tersisa untuk rakyat dan menghimpunkan rakyat dengan hiburan mega walaupun berbelanja besar untuk membayar artis luar sehingga mencecah RM2 juta.

“Kami mempersoalkan serendah mana lagi parti pemerintah mahu bawa rakyat dan negara ini dalam berpolitik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau seterusnya seperti di bawah.
Kami senaraikan kerendahan berpolitik yang sangat memalukan yang dilakukan oleh peneraju pemerintah negara sepanjang tempoh berkempen untuk PRU13 yang bakal diadakan:

1. Menyebar bahan lucah untuk memfitnah lawan politik

2. Mempertajamkan politik perkauman untuk meraih undi kaum tertentu.

3. Mengguna isu agama untuk mempolemik dan menegangkan perhubungan antara penganut agama.

4. Mengguna wang dan janji peruntukan besar untuk ditabur kepada rakyat.

5. Menjemput artis luar dengan bayaran tinggi untuk menghimpun rakyat.

7. Membeli wakil rakyat untuk mengkhianati undi rakyat.

8. Mengerah jabatan awam untuk mengguna seluruh peruntukan bagi menabur wang kepada rakyat diluar bajet yang direncanakan.

9. Mengguna media awam untuk menyerang parti lawan tanpa memberi peluang parti lawan untuk menjawab serangan.

10. Mengguna pihak keselamatan untuk menekan parti lawan.

11. Mengguna kumpulan samseng untuk mengganggu dan menyerang majlis parti lawan.

Dari senarai di atas kami menjangka martabat berpolitik di negara ini tidak lagi menuju kepada kematangan dan menilai politik sebagai perjuangan yang mulia dan dihormati tetapi sudah jatuh ket ahap politik murahan yang sangat memalukan.

Kini menjemput artis terkenal dari Korea yang menelan belanja yang tidak munasabah dihidangkan kepada rakyat hanya dengan tujuan untuk menarik kehadiran rakyat dan mencelah peluang untuk berkempen.

Malah ada wakil rakyat yang terlalu ghairah untuk turut menari di pentas bersama artis tersebut hanya untuk mencari populariti murahan.

Tabiat seperti ini samasekali bukan lagi menyumbang kepada politik sihat dan bermaruah tinggi tetapi terjebak dengan politik lucah dengan tarian yang bertentangan dengan nilai timur apatah lagi nilai agama.

Kami juga amat prihatin betapa artis tempatan meluahkan rasa tidak puas hati bila pihak penganjur mengenepikan mereka untuk memberi layanan lebih utama kepada artis luar.

Keluhan mereka bahawa janji pihak kerjaaan untuk memberi pelbagai insentif kepada industri dan artis tempatan ternyata menghampakan.

Kini tiba-tiba seorang artis luar ditampilkan hanya untuk menghimpun peminat dan mengambil kesempatan untuk berkempen sempenan perayaan Tahun Baru Cina dengan belanja besar yang melampau.

Kami lebih kesal jika pihak pemerintah melalui penganjur dan penaja mampu mengeluar belanja sebesar itu untuk seorang artis luar, bagaimana pula nasib sekolah desa dan sekolah agama yang masih daif tidak mendapat peruntukan sebesar itu untuk ratusan ribu pelajar dan pendidiknya.

Inilah politik yang sangat memalukan bukan sahaja untuk rakyat malah juga memaparkan darjah politik rendah dimata dunia. Sebagai sebuah negara anggota OIC serta Asean yang sangat sarat dengan nilai agama dan nilai hidup ketimuran, acara dan politik hiburan sebegini sangat pelik dan tidak melambangkan kematangan dan memgutamakan politik berfikiran murni dan tinggi.


Adakah ini yang hendak dibangunkan setelah negara mendewasa sebagai negara merdeka dengan slogan 1 Malaysia. Transformasi sosial apakah yang dimaksudkan oleh PM Datuk Seri Najib bila melaungkan retorik bahawa negara perlu mempunyai rakyat yang kuat berpegang kepada nilai moral dan budaya murni tetapi dalam masa yang sama merestui acara yang menampilkan hiburan yang tidak ada kaitan malah bertentangan sama sekali dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini.

Kami kesal bila retorik transformasi sosial hanya menjadi slogan berniat politik untuk menarik pengundi tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal diterima terutama kepada generasi muda.

Menteri gembira di Kuala Lumpur, rakyat di kampung derita

Harakahdaily, 11 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Sejak rumahnya dirobohkan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada 20 Januari lalu, Alias Muda bersama dua orang anaknya terpaksa meneruskan kehidupan, tinggal di balai raya Kampung Tuan, Chukai, Kemaman. (Gambar atas)

Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Hanafiah Mat yang menziarahinya kelmarin berkata, Alias dan dua anaknya terpaksa tidur berlantaikan simen dan nasib serta masa depannya masih tidak menentu.

"Sudah masuk 3 minggu Alias dan dua anaknya tidur berlantaikan simen di balairaya Kampung Tuan setelah rumahnya dirobohkan oleh kerajaan Umno BN, sehingga kini tiada khabar berita daripada Pejabat Daerah Kemaman.

"Wakil rakyat yang diharap untuk menyelesaikan masalah keluarga itu, langsung tidak bertemu muka dengannya, harapkan JKKK yang tinggal berjiran dengannya kini bagaikan anjing menyalak bukit sahaja," ujarnya dipetik BuletinOnline.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai berkata, inilah gambaran rakyat 'marhaen' yang hanya dinilai dan dibayar tempoh lima tahun sekali apabila tibanya pilihan raya.

Beliau hairan, bagaimana Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said selaku Ketua Umno Bahagian Kemaman boleh tidur lena dalam banglo mewahnya, sedang rakyat hidup dalam keadaan menderita.

Begitu juga, katanya, Menteri Belia dan Sukan yang berasal dari Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, boleh gembira hidup di Kuala Lumpur, sedang rakyat di kampung halamannya menderita.

Baca lagi di sini.

Majlis Syura tidak bincang isu PM, dakwaan mengarut

Rizal Tahir, 11 Feb 2013

(TG Nik Aziz menggaul Yee Sang bersama tokoh perniagaan Cina Kelantan)

KOTA BHARU: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan berita yang mendakwa PAS berbincang untuk menolak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebagai mengarut.

Menurut Tuan Guru, beliau selaku Pengerusi Majlis Syura Ulama PAS langsung tidak berbincang berhubung perkara itu, malah tidak tahu menahu mengenainya.

“Saya sendiri pengerusinya, tentu saya tahu kalau berbincang, mengarut semua ni,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas dakwaan yang mengatakan Majlis Syura Ulama PAS berbincang untuk menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 nanti.

Beliau berkata ketika ditemui di kediaman  tokoh perniagaan Cina Kelantan Kenny Chua sempena kunjungan Tuan Guru ke rumah-rumah mereka di hari Tahun Baru Cina, di Taman Limau Manis, di sini pagi semalam.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini melaporkan yang sebagai memetik sumber dalaman PAS kononnya Majlis Syura turut berbincang keputusan itu.

Kali terakhir Majlis Syura bermesyuarat adalah 13 Januari lepas dengan dipengerusikan sendiri oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Antara yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah menggugurkan keahlian Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya.

Baru-baru ini dilaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din. Kononnya dalam pertemuan itu Haron memaklumkan Majlis Syura menolak Anwar sebagai bakal PM.

Dengan penjelasan ini bermakna perkara itu hanya mainan media Umno untuk memecahkan hubungan baik dalam Pakatan bagi memberikan peluang kepada BN semula untuk terus memerintah negara.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pernah mencadangkan agar isu bakal PM hanya akan ditentukan selepas penamaan calon.

Semalam, Tuan Guru Nik Aziz mengunjungi empat pemimpin masyarakat Cina di Kota Bharu sebagai rutin tahunannya bila tiba perayaan itu.

Antara kediaman yang beliau kunjungi Pengerusi Eksekutif SBJ Sdn Bhd, Datuk Tan Liang Chong dan Kenny Chua.

Sempena perayaan Tahun Baru Cina, Tuan Guru turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina sama ada di Kelantan atau di seluruh negara dan dunia.

Menurutnya, semoga Allah menyelamatkan kehidupan umat di dunia ini.

Katanya, Islam agama perpaduan, agama menyatu ummah pelbagai bangsa di dunia.

Tiada ulasan: